[SNEAK PEEK] PERGI

PERGI Oleh Syima Syawal

DIA terjaga lagi untuk ke sekian kali mimpi ngeri itu mendatanginya. Sungguh dia benci apabila mimpi itu mengisi malam-malamnya. Mengapa tidurnya tidak pernah aman seperti orang lain? Dia mahukan ketenangan seperti orang lain. Sangat indah hidup mereka tanpa perlu menghadapi mimpi-mimpi ngeri.

Dia memejamkan mata, cuba mengusir gambaran mimpi itu. Benci! Ya, itulah yang dia rasa sekarang ini. Kebencian itu tidak pernah pudar. Kerana kebencian itu juga dia terhumban jauh daripada keluarga.

Air mata… Saat ini pasti ia menjadi peneman setia. Ia seakan-akan sudah sebati dalam jiwanya. Dia pasrah. Setelah lima tahun berlalu, dia tidak mampu lagi mengusir kenangan silam. Andai masa itu dapat diubah kembali, pasti ia takkan terjadi. Ya… Itulah khilafnya yang paling tidak mampu dimaafkan oleh diri sendiri.

“Maafkan Awiyah, abah… emak…” Sesungguhnya rindu ini tidak pernah padam.

Kenangan lima tahun lalu menggamit lagi…

“Anak kurang ajar! Ini balasan yang kau berikan dekat aku?!” jerkah abah.

Malam itu bagaikan malam petaka buat keluarganya. Dialah yang menjadi puncanya. Abah yang sangat menjaga nama baiknya terpaksa berputih mata apabila dia mencemar nama yang selalu meniti di bibir penduduk kampung. Abah seorang yang dihormati. Abah tidak pernah culas pergi ke masjid, malah abah juga banyak membantu penduduk kampung.

Abah merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Bekas leftenan kolonel itu sangat tegas dan pantang apabila anak-anak melakukan kesalahan apatah lagi kesalahan yang dia lakukan sangat besar.

Tubuh kecilnya terpelanting di sudut rumah. Ibu pula hanya mampu menangis. Nenek juga begitu. Dia merupakan cucu kesayangan nenek, namun nenek hanya mengunci mulutnya. Matanya juga tertutup rapat. Apa yang dia nampak, nenek sedaya upaya tidak mahu menoleh ke arahnya.

Ketegasan abah tiada siapa yang boleh tegah. Abah buat benda yang betul. Abah takkan marah tanpa sebab. Abah bukan orang yang tidak ada otak!

Ya! Dia yang bodoh. Dia yang terlalu ikutkan kata hatinya. Dia yang tidak pernah mahu ikut kata abah. Dia juga anak yang tidak berguna!

“Maafkan Awiyah, abah…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.

“Maaf kau kata? Apa lagi yang kurang abah bagi dekat kau?! Abah hantar kau belajar agama, mengaji, semuanya abah dah berikan!” Sekali lagi badannya dibalun dengan rotan.

Untuk sekian kalinya dia menjerit. Tetapi jeritannya hanya dia sendiri yang dengar. Dia menggigit kain sekuat hati. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain mendengar jeritannya walaupun rumahnya agak jauh dari rumah orang lain. Dia tidak mahu mencemarkan lagi nama baik abah. Cukuplah… Cukuplah apa yang dia sudah buat selama ini.

“Siapa jantan tu? Cakap dengan aku!” Suara halilintar abah membuatkan jantungnya bagaikan mahu luruh. Dia sudah tidak berdaya lagi. Hanya gelengan sahaja yang mampu diberikan.

“Kau nak simpan lagi jantan keparat macam tu, hah?!” Kali ini tangan kasar abah melekat di pipinya. Tubuhnya terjelepok ke dinding. Kepala pula terhantuk kuat.

Dia sudah tidak berdaya lagi hendak bangun. Dia juga tidak berdaya menyuarakan kekecewaannya. Dia tidak mampu lagi. Dia menangis tanpa henti. Lelaki durjana itu telah pergi meninggalkan dirinya setelah mengetahui dirinya mengandung. Berita yang cuba dia sampaikan itu tidak sedikitpun membatalkan niat lelaki itu yang mahu meninggalkan bumi Malaysia kerana hendak mengikut rancangan ayahnya. Itu kata lelaki itu. Hakikatnya dia tahu lelaki itu hanya memberi alasan sahaja. Perbualan melalui telefon itu cukup meragut semua impiannya. Lelaki itu sangat kejam!

“Tolonglah Dee… Awiyah mengandung anak kita. Jangan buat Awiyah macam ni. Tolonglah… Awiyah merayu kepada Dee… Awiyah betul-betul cintakan Dee.” Rayuannya tidak diendahkan. Lelaki itu dayus!

“Awiyah… dengar sini. Dee terpaksa pergi. Semuanya demi masa depan Dee. Keluarga Dee telah aturkan. Malam ini Dee akan bertolak. Maafkan Dee… Tolong gugurkan saja kandungan itu. Kita masih muda. Dee tak sanggup menanggung bebanan itu. Selamat tinggal, Awiyah.” Talian terus diputuskan.

Apa yang perlu dia katakan lagi? Dia tidak mampu hendak memaksa lelaki itu bertanggungjawab. Ya… Inilah bahananya kalau ikutkan nafsu. Akhirnya, hanya dia seorang yang menanggung semuanya.

“Kau tak ada mulut ke? Beritahu aku siapa orangnya?!” Abah memaksa lagi.

Rabiatul Adawiyah membalas dengan gelengan. Abahnya yang bagaikan telah dirasuk melibas belakang anak gadisnya lagi… dan lagi… dan lagi…

Rabiatul Adawiyah menyembamkan wajahnya di dinding. Suara tangisnya tidak mampu keluar lagi. Yang ada hanya kudrat melawan rasa sakit itu.

“Ampunkan Awiyah, abah…” Suaranya makin perlahan. Libasan terakhir menyebabkan dia terus rebah ke lantai. Dia tidak sedarkan diri.

 

“AWIYAH…” Suara nenek perlahan tapi cukup menghibakan hatinya.

Rabiatul Adawiyah cuba membuka mata, namun rasa payah. Mahu bangun, kudratnya kian lemah. Dia sudah tidak berdaya.

“Nek, maafkan Awiyah. Awiyah berdosa kepada nenek… Kepada abah… Kepada emak… Maafkanlah Awiyah, nek…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.

Nenek yang sememangnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan memeluk tubuh cucunya seerat mungkin. Gadis itu pula sedaya upaya menahan rasa sakit. Belakangnya rasa sakit yang teramat. Dia menangis semahunya di dalam dakapan nenek.

“Kenapa Awiyah buat kami macam ini, sayang?” soal nenek.

Mungkin nenek terkilan. Ya… Siapa yang tidak terkilan apabila orang yang menjadi harapannya kini telah menconteng arang ke mukanya? Siapa yang tidak kecewa?

“Awiyah berdosa, nek. Ampunkan Awiyah, ya nek?”

Esak tangisnya memenuhi ruang kamar itu. Tubuh yang lemah itu membataskan pergerakkannya. Sebenarnya dia tidak mampu untuk bangun.

“Mari nenek siapkan Awiyah,” pujuk nenek.

Itulah perangai nenek. Walaupun nenek kecewa, nenek sedaya upaya cuba melayan cucunya itu seperti dahulu. Nenek tidak pernah berubah.

“Kita nak pergi mana, nek?” soal Rabiatul Adawiyah perlahan. Tiba-tiba dia terbayang mahu lari dari situ. Namun begitu, dia dapat rasakan bukan itu rancangan nenek.

“Awiyah… nenek harap Awiyah tak ada sebarang bantahan. Ikut saja apa yang abah rancangkan. Ini semua untuk kebaikan kamu juga,” pujuk nenek.

Gadis itu dapat rasakan abahnya punya rancangan sendiri. Ya… Dia tidak lagi berdaya mahu membantah. Dan dia juga bukan diajar untuk kurang ajar atau membantah apa sahaja kehendak orang tua. Dia tidak mahu lagi dilibas dengan rotan. Rasanya dia tidak mampu untuk menahannya.

“Sepatutnya kau perlu dihukum dengan hukuman hudud!” Rabiatul Adawiyah teringat akan kata-kata abah.

Ya! Mungkin abah lupa, hukuman hudud itu lebih baik daripada rotan yang abah balun ke tubuhnya. Hukuman hudud tidak sekejam ini. Cara angkat tangan sahaja tidak boleh diangkat sehingga ke paras kepala abah atau dengan lain perkataan, abah tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya. Bukan balun sampai pengsan! Bezanya, ia perlu dilaksanakan di hadapan orang ramai supaya mendatangkan keinsafan kepada pelaku dan orang yang melihatnya. Hukuman hudud sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara Islam. Hukuman itu telah termaktub dalam al-Quran. Sebat sehingga seratus kali untuk orang yang belum berkahwin.

Kini Rabiatul Adawiyah sudah bertaubat nasuha. Dia takkan ulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Dia bersungguh-sungguh berjanji kepada dirinya. Lagipun dia melakukan perbuatan itu hanya sekali dan tidak sangka ia menjadi benih di dalam rahimnya.

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Ya Tuhan, lindungilah aku, bimbingilah aku… Aku tidak mahu menghampiri zina lagi. Bantulah aku, Ya Allah.” Rabiatul Adawiyah mengungkapkan kata-kata itu untuk kesekian kalinya.

“Mari nenek bantu Awiyah tukar baju.” Lembut suara nenek.

Sebak dadanya melihat kepayahan nenek cuba mengangkat tubuh cucunya yang sudah keras. Dia bagaikan telah menjadi batu. Tangan, kaki dan seluruh tubuhnya menjadi kejang. Ya Allah, adakah aku sudah mendapat balasan daripada-Mu? bisik hati Rabiatul Adawiyah.

“Nenek…” Rabiatul Adawiyah menangis lagi.

Nenek mengesat air mata cucunya lalu menggeleng perlahan. Rabiatul Adawiyah akur. Dia tidak perlu berkata apa-apa lagi. Dia hanya perlu mengikut. Ya, mengikut apa sahaja kehendak mereka.

Setelah bersiap, dia dipimpin oleh nenek keluar dari bilik. Dia tidak ubah seperti mumia hidup, berjalan kejang tangan. Kaki juga agak terbatas pergerakkannya. Rasa sakit dan bisa cuba ditahan. Hanya air mata menggambarkan keadaannya kala itu.

Di ruang tamu, tiada sesiapa di situ. Tiada kelibat abah, emak mahupun adik-adik. Dia tidak tahu ke mana mereka pergi. Nenek menarik tangannya lagi. Sampai di pintu, dia melihat kereta abah ada di halaman rumah. Dia cuba menarik tangan nenek pula. Kepala digeleng.

“Awiyah nak jumpa dengan mak dan abah. Awiyah nak minta ampun.” Rabiatul Adawiyah cuba merayu. Nenek menggeleng.

“Sudahlah tu. Mari kita pergi,” pujuk nenek.

Rabiatul Adawiyah masih enggan. Dia berdiri sahaja tanpa mahu mengikut langkah nenek. Sekali lagi nenek memujuk.

“Mereka tak mahu jumpa kamu.”

Jawapan nenek itu membuatkan kepala Rabiatul Adawiyah berpinar-pinar. Tidak disangkanya begitu sekali kemarahan abah dan emak. Sedikitpun tidak mahu melihat pemergiannya. Dia tahu semua itu rancangan abah. Abah tidak mahu melihat dirinya berada di rumah itu lagi. Biarlah dia mati sahaja daripada terus hidup dibenci orang.

“Nek… bunuh saja Awiyah, nek. Awiyah tak mahu hidup lagi. Buat apa Awiyah hidup kalau abah dan emak dah tak nak tengok muka Awiyah lagi? Awiyah tak sanggup nak menempuh semua ini,” rintihnya.

Tidak semena-mena pipinya ditampar oleh nenek. Mata nenek mencerlung. Dia terdiam. Tangisnya juga turut terhenti sama. Wajah bengis nenek itu tidak mampu dipandang lama.

“Nak sangat mati tanpa bertaubat? Dahlah buat dosa besar, nak tambah lagi dosa besar yang lain? Ke mana perginya otak kamu?” leter nenek.

Rabiatul Adawiyah teresak mendengar kata-kata neneknya. Kejamnya aku kepada diri sendiri. Mengapa itu yang aku fikirkan? Aku terlalu mengikut bisikan syaitan, kutuk Rabiatul Adawiyah dalam hatinya.

Sabda Nabi SAW: Dan sesiapa membunuh dirinya dengan suatu cara, maka dia akan diazab dengan cara itu pada hari kiamat. (HR Bkhari dan Muslim).

Nenek menghantar Rabiatul Adawiyah sehingga ke jalan luar. Kemudian dia menaiki sebuah teksi yang sudah sedia menanti. Nenek telah memberi arahan kepada pemandu teksi itu yang juga seorang mualaf dan sangat amanah dalam kerjanya. Pemandu teksi itu juga sangat dipercayai oleh abah.

Dan itulah kali terakhir dia berada di kampung. Pemergiannya membawa segala duka lara yang tiada hentinya. Pernah sekali dia cuba jejakkan kakinya ke kampung halaman yang amat dirindui itu. Namun ketika itu, sudah ada suara-suara sumbang mengenai keluarganya.

Terdamparlah dia di sini keseorangan. Dia menjadi musafir yang dahagakan kasih sayang. Dibuang dalam keluarga mulia itu. Dia faham… Dia cuba menjadi orang yang tabah. Beginilah nasibnya. Setelah dia keluar dari rumah pelindungan, dia hilang arah. Pelbagai pekerjaan terpaksa dia lakukan. Namun dia masih ingat pesan ustaz dan ustazah yang mengajarnya ketika dalam pusat pemulihan itu… Jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang menghampiri maksiat.

Itulah peristiwa yang menyebabkannya menjadi anak terbuang. Suka duka dia tanggung sendiri. Namun dia punya misi. Dia perlu mencari anak kandungnya. Dia takkan mahu lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang melahirkan anak itu. Kerana itulah dia sanggup berpindah-randah. Pencariannya masih belum berakhir. Dia akan menoktahkan pencariannya itu seandainya dia ditemukan dengan anaknya nanti.

 

****

“Abang…”

Syakri tersengih.

Saat itu hanya renungan mata sahaja yang berbicara. Mereka tersenyum, lantas jantung turut menari sama. Berdegup setiap kali mata bertamu.

Malam itu mereka memanfaatkan masa bersama-sama. Menonton wayang di rumah. Bosan menonton mereka bermain pula.

“Jom kita main dam,” kata Rabiatul Adawiyah. Kening Syakri bertaut.

“Dam apa?” Sudah agak lama dia tidak bermain dam.

“Dam ular.”

Syakri ketawa terbahak-bahak. Dalam banyak-banyak permainan, dam ular juga yang dipilih oleh isterinya.

“Abang ni… Gelak… Gelak… Orang seriuslah. Jomlah main dam ular. Saya tau main dam itu aja,” rayunya.

“Mana nak dapat dam ular tu?” Syakri berhenti tertawa. Dia memandang wajah isterinya.

“Sekejap eh, saya ambilkan.” Melongo Syakri dibuatnya. Dia ada beli dam ular ke?

Tidak lama kemudian, isterinya kembali semula dengan membawa dam ular. Rabiatul Adawiyah membentangkan dam itu di hadapan suaminya.

“Bila sayang beli?” soal Syakri pelik.

“Memang saya simpan dah lama. Kalau boring-boring dengan Karmah, kami main dam ularlah. Seronok apa. Jomlah kita mula.”

Syakri mengangguk.

“Sayang lontarkan dulu buah dadu tu,” pintanya. Rabiatul Adawiyah melontar buah dadu yang ada di tangannya. Sekali lontar dia sudah dapat nombor enam. Setelah itu dia lontar sekali lagi, dia anjakkan buah damnya. Fuh! Selamat, tidak perlu dia turun ke bawah semula.

Kini giliran Syakri. Pada peringkat awal dia berjalan dengan baik. Kemudian dia mula asyik turun dan kena tendang saja.

“Alah, mana boleh. Asyik kena turun aja. Sayang main mengelat. Tak ada… Abang tak kira. Kali ni abang tak nak turun-turun lagi,” kata Syakri setelah dia tidak berpuas hati dengan nasibnya.

Rabiatul Adawiyah tergelak. Tahupun. Ingat main dam ular ni tak mencabar ke?

“Alah, bosanlah main ni…” kata Syakri. Dia baring semula di atas sofa. Rabiatul Adawiyah mentertawakan dirinya. Cepat sangat bosan dengan permainan itu. Dia turut merebahkan tubuhnya di sebelah Syakri.

“Sayang yakin tak nak Amsyar tahu siapa diri sayang yang sebenarnya?” soal Syakri. Dia menopang dagu. Tubuhnya menghadap ke arah Rabiatul Adawiyah.

“Biarlah dia besar dulu, bang. Saya takut ganggu fikiran dia. Tapi saya bersyukur, saya tahu siapa yang jaga anak saya. Malah saya yakin Kak Su akan jadikan dia seorang tahfiz suatu hari nanti. Insya-Allah…” jawabnya sambil tersenyum.

“Insya-Allah… Tak sangka, Amsyarlah yang sayang cari selama ni. Dan yang lebih tak sangka ialah emak. Selama mana dia menolak, rupa-rupanya cucu yang dia dakap itulah orangnya,” kata Syakri.

“Amsyar budak yang baik macam Abi Aki dia… Abi Aki yang bertanggungjawab… Abi Aki yang sangat prihatin. Umi Amsyar sayang sangat dekat Abi Aki ni…” Tangannya menyentuh pipi suaminya. Syakri tersenyum.

“Kerana umi dia juga seorang yang baik…” Mata mereka terus merenung antara satu sama yang lain. Perlahan jari Rabiatul Adawiyah memegang kening Syakri. Kemudian hidung dan bibir. Dia tersenyum.

“Abang ada sesuatu untuk sayang.” Syakri bangkit. Dia menuju ke sudut di mana dia menggantung begnya. Rabiatul Adawiyah bangkit. Dia menegakkan tubuhnya. Syakri kembali menghampiri isterinya.

“Nah, hadiah bulan madu kita…” Syakri menghulurkan sepucuk sampul surat. Rabiatul Adawiyah membukanya. Matanya membesar.

“Abang?!” Rabiatul Adawiyah sangat terharu.

“Sayang suka?”

Laju sahaja dia mengangguk.

“Terima kasih, abang…” Dia memaut lengan suaminya. Tidak sangka mereka akan ke Mekah tidak lama lagi. Syakri akan membawa kedua-dua ibu bapanya serta kedua-dua ibu bapa mentuanya. Bulan madu mereka diiringi kasih sayang mereka berempat.

“Sama-sama… Untuk sayang, abang sanggup buat apa saja kerana sayang pelengkap hidup abang,” ucap Syakri.

Rabiatul Adawiyah semakin terharu. Abang juga… pelengkap hidup saya, ucapnya dalam hati. Bibir bergetar, namun suara tidak mampu dilontarkan. Terima kasih, Allah… kerana perancangan-Mu lebih hebat daripada segalanya.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79458/pergi

Sejenak Bersama Rehan Makhtar

Antara karya Rehan Makhtar

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal, Rehan Makhtar.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang Rehan Makhtar, readers boleh ikuti perbualan kami di bawah.

Siapa yang memberi inspirasi untuk Rehan Makhtar menulis?

Biasanya saya mendapat inspirasi dan idea daripada sekeliling.  Ada tu daripada pengalaman betul.  Yang dah jadi pada diri sendiri, keluarga, kawan-kawan atau sesiapa saja yang saya yakin boleh dijadikan pengajaran pada orang lain.  Biasanya, asasnya saja.  Selebihnya hanya rekaan.  Paling penting sebab saya suka berangan… kot.

Apa makanan kegemaran Rehan Makhtar?

Saya suka makan apa aje.  Janji sedap.  By th way, ada ke orang suka makanan tak sedap?

Siapakah penulis kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Saya tak ada penulis kegemaran.  Cuma, terkini saya ada baca novel-novel tulisan James Dashner dan beberapa buah buku tulisan Aidh Abdullah Al-Qarni.

Apakah novel kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Tak ada kot

Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada.  Saya tak reti bela binatang.  Masa sekolah pernah bela ikan emas.  Dua hari, dah mati ikan tu.  Ada jugak seekor kucing warna kuning yang comel.  Satu hari, bila kucing tu mati, saya rasa kehilang.  Jadi, sejak tu saya tak bela apa-apa lagi.

Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Rehan Makhtar mahu pergi dan mengapa?

Iceland.  Sebab hari tu ada tengok Al Hijrah.  Rancangan Dengan basikal aku menjelajah.  Jam 11 malam dekat sana, masih terang macam 11 pagi.  Jadi, teringin nak laluinya.

Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Rehan Makhtar? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Sebuah manuskrip (tak jadi novel lagi) yang dah lima tahun saya usahakan.  Harap, hasil lima tahun tu berbaloilah.

Apakah pesanan Rehan Makhtar kepada pembaca di luar?

Moga setiap susunan aksara saya membawa kebaikan pada anda semua.  Yang baik, sebarkan.  Yang buruk, kita kekang.

Pada pandangan Rehan Makhtar, apa istimewanya novel Rehan Makhtar berbanding novel lain di pasaran?

Tak ramai kot orang tulis cerita-cerita sedih sekarang.   Hahaha.  Entahlah.  Mungkin genre yang saya bawak  tu kot boleh jadikan novel-novel saya sedikit istimewa pada pembaca saya dan saya sendiri.  Tidaklah saya bandingkan dengan novel orang lain yang lebih hebat.  Haruslah saya masih pada tahap biasa.

Dari mana Rehan Makhtar dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Daripada apa yang saya lihat.  Tak kisahlah daripada sumber apa.  Media, mata sendiri.  Atau yang saya lalui sendiri.  Orang akta, pengamalan itu sesuatu yang berharga.  Guru yang paling bagus adalah pengalaman.  Betul tak?

Apa rutin harian Rehan Makhtar? Ada yang rare tak?

Tak ada apa.  Rutin biasa.  Pergi kerja, balik kerja.  Masak. Kemas rumah.  Masuk bilik kerja.  Menulis.  Atau buat kerja ofis.  Memang biasa.  Tiada yang luar biasa.

Apa nasihat Rehan Makhtar kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Tulislah sesuatu yang baik.  Kerana setiap susunan aksara kalian dihisap.  Esok-esok bila kita dah tak ada dalam dunia ni, moga hasil tulisan kita tu dapat bantu kita.  Tak banyak, sedikit pun jadilah.  Biarpun kita masih tak baik (nak kata jahat kejam sangat pulak), setidak-tidaknya kita tak ajak orang berbuat kejahatan melalui hasil tulisan kita.  Jahat ni bukan hanya merompak atau bunuh orang.  Jahat zaman baru ni, ada pelbagai.  Kalian faham apa yang saya cuba sampaikan.

Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Rehan Makhtar kuasai?

Tak ada.  Mungkin Bahasa Korea kot.  Bahana tengok drama korea dan dengar lagu2 korea kot… Tak elok sangat benornya.  hehehe.

Kami harap Rehan Makhtar akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Rehan Makhtar,

Lebih banyak eBook boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_44141_rehan-makhtar/~

[SNEAK PEEK] MR FUSSY OR MR COOL

MR FUSSY OR MR COOL Oleh Lieya Leza

“TAK guna!” geram Aryana sambil melemparkan beg tangan ke arah katil. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Perempuan tu memang tak serik-serik. Berani dia kembali kepada Zharif semula,” geram Aryana lagi. Dikepalkan tangan sambil menahan kemarahan dalam hati.
“Yana,” tegur Dato Yazir dari arah muka pintu bilik.
Aryana menoleh. Wajah Dato Yazir menyapa mata.
“Kenapa dengan anak papa ni?” tegur Dato Yazir sambil melabuhkan duduk di birai katil. Matanya menatap wajah tegang Aryana.
“Zharif!”
“Zharif? Kenapa dengan Zharif?”
“Zharif dah berbaik semula dengan perempuan tu. Yana tak suka!”
“Macam mana Yana tahu yang Zharif dan Dhieya dah berbaik semula?”
“Hazyrul! Yana terserempak dengan dia tadi.”
Dato Yazir menghela nafas berat. Wajah Aryana masih menjadi tatapan mata. Kenapa Aryana masih mengejar Zharif? Sudah berkali-kali dia menasihati, tetapi nasihatnya itu dipandang sepi oleh Aryana. Bagaimana untuk menyedarkan Aryana bahawa Zharif milik Dhieya Amiera dan bukannya Aryana Natasya?
“Yana tak suka! Yana nak hapuskan perempuan tu.”
“Sudah-sudahlah, Yana. Buat apa Yana nak rosakkan hubungan Zharif dengan Dhieya? Yana tak sedar lagi apa yang Yana dah buat dahulu dekat Zharif dan Dhieya? Yana fitnah Dhieya sehingga mereka berdua berpisah. Yana tahu tak dosa memfitnah tu lebih berat daripada dosa membunuh?” tegur Dato Yazir dengan tegas.
Kepalanya digeleng perlahan mengingati kesemua perbuatan anaknya itu. Rasa berdosa kerana tidak berjaya mendidik Aryana sebaik mungkin.
“Yana tak peduli. Yana tak nak mereka bahagia atas kedukaan Yana.”
“Untuk kali ini, dengar cakap papa. Papa tak nak Yana menyesal kemudian hari.”
Aryana mendengus kasar. Tanpa membalas, beg tangan dicapai lantas beredar dari bilik itu. Dia perlu berhadapan dengan Zharif dan Dhieya. Selagi hatinya tidak tenteram, selagi itulah dia akan mencari jalan untuk memutuskan hubungan Zharif dengan Dhieya.
“Yana nak ke mana?” tegur Dato Yazir sebelum kelibat Aryana menghilang.
“Yana nak buat perhitungan dengan Zharif dan Dhieya!” laung Aryana dari luar bilik.
Dato Yazir hanya mendengar. Keluhan berat terlepas dari bibir untuk kesekian kali. Sukar untuk menasihati Aryana. Hanya doa yang mampu diberikan agar pintu hati Aryana terbuka untuk menerima kenyataan dan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Perhitungan?” Meluncur laju perkataan itu daripada bibir Dato Yazir.
“HATI-HATI, Dhieya,” tegur Puan Zulaikha.
Dhieya sekadar mengangguk dan tersenyum. Ucapan syukur meniti di sudut hati. Bersyukur dengan kasih sayang Puan Zulaikha dan Encik Ashraf.
“Umi, kami pergi dulu,” beritahu Zharif.
“Jaga Dhieya elok-elok, Rif,” pesan Puan Zulaikha lagi.
“Zu ni, tahulah Zharif nak jaga Dhieya macam mana. Zu janganlah risau,” tegur Encik Ashraf lalu menggeleng perlahan.
“Zu bukan apa, abang. Hati Zu ni risaukan Dhieya. Abang tengoklah keadaan Dhieya. Tak bermaya dan pucat,” adu Puan Zulaikha sambil memandang ke arah Dhieya.
“Abang pun perasan juga, Zu,” sokong Encik Ashraf.
“Zu risau penyakit Dhieya makin melarat. Abang kan tahu, doktor sarankan Dhieya menjalani dialisis tu enam kali seminggu disebabkan mengandung. Zu risaukan kedua-duanya.”
“Insya-Allah, Zu. Sama-samalah kita berdoa agar kedua-duanya selamat.”
“Zu pun doakan yang sama, abang.”
Encik Ashraf mengangguk perlahan. Matanya masih tertumpu ke arah Zharif dan Dhieya yang sudah mula menapak untuk masuk ke dalam perut kereta. Berdoa agar Zharif dan Dhieya dilindungi Allah ke mana sahaja anak menantunya pergi.
“Aryana,” sebut Puan Zulaikha, tiba-tiba.
Encik Ashraf tersentak. Dihalakan mata ke arah Aryana yang sudah pun keluar dari perut kereta. Tegang dilihatnya wajah gadis itu. Apa yang berlaku kepada Aryana?
“Perempuan tak guna!” sergah Aryana seraya menarik lengan Dhieya.
“Aryana! Apa yang you buat ni?!” marah Zharif.
“I nak hapuskan cleaner ni. Sebab dia, you tolak cinta I!” marah Aryana turut sama meninggi. Dicengkam lengan Dhieya sekuat yang mungkin.
“Cik Aryana!” tegur Dhieya, perlahan.
“Aryana, lepaskan Dhieya!” arah Zharif, serius.
“I takkan lepaskan dia. I nak dia rasa apa yang I rasa selama ini. I bersungguh-sungguh pikat you, tapi you tetap pilih cleaner ni,” luah Aryana, tegas.
“Aryana, lepaskan Dhieya, nak. Dhieya kan tengah mengandung,” pujuk Puan Zulaikha. Risau melihat tingkah laku Aryana ketika ini.
“Aryana, kita bincang,” pujuk Encik Ashraf pula.
Aryana tidak mengendahkan kata-kata Puan Zulaikha dan Encik Ashraf. Ditarik tubuh Dhieya supaya mengekorinya.
“Yana, you nak bawa wife I ke mana?” tanya Zharif, geram.
“Ikut aku!” arah Aryana, keras. Ditarik kasar tubuh Dhieya sehinggakan langkah Dhieya terpesong dan hampir terjatuh.
“Aryana!!!” jerit Zharif, lantang. Marah dengan tingkah laku Aryana terhadap Dhieya.
“Aduh!” adu Dhieya, perlahan.
“Sayang!” seru Zharif, lembut. Matanya memerhatikan langkah Dhieya.
“Aryana, lepaskan Dhieya. Kita bincang elok-elok,” pujuk Puan Zulaikha lagi. Perasaan risau semakin menghuni dalam hati.
“Auntie, diam! Jangan nak berlagak baik depan Yana. Bukannya Yana tak tahu yang selama ini auntie memang tak sukakan Yana,” tegur Aryana, tinggi.
Puan Zulaikha terkedu. Sedikit sebanyak, kata-kata Aryana ada benarnya juga.
“Yana, uncle dah call papa Yana. Sekejap lagi, papa Yana sampai,” pujuk Encik Ashraf.
Sejak tadi dia menjadi pendengar dan pemerhati. Dalam pada itu, sempat dia menelefon Dato Yazir yang kebetulan dalam perjalanan menuju ke rumahnya. Mengkhabarkan tentang tingkah laku Aryana.
Aryana mendengus kasar. Semakin kuat cengkaman di lengan Dhieya. Menahan kemarahan dalam hati. Kenapa Encik Ashraf menelefon Dato Yazir?
“Please, Yana. Lepaskan Dhieya,” pujuk Zharif dengan tegas.
Aryana masih berdegil. Ditarik kasar dan memaksa Dhieya masuk ke dalam kereta. Dia perlu membuat perhitungan dengan Dhieya.
“Aryana, you nak bawa wife I ke mana?” tanya Zharif, serius. Dihampiri kereta dan cuba untuk menghalang Aryana daripada memaksa Dhieya masuk ke dalam kereta.
“You jangan nak masuk campur. I bunuh dia nanti!” ugut Aryana seraya mengeluarkan sebilah pisau dari beg tangan.
“Aryana! You buat apa ni?” tegur Zharif, tinggi. Puan Zulaikha dan Encik Ashraf turut sama terkejut. Perasaan risau menujah dalam hati masing-masing.
“You jangan paksa I, Zharif. Kalau you sayangkan dia, jauhkan diri you dari kami berdua,” amuk Aryana. Seperti orang dirasuk syaitan sahaja.
“Ya Allah, Yana. Tolong jangan apa-apakan Dhieya,” pujuk Puan Zulaikha dengan risau. Matanya mengekori langkah Aryana.
“Yana, bawa mengucap. Kita selesaikan dengan cara baik. Jangan apa-apakan Dhieya,” pujuk Encik Ashraf pula. Dia turut sama risaukan keselamatan Dhieya.
“Okey. You nak apa, Yana? I akan ikut cakap you. Sebelum tu, you lepaskan wife I,” kata Zharif, mengalah. Cuba untuk menenteramkan perasaan Aryana yang sedang marah.
“Cik Aryana, tolong lepaskan saya. Saya janji akan ikut kata-kata cik,” ujar Dhieya pula. Ada baiknya dia cuba memujuk. Berharap Aryana termakan dengan pujukannya itu.
Aryana mendengus kasar. Semakin sakit telinganya mendengar suara Dhieya. Tanpa membalas, ditolak kasar tubuh Dhieya supaya masuk ke dalam kereta. Dapat dirasakan penolakan daripada Dhieya. Bertambah panas hatinya dengan tingkah laku Dhieya. Semakin kuat dia menolak tubuh Dhieya, semakin kuat juga penolakan daripada Dhieya.
Zharif hanya memandang. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan dalam hati. Kerutan di dahi Dhieya menggambarkan kesakitan isterinya itu.
“Aryana!” panggil Dato Yazir tiba-tiba.
Tersentak mereka yang berada di situ. Masing-masing menghalakan mata ke arah Dato Yazir yang sudah pun keluar dari perut kereta.
Zharif yang menyedari kealpaan Aryana segera menarik tubuh Dhieya menjauhi Aryana. Terkejut Aryana dan Dhieya atas tindakan Zharif itu.
“Zharif!!!” jerit Puan Zulaikha dan Encik Ashraf, serentak.
“UMI, mana Abang Zharif?” tanya Dhieya, terpinga-pinga. Sungguh, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Zharif ketika ini.
“Dhieya, sabar ya,” pujuk Puan Zulaikha sambil menggenggam tangan Dhieya.
“Cik Aryana mana?” tanya Dhieya lagi.
Puan Zulaikha menarik nafas berat. Matanya menatap wajah Dhieya yang terpinga-pinga. Rasa sebak hadir dalam hati ketika ini.
“Zu,” panggil Encik Ashraf, perlahan.
“Dhieya, umi jumpa ayah sekejap,” beritahu Puan Zulaikha, lembut.
Dhieya sekadar mengangguk. Otaknya cuba merencanakan apa yang berlaku sewaktu Zharif menarik tubuhnya menjauhi Aryana. Apa yang dia ingat, tubuhnya dipeluk erat Zharif ketika itu. Telinganya disapa dengan suara cemas Puan Zulaikha dan Encik Ashraf. Apa yang berlaku kepada Zharif?
“Macam mana, bang?” tanya Puan Zulaikha, tidak sabar.
Encik Ashraf menarik nafas berat. Wajah Puan Zulaikha ditatap kasih. Kemudian dihalakan mata ke arah Dhieya yang sedang duduk di atas kerusi. Rasa kasihan turut sama hadir dalam hati.
“Abang, Zharif macam mana?”
“Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Zharif kena beberapa jahitan saja.”
“Syukur alhamdulillah kalau tak teruk, bang. Zu risau kalau luka Zharif tu dalam dan boleh memudaratkan Zharif.”
“Insya-Allah, tak ada apa yang perlu dirisaukan. Doktor dah bagi ubat kat Zharif. Tunggu Zharif sedar aje ni.”
“Lega hati Zu ni, bang.”
Encik Ashraf sekadar mengangguk. Peristiwa tadi bermain-main dalam minda. Perbuatan Aryana sukar untuk dimaafkan. Mujurlah tikaman di perut tidak begitu dalam dan Zharif hanya dikenakan beberapa jahitan. Jika tidak, pasti akan memudaratkan pergerakan Zharif nanti.
Nafas ditarik lalu dilepaskan dengan berat. Tindakan Zharif menarik Dhieya dari pegangan Aryana satu tindakan yang tepat. Jika Zharif tidak berbuat begitu, sudah tentu Dhieya yang akan terkena tikaman itu. Sungguh, dia tidak mahu memikirkan perkara itu memandangkan Dhieya sedang mengandung. Akibat itu, Zharif yang terkena tikaman sekaligus dapat menyelamatkan Dhieya daripada Aryana.
“Dapat jumpa Aryana?” tanya Puan Zulaikha sekadar ingin tahu.
Selepas kejadian tadi, Aryana menghilangkan diri. Mungkin sedang menyembunyikan diri atas perbuatannya beberapa jam yang lepas. Dato Yazir yang berada di situ turut sama terkejut dengan tindakan Aryana. Tidak menyangka Aryana sanggup berbuat begitu kerana membenci Dhieya.
“Tak dapat. Dato Yazir masih mencari,” jawab Encik Ashraf.
“Habis tu, kita nak laporkan perkara ni kepada pihak polis ke, bang?”
“Abang tak tahu, Zu. Kita tanya Zharif.”
Puan Zulaikha tidak membalas. Matanya menatap wajah Encik Ashraf yang beriak tenang. Adakah perasaan suaminya sama seperti dirinya? Risau dan rasa bersalah.
“Abang rasa, Zu paling sesuai bagi tau pasal Zharif dekat Dhieya,” ujar Encik Ashraf.
“Baiklah bang. Zu bagi tau dekat Dhieya,” balas Puan Zulaikha lalu mengangguk perlahan.
Encik Ashraf sekadar tersenyum. Dihalakan mata ke bangku yang diduduki Dhieya. Berkerut dahinya tatkala melihat Dhieya tiada di situ.
“Dhieya mana?” tanya Encik Ashraf.
Puan Zulaikha menoleh. Dahinya turut sama berkerut. Ke mana Dhieya pergi?
“Dhieya!” panggil Encik Ashraf.
“Mana Dhieya?” tanya Puan Zulaikha pula.
DHIEYA terpinga-pinga. Entah ke mana arah tujunya, dia sendiri tidak tahu. Sejak tadi lagi dia mencari Zharif. Apa yang didengarinya sebentar tadi membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang. Perasaan risau menujah dalam hati. Risaukan keadaan Zharif. Dia perlu berjumpa dengan Zharif. Dia perlu mencari Zharif. Di mana dia perlu mencari Zharif dalam keadaannya yang buta itu? Siapa yang dapat membantunya ketika ini?
“Abang! Abang kat mana?” tanya Dhieya sambil teresak kecil. Kakinya masih lagi melangkah. Mencari di mana Zharif berada ketika ini?
“Aduh!” adu Dhieya tatkala terlanggarkan sesuatu. Diusap dahi yang terasa sakit.
“Puan nak ke mana?” tegur seseorang dari arah belakang.
“Cik, tolong saya. Saya nak cari suami saya,” beritahu Dhieya, bergetar.
“Suami puan? Siapa?” tanya jururawat yang bernama Hamimah.
“Suami saya, Zharif Farhan. Tolong, cik. Saya nak jumpa dengan suami saya,” rayu Dhieya. Dia meraba-raba mencari Hamimah. Seketika kemudian, dapat dirasakan tangannya dipegang oleh Hamimah.
“Puan, dahi puan lebam. Mari saya sapukan ubat kat dahi puan tu,” beritahu Hamimah, prihatin. Ditarik tubuh Dhieya agar mengekorinya.
Dhieya mengeraskan badan. Ditarik tangannya dari pegangan Hamimah.
“Saya nak cari suami saya. Mana suami saya? Tolong saya!” rayu Dhieya lagi. Tangisan kedengaran dari bibirnya itu.
“Baiklah, puan. Saya bawa puan ke kaunter. Kita check di mana bilik suami puan nanti,” putus Hamimah. Matanya menatap wajah Dhieya yang sedang bersedih.
Dhieya masih lagi menangis. Sungguh, dia perlu mencari Zharif. Risau dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Bagaimana keadaan Zharif ketika ini?
ZHARIF memerhatikan Dhieya yang sedang tidur. Dia menggeleng perlahan tatkala terdengar dengkuran halus isterinya itu. Masih tidak berubah. Namun, itulah yang membuatkan dia tertarik dan jatuh cinta dengan Dhieya Amiera. Sikap jujur dan berterus terang yang ada dalam diri Dhieya turut menjadi faktor dia tertawan dengan gadis itu. Syukur alhamdulillah kerana Dhieya turut merasai apa yang dirasainya selama ini.
Nafas ditarik lalu dilepas dengan berat. Terasa ngilu di perut. Perlahan-lahan diangkat tubuh lalu bersandar di kepala katil. Matanya masih menatap wajah tersayang. Kasihan dia melihatnya. Selama ini, dia banyak melukakan hati Dhieya dan isterinya itu dapat memaafkan segala kesalahannya yang lepas. Rasa bersalah dengan apa yang terjadi dahulu.
“Maafkan abang. Abang banyak menyusahkan Dhieya,” luah Zharif. Pipi Dhieya diusap lembut. Lama dia bertingkah laku begitu sehingga membuatkan Dhieya tersedar.
“Abang!” panggil Dhieya, terpinga-pinga.
“Sayang,” sahut Zharif, perlahan.
“Dhieya risaukan abang. Penat Dhieya cari abang. Nasib baik ada Cik Hamimah tolong bawakan Dhieya ke bilik abang,” cerita Dhieya, bersungguh.
Rasa berterima kasih kepada Hamimah kerana membantunya mencari bilik Zharif. Dia juga turut meminta maaf kepada Encik Ashraf dan Puan Zulaikha kerana mengundang kerisauan dalam hati mereka berdua.
Zharif tersenyum hambar. Rasa bersalah mengepung diri. Bersalah kerana menyusahkan isterinya itu. Ditatap kasih wajah Dhieya. Seketika itu, matanya jatuh ke dahi Dhieya.
“Sayang, kenapa dengan dahi ni?” tanya Zharif sedikit terkejut. Disentuh dahi Dhieya yang berwarna kebiruan. Seperti lebam terhantuk sesuatu.
Dhieya tersenyum sambil menyentuh dahi sendiri. Disebabkan risau, dia terlanggar bucu dinding.
“Sayang, kenapa?” ulang Zharif, risau.
“Dhieya terlanggar bucu dinding tadi. Lebam sikit aje ni. Nurse dah tolong sapukan ubat,” beritahu Dhieya, jujur. Senyuman masih terukir di bibir.
“Sayang, lain kali kalau nak ke mana-mana, panggil sesiapa tolong sayang. Ni baru lebam. Kalau luka ke apa, siapa yang susah? Sayang juga, kan?” tegur Zharif, lembut.
“Dhieya tak nak susahkan sesiapa. Selama ini, Dhieya banyak susahkan orang lain. Abang, umi, ayah, mak ngah, Kak Eren dan Abang Faris,” adu Dhieya, perlahan.
Zharif terkedu. Adakah kata-katanya tadi telah menyinggung perasaan isterinya itu? Bukan niatnya untuk berkata begitu. Kerisauan dalam hati melebihi segala-galanya.
“Maafkan Dhieya.”
“Kenapa nak minta maaf?”
“Sebab Dhieya, abang cedera. Sebab Dhieya, Cik Aryana bertindak macam tu. Sebab Dhieya…” Kata-kata Dhieya terhenti tatkala jari telunjuk Zharif meniti di bibirnya.
“Dhieya pelengkap hidup abang. Dhieya segala-galanya untuk abang. Kalau apa-apa terjadi dekat Dhieya, seumur hidup abang akan menyesal,” luah Zharif, ikhlas.
Dhieya menarik tangan Zharif. Dikucup mesra tangan itu lalu tersenyum hambar. Rasa bersalah masih menghuni dalam hati. Bersalah atas apa yang berlaku terhadap Zharif dan Aryana.
“Abang rindukan sayang.”
“Luka abang macam mana?”
“Hurm… Masih rasa ngilu.”
Dhieya ketawa kecil.
“Kenapa?” tanya Zharif dengan dahi berkerut.
Dhieya hanya menggeleng. Dia bingkas bangun lalu melabuhkan duduk di birai katil. Perlahan-lahan direbahkan tubuh di sisi Zharif lalu memeluk erat tubuh suaminya itu. Disentuh lembut balutan di perut Zharif. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Syukur kerana luka Zharif tidak dalam dan hanya dikenakan beberapa jahitan sahaja.
“Rindu abang, ya?” usik Zharif.
“Rindu sangat-sangat,” balas Dhieya, lembut.
Zharif tersenyum. Dieratkan pelukan ke tubuh Dhieya. Menyalurkan rasa kasih dan cinta terhadap isterinya itu.
“Kalau Dhieya mati, abang janji dengan Dhieya akan jaga anak kita baik-baik. Abang janji akan terima segala kekurangan anak kita nanti tau.”
Berkerut dahi Zharif mendengarnya. Kenapa Dhieya berkata begitu?
“Dhieya sayang dan cintakan abang. Terima kasih kerana sudi terima segala kekurangan Dhieya,” luah Dhieya lagi.
“Sayang, kenapa cakap macam tu? Abang tak suka!” tegur Zharif, serius.
Dhieya tidak membalas. Dipeluk erat tubuh Zharif lalu tersenyum hambar. Degupan jantung Zharif menyapa halwa telinga. Deras dan laju.
“Sayang,” tegur Zharif, lembut.
Dhieya sekadar berdehem. Diusap perutnya yang terasa sakit dengan tiba-tiba.
“Sayang ingat lagi tak macam mana mula-mula kita berkenalan?”
“Ingat. Abang kejar Dhieya sebab Dhieya kotorkan baju abang.”
“Then Dhieya kata abang beli baju tu kat Chow Kit atau Petaling Street.”
Dhieya ketawa perlahan. Peristiwa itu bermain-main dalam minda. Kenangan yang paling bermakna dalam hidupnya.
“Kalau abang nak tahu, Dhieya dan Abang Faris gelarkan abang dengan panggilan miska. Gabungan perkataan miskin dan kaya. Kami ingat abang ni orang miskin dan berlagak kaya. Tapi, abang sebenarnya memang orang kaya,” cerita Dhieya lalu tersenyum.
Zharif turut sama tersenyum mendengarnya.
“Dhieya happy jumpa abang. Kalau bukan kerana pertemuan tu, mustahil Dhieya akan menjadi isteri kepada mister fussy, Zharif Farhan Ashraf.”
Zharif mengangguk perlahan. Mister fussy. Jolokan yang diberikan oleh Dhieya buat dirinya. Mister cool khas buat Hazyrul Nizam.
“Dhieya minta ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki. Halalkan makan minum Dhieya selama kita bersama. Terima kasih kerana mencintai Dhieya. Nama abang akan kekal dalam hati Dhieya sehingga nafas terakhir Dhieya,” luah Dhieya, perlahan.
Zharif tergamam. Kata-kata Dhieya menusuk ke tangkai hati. Apa yang tidak kena dengan isterinya itu? Kenapa Dhieya meminta maaf darinya? Matanya memandang wajah Dhieya yang sedang beriak tenang.
“Dhieya nak tidur. Nanti abang tolong kejutkan Dhieya,” ujar Dhieya, lemah.
“Tidurlah, sayang. Nanti abang kejutkan sayang,” suruh Zharif, lembut.
Dhieya mengangguk lemah. Ditarik nafas lalu dilepaskannya lembut. Dieratkan pelukan ke tubuh Zharif. Menyalurkan rasa cinta terhadap suaminya itu.
“Terima kasih, Dhieya. Terima kasih untuk kasih dan cinta Dhieya terhadap abang selama ini. Abang bersyukur kerana memiliki Dhieya sebagai isteri,” luah Zharif, tersenyum.
Dahi Dhieya dikucup lembut. Matanya menatap wajah tenang Dhieya yang sedang tidur. Seminit kemudian, dahinya berkerut. Ada sesuatu yang berlainan pada isterinya ketika ini.
“Dhieya… Dhieya…” panggil Zharif, lembut. Diangkat wajah Dhieya yang sedang tidur. Kenapa wajah Dhieya pucat tidak berdarah?
“Dhieya… Sayang…” seru Zharif lagi. Namun, tiada tindak balas daripada isterinya itu.
“Doktor!!!” jerit Zharif, lantang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93890/mr-fussy-or-mr-cool

[SNEAK PEEK] PINK SMILE

PINK SMILE Oleh Luna Adresia

 

LOCENG di pintu depan Duncan CoffeeHouse berbunyi. Kaz yang sedang sibuk lap meja kaunter tidak pula angkat muka melihat pelanggan pertamanya pagi itu yang baru masuk.
“Hello, welcome to Duncan! What can I get for you?” sapanya seperti biasa tetapi masih tak angkat kepala. Tuala kecil rona hijau tua itu kemudian dimasukkan semula ke dalam laci sebelum kedua tangannya dilumur dengan hand sanitizer dan diratakan di celah-celah jari agar betul-betul bebas kuman.
“A dinner.”
Kaz serta-merta angkat muka. Dia salah dengarkah? Dan wajah gadis cantik berbaju T ungu dan berseluar denim biru pudar itu direnung lama.
“Pardon me?”
“A dinner. I want a dinner. With you.”
Kaz cuba kawal rasa kaki yang dah nak melompat gembira tu. Cool, Kazreeq. Cool. Lelaki kut. Mana boleh nak show off sangat emotion tu.
“Kalau tak nak tak apa. I just wanna say sorry.”
“Siapa cakap tak nak? Saya tak cakap apa-apa pun.”
“Tapi…”
“Nak apa for breakfast? Benda lain cakap masa dinner.”
Luna dah tak mampu tahan senyum. Senyuman paling lebar pernah terukir kini terpampang jelas di wajahnya yang sedikit kemerahan. Siapa cakap dia tak rasa malu ajak pemuda idaman hati makan malam bersamanya. Tiba-tiba pula tu. Bukan apa. Serius. Luna rasa bersalah. Rupanya rasa marah yang melampau-lampau tempoh hari tu tanda dia nak datang bulan! Patutlah mood swing bagai nak rak. Kalau dia ialah Luna yang normal, dia tak akan marah Kaz sampai begitu sekali. Muhammad Kazreeq lelaki idaman kut! Takkan nak buang masa marah lama-lama?
“Jangan tunjuk sangat happy tu.”
Suara Kaz membuatkan Luna tersentak lantas dia berdehem membetulkan suara.
“Saya nak black coffee and pancakes.”
“Tu aje?”
Luna angguk lantas keluarkan dompet dari beg silang yang tersangkut di bahu.
“Pergi duduk kat meja biasa.”
“Tapi saya tak bayar lagi…”
“Duduk aje la.”
Luna akur. Dia duduk di meja hujung bersebelahan dinding kaca seperti biasa. Sementara menunggu, dia renung ke jalan raya yang belum sibuk. Pagi Selasa yang suram. Langit mendung di luar. Macam nak hujan tapi tak hujan juga dari tadi, masa Luna keluar rumah. Dia bangun awal sebab tak lena tidur. Set warna merah jambu yang diterima semalam menuntut janji yang dia tanam dalam diri. Salah siapa? Salah diri sendiri berjanji yang bukan-bukan tapi bukankah promises are made to be broken? Lagipun dia bukan janji dengan siapa-siapa. Dia cuma bersumpah atas dirinya sendiri tapi kalau dimakan sumpah macam mana? Macam mana? Apa-apa pun, Kaz berhak mendapat ucapan maaf darinya. Kali ini, dia yang bersalah. Siapa dia untuk marah bagai nak rak disebabkan hal-hal kecil sebegitu? Buat malu aje!
“Why blackcoff today?” Kaz lihat Luna alih pandangan dari luar ke arahnya. Dia kemudian labuh punggung di kerusi berhadapan gadis itu sambil hidangkan dua pinggan pancakes dan dua cawan espreso atau lebih dikenali sebagai black coffee di Duncan CoffeeHouse manakala penggemar tegar black coffee di Duncan CoffeeHouse lebih senang memanggilnya dengan nama ‘blackcoff’. Kaz kemudian panggil Mel yang menggantikannya di kaunter.
“Simpan ni,” arahnya ringkas. Sebaik dulang bertukar tangan, Mel terus berlalu pergi.
Luna lihat riak wajah Mel yang macam tak puas hati. Sempat jeling dia lagi. Kenapa dengan perempuan ni?
“Tak jawab saya pun. Why blackcoff today? Can’t sleep last night and now you’re sleepy?”
“You can say that.”
“Nak set colour apa petang ni?”
Luna yang dah suap secebis pancake yang dah disapu madu dan butter pandang tepat ke wajah Kaz. Dia kemudian tersenyum nipis.
“Awak dah boleh berhenti hantar set dengan tema colour macam-macam tu kut.”
“Kenapa? Dah tak marah dah?”
“I’m sorry.”
“Tak apa. Cakap masa dinner nanti.” Kaz pandang tepat ke wajah Luna sekejap dan tersenyum.
Luna tarik nafas dalam-dalam. Oh my. I’m melting!
“Makanlah. Ada kelas ke hari ni?”
“Hmmm.” Luna angguk sambil kembali tekun nak habiskan pancake. Keadaan terus senyap selepas itu. Dah tak tahu nak cakap apa dah. Kaz bersahaja duduk depan dia, makan sarapan sama-sama macam dah betul-betul selesa. Dah tak macam dulu. Kaz memang dah layan dia lain. Lain sangat sampai Luna terpaksa yakinkan diri sendiri yang dirinya cuma terlebih melayan perasaan. Semua ini mungkin perkara biasa bagi Kaz. Tak ada apa-apa. Tak ada kaitan dengan perasaan ke apa. Kaz mungkin suka berkawan dengannya sebab Ery sukakannya. Ya, mungkin sebab Ery.
“Tolong saya.”
“Apa?” Bulat mata Luna tengok Kaz. Nak aku tolong temankan Ery pergi mana-mana ke? See? Mungkin betul apa yang aku rasa selama ni. Semua ni berkaitan dengan Ery. Tak ada kaitan dengan perasaan aku ke apa. Aku aje terlebih perasan! Hu.
“Tolong ingatkan saya.”
“Ingatkan?”
“Ari dah tak ada. Saya selalu lupa things, sometime, important things. I feel bad. I’m not gonna keep on forgetting. I might lose something because of benda-benda macam ni. Saya tak nak. So could you please remind me? That I’m gonna have dinner with you tonight.”
Luna telan air liur. Tu aje?
“Boleh tak?”
Cepat-cepat Luna angguk.
“Text me. An hour before or earlier, or every two hours or…”
Luna tergelak kecil.
“Jangan risau sangat, okey? Awak tak akan lupa.” Luna keluarkan sticky note warna warni sebesar tapak tangan dari beg silangnya.

Dinner tonight at 8.

Nota itu ditulis di lima helaian berasingan sebelum diserahkan kepada Kaz di hadapannya.
“Stick them at places where you can see them.”
Kaz tersenyum melihat nota yang kini ada di tangannya.
“Orang macam awak perlukan banyak sticky note,” ujar Luna sedikit tersekat-sekat.
“Am I?”
“And a smartphone.” Luna tersengih.
“3310 tak boleh nak tolong sangat. Hehe.”
“Perli ke ni?”
Cepat-cepat Luna menggeleng.
“Hari tu 3310 rosak. Dah okey ke?”
“Kejap okey, kejap tak.”
“Oh.” Luna lihat jam di pergelangan tangan kanan. Dah pukul 10.30 pagi. Dia ada kelas pukul 11 tapi kaki rasa tak nak bangun dari kerusi. Ini kali kedua dia duduk satu meja bersarapan bersama jejaka idaman. Ibarat memulakan hari dengan sarapan paling sedap dalam dunia apabila Kaz ada depan mata.
“Guess, I have to go.”
“Cepatnya. Ada kelas ke?”
Luna angguk sebelum habiskan black coffee dari cawan lalu bingkas bangun.
“Pergi dulu.”
“Sekejap.”
“Tapi…”
“One minute.”
Luna sedang berdiri di pintu masuk Duncan CoffeeHouse apabila Kaz muncul semula dari dapur menghulurkan beg kertas kepadanya.
“Apa ni?”
“Pink Smile for brunch.”
Luna rasa terharu dan sebelum dia cakap apa-apa, Kaz sudah menepuk bahunya.
“Now go. Karang lambat masuk kelas. Ingat! Pink Smile tu untuk brunch. Bukan high tea.”
Cepat-cepat Luna ucapkan terima kasih sebelum berlari anak menuju ke tempat parkir kereta. Kaz masih berdiri di muka pintu Duncan CoffeeHouse sehingga Luna hilang dari pandangan. Senyuman juga tidak hilang dari bibirnya.
Mel yang memerhati dari kaunter rasa panas di muka. Darah rasa tersirap. Jauh di sudut hati rasa tidak puas hati itu meluap-luap. Perempuan tak bertudung, anak orang kaya mana entah, yang bajet comel macam tu juga yang Kaz nak pandang. Mel mula membandingkan dirinya yang bertudung litup, manis, tak pernah nak tinggal solat. Perempuan tadi entah-entah jenis tak pernah cecah kaki kat surau pun! Mel terus-terusan mengata dalam hati.
“Mel. Pergi tolong hantar pesanan. Biar saya jaga kaunter.” Kaz dah berdiri di sisi sambil melekatkan sesuatu pada papan hitam yang terletak di belakang kaunter.
Mel hanya angguk sambil mata sempat kerling pada sticky note warna merah jambu yang baru Kaz tampal di bawah menu istimewa hari itu yang ditulis dengan kapur di papan hitam. Dinner tonight at 8? Ooo… Nak dating malam ni! Huh! Menyampah!
SENYUM.
Senyum balik.
Senyum lagi.
Balas senyum.
Okey. Kuis nasi goreng kampung yang baru terhidang di meja dengan garpu di tangan kiri. Sudu di tangan kanan masih belum ditugaskan untuk menyua nasi ke mulut. Tengok Pink Smile yang dah tak ada Pink Smile dia tapi tetap comel!
Okey. Teguk air teh o ais limau buat pembasah tekak yang asyik kering. Tengok kiri. Tengok kanan. Tengok depan. Okey. Tengok depan kena senyum lagi. Haih. Susahnya!
“Kenapa? Tak selesa makan sini? Tadi orang offer pergi PeterVsHook. Kalau tak okey dengan tempat ni cakap, okey? Tak biasa makan kat gerai biasa?”
Luna mencebik.
“Mana ada. Okey aje. Bukan tak selalu makan gerai. Orang tapau bawa balik rumah pun selalu. Tu, gerai mamak kat Flat Matahari tu. Selalu aje tapau mi goreng mamak sebab sedap.”
“Ooo.”
Luna senyum tawar. Heh. ‘Ooo’ aje ke? Penjelasan aku yang panjang lebar tu jawab dengan simple ‘Ooo’ aje?
“You know what?”
“What?”
“Saya nyaris-nyaris lupa kita ada dinner malam ni.”
“Huh?” Bulat mata gadis ringkas berbaju lengan panjang warna merah hati dan berseluar denim kelabu itu pandang wajah Kaz di hadapannya.
“Kenapa? Mana pergi sticky note yang saya bagi untuk tolong remind awak?” Luna tergelak kecil. Pelupa sungguh! Makan banyak semut ke apa?
“Tak tahu siapa entah yang buang. Nasib baik jumpa satu dalam bakul sampah tepi kaunter.”
“Pelik.” Luna tersengih. Tak tahu nak cakap apa sebenarnya. Entah tangan siapa yang rajin sangat buang note yang sangat jelas macam tu?
“Pelik, kan? Tapi tak apa. Ada CCTV. Nantilah tengok siapa yang pandai-pandai buang tu.”
“Sampai macam tu sekali?”
“Awak tak nak tahu siapa ke?”
Luna mencemik.
“Tak kesahlah. Lagipun, awak kan dah ada depan saya ni. Tu lebih penting.”
Kaz pandang tepat wajah Luna. Luna yang menyedari hal itu terus berhenti mengunyah dan telan terus nasi yang tak cukup kunyah 40 kali. Mata pandang Kaz di hadapan. Wajah itu tak ada riak tapi…
“Apa yang penting tadi?”
Luna terbatuk kecil.
Kaz senyum segaris sebelum kembali sambung makan.
Luna telan air liur yang terasa pahit. Entah kenapa mulutnya begitu lancar mengeluarkan kenyataan yang sepatutnya sekadar menjadi monolog dalam hatinya. Karang Kaz fikir dia yang angau sakan dengan Kaz. Perigi mana boleh pergi cari timba! Tapi perigi tak boleh kalau tak ada timba. Apa salahnya perigi cari timba kalau betul-betul nak sehidup semati?
“So, berbalik kepada tujuan awak ajak saya dinner.”
Gulp!
“Saya, saya.”
“Saya?”
“Saya nak mintak maaf.”
“Sebab?”
“Sebab tiba-tiba marah awak. Yalah kan, saya ni siapa nak marah-marah? Lepas tu, saya susahkan awak lagi. Hantar donut bagai kat rumah. Saya rasa bersalahlah sebab saya tak ada hak nak marah-marah awak sebenarnya. Salah saya. Emotional sangat. Saya mood swing sebab, er… Biasalah yang sebulan sekali tu?” Luna tersengih, mohon difahami.
Kaz tergelak besar. Gadis yang sangat jujur! Hahahaha! Cutenya Luna Aisha!
“Kenapa gelak?”
“Even my own best friend, Rysa tak pernah cakap pasal her once in a month thing but we all just knew it!”
Luna senyum lega. Mempunyai sahabat yang merupakan seorang perempuan membuatkan Kaz mungkin lebih memahami perempuan. Kalau dah jenis sangat-sangat memahami perempuan, agak-agak dia tahu tak aku suka dia?
Silap. Itulah kesilapan wanita selama ini. Lelaki memang lambat sedar tentang perasaan. Tak kesahlah perasaan orang lain terhadapnya, mahupun perasaan dia sendiri. Ibarat lipas yang sedang mengharungi perjalanan di atas bongkah ais yang panjang. Dah hampir mati masih tidak sedar-sedar lagi!
“Lepas ni nak ke Duncan for coffee tak?” soal Kaz tiba-tiba.
“Boleh juga!” Luna senyum lagi. Dah entah kali ke berapa dah dia senyum sepanjang hari ini. Mahunya tak senyum. Habiskan masa dengan jejaka pujaan kut! Orang gila aje tak rasa bahagia. Dan bercakap pasal bahagia, statement ‘I Love You’ kena proceed lepas ni ke? Luna, Luna. Apa yang dah kau janji dengan diri kau sendiri, Luna Aisha? Huuu…

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93895/pink-smile

REVIEW KAU YANG PERTAMA DAN TERAKHIR

9789670890111p-medium
KAU YANG PERTAMA DAN TERAKHIR OLEH QASEH FARINA

“HEI betina! Berambus kau dari rumah aku ni. Keluar kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Betina sial!!!” Bermula dari peristiwa malang itu, Maimun membawa diri bersama anaknya, Zairin Elina yang ketika itu berusia setahun. Nasib malang berakhir apabila dia ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Datuk Syeikh Mustapha. Namun, nasibnya selalu dirundung malang apabila sekali lagi dia dan anaknya dihalau keluar oleh ibu Datuk Syeikh Mustapha tanpa pengetahuan sesiapa pun. Peristiwa yang menyembunyikan pelbagai cerita yang tersembunyi. Setelah 20 tahun berlalu, pertemuan kembali telah menyebabkan Datuk Syeikh Mustapha mengambil keputusan yang besar. Perkahwinan yang diatur? Ya! Kerana ingin menebus kesilapan dan dosa keluarga Datuk Syeikh Mustapha kepada arwah Maimun, dia dan isterinya, Datin Syarifah Zaharah mengambil keputusan menjodohkan anaknya, Syeikh Azri Sufian dengan Zairin Elina. “Saya tak kata yang saya tak suka. Kita kenal pun belum lagi. Macam mana saya nak kata suka atau tak?”- Zairin Elina “Habis tu… kau dah suka dengan akulah ni?”- Syeikh Azri Sufian “Saya tak kata pun yang saya sukakan encik.”- Zairin Elina “Apa yang kau melalut ni, hah perempuan? Sekejap kata suka… sekejap kata tak suka. Kau ni dah gila, ya?”- Syeikh Azri Sufian Tika cahaya bahagia mula menerbitkan sinarnya, fitnah daripada kekasih Syeikh Azri Sufian telah menggugat kebahagiaan yang dibina. Rahsia yang selama ini terpendam telah melukakan hati Zairin Elina. Rupa-rupanya selama ini, keluarga Datuk Syeikh Mustapha tidak jujur kepada dia. Mereka menolong semuanya kerana bersebab! Mampukah dia melupakan dan memaafkan mereka atas segala yang telah terjadi kepada arwah ibunya? Apakah bahagia itu akan tetap menjadi miliknya? Bisakah dia mencintai dan memiliki lelaki yang pertama dan terakhir bertakhta dalam hatinya? “Mungkin pada sayang, cinta abang ini dusta belaka. Tapi percayalah sayang, abang nyatakan ini setulus jiwa.”


Secara simple, admin rasakan ada setengah part jalan cerita yang admin tak boleh catch. Mungkin kerana penulis nak cepat kot. Tapi novel sesuai untuk menguji darjah kegeraman anda. HAHA. Ok admin gurau. Tapi betul la.. Rasa geram tu akan muncul pada watak  Nenda.. Rasa nak  tumbuk laju2.

Overall, admin rasa cerita ini normal utnuk bacaan anda. Tapi still ade part sweet bila Sufi pujuk Zairin semula.

Itu lah ulasan buku yang admin boleh kongsikan dengan readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90618/Kau-Yang-Pertama-Dan-Terakhir

[SNEAK PEEK] LOVE RIDDLES

9789670890111-medium
LOVE RIDDLES Oleh Misztyra

“DAH sampai! Syoknya, first time aku datang sini.” Sengaja didepakan tangan, pandangan pelik orang lain dia tak ambil kesah pun.
“First time?”
“Yalah, kenapa? Pelik ke?”
“Peliklah kut. Selama tiga tahun kau dekat UKM tu, ni first time datang?”
“Ya… Ya… First time. Kau nak berapa kali aku ulang ni, nak aku pergi buat announcement tak?” Geram pula dia dengan Si Dila ni. Berapa kali entah nak ulang pertanyaan sama.
Yang lain dah gelak, kelakar sangatlah tu tengok pertengkaran Naural dengan Dila ni.
“Sebelum ni kau selalu pergi mana?”
“Kajang. Aku malas sikit bab nak keluar ni Dila, sebab nanti mesti aku blur. Tak tahu nak buat apa, nak makan apa.”
“La. Kau ni dah tahap kesian kuasa dua ni. Okeylah. Jom, kita terus pergi main boling lah. Memang tu tujuan asalnya, kan?”
Naural sempat buat muka tadi. Ada ke cakap aku ni kesian kuasa dua? Tak adalah teruk sangat, kan? Tapi rasanya memang teruk kut kes Naural ni, apalah yang ada dekat Kajang tu? Tak mencabar langsunglah hidup dia ni.
Oh… Tak mencabar, ya? Tak apa, tunggu. Nanti dia akan buktikan yang dia ni mampu sahut apa-apa aje cabaran!
“Ada game la hari ini. Nak join tak?” ajak Dila.
“Kita join la, okey? Jom, kena daftar dekat kaunter tu dulu.” Disebabkan memang yang lain diam aje, serahkan semuanya kepada dia, Dila apa lagi? Dia teruslah bertindak jadi ketua. Boleh dera dia orang ni nanti, kan? Yes!
“Kak, macam mana nak daftar untuk join game tu?” Dia selaku ketua yang berjaya dengan yakinnya bertanya.
“Bagi nama… Isi ni…”
“Oh… Okey.” Borang yang diberi tu diisi. Ahli kumpulan dia yang lain semua tengah sibuk sarung kasut.
“Okey. Dah, kak. Lepas tu dah boleh masuk ke? Tak ada syarat apa-apa lagi?”
Lama akak tu baca, melihat, mengkaji dan menganalisis borang tu sebelum matanya kembali terarah ke arah Dila kemudian geng Dila yang lain.
“Awak datang enam orang, ya?”
“Yup-yup. Boleh tak kak? Dah ada enam orang ni boleh bentuk satu kumpulan rasanya.”
“Ermmm… Tak bolehlah, dik.”
“Kenapa pula tak boleh, kak? Tak cukup orang ke atau tempat semua dah penuh?”
“Bukanlah, tempat ada lagi. Awak pun tak ada masalah tak cukup orang, tapi terlebih sebenarnya.”
“Hah? Terlebih? Nak berapa orang sebenarnya ni, kak?” Dila garu kepala. Macam leceh aje semua ni.
“Satu kumpulan kena lima orang aje. Kalau adik nak ikut, seorang lagi tu kena berpecahlah join kumpulan lain. Boleh tak?”
“Hah? Berpecah pula?” “Haah, dik. Boleh tak?” Berat juga ni. Sampai kena berpecah. Fikir… Fikir… Ada alternatif lain tak? “Kalau tak nak join game, rasanya ada tempat tak untuk kami main?”
“Tak boleh dik, tempat ni semua dah booked untuk game hari ni. Memang hari ni tak ada aktiviti lain melainkan game ni aje. Kalau nak main, terpaksa join jugalah.”
“Erm. Kejap ya kak, saya bincang dengan yang lain dulu.” Dia tersenyum sebelum mendekati kawan yang lain. Tak sampai hatilah pula nak cakap, semua nampak macam tak sabar aje nak main. Nak bagi tahu ke tak ni?
“Girls, kejap. Ada masalah ni.”
Semua dah pandang ke arah Dila. Masalah apa? Pelik juga ni, tapi Naural relaks aje, dia masih tengah cuba kasut lagi. Tak ambil kesah pun apa yang Dila nak cakap, sebab dia tahu Dila ni mesti boleh selesaikan apa-apa masalah.
“Satu grup lima orang aje, kalau nak main juga seorang kena pecah masuk kumpulan lain.”
“Hah? Takkanlah sampai kena berpecah?”
“Kenalah, aku dah pujuk akak tu. Tapi still tak jalan. Dia cakap tak adillah, ni peraturanlah, malas dah aku nak pergi pujuk. So sekarang ni keputusan terletak dekat tangan kau orang. Nak join ke pergi tempat lain aje?”
“Kalau macam tu tak payahlah main, kita pergi tengok movie ajelah, Dila.” Memang tak ada yang setuju pun, dengan idea berpecah tu.
“Eh kau orang, janganlah macam ni. Jomlah kita main.” Naural main peranan pula. Dah kata tadi pun tujuan asalnya nak main boling, kan. Tak akanlah sebab benda ni nak batalkan pula?
“Tak bolehlah Naural, kesian sesiapa yang kena berpecah tu nanti. Kita tengok movie la.” Dila guna kuasa sebagai ketua keluarkan arahan.
“La, kenapa nak tengok movie pula? Kita datang sini kan nak main boling? Nak release tension. Nanti kalau dapat cerita apa-apa nanti makin tension pula. Berbaloi ke dengan harga tiket tu?”
Semua buat gaya berfikir. Dahlah lama. Sampai akak dekat kaunter tu pun dah jeling-jeling. Dia orang ni nak join ke tak? Game dah nak mula ni.
“Join ajelah, Dila. Kau tak payah pening-pening. Biar aku aje yang pergi join grup lain, okey? Tak payah nak buat muka blur tu. Tak comel langsung.”
Yang lain dah ketawa. Memang kelakarlah kalau dapat tengok muka Dila sekarang ni.
“Tak apa ke, Naural? Dahlah kau tak biasa dengan tempat ni, takkan nak biarkan kau yang join grup lain?”
Gelak semua mati. Haah juga, kan? Kesian Si Naural ni, tapi dia tak kesah kut.
“Tak ada maknanya Dila, bukan aku nak pergi mana pun. Game tu pun dekat sini aje, kan? Tak payah risaulah, aku bukan budak-budak okey?” Kaki Naural menapak ke arah kaunter. Kesian pula dengan akak ni. Dari tadi menunggu jawapan daripada dia orang.
“Kak, kita orang join game ni. Saya kena masuk grup mana?” Bukan main semangat Naural tanya. Sengaja nak bagi Dila nampak yang dia tak ada masalah pun nak sertai grup lain.
“Awak masuk grup lelaki tu boleh? Dia orang aje yang tak cukup orang.”
Naural telan liur.
“Grup lelaki, kak?
“Yup, boleh tak?”
“Ermmm… Bolehlah kak, tak kesahlah. Janji dapat main.” Dia tersenyum kecil. Sebenarnya agak payahlah. Kenapalah dalam banyak-banyak grup dekat sini, grup lelaki juga yang aku kena join? keluh hati Naural. Kepala digarukan. Nak tarik diri macam tak patut, kan?
Naural dengan teragak-agak menghampiri grup lelaki yang bakal disertainya setelah ditunjuk oleh kakak penjaga kaunter itu tadi.
“Hai…” sapa Naural.
“Hah?” Semua blur.Yalah, tiba-tiba aje kena tegur, kan?
“Kau orang semua grup yang tak cukup orang tu, kan? Saya nak join boleh?” Dalam satu nafas dia cakap. Segan.
“Erm… Join la sekali. Memang tak cukup orang pun.” Naural tersenyum. Sukalah tu sebab dapat main. Dah lama dia tak main kut. Nasib baik dia orang ni nampak macam tak kesah aje. Tapi dia pula? Kesah tak?
Baru Naural nak duduk, dia perasan lelaki bertopi tu pun ada. Dia ni nak main boling juga ke? Kalau pakai gaya topi macam tu boleh nampak ke nanti? Tak sangka pula dia orang ni satu grup.
“Hai… Kita jumpa lagi.”
Denyutan jantung Naural dah berdetak lain macam. Haih… Dengar suara dia pun dah bagi kesan teruk macam ni dekat aku. Kalau tengok muka dia nanti macam manalah, kan? Mesti pengsan terus ni.
“Hai, thanks. Nak jaket?” Tempat duduk di sebelah laki tu diambil. Jodoh dia orang ni kuat ke? Asyik jumpa aje.
Dia tertawa. Memang serius, gaya Naural ni menawan hati dia. Sentiasa comel, tapi kenapa entah tiap kali jumpa dia, mesti hal jaket tu juga yang nak dicakapkan. Apa dah tak ada topik lain ke nak dibualkan?
“Awak ada bawa ke?” Dia tersenyum memandang ke arah Naural. Memandang? Yup… Memandang. Mungkin pelik sebab topi tu dah melindungi sebahagian muka dia. Tapi sebenarnya rekaan topi yang dipakainya itu unik, ada satu bahagian di topi tu dibuat daripada kain jarang yang membolehkan dia melihat ke depan tanpa perlu membuka topi apabila topi dipakai menutupi sebahagian besar wajahnya. Cuma yang memandang aje tak dapat melihat. Lantaklah kalau orang nak kata dia pelik pun, yang penting… Naural. Tu aje.
Naural tersengih. Memang dia tak bawa pun, tapi itulah, tiap kali nampak dia mesti hal jaket tu juga yang jadi topik. Lelaki bertopi dan jaket? Dah sebati kut dalam diri dia. Sebati? Hah, Naural… Dalam hati dah ada bertaman-taman ke?
“Tak.” Naural tertawa kecil. Sedar salah dia.
Ketawa Naural, buat lelaki itu terpegun. Comelnya dia. Ketawa dia. Boleh tak nak hentikan masa sekarang? Bukan selalu dapat dengar gelak Naural.
“Nanti saya bawa ba…” Dia terdiam. Baru sedar sekarang ni tumpuan lelaki tu 111.11 peratus kepada dia. Muka dia memerah. Segannya. Mana pernah ada orang tenung dia macam tu. Walaupun muka laki ni dah ditutup dengan topi, dia tahu yang mata laki tu ralit pandang dia.
Naural telan liur. Dah makin gelisah. Nak pandang lelaki tu pun macam tak berguna aje. Sebab? Dia pakai topi kan, mana boleh nampak muka dia. Naural hanya mampu pandang bawah.
Lelaki tu tersenyum. Comel sangat telatah Naural ni. Untung betul dia hari ni sebab dapat jumpa Naural lagi.
“Dahlah, tak payah pandang lantai tu. Bukannya cantik sangat pun. Kotor adalah.” Sengaja dia nak alih perhatian Naural daripada terus pandang lantai. Takut karang ada yang tak balik sebab tekun sangat kaji lantai tu.
“Hah?” Terus mukanya didongakkan.
“Dah, tak payah tengok lantai kotor tu. Baik tengok saya aje kan bagus.”
“Tapi sama aje.” Perlahan aje suara Naural ni. Malu lagilah tu.
“Apa yang sama? Awak nak cakap saya kotorlah ni?”
“Bukanlah, kalau pandang awak pun bukannya boleh nampak muka. Nampak topi aje, kalau cakap pun rasa macam cakap dengan topi. Lebih baik tengok lantai ni”.
Lelaki tu tertawa. Comellah awak, Naural.
“Tu sama maksud dengan awak nak tengok muka saya ke?”
“Erm… Ya kut. Saya tak sukalah cakap tak tengok muka ni. Rasa macam cakap dengan alien aje.” Mulut dicebikkan.
Dia ketawa lagi.
“Daripada cara awak cakap macam pernah jumpa alien aje. Pernah jumpa ke?”
“Pernahlah juga, adalah beberapa kali.”
“Really? Dekat mana?”
“Dalam hujan, dalam kereta, dekat padang and lastly dekat sini.”
“Hah?” Kalau Naural boleh nampaklah kan, sebenarnya sekarang ni muka lelaki tu memang tengah blur habis.
“Serius? Banyak macam tu? Dalam bentuk apa ni? Saya tak pernah jumpa pun.”
Naural geleng kepala. Apa lambat sangat lelaki ni? Ayat mudah macam tu pun tak faham ke?
“Dalam bentuk oranglah. Bukannya dia pelik pun. Ada aje dua mata, telinga. Tapi dia pernah bagi saya jaket sebelum ni. Wangi lagi.” Sempat Naural bagi satu lagi klu.
Lama lelaki tu diam. Naural dah jadi takut.
Apabila terdengarkan tawa lelaki tu, dia mendongak. Dia ketawa? Jadi, dia tak marahlah, kan?
“Sayalah tu, kan? Alien tu saya?”
“Ha… Haah.”
“Pandailah awak ni, kan.” Geng dia yang lain dah pandang. Apalah yang dia orang ni borakkan? Dari tadi asyik gelak aje kawan dia ni. Angau apa?
Ohhh… Jantung, janganlah degup kuat sangat. Kalau dia dengar nanti macam mana? Tolonglah kesiankan tuanmu ni.
“Saya boleh aje nak buka topi ni.” Lepas agak lama dia gelak baru dia mampu bercakap balik.
Naural hanya diam. Tunggu aje apa yang dia nak cakap. Lagipun lidah dia kelu kut. Dah tak boleh nak cakap lepas kena cuit tadi, jantung dia pun macam buat hal ni. Aturan nafas dah lain.
Muka lelaki tu makin dekat. Tapi Naural tak mampu menjauh, dia dah terkaku. Apa yang dia boleh buat hanya membulatkan mata. Lagi dekat, lagi bulat. Apabila dah rapat sangat, dalam beberapa inci baru dia berhenti merapati.
“Jadi girlfriend saya dulu.”
Degupan jantung Naura terasa terhenti. Seksinya suara dia. Tapi… Jadi girlfriend dia?

****

NAURAL tersenyum sendiri. Dia dah jatuh cinta ke? Kenapa dari tadi degupan jantung dia ni dah lain? Tak berdegup pada perkadaran normal? Semalam pun dia terasa berat hati nak balik. Yalah, dia kena balik dengan Dila and the gang, kan.
Okey, lupa nak bagi tahu yang grup yang dia sertai tu menang. Gembira dia apabila terpandangkan senyuman lelaki bertopi tu walaupun sipi-sipi aje. Macho juga. Rasanya kalau nampak sepenuhnya memang pengsan dia dekat situ juga.
Dadanya dipegang. Sekarang ni dia tengah berbaring sambil dengar lagu. Jantung, apa dah jadi ni? Kenapa dah mula mainkan irama lain? Cik hati dia sangat aktif sekarang.
Teringatkan kenangan semalam. Tak sangka kemahiran dia main boling tak karat-karat lagi. Tak adalah malu sangat nak tunjuk bakat depan lelaki bertopi semalam.
Sedang dia tersenyum-senyum sendiri di atas katil. bunyi ketukan yang kuat mematikan semua perasaan sweet dan cute yang dirasainya itu. Adoi! Siapalah pula yang mengacau aku ni? Malas dan lemah aje langkah yang diatur mendekati pintu.
“Apa dah jadi ni? Siapa yang ketuk tadi?” Naural keluar dari bilik namun dia mendapati tiada sesiapa di situ. Tapi tak sempat keluar lagi, dia dah tersepak sesuatu. Barang yang tersepak tadi dipandang. Kotak? Cantik berbalut pula tu. Siap bereben lagi. Polka dot. Wah… Nice taste. Haha. Siapa yang bagi ni?
Naural merendahkan badan. Kotak-kotak diambil. Kotak-kotak? Okey, ada dua, ya. Dua-dua berbalut cantik. Naural bawa masuk ke dalam, diletakkan di atas meja belajar dia. Lepas tu dia duduk menghadap kedua-dua bungkusan tu.
Nak buka ke tak? Buka tak? Okey, cari kertas kejap. Dua keping kecil dibuat daripada kertas besar tadi. Satu tulis YA, satu lagi tulis TAK. Okey, sekarang kita tengok siapa yang kena. Dua kertas kecil yang dah dilipat lagi kecil tu digoncang sebelum dibaling ke atas meja. Naural baca doa dulu sebelum ambil satu, kertas yang paling jauh dari dia.
Mata ditutup. Tolonglah… Tolonglah dapat…
YA!
Yeah! Boleh buka! Happy sangat kut Naural ni. Tapi kan, kalau dah dari awal dia memang nak buka, apa motif buat semua benda tadi? Perlahan-lahan bungkusan yang pertama itu dibuka. Mata Naural membulat. Topi? Cantiknya topi ni. Ada warna pink lagi. Haha. Favourite tu. Untuk dia ke? Untuk apa?
Bungkusan nombor dua dicapai. Kali ni memang dah yakin untuk dibuka.
Kali ni reaksi Naural memang over.Dia terkejut! Barang di dalam bungkusan tu tak dapat dikenal pasti lagi. Sebab tak nampak, masih dalam kertas tu. Apa dia ya rasanya?
Coklat?
Aku bukan alergi coklat ke? Siapa pula insan yang berhati mulia ni. Ada ke patut bagi aku coklat. Memang sahsahlah ni semua bukan untuk aku. Tapi kalau bukan untuk aku, kenapa dia pergi letak depan bilik aku ni? omel hati Naural.
Dia menapak keluar, pintu tak dikunci pun. Sebab nak pergi mengunjungi jiran dia ni aje. Pintu diketuk, dalam kiraan lima dah terbuka. Bagus! Tangkas!
“Dila, nak coklat tak?”
“Coklat apa?”
“Aku pun tak tahu siapa pula yang baik hati bagi ni. Aku bukannya boleh makan coklat ni. Kau ambillah. Aku nak buat baik ni, nak sedekah dekat kau.”
“Okey, thanks. Kalau ada lagi nanti bagilah. Jimat dah duit makan aku hari ni.”
“Hah? Boleh kenyang ke?”
“Bolehlah. Kau apa tahu? Itulah, rugi betul tak makan coklat ni. Kenapa kau alergi, eh?”
“Entahlah, sebab nanti suami aku gila coklat kut, aku mestilah opposite,kan? Senang!” Dia tersengih sebelum melangkah masuk meninggalkan Dila yang melopong. Apa jawapan Si Naural ni? Selamba aje dia jawab.
“Weh, Naural. Kejap-kejap.”
“Apa? Soalan apa lagi kau nak tanya aku ni?” Dia berpatah. Tak senonohlah minah ni, apa kes terus makan coklat tu? Dah gosok gigi ke belum ni?
“Tak payah nak pandang aku macam tu, aku dah gosok gigi masa bangun subuh tadi. Teruklah kau ni, Naural. Sengajalah tu nak fikir negatif pasal aku.”
Naural tertawa. Tahu pula Dila ni apa yang aku fikirkan, bisik hati Naural.
“Kau nak apa panggil aku ni? Dari tadi terjeritjerit.” Hampir terlupa pula tujuan dia berpatah balik ni.
“Ohhh… Ni ada kad. Kau nak ambil ke nak buang aje? Ke kau nak bagi aku baca sekali?” Dia tersengih-sengih. Nampak jahat.
“Kad? Aku tak nampak pun tadi.”
“Dia bukan letak dekat luar, dalam bekas ni. Aku pun ingat ni kertas lapik aje tapi kad rupa-rupanya. Tapi jangan risaulah. Aku tak buka tengoklah. Aku ni kan amanah.”
Naural mencebik. Poyo aje Dila ni.
“Okey Dila, thanks. Makanlah coklat tu banyak-banyak. Tapi… Bukan semalam ada orang tu cakap nak diet ke? Kalau makin naik berat badan nanti padan muka.” Lidah dijelir. Berdekah-dekah dia ketawa melihat muka terperanjat Dila.
La Naural… Kau pun satu, kan. Kenapalah cakap macam tu? Kenapalah ingatkan aku? Kenapalah? Tapi lantaklah… Jom makan dulu! Sedap!
Naural menutup pintu rapat. Dia baring di atas katil. Kertas tadi masih ada di tangan. Dibukanya…
For my love – Naural
Harap awak suka… 🙂
Siapa pula ni? Ada orang lain pula ke yang nak muncul dalam hidup dia ni lagi? Adoi. Siapa lagi ni? Tension!
“NAURAL.” Langkah Naural yang dah menapak ke meja dekat kafe ditahan.
“Ermmm… Nak apa?”
“Aku nak minta maaf. Tak patut aku ignored kau beberapa hari ni kan, dengan buat perangai lagi. Sorry, Naural.”
Naural mendengus.
“Apa masalah kau sebenarnya ni? Tiba-tiba jauhkan diri, sekarang nak minta maaf pula. Aku boleh aje anggap benda ni macam tak ada apa-apa. Tapi aku nak tahu semua, semua sebab kenapa kau jauhkan diri dari aku.” Agak tinggi nada Naural.
Muka Faiza dah memerah. Segan kena marah, dahlah dekat kafe terapung sekarang ni. Malunya ada orang dengar.
“Apa dia? Cakaplah.” Kening diangkat. Masa orang bagi peluang ni bukan nak cakap. Ada ke patut diam aje? Ingat dengan diam boleh selesai masalah ke? Tiba-tiba aje buat perangai macam tu. Ingat dia tak ada masalah lain nak kena hadap ke? Geram… Tanpa sebab nak menjauh. Ingat dia tak sedih? Tak terasa?
“Luth dah ada minat satu girl ni. Aku memang tak boleh dapat dia. Sebab tu aku salahkan kau, kalau bukan kau yang paksa aku dekati dia mesti aku tak payah tahu semua ni. Mesti aku dapat teruskan hidup macam biasa. Macam sebelum ni.”
“Kau salahkan aku? Semua?”
“Kau jadi punca kenapa aku dekati dia, kan? Kau yang suruh aku rapatkan diri jadi kawan dia. Bila aku dah puas dengan jadi kawan dia aje, kau pula suruh aku pikat dia. Semua sebab kau!” Suara dia pula meninggi. Bukan tadi nak minta maaf ke? Tapi kenapa lagi nampak gaya macam nak cari gaduh ni?
Naural panas.
“Sebab lelaki? Sebab kau kena tolak, kita gaduh macam ni? Tak ada gunanyalah, Iza.”
“Mungkin bagi kau tak, tapi bagi aku ya. Dah lama aku suka dia Naural, sebelum aku kenal kau lagi. Untuk pengetahuan kau, sepatutnya dulu aku dapat tawaran pergi overseas. Tapi aku tolak semuanya sebab dia. Untuk tarik perhatian dia.”
Bodohnya! Hati kecil Naural berkata. Ada ke patut tolak tawaran tu hanya sebab seorang lelaki?
“Aku ingatkan kau nak minta maaf. Kalau nak cari gaduh tak payahlah datang jumpa aku, Iza. Aku penat, tak suka gaduh-gaduh macam ni.”
“Kau ingat aku suka ke? Aku pun tak suka, aku tak boleh terima bila kau sendiri yang jadi punca aku jadi macam sekarang. Aku tidur tak lena, tertekan bila fikir semua ni. Semua sebab kau! Kau!”
Naural terkedu! Semua sebab aku?
“Astaghfirullahaladzim Iza, mengucap okey? Jangan nak tuduh sembarangan macam ni. Aku ni kawan kau. Kenapa sebabkan seorang lelaki, kita gaduh? Semua ni tak patut. Jangan macam ni Iza, kalau dia dah ada girlfriend, lupakan dia. Cari lelaki lain. Buat apa kau nak buang masa untuk lelaki tu lagi? Jangan rosakkan hubungan orang lain.”
“Rosakkan hubungan orang lain? Yang tu yang lagi penting bagi kau. Kau tak fikir pun perasaan aku, kan? Ada kau fikir apa yang aku rasa bila dengan Luth dah ada girlfriend? Aku rasa macam orang bodoh.”
Naural cuba pegang tangan Faiza. Dia tahu kawan dia tu sedih, tapi salah tindakan Faiza dengan letak semua kesalahan tu dekat Naural.
“Dah cukup, Naural. Cukup sampai sini persahabatan kita. Thanks sebab tolong aku selama ni. Cukuplah sebab kau aku terluka teruk macam ni.” Dia melangkah pergi, meninggalkan Naural yang terkaku mendengar keputusan Faiza. Putus persahabatan?
“Sebab seorang lelaki, seorang lelaki kau putuskan persahabatan kita. Kenapa, Iza? Kenapa kau buat aku macam ni?” Dia terduduk. Menangis. Teresak-esak.
Lama dia menangis sendirian di situ sehinggalah ada satu suara menegur dirinya.
“Awak?”
Naural mendongak. Lelaki bertopi? Esakan dia makin kuat. Itulah, kenapa lelaki tu tegur, kan dah jadi hujan lebat ni? Kalau Bangi banjir nanti salahkan dia.
“Tak comel menangis macam ni.” Air mata Naural dikesat menggunakan sapu tangan miliknya. Lembut aje dia lap, nak keringkan pipi Naural. Tapi tiap kali dia lap, tiap kali tu juga air mata Naural tumpah.
“Semua tu salah saya ke, awak? Salah saya ke?” Air mata makin deras mengalir. Sedihnya.
“Bukan salah awak. Bukan salah awak semua ni.” Semangat cuba diberi, mungkin dia tak tahu sebabnya tapi dia tak suka melihat air mata itu.
“Kalau bukan salah saya, kenapa dia sampai nak putuskan persahabatan kita orang? Saya sayangkan dia sangat, kenapa dia sanggup tinggalkan saya? Hanya disebabkan seorang lelaki?”
“Bukan salah awak Naural, dia yang tergesa-gesa. Tak patut apa yang dia buat tadi. Letakkan semua kesalahan tu atas bahu awak seorang. Sedangkan memang salah dia pun. Awak yang suruh dia dekati lelaki tu?”
Mata Naural dipandang. Dah merah dah mata Naural ni.
Naural mengangguk.
“So, memanglah semua tu rancangan awak. Tapi macam mana nak laksanakan tu semua daripada dia, kan?”
Naural angguk lagi. Memang selama ni dia yang galakkan Faiza dekati laki idaman dia tu. Tapi semua idea datang daripada Faiza sendiri.
“Maknanya memang bukan salah awak. Cara dia dekati lelaki tu aje yang salah. Patutnya dari awak dia tanya status lelaki tu. Kalau minat cakap minat, tak payah nak cakap nak jadi kawan segala.”
Naural pandang lelaki bertopi tu.
“Nak rapat dengan seorang lelaki tak boleh mula dengan kawan ke?” Air mata dia dah kering. Tu pun sebab dari tadi tangan lelaki ni tak henti lap air mata dia. Terharu pula dapat layanan macam ni. Selalu kalau menangis mesti kena lap sendiri.
“Kalau sayalah, better berterus terang. Saya tak suka dia cakap nak jadi kawan mula-mula tapi sebenarnya niat dalam hati lain. Nanti banyak pihak yang terluka dengan tindakan dia tu.”
“Terluka? Macam apa contohnya?” Naural… Naural… Apa ingat ni kelas Matematik ke sampai nak bercontoh segala?
“Contoh macam kes kawan awaklah, bila dah tahu laki tu suka girl lain, dia yang terluka. Then awak pula. Lepas tu saya pun terluka juga.”
“Awak? Awak pun terluka juga? Awak ada kaitan ke?”
Naural tertawa. Mesti salah satu cara nak buat aku gelak ni. Tapi memang menjadilah.
“Saya tak suka tengok air mata awak ni. Air mata awak berharga bagi saya. Setitik air mata awak mengalir umpama hati saya ni dihiris sekali dengan pisau. So, tolong simpan air mata awak. Jangan bazirkan lagi untuk orang macam tadi. Orang yang memang tak faham betapa mahal awak ni pada pandangan saya.”
Air mata Naural mengalir balik. Itulah, kenapa bagi ayat manis lagi? Kan dah tak boleh tutup paip air mata ni?
“Adoi!!!”
“Hah? Awak kenapa ni? Jangan takutkan saya.” Terkejut dia tengok tiba-tiba lelaki tu tekan dada dia. Siap menjerit lagi.
“Sakitlah awak, rasa kena hiris berkali-kali. Kan dah cakap tadi, air mata awak tu buat saya terluka.
“Sorry…” Dia menunduk. Terasa bersalah pula. Tapi bibir terukir senyuman kecil. Tanpa sedar.
Lelaki bertopi tergelak. Comel.
“Nak hilangkan kesedihan awak tak?”
“Hilangkan kesedihan?”
“Yup! Nak tak?”
“Boleh ke?
“Tak cuba, tak tahu kan…” Kening diangkat.
“Rugi kalau tak ikut saya…”
“Nak!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90605/love-riddles

[SNEAK PEEK] SWEET DREAM CINTA

9789670890081x-medium
SWEET DREAM CINTA Oleh Nina Kamal

Prolog

MOON berhati-hati supaya perbuatannya menghendap keluarga besar yang sedang berkumpul di hadapan serambi rumah yang luas terbuka itu tidak disedari oleh mana-mana ahli keluarga tersebut.
Dia menyembunyikan dirinya di belakang rumah yang berdekatan dengan pintu masuk ke dapur. Moon mula menunggu saat-saat yang paling digemarinya. Ketika dia berusia lapan tahun lagi, dia sentiasa berdiri dan mencuri pandang gelagat ahli-ahli keluarga itu berpelukan dan berbalas ciuman di pipi tatkala mengucapkan selamat tinggal. Walaupun Moon tahu perpisahan kadangkala menyakitkan, hanya dengan melihat perlakuan mesra antara ahli keluarga tersebut, dia dapat merasai keindahan perpisahan itu. Sudah hampir lima tahun dia melakukan kegiatan menghendap ini. Perbuatan ini hanya boleh dilakukannya ketika musim cuti sekolah kerana waktu itulah dua buah keluarga dari Kuala Lumpur akan ke sini untuk menghabiskan cuti sekolah di banglo yang terletak di sebuah kawasan perkampungan yang terletak di Jitra, Kedah.
Sesekali Moon menepis tangan sahabat baiknya, Cik Li yang cuba menarik lengannya supaya ke belakang sedikit.
Moon tahu yang Cik Li tidak mahu kalau perbuatannya itu dapat dikesan oleh tuan banglo ini. Mungkin kerana ibu Cik Li ialah pembantu rumah tersebut dan Cik Li sememangnya malu dengan tingkah laku Moon sekarang ini. Namun, Moon pasti tuan banglo ini tidak kesah dengan kehadiran dirinya. Moon kenal dengan pasangan suami isteri yang tinggal di banglo dua tingkat ini.
Pemilik yang berpangkat Datuk itu selalu berwajah serius dan tegas manakala isterinya pula seorang yang mesra dan peramah. Selama Moon menyelinap masuk ke dalam banglo mereka, pasangan suami isteri itu tidak pernah pula menegur atau memarahinya. Malah kedatangannya bersama Cik Li di ruang dapur selalu disambut dengan senyuman mesra oleh Datin tersebut.
Pasangan yang bahagia ini mempunyai dua orang anak lelaki yang sudah berkeluarga serta mempunyai beberapa orang cucu. Moon amat tertarik dengan kehidupan mereka. Mereka ada harta, ada rupa dan sentiasa sahaja dengan gelak ketawa. Apa yang paling menarik minat Moon ialah cucu lelaki nombor dua pasangan tersebut. Walaupun Moon masih lagi kecil, dia sudah terpikat dengan ketampanan jejaka belasan tahun itu.
Melihat sahaja lelaki itu dari jauh pun buat dia rasa berdebar-debar. Moon tersenyum-senyum teringat akan pertemuan dengan orang yang diminatinya itu beberapa jam sebelumnya. Sayang sekali kerana lelaki itu akan pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Terpaksalah dia menahan rindu buat seketika.
“Jomlah kita pi, Moon. Hang dah tengok depa lama sangat tu. Aku takut sat gi depa perasan hang dok kat sini,” bisik Cik Li di telinga Moon. Sekali lagi Cik Li menarik lengannya.
“Shhh… Cakap pelan-pelanlah sikit. Takut depa dengar sat gi. Hang kacau betoilah. Kalau hang tak mau depa nampak hang, pi la masuk kat dalam tu.”
“Lama lagi ka depa nak pi tu?”
“Dah ada yang masuk dalam kereta. Bagilah aku tengok sampai habih. Bukan senang nak jumpa depa tu. Lepas ni pun aku tak tau dia balik ka dak. Hang bagilah chance kat aku. Biaq aku tengok muka dia puas-puas,” rayu Moon perlahan tanpa melepas pandang lelaki yang disukainya itu.
Moon takut kalau lelaki itu masuk ke dalam kereta tanpa sempat dilihatnya. Bukan selalu dia dapat berjumpa dengan pujaan hatinya itu. Moon tunggu seketika. Matanya tidak beralih arah sehinggalah kedua-dua buah kereta besar itu meluncur jauh meninggalkan kawasan banglo itu. Moon bersandar ke dinding. Tiba-tiba terasa sebak di dalam dada.
“Kali ni dia bagi tau apa pula kat hang?” tanya Cik Li apabila melihat kawannya itu seperti hendak menangis sahaja. Inilah pertama kali dia melihat Moon berkeadaan sedemikian. Usianya mungkin masih terlalu muda untuk memahami sikap kawannya. Tetapi, dia tahu ada yang tidak kena dengan kawannya yang seorang itu.
“Dia kata aku kecik lagi.”
“Memang pun hang kecik. Kita kan baru tingkatan satu,” ujar Cik Li.
“Dia kata aku tak sama macam budak-budak kat KL. Tak outstanding pun. Outstanding tu apa Cik Li?”
“Mana aku tau… Tapi macam pernah dengaq. Sat ni hang balik, hang tanyalah kat Mak Su Na. Dia tau kut outstanding tu apa. Tapi kalau out tu keluar dan standing tu berdiri. Takkan hang kena pi keluaq berdiri kut. Entahlah Moon. Aku tak gheti sangatlah.”
“Mungkin cantik atau pandai kut?”
“Mungkin jugalah. Aku tak taulah.”
“Aku tak cantik ka?”
“Pasai pa hang cakap macam tu? La ni pun hang dah cantik. Sat ni bila hang dah besaq sikit, aku tau sangatlah, hanglah yang paling cantik kat sini,” kata Cik Li dengan bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu, pasai pa dia kata dia malas nak tengok muka aku?”
“Dia cakap macam tu ka? Bila? Tadi ka?”
Moon angguk. Air matanya mula bergenang.
“Mungkin dia kata pasal benda lain kut. Mungkin dia tak suka kat hang sekarang kut.”
“Pasai pa dia tak suka kat aku?”
“Manalah aku tau. Mungkin hang tak besaq lagi kut.”
“Aku dah nak besaq dah ni. Kali ni aku suka kat dia sungguh.”
“Hang habaq kat dia yang hang suka dia ka?”
“Aku tak bagi tau.”
“Gagap lagi ka?”
Moon angguk. Cik Li geleng kepala. Kesian juga dia dengan Moon. Entah kenapa setiap kali kalau Moon bercakap dengan abang kacak itu, pastinya Moon tiba-tiba gagap. Kalau bercakap dengan sesiapa sahaja, biasa sahaja. Lancar tutur kata. Hanya dengan lelaki itu sahaja yang dia seperti tidak tahu bercakap secara normal.
“Apa kata hang tulis surat. Bila dia mai lagi kat sini, hang bagilah kat dia. Tak payahlah dia nak dengar hang cakap tergagap-gagap lagi.” Cik Li memberikan cadangan.
“Hang rasa dia suka ka kalau aku tulis surat kat dia?”
Cik Li tidak berani memberitahu perkara yang sebenar. Biar berbohong sunat asalkan satu-satunya kawan yang dia ada itu berasa gembira.
“Mungkin dia suka kalau hang tulis betoi-betoi.”
“Kalau macam tu, sat ni juga aku tulis,” kata Moon. Hatinya mula melonjak gembira.

****

Bab 1

ADRIAN EUSOFF hanya mendiamkan diri. Dia mengeluh panjang. Perjalanan balik ke kampung masih jauh dan dia sudah merasa kurang selesa dengan ejekan abangnya, Aidan. Malah Norman, satu-satunya sepupu yang paling akrab dengannya turut mengenakan dirinya. Kalau bab mengutuk orang, serahkan sahaja kepada Norman. Abangnya pun dua kali lima sama sahaja dengan Si Norman. Mereka berdua memang sengaja menguji kesabaran dirinya. Ian… Itulah panggilan mesra dirinya dalam kalangan keluarga dan teman-teman yang rapat.
Ian cuba untuk tidak mengendahkan soalan dan ejekan yang keluar dari mulut Norman. Dia hanya memandang ke hadapan dan tidak peduli dengan perbualan yang berlaku antara Aidan dan Norman. Mereka masih bercerita tentang dirinya.
Kereta Suzuki Swift biru milik Aidan yang mereka naiki ialah kereta terakhir yang menyertai konvoi balik kampung untuk percutian hari raya tahun ini. Terdapat tiga buah kereta yang berada di hadapan kereta mereka. Kereta yang paling hadapan ialah Toyota Alphard putih milik Encik Muhsin, papanya dan diikuti oleh Audi pacuan empat roda berwarna hitam yang membawa keluarga Norman manakala Honda merah yang dipandu oleh kakak Norman, Nisrina pula membawa beberapa orang anak gadis termasuk adiknya, Camelia.
Keempat-empat kereta daripada dua buah keluarga ini telah memulakan perjalanan hampir dua jam dari Kota Kemuning, Shah Alam untuk menuju ke pekan Jitra, Kedah.
Sudah menjadi kemestian untuk kedua-dua buah keluarga ini berkumpul di rumah datuk dan nenek mereka apabila menjelang hari raya.
Seingat Ian, tahun ini sudah masuk tahun yang keempat belas mereka balik beraya ke Jitra. Datuknya, tok bah yang merupakan bekas panglima tentera udara yang pernah bertugas di Kem Sungai Besi juga pernah ditugaskan ke negeri jelapang padi.
Kini tok bah sudah beberapa tahun bersara dari kerjayanya. Tok bah dan nenek Ian iaitu Nona jatuh cinta dengan pekan Jitra dan terus membuat keputusan untuk menetap di sana. Walaupun mereka jauh di Kedah, Encik Muhsin mahupun adiknya, Encik Muiz selalu juga berulang-alik ke sana sama ada atas urusan kerja mahupun peribadi.
Ketika mereka kecil, Ian dan adik-beradik serta sepupunya paling suka apabila balik ke kampung yang terletak di sebuah perkampungan yang menghijau. Sungguh berbeza dengan kehidupan di kota raya yang sesak dengan manusia dan bangunan pencakar langit.
Ketika berada di kampung, mereka bebas untuk buat apa sahaja. Kadangkala Ian, Aidan dan Norman bermain bola sepak dengan budak-budak kampung di padang yang berdekatan dengan sebuah sekolah rendah.
Adakalanya mereka memanjat pohon jambu batu di kebun milik tok bah dan ada ketikanya memancing ikan atau pun mandi di sungai. Walaupun sudah bersara, tok bah masih lagi menabur bakti dengan Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai tenaga pengajar di sana sambil mengusahakan kebun buah jambu pada masa lapang. Kebun jambu yang dimiliki oleh tok bah agak luas, malah tok bah menggajikan dua orang pekerja untuk membantunya menguruskan kebun tersebut.
Nona pula seorang wanita berketurunan Cina yang dibesarkan oleh keluarga Melayu. Semua cucu-cucunya memang amat selesa dengan Nona kerana dia seorang nenek yang begitu lembut dan bersikap terbuka. Nona suka memasak dan kepakarannya adalah membuat kek dan biskut. Atas minatnya itu, Nona telah membuka sebuah kedai bakeri di pekan Jitra. Nona juga seorang ibu mentua yang amat disayangi oleh kedua-dua orang menantu perempuannya, malah setiap kali cuti sekolah, mama pasti mengajak papa balik ke Kedah untuk menghabiskan cuti sekolah di sana. Mama juga lebih mesra dengan Nona. Mungkin kerana mama tiada keluarga kecuali seorang kakak yang sibuk berkerjaya.
Ian amat menghormati dan menyayangi datuk dan neneknya. Walaupun kedua-dua mereka bukan anak jati Kedah, mereka berdua amat dihormati di kawasan kejiranan mereka. Bukan kerana banglo tok bah yang paling besar di situ tetapi kerana sifat tok bah dan Nona yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Sebab itulah rumah tok bah akan dikerumuni oleh jiran tetangga pada setiap kali hari raya.
Agenda untuk balik ke kampung pada hari raya pertama sudah menjadi suatu kemestian. Mama lebih suka balik ke Kedah kerana kakaknya, Cik Pat tidak pernah menyambut hari raya bersama keluarga mereka. Selalunya seminggu sebelum raya, Cik Pat pasti akan ke luar negara untuk bercuti. Mami Ina iaitu isteri Uncle Muiz juga tetap akan beraya di Kedah pada raya pertama. Kemudian keluarga mereka akan berangkat ke rumah keluarga Mami Ina yang terletak di Taiping pada hari raya kedua.
“Kau dah lama tak balik, Ian. Dah berapa tahun budak perempuan tu cari kau. Kau dah prepare ke nak jumpa bakal isteri kau tu?” Aidan masih lagi mahu mengusik adiknya.
“Aku tak sabar nak tengok apa pula dia nak buat kali ini,” balas Norman.
“Aku ingat lagi empat tahun lepas, aku tertangkap budak tu masuk bilik. Panik betul aku masa tu. Manalah tahu dia tak jumpa kau, dia cari aku. Lepas tu bila aku tau dia cari kau, dia bagi satu benda kat aku. Rupa-rupanya dia nak hantar surat cinta. Siap dengan gambar dia pose sikit punya baik. Tapi sayang kau tak ada. Dia mati-mati ingat kau dah balik ke sini masa tu,” tambah Norman lagi.
“Itulah first time aku tengok Facebook wall kau paling banyak likes. Gara-gara surat cinta tu,” tambah Aidan pula.
“Dan tak pasal-pasal aku kena shut down Facebook aku. Ini semua kau punya pasallah, Norman!”
“Relakslah dude. Aku tak bermaksud nak kenakan kau… Tapi sebab surat tu punya pasal, aku kena upload juga. Memang jiwang habis surat tu.”
“Surat tu bukan sebarang surat cinta. Surat proposal ajak kau kahwin dengan dia,” tambah Aidan lagi.
“Nak kata dia desperate, dia masih budak mentah lagi. Siap suruh kau tunggu sampai dia habis belajar supaya kau boleh kahwin dengan dia. Kalau ikutkan aku, tahun ni dia dah form five. Tak lama lagi bolehlah kau kahwin dengan dia.”
“Mengarutlah kau, Norm!”
“Aku cakap betul ni. Budak tu macam serius betul nak kahwin dengan kau. Sejak kecil lagi dia asyik ikut kau ke mana saja. Kalau dia tahu kau balik tahun ni, aku nak sangat tengok apa yang akan terjadi. Aku pun dah lama tak jumpa dengan dia bila balik kampung. Nona kata dia tak datang pun kalau tau kau tak ada. Dia tunggu kau sajalah tu.”
“Couple years ini aku ada dengar daripada geng bola sepak kita yang dia dah bukan budak-budak lagi. Satu kampung kenal dia. Budak glamor. Dia orang kata dia cun gila sekarang. Aku pun nak tengok juga. Manalah tau kalau betul-betul cun, aku boleh buat dia jadi awek masa balik kampung. Itupun kalau kau bagi izinlah,” kata Norman sambil ketawa terbahak-bahak. Kemudian dia berhenti ketawa dan menyambung kata-katanya semula.
“Aku pun nak tengok juga reaksi budak tu kalau dia tahu kau balik dengan Mia. By the way, kau dah beritahu Mia ke pasal budak tu? Aku takut nanti Mia salah faham pula. Manalah tahu budak tu terus attack kau depan Mia nanti,” tambah Aidan.
Ian terdiam sekali lagi. Dia teringat beberapa peristiwa lampau yang pernah dialaminya. Budak mentah atau bakal isteri yang diceritakan oleh Aidan dan Norman ialah seorang budak perempuan yang paling dibencinya. Buat sakit hati sahaja apabila teringat tentang budak itu. Tahun ini merupakan kali pertama dia balik ke kampung setelah empat tahun berada di Amerika. Kalau ikut kemampuan, dia boleh sahaja balik ke kampung setiap kali menyambut hari raya.
Apatah lagi apabila mama selalu mendesaknya untuk pulang bercuti di Malaysia. Namun, dia berikan alasan untuk menyambut hari raya di perantauan sepertimana yang pernah dilakukan oleh Aidan ketika abangnya belajar di Boston dahulu. Bukan sebab budak perempuan itu, tetapi hakikat yang sebenar ialah dia ingin merasa kehidupan di perantauan. Merasa kebebasan yang sungguh menyeronokkan.
Ian tidak dapat menafikan rumah tok bah dan pekan Jitra sungguh istimewa. Masalahnya, setiap kali dia balik ke kampung pasti budak perempuan itu akan berada di mana-mana sahaja. Ian naik menyampah dengan perangai budak itu, malah budak itu memang bebas keluar masuk ke dalam rumah Nona. Penghendap peribadi. Itulah gelaran yang diberikan oleh Nisrina dan Camelia.
Pergi ke mana sahaja, pasti Ian dapat merasakan dirinya diekori. Bukan setakat menghendap, malah budak itu pasti akan berada di kawasan persekitaran ketika dia melakukan aktiviti luar seperti bermain bola. Pada mulanya dia tidak peduli. Lama-kelamaan, keadaan semakin merimaskan. Mujurlah dia ke luar negara. Tidak teringat langsung tentang budak perempuan itu sehinggalah Norman dan Aidan membangkitkan hal tentangnya sekarang ini.
Kereta di hadapan tiba-tiba membelok ke kiri. Aidan cepat-cepat memberi signal ke kiri dan mengekori kereta yang masuk ke kawasan R&R Tapah.
“Apalah Nis ni, ada lesen pun tak pandai nak bagi signal,” keluh Aidan.
“Kak Nis memang macam tu. Orang Kedah kata kalut sungguh,” kata Norman sambil menggeleng.
“Kau orang tolong tengok mana-mana parking yang ada. Penuh sesak ni.”
Setelah beberapa minit mencari parkir, akhirnya mereka parkir di kawasan utama R&R itu.
Ketiga-tiga anak teruna itu keluar dari kereta dan mencari kereta yang dipandu oleh Nisrina. Norman terlebih dahulu nampak kereta kakaknya yang berada hampir dengan sebuah pokok. Perlahan-lahan mereka menuju ke situ. Cuaca yang panas pada bulan puasa ini serta kesesakan jalan raya juga memang agak meletihkan mereka. Namun, dua daripada mereka bertiga tidak kelihatan letih langsung, malah lebih bersemangat apabila melihat beberapa orang gadis keluar dari perut kereta Honda merah itu.
Terdapat dua orang gadis cantik bersama Nisrina dan Camelia. Salah seorangnya ialah Nurul Hanim yang bakal bertunang dengan Aidan sebulan selepas hari raya nanti manakala seorang lagi ialah Mia Qistina, teman wanita Ian.
“Hah, jangan layan dia orang tu. Jom kita pergi toilet dulu,” ajak Nisrina kepada Nurul Hanim dan Mia Qistina.
Nurul Hanim dan Mia saling berpandangan dan tersenyum mendengar ajakan Nisrina. Mereka hanya melambaikan tangan kepada teman lelaki masing-masing sambil berjalan menuju ke arah bangunan R&R. Kaum lelaki juga bergerak menuju ke arah yang sama iaitu ke tandas awam.
Keluar sahaja dari bilik air, beberapa ahli keluarga sudah pun berkumpul di satu sudut. Ian mendekati mamanya yang sedang berbual dengan Hanim dan Mia. Ian berdiri di belakang Mia sambil berbisik sesuatu ke telinga Mia.
“I miss you.”
“Shhh…” balas Mia tanpa melihat Ian. Fokusnya kepada perbualan antara Puan Linda dan Nurul Hanim.
“I miss you so much,” bisik Ian sekali lagi sambil meniup ke cuping telinga Mia.
“Ian!” tegur Mia sedikit terkejut dengan perbuatan berani Ian di hadapan mamanya. Puan Linda hanya tersenyum melihat kelakuan nakal anak bujangnya itu. Satu jelingan amaran turut diberikan.
“What?” soal Ian apabila melihat jelingan mamanya.
“Hormat sikit bulan puasa ni, Ian.” Mamanya memberi ingatan.
“Ian tak buat apa pun,” balasnya.
“Mama nampak apa kamu buat. Jaga sikit kelakuan kamu tu. Dah nak masuk dua puluh tiga tahun pun masih macam budak-budak.”
“Yalah… Dah besar pun perangai macam budak-budak,” ejek Mia tanpa rasa malu.
“Mama nampak tak ada perempuan lain selain mama yang berani tegur Ian?”
Puan Linda menggeleng. Sama sahaja perangai Ian dengan abangnya Aidan. Manja dan kuat menyakat. Namun dalam tempoh setahun ini, Puan Linda dapati perangai Aidan semakin matang. Mungkin kerana Nurul Hanim. Puan Linda arif tentang hubungan cinta Aidan dan Nurul Hanim yang sudah mula berputik sejak zaman persekolahan lagi. Nurul Hanim juga merupakan anak gadis kepada salah seorang kenalannya. Jadi apabila kedua-dua mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, Puan Linda amat bersyukur. Memang selama ini dia mendoakan jodoh Aidan dengan Nurul Hanim. Gadis di hadapannya itu bukan sahaja cantik dan berpelajaran tinggi, malah sungguh bersopan santun dan berbudi bahasa.
Puan Linda memandang ke arah Mia yang sedang rancak berbual dengan Ian. Mia, seorang gadis cantik dan agak lincah. Kali pertama dia berjumpa dengan Mia ketika dia melawat Ian di Amerika setahun yang lalu. Ian lebih nakal berbanding abangnya. Ketika mereka bersekolah menengah, Ian lebih banyak menerima hadiah dan panggilan telefon daripada gadis-gadis yang meminatinya berbanding Aidan.
Sikap nakal Ian memang terkenal di sekolah mahupun di kawasan perumahan mereka. Puan Linda pasti suatu hari nanti akan ada anak gadis yang berjaya memikat hati anaknya itu. Kenal sahaja dengan Mia, Puan Linda sudah mengagak Mia sudah mendapat tempat dalam hati Ian.
Mia merupakan anak bongsu kepada Datuk Doktor Shahidan Razak yang merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keluarga mereka dan keluarga Mia juga sudah saling mengenali.
Pada mulanya, Puan Linda keberatan juga apabila Ian memberitahu tentang hasrat untuk membawa Mia berhari raya di Kedah. Tetapi setelah keluarga Datuk Shahidan sendiri meyakinkan bahawa tiada masalah untuk Mia mengikuti mereka, barulah lega sedikit hati Puan Linda. Rupa-rupanya keluarga Mia juga seperti sesetengah golongan yang menyambut hari raya dengan bercuti di luar negara.
“Mama. Pukul berapa nak sampai rumah tok bah?”
Puan Linda tersenyum melihat anak bongsunya, Nia Tatiana yang baru berusia sebelas tahun. Jauh beza umur Nia dengan Anna Camelia yang sudah hampir mencecah dua puluh tahun. Puan Linda tidak menyangka ada lagi rezeki yang datang ketika usianya lewat tiga puluhan. Ingatkan Camelia anaknya yang terakhir.
“Lama lagi, sayang… Macam mana, larat lagi tak nak puasa?” soalnya kepada anak gadis itu.
“It’s okay, ma. Nia boleh tahan. Nia nak belajar berpuasa. Nia kan dan besar. Lagipun, nanti mama juga dapat pahala.”
“Pandai anak mama. Kalau Nia tak larat, beritahu mama. Kalau nak buka puasa pun tak apa. Jauh lagi nak sampai rumah tok bah.”
Puan Linda bimbang juga kalau Nia penat berpuasa. Maklumlah, anak-anaknya daripada Aidan sehinggalah ke Camelia, tiada yang pernah berpuasa penuh seperti Nia. Sehingga sekarang pun Puan Linda syak anak-anaknya itu tidak berpuasa penuh kecuali Aidan. Mungkin kerana Aidan ada ‘pengawas manis’ yang menjaga dan mengingatkannya kepada hukum yang wajib itu. Puan Linda menarik nafas lega. Adakalanya Puan Linda rasa bersalah. Mungkin sebagai seorang mualaf, dia juga ada kekurangannya. Dia memeluk agama Islam semata-mata hendak berkahwin dengan Encik Muhsin.
Pada mulanya Puan Linda menganggap menukar agamanya kepada Islam sebagai tuntutan untuk ikatan perkahwinan yang disyaratkan di negara berdaulat ini. Lama-kelamaan, dia jatuh cinta dengan agama itu sendiri. Walaupun dia mungkin terlewat dalam mendidik anak-anaknya ke arah agama yang dicintainya itu, dia kini berdoa agar mereka dapat mendalami Islam dengan sepenuhnya.
“Jom, ma… Papa dah panggil tu,” ajak Nia apabila melihat papanya melambai-lambai ke arah mereka untuk meneruskan perjalanan.

“YOU dengan Aid dah ada tarikh ke nak bertunang?” soal Nisrina kepada Nurul Hanim yang duduk di kerusi belakang.
“Bulan depan. Tiga puluh hari bulan, insya-allah,” balas Nurul Hanim.
“You pula Mia? Dah ada pelan ke dengan Ian?” Mia ketawa kecil.
“Awal lagilah. We all kan masih lagi belajar. Lepas belajar, nak kena fikir pasal kerja. Lagipun kita orang masih muda. Awal lagilah nak fikir pasal hal tu,” balas Mia.
“Ian setuju ke?” soal Camelia.
“Ian dengan I sama-sama fikir macam tu.”
“Tak kesahlah you all nak steady dulu. Our grandparents are open minded people. Dia orang mesti faham punya. Elok juga you kenal dengan dia orang. At least you tahu tentang our family kalau you pelan nak masuk in this family.”
“I tak kesah. Tak salah kalau kenal dengan famili you all. Lambat laun pun kena kenal juga, kan. Lebih baik kenal sekarang,” balas Mia.
Nisrina mengangguk. Dia kurang senang dengan jawapan yang diberikan oleh teman wanita sepupunya itu. Nisrina memang rapat dengan Ian kerana mereka lahir pada tahun yang sama. Kedua-dua mama mereka berpantang selang sebulan sahaja. Sebab itulah hubungan mereka lebih kepada sahabat daripada sepupu.
Begitu juga dengan Aidan, Norman dan Camelia. Sepupu dan sahabat sedari kecil lagi. Rumah mereka di Kota Kemuning pun sebelah-menyebelah sahaja. Kelima-lima mereka juga bersekolah di sekolah yang sama. Jadi Nisrina lebih selesa dengan Nurul Hanim yang dikenalinya ketika zaman persekolahan dulu. Nisrina rasa sedikit kurang selesa apabila berbual dengan Mia. Pada fikirannya, Mia agak sombong sedikit dan kurang mesra serta sedikit bermuka-muka. Bukan dia seorang sahaja yang berperasaan begitu terhadap Mia. Pendapatnya sama dengan Camelia.
“You mesti suka tok bah dan Nona kami. They are friendly people.” Camelia pula bersuara.
“Kenapa grandparents you tak stay KL? Ada apa di Jitra tu sampai they all sanggup tinggal di situ?” Mia menukar topik. Dia tidak kesah untuk berjumpa dengan datuk dan nenek Ian, tetapi perjalanan yang jauh sewaktu bulan puasa ini agak mencabar dan membuatkan dia rasa kurang sabar. Dia tidak faham kenapa keluarga Ian sanggup mengharungi kesesakan balik kampung sebegitu. Bukankah lebih cepat dan selesa kalau menaiki kapal terbang sahaja?
“Mereka suka sangat dengan negeri Kedah tu. Mungkin kita orang muda ni tak berapa faham sangat. Lainlah mereka yang sudah lama kenal dunia,” balas Nisrina.
“By the way Mia, ada Ian cerita dekat you tentang adik angkat dia di kampung we all?” Sebaik sahaja Camelia buka mulut, Nisrina mula ketawa.
“Ian ada adik angkat? Tak pernah dia cerita pun,” balas Mia.
“Ada seorang budak kampung ni. Masa kecil-kecil asyik ikut Ian ke sana sini. Mula-mula kami ingatkan dia nak main-main dengan kami semua. Rupa-rupanya dia nak main dengan Ian saja. Masa kecil tak apa lagi. Bila dia dah besar jadi lain macam sikit. Kalau balik kampung saja, inilah perkara yang we all suka nak tengok. Apa budak ni nak buat pada Ian?”
“Budak tu ada masalah mental ke?” soal Mia.
“Rasanya normal. Cuma dia obsess dengan Ian. Masa umur dia sepuluh tahun, dia beritahu Nona yang dia nak kahwin dengan Ian. Mana Ian tak kecut perut. Budak kecil macam tu dah ada cita-cita nak kahwin dengan dia.”
“I pernah dengar cerita pasal budak tu daripada Aid. Sebenarnya apa hubungan dia dengan you all?” soal Nurul Hanim pula.
“Tak ada hubung kait pun,” jelas Camelia.
“Nama dia Moon. Nenek dia bidan kerajaan dan mak saudara dia kerja dengan Nona. Dulu masa mama bersalinkan Nia, dia selalu ikut nenek dia datang ke rumah Nona sebab nenek dia mengurut mama. Masa tu kali pertama kami jumpa dia. Lepas tu, bila-bila sahaja kami balik ke kampung, dia pasti datang ke rumah Nona. Mak Cik Esah yang kerja di rumah Nona tu mak kawan dia, jadi dia selalu jugalah lepak di situ.”
“Habis tu kalau Ian balik kampung, dia selalu ada di sana ke?”
“Setiap hari dan setiap saat. Bila time nak tidur aje dia balik ke rumah dia.”
“Mak bapak dia tak kesah ke?”
“Tak tahulah. Dengar cerita parents dia dah bercerai. Masing-masing dah kahwin lain dan ada keluarga sendiri. Dia tinggal dengan nenek dan mak saudara dia. Rumah dia orang tak jauh dari rumah Nona. Nona pula jenis tak kesah langsung. Nona juga jenis suka kalau ada orang bertandang ke rumah dia. Jadi budak perempuan tu bebas keluar masuk rumah Nona sampai sekarang.”
“Berapa umur dia sekarang?”
“Rasanya tahun ni dah tujuh belas tahun, betul tak Cam?” tanya Nisrina kepada Camelia yang mengangguk-angguk setuju.
“Agak-agaknya apa yang dia nak buat kalau dia tahu Ian balik tahun ni?” Nisrina memandang ke cermin kereta untuk melihat reaksi Mia dengan soalan yang baru diajukan tadi.
“Budak tu cantik ke?” tanya Nurul Hanim.
“Mmm… Tak surelah nak kata cantik ke tidak. Masa dia kecil dulu memang comel juga. Bila dia besar sikit, selalu datang rumah bersolek sampai ke telinga. Nak kata comel, kelakar pun ada juga,” balas Nisrina sambil ketawa berdekah-dekah.
“Muka macam badut betul. Lepas tu bukannya pandai sangat. Mak Som yang masak di rumah Nona tu pernah cakap budak tu masuk kelas dengan anak dia yang selalu failed bila exam. Dahlah hodoh, lembab pula tu,” tambah Camelia yang turut ketawa.
“Kalau depan Ian, nak bercakap pun dia tergagap-gagap. Kesian juga kadang-kadang tengok dia tu. Kadang-kadang naik menyampah pun ada.”
“Kalau dengar dia berbual dengan orang lain, okey aje. Pandai pasang ayat.”
“Nona suka betul dengan budak tu sebab dia memang pandai ambil hati Nona. Mak saudara dia kerja di kedai bakeri Nona… Jadi budak tu selalu juga tolong-tolong di sana.”
“Tapi Cam, Nis rasa kali ni budak tu pasti mengaku kalah sebab kali ni Ian balik bawa Mia. Tentu budak tu give up.”
“Wah! Tak sabar nak tengok drama. Sorrylah Mia, tapi I kena cakap ni. You akan jadi watak utama kali ini. Sorry ya, Hanim… Sebab you dengan we all yang lain ni akan jadi watak sampingan aje kali ni.”
“Tak apa, Nis. I lagi suka jadi penonton,” balas Nurul Hanim sambil ketawa. Tangan kanannya menepuk lembut paha Mia untuk memberikan semangat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90604/Sweet-Dream-Cinta