[REVIEW] Yang Terindah Maryam Sofea

Yang Terindah Maryam Sofea oleh Ailah Diela

Cantik dan mempesonakan! Itulah yang membuatkan dirinya hanya nampak keindahan di dalam diri wanita itu. Tapi kenapa makin dikejar, makin jauh. Yang tambah peliknya, kenapa makin mahal semakin hati meronta ingin memiliki gadis itu.

Maryam Sofea, nama itulah yang buatkan Farhad jatuh cinta berkali-kali. Dia bukannya tak ramai peminat, saban malam ada saja peneman di sampingnya. Tapi Maryam Sofea itu jugalah yang memaut hatinya.

“You pun tahukan cara I. Jangan nak buat muka hanya disebabkan benda yang you sendiri dah tahu jawapannya. Jawapan I tetap sama walau beribu kali you cuba.” – Sofea

Merajuklah sampai ke negara China sekalipun. Memang tinggal dalam mimpi sajalah Sofea nak pujuk. Tak apa! Dia boleh pujuk diri sendiri asalkan wanita itu menjadi isterinya. Tiada lagi kelab malam! Tiada lagi perempuan saban malam! Farhad sanggup dan rela demi memiliki wanita terindah itu.

“I tahu I salah sebab pernah abaikan dia. Tapi I yakin I mampu bahagiakan dia. Ceraikan dia…” – Azad

“Look, Farhad. I dengan Sofea dah lalui semua. Sebagai suami I yakin you sendiri pun tahu luar dalam Sofea macam mana. Dia bukan lagi perempuan suci yang you boleh banggakan sebagai seorang isteri. I dengan dia dah pernah terlanjur. Bagi I peluang untuk bertanggungjawab.” – Azad

Kenapa bila Sofea dah sah menjadi hak miliknya, harus muncul orang ketiga? Apa yang harus dia buat apabila wanita yang menjadi pujaannya selama ini rupanya bukan seperti yang dia sangkakan? Haruskah saja dia mengalah dan lepaskan wanita itu demi kebaikan semua?

Tetapi mampukah dia hidup tanpa ada wanita yang mengindahkan hari-hari yang dilaluinya?


Min enjoy baca novel ni. To be honest, ni first novel Ailah Diela yang Min baca. And Min sangat terpaut dan tak boleh berhenti baca. Min suka transisi watak-watak dalam novel ni yang berubah ke arah lebih baik. Penulis nak mengajak dan menyedarkan pembaca, salah tetap salah. Dosa tetap dosa. Ikutilah teladan watak-watak dalam novel penulis, belajar dari kesilapan dan mula mencari hidayahNya. 

Min suka betapa sayangnya Farhad pada Sofea dan betapa dia seorang yang gentleman. Farhad kejar Sofea sampai dapat. Farhad berjaya juga menawan Sofea yang jinaknya seperti merpati. Sebenarnya, Farhad dan Sofea ada masa silam masing-masing yang bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Tapi bila dah berkahwin, mereka saling memahami dan menerima. Mereka bukan tinggal pada masa silam tetapi realiti sekarang di mana mereka tak boleh ubah apa yang telah berlaku. Sofea pula dikatakan lawa dan seksi. Walaupun begitu, dia mempunyai hati yang baik untuk perempuan moden. Cuma masih tak cukup untuk menawan hati ibu mertuanya. Ya! Ibu Farhad tak suka dengan Sofea. Tapi Sofea sangat baik dengan ibu Farhad.

Ada banyak juga konflik dalam novel ni tapi ringan-ringan saje. Min suka bila Farhad sentiasa kelihatan waras dan positif. Sofea pula ada one moment dia kembali ke kelab. Lepas daripada itu, mereka grow stronger. Mereka hadap susah senang bersama-sama. Min jealous sebab Min membayangkan dorang ni macam idol couple tau. Sebab dua-dua ada aura tersendiri. Overall, memang enjoy baca novel ni. Sesuai baca untuk mereka yang nak release stress sebab bahan bacaan ni ringan saja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338148/Yang-Terindah-Maryam-Sofea

[REVIEW] Hessa It’s Me!

Hessa It’s Me! oleh Jaja Ahmad

Pertemuan semula di antara Hessa dan Niyaz membuatkan Niyaz teruja. Lalu tanpa melepaskan peluang yang ada, Niyaz terus menghulurkan salam perkenalan untuk berkawan dengan gadis yang pernah dia jumpa dua tahun lepas. Tetapi rasa teruja bertukar kecewa bila Hessa berperasaan sebaliknya.

“Friendship only exist when there is a trust Hessa.” – Niyaz

Namun satu kejadian yang tidak diingini telah berlaku yang menyebabkan mereka bersatu di dalam ikatan perkahwinan. Tetapi bukan kahwin paksa dan juga bukan perkahwinan yang dirancang oleh keluarga.

“Kita kahwin. Hessa akan jaga abang sekeluarga sepenuh jiwa dan raga Hessa bagi menebus kesalahan Hessa” – Hessa

“I accept your proposal.”- Niyaz

Semuanya nampak sempurna walaupun pada awal perkahwinan masing-masing seperti kabur dengan perasaan sendiri dan dengan menggunakan kunci ‘Tips on how to make a guy fall in love with you’ pintu perasaan Hessa dan Niyaz mula dibuka dengan perlahan-lahan.

“What’s on the menu?” – Niyaz

“It’s M – E – N – U…” – Hessa

Hessa yang manis, Hessa yang manja membuatkan kehidupan Niyaz lebih bermakna. Namun perkahwinan mana yang tidak dilanda badai? Kepulangan Nurul dan Naylie membuatkan kesemuanya berubah. Cemburu, marah, dan sedih bercampur menjadi satu. Rahsia yang ditutup dengan rapi juga mula terbongkar. Hessa, It’s Me! Dan hanya gadis itu yang setia bertakhta di hati.

Even if there’s no gravity on earth, I’d still fall for you. – Niyaz

You don’t need keys to drive me crazy. – Hessa


Bila dah baca novel ni baru Min tahu yang Hessa dan Niyaz ni berkawan je mulanya. Agak lambat lepas sesuatu kejadian baru mereka berkahwin. Kalau tak tahulah hahaha. Sebab dua-dua macam stuck dalam friend zone. Maybe dah selesa sangat berkawan sampai tak ada feeling atau maybe dorang sendiri tak sedar. Bila dah kahwin tu take time jugak nak wujudkan feeling antara mereka. Hessa berusaha dengan baik time honeymoon. Niyaz tak sedar yang dia dalam permainan yang direncanakan isteri dia sendiri hihihihi.

By the way, banyak ujian yang pasangan ni perlu tempuhi. Banyak juga watak-watak antagonis dalam ni, Nurul, Naylie dan Nek Ma. Lepas satu, satu yang terjadi. Tapi pasangan ni selalu ada untuk satu sama lain. Tak mudah untuk pisahkan mereka. Manakala, Nurul adalah watak paling gila antara antagonis yang lain. Buat kerja gila yang unexpected. Rasanya dia memang ada masalah mental kot? Nurul ni best friend si Niyaz sebenarnya.

Overall, Min enjoy baca cerita ni walaupun banyak jugak watak sampingan. Adik-beradik Hessa lah, family Niyaz la dan kawan-kawan Niyaz dan Hessa. But I enjoy it. Watak-watak dalam ni menghidupkan lagi ceritanya. Ada fungsi mereka tersendiri. Min enjoy baca novel ni. Min suka keteguhan Hessa dan Niyaz untuk terus bersama-sama. Tak mudah tapi mereka tak cepat melatah. Marah/merajuk sekejap pastu dorang back to normal. Tahniah penulis. Ni karya first dari Jaja Ahmad yang Min baca. Sesiapa belum baca lagi, boleh give it a try, tekan link di bawah ya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/337936/Hessa-Its-Me

[SNEAK PEEK] Suami Tuan Puteri

Suami Tuan Puteri oleh Wardina Aisyah

SUARA gelak tawa anak dan menantu membuatkan anak mata Datin Paduka Syarifah Mastura memicing ke arah pasangan itu. Meluat sungguh dia melihat kemesraan yang dipamerkan. Apatah lagi dengan sikap manja yang Eshal Rania tunjukkan pada suaminya. Semakin sakit rasa hati Datin Paduka Syarifah Mastura melihat.

Lantas, satu desahan kasar dilepaskan.

“Kenapa ni?” Datuk Paduka Tengku Azlan yang baru melabuhkan punggungnya di atas kerusi berlorek cantik itu menegur. Mendengar desahan kasar isterinya, pasti ada yang tidak kena.

“You tengoklah tu!” Bibirnya dimuncungkan ke arah anak dan menantu.

Seraya itu juga anak mata Datuk Paduka Tengku Azlan bergerak memandang pasangan muda yang sedang bergurau senda. Senang hatinya melihat pemandangan bahagia itu. Semoga anak dan menantunya bahagia hingga ke akhir hayat.

Melihat senyuman yang terukir di bibir suaminya, semakin digigit geram hati Datin Paduka Syarifah Mastura. Lantas saja dia bersuara, “Menyampah!”

Datuk Paduka Tengku Azlan berpaling.

“Kenapa nak menyampah pula? Sepatutnya you tumpang gembira tengok rumah tangga anak dan menantu kita bahagia. You patutnya bersyukur tau. Dapat menantu yang mampu ubah Rania menjadi Rania hari ini.”

Sakit hati Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar kata-kata suaminya. Sejak Ihraz Zahin menjadi menantu di dalam rumah ini, suaminya selalu saja menangkan lelaki itu. Kata-katanya ada saja yang tidak kena. Tapi Ihraz Zahin, semua baik-baik belaka!

“I tahu you kecewa tak dapat berbesan dengan Nerina. Tapi… You kenalah terima kenyataan. Jodoh Rania dengan Zahin, bukannya Ameer.”

“You bercakap senanglah! Tapi I ni… Hati I tak dapat terima semua ni. I dah lama bercadang nak satukan Rania dengan Ameer. Alih-alih, Rania kahwin dengan orang lain. Dah tu, driver kita pula. Malu tau! Dah macam tak ada lelaki lain nak dijadikan suami. Driver jugak yang dia pilih,” gumam Datin Paduka Syarifah Mastura. Sejak bermenantukan pemandu suaminya itu, dia sudah jarang keluar berjumpa teman-teman. Malu menjadi bahan usikan. Dapat menantu, kerjanya sebagai pemandu.

“Astagfirullahalazim… Boleh tak kalau you tak berfikiran macam tu? Kerja apa sekali pun, yang penting rezekinya halal,” tegur Datuk Paduka Tengku Azlan. Perangai isterinya ini semakin lama semakin menjadi-jadi. Terlalu memandang rendah pada golongan yang tak setaraf dengan mereka.

Tercebik-cebik bibir Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar teguran suaminya. Itulah suaminya, selalu sangat bagi muka pada orang-orang sebegitu. Mana tidak kepalanya dipijak-pijak. Kalau kena dekat dia, jangan harap nak bagi muka. Disebabkan itu, kesemua pembantu rumah mereka cukup gerun padanya.

“Hisy! Susahlah nak cakap dengan you ni. Itu salah, ini salah. Yang baik semua menantu kesayangan you tu. Dah… I malas nak layan you! Buat sakit hati aje.”

Dengan muka masam mencuka, Datin Paduka Syarifah Mastura berlalu meninggalkan Datuk Paduka Tengku Azlan bersendirian. Tidak kuasa hendak menghadap kemesraan yang tercipta antara Eshal Rania dan Ihraz Zahin. Sakit mata dan hati.

Melihat isterinya berlalu, Datuk Paduka Tengku Azlan hanya menggelengkan kepala. Keras sungguh hati isterinya itu. Langsung tidak dapat menerima hakikat perkahwinan anak dan menantu mereka. Entah apalah istimewa sangat anak muda bernama Syed Ameer Rayyan itu di mata isterinya? Sampai isterinya begitu kecewa anak perempuan sulung mereka ini tidak memilih pemuda itu sebagai suami.

Jika ditanya pendapatnya, dia lebih suka Ihraz Zahin menjadi menantu daripada Syed Ameer Rayyan. Hati tuanya ini seolah-olah berkata, ada rancangan yang ingin dilaksanakan Syed Ameer Rayyan melalui perkahwinan dengan Eshal Rania. Cuma, dia tidak mahu menuduh. Takut menjadi fitnah.

“Datuk… Makan malam dah tersedia.” Mak Mun datang dan dengan penuh hormat dia bersuara.

Datuk Paduka Tengku Azlan mengangguk. Kemudian dia bangun dari duduk.

“Mak Mun tolong panggilkan budak-budak tu. Seronok sangat mereka berdua sampai tak ingat masa nak makan.”

Akur dengan arahan tuan rumah, Mak Mun menghampiri pasangan suami isteri yang baru saja mendirikan rumah tangga. Bau-bau pengantin baru masih melekat lagi pada pasangan ini. Bukan main mesra lagi nampaknya mereka. Macam orang sedang hangat bercinta saja.

Entah-entah, mereka berdua ini betul-betul bercinta agaknya? Kalau betullah telahannya ini, dia tumpang gembira dan memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana telah menyatukan dua hati.

“Zahin, Puan Muda Rania… Datuk panggil masuk ajak makan malam bersama.” Formalnya Mak Mun bila berdepan dengan Eshal Rania. Bila berdepan dengan Ihraz Zahin seorang, tidak pula dia seformal ini. Main lepas saja.

“Mak Mun… Lain kali tak payah panggil dia ni Puan Muda Rania lagi. Panggil Rania aje. Mengada-ada pula Zahin dengar Mak Mun panggil dia macam tu. Gelaran tak bawa apa-apa makna tau,” tegur Ihraz Zahin.

“You… Tak baik tau cakap macam tu. I tak mintak pun Mak Mun panggil I macam tu. Mak Mun, lepas ni panggil Rania aje. Tak usah nak berpuan muda. Nanti ada telinga orang bernanah dengar Rania kena panggil macam tu depan dia,” balas Eshal Rania dengan mata dijeling manja ke arah suaminya. Bibir sengaja dimuncung. Konon hendak merajuk dengan ejekan suaminya itu. Sedangkan hakikatnya, dia cukup senang bergurau senda dengan suaminya ini. Terasa bahagia.

Selalunya Eshal Rania tidak seperti ini. Cakapnya tinggi melangit. Sikapnya tidak ubah seperti bondanya yang sombong dan berlagak. Mak Mun bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Eshal Rania yang lembut seperti gula- gula kapas. Benarlah, tuan puteri ini telah berubah laku.

“Mak Mun… Dengar tak ni? Yang Mak Mun pergi tenung muka dia ni sampai macam tu sekali kenapa? Tak percaya ke? Percayalah, Mak Mun… Tuan puteri saya ni dah berubah. Dah tak kerek macam dulu. Kan, sayang?” ujar Ihraz Zahin menyiku lengan sang isteri.

Bagaikan burung belatuk Eshal Rania mengangguk mengeyakan kata-kata suaminya. Dia mahu berubah. Mahu menjadi Eshal Rania yang baru. Eshal Rania yang tidak lagi berlagak diva seperti dulu.

“Yalah tu. Dah, dah… Datuk dengan Datin dah tunggu tu. Pergilah masuk. Makan malam dah tersedia. Kang sejuk, tak sedap pula. Malam ni Mak Mun masak khas untuk Zahin dan Rania.”

“Ni yang tak sabar nak makan. Mak Mun ada masak ikan pari masak asam pedas tak?” kecur liur Eshal Rania mengenangkan pari asam pedas Mak Mun yang super-duper sedap hingga menjilat jari itu.

“Adooo…”

“Aik? Sejak bila awak makan asam pedas ni? Bukan lidah awak lidah minah salih ke?”

“You… Boleh tak jangan nak mengata I? Tak kesahlah bila pun, yang penting I nak jadi Eshal Rania wanita Melayu terakhir.”

Terkekeh-kekeh Ihraz Zahin ketawa mendengar omongan isterinya itu. Besar sungguh impian tuan puterinya ini. Mahu menjadi wanita Melayu terakhir. Tapi padanya,

Eshal Rania tetap seorang tuan puteri. Tuan puteri yang telah menambat hatinya ini.

SILIH berganti wajah Eshal Rania dan Ihraz Zahin menjadi santapan mata Datin Paduka Syarifah Mastura. Kemesraan pasangan itu cukup menyebalkan. Eshal Rania, anaknya itu secara terang-terangan menunjukkan rasa hatinya terhadap Ihraz Zahin. Lelaki itu dilayan bagaikan raja.

“Ehem…” Datin Paduka Syarifah Mastura berdeham.

“Esok bonda nak korang pergi Butik Aneez. Cuba baju pengantin yang bonda dah pilihkan untuk korang,” ujarnya kemudian. Mata tidak lagi berlabuh pada anak dan menantu. Menyakitkan hati saja melihat kemesraan yang dipamerkan.

“Hari lain tak boleh ke, bonda? Esok Rania sibuk sikitlah.”

Kebetulan esok dia ada mesyuarat dengan pihak penaja yang hendak menaja majlis syarikatnya hujung bulan ini. Dia perlu menyelesaikan semua urusan sebelum mengambil cuti untuk menjayakan majlis resepsinya.

Datin Paduka Syarifah Mastura panggung kepala. Tajam anak matanya merenung Eshal Rania.

“Rania kalau dengan bonda ada aje alasannya. Tapi kalau dengan orang lain, tak ada pula alasan sibuk ni. Tak ada alasan! Esok korang berdua kena pergi Butik Aneez. Bonda dah buatkan janji temu untuk korang berdua.”

Siapa orang luar yang dimaksudkan bonda? Ihraz Zahinkah? Tidak patut bonda berkata begitu. Ihraz Zahin bukannya orang luar. Ihraz Zahin juga merupakan salah seorang anggota keluarga mereka kini. Terkilan sungguh Eshal Rania dengan sikap bondanya ini.

“Bonda…”

Ting tong! Ting tong!

Bunyi loceng di pintu utama membantutkan niat Eshal Rania untuk terus bersuara.

Tanpa diarah, Mak Mun bergerak ke muka pintu. Lalu menyambut tetamu yang datang berkunjung. Entah siapa gerangan tetamu yang datang malam-malam begini?

“Assalamualaikum…”

Mendengar suara itu, laju saja Datin Paduka Syarifah Mastura berpaling. Senyuman pada bibirnya mula merekah.

“Ameer? Kenapa datang tak bagi tahu?”

Dengan mesra Datin Paduka Syarifah Mastura menyambut kedatangan anak muda itu. Sedangkan hakikatnya dialah orang yang telah menelefon Syed Ameer Rayyan supaya datang ke sini. Tujuannya cuma satu, mahu Eshal Rania bertemu Syed Ameer Rayyan. Soal Ihraz Zahin, dia tidak mahu peduli. Meski Eshal Rania telah menjadi isteri lelaki itu, dia tetap berhasrat mahu menyatukan anaknya dengan Syed Ameer Rayyan. Walau dengan cara apa sekali pun!

“Saje aunty, nak buat surprise. Tak sangka pasangan pengantin baru pun ada kat sini.”

Mata Syed Ameer Rayyan melirik ke arah Eshal Rania dan Ihraz Zahin. Tenang saja dilihatnya wajah lelaki itu. Langsung tiada riak cemburu. Malah dengan senang Ihraz Zahin berjabat tangan menyambut kedatangannya. Tanda hormat pada tetamu yang datang bertandang.

“Aunty jemput dia orang dinner kat sini. Kesian Rania… Sejak kahwin ni dah jarang sangat makan sedap. Sebab tu yang aunty masak sedap-sedap khas untuk dia. Maklum la… Kat rumah tu makan berlaukkan telur goreng aje.” Sinis kata-kata Datin Paduka Syarifah Mastura. Langsung tidak menjaga hati dan perasaan menantunya.

“Kebetulan Ameer dah datang ni… Jemputlah makan sekali,” jemput Datin Paduka Syarifah Mastura. Lebar sekali senyumannya.

Jelingan mata Datuk Paduka Tengku Azlan yang tajam menikam langsung tidak dihiraukan wanita itu. Seolah-olah menjadi satu kepuasan dapat menyakiti hati Ihraz Zahin. Padan muka! Jika dia sudah membenci, buatlah apa sekali pun dia tetap akan membenci. Jangan harap dia akan sukakan lelaki itu.

Ihraz Zahin berlagak tenang. Cuba tidak menghiraukan sindiran sinis ibu mentuanya yang secara terang-terangan ditujukan buat dia. Jari Eshal Rania yang mendarat ke pahanya dibalas. Digenggam erat dan hati kecilnya berkata, Jangan risau… Saya okey.

Seolah-olah mengerti dengan bisikan hati lelaki itu, Eshal Rania mengukir senyuman kecil. Jemarinya semakin digenggam erat. Dia mahu Ihraz Zahin tahu, dia sentiasa ada di sisi meski halangan datang menimpa.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;

https://www.e-sentral.com/book/info/338315/Suami-Tuan-Puteri

[SNEAK PEEK] Gentleman

Gentleman oleh Ailah Diela

MATA menjeling ke sebelah. Dah hampir lima belas minit mereka berdua berada di dalam kereta. Tapi sepatah perkataan pun tak ada yang keluar dari bibir tu.

“Ehem!”

Aryan berdehem. Cuba menarik perhatian orang di sebelah. Namun seperti biasa, hampa. Hannah masih dengan reaksi yang sama.

“Ehem!!!”

Kali ini deheman lagi kuat.

“Encik Aryan sakit tekak ke? Saya ada gula-gula ni, nak?”

Aryan pandang ke luar tingkap dengan senyuman yang ditahan. Tak sangka Hannah akan fikir macam tu.

“Boleh juga,” balasnya sambil mencuri pandang ke arah Hannah yang menyelongkar ke dalam beg.

Nasib kaulah Aryan! Tak pasal-pasal kena mengaku sakit tekak.

“Alhamdulillah… Mujur tinggal lagi satu.” Hannah keluarkan gula-gula tersebut dan dihulurkan ke arah Aryan. Selalunya memang dia suka simpan gula-gula tersebut sebagai bekalan apabila sakit tekak.

“Saya berdehem bukan sebab sakit tekak pun sebenarnya.” Aryan menyambung kata sebaik sahaja gula-gula tersebut masuk ke dalam mulutnya.

Rasa bersalah pulak telah menghabiskan gula-gula wanita berkenaan.

“Huh?”

“Saya berdehem sebab nak hilangkan bosan. Dalam kereta ada peneman tapi gayanya macam saya seorang saja.”

Hannah sengih serba tak kena. Yang sebenarnya bukan dia tak nak bercakap, tapi dia sendiri tak tahu apa ayat permulaan yang perlu dia tuturkan.

“Saya memang macam ni, Encik Aryan. Tak biasa sangat nak berborak kalau baru pertama kali jumpa.”

Kalaulah lelaki tersebut tahu, otak dia sebenarnya penat berfikir ayat yang sesuai. Nampak saja dia diam, tapi kepala otak kemain aktif.

Aryan angguk faham.

“Panggil Aryan saja boleh tak? Macam pelik sangat pulak dengan perkataan encik dekat bahagian depan tu.”

Dah rasa macam dekat pejabat pulak bila terlalu formal macam tu. Itu pun dekat pejabat kalau orang tu dah biasa dengan diatetap akan panggil nama sahaja walaupun pangkat lebih rendah. Dia lagi sukakan kesederhanaan.

“Oh… Errr… Kawan encik… Maksud saya, kawan Aryan tunggu dekat mana?” Hannah ajukan soalan sebagai salah satu cara untuk membuang rasa kekok.

Berdua-duaan dengan lelaki macam ni memang boleh buat dia hilang kata. Silap hari bulan tingkah laku dia pun boleh pincang ni nanti.

“Kawan?”

‘”Ya… Tadi Puan Sari kata Aryan nak saya pergi ukur baju untuk kawan. Dia tunggu kita kat mana?”

Aryan gelak perlahan.

Adoilah! Sari ni pun tak agak-agak nak reka alasan. Dah tak pasal Hannah kena tipu.

“Okey. Macam nilah Hannah, ya? Saya ni sebenarnya tak suka nak menipu ataupun berdolak dalih ni. Yang sebenarnya tak ada pun istilah kawan saya nak ukur baju tu,” bicara Aryan terhenti dan mencuri pandang reaksi Hannah.

Hannah pandang tepat wajah itu.

“Saya memang nak ajak awak keluar sebenarnya. Tapi kalau boleh tak naklah ganggu masa kerja awak. Saya boleh aje ajak awak keluar lepas habis waktu kerja. Tapi kakak saya ataupun bos awak tu over pulak. Sanggup reka alasan tu semata-mata untuk membolehkan saya bawak awak keluar sekarang ni.”

Kesian pulak dia tengok Hannah. Sari ni pun la… Tak menyabar-nyabar. Sah Hannah kata dia tak gentleman! Nak ajak keluar pun gunakan kakak sendiri.

“Oh…” Pendek reaksi Hannah.

Aryan nak ajak dia keluar? Dia tak salah dengar, kan?

“Saya minta maaf bagi pihak kakak saya.”

“Emmm, tak apa.”

Takkanlah dia nak marahkan bos sendiri pula, kan?

“Jadi, sekali lagi, sebagai permulaan… Hannah, awak nak tak temankan saya pergi makan?”

Mata Hannah pandang jam di pergelangan tangan apabila Aryan ajukan soalan tersebut.

“Baru pukul sebelas pagi ni,” balasnya.

“Tak apa… Sekejap lagi… Sekarang kita pusing-pusing dulu. Lepas tu mesti dah pukul dua belas. Rasanya masa dah sesuai kut nak makan tengah hari.”

Nampak tak betapa bersemangatnya dia? Sanggup tunggu asalkan dapat makan tengah hari bersama Hannah.

“Ermmm okey… Tapi kita nak pusing ke mana?”

“Kita pusing ukur lebuh raya ni ajelah.” Aryan tergelak dengan jawapan sendiri. Itulah, nak sangat bawak anak dara orang keluar. Akhirnya diri sendiri pun tak tahu hala tujuan.

Situasi sekarang berbeza, kalau dengan Malia dulu dia tak payah fikir. Sebelum keluar lagi memang wanita tersebut dah sebut tempat dan apa yang perlu mereka buat. Senang kata, semuanya memang telah diatur.

“Tapi saya tak selesalah nak berdua-duaan dalam kereta macam ni.” Baik berterus terang saja.

Wahai encik abang, awak tak tahu ke jantung saya ni dah huru-hara? Lagi nak ajak berlama-lamaan dalam kereta macam ni?

Aryan angguk faham sambil memuji dalam hati. Bagus! Ini bermakna Hannah tak biasa berdua-duaan dengan lelaki lain. Atau Hannah sekadar berpura-pura. Tak apa, kita tengok dan lihat nanti.

“Okey. Kalau macam tu, kita pergi Sunway Mall ya… Kita pusing dalam tu. Haaa… Dalam tu ramai orang, jadi mesti awak selesa, kan?”

Nak tak nak Hannah terpaksa angguk. Takkanlah dia nak ajak Aryan balik semula ke butik pula. Nampak sangatlah yang dia ni tak sudi?

Eh? Maknanya memang dia mengharap ke yang Aryan ajak dia keluar? Ya. Mengharap tu memang dari dulu lagi. Cuma masa tu dia fikir yang harapan dia tu hanya akan tinggal harapan. Kini peluang dah ada, apa salahnya dia cuba.

“Awak dah mesej boyfriend awak ke ni nak keluar dengan saya?” Aryan mula ajukan soalan dalam masa yang sama menyiasat.

Mata ni pulak asyiklah menderhaka. Suka sangat mencuri pandang wajah putih gebu tu. Kalau boleh, nak tenung lama-lama. Ada sesuatu di wajah tu yang buat dia tertarik.

“Tak ada siapa yang saya nak mesej.”

Yes! Aryan angguk puas hati.

“Tak ada boyfriend? Serius? Memilih sangat ni…” Macam tak percaya pula orang macam Hannah ni tak ada kekasih hati.

Nak kata lawa tu taklah lawa sangat pun. Tapi comel Hannah tu boleh memikat mata sesiapa saja yang memandang.

“Mungkinlah kut.”

Memilih? Ya haruslah dia memilih dalam mencari lelaki untuk disimpan dalam hati. Kalau boleh Hannah tak nak perkara yang sama berulang lagi. Sejarah hitam yang menghantuinya sehingga kini.

“Dah lama kerja dengan Sari?”

“Setahun lebih juga…”

Hannah ambil nafas panjang. Nampak sangatlah yang sebelum ni Aryan langsung tak menyedari kehadiran diri dia ni. Padahal masa hari pertama dia kerja, Aryan ada datang butik. Siap dia lagi yang tolong buatkan air.

“Oh, boleh tahan lama… Duduk sini dengan parents atau dengan kawan-kawan?”

Diam.

“Kalau rasa soalan saya tu terlalu personal, tak perlu jawab. Saya minta maaf,” pohon Aryan apabila menyedari sikap wanita itu yang tiba-tiba berdiam diri.

Mulut dia pun alahai. Ringan sangat pulak nak bertanya macam-macam soalan. Tapi dia tak boleh tipu kemahuan hati. Ikutkan rasa, semua benda pasal Hannah dia nak tahu sekarang ni juga.

Tapi kenapa sekarang? Kenapa masa ada Malia dulu dia tak macam ni?

Adakah ini disebabkan rasa hati yang betul-betul tertarik pada Hannah atau hanya mainan perasaan lelaki yang baru putus cinta?

“Dengan kawan…” Perlahan tutur kata Hannah. Suara juga lebih jauh ke dalam. Nak tak nak dia memang tak ada pilihan. Apa yang diajukan Aryan dia perlu juga jawab.

“Parents duduk mana?”

Kali ini Hannah buang pandangan ke luar tingkap. Tangan menggenggam hujung baju sendiri. Memang dia dah jangka Aryan pasti akan ajukan soalan tersebut.

“Hannah?”

“Pahang.”

Ringkas dan tanpa rasa. Hannah gigit sedikit hujung bibir. Cukuplah, Aryan! Tolong jangan ajukan apa-apa soalan lagi. Bukan ingin melupakan asal usul. Namun ada sesuatu yang mengganggu perasaannya ketika itu.

Aryan bagi signal masuk ke simpang memasuki Sunway Putra Mall. Dalam masa yang sama cuba mencari wajah yang seolah sengaja ingin disorokkan dari dia.

“Maaf… Mungkin soalan saya terlampau peribadi. Padahal ni baru pertama kali kita keluar, kan.”

Tiada jawapan untuk kata-kata Aryan. Selagi boleh Hannah cuba untuk mengawal rasa di dada. Menyebut hal keluarga, memang sesuatu yang cukup susah bagi dirinya.

Ibu. Abah. Ingat lagi pada Nur Hannah binti Azuman ini?

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338141/Gentleman

[SNEAK PEEK] Hati Yang Kau Sakiti

Hati Yang Kau Sakiti oleh Shima Rostam

“KAU temankan aku.”

“Ke mana?”

“Cari lelaki tu.”

“Eh… Buat apa?” Wawa dah pelik. Hari ini kuliah mereka penuh. Takkanlah nak ponteng semata-mata nak cari lelaki itu? Wawa geleng kepala. Ami ni, nampak serabut sangat.

“Aku nak suruh dia batalkan perkahwinan ni. Aku tak nak dia jadi suami aku. Aku rela tak kahwin seumur hidup daripada hidup bersama dia.”

Wawa pandang Ami, tak percaya. Keras betul hati Ami ni.

“Tapi kan keluarga kau dah setuju. Lagipun pada pendapat aku, memang patut pun dia berkahwin dengan kau. Bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.”

Mencerlung mata Ami memandang Wawa. Tak sangka Wawa pun menyebelahi lelaki itu. Sangkanya Wawa faham perasaannya. Ami genggam tangan. Bencinya semakin membuak kepada lelaki itu.

“Dia musnahkan hidup aku. Kau rasa aku patut terima dia dalam hidup aku? Jadi suami aku?” soal Ami tak percaya.

“Setiap orang tak terlepas daripada membuat kesilapan, Ami. Kau pun silap sebab ikut kata hati kau malam itu. Kau tempah perkara itu. Tapi sebab Allah Taala sayangkan kau, Dia terus uji kau. Lelaki itu juga tak salah sebab dia pun mangsa. Bagi aku dia seorang lelaki yang berbudi bahasa. Berani mengaku dan bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan. Walaupun bukan salahnya seratus peratus. Kau patut bersyukur sebab dia tak lepas tangan,” panjang nasihat Wawa. Dia harap Ami sedar apa yang berlaku. Dia juga berharap Ami dapat menerima lelaki itu. Kebahagiaan boleh diusahakan.

Tanpa sebarang kata, Ami ambil beg sandangnya dan terus keluar. Tak guna berbahas dengan Wawa. Dia tetap dengan pendiriannya. Lelaki itu tidak layak menjadi suaminya. Lelaki seperti itu bukan akan membahagiakan hidupnya. Tetapi akan meranapkan masa depannya. Dia takkan memperjudikan nasib dirinya sekali lagi kepada lelaki itu!

“HELO, Am… I nak ajak you lunch hari ni.”

“Maaf, Yana. I makan dengan Aali. Kalau you tak keberatan, boleh ikut sama.”

“Of course. Jumpa dekat lobi pukul 12.30 nanti.” Kesempatan yang ada tidak akan dilepaskan. Peduli apa dengan Aali tu, asalkan dia dapat menghabiskan masa bersama dengan Amru. Peluang ini telah lama ditunggu. Dia tidak akan bersikap tunggu dan lihat lagi. Hati Amru perlu ditakluki.

Sementara itu, Ami tiba di lobi wisma Dato Raja Chulan, yang terletak berhampiran dengan KLCC. Berpeluh juga dia berjalan dari LRT KLCC. Nasib baik guna Waze, cepat sikit dia jumpa wisma ni. Hari ini dia buat kerja giler lagi semata-mata mahu jumpa lelaki itu. Kalau menurut alamat di atas surat tawaran praktikal yang diterima, pejabat Yusuf, Alan & Co berada di tingkat 6 dan 7. Selepas mengambil pas masuk di kaunter pengawal, dia terus melangkah menuju ke lif. Jam di tangan dijeling sekilas, 12.35 tengah hari. Harapnya lelaki itu masih ada di pejabat, tidak keluar makan lagi.

Ami tunduk pandang hujung sandal yang dipakainya. Sesekali dia mendongak tengok pintu lif. Terasa lambat bila menunggu tanpa perasaan sabar ni. Harapnya lelaki itu tidak cuba mengelakkan diri daripadanya. Pintu lif terbuka, Ami berganjak ke tepi untuk memberi ruang orang keluar dahulu. Tapi matanya tangkas menangkap wajah lelaki itu, sedang bergelak ketawa dengan seorang perempuan tinggi lampai dan cantik.

Matanya dipakukan melihat lelaki itu. Mungkin terasa diperhatikan, mata Amru mencari puncanya. Terhenti di wajah Ami yang tajam memandangnya. Dia berhenti melangkah. Mengundang perasaan hairan dalam hati Yana. Jadi mata Yana turut ikut memerhati gadis yang menjadi perhatian Amru.

“You kenal ke? Siapa tu?” soal Yana, ingin tahu. Amru angguk. Dia pandang Ami yang berwajah tegang. Tekad Ami dikaguminya. Mesti Ami datang sebab mahu dia batalkan rancangan keluarga mereka. Tapi dia pun tekad dengan keputusannya. Semalam ketika rombongan keluarganya ke rumah keluarga Ami, gadis tu tidak ada. Jadi perbincangan dan merisik dilakukan tanpa kehadiran Ami. Dia pula hadir kerana kedua-dua orang tua Ami mahu kenal. Diakan bakal menjadi menantu mereka.

“Kita perlu bercakap!” Amru tersentak. Tegas dan tegang suara itu. Pastinya Ami tidak mudah menerima status terbaru perhubungan mereka.

Pintu lif di belakang Ami terbuka, Aali melangkah keluar.

“Sorry lambat sikit… Eh! Ami?” tegur Aali. Dia pandang Amru, Yana kemudian Ami sekali lagi.

Entah kenapa hati Yana terasa tergugat. Dia pandang Ami dari atas ke bawah. Tidak suka kerana perhatian Amru telah beralih kepada gadis yang entah dari mana datangnya.

“Kenapa berdiri tegak kat sini? Jom kita pergi makan dulu. Lepas tu baru boleh cakap panjang.”

“Tak payah. Aku datang nak bercakap dengan lelaki ni. Bukan datang nak makan.” Kasar bahasa yang Ami gunakan. Padahal selama ini dia tidak pernah bercakap sekasar ini. Tutur katanya masih lagi terjaga. Tapi bila melihat wajah selamba tanpa secalit perasaan bersalah Aali mengundang rasa sakit dalam hatinya. Dialah punca segala musibah yang menimpa dirinya. Sekarang terperangkap pula dalam ikatan yang akan memerangkap hidupnya bersama dengan Amru seumur hidup.

“Entah-entah lepas ni hotel mana pula aku terbangun nanti,” getus Ami sinis.

Mulut yang terbuka nak balas cakap, tertutup kembali. Aali pandang wajah tegang Ami dan wajah tenang Amru. Yana pula diburu rasa ingin tahu.

“Maaf Yana, lain kali kita makan sekali. I ada perkara nak kena selesaikan dengan dia ni. Aali, kau temankan Yana makan.”

“Tapi…” Yana cuba bantah sebelum cakapnya dipintas oleh Aali.

“Mari kita makan Yana, aku dah lapar ni.” Aali pandang wajah Ami sekali lagi. Kali ini dengan pandangan kesal.

“Ami… Saya minta maaf walaupun saya tahu perbuatan saya itu tidak layak dimaafkan.”

Yana enggan berganjak. Aali tarik tangan dia. Dia rentap kembali dengan wajah masam. Hatinya sakit. Cemburu dan tidak puas hati kerana niatnya untuk makan bersama Amru tidak kesampaian. Dia melangkah sambil hentak tumit runcing sandalnya.

Aali geleng kepala. Cemburu Yana hampir membuatkannya tergelak.

“Tak elok kita bercakap depan lif ni. Jom ikut abang. Kita masuk restoran depan tu. Ami nak cakap apa, abang sedia dengar,” ajak Amru lembut.

Tanpa menunggu balasan daripada Ami, Amru bergerak menuju ke restoran yang terletak di depan wisma Dato Raja Chulan itu. Dalam keterpaksaan, Ami mengikut. Dia berjalan di belakang Amru. Tak ingin dia berjalan seiringan dengan lelaki itu. Dari belakang dia nampak beberapa perempuan senyum dan tegur Amru, ramah dan menggoda. Amru membalas mesra.

Dasar lelaki buaya. Semua orang nak goda! kutuk Ami sendirian.

“Ami nak cakap apa?” soal Amru sebaik sahaja pelayan berlalu dengan pesanan mereka.

“Yang saya cakap semalamlah! Saya benci awak. Tak ingin saya habiskan masa seumur hidup dengan kaki kelab malam macam awak ni. Jadi, awak kena batalkan pernikahan kita. Bagi tahu dekat orang tua kita yang awak pun tak nak kahwin.”

Amru geleng kepala. “Abang nak Ami jadi isteri abang. Jadi kenapa abang nak batalkan pernikahan ini?”

“Awak dah lupa ke apa yang awak buat dekat saya? Awak ingat mudah saya nak terima awak dalam hidup saya?”

“Awak rosakkan maruah saya dan sekarang nak bertanggungjawab?” Amru diam.

Baginya, malam itu telah mengikat dia dan Ami. Walaupun tanpa kerelaan masing-masing. Dia mahu bertanggungjawab walaupun berkali-kali Ami menolak niat baiknya.

“Saya tak dapat terima. Lelaki yang musnahkan maruah saya jadi suami saya. Sejak malam itu saya tak dapat tidur lena. Awak dah jadi mimpi ngeri saya. Tak mungkin saya boleh menghormati awak sebagai suami nanti. Tolonglah, jangan seksa saya. Jangan bunuh jiwa saya. Saya dah cukup tertekan dah.”

“Sebab itulah abang nak bertanggungjawab, Ami. Abang nak tebus kesilapan abang itu. Abang nak merawat luka dan menghapuskan penderitaan Ami.”

Ami geleng kepala. Air mata yang jatuh disekanya, kasar. Tak mudah. Nak tengok muka lelaki ini pun dia tak hingin. Apatah lagi nak tinggal serumah, tidur sebilik nanti. Dia juga ada harga dia walaupun telah diranap dan dirampas secara kasar.

“Awak ingat sesenang itu awak boleh masuk dalam hidup saya? Mempergunakan keluarga saya supaya saya terima awak? Tolonglah. Jadilah lelaki bermaruah sikit. Dah orang tak nak, jangan paksa. Jangan gunakan orang tua untuk menjayakan niat jahat awak tu!” marah Ami. Suara tetap rendah walaupun tegang. Dia ketap bibir dan genggam tangannya sendiri.

Amru tarik nafas. Dia tadah telinga mendengar amarah Ami. Dia sedar Ami memang patut marah dan maki hamun dia. Biar dia luah apa yang terbuku di hatinya. Namun keputusan yang dibuat, tidak akan diubah. Dia tetap mahukan Ami sebagai isterinya.

Ami adalah haknya selepas malam itu. Sekali pun Ami menafikan dan membenci, dia terima. Dia akan berusaha melembutkan hati gadis itu. Dia akan melentur perasaan benci Ami kepada cinta.

“Saya tak dapat terima. Jadi tolonglah batalkan pernikahan kita,” rayu Ami.

“Abang tetap dengan keputusan abang. Hujung bulan depan Ami akan jadi isteri abang. Abang akan berusaha sehingga Ami terima abang,” tegas Amru.

“Awak kejam! Saya tak perlukan makhluk perosak jadi suami saya. Saya tak perlukan lelaki hipokrit jadi suami saya. Berlagak baik di depan semua orang, tetapi jadi syaitan di belakang orang.” Sedaya upaya dia cuba tidak meninggikan suara.

Tak ada gunanya dia di sini lagi kalau Amru tidak mahu dengar cakapnya. Tak ada gunanya dia merayu lagi. Lelaki kejam ini sengaja nak biarkan perasaan dia mati agaknya.

Aku takkan cepat mengalah. Aku akan berusaha untuk batalkan perkahwinan ini.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338142/Hati-Yang-Kau-Sakiti

[REVIEW] Till Jannah

Till Jannah oleh Theya Nur

Perkahwinannya di luar negara dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya. Atas sebab tertentu, Tengku Ashraf Furqan terpaksa kembali ke Malaysia selepas bertahun menyepi bersama anaknya, Farisya. Kepulangannya dua beranak mengundang kemarahan seluruh ahli keluarga Tengku Ali Saifuddin.

Demi memulihkan nama keluarga di mata masyarakat, Ashraf diberi kata dua, kahwin atau Farisya akan dihantar ke rumah kebajikan. Kerana tidak mahu kehilangan Farisya, Ashraf memilih untuk berkahwin. Takdir telah mempertemukan Ashraf dengan Quraisya pada waktu yang tepat. Dan takdir juga menjodohkan mereka menjadi suami isteri apabila Farisya memilih Quraisya sebagai mama barunya.

“Now I know kenapa Risya betul-betul suka you. She can see your heart, Quraisya. I harap, you boleh sayang dia macam anak you sendiri.” – Tengku Ashraf Furqan

“You’re an amazing man. Sanggup berkorban demi anak. 7 tahun awak besarkan Risya seorang diri. Saya tahu tak mudah. Walaupun saya tak pasti hubungan sebenar awak dengan Risya, tapi saya pasti Risya bukan seperti yang disangka.” – Quraisya

Selepas dibuang keluarga, rumahtangga mereka baik-baik sahaja. Namun, segalanya berubah apabila Quraisya cuba menjalin kembali hubungan kekeluargaan yang telah terputus. Kehadiran Tengku Adrian menagih kemaafan dan kemunculan Ustaz Safwan menagih cinta yang tidak kesampaian memburukkan keadaan. Terbongkar pula kisah silam Quraisya menggoyahkan kekuatan mahligai cinta mereka.

“Everything is over. Farisya dah pergi.” – Tengku Ashraf Furqan

“Abang, saya minta maaf. Saya yang salah. Saya tak jaga Risya baik-baik.” – Quraisya

“I’m glad to hear that. And now, what you can do? Nothing.” – Tengku Ashraf Furqan

Apabila semua kesalahan dituding kepada Quraisya seorang, mampukah Quraisya bertahan? Kuatkah mahligai cinta yang asalnya terbina kerana Farisya selepas anak kecil itu dibawa pergi? Dapatkah kisah kasih sayang mereka sekeluarga bertahan hingga ke jannah?


Mengikut pandangan admin, novel ni cukup rasa. Admin suka yang watak sampingan dapat spotlight mereka sendiri. Kisah mereka dikongsikan tetapi tidak melebih-lebih sampai overshadow watak utama. Bahasa dan jalan cerita yang penulis cuba sampaikan juga mudah untuk difahami. Bagi admin konflik dalam cerita ni tidak melarat dan tidak berat. Sesuai untuk dibaca sebagai bahan bacaan ringan dan hiburan, which is why admin suka. Overall, admin suka dengan novel ni.

Cuma watak heronya yang degil dan boleh tahan baran menguji kesabaran admin juga. Walaupun begitu, admin suka keserasian hero dan heroin. Heroin nampak lebih banyak bersabar dengan perangai hero. Dan admin juga tak jangka endingnya. I don’t see it coming. Apa pun, penulis dah hasilkan karya yang baik. Banyak pengajaran juga yang boleh didapati dalam novel ni. Ada masa ayat dari penceramah juga dikongsikan sebagai peringatan. Hasil kerja yang bagus penulis!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/338132/Till-Jannah