[SNEAK PEEK] MIMPI YANG SEMPURNA

Mimpi Yang Sempurna oleh Aiza Qriselda

PUAS. Gembira. Bersyukur. Tiga perkataan untuk menggambarkan rasa hatiku saat ini.

You make the call” – Ternyata Encik Haiman mengotakan janjinya, menyebabkan aku rasa hilang akal seketika saat hasil akhir terpampang jelas di depan mata. Segala-galanya… bermula daripada kad jemputan, makanan, majlis khatam Al-Quran sehinggalah ke majlis resepsi, semuanya mengikut permintaanku. Walaupun hanya ini satu-satunya majlis kami, tanpa majlis lain di Serom mahupun di rumah ibu mentuaku, aku merasa puas.

Happy?” bisikan menyapa telinga.

“Bersyukur. Dan penat.” Aku ukir senyuman paling manis.

Come.”

Tanganku ditarik dan aku dibawa ke dalam pangkuannya. Pinggangku dirangkul lembut dari belakang dan along muncul secara tiba-tiba mengambil gambar kami.

“Sebab kau orang pengantin baru, maka along tahan muntah pelangi along dan abadikan sweet moment kau orang guna gadget canggih along ni. Kalau tak…” Along menggeleng-geleng. “Hesy, macam manalah adik along yang lasak ni boleh tukar jadi romantik tiba-tiba? Kau jampikan dia apa, Haiman?”

Aku dah bercekak pinggang dan ingin berdiri mendekati along tetapi Encik Haiman menghalangku.

Let it be, sweetheart.

Aku duduk semula. Kali ini aku memilih tempat di sebelah Encik Haiman, bukan lagi di atas pangkuannya.

“Saya tak jampi apa pun, along. Adik along ni yang jampi saya.”

Mataku membulat dengar ayat berani mati encik suami. Walaupun aku terharu bila dia memanggil alongku yang lebih muda daripadanya sebagai ‘along’, rasa terharu tersebut berlalu begitu saja sebab dia menuduh aku menjampinya.

Uiks! Wardah dah besar bijik mata. Nasib kaulah, Haiman. Along lari dulu!”

Memang sengaja cari pasal betul along hari ini. Siaplah kalau aku jumpa dia lagi selepas ini tanpa Encik Haiman di sebelah. Tahulah aku hendak balas apa. Sekarang, selesaikan dengan Encik Haiman dulu.

“Cakap Mayra jampikan abang, ya?” Aku mencerun memandang Encik Haiman sambil menyoal geram.

Mayra. Nama yang pertama kali dipanggil sejak aku bangun tidur pagi tadi, khas daripada Encik Haiman untukku, singkatan daripada Umayra, dengan alasan sebab tak nak sama dengan nama yang orang lain panggil.

“Betul pun, kan?”

“Ingat Mayra ni tok bomoh ke apa nak jampi-jampi orang?”

“Puan bomoh yang cute.”

Aunty long!”

Perbualan kami terganggu sebab Zara dah naik ke atas pangkuanku. Kedua-dua belah tangannya melingkar pada leherku yang terselindung oleh selendang.

“Hai, Zara sayang…” Aku cuit manja hidungnya.

Aunty long cantik hari ni,” katanya.

“Yalah tu aunty long cantik?” Encik Haiman menyampuk. Bila kami bersabung pandang, satu senyuman dihadiahkan untukku.

“Cantik,” tekan Zara sambil mengangguk-angguk. “Pretty macam… princess!”

Kali ini pipi Zara yang gebu menjadi mangsa ciumanku bertalu-talu.

“Adoiii, habis pipi Zara kena lipstik aunty long. Nakallah aunty long ni!”

Tawaku dan Encik Haiman bergabung. Terhibur betul melayan cakap si kecil yang petah tak padan dengan umurnya.

Aunty long nakal pulak dah? Mana satu ni, Zara? Uncle long peninglah, kejap kata cantik, kejap nakal…”

Zara nampak keliru. Dia memandangku dan Encik Haiman silih berganti. Beberapa kali.

Aunty long princess cantik yang nakal… Boleh tak kalau macam tu, uncle long?”

Tawa Encik Haiman meletus lagi. Aku pula sembunyi senyum, berusaha untuk tidak ketawa lagi kerana tidak mahu Zara berkecil hati dan merajuk.

“Mana ada princess yang nakal? Zara ada tengok princess nakal dalam TV ataupun dalam buku-buku Zara?”

Zara menggeleng laju. “Kalau macam tu, aunty long princess cantik ajelah, tak nakal.”

Aku peluk mesra Zara bila mendengar kata-kata tersebut. Sayangku terasa tumpah bergelas-gelas untuknya.

“Zara pun cantik. Cantik sangat. Kalah princess,” aku memujinya.

“Tapi aunty long lagi cantik daripada Zara.”

Tunak aku merenungnya.

“Kenapa Zara cakap macam tu?” soal Encik Haiman.

“Sebab aunty long kahwin dengan uncle long. Thank you, aunty long. Lepas ni unclelong dah ada kawan kat sini, Zara tak risau dah.”

Aku perasan riak Encik Haiman berubah. Aku pun sama. Rasa tersentuh dengan si kecil yang sangat mengambil berat tentang Encik Haiman.

“Zara!”

“Alaaa, mama dah panggil…” Zara meluncur turun dari pangkuanku.

“Dah nak ajak baliklah tu… Aunty long esok datang rumah Zara, tau? Zara nak tunjuk Miko.”

Aku angguk bersama senyuman. “Nanti free, aunty long pergi rumah Zara okey, tapi tak janji esok.”

“Lusa?”

Aku pandang Encik Haiman. Dia hanya tersenyum.

“Bila free, aunty long mesti datang rumah Zara dengan uncle long.” Aku beri jawapan selamat.

Promise?”

Pinky promise.” Aku mengait jari kelengkeng yang disuakan Zara.

She loves you so much,” ulasku bila Zara dah menjauh.

“Tu la… Nak jugak abang kahwin dengan dia kalau dia tu bukan anak buah.”

Laju aku menoleh ke arahnya, selaju jari yang mengetip pahanya spontan.

“Adoi… sakit!”

“Gatal lagi. Anak buah sendiri tu.”

Jealous?”

“Tak kuasalah Mayra nak jealous takat Zara tu.”

“Kalau perempuan lain?” Encik Haiman dah jongket-jongket kening. Sah, sengaja nak cari pasal macam along tadi.

“Pergilah cuba menggatal dengan diaorang. Tengok nanti apa Mayra buat.”

“Nak buat apa tu?” Nakal sungguh rautnya kala ini.

“Rahsia. Tapi Mayra janji ada kemungkinan besar abang dan perempuan tu lupa nama masing-masing Mayra kerjakan,” tukasku bersama jelingan.

Namun Encik Haiman hanya ketawa.

I love it bila Mayra tunjuk cemburu macam ni. Cemburu Mayra buat abang bahagia,” bisiknya di telingaku sebelum bangun dan berlalu.

“Abang nak pergi mana?”

“Sana.” Dia menunjuk ke arah sekumpulan lelaki yang baru tiba. Aku melihat jam. Pukul 11 malam baru hendak jejak rumah orang?

“Nak ikut.” Aku meminta.

No. You sit here. Tu semua stok-stok buaya.”

Eeeewww, I smell jealousy there,” usikku.

Giler tak jealous. You’re mine, the one and only,” ucapnya seraya terus melangkah, meninggalkan aku keseorangan di atas pelamin.

Tadi ingatkan semua tetamu telah pulang dan tinggal saudara-mara sahaja, itu yang kami berdua lepak-lepak di atas pelamin indah ini, bajet tengah dating. Sehinggalah si kecil Zara meluru. Ini Zara dah hilang, muncul pula tetamu yang dikatakan buaya. Terus kena tinggal sorang-sorang atas pelamin ini. Baik aku bangun sebelum dicop gila.

Dessert Corner di salah satu sudut menarikku untuk melangkah ke situ. Deretan coklat, aiskrim, kek dan gula-gula yang bermacam jenis semuanya menggamit selera. Lantas tanpa fikir panjang, aku ambil sebiji mangkuk kecil yang tersedia. Puas hati dengan isi mangkuk, aku duduk di atas buaian rotan dan mulakan suapan sambil mata melilau melihat keadaan sekeliling. Dan oh… Aku nampak Encik Haiman yang sedang rancak berbual bersama kumpulan yang baru datang tadi. Sekejap dia serius, sekejap dia mendengar, sekejap lagi dia ketawa. Aku jadi ralit memerhatikan tingkahnya.

“Adoi, Kak Adah! Kalau betul pun rindu tu tengah menggunung, control la sikit.”

Pantas aku kalih ke punca suara. Ida, adik bongsuku.

“Apa kau cakap tadi?”

Ida sengih.

“Kak Adah tu la, tenung Abang Haiman tu macam nampak Frozen Haute Chocolate yang harganya RM3,500 per scoop. Tembus habis! Sabar Kak Adah, tak hilang punya suami Kak Adah tu…”

Terus aku pulas telinganya tanpa belas kasihan.

Auch! Sakitlah, Kak Adah!”

“Nak ulang balik tak apa yang kau cakap tadi?”

“Tak… tak… Sorry, Ida tak cakap dah.”

“Tu aje?”

“Ida tarik balik kata-kata tu tadi. Cepatlah lepas, sakit ni!”

Aku lepaskan telinganya. Temberang aje lebih budak sorang ni. Dia pakai tudung, manalah sampai sangat sentuhan jari-jari aku ini ke telinga dia.

“Dah makan belum?” Aku menyoalnya. Sewaktu di meja makan pengantin tadi, dia tidak ada sekali.

“Dah, makan dengan alang tadi.”

“Malam ni tidur sini, kan?”

Ida menggeleng.

“Tak?”

“Esok orang ada kelas tambahanlah, Kak Adah. Umi dengan abah aje yang tidur sini, kita orang semua balik malam ni.”

“Skip la sesekali,” cadangku. Bukan mudah untuk berkumpul sama-sama sekarang ini.

“Hah, yalah tu. Mau kena piat dengan umi nanti. Aura cikgu displin masih kuat tu…”

Aku tidak dapat menahan gelak. Tawaku dan tawa Ida bersatu.

“Tapi terror la, Kak Adah. Boleh khatam dalam masa seminggu tu…”

Aku geleng. “Mana ada. Kan abah pesan jangan tinggal baca Al-Quran? Kebetulan masa dapat tahu nak buat majlis tu, memang dah nak habis. Tu yang sempat habiskan dan dapat buat majlis khatam petang tadi.”

“Abang Haiman ralit dengar bacaan Kak Adah dari luar rumah masa tu.”

“Kau skodeng dia eh?”

“Terpandanglah! Masa tu lalu situ sebab umi suruh panggil abah. Ingat apa, Ida nak mengurat Abang Haiman?”

Aku dah gelak. Teringat semula mimpi dulu yang entah apa-apa.

 

AKU BERDIRI di satu tempat asing seperti di dalam dunia Alice In Wonderland. Indah namun dalam masa yang sama, menakutkan. Dikelilingi bunga-bunga yang sangat cantik seperti di Lisse tetapi keseorangan. Tiada sesiapa yang menemani. Langsung tidak ada orang lain di tempat yang luas ini. Aku jadi cuak dan cemas. Sungguh aku takut. Ke mana semua orang? Di manakah semua orang? Kenapa aku ditinggalkan sendirian di tempat yang cantik ini?

Tanpa matlamat yang pasti, aku atur langkah merentasi hamparan bunga yang meluas. Anehnya, walaupun berkaki ayam, aku langsung tidak berasa sakit setiap kali tapak kaki menyentuh bumi. Kakiku seolah-olah dilitupi stoking tebal yang lutsinar warnanya.

Setelah sekian lama, hamparan bunga yang aku redah tetap tidak berpenghujung. Lelah kurasa. Titis-titis peluh mula membasahi dahi dan belakang badanku walaupun tiada sinaran matahari yang memancar.

Hujan yang tiba-tiba turun memaksaku berlari mencari tempat untuk berteduh. Mataku gagal menangkap sebarang bayangan pokok besar mahupun pondok untuk berlindung namun aku terus laju membuka langkah demi menyelamatkan diri daripada titisan hujan yang semakin menggila. Pakaianku semakin basah dan rasa sejuk yang mula menerjah sedikit membataskan pergerakan tetapi aku hanya abaikan dan terus berlari tanpa henti.

Di luar kawalan, kakiku tersadung sesuatu lalu aku terjatuh. Sakit. Lelah. Mutiara jernih mula terbit dari kedua-dua tubir mataku. Ya Allah, di mana aku sekarang ini? Mana jalan keluarnya?

Menarik nafas dalam-dalam, aku panggung kepala dari merenung bumi dan mengangkat tubuh untuk bangun. Di hadapanku… betul-betul semeter di hadapanku, ada satu pintu cantik berwarna putih. Hanya pintu. Tanpa dinding, tingkap ataupun sebarang tiang.

Penuh harapan, aku mendekati pintu tersebut. Moga-moga ini jalan keluar untukku meninggalkan tempat pelik ini.

Terbuka sahaja pintu putih tersebut, aku tergamam. Berbeza dengan pemandangan di sebelah sana tadi. Indah sehingga tidak dapat diungkap!

Di depan mataku, terbentang hamparan rumput yang berwarna kuning kehijauan yang dihiasi bebunga merah jambu striking bersaiz kecil, seperti bunga petunia kesukaan umi. Sekumpulan besar rama-rama berterbangan, membentuk satu bayangan pergerakan yang cantik merentasi hamparan yang meluas. Kicauan burung, yang tidak kutahu mana puncanya menyapa halwa telinga dan keadaan angin yang sepoi-sepoi bahasa menjadikan suasana semakin indah dan nyaman.

Tiba-tiba mataku terpaku pada satu sudut. Ada sepasang tubuh yang duduk di atas sebatang kayu besar membelakangkanku. Kedua-dua mereka berkongsi sebuah payung yang warnanya sama seperti bunga merah jambu yang cantik itu.

Sedikit ragu-ragu aku mendekati mereka. Tujuanku hanya satu, ingin bertanyakan jalan keluar.

“Err… saudara?” Aku memberanikan diri menegur.

Serentak kedua-dua tubuh itu berpusing.

“Encik Haiman! Ida! Buat apa kat sini?”

Aku tergamam. Rupa-rupanya tubuh lelaki yang berjaket coklat itu ialah Encik Haiman dan tubuh perempuan yang menyarung blaus putih itu adalah adik bongsuku, Wahida Uzma. Kenapa mereka berdua di sini? Dan kelihatan seperti rapat dan mesra?

“Kak Adah! Hai!” Adikku senyum selamba.

“What are you doing here, Ida? With this guy?”

Ops, Kak Adah silap. This guy adalah bakal suami Ida. He’s such a very nice guy. Kak Adah tak nak dia, kan? Jadi biar adik aje yang ambil.”

Darahku menyirap. Aku genggam tangan kuat-kuat mencari kesabaran. Encik Haiman di sebelahnya yang hanya berdiri tenang aku pandang tajam.

“Apa yang adik saya melalut ni, Encik Haiman? You and her...?”

“Wardah, you jugak yang cakap hal hati dan perasaan I tak ada kena-mengena dengan you, kan?”

“Tapi ni adik saya yang baru berusia 18 tahun!”

So?”

“Jom kita pergi, abang. Rimaslah kena bebel dengan Kak Adah ni.” Selamba lengan Encik Haiman disentuh dan ditarik.

“Ida!” Aku tidak dapat tahan diri daripada menjerit.

“Bye-bye, Kak Adah. Nanti tolong jadi pengapit adik, ya? Mmuahhh!”

Aku hanya mampu memandang mereka melangkah meninggalkanku. Senyuman kegembiraan Ida terasa seperti menyiat hatiku. Air mataku turun tanpa dapat dicegah.

 

“KAK ADAH, berangan!” Lenganku ditepuk.

Serta-merta lamunanku berterbangan.

“Melayang ke mana?”

Aku menggeleng, mengundang tawa si bongsu.

“Majlis Kak Adah ni, siapa punya idea?”

Aku senyum lebar. “Menarik, kan? Kak Adah bagi konsep, the rest hasil usaha abang ipar awaklah…”

“Serius? Dia tak kisah ikut idea Kak Adah yang senget ni?”

Oit!” Aku besarkan biji mata. “Sesuka hati cakap kakak sendiri senget!”

“Dah memang senget pun! Mana ada orang buat majlis macam ni?”

“Apa pasal tak ada pulak?”

“Kak Adah, kad jemputan kau orang adalah kertas fotostat yang tepinya dibakar dengan lilin, okey!”

“Okey apa? Jimat pun jimat. Buat mahal-mahal, cantik-cantik, nanti akhirnya ke tong sampah jugak.”

“Okey, alasan Kak Adah tu diterima. Tapi yang menu tu? Ubi kayu rebuslah, pengat pisang, lepat labu… belum masuk gulai cendawan kukur, ikan masin, jantung pisang, daging salai, sambal bela…”

Aku kerut dahi. “Apa yang salah? Asyik makanan moden aje, sesekali tukarlah selera masakan kampung pulak. Berselera aje Kak Adah tengok tetamu yang datang.”

“Ida tak cakap pun makanan tu semua tak sedap. Memang menyelerakan, sungguh. Tapi jarang kut orang buat, majlis orang-orang elit, hidang makan masakan kampung.”

“Memang Kak Adah minta makanan kampung, sengaja nak buat kelainan. Yang elit tu, gelaran untuk abang ipar awak, bukan Kak Adah.”

“Tapi Ida suka pelamin tu. Simple tapi sangat menarik.”

“Pelamin tu, Kak Adah cuma cakap tak nak ada bunga. Langsung tak terbayang pun pelamin macam tu.”

Mataku terarah pada pelamin yang tidak berorang. Unik. Berlatarbelakangkan suasana malam gabungan warna hitam, ungu dan kebiruan yang dihiasi butiran bintang. Ada hiasan pokok luruh di sebelah kiri dan kanan pelamin yang nampak asli. Di bahagian kiri pelamin juga, ada diletakkan lampu vantage bertiang tinggi dan yang paling epik, ada motor Vespa antik yang disandarkan pada tiang lampu tersebut. Yang paling aku jatuh hati, kerusi pelamin kami, berbentuk bulan sabit berwarna putih di tengah-tengah pelamin.

“Bila Kak Adah dengan Abang Haiman bergambar atas pelamin tu, nampak macam satu pemandangan hidup. Serius amazing!”

Aku hanya senyum.

Dress Kak Adah yang baby blue ni, siapa pilih, Abang Haiman jugak?”

Aku sengih. “Siapa lagi? Abang ipar awak cakap dia pilih warna putih sebab warna favourite Kak Adah, alih-alih mak andam datang bawak warna baby blue.”

“Dia memang pandai pilih, Kak Adah. Cantik! Walaupun tak sarat, it looks perfect on you. Untung Kak Adah. Nanti Ida pun nak cari suami macam Abang Haiman la.”

“Amboi!” Aku besarkan mata. “Dah gatal ya? Nanti Kak Adah adu pada umi.”

“Orang cakap nanti bila sampai masalah, Kak Adah. Bukan sekarang. Orang nak capai cita-cita jadi fashion designer yang berjaya dulu.”

“Bagus, yang tu Kak Adah sokong.”

“Tapi kan, Kak Adah… Abang Zaki tu single lagi, kan? Dia tu handsome macam Nazim Othman la!”

“Ida!” Aku dah angkat tangan untuk mencari sasaran tapi terbantut bila Meen muncul.

“Awak, kita balik dulu ya. Lewat dah ni,” ucap Meen yang menyentuh bahuku.

Aku tengok jam. Pukul 11.30 malam tepat.

“Tak nak tidur sini ke?” pelawaku penuh harapan.

“Tak apalah, lain kali aje.”

“Jom kita hantar awak ke kereta.” Tangan Meen aku paut lalu kami beriringan ke luar rumah. Penuh berhati-hati aku melangkah untuk mengelakkan hujung dress yang aku pakai menyeret bumi.

Take care, okay.” Meen memelukku erat.

You too.”

Be a good wife. And a good mother too.” Meen menunjuk ke satu arah.

Di kawasan taman di tepi kolam, Akim Hareez sedang duduk menghadap kolam seorang diri.

“Mungkin awak dah kena start peranan ibu tu malam ni jugak kut?”

Aku balas kata-kata Meen dengan senyum sumbing. Sebetulnya tidak tahu hendak bagi reaksi yang macam mana.

“Balik dulu, assalamualaikum.”

Aku hanya menanti sehingga kereta Meen hilang dari pandangan sebelum kembali ke pekarangan rumah. Melihat Akim Hareez yang masih tidak berganjak sedari tadi, aku mengambil keputusan untuk menghampirinya.

“Hai, Akim…” seruku dengan nada mesra.

“Kenapa kau kahwin dengan daddy?”

Terpempan aku seketika mendengar patah bicaranya. Hilang sudah gelaran ‘kakak’ yang sebelum ini diberikan kepadaku.

“Ingatkan kau akan kahwin dengan kembar Nazim Othman tu.”

Aku tarik nafas dalam-dalam.

I’m sorry.”

Hanya itu yang mampu aku ucapkan.

Akim Hareez menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Kenapa kau orang kahwin? Aku cuma terfikir… daddy mungkin kahwin dengan kau sebab kes aku tu. Tapi kau pulak, kahwin dengan daddy atas alasan apa? Sebab dia kaya ke?”

Aku beristighfar dalam hati. Rasa kesal tetapi tidak boleh diluahkan. Tuduhan Akim Hareez memang tidak wajar tetapi rasionalnya, aku juga mungkin akan buat andaian yang sama jika aku berada di tempatnya.

Menyeru semangat dalam diam, perlahan aku melabuhkan duduk di sebelahnya.

“Kami kahwin bukan sebab yang macam Akim cakap tu.”

So, sebab apa?” Kali ini Akim Hareez berubah posisi menentang paras mataku.

“Sebab jodoh kami dah Allah tentukan di lohmahfuz? Is that acceptable to you?”

Akim Hareez mengeluh. Wajahnya nampak sedikit keruh.

“Aku ingatkan nak tengok mummy dan daddy bersatu balik.”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266154/mimpi-yang-sempurna

[REVIEW] JARI

JARI oleh Wan SC

 

“Tangan abang ni special. Tak sama macam tangan orang lain.” “Macam mana Kimi tahu?” “Sebab Kimi pun special macam abang.” “Kimi pun boleh tengok masa silam orang lain?” “Mata Kimi boleh detect semua orang yang special. Macam sekarang, Kimi nampak cahaya dekat tangan abang.” “Jadi, Kimi nak abang buat apa?” “Jangan cakap abang tak tau yang abang boleh download dan upload memori orang lain?” “Sumpah abang tak faham apa yang Kimi cakap ni.” “Selama hari ni abang buat apa je dengan tangan abang ni?” “Abang tengok memori orang lain lah.” “Abang boleh buat lebih dari tu.” “Maksud Kimi?” “Tak ada masa nak explain. Abang pegang tangan Kak Jue sekarang. Download semua memori dia.”

Pada awal penulisan buku ini, jalan penceritaannya sudah pun sedikit gelap, menambahkan misteri pada muka surat seterusnya. Buku ini memang lain daripada lain. Jalan cerita buku ini pada separuh awal tidak lah membosankan, penulis memberikan jalan cerita yang kita pun rasa nak tahu dengan lebih lanjut. Disebabkan itu, admin habiskan baca buku ini dalam sehari sahaja disebabkan level curiosity yang meninggi. Pada separuh akhir, rasanya pembaca dah boleh dapat tangkap apa sebenarnya yang terjadi dengan watak-watak dalam buku ini sebab penulis menceritakan watak-watak yang ‘banyak’ itu di alam lain dan mungkin pembaca boleh skip beberapa muka surat ketika separuh akhir ini kerana ia hanyalah untuk memanjangkan jalan penceritaan semata tapi jangan skip sampai terlepas klimaks pula ye. Klimaks nya agak mendebarkan tetapi taklah sampai terkeluar jantung pembaca, cuma sekadar menghangatkan babak-babak tersebut. Penutup buku ini, penulis menceritakan bagaimana watak-watak dlm buku ini boleh dapat ‘kuasa luar biasa’ dan babak selepas itu paling mengejutkan dan tergantung. Haaa kalau nak tahu cerita ni tentang apa sebenarnya, boleh lah dapatkan eBuku ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266104/jari

Sejenak Bersama Sahidzan Salleh

Antara karya Sahidzan Salleh, One Two Jaga

 

Hai readers! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal dengan salah satu bukunya, One Two Jaga, iaitu Sahidzan Salleh.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang penulis buku yang terkenal ini, boleh ikuti temu bual kami di bawah 🙂

 

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Sahidzan Salleh menulis?

Pertama, diri sendiri. Akan sentiasa wujud kemahuan untuk menghasilkan sesuatu di dalam diri saya. Kedua, penulis-penulis yang saya gemari. Saya mula menulis novel pertama setelah timbul pertanyaan di dalam benak saya; bagaimana seorang penulis dapat menyiapkan novelnya?

 

2. Apa makanan kegemaran anda?

Makanan pedas.

 

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Haruki Murakami (novel), Etgar Keret (cerpen).

 

4. Apakah novel kegemaran Sahidzan Salleh? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Pinball, 1973.

 

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Kucing.

 

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Jepun. Mungkin sebab saya membesar dengan menonton dan membaca produk-produk hiburan Jepun.

 

7. Apakah Sahidzan Salleh merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Ya, sudah tentu. Sasaran saya adalah untuk menghasilkan sebuah novel setiap tahun.

 

8. Apakah pesanan Sahidzan Salleh kepada pembaca di luar?  

Bacalah novel-novel saya.

 

9. Pada pandangan Sahidzan Salleh, apa istimewanya novel Sahidzan Salleh berbanding novel lain di pasaran?

Saya cuba menghidangkan suatu karya yang pantas, mindblown dan mudah dibaca.

 

10. Dari mana Sahidzan Salleh selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Dari persekitaran dan pengalaman sendiri yang diolah menjadi sebuah fiksyen.

 

11. Apa rutin harian Sahidzan Salleh? Ada yang rare tak?

Rutin harian saya membosankan. Mungkin sebab itu saya menulis novel. 

 

12. Describe diri Sahidzan Salleh dalam 3 patah perkataan?

Sunyi adalah kebisingan.

 

13. Apa nasihat Sahidzan Salleh kepada penulis-penulis yang masih baru dalam industri buku?

Banyak membaca daripada menulis.

 

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, apa lagi bahasa lain yang Sahidzan Salleh kuasai?

Tiada.

 

Kami harap Sahidzan Salleh akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarik dan bermutu. Jika anda berminat dengan tulisan Sahidzan Salleh, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

 

Karya terbaru Sahidzan Salleh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_47371_sahidzan-salleh/~

[SNEAK PEEK] PELANGI

Pelangi oleh Syud

“BOLEH KAU TOLONG ulang balik apa yang kau cakap tadi?”

“Yang mana satu?”

“Ayat yang ada sebut perkataan nak kahwin tu.”

Usamah mengerut dahi. “Kau dah suruh aku ulang lebih daripada tiga kali, kan?”

And suppose my ears dont want to believe that?

Usamah jongket bahu. Nonchalant. Dia menguis nasi goreng yang masih berbaki di pinggannya. Perutnya masih lapar namun asakkan soalan demi soalan daripada Hazriq sedikit sebanyak mengganggu seleranya.

Tell your ears. You need to believe it.

Believe that youre getting married?” ulang Hazriq dalam nada tidak percaya. Sejurus kemudian Hazriq ketawa. “You? Married? No way.”

How about yes way?”

Hazriq menggeleng. “Tak mungkin.” Jus tembikai dicapai. “Selama ni aku rasa sebab kau tak ada girlfriend ialah sama ada kau sangat busy atau kau masih pining over Syaz.”

“Dah empat tahun dah Hazriq. Kau ingat aku ni suku sakat setia sampai mati ke? Kalau betul dia tu memang untuk aku, mungkin la. Tapi… judging from what she did… kau ingat aku ni buta ke untuk tunggu dia lagi?”

“Tak.” Cepat sahaja Hazriq menjawab. Namun sahabatnya itu jelas mengukir senyuman mengusik.

“Kau dengan mama aku sama jek. Tau tak? Semua tak nak percaya.” Usamah menggumam perlahan. “Nanti aku bawak lari anak dara orang tu, baru korang tau.”

Bawak lari konon. Yang sorang kat Dublin dulu tu pun tak terjaga….” sindir Hazriq penuh makna.

Usamah kembali menyudu nasi gorengnya. Malas hendak berlawan cakap dengan Hazriq.

“Mesti kau jumpa perempuan Melayu terakhir ni… siapa nama dia?”

Usamah masih lagi setia mengunyah nasi gorengnya.

Come on, spill the details la. Sanggup kau buat best friend kau ni tertunggu-tunggu?” selar Hazriq sambil buat muka kesian. “Bro, cmon.”

Akhirnya selesai juga nasi goreng di pinggannya itu. Mulutnya dilapkan dengan tisu, sebelum meneguk air kosong. Hazriq masih menunggu dirinya bersuara.

“Aku tak tau nama dia. Atau macam mana rupa dia.”

Kidding.

No.

Kerutan di dahi Hazriq bertambah selapis. “Then kau tetiba drop a bomb kata nak kahwin? Kau ni kena demam kepialu ke apa?”

Pinggan kosong itu ditolak ke tepi. “Dia… calon menantu pilihan mama aku.” Usamah memulakan, dan senyuman sinis automatik terukir di bibirnya sebaik sahaja dia menuturkan perkataan ‘pilihan’ itu.

Hazriq dilihat terdiam. Mungkin cuba mencerna kata-katanya.

“Aku tak sanggup dengar mama aku bising lagi. So the solution is… marry the woman that she approves.” Usamah menyambung lagi.

So kiranya this unknown lady is your moms choice?” soal Hazriq. Nadanya membayangkan yang dia masih kabur.

Usamah tepuk dahi. “Kau ni dengar tak apa aku cerita dari awal tadi?”

“Dengar.” Hazriq mengangguk-angguk. Kemudian dia seolah-olah tersedar. “Kau rela la ni?”

Sekali lagi Usamah menepuk dahi. “Its a plan, okay? Kau ni sejak bila jadi slow ni?”

Hazriq sekadar tersengih. Dia menggaru kepala. “Entah. Penat kut. Banyak kerja. So now youre going to tell your mom about this? When?

Usamah tidak terus menjawab.

“Balik kerja ni aku beritahu dia.”

Hazriq memandangnya lama, sebelum menggeleng perlahan. “Aku rasa macam baru sebulan lebih kau balik Johor… tup-tup kau kata nak kahwin… wonder kalau kau balik lebih awal daripada tu. Mungkin dah ada little boy yang panggil aku uncle gamaknya.”

Tawa Usamah pecah mendengar omelan Hazriq. Namun Hazriq tidak turut ketawa. Dia masih kelihatan serius.

I hope youre serious this time, bro.

Tawa Usamah terhenti mendengarkan nada Hazriq yang serius. Dia berdeham beberapa kali.

I really hope youre serious. Youre talking about marriage. Ni bukan benda main-main. Berdosa tau tak, main-mainkan ikatan yang bernama perkahwinan ni.”

Lama Usamah terdiam. Hazriq memang begitu. Julukan nama ‘ustaz’ semasa zaman mereka belajar dulu sememangnya padan dengan Hazriq.

I am serious.

“Bagus.”

Ill let you know how it goes.

Shes a nice lady, right?

“Nampaknya macam tu lah.”

“Bagus. Nanti kenalkan la kat aku.”

“Kalau dia terima… kalau tak…” Usamah jongket bahu. “Tak ada rezeki la kau nak kenal dia.”

“Dan kau pun tak ada rezeki nak kenal dia jugak, kan?”

Usamah ketawa, sambil mengangguk perlahan. Jam di tangan dipandang sekilas. “Almost two. Thank you la sudi lunch dengan aku. Jauh kau datang.”

“Mangkuk. Kau ingat City Plaza dengan Menara Pelangi ni jauh sangat ke? Aku siap jalan kaki lagi.”

Usamah bingkas. “Memang tak jauh… but for me to steal masa emas kau tu… thank you.”

Mereka melangkah keluar dari kafe itu beriringan. Tiba di pintu keluar Plaza Pelangi, Usamah menghulur tangan.

“Jumpa lagi.”

“Kirim salam mama kau.”

“Ada masa datang la rumah aku.”

Spontan Hazriq ketawa. “Kita ni macam takkan jumpa lagi jek. Lawak la kau ni.”

Ye la tu… kau tu sibuk memanjang. Baik-baik jalan.”

Hazriq mengangkat tangan sebelum memusing dan melangkah pergi. Usamah pula mengatur langkah menuju ke lif untuk kembali ke pejabatnya di tingkat sepuluh.

IMAN MERENUNG wajah Mak Su. Terasa sendiri dahinya berkerut.

“Siapa?”

“Cik Kamisah. Iman ingat tak Cik Kamisah yang datang masa tahlil dulu tu?”

“Ingat.” Iman mengangguk laju. “Tapi kenapa dia datang…”

“Dia tanya pasal Iman.”

Iman makin kabur. Dahlah Mak Su menelefonnya di pejabat mengkhabarkan ada sesuatu yang serius yang memerlukan Iman pulang ke kampung. Tiba sahaja Iman disambut dengan sebentuk cincin yang terletak cantik di dalam bekas baldu merah itu.

“Tanya?”

Mak Su tarik nafas. “Dia tanya Iman untuk anak dia.”

“Iman…”

“Dia nak pinang Iman untuk anak dia.”

“Iman tahu. Tapi kenapa?” soal Iman pantas. Wajah Mak Su ditenung dalam. Guru matematik itu dilihat tersenyum simpul.

“Mak Su…”

“Mak Su tanya dia tadi… tapi dia kata, dia cuma sampaikan hajat anak dia. Maksudnya, anak dia yang minta dia pinangkan Iman.”

“Tapi Iman tak kenal anak dia!”

“Mak Su pun tak kenal.” Tutur Mak Su separuh mengusik. “Diam-diam ada peminat rupanya anak sedara Mak Su nih...”

Iman tak menjawab. Mak Su ni! Aku tengah pening dia buat lawak pulak… apa nak buat ni?

“Mak Su beritahu Cik Kamisah, yang apa-apa pun, jatuh pada keputusan Iman sendiri. Mak Su takkan putuskan untuk Iman. Lagipun Cik Kamisah kata, insya-Allah dalam dua tiga hari ni, anak dia akan call Iman. Nak bincang pasal ni.”

Iman memegang dahi. Telapak tangannya menggosok-gosok mata yang dirasakan pedih tiba-tiba. Terbayang di matanya, wajah Puan Kamisah yang baik. Dan dia dapat memutar kembali malam majlis tahlil semasa Puan Kamisah datang ke sini. Dan lelaki berbaju Melayu biru muda itu….

Dahinya di tepuk-tepuk. Think Iman think! What shall I do?

“Dah la tu… kesian Mak Su tengok. Iman tak makan lagi kan? Malam ni tidur sini jelah. Esok kan Sabtu. Nak balik pun dah malam ni. Pergi mandi dulu.”

“Mak Su…”

“Lepas ni kita cerita lagi ek? Iman letih tu. Pergi la rehat dulu.”

“SIAPA?”

Some mysterious guy that popped out of nowhere.”

“Kau tak tau siapa?”

No. No idea at all. Except…” Matanya jatuh pada bekas baldu di atas meja solek. “A really nice platinum ring.

A stalker?” Adilah bersuara ala-ala misteri. “You have a stalker. Aku sangat tak sangka kawan baik aku ada stalker!!!

Iman menjauhkan Samsung itu daripada cuping telinganya. Namun masih dapat didengar dengan jelas butir tutur bicara Adilah.

Hire a bodyguard, Iman!

“Kau ni kenapa?”

You have a stalker!

Oh, now Im Paris Hilton? Siapalah nak stalk aku Adi? Dah la hidung penyek, tak lawa pulak tu. Kaya jauh sekali. Aku setakat drive Wira je. Siapa yang tak ada kerja sangat nak jadi stalker aku tu? Baik dia berkebun ke… buat jigsaw puzzle ke…”

“Okey. Aku dah habis berdrama.”

Iman spontan tergelak mendengar apa yang dituturkan Adilah.

“Siapa dia? Aku tau kau tak kenal tapi siapa dia? Menurut Mak Su kau la.”

Iman menarik nafas. “Anak Makcik Kamisah.”

“Bila korang jumpa?”

No idea.

A matchmaking scheme?” Adilah menyoal. Iman terdiam.

“Entahlah… masak otak aku ni….” keluhnya perlahan. “Apa dah jadi ni?”

“Tanya aku pulak…”

Iman baru hendak membuka mulut untuk menyatakan sesuatu namun perbualan mereka terganggu dek satu bunyi menandakan ada panggilan masuk.

“Adilah. Ada call masuk la.”

“Oh okey. Karang kita sambung diskus pasal your so-called stalker ni.”

“Okey.”

Tangannya cepat-cepat memutuskan talian, dan segera menekan butang hold. Dia mengerut dahi seketika. Nombor tidak dikenali.

“Helo?”

“Iman Aisyah?” Satu suara lelaki menerobos cuping telinganya di hujung talian.

Iman terdiam. Kaget bersulam terpaku, dijahit dengan terperanjat. Tiga perkataan yang membawa maksud lebih kurang sama?

Indescribable.

Jantungnya tiba-tiba sahaja bertukar rentak. Lebih pantas.

“Iman Aisyah? Are you there?” suara yang begitu asing itu menyoal, mungkin hairan dengan dirinya yang tiba-tiba senyap.

“S… saya.”

“Ingat dah letak tadi.” Suara itu seolah-olah berseloroh. Masih tidak memperkenalkan diri.

“Taklah. Still here. Siapa ni?” perlahan Iman menyoal, walau hatinya sudah boleh mengagak.

Baju Melayu biru muda….

Suara di hujung sana kedengaran berdeham. Nervous?

“Usamah. Usamah Razif. I believe that my mom had met your Mak Su today, kan?”

Sah. Jantungnya semakin hebat berdegup. Jika tadi ala-ala Gavin DeGraw, kini seumpama My Chemical Romance.

Apa aku nak cakap ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/9960/Pelangi

Sejenak Bersama Nadia Khan

Nadia Khan

 

Hai readers! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal, Nadia Khan! Salah satu bukunya, Gantung sudah pun dijadikan drama bersiri di kaca tv.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang penulis buku yang terkenal ini, boleh ikuti temu bual kami di bawah 🙂

 

1) Siapa yang memberi inspirasi untuk Nadia Khan menulis?

Arwah Mak (Mak Long) saya seorang yang suka membaca. Dia sentiasa galakkan saya untuk terus menulis supaya ada bahan bacaan yang dia suka. Dan tiada yang lebih menyeronokkan daripada membaca karya anaknya sendiri.

 

2) Apa makanan kegemaran anda?

Saya tak pernah tolak nasi lemak bungkus.

 

3) Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Maggie O’Farrell

 

4) Apakah novel kegemaran Nadia Khan? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Perhaps in Paradise – Ellina Abdul Majid

Instructions For A Heatwave – Maggie O’Farrell

Harry Potter and The Half-Blood Prince – J.K. Rowling

The Marble Collector – Cecilia Ahern

Spoiled Brats – Simon Rich

(Banyak lagi sebenarnya)

 

5) Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Takde tapi nak kucing!

 

6) Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

New York (“melancong secara percuma” ni termasuk tiket penerbangan kelas pertama tak? Sebab New York jauh. Dah tua ni satgi sakit belakang lak naik kapal terbang lama-lama)

 

7) Apakah Nadia Khan merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

All the time ☺ 

 

8) Apakah pesanan Nadia Khan kepada pembaca di luar?

Teruskan membaca.   

 

9) Pada pandangan Nadia Khan, apa istimewanya novel Nadia Khan berbanding novel lain di pasaran?

Mungkin watak-wataknya yang dekat di hati pembaca.

 

10) Dari mana Nadia Khan selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham ada di mana-mana. Disiplin untuk menulis; itu yang susah. Pengalaman memang ada memberi ilham, tapi diolah untuk menjadi cerita yang lebih menarik.

 

11) Apa rutin harian Nadia Khan? Ada yang rare tak?

Rutin harian sentiasa berubah. Kalau ada yang rare pun, kadang-kadang bila saya ada writer’s block saya akan pandu kereta seorang diri sambil mainkan watak-watak yang saya tulis – praktis dialog diorang, bagi sedap.

 

12) Describe diri Nadia Khan dalam 3 patah perkataan?

Daydreamer. Storyteller. Confidant. 

 

13) Apa nasihat Nadia Khan kepada penulis-penulis yang masih baru dalam industri buku?

There’s no such thing as an overnight success – keep on trying.

 

14) Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, apa lagi bahasa lain yang Nadia Khan kuasai?

Bahasa Inggeris. Saya faham Hindi, tapi kalau bertutur tatabahasa saya berterabur sikit.

 

Kami harap cik Nadia Khan akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarik, bermutu dan mind blowing lagi. Jika anda berminat dengan tulisan Nadia Khan, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

 

Lebih banyak karya dari Nadia Khan boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_3059_nadia-khan/~

[REVIEW] BAJU MELAYU HIJAU SERINDIT

Baju Melayu Hijau Serindit oleh SYUD

 

Wardah dan Firas bertemu secara tidak sengaja di dalam kedai buku dan kebetulan mereka mahu membeli buku yang sama. Dek kerana pertemuan pertama yang tidak manis itu, Wardah awal-awal lagi sudah kurang senang dengan Firas. Berlainan dengan lelaki itu yang mula mengambil perhatian. Begitu pun, Wardah terpaksa meminta pertolongan daripada Firas apabila mengetahui ibunya mahu menjodohkan dia dengan seseorang yang Wardah tahu pasti akan membuatkan keadaan bertambah buruk. Dia tak sangka dengan meminta Firas menolongnya untuk menyamar sebagai teman lelakinya telah mencambahkan sesuatu yang pada mulanya tiada di situ, dalam hatinya.

Okay, ternyata Syud memang berjaya buat admin tersenyum sendiri membaca eBuku ni. Dari awal sampai akhir, cerita ni sangat sweet dengan gelagat Wardah dan Pacai. Storyline yang simple, plot yang kemas dan bahasa yang santai membuatkan kita senang ikut dengan perjalanan cerita novel ni. Admin sangat sukakan watak Pacai yang selamba je dengan Wardah, seakan-akan real life dan bukan dibuat-buat. Nak dimulakan cerita, Wardah dan Firas aka Pacai first time berjumpa di kedai buku untuk beli buku Nyanyian Tanjung Sepi namun si Pacai ni beli two last copies yang ada dan Wardah pun dibiar kecewa dan terpinga-pinga di situ. Selepas banyak kali terjumpa, baru lah si Pacai ni memberanikan diri untuk tegur Wardah dan dari situ, bermulah al kisah ‘fake boyfriend’. Sudah beberapa lama, Wardah ‘ter’jatuh cinta pada Pacai dan Pacai pun ‘ter’jatuh cinta pada Wardah tapi ada saja orang yang suka mengganggu hubungan mereka. Nak tahu apa ending cerita ni? Boleh dapatkan eBuku Baju Melayu Hijau Serindit sekarang!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/18140/Baju-Melayu-Hijau-Serindit

[SNEAK PEEK] DANDELION DITIUP ANGIN

DANDELION DITIUP ANGIN Oleh Aidah Bakri

WAJAH PUTIH bersih bayi lelaki yang baru dilahirkan, direnung dengan segenap rasa. Hilang segala rasa sakit melahirkan, apabila wajah sebesar tapak tangan itu damai dalam tidurnya. Tanpa diduga, rasa sayang… tunas kasih mula bertapak di mimbar hatinya.

Terasa indah yang tiada tara. Sejak mereka ditolak keluar dari wad bersalin dan ditempatkan di wad 6 dua belas jam yang lalu, bayinya itu asyik tidur sahaja. Menurut kata doktor sebentar tadi, tempoh tidur bayi yang baru lahir adalah sekitar enam belas jam dalam sehari. Mungkin sebentar lagi dia akan terjaga untuk menyusu.

Dini masih menatap wajah bayinya yang sedikit pun tidak berkutik. Tidak terusik langsung dengan rasa sejuk bilik yang berpenyaman udara itu. Segala-galanya baharu bagi dia. Mujur juga ada jururawat yang bernama Suhaini yang sudi mengajar bagaimana mahu membedung bayi sekecil itu.

Sungguh dia tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bayi. Mujur juga ada Ibu Rasyidah yang sudi menyediakan segala kelengkapan bayi. Kain bedung, kain lampin, barut… perkataan-perkataan itu pun tidak ada dalam kamus perbendaharaan hidupnya. Inikan pula mahu menggunakannya. Sungguh dia tidak tahu! Dia langsung tidak ada pengalaman menguruskan seorang bayi. Dan kehadiran bayi ini terlalu awal dalam hidupnya.

Dini mengeluh tiba-tiba. Hatinya disagat pilu yang teramat. Kepiluan yang terus menjeruk hati sehingga menjadi kering dan layu. Hampir-hampir tangkainya tanggal, menanti masa untuk tersungkur ke bumi. Mujur sahaja ada Ibu Rasyidah yang sudi memberi sedikit yakin dalam dirinya. Meniup bilah-bilah semangat dalam dirinya yang sudah kehilangan payung untuk berlindung.

“Hai baby….” Suara yang kedengaran tiba-tiba mengejutkan Dini daripada lamunan yang panjang.

“Puan sihat hari ini?” tanya doktor muda yang sedang mengira kadar denyutan nadi Dini. Doktor Irdina. Nama itu tertulis di tag nama yang tersangkut di bajunya.

Dini sekadar menganggukkan kepalanya. Wajah cantik doktor muda itu, dipandang sekilas.

“Baby asyik tidur saja. Puan dah bagi dia susu?” tanya Doktor Irdina lagi. Dini menggeleng pula. Masih tidak bersuara.

“Dah pandai menyusukan baby?” Paras Dini dibelek lama. Sejak semalam sudah terbetik musykil di hati kecilnya.

“Pandai jugak… Nurse Suhaini dah ajar malam tadi.” Jawab Dini perlahan. Biarpun dia merasa kekok, namun dia tetap mahu mencuba. Dia merasa puas apabila melihat bayinya tidur kekenyangan setelah menyusu.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya menyapa ruangan ingatan. Ada rembesan air mata di tubir matanya. Hatinya diseret kesal. Hiba yang teramat. Kalaulah arwah ibunya melihat dia dalam keadaan yang begini….

“Tekanan darah puan normal, baby pun sihat. So… tengah hari nanti puan boleh keluar. Suami puan belum datang lagi?” Lembut suara Doktor Irdina membuatkan Dini tersedar.

Suami??? Ruang hatinya terus menjadi kosong apabila perkataan itu disebut.

Suami??? Relung-relung hatinya luka lagi… luka yang tidak nampak darahnya. Luka yang hanya ada sakit dan perit. Luka yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila.

“Suami puan tak ada di sini?” Ayat tanya itu menyapa lagi cuping telinganya.

Mereka berpandangan seketika. Doktor Irdina mengerutkan dahi. Keliru memikirkan makna diam ibu muda di hadapannya itu. Sejak nama Dini didaftarkan untuk ditempatkan di wad bersalin, dia tidak nampak pun kelibat seorang lelaki yang layak digelar sebagai suami wanita muda ini.

“Puan?”

Dini menundukkan wajahnya. Terasa tebal kulit pipinya. Malu untuk berterus terang pada doktor cantik yang masih berdiri di tepi katilnya.

Sekejap lagi keluarga saya datang. Saya dah boleh balik, kan doktor?”

Doktor Irdina mengangguk sambil tersenyum. Mengerti bahawa Dini sedang menyembunyikan sesuatu. Namun siapalah dia untuk terus mendesak walaupun teringin benar rasa hatinya mengetahui mengapa raut wajah Dini bersalut sendu tatkala soal suami dibangkitkan. Perasaannya disapa simpati buat Dini. Baru berusia sembilan belas tahun sudah bergelar ibu. Terlalu muda untuk memikul tanggungjawab rumah tangga yang padanya terlalu banyak menuntut pengorbanan daripada seorang wanita.

Doktor Irdina berlalu ke katil yang seterusnya setelah menitipkan beberapa nasihat buat Dini. Pandangan Dini kembali jatuh pada bayi di sebelahnya. Matanya yang terpejam rapat, bibirnya yang comel kemerahan dan keningnya yang halus terbentuk… benar-benar menyentuh tangkai hatinya.

Dan apabila pandangannya jatuh pada hidung yang terukir indah menghiasi wajah putih bersih itu, dia teringat kembali pada seraut wajah. Menghantar seluruh ruang ingatannya pada lelaki yang telah mengubah hampir tiga ratus enam puluh darjah arah kehidupannya. Kalaulah tangkai hatinya boleh patah, sudah lama ia terputus… tanggal dan gugur daripada tangkainya.

“Hoi… mengelamun saja.” Dini tersentak dengan suara yang tiba-tiba menyergah cuping telinganya.

“Mana ada. Kau baru sampai ke? Dah tak reti bagi salam… main sergah saja. Ibu mana?”

“Hehehe… ibu ada dengan Doktor Irdina kat sana tu. Kau menungkan apa? Aku tengok kusut saja muka kau ni.” Iffa menatap wajah sahabatnya lama. Garis-garis luka kian terserlah di wajah kusam Dini. Kesian sahabatnya yang seorang ini. Besar sungguh dugaannya.

“Kau okey tak ni? Sekejap lagi boleh discharge kan?” Khuatir Iffa apabila melihat Dini lebih banyak diam. Diam Dini bermakna dia sedang memendam rasa. Memendam rasa seorang diri memang tidak baik untuk Dini dalam keadaan dia yang sebegini. Menurut ibunya tadi, hati dan perasaan orang yang dalam pantang bersalin sensitif dan cepat terasa.

“Aku okey la. Dah tak sabar nak balik rumah. Kau ingat enjoy ke duduk kat sini? Seksa tau nak turun naik katil ni.” Tutur Dini cuba menyembunyikan duka.

“Aku cuba untuk percaya kata-kata kau. Apa pun, aku harap kau jangan tunjukkan muka kusut kau tu kat depan ibu. Nanti dia risau. Tak fasal-fasal darah tinggi dia naik. Kita jugak yang susah nanti.” Pinta Iffa perlahan.

“Aku memang dah banyak susahkan kau Iffa… susahkan ibu. Aku tak patut libatkan kau dalam masalah aku. Tapi aku tak ada siapa-siapa, Iffa. Aku cuma ada kau, ada ibu kau….” Dini kembali sebak. Mengepung rasa rindu yang tidak pernah padam pada arwah ibunya, membuatkan jiwanya longlai tiba-tiba.

“Syyyh… dahlah. Jangan layan sangat perasaan sedih. Kau kan dalam pantang, tak elok tau. Aku tetap ada untuk kau, Dini. Aku tak peduli apa orang lain kata tentang kau, aku tetap percaya kau sahabat yang terbaik buat aku. Aku tak akan biarkan kau seorang diri membesarkan baby ini, Dini. Kita jaga dia sama-sama, ya.” Janji Iffa ikhlas.

Dini kian terharu mendengar kata-kata Iffa. Terharu kerana masih ada seorang sahabat yang tetap sudi bersamanya. Biar dalam susah ataupun dalam senang. Sanggup menerima dia walau dalam apa pun keadaannya.

“Terima kasih, Iffa.” Mereka berpelukan erat.

“Ada drama apa pulak kat sini? Ada adegan peluk-peluk pulak tu…” usik Ibu Rasyidah yang baru sampai. Bahagia benar hatinya melihat keakraban dua anak gadis di hadapannya. Ikatan perasaan mereka mengalahkan saudara seibu seayah. Dini pantas mengambil tangan Ibu Rasyidah lalu dikucup lama.

“Terima kasih ibu…” tuturnya perlahan. Ibu Rasyidah duduk di sisinya lalu memeluk erat bahunya.

“Sama-sama. Tahniah sebab selamat melahirkan baby yang cute ni. Maknanya ibu dah jadi neneklah ya.”

Ibu Rasyidah mengangkat bayi yang masih dalam ikatan kain bedungnya. Wajah mulus yang putih bersih itu ditatap lama. Ada rasa bahagia di kotak hatinya walau tidak dapat dinafikan, sebahagian hatinya menyimpan rasa simpati dan kesal yang tidak berkesudahan.

“Iffa, kemas barang-barang Dini. Kita dah boleh keluar sekarang. Dini nanti ibu bantu turun katil perlahan-lahan ya. Jaga-jaga kaki tu.”

Ibu Rasyidah meletak bayi Dini sebentar. Dia turut membantu Dini turun dari katil.

SEJAM KEMUDIAN mereka selamat sampai di rumah. Di rumah teres dua tingkat itulah tempat Dini berteduh sejak dia kehilangan segala-galanya. Memang nasibnya masih dikira beruntung jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang senasib dengannya. Kalaulah tidak ada Iffa dan Ibu Rasyidah, pasti hidupnya musnah sama sekali. Mungkin terus terbiar di lorong-lorong sepi tanpa ada yang sudi mengutip.

“Dini duduk di bilik bawah saja ya. Ibu dah kemaskan bilik itu pagi tadi. Orang dalam pantang tidak boleh banyak bergerak, apatah lagi turun naik tangga. Boleh kan?” tanya Ibu Rasyidah sambil memandang wajah bersih di hadapannya. Dini semakin banyak berdiam. Menjadi lebih pendiam daripada hari-hari sebelumnya.
“Dini tak kisah, ibu. Kat mana-mana pun Dini tak kisah. Asalkan ibu dan Iffa ada dekat dengan Dini.” Emosi Dini hiba tiba-tiba. Juring matanya terasa hangat. Keikhlasan dua beranak yang sanggup menerima segala kepayahannya, sungguh-sungguh menyentuh hati.

“Kami sentiasa ada dengan kau, Dini. Kami dah anggap kau macam keluarga kami sendiri. Kita hadapi semua ini sama-sama.” Iffa memeluk bahu Dini erat.

“Terima kasih Iffa… terima kasih ibu…” luah Dini terharu.

“Dah, jom berehat dalam bilik. Dini kena banyak berehat. Pulihkan semula tenaga yang dah hilang tu. Ibu nak ke dapur, tanak nasi.” Ibu Rasyidah beredar ke dapur. Sementara Iffa dan Dini berlalu masuk ke bilik.

“Kau kena banyak rehat. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Nanti kita sama-sama cari nama untuk baby boy yang cute ni ya.” Ujar Iffa sambil meletak bayi yang sedari tadi dalam dukungannya ke katil bayi yang diletakkan di sudut bilik. Dini duduk di birai katil. Kedua-dua belah kakinya terasa lenguh. Sengal seluruh tubuhnya belum surut lagi.

“Macam mana kita nak daftarkan nama dia Iffa, sedangkan surat nikah pun aku tak ada.” Luah Dini tiba-tiba. Menyimpan sebak dalam-dalam.

Lama mereka berpandangan. Masalah itulah yang selama ini membebani fikiran Dini. Apa butiran yang harus diisi dalam ruangan maklumat bapa dalam sijil kelahiran anaknya itu nanti.

“Kau tetap tak mahu beritahu dia? Dia ada hak Dini. Anak ini pun ada hak. Kita perlu beritahu dia.” Pujuk Iffa lembut.

Dini menekur lantai. Perdu hati diserbu pilu. Hak??? Hak apa yang mahu dituntut daripada lelaki itu???

Sekali dia diusir, tidak mungkin dia akan memunculkan diri lagi. Tidak untuk seumur hidupnya. Biar segala-galanya berkubur walaupun limpahan kasih sayang di rumah mewah itu sering kali menggamit ruang sepinya. Rasa rindu hanya mampu terkurung dalam bingkai pilu. Memang benar, apabila kita rasa rindu yang sangat dalam, barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang itu bagi kita. Dini hanya mampu menyimpan rindu… pada umi dan pada abinya.

“Dini?”

“Dia tidak pernah mahukan hak itu, Iffa. Dia sengaja perangkap aku. Atas dasar apa… aku sendiri pun tak tahu.”

“Mungkin dia akan ubah fikiran apabila nampak anak ini. Mungkin hatinya akan lembut. Kita beritahu dia ya.” Pujuk Iffa lagi.

“Mungkin??? Mungkin Iffa? Aku tak sanggup maruah aku tercalar lagi dengan apa pun kemungkinan. Kalau dia dengan mudah menghancurkan hidup aku, aku sejuta kali tak ingin berdepan dengan dia lagi. Aku tidak ingin jumpa dengan dia lagi seumur hidup aku.”

“Dah tu, macam mana nak daftarkan kelahiran anak kau ni? Kau sanggup tengok butiran ‘maklumat bapa tidak diperoleh’ dalam ruang maklumat bapa dalam sijil kelahiran anak kau, Dini?”

Dini merenung wajah bayinya lama. Rasa pilu bersatu dengan rasa simpati terhadap bayinya sendiri. Maafkan mama sayang….

“Aku buntu, Iffa.”

“Kau tergamak biarkan anak kau dianggap anak tidak sah taraf sedangkan dia ada bapa yang sah, Dini?”

Pertanyaan Iffa yang agak keras membuat hati Dini tersentak. Jiwanya disagat lagi. Anak tidak sah taraf’? Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rasa ngilu di hatinya lebih pedih daripada rasa sakit melahirkan semalam.

“Dahlah… kau rehat dulu. Kita bincang lain kali. Kita ada masa empat belas hari untuk buat keputusan tentang hal ini. Apa pun keputusan yang bakal kau ambil nanti, kau kena fikir tentang kebajikan anak kau, Dini. Bayi ini tak bersalah. Aku keluar dulu. Nanti aku ambil makanan untuk kau.”

“Tak payah layan aku macam tu. Aku boleh makan kat dapur saja nanti.”

“Mana boleh! Kau baru dua hari bersalin tau. Tak boleh banyak bergerak. Bentan nanti, kau jugak yang susah. Lagipun, kita masih muda. Banyak lagi perkara yang hendak kita buat. Kalau kau tak jaga diri kau sendiri, siapa lagi yang kau harapkan?”

“Baiklah cik doktor tak bertauliah. Saya ikut saja kata doktor, ya.” Jawab Dini dalam gurauan. Malas dia hendak mendengar leteran sahabatnya itu. Kalau dia membantah, lagi panjang leterannya nanti. Bernanah telinganya nanti. Bentan? Takut juga dia apabila memikirkan jika sakitnya datang semula.

Iffa berlalu meninggalkan Dini sendiri merenung masa. Terasa pantasnya masa berlalu. Seolah-olah baru semalam semua rentetan itu berlaku. Terkenang saat-saat akhir dia di rumah mewah Datuk Mazlan. Masih terbayang wajah luka arwah ibunya, saat peristiwa hitam itu singgah di celah-celah hidupnya.

Ampunkan Dini, ibu… rintih hatinya berkali-kali. Dini tak salah….

“KENAPA Dini sanggup buat ibu macam ni? Dini tak kesian kat ibu ke?” Suara arwah ibunya masih terdengar-dengar di deria dengarnya, menghiris luka hatinya hingga ke relung yang paling dalam. Hendak bernafas pun terasa sukar.

“Dini tak salah ibu. Dini tak buat apa-apa. Percayalah cakap Dini, ibu.”

“Macam mana ibu nak percaya Dini? Semua orang dalam rumah ini nampak apa yang Dini dan Rifqi buat. Sampai hati Dini buat ibu macam ni. Dini sedar tak kita hanya menumpang dalam rumah besar ini. Sampai hati Dini lukakan hati umi… hati abi.” Ibu Fatimah bersuara lirih.

Sesal datang bertimpa-timpa. Kalaulah dia tahu musibah ini akan berlaku, pasti tidak akan ditinggalkan Dini seorang diri di rumah tadi. Pasti akan dibawanya Dini menemaninya.

“Ampunkan Dini, ibu…” Dini memeluk ibunya erat.

Rasa kesal dan marah menunjal-nunjal kotak hatinya. Kalau diikut rasa hatinya, mahu sahaja lelaki itu ditampar dan diterajang dengan segenap rasa.

“Ibu tak boleh kata apa lagi, Dini. Esok lepas zuhur, Dini kena nikah dengan Rifqi. Abi sedang uruskan semuanya. Dini dah hampakan ibu, hampakan umi… dan semua orang yang sayang kat Dini. Puas hati Dini kan???” tempelak Ibu Fatimah lagi.

“Ya Allah ibu… tolonglah Dini, ibu. Dini tak mahu nikah dengan dia… dengan sesiapapun. Dini nak belajar lagi… keputusan SPM Dini dua bulan lagi ibu.” Meraung Dini dengan keputusan Datuk Mazlan, lelaki yang dipanggil abi olehnya.

“Ibu tak boleh buat apa. Ini keputusan Datuk dan Datin. Muktamad!”

“Ibu… ibu tolonglah pujuk umi dan abi. Dini tak mahu ibu. Tolonglah Dini ibu…” rayu Dini dalam sedu tangisnya dengan suara yang terputus-putus.

“Ibu dah cukup malu dengan apa yang terjadi. Ibu kecewa sangat. Dini keluarlah dari bilik ibu ini. Tinggalkan ibu sendiri.”

Ibu Fatimah naik ke atas katil. Merebahkan badan dalam keadaan menghereng lalu menutup seluruh tubuhnya dengan kain selimut. Dini tiada pilihan. Dia melangkah keluar meninggalkan ibunya yang sudah tidak mahu memandang wajahnya lagi.

TANGISAN BAYI membuatkan Dini kembali ke alam sedar. Dia mengesat sisa air mata yang masih berbekas di pipi. Menangis macam mana sekalipun, apa yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, tidak mungkin dapat diraih kembali. Merintih macam mana sekalipun, ibunya tidak akan hidup kembali.

Hanya hitam
Menatap langit terukir gelap
Bintang pun turut enggan
Memberi cahaya walau sedikit
Terbiar hati dipujuk pedih

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185103/dandelion-ditiup-angin