[SNEAK PEEK] PELANGI

Pelangi oleh Syud

“BOLEH KAU TOLONG ulang balik apa yang kau cakap tadi?”

“Yang mana satu?”

“Ayat yang ada sebut perkataan nak kahwin tu.”

Usamah mengerut dahi. “Kau dah suruh aku ulang lebih daripada tiga kali, kan?”

And suppose my ears dont want to believe that?

Usamah jongket bahu. Nonchalant. Dia menguis nasi goreng yang masih berbaki di pinggannya. Perutnya masih lapar namun asakkan soalan demi soalan daripada Hazriq sedikit sebanyak mengganggu seleranya.

Tell your ears. You need to believe it.

Believe that youre getting married?” ulang Hazriq dalam nada tidak percaya. Sejurus kemudian Hazriq ketawa. “You? Married? No way.”

How about yes way?”

Hazriq menggeleng. “Tak mungkin.” Jus tembikai dicapai. “Selama ni aku rasa sebab kau tak ada girlfriend ialah sama ada kau sangat busy atau kau masih pining over Syaz.”

“Dah empat tahun dah Hazriq. Kau ingat aku ni suku sakat setia sampai mati ke? Kalau betul dia tu memang untuk aku, mungkin la. Tapi… judging from what she did… kau ingat aku ni buta ke untuk tunggu dia lagi?”

“Tak.” Cepat sahaja Hazriq menjawab. Namun sahabatnya itu jelas mengukir senyuman mengusik.

“Kau dengan mama aku sama jek. Tau tak? Semua tak nak percaya.” Usamah menggumam perlahan. “Nanti aku bawak lari anak dara orang tu, baru korang tau.”

Bawak lari konon. Yang sorang kat Dublin dulu tu pun tak terjaga….” sindir Hazriq penuh makna.

Usamah kembali menyudu nasi gorengnya. Malas hendak berlawan cakap dengan Hazriq.

“Mesti kau jumpa perempuan Melayu terakhir ni… siapa nama dia?”

Usamah masih lagi setia mengunyah nasi gorengnya.

Come on, spill the details la. Sanggup kau buat best friend kau ni tertunggu-tunggu?” selar Hazriq sambil buat muka kesian. “Bro, cmon.”

Akhirnya selesai juga nasi goreng di pinggannya itu. Mulutnya dilapkan dengan tisu, sebelum meneguk air kosong. Hazriq masih menunggu dirinya bersuara.

“Aku tak tau nama dia. Atau macam mana rupa dia.”

Kidding.

No.

Kerutan di dahi Hazriq bertambah selapis. “Then kau tetiba drop a bomb kata nak kahwin? Kau ni kena demam kepialu ke apa?”

Pinggan kosong itu ditolak ke tepi. “Dia… calon menantu pilihan mama aku.” Usamah memulakan, dan senyuman sinis automatik terukir di bibirnya sebaik sahaja dia menuturkan perkataan ‘pilihan’ itu.

Hazriq dilihat terdiam. Mungkin cuba mencerna kata-katanya.

“Aku tak sanggup dengar mama aku bising lagi. So the solution is… marry the woman that she approves.” Usamah menyambung lagi.

So kiranya this unknown lady is your moms choice?” soal Hazriq. Nadanya membayangkan yang dia masih kabur.

Usamah tepuk dahi. “Kau ni dengar tak apa aku cerita dari awal tadi?”

“Dengar.” Hazriq mengangguk-angguk. Kemudian dia seolah-olah tersedar. “Kau rela la ni?”

Sekali lagi Usamah menepuk dahi. “Its a plan, okay? Kau ni sejak bila jadi slow ni?”

Hazriq sekadar tersengih. Dia menggaru kepala. “Entah. Penat kut. Banyak kerja. So now youre going to tell your mom about this? When?

Usamah tidak terus menjawab.

“Balik kerja ni aku beritahu dia.”

Hazriq memandangnya lama, sebelum menggeleng perlahan. “Aku rasa macam baru sebulan lebih kau balik Johor… tup-tup kau kata nak kahwin… wonder kalau kau balik lebih awal daripada tu. Mungkin dah ada little boy yang panggil aku uncle gamaknya.”

Tawa Usamah pecah mendengar omelan Hazriq. Namun Hazriq tidak turut ketawa. Dia masih kelihatan serius.

I hope youre serious this time, bro.

Tawa Usamah terhenti mendengarkan nada Hazriq yang serius. Dia berdeham beberapa kali.

I really hope youre serious. Youre talking about marriage. Ni bukan benda main-main. Berdosa tau tak, main-mainkan ikatan yang bernama perkahwinan ni.”

Lama Usamah terdiam. Hazriq memang begitu. Julukan nama ‘ustaz’ semasa zaman mereka belajar dulu sememangnya padan dengan Hazriq.

I am serious.

“Bagus.”

Ill let you know how it goes.

Shes a nice lady, right?

“Nampaknya macam tu lah.”

“Bagus. Nanti kenalkan la kat aku.”

“Kalau dia terima… kalau tak…” Usamah jongket bahu. “Tak ada rezeki la kau nak kenal dia.”

“Dan kau pun tak ada rezeki nak kenal dia jugak, kan?”

Usamah ketawa, sambil mengangguk perlahan. Jam di tangan dipandang sekilas. “Almost two. Thank you la sudi lunch dengan aku. Jauh kau datang.”

“Mangkuk. Kau ingat City Plaza dengan Menara Pelangi ni jauh sangat ke? Aku siap jalan kaki lagi.”

Usamah bingkas. “Memang tak jauh… but for me to steal masa emas kau tu… thank you.”

Mereka melangkah keluar dari kafe itu beriringan. Tiba di pintu keluar Plaza Pelangi, Usamah menghulur tangan.

“Jumpa lagi.”

“Kirim salam mama kau.”

“Ada masa datang la rumah aku.”

Spontan Hazriq ketawa. “Kita ni macam takkan jumpa lagi jek. Lawak la kau ni.”

Ye la tu… kau tu sibuk memanjang. Baik-baik jalan.”

Hazriq mengangkat tangan sebelum memusing dan melangkah pergi. Usamah pula mengatur langkah menuju ke lif untuk kembali ke pejabatnya di tingkat sepuluh.

IMAN MERENUNG wajah Mak Su. Terasa sendiri dahinya berkerut.

“Siapa?”

“Cik Kamisah. Iman ingat tak Cik Kamisah yang datang masa tahlil dulu tu?”

“Ingat.” Iman mengangguk laju. “Tapi kenapa dia datang…”

“Dia tanya pasal Iman.”

Iman makin kabur. Dahlah Mak Su menelefonnya di pejabat mengkhabarkan ada sesuatu yang serius yang memerlukan Iman pulang ke kampung. Tiba sahaja Iman disambut dengan sebentuk cincin yang terletak cantik di dalam bekas baldu merah itu.

“Tanya?”

Mak Su tarik nafas. “Dia tanya Iman untuk anak dia.”

“Iman…”

“Dia nak pinang Iman untuk anak dia.”

“Iman tahu. Tapi kenapa?” soal Iman pantas. Wajah Mak Su ditenung dalam. Guru matematik itu dilihat tersenyum simpul.

“Mak Su…”

“Mak Su tanya dia tadi… tapi dia kata, dia cuma sampaikan hajat anak dia. Maksudnya, anak dia yang minta dia pinangkan Iman.”

“Tapi Iman tak kenal anak dia!”

“Mak Su pun tak kenal.” Tutur Mak Su separuh mengusik. “Diam-diam ada peminat rupanya anak sedara Mak Su nih...”

Iman tak menjawab. Mak Su ni! Aku tengah pening dia buat lawak pulak… apa nak buat ni?

“Mak Su beritahu Cik Kamisah, yang apa-apa pun, jatuh pada keputusan Iman sendiri. Mak Su takkan putuskan untuk Iman. Lagipun Cik Kamisah kata, insya-Allah dalam dua tiga hari ni, anak dia akan call Iman. Nak bincang pasal ni.”

Iman memegang dahi. Telapak tangannya menggosok-gosok mata yang dirasakan pedih tiba-tiba. Terbayang di matanya, wajah Puan Kamisah yang baik. Dan dia dapat memutar kembali malam majlis tahlil semasa Puan Kamisah datang ke sini. Dan lelaki berbaju Melayu biru muda itu….

Dahinya di tepuk-tepuk. Think Iman think! What shall I do?

“Dah la tu… kesian Mak Su tengok. Iman tak makan lagi kan? Malam ni tidur sini jelah. Esok kan Sabtu. Nak balik pun dah malam ni. Pergi mandi dulu.”

“Mak Su…”

“Lepas ni kita cerita lagi ek? Iman letih tu. Pergi la rehat dulu.”

“SIAPA?”

Some mysterious guy that popped out of nowhere.”

“Kau tak tau siapa?”

No. No idea at all. Except…” Matanya jatuh pada bekas baldu di atas meja solek. “A really nice platinum ring.

A stalker?” Adilah bersuara ala-ala misteri. “You have a stalker. Aku sangat tak sangka kawan baik aku ada stalker!!!

Iman menjauhkan Samsung itu daripada cuping telinganya. Namun masih dapat didengar dengan jelas butir tutur bicara Adilah.

Hire a bodyguard, Iman!

“Kau ni kenapa?”

You have a stalker!

Oh, now Im Paris Hilton? Siapalah nak stalk aku Adi? Dah la hidung penyek, tak lawa pulak tu. Kaya jauh sekali. Aku setakat drive Wira je. Siapa yang tak ada kerja sangat nak jadi stalker aku tu? Baik dia berkebun ke… buat jigsaw puzzle ke…”

“Okey. Aku dah habis berdrama.”

Iman spontan tergelak mendengar apa yang dituturkan Adilah.

“Siapa dia? Aku tau kau tak kenal tapi siapa dia? Menurut Mak Su kau la.”

Iman menarik nafas. “Anak Makcik Kamisah.”

“Bila korang jumpa?”

No idea.

A matchmaking scheme?” Adilah menyoal. Iman terdiam.

“Entahlah… masak otak aku ni….” keluhnya perlahan. “Apa dah jadi ni?”

“Tanya aku pulak…”

Iman baru hendak membuka mulut untuk menyatakan sesuatu namun perbualan mereka terganggu dek satu bunyi menandakan ada panggilan masuk.

“Adilah. Ada call masuk la.”

“Oh okey. Karang kita sambung diskus pasal your so-called stalker ni.”

“Okey.”

Tangannya cepat-cepat memutuskan talian, dan segera menekan butang hold. Dia mengerut dahi seketika. Nombor tidak dikenali.

“Helo?”

“Iman Aisyah?” Satu suara lelaki menerobos cuping telinganya di hujung talian.

Iman terdiam. Kaget bersulam terpaku, dijahit dengan terperanjat. Tiga perkataan yang membawa maksud lebih kurang sama?

Indescribable.

Jantungnya tiba-tiba sahaja bertukar rentak. Lebih pantas.

“Iman Aisyah? Are you there?” suara yang begitu asing itu menyoal, mungkin hairan dengan dirinya yang tiba-tiba senyap.

“S… saya.”

“Ingat dah letak tadi.” Suara itu seolah-olah berseloroh. Masih tidak memperkenalkan diri.

“Taklah. Still here. Siapa ni?” perlahan Iman menyoal, walau hatinya sudah boleh mengagak.

Baju Melayu biru muda….

Suara di hujung sana kedengaran berdeham. Nervous?

“Usamah. Usamah Razif. I believe that my mom had met your Mak Su today, kan?”

Sah. Jantungnya semakin hebat berdegup. Jika tadi ala-ala Gavin DeGraw, kini seumpama My Chemical Romance.

Apa aku nak cakap ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/9960/Pelangi

REVIEW MISTERI LIF BERHANTU

9789674314330-medium
EBUKU MISTERI LIF BERHANTU OLEH PHAKINAI

Keadaan di fakulti perubatan itu begitu menyeramkan. Sebagai pustakawan yang baru bertugas di fakulti itu, Paeng rasa terganggu. Tinggal bersendirian di rumah yang terpencil, ditambah lagi dengan suasana fakulti perubatan yang sunyi dan menyeramkan, membuat Paeng semakin diburu ketakutan. Rasa takut itu sebenarnya tidak seberapa. Kenyataan bahawa lif di dalam bangunan universiti tempat dia bertugas berhantu, lebih menakutkan lagi! Suatu pembunuhan kejam dikatakan pernah berlaku di dalam lif itu. Paeng pada mulanya tidak percaya, sehinggalah dia terserempak sendiri, beberapa kali, dengan roh yang mengganggu. Gadis itu cuba menyelongkar rahsia, tanpa menyedari bahawa dia yang sebenarnya menjadi buruan…


Sasi merupakan seorang pelajar perubatan yang hampir ditendang keluar dari fakulti perubatan kerana keputusannya. Dia juga adalah mangsa yang dibunuh dan rohnya tidak tenteram sehingga mayatnya disempurnakan dengan betul. Paeng adalah seorang yang suka mengetahui mengenai hal orang lain yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

Konflik dalam jalan cerita ini membawa kita kepada pembunuh sebenar Sasi , Dan ini membuatkan kita hendak mengetahui siapakah dalang disebalik pembunuhan kejam Sasi. Dalam novel ini juga, banyak watak- watak yang dicipta oleh penulis tidak banyak dan ini membuatkan jalan cerita itu lebih jelas dan teratur.

Sebenarnya , admin tak minat cerita seram, tetapi kerana flow dan jalan ceritanya nampak begitu tersusun, admin baca dari muka ke muka untuk mengetahui cerita sebenar. Yang paling menarik sekali dalam novel ini, pembunuhan balas dendam terhadap orang yang bersubahat dengan pembunuhan Sasi diceritakan dengan penuh jijik dan memualkan.

Dapatkan Paeng memenuhi permintaan Sasi? Jika Paeng lambat, maka dialah mangsa seterusnya!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66680/misteri-lif-berhantu

 

 

REVIEW THE KITE RUNNER-SI PENGEJAR LAYANG- LAYANG

9789674314316-medium
EBUKU THE KITE RUNNER – SI PENGEJAR LAYANG- LAYANG OLEH KHALED HOSSEINI

The Kite Runner, mengisahkan persahabatan antara dua orang budak lelaki, Amir dan Hassan, saudara sesusuan. Berlatarbelakangkan zaman terakhir pemerintahan beraja di Afghanistan, Amir merupakan anak ahli perniagaan kaya sementara Hassan, anak orang suruhan keluarga Amir dari puak Hazara, puak minoriti yang dipandang rendah. Pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan memaksa Amir dan bapanya melarikan diri ke luar negara untuk memulakan hidup baharu di California. Merasakan bahawa dia sebenarnya telah melarikan diri daripada masa lalunya, masa yang menyaksikan pengkhianatan, dan kuasa pembohongan, Amir akhirnya pulang ke Kabul demi sahabat sejatinya, Hassan. Kisah menyayat hati tentang persahabatan, persaudaraan, kasih sayang, pengkhianatan, dan kesengseraan ini memaparkan sisi-sisi lain Afghanistan, bumi yang dahulunya indah, dan sehingga kini, masih menyimpan kepedihan.


Sebuah kisah yang rare. Jika ditanya kepada saya sendiri, novel ini menyingkap kisah- kisah mengenai konflik yang berlaku di Afganistan iaitu Sunni dan Syiah. Kekejaman yang berlaku, menampakkan seolah- olah nyawa boleh dibeli dan diambil dengan begitu mudah. Yang paling saya puji, watak Hassan. Sanggup meletakkan kesalahan orang lain atas bahunya sendri walaupun bukan berpunca dari dia sendiri.
Selain itu pembaca juga akan banyak dikejutkan oleh berbagai peristiwa yang tak terduga, hal ini menyebabkan akhir dari kisah novel ini menjadi unpredictable sehingga novel ini jadi tak membosankan dan membuat pembaca terus bertanya-tanya bagaimana akhir dari novel menarik ini. Satu demi satu konflik yang timbul dari watak yang berlainan. Antara bapa dengan anak, anak dengan sahabat baiknya.
Dari segi terjemahan novel ini patut mendapat pujian, pemilihan gaya bahasa yang digunakan menepati citarasa pembaca yang menggunakan Bahasa Melayu dan membuatkan jalan cerita itu mudah difahami.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66678/the-kite-runner-%E2%80%93-si-pengejar-layang-layang

 

 

[SNEAK PEEK] Hantu Gadis Opera

9789674314323-medium
EBUKU Hantu Gadis Opera oleh Phakinai

Prolog

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap-gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti-peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, kelihatan berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera aneka corak, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda.

Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan.

Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

Narut tersentak bangun. Peluh dingin membasahi mukanya. Dia memandang sekeliling. Tiada apa- apa yang pelik di ruang pejabat yang gelap itu. Meja kerjanya masih tersusun kemas. Skrin komputer di depannya masih terpasang. Tugasan yang perlu dihantar esok, sudah selesai, membuatkan dia berasa agak lega.

Lelaki itu menyimpan tugasannya sebelum memadamkan komputer. Ditolehnya ke arah tingkap besar pejabat itu. Cahaya keemasan sudah mewarnai ufuk timur, menandakan hari baru akan bermula. Nampaknya dia perlu pulang ke rumah untuk membersihkan diri selepas semalaman berada di pejabat.

Walaupun kerja sudah selesai, mimpi yang mengganggu masih bermain-main di fikirannya. Sejak hari itu, hampir setiap malam Narut bermimpikan gadis pelakon opera itu. Siapa dia? Apa mahunya?

Gadis pelakon opera yang berkostum merah..

****

Dua cawan kopi dihidangkan pelayan di atas meja yang terletak di tepi tingkap restoran. Narut mencapai cawan kopinya. Diteguknya kopinya itu untuk mengembalikan kesegaran bagi memulakan pagi, lantaran kepalanya terasa berat. Tentu sebab sudah beberapa malam bersengkang mata untuk menyiapkan tugasannya. Maklumlah, sebagai pekerja bawahan, dia tidak layak bersuara.

Saban hari Narut dibebankan dengan tugas yang menimbun. Jika diarah membuat liputan berita, apa-apa pun berita, dia hanya menurut, walaupun gaji yang diterima hanya cukup makan. Kalaulah bukan disebabkan minat mendalamnya dalam dunia kewartawanan, sudah lama dia angkat kaki.

“Hai, Rut…”

Suatu suara menyapanya dari belakang. Muad Wit yang mengenakan pakaian seragam polis, memegang bahunya sebelum berjalan ke depannya lalu duduk bertentangan dengannya. Muad Wit merupakan rakan sekuliah Narut semasa di universiti dahulu.

“Dah makan? Jom minum kopi…” pelawa Narut.

“Boleh juga. Malam tadi ada operasi banteras jenayah sampai pukul 3 pagi. Mengantuknya!” balas pegawai polis muda itu sambil menguap lebar, menguatkan kenyataannya bahawa dia mengantuk benar.

Narut melambai pelayan untuk memesan secawan kopi lagi sebelum memulakan cerita kepada Muad Wit. Cerita yang melekat di benaknya sejak bermalam-malam lalu.

“Wit… sorrylah sebab minta engkau datang awal-awal pagi ni. Aku nak bincang sesuatu dengan kaulah…” jelas Narut dengan perasaan tertekan.

Walaupun Narut banyak kawan, tetapi dia lebih mempercayai Wit daripada kawan-kawannya yang lain.

“Laa… kenapa cakap macam orang tak biasa ni? Kalau ada apa-apa, bagi tahu aje…” balas Wit sambil mencapai cawan kopinya yang baru dihantar oleh pelayan, sebelum menghirup kopi itu. Mukanya serta-merta berubah kelat. Nampaknya kopinya perlu ditambah gula sesudu dua lagi.

“Mungkin apa yang aku nak cerita ni kedengaran pelik… dan tak masuk akal… tapi, kejadian itu betul-betul berlaku pada aku, Wit. Engkau ingat tak, minggu lepas aku ada buat liputan berita tentang aktiviti membersihkan kawasan kubur Cina di Chonburi?”

Narut pun memulakan cerita.

****

Cahaya terik matahari melimpahi seluruh kawasan lapang berumput tinggi yang beratus- ratus ekar itu. Dilihat daripada keadaan di situ, nampaknya sebahagian daripada kubur baru sahaja digali. Di bahagian bersebelahan, berderetan kubur bersimen yang dibina tersusun. Narut menjangkakan bahawa jauh di dalam tanah di bawah bersemadi ribuan mayat lain, malah mungkin lebih banyak daripada itu.

Beberapa buah khemah didirikan di suatu sudut kawasan terbuka itu. Penghuninya terdiri daripada orang-orang berpakaian serba putih. Kebanyakan mereka datang untuk kerja-kerja pembersihan kawasan kubur, yang sudah menjadi amalan masyarakat Cina setempat kerana dikatakan membawa kebaikan.

Kalau diberi pilihan, Narut tidak sanggup datang untuk membuat liputan berita di tempat seperti itu. Sejak kecil lagi dia memang takut akan hantu. Malangnya, dia tiada pilihan. Dia terpaksa menerima tugasan itu setelah kawan sekerja yang lain berpakat mengelak daripada melakukan tugasan tersebut kerana tidak mahu berjemur di bawah terik matahari, dan berurusan pula dengan hal-hal yang kurang menyenangkan seperti itu. Maka terbebanlah tugas itu kini di bahunya tanpa kerelaannya.

Tiba masa untuk upacara yang dijalankan oleh perantara dalam keadaan bersawai1. Pengantara yang memegang kayu ki, mengetuk-mengetuk tanah, diekori di belakangnya oleh pembantu berbaju putih, yang mencacakkan bendera merah di tempat yang ditunjukkan oleh si pengantara. Upacara itu bertujuan memudahkan sukarelawan mencari dan mengorek kubur lama mengikut kepercayaan mereka. Pelik juga apabila hampir di setiap tempat yang dipacakkan dengan bendera merah, ditemui mayat-mayat lama. Ada yang sudah kering dan tinggal rangka dan ada yang masih baru. Ada juga yang hampir reput. Orang-orang yang terlibat dalam upacara itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menunjukkan rasa tidak selesa ketika mayat-mayat dibawa keluar dari lubang- lubang kubur untuk dibersihkan. Bagi mayat yang sudah kering, berus kecil digunakan untuk membersihkan tanah yang melekat pada mayat, sebelum diteruskan dengan upacara seterusnya. Bagi mayat yang masih baru pula, hanya tangan digunakan untuk mengasingkan bahagian yang hancur sebelum tinggalan dibersihkan.

Banyak gambar yang diambil Narut. Mungkin beratus-ratus keping. Semua itu atas arahan ketuanya, untuk digunakan dalam penulisan laporan khas bagi terbitan majalah bulanannya. Semuanya berjalan lancar pada mulanya… sehinggalah Narut kembali ke keretanya, tempat dia mengalami kejadian yang pelik.

Bulu romanya tidak semena-mena, meremang. Sukar dijelaskan. Bau busuk mayat tiba-tiba memenuhi seluruh ruang keretanya. Amat meloyakan.

Narut pantas menoleh. Matanya silau bukan disebabkan terik cahaya matahari, tetapi disebabkan apa yang dilihatnya. Kelibat suatu bayangan hitam kelihatan sedang duduk di tempat duduk belakang kereta, sebelum sekelip mata ghaib. Narut menenyeh-nenyeh matanya dengan jari telunjuk, tetapi tiada apa-apa pun yang kelihatan lagi.

Dia berkhayalkah? Adakah dia berfikir yang bukan-bukan?

Dalam perjalanan pulang, ketika hampir tiba di rumah pangsanya, langit kelihatan mendung. Bau busuk masih menusuk hidung walaupun Narut telah menyemburkan pewangi di dalam kereta, dan menurunkan cermin tingkap kereta sepanjang perjalanan pulang. Pelik. Sebaik tiba di biliknya, Narut terus ke bilik air untuk mandi. Berulang kali dia menyental tubuhnya dengan sabun untuk menghilangkan bau busuk… atau mungkin bau itu sebenarnya melekat pada pakaiannya? Televisyen di biliknya terpasang, namun tidak ditontonnya. Suara dari peti televisyen itu sedikit sebanyak dapat menjadi peneman. Dia leka memuat naik kad memori kameranya ke dalam notebook kesayangannya, memilih gambar- gambar yang sesuai untuk ditunjukkan kepada ketuanya esok. Ketika menunggu proses memuat naik, Narut ke dapur. Dibukanya kabinet dapur. Dicapainya secawan mi segera. Dibuka penutup mi cawan itu lalu dicurahkan air panas ke dalamnya, sebelum dia berjalan kembali ke meja kerjanya.

Eh, apa dah jadi…?

Narut meletakkan cawan minya sebelum mengamati fail gambar dalam komputernya. Banyak gambar yang diambilnya menunjukkan bayangan hitam yang menganjur panjang di bahagian tengah gambar. Dibeleknya gambar yang lain. Bayang-bayang hitam itu masih kelihatan. Seribu satu tanda tanya muncul di benaknya.

Bayang-bayang apa ni?

Kamera kesayangannya rosakkah? Tidak! Tak mungkin kerana tidak semua gambar ada bayang-bayang hitam itu.

Narut kehairanan memikirkan kejadian itu, sehinggalah dia terlelap disebabkan keletihan…

****

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap- gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti- peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, tersusun berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera beraneka bentuk, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda. Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan. Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan.

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

****

Narut tersentak bangun tengah malam itu. Peluh membasahi tubuhnya walaupun alat pendingin udara menunjukkan suhu 25 darjah Celsius. Dia termengah-mengah, seolah-olah dikejar sesuatu.

Aku dah gila, ke… mimpi pelik-pelik macam ni lepas balik dari kawasan kubur Cina? Sampai mimpikan hantu Cina? Narut sempat mengutuk diri sendiri.

Dia menghela nafas dalam-dalam dan memutuskan untuk tidur semula. Dia bagaimanapun, berasa tidak sedap hati, seolah-olah dia tidak sendirian ketika itu. Sesuatu bergerak-gerak di tepi katilnya.

SREET… SREET.. SREET…! Kedengaran bunyi seretan panjang.

Tubuhnya menggeletar. Dia teragak-agak, sama ada hendak menyelidiki apakah bunyi itu atau tidak. Perasaan takut dan berani datang silih berganti. Akhirnya, keberanian menyerlah. Perlahan-lahan, Narut berpaling ke arah meja solek…

Seorang perempuan berambut panjang dan berpakaian serba putih kelihatan sedang duduk di meja solek. Perempuan itu sedang menyikat rambut panjangnya yang mengurai perlahan-lahan… mengeluarkan bunyi seretan yang meremangkan. Bunyi ketika sikat berbilah tajam meluruskan helaian rambut. Berwajah cantik, perempuan itu diam tidak bersuara. Matanya besar dan bulat, dan kelihatan sayu.

Tiba-tiba lembaga itu mengeluarkan suara mengerang yang sayup-sayup dan mendayu-dayu. Suara perempuan sedang menangis.

Beberapa rentetan kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku!

Perempuan itu tiba-tiba memusingkan kepalanya perlahan-lahan ke arah penghuni bilik itu… dalam keadaan seluruh tubuhnya kaku tidak bergerak! Matanya terbeliak besar ketika dia berkata.

“Carilah aku sebelum nyawamu melayang!”

Sebaik sahaja selesai mengucapkan kata-kata itu, kepala perempuan itu tertanggal dari badannya sebelum jatuh bergolek ke lantai, ke hujung katil Narut. Narut memekik-mekik… sebelum terjaga dalam deringan jam locengnya.

Dia bermimpi rupa-rupanya. Mujurlah cuma mimpi!

Sejak hari itu, setiap kali hendak memejamkan mata, Narut terbayang gadis dalam kostum opera Cina berwarna merah, sedang bernyanyi. Suara gadis itu sungguh merdu dan mendayu-dayu. Kata-katanya penuh misteri, seolah-olah mahu Narut menghuraikan sesuatu.

Narut membuat kesimpulan bahawa semuanya hanya mimpi. Akan tetapi, mengapa dia bermimpikan hal yang sama, tempat yang sama, kata-kata yang sama, dan perempuan yang sama sejak berminggu-minggu?

****

Mendengar cerita sahabat baiknya itu, kening Wit terangkat tinggi. Wajahnya sama berkerut dengan wajah si pencerita setelah mendengar cerita yang menyeramkan itu. Diangkat cawan kopinya lalu dihirupnya. Satu pertanyaan terpacul.

“Engkau ada ambil dadah ke, atau… stres sangat…?”

“Kau gila! Aku bukan orang yang dah hilang pedoman, yang sanggup gadai nyawa dengan ambil dadah!” Narut pantas menafikan.

“Err… aku tanya aje. Kenapa nak melenting? Hal-hal macam ni bukan selalu berlaku. Kadang- kadang di balai polis pun, masa aku jalan dekat bangkai kereta yang terlibat dalam kemalangan, aku dengar suara perempuan menangis. Rasa macam nak terkencing, tau,” balas Wit berseloroh walaupun lawan bualnya tidak merasakan begitu.

“Jadi… engkau nak tolong, tak?”

“Eh, memanglah nak tolong! Tapi macam mana. Hmm… macam inilah! Nanti aku bawa kau jumpa seorang kawan. Dia boleh tolong sketch gambar perempuan yang engkau ceritakan tu. Lepas itu kita carilah maklumat tentang dia,” Wit menawarkan bantuan.

Narut pantas mengangguk. Suatu idea yang baik.

“Tapi kita nak cari ke mana? Di Thailand ni kan banyak kumpulan opera Cina?”

“Apa susah! Semua kejadian pelik tu berlaku sejak engkau buat liputan kerja pembersihan kubur di Chonburi, kan? Kumpulan opera di sana tentu tak banyak. Lagi satu, engkau lupa, ke, yang aku pernah bertugas di sana? Kalau betul apa yang engkau ceritakan pada aku, aku rasa roh perempuan tu ikut engkau dari sana. Lagi satu, aku nak bagi tahu engkau sesuatu. Mungkin ada banyak rahsia di sebalik kematian perempuan itu, yang orang lain tak tahu,” Wit cuba mengagak, dan kebetulan sama seperti yang bermain di fikiran Narut.

“Tapi kenapa dia pilih aku?”

“Itulah…! Nanti kalau kau mimpikan dia lagi, jangan lupa tanya. Lepas tu, engkau bagi tahu aku besok. Okey?”

Ketawa menyindir sahabatnya itu membuat Narut membuntangkan mata. Meluat dia dengan tabiat lelaki itu yang tidak berubah langsung.

****

Narut menghabiskan masa hampir setengah hari duduk memberikan gambaran wajah pelakon opera yang datang dalam mimpinya kepada seorang jurulakar polis. Jurulakar itu ternyata seorang yang berpengalaman dalam membuat lakaran wajah penjenayah.

Sebaik sahaja melihat hasil kerja lelaki itu, bulu roma Narut meremang. Gambar yang terpampang di depannya saling tak tumpah dengan wajah yang sering mengganggunya, dan kelihatan hidup! Bebola mata wajah dalam gambar itu kelihatan hampir tersembul keluar, membuat jurulakar kawan Muad Wit itu seolah-olah tidak percaya bahawa lakaran tersebut merupakan hasil kerjanya. Lelaki itu memberitahu Narut bahawa semasa dia membuat lakaran seperti yang digambarkan Narut, dia merasakan seolah-olah ada tangan yang membantunya melukis. Dia hampir tidak perlu menggunakan tenaganya langsung.

Rakan-rakan setugas yang lain bagaimanapun, geli hati dengan apa yang diceritakan oleh jurulakar itu. Ada yang malah mendakwa yang mabuk lelaki itu selepas minum semalam, masih belum hilang.

Narut kembali ke pejabatnya pada sebelah petang. Lakaran gambar gadis pelakon opera itu kini tergeletak di atas mejanya. Direnungnya gambar itu dengan kepala ligat berfikir. Sebatang rokok yang diselitkan di antara jari telunjuk dengan jari hantu kanannya, sekurang-kurangnya dapat membantu meredakan ketegangan. Narut bukan perokok. Rokok sekadar membantunya ketika dia perlu banyak berfikir… dan dua, tiga tahun kebelakangan, telah menjadi teman setianya.

Dia pernah kenal gadis itukah?

Akhirnya jawapan yang diterima selepas sejam merenung gambar di atas meja itu tidak ada bezanya dengan jawapannya sejam sebelumnya. Dia memang tidak kenal. Terserempak pun tidak pernah. Lagipun, dia tidak pernah menonton pementasan opera Cina.

Tiba-tiba bahunya ditepuk. Narut tersentak lantas menoleh. Dilihatnya Abang Sayam, atau kakitangan lain memanggilnya ‘Phi Yam’, ketua bahagian berita yang berwajah serius, berdiri di sebelahnya. Belum sempat membuka mulut, belakangnya ditepuk kuat oleh lelaki itu sehingga mukanya hampir tersembam. Bukan kali pertama Phi Yam buat begitu. Sebab itulah Narut masih mampu tersenyum walaupun dalam hatinya meluap-luap geram.

“Apa ni, Rut? Aku dah bagi tahu banyak kali, jangan merokok dalam pejabat. Kalau nak merokok dan bawa kanser masuk dalam paru- paru engkau tu, pergi ke luar sana…” tegas Phi Yam menegur.

Dengan pantas, Narut menenyehkan puntung rokoknya ke tempat habuk rokok.

“Sorry, saya lupa…”

Yang engkau sampai sekarang masih merokok… kenapa tak berhenti? tempelak Narut dalam hati. Cerewet…

“Engkau ni tak sudah-sudah lupa. Oh, ya! Pagi tadi engkau ke mana? Elok aku ada kerja aje, engkau pulak lesap. Lain kali ‘on’kan handphone tu! Telefon tak pernah dapat…” lantang Phi Yam menempelak sehingga semua orang di dalam pejabat itu memandang mereka.

“Sorry, Encik Phi Yam. Kebetulan bateri habis. Encik nak saya buat apa?” tanya pemuda itu.

Phi Yam menghempaskan laporan berita yang dibuat oleh Narut semalam ke atas meja dengan kuat.

“Apa ni? Ini ke hasil kerja seorang graduan? Laporan macam ni… budak sekolah menengah pun boleh buat! Engkau tulis semula sekarang. Semak sekali kesilapan dalam laporan yang satu lagi. Aku beri masa sampai pukul 5.”

Arahan tegas Phi Yam membuatkan wajah Narut terasa kebas. Perasaan marahnya meluap- luap sehingga mukanya menjadi merah padam.

Ketika Phi Yam hendak beredar untuk kembali ke mejanya, ekor matanya terpandang lakaran gambar pelakon opera di atas meja Narut. Pantas dicapainya lakaran gambar itu lalu ditatapnya dengan pandangan sinis sambil ketawa menyindir.

“Apa dah jadi dengan engkau ni, Rut? Sekarang dah tukar cita rasa pulak. Dah suka pelakon opera Cina…”

“Errr…”

Belum sempat Narut membuka mulut, Phi Yam pantas memintas. “… Atau… bukan suka pelakon opera, tapi engkau sendiri yang teringin nak jadi pelakon opera…”

Selesai berkata demikian, Phi Yam mencampakkan gambar itu kembali ke atas meja, sebelum berjalan ke biliknya. Tinggallah Narut terkedu sendiri. Buku limanya digenggam kuat, penuh geram.

Orang bawahan memang tidak boleh untuk bersuara. Itu sudah lumrah.

****

Narut mengambil makanan sejuk beku dari dalam ruang sejuk beku lalu memanaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro sebagai hidangan makan malam. Sambil makan, Narut menonton televisyen di katilnya.

Esok hari Sabtu. Narut memutuskan untuk ke Chonburi, mencuba nasibnya dalam mencari gadis opera misteri itu. Muad Wit sudah mendapatkan maklumat tentang kumpulan opera Cina yang ada di daerah Chonburi. Daripada hasil siasatan Muad Wit, didapati ada dua atau tiga kumpulan opera Cina di kawasan itu. Kalaulah gadis opera yang dicari-cari Narut betul wujud, sudah tentu tidak sukar dia mengenali identiti gadis tersebut.

Sebaik sahaja urusannya selesai, Narut tidur awal. Fikirnya, lebih baik dia menyimpan tenaga untuk hari esok yang belum pasti. Ubat lorazene yang dibelinya di farmasi selepas dipreskribkan oleh doktor hasil pujuk rayunya kerana tidak dapat tidur, sudah beberapa malam ditelannya. Sebelum dia merebahkan badan, dia tidak lupa bertafakur, menegaskan kepada hantu gadis operanya bahawa kalau benar-benar gadis itu mahukan pertolongannya, janganlah datang lagi dalam mimpinya malam itu. Dia perlu banyak berehat.

Seolah-olah rayuannya didengar, buat pertama kalinya sejak dia balik dari upacara pembersihan kawasan perkuburan Cina dahulu, malam itu gadis itu tidak muncul lagi dalam mimpinya.

****

Hari masih gelap. Narut memasukkan semua barang keperluannya ke dalam beg galasnya, bersedia untuk memulakan perjalanan. Lakaran gadis misteri yang hendak dijejakinya itu tidak lupa dibawa bersama-sama. Sayang, Muad Wit bertugas hari itu. Jika tidak, sudah tentu kawannya itu dapat menemaninya, atau sekurang-kurangnya membantu menghantarnya ke daerah Chonburi.

Selepas beberapa lama dalam perjalanan, Narut tiba di hotel yang telah ditempahnya awal- awal. Dia menyimpan barang-barangnya di dalam bilik penginapannya, sebelum turun ke bawah untuk bertanya kepada penyambut tetamu hotel itu akan arah untuk ke lokasi yang hendak dituju. Lebih baik dia mendapatkan kepastian daripada mereka yang arif tentang tempat itu supaya dia tidak tersesat nanti.

Tempat yang hendak ditujunya hari itu ialah kawasan petempatan komuniti Cina di pinggir Chonburi. Dia rasa gadis yang hendak diselidikinya tentu pernah tinggal di situ.

Selepas lebih sejam berjalan, barulah Narut tiba ke tempat yang dituju. Sekali pandang, tempat itu sama seperti kawasan petempatan masyarakat Cina yang lain, tetapi lebih kecil. Kawasan yang sudah lama wujud itu tentu sudah berpuluh-puluh tahun usianya. Lorong-lorong kecil berselirat di di sana sini.

Narut merasakan seperti pernah sampai ke tempat itu dengan Phi Yam tidak lama dahulu. Akan tetapi, dia tidak ingat atas urusan apa dia ke situ.

Nampaknya tidak mudah menjejaki identiti gadis misteri yang muncul dalam mimpinya. Narut berhenti di sebuah kedai kopi yang agak kecil sebelum duduk di suatu sudut kedai kopi itu. Dia memesan secawan kopi ‘o’ ais untuk menghilangkan dahaga. Kesempatan itu digunakannya untuk bertanya-tanya dengan orang-orang di situ tentang kumpulan opera Cina.

“Maaflah, di sini tak ada kumpulan opera Cina,” jawab seorang lelaki Cina tua bermisai yang ditanya oleh Narut ketika lelaki itu datang membawa kopi yang dipesannya. Kening lelaki tua itu terangkat sedikit, kehairanan, sebelum menjawab dalam bahasa Thai dengan loghat Cinanya. “Nak tengok show, ka?”

“Ohh… taklah, apek. Saya nak cari orang.”

“Dulu sini memang banyak kumpulan opera. Tapi sekarang hampir semua dah berhenti sebab tak ada yang panggil buat show. Kalau ada pun cuma kumpulan Tee Sui Ferng Hua dan Kim Hong. Mereka tinggal di belakang sana. Masuk ikut lorong lapan, atau lu boleh tanya orang dekat-dekat sana.”

Ketika lelaki tua itu hendak beredar, Narut bertanya lagi.

“Nanti, Pek…” Narut segera mengeluarkan gambar lakaran gadis misterinya lalu ditunjukkan kepada lelaki tua itu. Apek tua tadi membuka gulungan kertas tersebut lalu ditatapnya. “Apek pernah tengok perempuan dalam gambar ini?”

Keadaan senyap seketika. Mata lelaki tua yang sebesar biji kuaci itu terbeliak, seolah-olah terpandang hantu.

“Haiya!”

“Ada apa, Pek?” tanya Narut teruja sebaik terpandang wajah terkejut lelaki itu.

“Ini Ah Chu.”

“Apek kenal dia?”

“Tentulah kenal. Semua orang sini kenal dia. Ah Chu ni dulu primadona kumpulan opera Tee Sui Ferng Hua yang terkenal. Kenapa lu cari sama dia?” tanya lelaki tua itu pula.

Narut bungkam. Dia tidak tahu sama ada hendak memberitahu perkara sebenar atau tidak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66679/hantu-gadis-opera