Sejenak Bersama Rehan Makhtar

Antara karya Rehan Makhtar

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal, Rehan Makhtar.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang Rehan Makhtar, readers boleh ikuti perbualan kami di bawah.

Siapa yang memberi inspirasi untuk Rehan Makhtar menulis?

Biasanya saya mendapat inspirasi dan idea daripada sekeliling.  Ada tu daripada pengalaman betul.  Yang dah jadi pada diri sendiri, keluarga, kawan-kawan atau sesiapa saja yang saya yakin boleh dijadikan pengajaran pada orang lain.  Biasanya, asasnya saja.  Selebihnya hanya rekaan.  Paling penting sebab saya suka berangan… kot.

Apa makanan kegemaran Rehan Makhtar?

Saya suka makan apa aje.  Janji sedap.  By th way, ada ke orang suka makanan tak sedap?

Siapakah penulis kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Saya tak ada penulis kegemaran.  Cuma, terkini saya ada baca novel-novel tulisan James Dashner dan beberapa buah buku tulisan Aidh Abdullah Al-Qarni.

Apakah novel kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Tak ada kot

Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada.  Saya tak reti bela binatang.  Masa sekolah pernah bela ikan emas.  Dua hari, dah mati ikan tu.  Ada jugak seekor kucing warna kuning yang comel.  Satu hari, bila kucing tu mati, saya rasa kehilang.  Jadi, sejak tu saya tak bela apa-apa lagi.

Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Rehan Makhtar mahu pergi dan mengapa?

Iceland.  Sebab hari tu ada tengok Al Hijrah.  Rancangan Dengan basikal aku menjelajah.  Jam 11 malam dekat sana, masih terang macam 11 pagi.  Jadi, teringin nak laluinya.

Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Rehan Makhtar? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Sebuah manuskrip (tak jadi novel lagi) yang dah lima tahun saya usahakan.  Harap, hasil lima tahun tu berbaloilah.

Apakah pesanan Rehan Makhtar kepada pembaca di luar?

Moga setiap susunan aksara saya membawa kebaikan pada anda semua.  Yang baik, sebarkan.  Yang buruk, kita kekang.

Pada pandangan Rehan Makhtar, apa istimewanya novel Rehan Makhtar berbanding novel lain di pasaran?

Tak ramai kot orang tulis cerita-cerita sedih sekarang.   Hahaha.  Entahlah.  Mungkin genre yang saya bawak  tu kot boleh jadikan novel-novel saya sedikit istimewa pada pembaca saya dan saya sendiri.  Tidaklah saya bandingkan dengan novel orang lain yang lebih hebat.  Haruslah saya masih pada tahap biasa.

Dari mana Rehan Makhtar dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Daripada apa yang saya lihat.  Tak kisahlah daripada sumber apa.  Media, mata sendiri.  Atau yang saya lalui sendiri.  Orang akta, pengamalan itu sesuatu yang berharga.  Guru yang paling bagus adalah pengalaman.  Betul tak?

Apa rutin harian Rehan Makhtar? Ada yang rare tak?

Tak ada apa.  Rutin biasa.  Pergi kerja, balik kerja.  Masak. Kemas rumah.  Masuk bilik kerja.  Menulis.  Atau buat kerja ofis.  Memang biasa.  Tiada yang luar biasa.

Apa nasihat Rehan Makhtar kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Tulislah sesuatu yang baik.  Kerana setiap susunan aksara kalian dihisap.  Esok-esok bila kita dah tak ada dalam dunia ni, moga hasil tulisan kita tu dapat bantu kita.  Tak banyak, sedikit pun jadilah.  Biarpun kita masih tak baik (nak kata jahat kejam sangat pulak), setidak-tidaknya kita tak ajak orang berbuat kejahatan melalui hasil tulisan kita.  Jahat ni bukan hanya merompak atau bunuh orang.  Jahat zaman baru ni, ada pelbagai.  Kalian faham apa yang saya cuba sampaikan.

Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Rehan Makhtar kuasai?

Tak ada.  Mungkin Bahasa Korea kot.  Bahana tengok drama korea dan dengar lagu2 korea kot… Tak elok sangat benornya.  hehehe.

Kami harap Rehan Makhtar akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Rehan Makhtar,

Lebih banyak eBook boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_44141_rehan-makhtar/~

[SNEAK PEEK] TIBA-TIBA, DIA ADA

TIBA-TIBA, DIA ADA Oleh Rehan Makhtar

TANGISAN silih berganti menyapa telinga aku. Aku sendiri dah penat. Dah bengkak mata. Mama Ayie menitiskan air mata tak henti-henti. Biarpun Ayie dah sedar tapi penjelasan doktor kepada kami sebentar tadi memang boleh buat hospital ini banjir dengan air mata kami semua.

Apabila aku khabarkan kepada mereka semua yang Ayie disahkan menghidapi prosopagnosia ataupun face blindness iaitu kesukaran mengenali wajah orang termasuk wajah yang dah dia kenal, masing-masing hampir jatuh terkulai ke lantai.
Aku sendiri pun baru tahu kewujudan penyakit macam ni di dalam dunia. Tak ramai menghidapinya. Kesnya sangat sikit di dalam dunia ini. Dan, sadisnya Ayie adalah termasuk antara 2.5 peratus tersebut. Jumlah yang sangat minor tapi siapa sangka apabila Allah mahu menduga?
Kata doktor pakar, Ayie bertuah sebab hanya otak bahagian kanan saja yang cedera. Kemungkinan nak sembuh itu ada tapi entah bila. Atau boleh jadi tak sembuh langsung.
“Arya okey ke?”
Aku angguk apabila tangan mama menyapa bahu aku.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” soal papa pula. Cukup perlahan.
Aku kerling mama dan papa mertua aku, juga dua orang kakak Ayie. Wajah sugul, pucat-lesi tak payah nak cakap. Kemudian aku pandang papa di depan mata. Jambang dan misai dah tumbul meliar. Sebiji nampak macam atuk dah rupa papa sekarang.
“Entahlah, pa… Kata doktor, otak Ayie ada kecederaan sikit dekat fusiform gyrus. Bahagian bawah, belakang otak. Entah… Arya tak faham sangat dan tak tahu. Katanya kalau sebab kemalangan macam ni, Ayie boleh sembuh… eventually. Bergantung pada cara kita merawat. Kalau daripada keturunan tu lagi teruk, kata doktor. Tapi, buat masa sekarang ni, doktor dah sahkan tahap prosopagnosia Ayie. Masih boleh dirawat sebab dia tak adalah sampai tak kenal wajah sendiri. Mujur juga otak dia yang cedera itu pada hemisphere kanan aje,” beritahu aku separuh berbisik. Dah tak berkudrat mana sebenarnya. Letih tubuh, letih lagi hati.
Tak mampu aku bayangkan kalau sampai Ayie tak mampu nak cam wajah dia sendiri. Apalah nasib dia dan nasib aku ni? Aku bukan doktor untuk rawat dia. Aku isteri yang menyayangi dia. Yang akan sentiasa ada di sisi dia tapi aku bimbang apabila renungan Ayie kepada aku kosong, tidak seperti biasa. Kaku bagai melalui musim salji. Takut sangat dia menolak kehadiran aku apabila tak mampu nak cam aku ni isteri dia.
Aku senyum kelat kepada mama dan papa yang setia menemani. Aku nak menangis tapi dah banyak air mata tumpah. Sekarang ni, aku perlu kuat. Sekuat-kuatnya. Sebagaimana kuatnya aku ketika pertama kali menerima Ayie dalam hidup aku.
Melihatkan Mama Resa dan Papa Zaf, mereka lagilah parah jiwa. Yalah, anak yang dikandungkan berbulan-bulan, sukarnya nak bawa ke dunia, lepas itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang, alih-alih macam ini jadinya. Pastilah kecewa menggunung.
“So far, tahap intelektual Ayie tak terjejas langsung. Tak ada kena-mengena ingatan dia dengan penyakit dia tu. Dia cuma tak boleh nak cam rupa kita semua dan ada sikitsikit perkara itu, dia mungkin lupa. Dia masih ingat dia belajar dekat mana, kursus apa, ada keluarga tapi tak boleh nak ingat rupa. Dia ingat nama dia, siapa dalam keluarga… Itu dah kira sangat bagus, pa… ma. Yang paling menakutkan…”
Aku pandang mama dengan papa dengan air mata yang berjejer ke pipi buat pertama kalinya selepas Ayie kemalangan dan lepas dia sedar daripada koma. Rasa tak tahan apabila aku dengar sendiri Ayie cakap macam tu kepada aku.
“… Dia tanya Arya, Arya siapa lepas mama dan papa dia kenalkan diri. Dia renung wajah keluarga dia dan bila Arya dekat, dia tanya Arya siapa? Dia tak kenal langsung Arya dan dia macam tak ingat dia ada isteri. Arya dah jadi orang asing dekat Ayie…” Aku ketap bibir. “… a stranger, ma,” sambung aku.
Mata aku memandang mama dan papa. Kabur. Air mata terus menitis laju. Mama tarik aku ke dalam pelukan. Dugaan lain-lain, kata ma. Tapi, aku macam perit sangat apabila dugaan untuk aku macam ini. Sudahlah tak kenal wajah dan dia tak ingat yang dia ada aku sebagai isterinya.
“Sabar, sayang…” Mama memujuk lembut. Dia pun dah teresak-esak.
Papa mencangkung di depan aku. Mereka yang lain dah masuk ke dalam bilik Ayie. Aku dah tak sanggup nak masuk jumpa dia. Patah riuk jiwa aku apabila dengar Ayie tanya aku siapa dan kenapa aku selalu ada di sini. Macam aku ni suka menyibuk pula.
Berkali-kali aku katakan aku ialah isteri dia, dia tetap tak boleh nak terima. Dia tak membentak tapi renungannya kepada aku ternyata kosong. Tak ada nyawa. Tak ada rasa dan tak ada… cinta.
SEMINGGU.
Dua minggu.
Tiga minggu dan akhirnya hampir mencecah sebulan. Masa berlalu begitu pantas, meninggalkan aku yang terkial-kial sendiri. Ayie dah keluar hospital minggu lepas. Hanya perlu datang untuk buat rawatan susulan aje lepas ni. Urusan pengajian Ayie pun Papa Zaf dah selesaikan dengan pihak universiti. Worst come to worst, Ayie kena tangguh satu semester kata Papa Zaf tapi pada aku, worst come to worst… kami akan jadi macam orang asing.
Aku dan Ayie macam kawan biasa aje sekarang. Apabila aku temankan dia makan, hanya perkara-perkara biasa yang kami bualkan. Seperti beberapa hari lepas.
Rutin harian aku. Kejutkan Ayie bangkit menunaikan solat subuh. Siapkan pakai dan makan dia serta temankan dia hampir dua puluh empat jam sehari. Biarpun dia pandang aku macam aku ini makhluk daripada Marikh aje.
Setiap hidangan aku yang sediakan. Kata mama, setidak-tidaknya lidah dia rasa masakan aku. Apabila dah redup, matahari dah menyembunyikan diri di balik awan, aku ajak dia lepak di laman.
Masa aku temankan dia di hospital pun, dia banyak kali tanya kenapa aku temankan dia? Kenapa nak susahkan diri untuk dia? Kenapa itu, kenapa ini? Semua yang aku buat dia persoalkan. Apabila aku tak jawab, dia pun berhenti menyoal dengan sendirinya.
“Arya dah makan?”
Aku kalih sikit. Nampak Mama Resa di muka pintu dapur. Memegang sebakul pakaian kotor, memandang aku yang sedang membersihkan pinggan terakhir di dalam singki lepas makan tengah hari tadi.
“Kejap lagi, ma…” Aku senyum. “Nanti makan sambil temankan Ayie makan.”
Kami semua tahu, biarpun Ayie dah makin sihat tapi doktor memang tak bagi dia buat apa-apa kerja yang berat lagi. Sudahnya, dia banyak kurungkan diri di dalam bilik. Kadang-kadang apabila mamanya sendiri masuk ke bilik dia, dia tanya itu siapa. Tapi rasanya sejak akhir-akhir ni, dah ada berita baik. Dia dah dapat cam siapa mama, siapa papa, siapa kakak-kakak dia, daripada lenggok tubuh, rambut, suara dan bau. Aku pun dia dah cam tapi dia tetap kata dia tak boleh ingat aku. Segalanya tentang aku dia tak boleh nak ingat.
“Arya kena makan dulu. Masa makan tengah hari tadi pun, Arya tak makan. Kami aje makan. Arya kena makan, baru ada kudrat nak jaga Ayie. Kalau Arya rebah tersungkur nanti, mama dengan papa nak harapkan siapa lagi nak pulihkan Ayie?” soal Mama Resa kepada aku.
Aku menundukkan wajah. Bilasan terakhir siap. Aku tutup paip. Mengelap tangan yang basah kemudian duduk di atas kerusi di tengah-tengah ruang dapur. Sejak Ayie keluar dari hospital, mama dan papa suruh aku tinggal di rumah keluarga Ayie. Temankan Ayie. Temankan jasad yang bagaikan tak ada jiwa itu.
“Arya bukanlah tak yakin, mama… Tapi macam tak kuat.” Aku sengih mengaku apa yang ada dalam hati aku sekarang ini.
Mama Resa mendekati. Dia letak bakul baju kotor itu di depan pintu bilik air. Lepas tu dia duduk di depan aku. Menarik tangan aku lalu diramas lembut. Pandangan dia pilu. Hati aku lagilah pilu dan sebu.
“Arya kena kuat. Ayie kena tahu, Arya ialah perempuan yang temani tidur dia setiap hari. Yang berkongsi hati dan rasa dengan dia. Mama percaya hanya Arya saja boleh bantu Ayie pulih. Arya jangan macam ni. Jangan sedih, jangan tak makan…”
“Arya…” Kata-kata tu terpaksa aku telan semula apabila aku angkat pandangan, mata aku bertaut dengan mata Ayie yang entah sejak bila berdiri di muka pintu masuk ke dapur.
Mama kalih. Dia diam. Aku lagilah kaku. Rasa nak berlari peluk Ayie tapi buatnya dia membentak karang, lagilah merana jiwa aku.
“Ayie nak makan?” soal mama lembut.
Ayie angguk. Dia menapak mendekati kami. Mama tarik kerusi untuk Ayie. Sedang elok Ayie duduk, aku terus angkat tubuh lantas berpaling ke arah kabinet. Konon nak siapkan makanan, padahalnya nak sembunyikan air mata aku yang bergenang tiba-tiba.
Hati isteri mana yang tak luluh kalau suami yang dulu nakal dan merayu-rayu, tapi sekarang ni pandang isteri sendiri bagai patung bernyawa? Ada masanya aku rasa pandangan Ayie sangat jengkel terhadap aku. Boleh jadi dia rasa aku ni penyibuk. Orang tak hendak, aku pula yang tersua-sua.
“Ayie nak makan?” Aku dengar mama menyoal.
Aku hanya memasang telinga dan cepat-cepat menyeka air mata yang dekat nak menitis. Dah terlalu banyak air mata tumpah di dalam rumah ini. Aku perlu kuat. Sepertimana mama dan papa percaya, mama dan papa Ayie percaya, aku kena jadi sepertimana yang mereka yakin. Aku ini Aryana binti Mohd Mukhlis. Lahir bersama kesabaran dan kekuatan mama menghadapi dugaan.
“Ayie tahu siapa ni?”
Aku berpaling sikit apabila mendengar mama tanya soalan macam itu. Mama tepuk dada sendiri. Itulah soalan yang ditanya setiap hari dan setiap kali. Ayie pandang mamanya. Senyum tawar lalu angguk. Tak ada suara pun. Lemau aje. Tak macam Ayie yang aku kenal. Lelaki yang ghairah meraih cinta aku satu waktu dulu.
“Mana kenal? Dapat cam wajah mama?” Bergenang air mata Mama Resa bertanyakan soalan itu kepada anak lelakinya. Aku pun dapat rasa sebak itu.
Ayie geleng tipis lalu tunduk. Memegang lengan yang masih ada parut kesan daripada kemalangan itu. Kemalangan akibat kecuaian pemandu lain yang keluar simpang tanpa melihat jalan utama.
“Ayie dapat cam susuk tubuh mama dan bau haruman mama. Haruman ni Ayie ingat sejak Ayie kecik lagi, macam inilah bau mama…”
Mama Resa tekup mulut. Air matanya mengalir laju menuruni pipi. Pilu sungguh keadaan ini. Tiada siapa mengerti perasaan seorang ibu. Tangan Ayie ringan menyentuh pipi mamanya.
“Kenapa mama nangis?” Disapunya air mata mamanya.
“Mama gembira Ayie dah semakin sihat…”
“Tapi Ayie tetap tak mampu ingat wajah mama… Papa… Kakak…” bicara Ayie mati. Dia kalih memandang aku dengan pandangan itu lagi.
Kosong.
Aku tak beralih. Hanya membalas renungan Ayie. “Dan siapa dia…”
Aku tunduk mengetap bibir bawah sekuat hati. Janganlah aku meroyan, melalak, melolong masa ini. Ayie perlu diubati. Penyakit ini tak bahaya dan cara rawatannya juga mudah. Cuma tinggal ruang dan peluang yang Allah berikan saja nanti. Kalau kata Allah nak Ayie sembuh, dia akan sembuh. Kalau tidak, kami akan terus berusaha. Allah tak suka kepada orang yang putus asa.
Kami hanya perlu beritahu dia setiap hari. Minta dia cam lenggok badan, bau badan, suara, rambut dan yang paling aku nak dia cam… hati aku ni. Hati yang menjadi milik dia.
“Dia isteri Ayie…”
Ayie senyum. Tetap hambar. “Tahu… Semua orang cakap tapi…” Dia berjeda lagi.
“… macam pelik mama dan papa pilih dia…”
Apa maksud Ayie macam pelik mama dan papa dia pilih aku? Hei, dia mungkin tak ingat tapi dia kena tahu, bukan mama dan papa dia pilih aku tapi dia dah lama jatuh cinta dekat aku.
“Ayie cintakan dia daripada awal. Sebelum kami pinangkan Arya untuk Ayie…” Macam mengerti perasaan dan apa yang bermain di dalam kepala aku, Mama Resa bersuara sambil mengerling kepada aku.
“Ayie tak ingat dia, mama… Tak dapat cam langsung. Setidak-tidaknya mama, papa, kakak… Ayie dapat cam sesuatu lepas semua mengaku keluarga Ayie tapi dia…” Ayie menggeleng.
Aduh. Sakit sungguh hati aku tertusuk dengan kata-kata Ayie. Dia? Apa maksud Ayie dengan ‘dia’ tu? Dia yang dimaksudkan tu ialah aku, Aryana. Masa ini memang rasa sangat jauh. Tersangat jauh. Kami dekat, sangat dekat tapi hakikatnya kami sangat jauh dan terasing.
Sebilik, sekatil malah ada masanya sebantal tapi hanya dua jasad yang terasing tanpa rasa.
“Ayie akan cam siapa Arya. Ayie cuma perlu buat macam mana Ayie cuba cam mama, papa, Auni dan Aina… peka dengan bau, lenggok dan suara Arya. Ayie akan pulih.” Mata kami saling memandang. “Tapi, Ayie kena cuba bersungguh-sungguh. Tak boleh sambil lewa. Nanti Ayie lambat nak pulih…” Bergetar suara aku mengeluarkan katakata.
Ayie tunduk lama. “Saya takut dalam masa saya nak cuba cam tu, saya akan terus menyakiti hati awak, Aryana…” Dia panggung kepala.
Saya? Awak?
Allah… Sakit telinga aku dengar. Rasa jauh benar hubungan kami ini. Rasa orang asing sungguh.
“Ayie akan ingat dan terus cam Arya…” Aku senyum pahit dan berpaling semula. Menarik pinggan daripada kabinet atas kemudian membuka periuk nasi.
“Cuma masa yang akan tentukan,” sambung aku dalam tekak.
Air mata aku jatuh lagi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93882/tiba-tiba-dia-ada

[SNEAK PEEK] #HURT

9789670992037-medium
#HURT Oleh Rehan Makhtar

SATU demi satu pintu yang dia lepasi, tapi dia tetap keluar dengan rasa yang hampa. Bukan dia tak tunjuk sijil kursus yang dia ada tapi sijil itu begitu menakutkan orang ramai. Letih menapak, Aatiq labuhkan duduk di perhentian bas. Mencari arah mana yang patut dia tuju sekarang. Segalanya seperti jalan mati buat dia padahal dekat kawasan Greenwood ini begitu banyak restoran besar.

Penat sungguh hari ni. Semangat yang berkobar-kobar dan menyala serasa mula malap apabila permohonannya ditolak tanpa sempat diberi peluang. Dia hanya minta satu saja lagi peluang. Bukan dua tapi hanya satu.

Dia mahu mengalah. Tapi, mengingatkan wajah berharap ibu dan janjinya, semangat yang malap itu kembali bercahaya. Aatiq angkat tubuh. Dia betulkan beg yang disilang pada tubuh. Tudung yang dirasakan herot juga dibetulkan. Dia paksa dirinya untuk tersenyum.

Kuat, Aatiq. Kau dah janji dengan ibu. Kau dah buat ibu menderita tiga tahun. Kau dah buat ibu susah payah sendiri. Kau kena bayar seumur hidup kau. Biarpun nyawa kau menjadi galang ganti. Itu pun tetap tak mampu membayar segala hutang kau kepada ibu!

Tangan dikepal kemas. Menyeru segala semangat yang berbaki. Kakinya kembali diayun. Namun entah kenapa, sewaktu hendak melintas kakinya terhenti apabila ada sebuah kereta yang sedang menghampiri dia, membuatkan langkahnya teragak-agak.

Dia pandang ke depan. Lampu hijau pejalan kaki sedang berkelip. Hampir padam berganti merah. Langkah cuba dipercepatkan tapi bunyi hon menghentikan langkahnya. Saat ini lampu hijau berganti merah. Seperti nyawa dihujung tanduk yang tajam. Entah bila, dia terduduk di atas jalan raya.

Orang ramai berkerumun dan Aatiq cuba buka mata. Sikunya terasa perit. Baju kurungnya koyak di bahagian itu. Ada darah yang mengalir. Malah, tumit kasutnya juga patah. Kereta itu terlalu dekat dengan tubuhnya.

“Jo, kenapa?” Terkejut Raqib saat Johan memberhentikan kereta. Berterabur kertas yang ada di tangan.

“Errr… Macam dah terlanggar orang, bos,” jawab Johan jujur.

Tadi, daripada jauh dia memang dah nampak lampu merah itu bertukar hijau. Kerana itu dia tak memperlahankan kereta. Entah dari mana muncul gadis itu. Jantung dia mahu gugur juga.

“Rasanya tak serius. Kau keluar tengok apa yang patut. Kalau perlu, kita bawa dia ke hospital terima rawatan,” suruh Raqib.

“Lain kali peka, Jo. Ingat… Nyawa ada satu aje. Tak boleh beli dekat mana-mana dah. Hargai nyawa orang lain dan nyawa sendiri.” Sempat dia berpesan sebaik saja Johan membuka pintu.

“Ya, bos.” Pintu kembali ditutup rapat. Johan terus mendapatkan seorang gadis yang sedang cuba bangkit dan menolak bantuan orang.

“Cik tak apa-apa?” Johan bertinggung tepat di depan gadis ini.

“Ya, saya okey.” Kepala diangkat dan matanya menentang tepat pada wajah pemilik kereta itu.

Jantung yang masih tak tenang mengepam darah kembali bekerja keras. Dekat nak terduduk atas jalan sebaik saja menatap bening mata bundar itu. Liur ditelan. Sesekali, dia mengerling ke dalam kereta. Macam mana kalau bos nampak?

“Betul okey?” Johan cuba bertenang. Nak-nak apabila orang ramai mula berlalu meninggalkan mereka berdua saja.

Aatiq angguk dalam senyuman. Menghantar isyarat yang dia memang okey. Setakat luka sikit ni, biasalah. Dia pernah terima lebih teruk daripada ini.

“Itu luka?” Jari telunjuk pemandu tersebut menuding pada siku yang berdarah.

“Eh, sikit aje ni. Saya okey.” Cepat dia menutup kulit yang terdedah. Sekali lagi, dia gariskan senyuman tipis namun cukup manis.

Seusai dia menyusun semula kertas bersaiz A4 itu, Raqib panjangkan leher memandang ke arah Johan.

Hai… lama pula dia. Bercengkerama pula ke panas-panas ni?

Dia cuba mengintai dan sebaik saja tubuh Johan beralih sedikit, wajah gadis itu jelas di depan mata. Dada Raqib seperti mahu pecah. Tak berdaya dia nak tatap bibir yang tersenyum itu bagaikan tak pernah terjadi apa-apa. Sedangkan, tangan pemilik senyuman manis itulah yang merobek hati dia dengan begitu kejam.

Dia? Di depan mata? Tersenyum?

Dia menggeleng berkali-kali. Tak… Dia tak boleh senyum macam tu! Pertemuan ini tak ubah seperti pucuk dicita ulam yang mendatang. Dia tak rancang untuk hari ini, tapi gadis itu ada di depan mata sekarang.

“Jangan berani kau nak senyum, perempuan! Jangan senyum macam tu! Aku tak izinkan!” Tangannya menggenggam penumbuk. Kemas!

Tak betah duduk, dia keluar dari perut kereta dan menapak kemas mendekati Aatiq dan Johan.

“Jo?” Soalan dihantar dalam senyap.

“Tak teruk mana, bos. Tapi cik ni luka sikit.” Berdebar juga Johan apabila Raqib keluar tiba-tiba. Dan, memandang wajah Raqib saja dia sudah dapat agak apa yang bermain di dalam kepala bosnya.

Aatiq berkalih memandang Raqib. Oh, ada bos rupa-rupanya di dalam kereta. Ingat lelaki ini sendiri. Kemudian, dia ukir senyuman tipis kepada Raqib. Lantas tunduk menyembunyikan wajah. Takut dia memandang wajah lelaki kedua ini. Air wajahnya saja sudah nampak begitu bengis. Namun, begitu berkarisma. Segak malah ada rupa.

“Betul saya tak apa-apa. Jangan risau…” Entah kali ke berapa dia meyakinkan dan setiap kali itu juga dia lorekkan senyuman.

Raqib memejam mata seketika.

Jangan senyum di depan aku! Jangan senyum selamanya!

Andai dia mampu membentak menghentikan senyuman gadis di depan dia sekarang…

“Memang kau tak apa-apa tapi hati aku…” Kata-kata Raqib terhenti di situ. Kata-kata yang gadis di depan dia tak faham atau mungkin buat-buat tak faham.

Mata Aatiq memerhatikan dia dengan riak terpingapinga. Polos dan luhur pada pandangan Raqib.

“Kenapa dengan hati…” Mata Aatiq turun ke dada bidang Raqib. Laju dada itu naik turun. Kemudian dia pandang semula pada wajah Raqib.

“Kenapa dengan…”

“Jo.” Raqib memotong suara Aatiq.

“Kau tu lain kali hati-hati. Ingat sikit. Nyawa manusia ni tak ternilai untuk kau bunuh ikut suka hati kau!” Marah anak, sindir menantu. Itulah perumpaan dia sekarang.

Terkulat-kulat Johan menerima ayat Raqib kerana dia tahu, makna setiap kata itu.

“Dah… Bangun. Bawa dia ke klinik. Sekarang!” Arahan Raqib menyapa tegas.

Wajah Aatiq semakin terpinga-pinga. Dia pandang Johan dan Raqib silih berganti. Dia dah kata dia okey. Tak payah risau apa-apa. Kenapa nak desak dia ke klinik? Luka yang sedikit ini dia mampu rawat sendiri. Tak nak dia terhutang budi tambah pula dengan orang yang tak dikenali. Lagipun, dia tahu lelaki yang bernama Johan ni tak sengaja.

“Saya okey.”

“Cik, jom. Saya hantar cik ke klinik.”

“Tapi, saya memang betul-betul tak apa-apa.”

“Tolong, cik. Jangan susahkan kerja saya,” bisik Johan. Sengaja dia mengerling ke arah Raqib memberitahu Aatiq secara senyap yang dia tak boleh ingkar arahan.

Tak terkata Aatiq dibuatnya. Perkara boleh selesai di sini saja. Tak perlu dipanjangkan. Lagipun, dia hanya ada beberapa puluh ringgit berbaki setelah dia tolak duit yang ibu nak bagi pagi tadi. Jika ke klinik, berapa pula yang dia perlu bayar?

“Tapi saya…”

“Johan, cepat!” Suara Raqib mengaum lagi.

Dia sudah hilang di dalam perut kereta dan Johan terkial-kial membawa Aatiq mendekati pintu penumpang. Sempat dikerling pada kaki Aatiq yang berdengkot. Dahinya berkerut. Macam mana tak pincang langkah apabila sebelah kasut patah tumitnya. Tapi, dia hanya tahan hati biarpun belas merajai.

“Saya duk depan aje…”

“Cik boleh duduk belakang dengan bos…”

“Tapi…”

“Johan!” Sekali lagi suara parau Raqib menjerkah.

Aatiq terus masuk di belakang. Duduk memeluk sikunya yang terasa perit. Takut pula dia dengan sikap Raqib. Tapi, nak kata bukan salah dia, dia memang salah kut. Tadi, lampu hijau sedang berkelip dia teragak-agak hendak melintas.

Kereta bergerak laju membelah jalan raya yang sedikit lengang setelah waktu makan tengah hari. Raqib pula hanya memejamkan mata sepanjang perjalanan kerana dia tahu, gadis di sebelah sedang memerhatikan sisi wajahnya.

Dah kata jangan pandang, mata Aatiq tetap ingkar arahan. Masih dan terus menjeling wajah di sebelah. Kemudian, dia pandang kepada Johan. Kesian dekat pemandu ini. Mestilah akan dimarahi kerana kesilapan dia.

Tuhan…

Dugaan apalah yang sedang datang ni? Tak sanggup nak fikir. Dia mahu mulakan segalanya dengan impian baru. Dia nak kerja dengan rajin biar apa pun rezeki untuk dia. Tapi, benarlah. Orang seperti dia, jalan tak akan mudah.

Kali ini, dapat dia rasa yang lelaki di sebelah ini pula sedang merenung dia. Seboleh-bolehnya dia terus palingkan wajah ke kiri. Dia takut. Takut diapa-apakan. Kudrat apa yang dia ada untuk melawan?

Sisi wajah Aatiq dipandang tak berkelip. Dia senyum sinis sendiri. Cantik. Memang cantik. Dan, tak mungkin sesiapa pun yang menyangka gadis secantik ini rupa-rupanya berhati binatang.

“Bos, dah sampai.” Kereta berhenti di depan sebuah klinik.

Terkulat-kulat Raqib apabila Johan berpaling kepada dia dan Aatiq. Hai… lama sangat direnung wajah gadis ini sampai tak sedar mereka dah sampai ke destinasi.

“Okey, kau pergi hantar dia.” Matanya kembali dipejamkan.

Johan terus saja keluar dari perut kereta.

Mendengarkan kata-kata lelaki di sebelah, Aatiq cuba membuka pintu kereta tapi gagal. Dekat manalah dia mahu tekan. Mana dia pernah naik kereta canggih gini gaya. Banyak sangat butangnya. Silap tekan nanti…

Melihatkan Aatiq yang terkial-kial, Raqib mendekat. Bersilang tangan dengannya. Mata kuyu lelaki ini, biarpun nampak redup tapi begitu tajam menikam anak mata dia.

“Tepi…”

Aatiq rapatkan tubuh ke belakang apabila tangan kasar lelaki itu menekan satu punat. Saat ini, wajah mereka begitu rapat dan jika Aatiq tidak berkalih ke pintu, hidung mereka boleh berlaga sesama sendiri.

“Turun,” bisik Raqib tepat pada telinganya.

Laju Aatiq menolak pintu yang sudah sedia terbuka. Tapi Raqib, menghentikannya seketika. Mereka saling memandang. Mata Aatiq berkaca-kaca menahan ketakutan dan mata Raqib bagai tersenyum mengalu-alukan pertemuan mereka.

“Akhirnya, kita jumpa.” Ayat itu berbisik cukup tajam dan nyilu.

Hangat nafas Raqib menyapa ke seluruh ke wajah Aatiq membuatkan dada gadis itu bergendang laju. Seluruh tubuhnya menggigil. Hujung jarinya mula kedinginan.

Ayat Raqib tu… Menakutkan. Buat dia berfikir sejenak. Dengan siapa lagi dia berbuat salah ni? Dia tak tahu. Siapa lelaki ini? Dia mahu bertanya tapi mulutnya terkatup rapat.

Pintu kereta dibuka dari luar. Tautan renungan dua pasang mata terlerai. Johan sedang menanti dia keluar dan cepat-cepat Aatiq meloloskan diri. Getaran di dalam dada dia masih tak reda.

Kenapa lelaki itu sebegitu? Sedangkan mereka tak pernah bersua. Wajah lelaki itu tak pernah ada dalam memorinya. Lantas, kenapa ayat yang dituturkan jelas yang mereka pernah bertemu suatu waktu dulu?

Mata Raqib terpaku lama pada langkah Aatiq yang pincang. Memandang gadis itu melangkah payah dengan luka dan juga kasut yang rosak. Tak lama, dia berpaling ke depan. Andai nak dibandingkan hati dan bahagia aku yang rosak, apalah sangat kasut buruk kau tu, perempuan!

MATA Aatiq sesekali mengerling pada kereta mewah yang masih terparkir gagah di depan klinik. Tak nampak langsung isi perut kereta. Ditutup dengan cermin gelap. Boleh jadi, lelaki tadi masih merenung dia dengan pandangan yang begitu mengerikan. Pelik betul.

Pelik betul. Tak pernah dia tengok wajah itu dengan mata kepalanya. Tak pernah! Giat dia cuba dia mengorek memori lalu yang sudah ditanam dalam. Tapi, wajah itu tetap tak timbul.

“Bos awak tu, siapa ya?” Terpacul soalan itu kepada Johan yang sedang berurusan di kaunter.

“Tadi tu, memanglah salah saya tapi, kereta dia tak rosak langsung. Tambah pula, saya dah cakap saya okey. Kenapa dia tu…”

Johan hanya diam tak beri reaksi. Dia tak mampu berikan jawapan yang Aatiq mahu melainkan ditinggalkan tanda tanya di dalam kepala gadis comel itu. Tiada apa yang mampu dilakukan.

“Saya dah uruskan semuanya. Lepas ni, harap cik boleh balik sendiri. Maafkan saya sebab tak hati-hati. Jaga diri.” Langsung, Johan menghilang di balik pintu kaca itu.

“Oh, Encik Johan…”

Suara Aatiq menahan langkah Johan.

“Saya pun minta maaf kalau lepas ni Encik Johan dengan kena marah dengan bos.”

Johan hanya angkat tangan. Aatiq ukir senyum apabila tubuh Johan berlalu melepasi pintu kaca klinik. Tapi, senyumannya mati mengingatkan wajah dingin itu.

Tuhan… Siapa lagi yang dah aku lukakan hatinya?

****

IKUTKAN hati, dia suruh aje Johan lenyek Aatiq biar lunyai jasad itu tanpa mampu dapat dicam. Tapi, Aatiq tak boleh mati semudah itu. Aatiq tak boleh pergi tanpa izin dia. Dia tak akan benarkan Aatiq tinggalkan dia. Tambah pula, mati adalah satu hukuman yang cukup mudah untuk Aatiq. Sangat mudah. Sedangkan Aatiq perlu melalui penderitaan yang lebih dalam daripada dia.

“Bos?”

Raqib angkat wajah. Fail yang ada gambar dua wajah tersayang itu ditutup kasar. Dicampak ke sisi.

“Bos nak balik ofis?”

Raqib angguk. “Kau pergi balik klinik tadi. Perhatikan dia pergi mana. Apa dia buat. Setiap gerak-geri dia. Aku tak nak kau lepaskan dia walaupun sesaat. Kau ingat tu.”

“Baik, bos.” Johan angguk lagi. Dia teruskan perjalanan menuju ke tempat yang diarahkan. Tanpa bantahan walaupun sepatah.

Sebaik saja kelibat Johan hilang, kaki Raqib melangkah ke dalam pejabat yang sepi. Rasa terkejutnya masih belum reda apabila dipertemukan Aatiq dengan cara yang dia tak sangka. Tak mampu dia bayangkan jika kakinya yang menekan minyak dan tangan dia yang mengendalikan stereng, masih hidupkah Aatiq?

Daun pintu ditolak kasar. Tubuh sasanya dihempas di atas sofa kulit berwarna putih. Sebuah fail di atas meja kopi dicapai. Dibelek perlahan. Wajah Aatiq terlayar lagi di depan mata. Masih ada perkara tentang Aatiq yang dia tak tahu dan sekarang adalah masanya untuk dia korek segalanya tentang Aatiq. Tentang lelaki yang ada dalam hati gadis itu. Yang menjadi penyebab kepada segala kesengsaraan. Biarlah keseronokan dia berterusan dan ternoktah pada waktu yang sepatutnya.

Tangisan…

Kekecewaan…

Kekesalan…

Kemarahan…

Semuanya masih bermaharajalela di dalam dada hingga ke hari ini. Tidurnya tak pernah lena apabila telinga dia masih lagi terdengar jerit sakit adik tercinta. Mata dia macam nak buta melihatkan kemurungan arwah mama.

Ditambah berat beban di dalam dada apabila saat kepergian Raisya, dia tiada di sini. Lebih dua belas jam, baru dia tiba di tanah air. Saat itu, hanya ada tanah merah menutup jasad kaku Raisya. Melihatkan mama yang bersedih, dia perlu kuatkan hati tapi apabila mama mengikut jejak Raisya, kesedihan dia menjadi nanah yang busuk.

Penumbuk dikepal kemas.

“Kau tak akan tenang lepas kau renggut tenang aku! Tak mungkin!”

Dia nampak jelas ketenangan pada wajah itu. Sesekali, terasa damai jiwa menatap bening mata bundar yang sedikit merah dan berair. Tapi, wajah itu jugalah yang mahu dia carik biar rosak.

Sejam lebih masa berlalu, telefon bimbitnya bergetar. Raqib menyeluk poket seluar dan terus dilekapkan telefon ke telinga.

“Ya, Jo.”

“Dia tengah cari kerja, bos. Lepas dia keluar dari klinik, dah dua tiga buah kedai dia masuk. Nampak macam dia keluar masuk ke beberapa buah restoran berdekatan.”

Kening Raqib berkerut. Restoran?

“Dalam keadaan sakit?” tanya Raqib tapi Johan tak bagi jawapan. Hanya nafas tenang Johan sudah cukup menjadi jawapannya.

“Dia nak jadi waitress gamaknya?”

“Tak pasti, bos,” jawab Johan gagap. Jarang dia menjawab begitu kerana dia tahu, Raqib hanya mahukan jawapan yang tepat.

“Cari kepastiannya, Jo. Aku tak pernah suka jawapan tak pasti!” Talian dimatikan. Raqib campak telefon di atas meja.

Sebuah lagi fail dicapai. Laporan pendapatan rangkaian restoran milik keluarganya dicapai. Ditatap lama. Apa langkah yang patut dia buat sekarang? Kedua-dua belah tangan ditekup pada kiri dan kanan kepala.

Dua kelopak mata tertutup – namun, dicelahnya terbit juga air mata.

SEBOLEH-BOLEHNYA, dia tak nak tayang wajah kecewa tapi beberapa hari ini memang emosi itu yang menguasai diri. Biarpun dia tersenyum lebar di depan ibu, tapi hati dia milik ibu. Ibu yang melahirkan dia. Ibu lebih kenal dia. Sekali pandang saja, ibu dah dapat agak apa yang terjadi.

“Sabarlah, nak. Bukan Aatiq tak cuba langsung.” Bahu Aatiq digosok perlahan. Tahu sangat apa yang bermain dalam hati anaknya sekarang.

Sehari dua ni, Aatiq senyum terpaksa. Makan pun nampak tak berapa berselera. Kerap juga dia nampak Aatiq termenung apabila sendiri.

“Lagipun, simpanan ibu ada lagi.”

Wajah ibu dipandang. Itulah yang dia tak nak. Terpaksa susahkan ibu sampai ke sudah. Bila nak berakhir derita ibu dengan keadaan dia?

“Aatiq…” Sebak memalu dada hingga tak mampu untuk dia berbicara. Mata dipejam seketika mendamaikan kegelisahan yang semakin menjalar dari hari ke hari.

“Aatiq ni tak sudah-sudah susahkan ibu, kan?” soalnya.

Anak matanya berair. Wajah cantik ibu direnung penuh kasih. Laju tangannya naik merayap pada pipi ibu yang mula nampak berkedut. Seiring dengan usia dan kerja keras. Tapi, pada matanya ibu selamanya akan kekal jelita.

“Kalaulah Aatiq sabar sikit…” Bukanlah dia mahu menafi takdir. Dia hanya salahkan diri sendiri.

“Aatiqqq,” seru ibu panjang. Mencantas kekesalan Aatiq yang begitu jelas.

“Kesal tu bagus, nak. Tapi, tak ada apa nak dikenang benda yang dah lepas. Aatiq pun manusia biasa.

Bukan calang-calang manusia boleh bertahan sabar. Kita ni manusia lemah, Aatiq. Sentiasa kalah. Hanya kepada Allah ajelah Aatiq perlu minta kesabaran tu. Doa banyak-banyak moga segalanya mudah untuk Aatiq. Benda dah jadi, tak ada siapa boleh sangkal. Yang penting sekarang, Aatiq kena terima segalanya dengan tabah hati dan baiki diri untuk jadi lebih baik hari ni dan seterusnya,” pujuk ibu lembut.

Hampir setiap malam Aatiq diganggu igauan yang begitu ngeri gamaknya. Tak tahulah apa yang muncul dalam mimpi anaknya, dia tak mampu nak duga. Namun, setiap kali itu Aatiq pasti menangis dan pasti berjaga, duduk di atas sejadah hingga ke subuh. Saat itu, tak berdaya dia untuk mencelah bicara Aatiq dengan Kekasih Agung. Lantas, dibiarkan saja Aatiq mencari ketenangan.

“Ibu tahu Aatiq masih ingat dan rasa ibu, Aatiq tak mungkin lupa. Macam mana pun… cubalah, nak. Pasal kerja tu jangan duk risau sangat. Rezeki ni Allah milik Allah dan dia akan bagi kepada sesiapa yang berusaha dan meminta kepada Dia. Ibu nak Aatiq tahu… Aatiq tak sendiri dalam dunia ni. Mana pun Aatiq pergi, ibu sentiasa ada di belakang.” Mak Yam mengucup dahi Aatiq lama. Memujuk Aatiq adalah satu-satunya perkara yang dia boleh buat sekarang selain doa.

Kucupan dan nasihat ibu adalah penawar. Aatiq paut lengan ibu dan melentokkan kepalanya di atas bahu ibu. Benar kata ibu. Dia tak mungkin lupakan. Dan, dia juga dah janji kepada diri untuk hidup sebagai hamba yang paling hina di dalam dunia ini. Dia tak layak untuk senyum jauh sekali ketawa. Malah, tak berhak marah apabila dizalimi kerana dia telah lama menzalimi diri sendiri.

“Aatiq cuma harap ada sikit rezeki untuk Aatiq demi menjaga ibu,” ujarnya separa berbisik. Tangan ibu yang sedang melipat kain dipandang. Tadinya, dia yang lipat kain tapi sekarang, ibu dah ambil alih.

“Ni siku Aatiq yang berjahit tu dah okey ke?” soal Mak Yam mengubah arah perbualan.

Tubuh Aatiq tegak. Dia selak penuh hati-hati kesan tiga jahitan di bawah pangkal siku. Taklah teruk mana. Bila ibu lihat dia cepat-cepat turunkan lengan baju hingga ke pergelangan tangan.

“Terima kasihlah dekat orang yang tolong Aatiq tu. Dia dah buat baik, moga Allah balas kebaikan dia dengan kebaikan.” Ibu senyum dan disusun hasil lipatan bersama dengan apa yang Aatiq lipat tadi.

Minda Aatiq berundur ke belakang seketika. Wajah beku itu muncul di dalam kepala. Ayat terakhir itu masih lagi berdengung. Mengerikan. Kemudian, dia pandang semula kepada ibu. Lama. Hingga dia mula mengagak yang bukanbukan. Tapi, kemungkinan itu tetap ada. Biarpun ibu larang untuk dia imbau segalanya tapi dia perlu sebagai perisai diri yang ampuh agar tak terjerumus ke dalam lembah hitam yang sama untuk kali kedua.

Dia cuba korek semua ingatan lepas namun sayang, memang wajah itu tiada dalam memorinya. Atau, sebahagian memorinya sudah lupus? Jika ya, dia ialah manusia yang paling bersyukur kerana memori yang ada ini begitu membebankan hingga kini.

“Bu.”

“Erm…”

“Masa Aatiq tak ada dekat rumah, ada tak lelaki datang cari Aatiq?” Manalah tahu, ibu terlupa ke. Tiga tahun bukan masa yang singkat untuk ibu ingat semuanya.

“Hah?” Berkerut dahi Mak Yam. Tak paham pula dia dengan pertanyaan Aatiq ni.

Aatiq ada teman lelaki ke? Seingat dia ada seorang saja kawan lelaki yang pernah Aatiq cerita. Tapi, sekadar kawan biasa. Nama pun dia dah lupa siapa.

“Kawan Aatiq ke?”

Apabila Aatiq menggeleng, muncul beribu tanda soal di dalam kepala Mak Yam.

“Kalau bukan kawan, kenapa dia perlu cari Aatiq?”

“Itulah…” Dia sendiri juga pelik. Suara parau itu bergema tak henti-henti di dalam kepalanya. Aatiq tunduk memandang tikar buluh yang sudah nampak lusuh. Tangan terus membantu ibu menyusun lipatan.

“Sepatutnya dia tak kenal Aatiq sebab Aatiq tak pernah kenal dia. Aatiq tak pernah ingat wajah dia. Aatiq…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79838/hurt