[REVIEW] RASA

RASA oleh ​Nuril Basri

Umurnya hampir mencecah 30 tahun tetapi Maya, seorang gadis perasa, masih belum tahu apa yang dia inginkan dalam hidupnya. Untuk mencari dirinya, dia menerima tawaran kerja sebagai seorang pelayan di atas sebuah kapal persiaran. Di sana dia bertemu dengan Kanompang si dada melon, Oleksii dengan totem bersaiz Eropah, dan Maroje, kekasih pertamanya yang mungkin adalah putera raja dari Croatia. Namun pengembaraan Maya tidak berakhir di tengah lautan. Dia berangkat ke London dan bekerja sebagai seseorang yang kalian tidak pernah bayangkan sebelumnya!


Rasa antara 9 novel baharu yang diperkenalkan oleh Fixi Malaysia sempena PABKL 2019. Terdapat 7 bahagian di dalam ini yang menceritakan kisah kehidupan Maya, seorang gadis kurus dan polos. Bermula daripada kisah Maya bekerja di lautan dan mengelilingi dunia. Maya bekerja sebagai seorang pelayan di atas sebuah kapal. Walaupun keputusannya dibantah oleh ibunya, Maya tetap teruskan perancangannya. Kerap kali Maya disalah anggap sebagai lelaki di atas kapal persiaran itu kerana bentuk badannya yang kurus dan rambutnya yang pendek. Disana juga dia bertemu dengan Maroje tetapi malangnya terpaksa pulang ke tanah air kerana kapal persiaran itu telah rosak. Setelah pulang ke Indonesia, Maya menganggur selama beberapa bulan dan kemudian diajak datang ke London oleh rakannya Linda. Maya ditawarkan bekerja sebagai seorang pelayan tetapi akhirnya ditipu oleh Linda. Selepas kecewa kerana ditipu oleh Linda, Maya mula mencari pekerjaan lain untuk menampung kehidupannya di London. Maya kemudiannya telah ditawarkan pekerjaan yang tidak terjangkau dek akalnya. Novel ini mengandungi kandungan yang sesuai untuk pembaca yang matang. Penulis juga bijak melakarkan situasi debar/tegang/pilu/desah hati dalam skala sederhana. Sesekali hanya dalam sebarisan ayat sahaja bagi menggambarkan perasaan watak utama Maya. 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271736/rasa

[SNEAK PEEK] SUNYI

SUNYI Oleh Nuril Basri

Hari sudah semakin gelap, namun orang masih keluar-masuk kedai-kedai dan pusat membeli-belah itu sambil membawa barang rompakan mereka, seperti lalat yang hinggap dan pergi di atas selonggok bantal. Herwin dan Aloysius duduk di pinggir jalan menyaksikan pelbagai jenis manusia datang, mengaut seberapa banyak barang yang mereka boleh bawa, pergi dan kemudian datang lagi. Sambil itu sesekali mereka tertawa mengingat peristiwa dipukul curi secara tiba-tiba tadi. Herwin juga sempat tertidur untuk beberapa ketika di pinggir jalan itu. Dia hanya terjaga bila Aloysius mengejutnya akibat kelaparan.

Herwin duduk dan membersih-bersihkan tanah, rumput dan kotoran pada bajunya. Rambutnya yang kusut-masai disikat dengan jari. Dia langsung tidak peduli pada keadaan tubuhnya yang sakit-sakit.

“Kau lapar tak? Aku lapar,” ujarnya, seperti dapat membaca fikiran Aloysius. “Aku teringin makan benda-benda yang tak pernah aku makan, macam marshmallow panggang, atau daging rusa panggang. Kau ada nak makan sesuatu tak? Maksud aku, yang belum pernah kau makan.”

Aloysius mengangkat bahu. Mereka kemudian bangun dan mula berjalan di sekitar bulatan patung Selamat Datang itu.

“Mereka masih di situ,” kata Herwin sambil menuding ke arah anggota pasukan keselamatan yang berkawal walaupun jumlah peserta demonstrasi semakin berkurangan. Yang ada pun cuma duduk-duduk dengan wajah keletihan tetapi masih berusaha untuk tampil berani. Mungkin sebahagiannya sudah pulang sambil membawa barang rompakan mereka tadi atau masih sibuk merompak di dalam.

Aloysius mengajak Herwin ke sebuah warung tidak jauh dari situ. Ada beberapa warung lain yang tutup di sebelahnya, namun warung itu masih buka walaupun tiada pengunjung.

“Ada duit?” soal Aloysius.

Herwin menyeluk sakunya dan mengeluarkan sejumlah wang. Aloysius mengangguk dan mengajak Herwin masuk ke warung yang menjual nasi goreng itu. Yang ada cuma tukang masaknya yang sedang duduk di hadapan sebuah TV kecil sambil menonton berita.

Di kaca TV, presiden sedang berucap sambil membaca dari kertas yang dipegangnya. Di sudut kanan kaca TV tercatat perkataan LIVE menandakan siaran itu adalah siaran langsung. Dalam ucapannya, presiden meminta maaf sebelum mengesahkan yang memang ada asteroid yang sedang menuju ke bumi. Katanya, dia tidak perlu menjelaskan lebih panjang lebar kerana maklumat terperinci berkaitan dengannya akan dijelaskan oleh seorang pakar astronomi negara selepas ini. Dan pada saat ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh negara melainkan bekerjasama dengan pihak luar kerana pihak negara sendiri tidak mempunyai teknologi untuk menyelesaikan masalah ini.

“Ini bukan masalah satu negara saja,” ujarnya dengan wajah serius. “Ini adalah masalah dunia dan bersangkut-paut dengan keselamatan penduduk dunia secara keseluruhan.”

Kata beliau lagi, dia sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara yang lain – alasan kenapa dia tidak membuat sebarang kenyataan sejak seminggu yang lalu. Dan maklumat berkaitan perbincangan yang telah dilakukan belum boleh disebarkan, selain daripada mengesahkan bahawa kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Untuk sementara waktu, rakyat harus bertenang dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan atau merugikan orang lain tetapi kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa dan terus berdoa. Dan ucapannya diakhiri dengan seruan agar hubungan kekeluargaan terus dieratkan dalam masa-masa sukar sebegini.

“Dia masih di bumi. Aku ingat dia dah dah pindah ke planet lain,” simpul Herwin.

Aloysius memanggil pemilik gerai, mahu memesan makanan. Namun perempuan separuh umur itu menggeleng, mengeluarkan wang dari laci mejanya dan terus beredar tanpa kata. Aloysius memanggil-manggilnya tetapi tidak ada respons. Mereka berdua ditinggalkan di warung yang sudah kosong itu.

Herwin dan Aloysius saling berpandangan. “Nampaknya kita kena masak sendiri,” ujar Herwin sambil tersengih.

“Biar aku yang masak,” tawar Aloysius. Dia kemudian memasak nasi goreng yang rasanya terlebih garam. Tetapi kerana deraan perut lapar, kedua-duanya menghabiskan nasi tanpa banyak soal.

Lampu-lampu jalan sudah dinyalakan bila mereka selesai makan dan kembali ke bulatan patung Selamat Datang. Suasana semakin lengang. Para polis dan tentera sudah duduk berehat, tidak lagi di posisi siaga. Para demonstran juga sudah tidak lagi melaung-laung, hanya duduk sambil berbual-bual sesama sendiri. Ada yang sudah tidur di pinggir jalan.

Aloysius mendekati salah seorang peserta demonstrasi itu, seorang pemuda awal 20-an yang sedang duduk bersama rakan-rakannya. “Jadi sekarang kita nak buat apa?”

Pemuda itu mengangkat bahu. “Balik rumahlah.”

Memang benar, di sekeliling mereka ramai yang sedang berjalan ke arah lori-lori dan bas-bas yang tadinya membawa begitu ramai orang.

“Kau orang dah dengar berita terbaru?” soal Herwin pula.

Mereka mengangguk. “Dengar dari radio,” jawab salah seorang. “Sekarang baru nak buat kenyataan,” rungutnya lagi.

Lalu mereka diam.

“Tapi, betul katanya. Kita jangan panik. Mungkin mereka sedang mencuba mengatasinya. Negara-negara maju kan hebat-hebat.”

“Ah, bullshit semua tu. Kau jangan percaya,” sanggah Herwin yang kemudian disiku Aloysius. “Meteornya makin dekat. Aku nampak dalam mimpi aku, kita semua akan musnah seperti anai-anai yang dibakar busutnya.”

Aloysius segera menarik Herwin jauh dari situ, meninggalkan kumpulan pemuda yang kelihatan tercengang mendengar kata-katanya. “Apa?” soal Herwin bila mereka sudah jauh sedikit dari kumpulan itu.

“Tutup mulut kau,” ujar Aloysius.

“Aku tidak mahu menutup mulutku. Mulutku punya pemikirannya tersendiri. Aku tidak boleh menghalanginya. Mulutku mengatakan perkara yang benar.”

“Walaupun benar, tidak semuanya perlu dikatakan,” ujar Aloysius.

“Tengok langit kalau masih ragu.” Herwin menghentikan langkahnya, memaksa Aloysius menurutinya.

“Lihat! Lihat! Lihat tu!” tunjuk Herwin ke angkasa. Aloysius enggan mendongak. Jadi Herwin memegang dagunya dan memaksa dia mendongak. Untuk seketika Aloysius diserang kemarahan, namun ledakan emosinya terhenti saat melihat sebutir bintang yang bersinar lebih terang daripada bintang-bintang yang lain. Bentuknya bulat seperti mutiara, saiznya dua kali ganda lebih besar daripada planet Musytari atau Zuhal pada jarak yang paling hampir dengan bumi.

“Tengok tu, dah makin dekat, kan?” ujar Herwin mengulang lagi, suaranya semakin kuat.

Kemudian orang sekeliling mula mendongak-dongak ke langit. Dalam kegelapan langit malam, bintang itu kelihatan semakin terang dan besar, seperti semakin menghampiri bumi. Suara orang berbisik-bisik mula kedengaran, menjalar dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain.

“Tu… tengok tu… makin besar…”

“Ya… makin besar…”

“Mana? Mana? Oh… yang itu…”

Kemudian suasana menjadi hening. Timbul kekaguman bercampur ketakutkan. Mungkin itu reaksi normal ketika berhadapan sesuatu yang mungkin akan membunuh mereka. Malah para anggota keselamatan juga leka memerhatikan bintang yang bersinar terang pada langit yang gelap tidak berawan itu.

Beberapa minit kemudian, kedengaran enjin lori pertama dihidupkan. Peserta demonstrasi mula beredar. Ada yang menaiki lori dan ada yang menaiki bas. Kesemuanya seperti tergesa-gesa, seperti ada sesuatu yang mereka kejarkan. Anggota keselamatan juga mula beredar. Hanya tinggal beberapa lagi yang masih bertahan di situ, entah untuk apa.

Herwin mula kebingungan. Dia dan Aloysius berusaha mencari lori yang mereka tumpangi tadi tetapi tidak bertemu. Tiada wajah yang akrab atau pernah dilihat sebelum ini. Bila ada seorang lelaki memanggil mereka berdua dan bertanya, “Nak ikut tak?”, dia menggeleng-geleng ketakutan sebelum mengajak Aloysius pergi dari situ.

“Seram, bila orang yang tak dikenali ajak ikut dia,” terangnya pada Aloysius.

Mereka kembali ke bulatan patung Selamat Datang. Mereka memilih untuk duduk di kaki lima rumah kedai bersama beberapa orang yang sudah ketinggalan lori atau bas tumpangan mereka, atau mereka yang tidak mahu pulang. Duduk berbual-bual, berbaring dan akhirnya tertidur.

 

****

Langit berwarna hijau lembut pada keesokan paginya. Langit tak pernah berwarna hijau sebelumnya. Tak ada arakan awan sama sekali.

Ada sedikit kekecohan dalam kalangan rombongan itu. Lady Bazooka pergi menyiasat sebelum kembali bersama berita bahawa pemimpin rombongan itu sudah menghilangkan diri. Pergi begitu sahaja. Entah ke mana. Tidak ada yang melihatnya sejak semalam. Ahli rombongan begitu sedih. Malah ada yang menangis.

“Dia adalah nabi kita. Selama ini kita berjalan di belakangnya. Mengikuti dia.”

Lady Bazooka menyampaikan khabar itu pada Herwin, namun pemuda itu kelihatan tenang.

“Tak apalah. Lagipun kita dah tak ada masa. Jom kita jalan. Sekejap lagi langit akan berubah warna ungu.”

Mereka berlima mendaki sebuah bukit kecil tidak jauh dari ladang tempat mereka berkhemah semalam. Herwin mengajak mereka duduk di situ. Mereka duduk berbaris sambil memandang langit yang berwarna hijau redup.

“Semalam aku bermimpi,” kata Herwin. Namun kemudian tekaknya terasa begitu kering. Perit sekali. Sukar untuk menceritakannya. Di dalam mimpi itu dia diberitahu bahawa dia dari koloni bulan. Orang yang terpilih. Seseorang yang diberi kebebasan dalam hidupnya dan boleh melakukan apa saja yang diingininya. Dia merasa takut. Takut pada maklumat itu dan takut pada dirinya sendiri.

“Kau tak mahu melawat kubur orang tuamu?” soal Herwin pada Lady Bazooka yang duduk di sebelah kirinya.

Lady Bazooka menggeleng. “Aku tak mahu melawat sesiapa.”

“Kau tak mahu melawat aku?” soal Herwin lagi.

“Tapi kau ada di sini.”

“Tapi kalau aku jauh, kau mesti akan melawat aku, kan?”

Lady Bazooka sekadar mengangguk. Matanya sudah digenangi air.

“Aku pun akan mengunjungi kau. Kita akan bertemu di tengah jalan,” tambah Herwin. “Tapi aku akan melihat kau dulu sebab badanmu besar seperti dinosaur…”

Lady Bazooka tertawa. Air matanya sudah mula menitis.

Herwin kemudian menoleh ke arah Aloysius di sebelah kanannya. Tubuh itu dipeluk sebelum pelukannya dibalas. Empat saat berlalu. Pelukan yang sangat hangat. Herwin lalu melepaskannya.

“Aku mahu melihat matamu,” pinta Herwin.

Aloysius mendekatkan wajahnya pada Herwin agar lelaki itu dapat melihatnya dengan jelas.

“Aku masih boleh melihat bintang-bintang di matamu,” bisik Herwin perlahan.

Aloysius tersenyum sebelum mengangguk. Dia memegang kedua-dua belah bahu Herwin sebelum mengucup dahinya.

Herwin mengeluarkan bunga edelweiss yang disimpannya di dalam saku jaketnya dan menyerahkannya pada Aloysius. “Berikan pada ibumu.”

Aloysius menyambutnya. Dia kemudian menoleh ke belah kanannya. Disambut dengan wajah Dona yang sudah dibasahi air mata. Aloysius menyerahkan bunga itu ke tangannya sebelum mereka berpelukan. Dona menangis teresak-esak di dalam pelukan Aloysius. Mereka disakiti dan dikecewakan, namun kini sudah lega dan tidak lagi menyesal. Aloysius ingin memanggil Dona sebagaimana seorang anak memanggil wanita yang telah melahirkannya, sepertimana yang selalu dilakukannya dulu. Dia berharap dosanya akan diampunkan, sebagai seorang yang pernah meninggalkan rumah dan tidak berniat untuk kembali. Jauh di sudut hati dia tahu yang ibunya sangat mengasihinya, dan akan tetap mengasihinya sampai bila-bila.

Dona menangis semahu-mahunya. Dia bersyukur diberi kesempatan itu. Saat melihat Herwin dan Aloysius di puncak gunung itu, hatinya berdebar-debar. Perasaan bercampur-baur antara bingung dan gembira. Dia ingin mati tetapi masih juga ingin menikmati sisa hidup dengan anaknya. Untuk seketika dia membiarkan Benson memburunya dan melepaskan hidupnya pada takdir. Namun di dalam belon udara panas itu, dia merasa dia harus bertahan demi anaknya. Sehingga dia merayu agar Benson menangguhkan tugasnya.

Namun sekarang Benson sudah boleh melakukannya.

Dalam dua saat, langit berubah warna menjadi ungu muda, kemudian ungu tua. Kemudian seperti ada bebola besar yang tiba-tiba menjenguk melalui awan. Rasanya begitu dekat seperti dapat disentuh. Sangat sunyi. Angin seakan terhenti. Mereka hanya memandang dengan takjub. Dona menoleh ke arah Benson kemudian mengangguk. Benson menatapnya seketika dengan tatapan penuh cinta sebelum mengarahkan senjata pada jantung kekasihnya. Dia memejamkan mata. Dona memejamkan mata. Aloysius memejamkan mata.

Herwin dan Lady Bazooka berpelukan erat ketika angin tiba-tiba menjadi sangat kencang dan asteroid itu menonjolkan kepalanya melewati atmosfera bumi.

“Maaf,” bisik Lady Bazooka.

Herwin menggeleng. Dia tidak mahu mendengar ucapan itu.

“Maaf kerana aku tak dapat memberi apa yang kau mahu…” bisiknya lagi sambil teresak-esak.

“Inilah yang aku mahu… keluargaku sudah lengkap.”

Yang tidak diceritakan Herwin pada sesiapa di dalam mimpinya malam tadi adalah dia telah mendapatkan epifania. Dia bermimpi tentang orang-orang yang tersenyum bersamanya. Lady Bazooka dengan rambut palsu dan sepatu tumit tingginya adalah ibunya. Aloysius yang pendiam itu adalah abangnya. Dona yang kurus itu adalah makciknya. Benson yang penuh misteri itu adalah pakciknya. Dan Samuel yang mati tragis itu adalah ayahnya. Dia memiliki keluarga yang sempurna. Keluarga yang tidak dimiliki orang lain. Dan di dalam momen kesedaran sejenaknya itu dia dapat menyimpulkan, keluarga bukanlah sesuatu yang dilahirkan dari pertalian darah, tetapi orang yang kau temui dalam suatu perjalanan yang akan berusaha untuk terus bersamamu di sepanjang perjalanan itu.

Kemudian yang mereka rasakan adalah cahaya terang yang membutakan mata dan panas menyakitkan yang seketika. Dan semuanya berakhir.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96086/sunyi

[SNEAK PEEK] SUNYI

SUNYI Oleh Nuril Basri

Hari ke-21

Mereka bermalam di dalam sebuah pawagam di dalam sebuah pusat membeli-belah agak jauh dari pusat bandar. Kerusi pawagam itu boleh tahan selesanya dan mereka dapat tidur dengan nyenyak. Gelandangan yang dikejar Herwin tadi telah membawa mereka ke pusat membeli-belah itu. Pusat membelibelah itu masih banyak barang, mungkin tidak ramai yang tahu kerana kedudukannya yang agak jauh dan tersorok. Mereka masuk dan menemui sebuah restoran Itali yang mempunyai banyak stok makanan. Jadi selepas memasak makan malam, mereka mengajak gelandangan-gelandangan itu untuk turut sama makan. Kemudian semuanya tidur nyenyak di kerusi pawagam yang empuk.
Pagi menjelang. Matahari bersinar redup. Herwin yang bangun awal sedang menyelongkar dapur restoran Itali semalam. Aloysius di belakangnya menggosok-gosok mata sebelum mencuci muka. Kemudian duduk di sebuah sofa yang menghadap sebuah meja bulat.
Selepas berjaya menemui separuh bungkus serbuk kopi dalam bungkusan bergulung, Herwin mengambil gelas plastik di atas rak. Tanpa berfikir panjang, dia membancuh kopi itu dengan air sejuk. Kemudian mencicipnya. “Bleurghhh….” ujarnya sambil menjelirkan lidah. “Sedap.” Berbeza sekali dengan reaksinya sebentar tadi.
Dia menawarkan kopi itu pada Aloysius tetapi Aloysius menggeleng. Herwin membawa gelasnya ke meja dan duduk di sofa yang berhadapan dengan sofa yang diduduki Aloysius.
“Talking over coffee,” ujarnya sambil tersengih.
Aloysius tidak menjawab. Di dalam hatinya, dia sangat ingin untuk mendengar muzik. Sebelum ini dia suka melepak di café sambil mendengar lagu. Tetapi yang didengarnya hari ini hanya dengusan nafas Herwin yang kedengaran kasar dan mengganggu.
“Jadi sekarang apa?” tanya Herwin.
“Apa?”
“Apa lagi yang kita nak buat?”
“Tidak tahu.” Aloysius mengedikkan bahunya.
“Kau tidak ingin pulang berjumpa keluargamu?”
Aloysius memalingkan wajahnya. Kelihatan tidak bersedia untuk menjawab pertanyaan itu.
“Tapi kau ada keluarga?” tanya Herwin lagi.
“Tidak…” jawab Aloysius, “…tahu,” sambungnya perlahan.
Herwin mengerutkan dahi. Jawapan yang pelik. Dia meneguk lagi kopi yang pahit itu, cuba memahami. Kemudian dia bersandar dan menutup matanya. Dia duduk tegak sambil menggumamkan sesuatu. Selepas dua minit yang mendebarkan, Herwin membuka matanya. “Sudah,” ujarnya sambil tersenyum.
“Kalau tidur lagi, aku tinggalkan kau.”
“Bukan tidur. Tadi tu berdoa.”
Aloysius mendengus jengkel.
“Hari ini aku akan puasa, sampai kebuluran. Sampai ususku pecah,” ujar Herwin.
“Sebab?”
“Supaya Tuhan akan mengasihani aku. Dan kemudian mengkabulkan semua doaku.”
“Lawak. Minta dikasihani. Dasar pengemis,” ejek Aloysius.
“Aku berdoa supaya ingatanku kembali supaya aku boleh mengingat masa laluku. Jadi aku boleh mengingat kampung halaman. Ingat keluargaku. Atau sesiapa saja dari masa laluku. Supaya aku ada tempat untuk pulang.”
Kata-kata itu keluar dari mulutnya seperti banjir. Gelas di tangan digoyang-goyangkan sedikit. Aloysius menoleh ke arah lain, tidak mahu memandang wajahnya. Dia fikir Herwin itu terlalu naif, tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantunya.
“Sebab aku tak ada arah tujuan, aku akan ikut ke mana engkau pergi,” lanjut Herwin lagi. “Aku akan jadi bayang-bayang kau. Aku akan ikut ke mana saja kau pergi.”
Aloysius menggeleng. “Tak mahu. Kau bayang-bayang yang menyusahkan.”
“Kalau macam tu, apa kata kau ikut aku?” tawar Herwin penuh semangat. “Aku tak kisah.”
“Aku tak nak ikut pengaruh buruk.”
Herwin berfikir sejenak. Kemudian dia mendekatkan wajahnya ke depan. Aloysius berkerut kehairanan.
“Apa?”
“Tengok muka aku. Nampak, kan?”
“Nampak. Jadi kenapa?”
“Kau rasa aku orang apa? Maksud aku, asal dari mana? Boleh teka tak?”
Kali ini Aloysius menatap wajah lelaki di hadapannya tepat-tepat. Setiap sisi diperhatikan. Warna kulitnya tidak gelap atau sawo matang. Agak cerah tetapi ada kesan dibakar matahari. Ada parut kecil di hujung bibirnya. Hidungnya terbentuk walaupun tidak terlalu mancung. Garis rahangnya tidak terlalu jelas. Yang menarik adalah kening sebelah kirinya. Kerana hujung keningnya menaik ke atas sedikit, seperti tanduk. Membuat keningnya tampak tidak seimbang. Namun secara keseluruhannya, wajahnya kelihatan menyenangkan. Tidak garang.
Selepas berfikir untuk beberapa ketika, Aloysius menggeleng.
“Sekarang lihat tubuhku. Boleh teka?” soal Herwin sambil berpusing-pusing di hadapan Aloysius, persis peserta pertandingan model.
Aloysius menggeleng lagi.
“Tahu tak?”
“Tak tahu,” sahut Aloysius malas. Tetapi memang benar. Tubuh Herwin tampak biasa saja. Sama seperti orang lain. Tidak gemuk tetapi tidak terlalu kurus. Tingginya sederhana. Semuanya tampak sama pada Aloysius.
“Kalau dengar pelatku bila bercakap?”
Aloysius menutup telinganya. “Sama macam orang lain di kota ini,” ujarnya cepat tanpa mahu mendengar Herwin yang diketahuinya boleh bercakap tanpa henti.
“Mungkin sebab aku dah terlalu lama di sini, kan?”
Aloysius mengangkat bahu. “Bukannya kau kata kau asal dari bulan?”
Herwin menggaru kepala. Dia duduk kembali lalu menepuk dahinya. “Betul kata kau. Aku hampir-hampir lupa,” ujarnya sebelum mencapai gelas kopi sejuk itu dan meneguknya lagi. “Tapi… walaupun aku dari bulan, aku rasa masa diturunkan ke bumi, mestilah ada keluarga yang menjagaku, kan? Tak masuk akal kalau dari bayi aku sendirian. Mesti ada yang jaga aku, kan?”
“Kalau kau tak ingat masa lalu kau, mungkin kenyataannya kau diturunkan ke bumi ketika kau sudah dewasa.” Entah kenapa Aloysius mengatakan perkara itu. Seolah-olah terjebak dengan cerita khayalan lelaki di hadapannya.
PAP! Herwin menepuk meja. “Hah! Tak mustahil!” ujarnya penuh semangat. Kemudian riak wajahnya berubah lagi. “Tapi rasanya tak juga. Rasanya aku masih ingat secara samar-samar ibu bapaku.”
“Ingat?”
Herwin mengingat. “Tapi sekarang dah lupa balik. Tadi ingat sekejap saja. Macam flash kamera.”
“Hah?”
“Kadang-kadang melalui mimpi. Aku seperti menonton filem tentang masa laluku. Ada ibu bapa dan adik-beradik lelaki. Tapi setiap kali terbangun, aku akan lupa tentang mimpi-mimpiku. Macam menggenggam pasir. Sekuat mana kau berusaha untuk mengingati mimpi, lama-lama kau akan lupa.”
Tiba-tiba cermin tingkap seakan bergetar. Sekaligus kedengaran denting gelas dan pinggan mangkuk. Kerusi mereka seakan bergoyang. Tetapi tidak lama, cuma tujuh saat.
“Gempa lagi,” keluh Herwin sambil memegang lengan kerusi.
“Kita kena keluar dari sini,” ajak Aloysius yang khuatir akan ada gempa susulan dan mereka akan terperangkap di situ.
Mereka keluar dari pusat membeli-belah itu untuk menemui jalan yang kelihatan kosong dan sedih. Persis seperti dalam filem di mana sesebuah tempat itu diserang raksasa ganas. Akhbar-akhbar lama berterbangan ditiup angin yang terasa semakin dingin. Herwin menarik zip jaketnya rapat ke atas.
“Sekarang aku rasa aku tahu ke mana aku akan pergi,” ujarnya tiba-tiba selepas beberapa ketika mereka terdiam.
“Ke mana?”
“Wherever… whatever. Have a nice day. Aku mahu mengumpulkan kepingan-kepingan masa laluku. Mahu mencari siapa diriku sebenarnya.”
“Huh!” Aloysius mencebik. Tak sangka dia akan pernah bertemu orang sentimental seperti Herwin. Sebenarnya dia boleh saja meninggalkan lelaki ini sekarang. Pergi ke arah yang lain. Tetapi pada saat ini rasanya dia tidak mahu berjalan sendirian. Bukankah lebih baik kalau ada satu tujuan? Dia sendiri pun tidak ada sesiapa yang ingin ditemui atau dihubunginya.
“Nak mula dari mana?” soal Aloysius kemudian.
“Dari jalan di depan sana,” tuding Herwin. “Aku bersahabat dengan alam. Aku ini kawan angin, kawan bulan. Aku boleh membaca dedaunan dan bercakap dengan cuaca. Dan haiwan-haiwan bercerita padaku.”
Herwin mula melangkah mengikut arah angin yang berhembus dan bersiul-siul, berlumba-lumba dengan carikan-carikan akhbar dan debu-debu yang berterbangan. Kalau melawan arah angin, rasanya akan lebih berat, fikirnya. Angin pasti mahu menghantarku ke sebuah tempat.
Dalam diam, Aloysius mengikutinya.
Mungkin angin tidak selamanya hanya mendinginkan hawa panas. Tidak selamanya menyumbang mual dan kembung. Angin itu membawa Herwin kepada sebuah kenderaan yang terparkir di pinggir jalan.
“Kereta,” ujar Herwin lalu berjalan menghampiri kereta itu. Dia menoleh ke belakang, memanggil Aloysius yang ikut berjalan menyamai langkahnya. “Kereta! Kereta!”

****

Hari ke-21, pagi

Mereka berdiri di hadapan sebuah van berwarna perak yang kelihatan masih elok. Herwin mengintai ke dalam van bercermin gelap itu. Kosong.
Aloysius mencuba membuka pintu, mahu melihat sama ada kunci van itu ada di dalam. Tiba-tiba van bergoyang kuat, membuat mereka berdua terperanjat.
HAH!
Seseorang melompat dari sebalik badan van dan menyergah Herwin. Herwin yang benar-benar terkejut terus jatuh dan tertidur selepas melihat wajah lelaki itu.
“Eh… pengsan…” ujar lelaki yang menyergah tadi. Wajahnya pucat, sebelah tangannya menutup mulut dan sebelah lagi menuding ke arah Herwin yang terbaring di atas jalan dengan mata tertutup.

──♦──

Herwin membuka matanya perlahan-lahan. Dia di dalam van yang sedang bergerak, terbaring di tempat duduk tengah. Tubuhnya bergoyang-goyang seiring gerakan kenderaan itu. Entah sudah berapa jam dia tertidur, dia tidak ingat.
“Monster…” getusnya. Samar-samar dia mula teringat apa yang terjadi. Van itu tadi tiba-tiba bergoyang kuat sebelum ada seseorang menyergahnya kuat. Perlahan-lahan dia bangun, mahu melihat siapa yang sedang memandu.
Rupanya Aloysius sedang memandu, pandangannya fokus ke hadapan. Herwin memegang kepalanya. Masih pening. Rasanya dia ingin tidur semula.
“Hai… dah bangun!” satu suara mengejutkannya. Herwin menoleh. Lelaki yang menakutkan itu duduk di sebelah Aloysius. Dia tersenyum namun kelihatan ngeri sekali. Giginya besar-besar. Suaranya serak dan kasar, tetapi nadanya mesra. Tidak sepadan dengan bentuk tubuhnya atau wajahnya yang lebar dipenuhi lubang-lubang bekas jerawat.
Herwin tersentak. Dia memejamkan matanya rapat-rapat sambil berharap itu semua adalah mimpi. Kemudian dia membuka matanya semula namun lelaki yang digelarnya raksasa itu masih di situ.
“Hello…” ujar orang itu lagi, masih tersenyum.
Herwin menjauhkan diri dari lelaki itu, pandangannya penuh waspada. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membuka pintu van dan melompat keluar.
“Tolong!” tiba-tiba Herwin menjerit. Matanya terbeliak, penuh ketakutan. “Tolongggg!!”
“Hish! Kau ingat aku ni apa?” soal lelaki itu dengan riak tersinggung.
“Kau nak menculik kami ya? Toloooonggg!!!” pekik Herwin lagi. “Aloy! Al!” panggil Herwin tanpa mengalihkan pandangannya dari lelaki itu, risau akan diserang tiba-tiba.
“Eh, ingat aku tak ada kerja lain? Dasar kurang ajar.”
“Jangan merepek, Win. Kita bukan diculik,” ujar Aloysius tanpa menoleh. Nadanya tenang saja.
Jantung Herwin berdegup kencang, seakan mahu melompat keluar dari dadanya. “Jadi, kita sekarang dibawa ke mana? Kenapa aku diikat begini? Tak boleh bergerak, tau?” keluh Herwin takut-takut.
“Jangan merepek! Siapa yang ikat kau?” soal Aloysius lagi.
Herwin kemudian memeriksa kaki dan tangannya. Tidak terikat. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang memerhatikannya dengan muka masam. “Syaitan! Syaitan!” jeritnya lagi.
“Cakap elok-elok sikit…”
“Kita diculik syaitan!!” raung Herwin sambil menutup mukanya penuh dramatik.
“Hey! Aku tak menculik kau! Aku bukan syaitan!” tempik lelaki itu lagi.
Namun kata-kata itu tidak membuatkan Herwin tenang, sebaliknya dia semakin galak menjerit-jerit. Lelaki yang digelar syaitan tadi berdengus lalu kembali menoleh ke depan. Dia melirik ke arah Aloysius yang kelihatan selamba.
“Kawan kau tu belum makan ubat ke?” soalnya.
“Pedulikan dia. Nanti dia senyaplah,” sahut Aloysius tenang.
Lima minit kemudian, Herwin berhenti melaung-laung dan merepek-repek. Tiba-tiba dia rebah di kerusi, tubuhnya mengejang sebelum kemudian dia tertidur. Untuk beberapa ketika, keadaan di dalam van itu tenang. Aloysius meneruskan pemanduannya.

──♦──

Saat Herwin terjaga, van yang dipandu Aloysius tadi sedang berhenti di sebuah stesen minyak. Dia sendirian di dalam van. Bila menjenguk ke luar tingkap, dia melihat Aloysius dan lelaki aneh itu sama-sama keluar dari sebuah kedai kecil yang sudah licin isinya dikerjakan perompak.
Herwin membuka cermin tingkap. Ada tercetus di dalam kotak fikirannya untuk lari bersama van ini tetapi dia tidak boleh memandu dan tidak mungkin dia akan meninggalkan Aloysius dengan lelaki aneh itu yang mungkin sudah memukaunya.
“Hey!” jerit Herwin kuat, memanggil. Dia melambai-lambai mengajak pergi. Mungkin Aloysius bijak dan boleh melompat masuk ke dalam van dan terus memandu meninggalkan lelaki raksasa itu.
Namun Aloysius tetap santai. Tidak ada riak risau atau khuatir di wajahnya. Dia dan lelaki aneh itu terus memeriksa beberapa pam minyak yang nampaknya sudah tidak berfungsi. Kemudian mereka sama-sama menuju ke van dan masuk.
“Huh! Semua habis. Tak setitik pun yang tinggal,” keluh lelaki aneh itu. Dia tidak menoleh langsung ke belakang. “Macam mana sekarang? Minyak kita hampir habis.”
Herwin memerhatikan lelaki itu. Dia memakai seluar yoga yang ketat, mempertontonkan pahanya yang sebesar perut Herwin dan betisnya yang sebesar anak pokok pisang. Rambut ikal separas siku berwarna coklat terang itu pastilah rambut palsu. Dan sepasang kasut tumit tinggi yang nampaknya kelihatan seperti terlalu kecil untuknya nampak lusuh. Wajahnya dimekap tebal dan aneh, dengan bulu mata palsu seperti ulat bulu, gincu merah terang, pembayang mata warna hijau dan bedak putih dengan dua tompok merah di pipinya itulah yang membuat Herwin sampai menjerit-jerit ketakutan tadi.
Aloysius menghidupkan enjin van. “Mungkin nanti akan ada orang jual di tepi jalan,” ujarnya sebelum mula memandu.
“Hey! Heyyy!” tempik Herwin lagi.
“Apa?” lirik Aloysius.
“Kita nak ke mana? Kenapa syaitan ni masih ada dengan kita?”
Lelaki itu menoleh sebelum membeliak. “Kurang ajar. Aku dah tumpangkan kau, kau panggil aku syaitan?”
“Ratu syaitan marah-marah,” ujar Herwin yang sudah tidak setakut tadi. Sejak terbangun kali kedua dan dapat melihat wajah lelaki aneh itu lebih dekat, dia mendapat keberanian luar biasa. Setidaknya kalau lelaki itu mengamuk, akan ada Aloysius yang boleh membantunya sementara dia menarik rambut palsunya yang menjengkelkan itu. Semua pondan paling benci kalau rambutnya ditarik.
“Siapa yang syaitan?” tempik lelaki itu lagi.
“Kalau bukan syaitan, jadi apa? Pondan gila?”
“Siapa yang pondan? Aku ni showgirl! Performer!” bentaknya.
“Seram gila. Aku takut dimakan.”
Lelaki itu menjegil marah. “Kalau takut, turun di sini sekarang!”
Herwin terdiam seketika. “Tak nak. Aku tak mahu tinggalkan kawan aku sendirian. Nanti kau pukau dia.”
“Gila!” cemuh lelaki itu. “Siapa yang nak pukau kawan kau? Ingat aku tak ada kerja lain?”
“Kau nampak macam pondan gemuk yang jahat,” ujar Herwin perlahan.
Lelaki itu menoleh dengan mata terbeliak, ekspresi wajahnya menyeramkan. Seolah-olah asap keluar dari hidungnya dan rambutnya bertukar menjadi ratusan ekor ular. Herwin tertunduk ketakutan. “Mamaaaa….”
Tiada lagi kata-kata sepanjang perjalanan. Sunyi. Lelaki itu sudah kembali memandang ke hadapan. Herwin bersandar di kerusi sambil memandang ke luar. Entah ke mana arah tujuan mereka.
Angin berhembus melalui tingkap yang dibiar terbuka. Pendingin hawa sengaja dimatikan untuk menjimatkan minyak. Tiba-tiba Herwin menjengukkan kepalanya keluar tingkap sambil memicing-micingkan mata dan menjelirkan lidah.
“Hey! Kau buat apa?” bentak Aloysius dari depan.
“Aku jadi anjing,” ujar Herwin sebelum menyalak-nyalak. “Woof! Woof! Awoooo! Awooooo!”
“Dia ni memang dah gila!” cemuh lelaki aneh itu.
Setelah merasakan lidahnya kebas kerana diterpa angin dingin, Herwin kembali duduk dan mengecilkan bukaan tingkap agar tidak terlalu banyak angin yang masuk. Dia sendawa berkali-kali. “Kenyang makan angin. Boleh masuk angin,” gumamnya sendiri. Kemudian dia duduk diam. Menjadi anjing yang baik.
Mereka mula masuk ke lebuhraya. Melalui plaza tol yang tidak berorang. Semua palang besi terangkat jadi tiada halangan untuk mereka lalu.
Di jalanan, kadang-kadang terlihat satu dua kereta yang sedang memecut. Di pinggir jalan pula kelihatan kereta yang tersadai, cermin-cerminnya sudah dipecahkan. Mungkin kesan rompakan. Ada beberapa orang yang berdiri di tepi jalan sambil melambai-lambai. Mungkin berniat untuk menumpang. Tetapi lelaki aneh itu menghalang Aloysius daripada berhenti.
“Jangan pedulikan mereka! Jalan terus!”
“Tak nak ajak? Kesian tau,” getus Herwin.
“Biarkan saja. Entah-entah mereka orang jahat. Pura-pura meminta tumpang. Nanti bila dah masuk dalam kereta, mungkin mereka akan bunuh kita dan merampas bekalan makanan dan van ni. Jangan naif sangat. Dalam filem selalu terjadi macam ni,” sungut lelaki itu.
Mata Herwin bercahaya. “Ada makanan?”
“Bawah tempat duduk belakang kau. Ada biskut.”
Herwin menjenguk. Ada setin biskut yang belum dibuka. Dia mencapainya rakus.
“Jangan makan semua. Makan sikit-sikit,” tegur lelaki itu. Tetapi Herwin sudah mengunyah dua keping sekaligus.
“Sedapnya,” puji Herwin. Sekarang dia jauh lebih tenang dan mula lebih ramah pada raksasa yang rupa-rupanya baik hati itu. “Nama aku Herwin, boleh panggil Win. Aku asal dari koloni bulan.”
“Okay. Tadi kawan kau pun dah cerita pasal kau. Kau boleh panggil aku Lady Laser 2000 atau Lady Bazooka,” ujarnya dengan suara lembut yang dibuat-buat dan mata yang dikedipkan laju-laju.
“Apa tu?”
“Nama panggilan aku. Sebab selalu beraksi dengan senapang besar atau bunga api semasa pertunjukan. Jadi mereka beri aku nama gelaran tu.”
“Kenapa bukan Diplodocus?”
“Diplo…apa?”
“Diplodocus. Sejenis dinosaur. Badan besar tapi hatinya baik,” ujar Herwin sambil mengambil sekeping lagi biskut.
“Bagi tin biskut tu ke sini! Dasar kurang ajar. Dah diberi makan lepas tu mengejek-ejek orang.”
Herwin menyembunyikan tin biskut itu di belakang badannya. “Tak boleh. Barang yang dah diberi dengan orang tak boleh ambik balik. Nanti buruk siku. Tak takut buruk siku ke, Diplo? Nanti susah nak makan.”
Lelaki berbadan besar itu berpusing, cuba menggapai-gapai tubuh Herwin dengan geram. “Eh… ke sini kau! Nanti aku buat mulut kau jadi buruk!”
Herwin tertawa besar. Gembira kerana dapat mengenakan Lady Bazooka itu.
Sudah hampir sejam perjalanan mereka menyusuri lebuhraya. Beberapa kenderaan yang memotong membunyikan hon. Aloysius membalas dengan membunyikan hon sambil menjaga jarak antara van mereka dengan kereta-kereta lain. Memang tidak banyak kenderaan di jalan hari ini. Semalam pasti suasananya kecoh sekali.
Perlahan-lahan kelajuan van berkurangan. Van itu tersentak-sentak saat mereka keluar dari lebuhraya menuju ke jalan biasa. Kenderaan itu berhenti sepenuhnya, serentak menghentikan perbalahan antara Herwin dan Lady Bazooka. Mereka saling berpandangan sebelum menoleh ke arah Aloysius yang termangu di balik stereng.
“Minyak habis,” keluhnya.
Herwin menoleh ke arah Lady Bazooka. “Ni mesti kau yang minum minyak tu tadi kan, Diplo?”

──♦──

Mereka bertiga turun dari van dan memeriksa keadaan sekitar. Kehabisan minyak itu memang sudah dijangka tetapi mereka tidak jangka secepat ini dan sejauh ini dari tujuan mereka. Jalan memang sudah mula menanjak tetapi tidak bermakna mereka sudah hampir ke destinasi.
Mereka berdiri di tepi jalan. Sesekali Lady Bazooka berusaha menahan kenderaan yang lalu-lalang. Aloysius melirik tidak senang. Dia takut ada yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Melihat kerutan pada kening Aloysius, Lady Bazooka menjelaskan. “Mungkin ada yang ada minyak lebih, atau sudi tumpangkan kita,” jelasnya.
“Sebenarnya kita nak ke mana?” soal Herwin yang masih mengepit tin biskut di ketiaknya.
“Ke gunung. Aku perlu ke gunung,” sahut Lady Bazooka serius. “Oh… nak balik ke habitat asal ke?”
Nyaris saja kepala Herwin diketuk dengan penumbuk Lady Bazooka yang besar itu. Herwin lari agak jauh sambil ketawa terkekeh-kekeh. Lady Bazooka mahu mengejar tetapi teringat kasut tumit tinggi yang dipakainya, dia berhenti. Walaupun dia bukan di atas pentas, dia masih mahu menjaga keanggunannya sesuai dengan namanya, Lady.
Mereka terdiam sejenak. Lady Bazooka masih terjengukjenguk, menunggu kereta yang sudi berhenti.
“Tadi aku tertidur dua kali sebab diplodocus…”
“Kau diam!” bentak Lady Bazooka berang.
“Brrr… sejuknya,” ujar Herwin sambil memeluk erat tin biskut. “Kalau nak naik gunung, tak jauh lagi puncaknya,” ujarnya sambil memandang sekeliling. Sudah mula banyak pokok tinggi. “Kita boleh jalan kaki.”
“Ini bukan puncak gunungnya,” jelas Lady Bazooka. “Jauh lagi.”
“Kau mahu ke puncak mana? Sama saja gunung, kan?”
“Ini bukan puncak gunung. Kau kenal puncak gunung atau tidak?” sindir Lady Bazooka.
“Tahuuuuu… puncak. Di gunung. Kau nak buat apa atas gunung? Terjun bebas?”
“Banyak tanya pulak. Kenapa nak sibuk-sibuk urusan orang?”
“Huh!” keluh Herwin. “Tanya pun tak boleh. Ye lah, kita tahan kereta lain. Kalau perlu, kita berhenti di depannya. Pasang badan,” usulnya lagi.
Lady Bazooka tersengih. Dia melembutkan suaranya, tangannya dihayun-hayun meniru gaya perempuan. Bahu Herwin ditepuk. “La, takkan nak tinggalkan van ni? Nanti balik kampung abang nak naik apa?”
“Ish… seram…” ujar Herwin sambil menggigil.
Dia menoleh ke arah Aloysius yang diam sahaja dari tadi. Lelaki itu menggosok-gosok kedua-dua telapak tangannya sambil menghembus-hembus udara hangat dari mulut. Kedinginan. Mengingat kata Lady Bazooka tadi membuat hati Herwin tersentuh.
“Kampung tu apa? Aku tak ada kampung. Tak perlu berlagak bijak,” ujar Herwin agak kasar.
Lady Bazooka mencebik. “Tadi kawan kau kata kamu berdua perlu van ni untuk balik kampung. Jumpa orang tua, saudara-mara. Tapi ini van aku dan aku perlu pergi ke puncak gunung. Ada urusan penting. Lepas tu aku takkan perlukan van itu lagi. Jadi tadi perjanjian kami, kawan kau akan hantar aku ke gunung kemudian kamu berdua boleh bawak van ni pergi ke mana saja yang kamu suka. Faham?”
“Okay…” jawab Herwin acuh tak acuh. “Kau rasa minyak ni boleh diganti dengan air kencing tak? Dari tadi aku tahan kencing.”
“Gila!” bentak Lady Bazooka lagi. Dia menoleh ke arah Aloysius. “Kawan kau ni bodoh ke apa?”
“Sebaik-baiknya kita cari orang yang jual minyak dulu,” putus Aloysius.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96086/sunyi

[SNEAK PEEK] ENAK

9789670954455-medium
EBUKU ENAK Oleh Nuril Basri

Aku tidak mengharapkan seorang lelaki tampan akan suka padaku. Aku tahu, kalaupun mereka mahu mendekatiku, pastilah kerana mereka ada niat tertentu. Samada mereka mahu aku membelanja mereka, ataupun menyiapkan tugasan mereka atau mengemas rumah sewa mereka. Mungkin ada perempuan yang rela melakukan apa saja demi lelaki kacak yang mereka sukai, tapi bukan aku. Aku tidak se-desperate itu, dan aku tak ingin membeli cinta. Tetapi sesekali diperlakukan sedemikian, membuat aku sakit hati juga.

Kalaupun ada lelaki kacak yang meminatiku, kuharap ia bukan kerana aku boleh menyara kehidupannya, tapi kerana diriku apa adanya. Jadi sepanjang perjalanan pulang, aku mendengar lagu Parasit nyanyian Gita Gutawa sambil menari-nari kecil, sehinggalah aku sampai di perkarangan rumah sewaku di belakang pejabat.

Lupakan saja Hans. Anggap saja aku tidak pernah bertemu dengannya. Dia cuma seekor kutu busuk yang tidak layak diberi perhatian. Dan sudah terlalu banyak kutu busuk dalam hidupku. Segera aku memadam nombor telefon dan PIN Blackberry-nya dari telefon bimbitku.

Tapi, demi ibuku yang sudah tidak sabar mahu bermenantu, dan demi musim ‘memburu kekasih’ yang sedang aku jalankan, aku harus segera mencari orang lain untuk bertemujanji. Yang penting, kali ini cuba cari yang rupanya biasa-biasa sahaja. Dan perlu lebih teliti melihat profil orang di Facebook. Phew.

Esok paginya aku terus ke apartmen bosku dari rumah. Dia menyuruhku datang ke sana dan tidak perlu ke pejabat dulu. Setiausaha sepertiku memang selalu lebih banyak menghabiskan masa ke sana ke mari dari di pejabat. Banyak pertemuan yang aku harus hadir untuk mewakili bosku yang tidak tahu berbahasa Indonesia. Tapi aku pun tidak tahu berbahasa Korea. Satu-satunya perkataan yang aku tahu adalah ‘jinjjaarooo!!’ (yang sebenarnya aku tidak tahu pun maksudnya). Dengan bosku, kami berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.

Dalam perjalanan, aku mengisi perut dengan nasi uduk[2] yang kubeli di tepi jalan berhampiran rumah sewaku. Sambil makan, aku bertekad untuk tidak lagi sarapan esok. Aku harus diet. Nasi uduk ini akan membuat lemakku bertambah banyak. Mungkin nasi ini harus kucampakkan ke luar tingkap teksi. Tapi aku tidak boleh membuang sampah sembarangan. Ah, nanti akan kubuang bila sampai di tempat yang dituju.

Ketika teksi berhenti di depan apartmen The Sultan di Semanggi, nasi uduk itu sudah selamat masuk ke dalam perut. Ya Tuhan, aku perlu diet, supaya tidak kelihatan seperti ada ular sawa yang melingkar di perutku.

Aku sudah pernah beberapa kali datang ke rumah bosku. Isterinya kadang-kadang minta dihantar ke sana ke mari untuk membeli-belah dan sebagainya. Dia baru tinggal di Indonesia beberapa bulan, jadi banyak benda yang dia belum tahu. Jadi selain berperanan sebagai setiausaha bosku, aku juga setiausaha peribadi keluarganya.

Madam Hong turun untuk bertemu denganku. Dia seperti menara rapuh yang akan tumbang bila-bila masa saja lagi.

“Hyun Ji…” ujarnya sepatah.

Hyun Ji adalah nama anak perempuan bosku. Gadis itu pelajar kelas 2 SMA[3].

“Kenapa dengan Hyun Ji?” soalku padanya dalam bahasa Inggeris. Kali terakhir aku disuruh menangani Hyun Ji adalah ketika dia memintaku menemaninya menonton wayang di Blitz Megaplex. Dia berpura-pura memintaku menemaninya padahal sebenarnya dia mahu keluar dating dengan kekasihnya. Aku wujud di situ hanya seperti ubat nyamuk.

“Matanya…” Bahasa Inggeris Madam Hong sangat tidak lancar dan susah difahami. Aku masih mendengar, tidak menambah atau menyahut. “Matanya sakit… nanti Miss Ratu bawa dia jumpa doktor… tapi jemput di sekolah dulu… saya tak boleh hantar…”

Ya, pasti dia tidak boleh hantar. Kalau disuruh isi kredit pun dia sudah bingung, apatah lagi mahu membawa anaknya pergi berjumpa doktor dan perlu bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia sangat cantik orangnya, seperti pelakon drama Korea, tetapi seperti agak bimbo juga.

Kalau Madam Hong itu pelakon drama Korea, aku pula pemegang watak orang miskin dalam sinetron Indonesia.

Madam Hong menyerahkan wang sejuta rupiah padaku lalu menyuruhku menunggu di pintu hadapan apartmen. Katanya, pembantu peribadinya yang akan menghantarku ke sana. Bagus sekali, jadi aku tak perlu naik teksi. Keluarga bosku mempunyai dua pemandu peribadi. Aku cuma kenal salah seorang daripadanya.

Sebentar kemudian, sebuah MPV Nissan dengan nombor plat CD (nombor khas untuk pekerja di kedutaan besar) muncul dan berhenti di hadapanku. Selepas melambai pada Madam Hong yang cantik jelita itu, aku segera membuka pintu dan duduk di ruang tengah kereta.

“Jemput Hyun Ji di sekolah dulu ya, Pak. Saya mahu tidur dulu, mengantuk,” ujarku selamba sambil membetulkan bantal-bantal empuk yang tersedia di dalam kereta itu. Memang aku tidak suka terlalu bersopan atau bermanis muka dengan sesiapa saja. Satu, kerana bosku melarang aku melakukannya – katanya aku harus tegas – dan dua, perempuan tidak cantik sepertiku tidak sesuai bermanis muka dengan orang. Itu memualkan. Aku sendiri tidak gemar melihat gadis-gadis yang tidak cantik tetapi gemar beraksi comel (konon) sambil berangan mereka ahli kumpulan popular Cherrybelle.

Aku tahu perjalanan menuju ke sekolah Hyun Ji pasti akan memakan masa lama. Dia belajar di sekolah antarabangsa yang pelajarnya adalah anak-anak expatriate di Jakarta. Aku pernah ke sana beberapa kali.

Aku terbangun tepat pada saat kereta itu berhenti di hadapan pintu pagar sekolah. Beberapa minit kemudian, Hyun Ji keluar dan terus masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelahku.

“Kenapa mata kamu?” soalku.

“Sakit… Mungkin contact lens sudah tamat tempoh. Sekarang penglihatanku kabur…”

Heh! Kanta lekap lama yang dipakainya! Budak pelik. “Fighting! Don’t be sad!” ujarku spontan, entah kenapa. Mungkin kerana terpengaruh dengan rancangan Running Man agaknya.

“Kita ke Hospital Aini ya, pak?” ujarku pada pemandu. Hospital Aini adalah hospital pakar mata yang paling besar di Jakarta.

Pemandu itu hanya diam. Dia menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sedikit pun tidak menoleh padaku. Sombong!

“You know? I picked my own driver. All the girls in my school are crazy about him,” ujar Hyun Ji santai. Dia memang boleh bercakap tentang apa-apa denganku kerana hubungan kami agak akrab. Dia gadis Korea yang cantik dan comel seperti watak Suzy dalam drama Korea bertajuk Dream High.

“Him?” ujarku sambil menuding pada pemandu di depan.

Hyun Ji mengangguk dengan senyum lebarnya. Aku kembali menoleh pada pemandu yang masih memandu dengan 110% tumpuan itu. Dia memakai topi beret dan cermin mata hitam. Oh please, rupanya macam tukang urut!

“Mukanya tak jelas,” ujarku lagi. (Okay, mulai sekarang anggap perbualan aku dan anggota keluarga bosku adalah dalam Bahasa Inggeris ya? Dan pemandu itu rasanya tak faham Bahasa Inggeris. Dia kan pemandu, jadi aku dan Hyun Ji bebas mengumpatnya dalam Bahasa Inggeris.)

“Dia tak suka orang memandangnya semasa dia memandu. Pemalu mungkin,” bisik Hyun Ji padaku. “Kadang-kadang aku akan duduk di depan dan berpura-pura dia adalah kekasihku. Tapi dia terlalu tua untukku…” ujarnya dengan ketawa kecil.

Aku selalu memerhatikan Hyun Ji dari atas ke bawah dan dalam fikiranku selalu berputar satu pertanyaan yang sama: Bagaimana ya rasanya memiliki tubuh seperti anggota SNSD? Tak terlalu ringan kah?

“Dia handsome sangat ke?” soalku lagi sambil cuba menjenguk untuk melihat wajah pemandu itu dengan jelas.

“Very handsome. Kejap, aku suruh dia buka topi dan cermin matanya.”

“Tak perlulah, biarlah…” larangku. Kasihan pula pemandu itu, mungkin nanti dia rasa dia sedang dipermainkan. Aku tak mahu dikenali sebagai gadis gemuk yang suka membuli pemandu bosnya.

“Hans… take off your hat and glasses… please…” ujar Hyun Ji dengan nada manja.

Pemandu itu hanya diam, mungkin dia tidak faham bahasa Inggeris.

Wait. Hans?

“Hans?” soalku pada Hyun Ji. Nama yang kedengaran sangat familiar.

“Yup… namanya Hans. Seperti orang Belanda, kan?”

Sepantas kilat aku menjenguk untuk melihat wajah pemandu itu dengan lebih jelas. Bibir dan hidungnya ku perhatikan lama-lama. “Hans?” soalku lagi.

Ya! Itu memang dia!

Serta-merta aku ketawa besar. Hahahaahaha! Ketawa besar seperti watak perempuan sihir jahat, atau seperti watak Mak Lampir yang pernah dilakonkan Farida Pasha. Aku ketawa besar sambil menekan perutku. Hans kelihatan tidak tenang. Tangannya bergerak-gerak di atas stereng.

“Kamu kenal dia?” soal Hyun Ji.

“Tunggu sekejap, aku mahu periksa,” ujarku dengan ketawa masih bersisa. Telefon bimbit ku keluarkan dan mendail nombor telefon yang semalam lupa kupadam. Sebentar kemudian kedengaran nada dering telefon bimbit dari poket seluar pemandu itu. Bingo!

“Taklah. Aku tidak kenal dia. Hans yang aku kenal itu orang gila,” ujarku pada Hyun Ji sambil ketawa.

Aku masih tersenyum-senyum sendiri pada saat aku sedang membantu Hyun Ji menjelaskan tentang masalah yang dihadapinya pada doktor di hospital. Aku terasa mahu ketawa besar tetapi aku hanya menahan, bimbang dilabel gila. Kata doktor yang merawat, mata Hyun Ji hanya mengalami iritasi ringan. Doktor memberinya ubat titis mata yang sangat mahal – mungkin kerana dia kelihatan seperti dompet duit berjalan. Kemudian kami meninggalkan hospital itu untuk menghantarnya pulang. Sepanjang perjalanan, aku hanya berbual dengan gadis itu dan tidak langsung mempedulikan Hans yang berwajah kelat di hadapan.

Kami tiba di rumah dengan disambut Madam Hong yang jelita. Selepas Hyun Ji turun, dia menjenguk ke depan dan berpesan pada Hans. “Tolong hantar Miss Ratu balik ke pejabat, ya?”

Hans cuma mengangguk. Aku tersenyum puas.

“Wait! Aku mahu duduk kat depan,” ujarku. Tanpa menunggu persetujuannya, aku terus meloloskan diri ke tempat duduk di sebelah pemandu. Sebaik kereta itu meninggalkan kawasan apartmen bosku, tawaku pecah lagi.

“Kamu kata ada sesi fotografi?” sindirku tajam. Aku terasa seperti mahu mentertawakannya nyaring sambil menuding ke mukanya. Telahanku memang tepat, lelaki perasan handsome ini sebenarnya cuma parasit murahan. Ohmygod, semalam dia menghinaku seolah-olah aku andartu gemuk yang tidak laku. Tapi lihat sekarang, dia yang menghantarku ke pejabat.

Hahahaha! Look who’s the loser here, idiot!

“Kenapa pakai cermin mata? Takut peminat kamu kenal?” soalku lagi. Wajahnya semakin merah.

“Okay, sorry…” ujarnya perlahan.

“Sorry? Kenapa? Ada yang salah?” sekali lagi dia menjadi mangsa sindiranku.

Dia berdesis kecil. “Maaf. Pasal semalam,” ujarnya dengan nada terpaksa.

“Semalam?” ujarku berpura-pura tidak faham. “Sorry ya, semua kenangan tentang orang yang tak penting sudah aku padamkan dari ingatan… Lebih-lebih lagi kenangan tentang lelaki perasan bagus yang mengaku dirinya model…” Aku membuat reaksi penuh dramatik. “Padahal… jangan-jangan dia sebenarnya drebar!”

Aku tahu kata-kataku itu pasti sangat menyakitkan. Tetapi tindakannya semalam lebih menyakitiku. Dia mengatakan aku si gemuk yang tidak tahu dek untung. Plus, dia tidak memandangku sebagai manusia. Sebaliknya aku cuma dilihat sebagai objek penghasil wang.

Aku tidak lagi menyambung bicara kerana aku merasa sudah cukup puas. 1-1. Aku menyarung cermin mata hitamku dan terus melemparkan pandangan ke luar tingkap. Langsung tidak menoleh padanya sehinggalah saat kami tiba di pejabat. Goodbye, Hans. Selepas ini baiklah kita berpura-pura tidak kenal saja. Benar-benar sebuah kebetulan yang tidak penting.

──♦──

Sebaik tiba di pejabat, aku memberikan laporan doktor tentang mata Hyun Ji pada bosku. Dia membacanya sambil mengangguk-angguk sambil meminta resit bayaran tadi. Ucapan terima kasih pun tiada.

“Tolong terjemahkan surat-surat yang baru datang tu, kemudian ambilkan saya suratkhabar, ya?” ujarnya. Aku mengangguk dan terus keluar.

Selepas menghantar suratkhabar padanya, aku kembali ke mejaku. Ada selonggok surat yang baru datang dari seluruh pelusuk Indonesia. Kebanyakannya dari ibu pejabat polis yang berlainan, mengenai status tahanan Korea di penjara setempat. Aku harus menterjemahkan semua ini dan kemudiannya harus menghubungi mereka untuk bertanya keadaan tahanan itu dan perkembangan kesnya. Tapi sekarang aku tidak berminat untuk melakukan semua ini. Aku mahu memeriksa Facebook dulu.

Ketika sedang seronok melayari Facebook, telefon bimbitku berdering. Ibuku. Ah, dia suka menggangguku pada waktu-waktu sebegini, padahal dia tahu aku selalu sibuk.

“Ratu, lelaki yang datang haritu datang lagi. Nampaknya dia memang ada hal penting dengan kamu,” ujar ibuku.

Memang sejak beberapa bulan yang lalu ada seorang lelaki selalu datang dan melihat-lihat ke arah rumah kami seperti sedang mencari seseorang. Kata ibuku mungkin dia sedang mencari aku kerana walaupun ketika kedua ibubapaku ada di rumah, dia tidak langsung bertanya apa-apa.

“Kenapa dia cari Ratu? Ratu tiada hutang dengan siapa-siapa, ma.”

Sebenarnya aku curiga dengan cerita ibuku. Sejak dia terkena virus ‘ingin bermenantu’ ini, dia selalu bercerita mengenai lelaki itu dan lelaki ini yang bertanya tentangku. Aku rasa semuanya dongeng ibuku yang sudah beberapa kali bercerita mengenai ‘jodoh yang tidak dijangka’, seperti lelaki asing yang menumpang berteduh di rumah rupa-rupanya lelaki kaya yang masih single dan sedang mencari calon isteri. Dongeng. Semuanya dongeng.

“Siapa tahu itu kawan lama kamu. Mungkin senior kamu di sekolah dulu. Atau mungkin jodoh kamu…” Dan seperti yang kujangka, dia pasti akan menuturkan sesuatu sebegini.

“Ih… jangan-jangan pengganas, ma… mahu pasang bom kat depan rumah kita…” sengitku. “Saya tak ada kawan lelaki satu sekolah, lagi-lagi yang senior. Mustahillah!”

“Bukan… handsome orangnya… pasti sesuai dengan kamu. Tak mungkin lelaki sekacak itu pengganas,” sangkal ibuku lagi.

“Maaaaa… please. Ratu banyak kerja. Nanti Ratu telefon mama, ya?”

“Yang kamu tahu cuma kerja. Bila kamu akan bertemu jodoh kalau kamu cuma mahu cari duit?”

“Mama, tak perlu jodoh-jodohkan saya. Saya boleh cari jodoh sendiri…”

“Di mana?”

“Di Facebook. Okay, Ma. Nanti Ratu telefon lagi,” ujarku lalu terus meletak telefon.

Aku membelek-belek Facebook sebelum berhenti kerana hilang mood selepas membaca status-status update teman-temanku yang penuh mesra itu. Ah, sudahlah, nanti saja cari jodoh. Baik aku buat kerja. Umurku baru 27 tahun. Masih banyak masa.

──♦──

Ada sepucuk surat penting untuk bosku minggu ini datang dari ibu pejabat polis daerah Serang Banten. Mereka memaklumkan ada tahanan baru warganegara Korea. Aku melaporkan hal itu pada bosku dan dia meminta aku membuat temujanji dengan ketua polis daerah itu. Kami akan melawat ke sana untuk melihat keadaan tahanan itu serta mengetahui perkembangan kesnya. Adakah dia punya alahan, dan adakah dia dilayan dengan baik di penjara dan sebagainya.

Dua hari kemudian, kami bertolak ke sana. Seperti biasa, aku perlu ikut kerana tugasku sebagai penterjemah, dan kadang-kadang (sebenarnya sangat kerap) pegawai yang ditemui tidak pandai berbahasa Inggeris. Anehnya ketika aku masuk ke dalam kereta bosku, pemandu yang bertugas bukan pemandu peribadinya yang biasa, tetapi Hans.

Aku sekadar memandangnya dengan selamba ketika masuk dan duduk di sebelah pemandu, di bahagian hadapan. Bosku pula sudah duduk selesa di kerusi tengah.

“Pemandu yang biasa ke mana, pakcik?” Sengaja aku memanggilnya begitu. Aku berlagak seolah-olah tidak kenal pada Hans.

“Sakit, puan…” ujarnya perlahan.

Aku mengangguk sambil memasang tali pinggang keledar. Ah, ini akan jadi perjalanan yang sangat panjang kerana jarak antara Jakarta dan Serang bukannya dekat. Aku akan menyeksanya sepanjang perjalanan. Cuma perlu tunggu bosku tertidur.

“Sudah lama kerja jadi pemandu, pakcik?” soalku dengan nada sangat formal.

“Baru…”

“Oh ya? Sejak bila?” soalku pura-pura berminat untuk tahu.

“3 bulan…” nadanya sangat terpaksa. Aku tahu dia mungkin sedang menyumpah-nyumpah di dalam hati.

“Ooh…” jawabku sambil mengangguk-angguk. “Kenapa jadi pemandu? Kalau dilihat dari rupa paras, kamu tak sesuai jadi pemandu. Rupa kamu macam model.”

Hans diam. Namun dia tidak berani marah, cuma berdengus kasar.

“Untuk menyara anak dan isteri ya?” soalku lagi. Diakan pernah menuduhku sudah bersuami.

“Saya belum kahwin, Puan,” jawabnya masih formal.

Aku tersenyum miang. Sengaja kutepuk pahanya seperti seorang wanita yang gatal dengan renungan yang mahu menggoda. “Saya juga single… Kalau ada masa kita keluar jalan-jalan, ya? Jangan risau, nanti saya belanja. Kamu suka, kan?”

Hahahaha! Hatinya pasti sangat sakit sekarang!

“Boleh…” ujarnya selamba. “Kalau Puan perlukan nombor telefon saya…”

Pantas aku memotong cakapnya. “Oh, tak perlu… Terima kasih ya. Bergurau saja. Lagipun, nanti kamu malu keluar dengan saya. Saya kan gemuk.”

There! Aku pasti sekarang hatinya terasa seperti sedang disiram air panas mendidih.

Aku tidak lagi meneruskan sindiranku. Bosan sebenarnya terus-terusan menyakiti hati orang. Meskipun rupaku hodoh, hatiku tidak seburuk itu. Segera aku memasang fon telinga dan terus mendengar lagu melalui telefon bimbitku sambil berpura-pura tidur. Hans juga tidak berkata apa-apa. Dia terus memandu dengan tenang hingga ke destinasi.

Selepas beberapa jam perjalanan, kami sampai. Aku hanya perlu menjelaskan serba-sedikit situasi yang sedang berlaku pada kedua belah pihak. Kemudian aku membiarkan bosku bercakap dengan tahanan senegaranya itu sementara aku duduk berbual dengan pegawai penyiasat kes.

Rupa-rupanya lelaki Korea itu ditangkap ketika sedang menggunakan dadah. Dan rasanya tiada apa yang boleh dilakukan oleh pihak kedutaan untuk membantunya. Padan muka. Datang ke tempat orang untuk berbuat onar, betul-betul memalukan.

Dalam perjalanan pulang, Hans langsung tidak bercakap atau menoleh kepadaku. Wajahnya tegang dan masam. Malah sepanjang perjalanan dia memecut begitu laju sehingga bosku beberapa kali menegurnya.

──♦──

Keesokan harinya, aku berjaya menghubungi pegawai penyiasat polis di Bali tentang kes kehilangan pasport itu. Baru saja aku mahu merungut tentang kelewatan mereka memberi maklumat siasatan, aku dimaklumkan bahawa pencurinya sudah ditangkap, tetapi pasportnya belum ditemui. Wah, hebat juga ya polis Indonesia? Aku kira mereka hanya pandai menyaman orang yang memandu laju.

Aku memaklumkan khabar gembira itu pada bosku tetapi cuma disambut dengan dingin. Wajahnya langsung tidak menunjukkan dia gembira dengan kerjaku, malah dia terus menyuruhku menyiapkan kerja dan kemudiannya pergi menjemput Hyun Ji di sekolah. Katanya mata gadis itu sakit lagi.

Aku tersenyum riang kerana ada peluang untukku menyakitkan hati Hans lagi. Kali ini aku bercadang mahu memberinya wang tips untuk membeli rokok atau makan tengahari. Pastinya dia akan sangat tersinggung. Maklumlah, ego lelaki kacak sepertinya pasti sangat tinggi. Aku sedang cuba membayangkan wajahnya saat aku menuturkan “Nah, sepuluh ribu. Untuk kamu beli nasi padang lepas ini, ya?” sambil menunjukkan lembaran wang kepadanya.

Aku segera menaiki teksi menuju ke sekolah Hyun Ji. Di sana, gadis itu sudah menungguku di depan pondok pengawal. Kami berdiri menunggu pemandu keluarganya di situ sambil berbual-bual kecil.

“Mata kamu masih sakit? Ada pakai ubat tak?”

“Ada…” jawab gadis itu santai.

Sebentar kemudian MPV Nissan itu muncul. Dadaku berdebar kegirangan. Tetapi ketika MPV itu berhenti di hadapanku, pemandunya nyata orang lain.

“Mana pemandu yang lama?” soalku pada Hyun Ji sebaik kami masuk ke dalam kenderaan itu.

“Dia dah berhenti kerja,” jawab Hyun Ji sambil menggosok-gosok matanya.

“Berhenti?”

“Ya. Malam tadi. Katanya ada seorang gadis psycho yang selalu mengganggunya. Mungkin kerana perempuan itu terlalu suka padanya. Stalker bitch keparat.”

Aku tergamam. “You’re kidding, right?”

“No… Aku pasti perempuan itu salah seorang dari kawan-kawanku. Mereka memang gila. Ah, biarlah. Nanti aku cari yang lebih kacak. Yang ini untuk sementara saja.”

Ah, perempuan psycho bitch itu pastilah aku. Ya Tuhan, apa yang telah aku lakukan???

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79579/enak

ROMANTIS – Nuril Basri, FIXI [SNEAK PEEK]

Untuk orang yang sedang duduk-duduk tanpa teman, bumi bisa menjadi tempat yang sangat sepi, apalagi kalau kita harus menghadapinya sendirian.

 

1
Have you ever wondered where the story ends, and how it all began? I have.

Kadang-kadang aku merindukan sesuatu yang tidak ada. Kamu pernah merasa seperti itu tak? Merindukan sesuatu yang belum pernah kamu jumpa? Kamu melamun, kemudian tersenyum dalam khayalan sendiri. Kamu merasa ada percikan kebahagiaan dalam hati, sebuah perasaan yang tidak kamu faham. Sesuatu yang tidak ada, tapi dapat membuatmu bahagia. Pernah merasa seperti itu tak?

Aku sudah mencuba menjadi sesederhana mungkin, tapi tentu saja mustahil. Untuk orang sepertiku, kami jarang sekali difahami, meskipun sering juga aku tidak disukai, aku hanya tidak boleh menjadi ‘biasa’. Aku hanya menjadi diri sendiri. 


 

Ingin tahu selanjutnya?

Beli Buku ROMANTIS di https://www.e-sentral.com/search/byid/48633/romantis