[SNEAK PEEK] KAKAK KEMBOJA

KAKAK KEMBOJA Oleh Naim Tamdjis

PEKERJA yang diupah sedang sibuk memunggah barang dari lori ke rumah sewa Siti. Zanna dan suaminya turut membantu.

“Nasib baik lif dah elok. Kalau tak, pengsan nak angkat semua barang sampai tingkat lapan. Hari tu masa kita datang tengok rumah lif ni rosak. Dah diperbaiki agaknya. Nilah masalah duduk rumah flat. Sabar ajelah, Siti. Nanti aku cuba cari rumah lain. Buat masa ni susah nak cari rumah sewa kat bandar baru ni,” ujar Zanna sambil sibuk membantu Siti membentangkan karpet.
“Tulah. Rumah pun dah dibersihkan. Taklah bersepah macam hari tu. Kalau tak, memang mencungaplah nak kemas rumah. Nasib baik suami kau ada. Kalau tak, siapa yang nak angkat perabot tu?”
“Eh, mana Johari?” soal Zanna, tidak nampak kelibat Johari di ruang tamu.
“Ada kat dalam bilik. Tengah kemas baju agaknya,” jawab Siti.
“Bagus betul anak kau tu. Dah pandai berdikari dan kemas sendiri. Kalau anak aku, baju kotor pun tak reti nak masuk dalam mesin basuh. Dah satu kerja pulak aku nak kemas baju dia,” omel Zanna.
“Alhamdulillah, dari kecil dia dah diajar berdikari. Kalau nak minta tolong dengan anak-anak, kita mesti minta dengan elok dan sabar. Maklumlah budak,” ujar Siti.
“Mana saudara-mara kau? Takkan tak datang tolong langsung? Bertuah betul!” soal Zanna.
Dia membantu Siti membentangkan satu lagi tikar di ruang tamu. Tikar yang dibawa Siti dari rumahnya. Tikar yang dibeli bersama arwah suaminya.
“Kalau belah aku memang aku tak beritahu. Tapi kalau belah arwah tu kau tahu ajelah. Mana ada dia orang nak datang. Dia orang mesej aku suruh letak kunci kat bawah pasu adalah. Sedih aku, Zanna,” adu Siti.
“Sampai macam tu sekali dia orang layan kau hanya disebabkan duit lima ribu tu? Melampau betul!”
“Entahlah. Mak mentua aku pun marah-marah dengan aku sebab tak bagi duit kat anaknya. Dia kata duit KWSP arwah mana cukup. Nak tambah bilik, cantikkan dapur dan nak pergi haji berpakej katanya.”
“Apa? Hei, tu kan duit kau orang dua beranak! Suka hati aje guna.”
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Tapi yalah, dah arwah tak tukar nama. Nak buat macam mana.”
“Aku suruh tuntut, kau tak nak.”
“Alah, tak apalah. Anggap aje rezeki mak mentua aku. Lagipun, arwah ada insurans dan pencen ilat.”
“Yalah,” ujar Zanna, akur.

JOHARI membuka almari pakaian miliknya. Dia ingin menyusun pakaian di dalam almari. Dia membuka beg pakaian. Bingkai gambar abahnya yang diletakkan di bahagian atas beg diambilnya.
“Abah,” ujar Johari perlahan sambil mengusap gambar abahnya.
Ternyata dia terlalu rindukan abahnya.
“Abah, kenapa keluarga nenek buat kita macam ni? Kita dihalau dari rumah sendiri. Sedangkan tu kan rumah abah? Abah yang upah orang bina rumah kita. Kita merempat kat rumah sendiri,” adu Johari.
Dia mengusap lagi gambar abahnya yang sedang tersenyum.
“Ibu macam reda aje bila adik-beradik abah buat kita macam ni. Ibu kuat dan tabah. Tapi adik tak sanggup tengok ibu sedih. Adik tak mampu. Maafkan adik,” ucap Johari lalu meletakkan bingkai gambar abahnya di atas meja.
Selepas itu, Johari terus mengemas bajunya. Dia perlu segera mengemas kerana selepas ini dia perlu menolong ibunya pula. Tanpa disedari, bingkai gambar yang mengadapnya kini telah berpusing ke belakang perlahan-lahan.
Tidak lama kemudian, Johari telah siap mengemas pakaian. Kemudian, dia duduk di atas katil. Masih kedengaran di luar biliknya perabot yang diangkat untuk disusun mengikut cita rasa ibunya. Dia melihat gambar abahnya yang terletak di atas meja.
Eh! Bukan ke tadi aku letak gambar menghadap ke depan? Kenapa gambar ni boleh menghadap ke belakang pulak? Gumam Johari.
Dia kembali meletakkan gambar itu di posisi asal.
“Adik! Adik! Apa yang lama sangat tu? Mari tolong ibu kat luar ni. Banyak barang nak masuk dalam bilik,” panggil Siti.
“Sekejap, bu,” sahut Johari.
Johari bingkas bangun dan keluar dari bilik. Kipas berdiri yang dibukanya tadi tiba-tiba tertutup dengan sendirinya.

HARI sudah semakin gelap. Tidak lama lagi senja bakal menjelma. Mereka masih sibuk mengemas. Semua perabot sudah habis diangkat.
“Kak, kami dah habis angkat dan susun semua perabot. Kami balik dulu ya,” ujar Jevan, pemandu lori yang diupah Siti.
“Terima kasih, Jevan. Mesti penatkan angkut barang sampai tingkat lapan. Berapa baki kena bayar?” soal Siti.
“Penat jugaklah, kak. Nasib baik lif okey. Dua trip, kak. Akak dah bayar RM400. Lagi RM400, kak,” jawab Jevan.
Siti mengangguk lalu mengambil beg tangan. Dia mengambil wang di dalam beg lalu diberikan kepada Jevan. Jevan mengambil dan mengira duit itu.
“Okey, kak. Cukup. Dei Carlos, mari baliklah dei. Tak habis minum lagi ka?” panggil Jevan sambil memandang pembantunya yang sedang sibuk makan pisang goreng yang dibeli Siti di gerai bawah tadi.
Carlos bingkas bangun terkocoh-kocoh sambil memegang pisang goreng yang masih belum dimakannya. Setelah meminta diri untuk pulang, mereka keluar dari rumah Siti menuju ke lif.
“Penatnya, bos,” adu Carlos.
Dia memasukkan sebiji pisang goreng ke dalam mulut sambil memicit-micit bahu dengan tangan kiri.
“Tahu pun penat. Ingat senang ke nak cari duit? Nah, ni upah kau,” ujar Jevan lalu menghulurkan not RM100 ke arah Carlos.
“RM100 aje, bos? Bagilah lebih sikit. Penat angkut barang. Lepas tu bawa naik lagi. Berat. Dahlah tingkat lapan. Patah pinggang saya, bos,” adu Carlos.
“Hisy! Naik lif, kan? Bukan naik tangga. Kalau naik tangga angkut perabot tu lainlah. Lagipun, minyak dah naik 20 sen seliter. Kos pun dah naik. Sikit aje untung ni,” dalih Jevan.
“Alah, bos. Bagilah lebih sikit. Bos kiut, kan?” bodek Carlos.
“Hisy! Yalah, yalah! Nah, lagi RM50,” ujar Jevan, akur lalu menghulurkan not RM50
“Terima kasih bos,” ucap Carlos lalu mencium duit itu.
Ting!!!
Lif berbunyi menandakan lif sudah sampai. Pintu lif terbuka. Tiada sesiapa yang kelihatan di dalamnya. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut lif. Setelah masuk, Jevan menekan butang ke tingkat bawah.
“Bos perasan tak? Sunyi betul flat ni. Kat bawah ada orang, tapi kat tingkat lapan tu sunyi sepi. Macam kat kubur aje,” adu Carlos.
“Hisy! Mulut tu jangan cabul boleh tak? Memanglah sunyi. Kan hari ni hari Sabtu. Semua orang duduk kat rumah. Atau mungkin ada yang keluar beli barang dapur. Lagipun, ni kat bandar. Mana nak ambil tahu hal orang lain sangat. Semua orang buat hal masing-masing,” ujar Jevan.
Pintu lif tertutup dan mula bergerak ke bawah. Carlos bersandar di dinding lif. Bahunya masih lagi sakit.
“Betul jugak cakap bos tu. Orang bandar manalah nak ambil peduli hal jiran. Nasib baik lif ni elok. Kalau rosak, jenuh pulak kita nak panjat tangga.”
“Dulu, saya pernah angkat barang kat rumah flat. Masa tu lif rosak. Nasib baik tingkat empat. Tapi lepas tu memang sakit pingganglah. Suruh bini urut. Tapi lepas tu, pembantu saya tak datang kerja lagi. Katanya, macam nak patah pinggang buat kerja ni. Budak muda sekarang, kerja nak senang. Upah nak mahal. Nasib baik kau ni tahan dengan saya,” puji Jevan.
“Ha…ha…ha… puji ada makna ni. Bos untunglah ada bini. Saya tak ada bini. Siapa nak urut saya? Eh, bos. Kenapa lif ni ke atas pulak?” soal Carlos sambil menekan-nekan butang lif.
“Agaknya dah banyak kali kita angkut barang berat, lif ni dah jadi gila kut.”
“Jangan rosak dahlah, bos. Terperangkap kita dalam lif ni, masak kita bos. Dahlah macam tak ada orang kat flat ni.”
Carlos masih menekan butang lif. Tetapi lif tetap menuju ke tingkat atas.
Ting!!!
“Ada orang kat tingkat ni yang nak turun ke?” soal Jevan.
Tiba-tiba, pintu lif terbuka. Tiada sesiapa yang berada di hadapan pintu lif. Carlos menekan butang tutup. Dia menekan berkali-kali, tetapi pintu lif tidak mahu tertutup.
“Rosak ke lif ni, bos?” soal Carlos.
Jevan menolak pintu lif berkali-kali supaya pintu tertutup, tetapi gagal. Sementara itu, Carlos memandang ke luar. Keadaan di luar sangat sunyi dan gelap. Hanya ada beberapa biji lampu yang berfungsi. Lampu di lobi lif pula berkelip-kelip.
Sampah sarap pula bersepah-sepah. Dinding diconteng dengan bahasa yang tidak difahami. Malah, ada cermin tingkap rumah yang telah pecah.
“Teruk betul keadaan tingkat ni, bos. Macam tak ada orang tinggal. Bersepah-sepah. Takkanlah tak ada sesiapa yang kemas?” soal Carlos.
“Entahlah,” ujar Jevan.
“Abang, tolong Kemboja tekan nombor lapan,” pinta seseorang di belakang Jevan dan Carlos.
Carlos dan Jevan saling berpandangan. Serentak mereka menoleh ke belakang. Seorang gadis berpakaian serba hitam sedang berdiri di belakang mereka. Bila masa gadis ini masuk ke dalam lif? Kenapa mereka berdua tidak perasan langsung?
“Abang, tolong Kemboja tekan nombor lapan,” ulang gadis itu lalu mendepangkan tangan ke arah nombor lif.
Kukunya sangat panjang dan hitam. Kulitnya seolah-olah terbakar.
“Hantu!” jerit Jevan dan Carlos lalu berlari menuju ke arah tangga.
“He…he…he…” Suara perempuan mengilai kedengaran.
Tiba-tiba pintu lif tertutup dengan sendiri.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95900/kakak-kemboja

[SNEAK PEEK] LOMBONG

9789674462369-medium
PROJEK SERAM: LOMBONG Oleh A. Darwisy, Saidee Nor Azam, Zyra Safiya, Hasrudi Jawawi

Sungai Lembing, Pahang,1920…

GEMPITA kawasan perlombongan itu dengan bunyi letupan. Saling bertingkah dengan bunyi mesin gerudi yang digunakan untuk menebuk lubang. Mereka sudah betah dengan suasana bingit sedemikian rupa. Lagi-lagi semenjak Sir Richard mengambil alih pengurusan hasil kekayaan bumi penduduk di tempat itu. Ramai orang yang berasa kurang senang dengan caranya. Lelaki itu memandang orang tempatan yang bekerja dengannya tidak ubah seperti buruh kasar yang boleh disuruh-suruh dan diinjak-injak tanpa belas.
“Tak guna punya orang Inggeris! Mereka ingat kita ni apa? Hamba abdi dia?” seranah Idris, tidak puas hati sambil meludah ke tanah.
Mukanya merah padam menahan marah. Sudah 12 hari berturut-turut dia dikerah untuk bekerja sepenuh masa, dari siang membawa ke malam. Badannya sudah sakit-sakit. Tidur pun tidak cukup. Upah yang diberi bukanlah banyak mana. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia melayangkan buku lima ke muka-muka mandur berkulit putih pucat yang berdiri di hadapannya tadi. Tetapi, dia teringat anak bini di rumah. Kalau dia memberontak, nescaya dia akan dibuang kerja.
“Sabarlah, Deris. Bukan kau seorang, aku pun sama. Kita senasib,” pujuk Karim.
Dia memahami perasaan kawannya yang seorang itu. Tiada siapa yang akan mendengar luahan hati pekerja lombong seperti mereka. Hendak mengharap majikan menjaga kebajikan mereka, usah dimimpi. Malah, lebih teruk lagi mereka menindas. Hujungnya, menggelek luka, kena gelek pun luka. Selagi tulang empat kerat masih larat, selagi itulah mereka cuba bertahan.
“Ramai orang kita mati mengorek terowong bawah tanah tu. Mereka sikit pun tak ambil peduli. Nyawa kita ni agaknya tak ada nilai langsung buat mereka. Bijih timah dalam perut bumi tu lebih penting daripada segala-galanya. Dasar penjajah!” getus Idris, melampiaskan amarah.
Dadanya seperti mahu meletup. Tunggu masa saja.
“Tuan Richard mahu kita cepat korek pangkang ni. Aku dengar cerita, harga dagang bijih timah di pasaran melonjak naik. Sebab tu dia mahu kita laju membuat kerja,” ujar Karim, bukan memihak kepada orang Inggeris tetapi dia cuba memahamkan Idris akan tujuan majikan mereka yang kapitalis dan memikirkan keuntungan saja.
Idris merengus. Dia peduli apa harga bijih timah naik atau turun. Bukannya memberi kesan pun kepada dia sekeluarga. Kalau dulu, mereka melombong ikut cara tradisi. Ada hasil, adalah rezeki. Tidaklah dipaksa-paksa serupa kuli.
Baru sahaja Idris hendak berlawan hujah, kumpulannya yang sedang berehat tiba-tiba mendengar kekecohan seperti sedang berlakunya pertelingkahan tidak jauh dari situ. Idris dan Karim saling memandang antara satu sama lain.
“Tu suara Leman,” sampuk salah seorang daripada mereka.
Idris dan Karim bingkas bangun. Dua sahabat itu termasuk tiga pekerja lombong yang lain, bergegas ke sana. Termengah-mengah mereka berlima berlari. Sampai di tempat kejadian, masing-masing termati langkah. Benarlah suara Leman tadi dan lelaki itu sekarang sedang menjerit-jerit.
“Tak perlu dikorek lagi terowong tu hingga ke dalam! Cukuplah! Kita dah sampai sempadannya!” ujar Leman, cuba menghalang, tetapi akibatnya muka lelaki itu ditumbuk oleh mandur-mandur Inggeris yang langsung tidak mengambil endah tegahannya.
Leman tertiarap di atas lantai tanah.
Idris menggigil menahan marah. Buku limanya sudah digenggam kuat. Mahu saja dia masuk campur, tetapi Karim kejap memegang pergelangan tangannya supaya tidak terburu-buru bertindak. Beredar saja mandur-mandur itu, lekas-lekas Idris dan Karim mendapatkan Leman yang terkoyak bibirnya kesan tumbukan tadi. Ada darah mengalir keluar.
“Kenapa, Leman? Apa yang berlaku ni?” soal Idris sambil membantu Leman untuk bangun.
Selepas meludah darah dan pasir yang bercampur dalam mulut, barulah Leman bercerita. Tetapi sebelum itu, dia menyuruh tiga orang pemuda dalam kumpulan Idris untuk menyambung rehat mereka. Sebenarnya, dia mahu menaruh beras dalam padi. Berdua terkunci, bertiga terbuka.
“Mereka mahu mengorek terowong tu lebih dalam lagi. Aku kata, tak boleh. Tanah Sungai Lembing ni bukan tanah sembarang!”
“Maksud kau, Leman?” soal Idris, tidak sabar-sabar ingin tahu.

Leman sememangnya lebih arif dengan kawasan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing itu. Orang tuanya dulu antara yang paling awal mendulang bijih timah di situ sekitar tahun 1882. Ikut kiraan tepat, 38 tahun yang lepas. Sebelum syarikat The Pahang Corporation Limited menjalankan aktiviti perlombongan bawah tanah secara intensif lima tahun kemudiannya.
“Arwah bapak aku pernah beritahu aku dulu. Tanah ni rizab jin,” jawab Leman.
Idris dan Karim tertelan air liur. Tidak semena-mena merinding bulu roma mereka. Leman mengusap-usap belakang tengkuk. Seboleh-bolehnya, dia mahu menyimpan rahsia. Nanti jadi buah mulut orang ramai, tiada pula yang mahu melombong di situ.
“Rizab jin?”
Takut-takut Karim mengulang sebut. Leman mengangguk, tanda mengiakan. Sempat dia memandang ke kiri dan ke kanan. Khuatir ada yang memasang telinga. Setelah dipastikan selamat, dia menyambung bicara.
“Ada sesuatu yang tersimpan kat bawah tanah. Dan benda ni kalau ditemui, mengundang petaka. Bapak aku cakap, ia pusaka jin. Dari bapak aku hidup lagi, orang-orang Inggeris ni mencarinya. Mereka sebenarnya ada niat lain. Serampang dua mata.”
“Macam mana pulak kau boleh tahu benda tu letaknya kat terowong bawah tanah yang kita sedang korek tu? Dan benda yang tersimpan tu apa sebenarnya? Berharga sangat ke?” celah Idris, semakin terpancing minatnya.
“Bapak aku cakap, petandanya mudah. Lihat pada amang bijihnya. Lagi tinggi nilai bijih timah di kawasan tu, bermakna di sekitar tulah ia ditanam. Tapi apa bendanya tu, aku tak tahu. Apabila sampai ke pengetahuan orang Inggeris tentang perkhabaran ni, mereka tekad mahu mendapatkannya. Mereka menganggapnya harta karun.”
Idris menghadam penerangan Leman.
“Jadi, apa benar ada harta karun tersembunyi di bawah tanah?” soal Idris, sedikit menekan nadanya.
Iyalah, kalau benar ada perbendaharaan berharga di situ, ada baiknya biar mereka yang menjumpainya terlebih dahulu. Tidak mahu dia melihat lahanat-lahanat Inggeris itu membolot rakus kesemuanya. Serakah jiwa imperialis yang mahu mengaut semua kekayaan untuk mengisi tembolok mereka sendiri.
Otak Idris terus ligat bekerja. Berpandukan cerita Leman tadi tentang petanda yang disebutkan arwah bapanya, memang benar kualiti bijih timah di situ terbaik mutunya. Bertambah bersemangat dia hendak mendengar lanjutan kisahnya.
“Sekalipun harta karun, benda tu bukan hak kita. Nenek moyang kita dulu yang lebih awal membuka petempatan di sini. Merekalah yang menanamnya supaya rahsia tu tersembunyi sampai bila-bila. Angkat sumpah telah dibuat untuk kebaikan kita, penduduk Sungai Lembing. Aku tak mahu tulah menimpa. Dibuatnya terbalik tanah ni dari atas ke bawah, siapa yang susah? Kita jugak.”
Sembang Idris, Karim dan Leman bubar tidak lama kemudian apabila cuping telinga masing-masing menangkap bunyi letupan yang lebih kuat daripada biasa. Datangnya dari dalam terowong bawah tanah. Tanah yang dipijak terasa bergegar seperti berlakunya gempa kecil. Ketiga-tiga lelaki itu deras berlari ke terowong itu untuk melihat dengan mata kepala sendiri. Leman mulai berasa tidak sedap hati. Bulu romanya merinding. Dia takut sekali membayangkan musibah yang mendatang. Celakanya pasti akan memburu setiap seorang daripada mereka.
Sampai di dalam terowong itu, mereka terpempan melihat beberapa orang pekerja lombong mengalami kecederaan teruk dan bergelimpangan di atas tanah. Menderu yang lain datang menolong, memapah mereka keluar untuk diberi rawatan dengan segera. Seorang mandur Inggeris juga cedera di bahagian kepala. Tetapi masih mampu berdiri. Semakin lama, semakin ramai yang berkerumun sehingga ruang bawah tanah yang sedia sempit itu bertambah padat. Masing-masing hendak tahu apa yang telah berlaku.
Leman meliar matanya ke sana ke mari. Habuk debu kesan letupan sekejap tadi masih berapungan di udara. Biarpun di luar masih siang, tetapi berada di situ bagaikan hari sudah malam.
“Aku dah melarang, tapi mereka degil. Nilah makannya!” bisik Leman di telinga Idris.
Beberapa orang pegawai Inggeris datang sejurus kemudian. Semua yang ada di situ berundur ke tepi memberi laluan.
“Sir, we found something!” ujar mandur yang cedera tadi.
Idris dan Kamil memandang saja dari jauh dengan perasaan teruja ingin tahu. Mereka nampak sebuah peti kayu bersaiz sedang-sedang, ditarik keluar dari lubang tanah. Apa mungkin di dalamnya ada harta karun sepertimana yang diceritakan Leman?
“Bring it to the office,” arah pegawai atasan itu serta-merta.
Peti kayu itu diangkat. Kelihatan tidak berat daripada pandangan kasar. Sebaik sahaja peti itu dikeluarkan daripada tempatnya, berbunyi satu tempikan yang nyaring bersipongang ke segenap penjuru terowong bawah tanah itu. Masing-masing sudah cuak. Pertama kali mereka mendengar bunyi aneh lagi menggerunkan. Idris dan Kamil mulai merinding satu badan. Keadaan bertambah gamat apabila tanah yang mereka pijak mulai merekah dan menunjukkan tanda-tanda mahu terbelah dua.

“Out! Out! Get the hell out from here!” pekik salah seorang pegawai Inggeris yang menyedari ada sesuatu yang aneh sedang berlaku di dalam terowong itu.
Mereka kumpulan pertama sekali meloloskan diri. Peti kayu yang dijumpai tadi, dibawa keluar dengan selamat. Dalam masa yang sama, sebahagian besar pekerja lombong yang tidak memahami apa yang dimaksudkan orang-orang Inggeris tadi, bingung terpinga-pinga dan saling berpandangan antara satu sama lain.
“Lekas! Keluar dari sini! Lari ke tempat tinggi!” jerit Leman, lantang.
Mendengar arahan lelaki itu, barulah masing-masing berasak-asak berlari tidak cukup tanah. Idris dan Kamil turut sama bertolak-tolakan demi menyelamatkan diri. Bunyi tempikan nyaring itu semakin kuat kedengaran. Seolah-olah ada satu makhluk purba yang hendak keluar dari perut bumi dan mahu membaham mereka semua.
Seluruh kawasan perlombongan bijih timah itu bagaikan dilanda gempa kecil. Masing-masing kelam-kabut mencari tempat perlindungan. Dalam kekalutan yang tidak disangka-sangka itu, salah seorang daripada mereka tersadung langkahnya lalu tersungkur. Suara jeritan meminta tolong kedengaran kuat selepas itu. Idris yang mendengar jeritan itu mulai berbelah bahagi. Sama ada hendak teruskan berlari atau berpatah balik ke belakang.
“Kamil! Leman! Ada kawan kita yang jatuh. Aku nak selamatkan dia!” ujar Idris, benar-benar tekad.
“Kau jangan buat kerja gila, Deris!” ujar Leman, cuba menghalang tetapi Idris terus menongkah arus.
Hendak tidak hendak, atas dasar persahabatan, Leman terpaksa berundur lalu mengejar Idris. Kamil yang menyedari dua orang kawannya itu berlari menyongsong haluan, turut sama berbuat demikian. Sudahnya, ketiga-tiga mereka berpapasan melawan arah sekumpulan besar pekerja lombong yang berpusu-pusu mahu keluar dari terowong itu.
“Ah Meng tu!” ujar Idris, dengan mudah dapat mengecam wajah yang sedang mengerut menahan sakit.
“Tolong aku, Deris! Kaki aku terkehel. Kemudian, kena pijak pulak ramai-ramai,” adu Ah Meng.
Idris melihat bahagian yang tercedera. Benarlah seperti apa yang dikatakan lelaki itu. Kaki Ah Meng bengkak besar dan melebam teruk. Mujurlah Kamil dan Leman ada bersama. Idris meminta Leman memapah Ah Meng di sebelah kiri sementara dia di sebelah kanan.
“Ya ALLAH! Deris! Leman! Apa tu?” jerit Kamil, terbeliak sambil menuding jari telunjuk ke satu arah. Ke lubang di mana peti kayu tadi dijumpai.
Idris, Leman dan Ah Meng serentak menoleh. Mereka berempat tergamam. Tidak berkelip mata mereka melihat bebayang hitam menyerupai akar pokok kayu, menjalar keluar dari dalam lubang itu. Meremang bulu roma mereka semua.
“Kita kena cepat keluar dari sini!” ujar Leman sambil menekankan suara.
Lagi lama mereka berlengah, lagi berisiko mereka dalam bahaya. Idris dan Leman lekas-lekas mengheret Ah Meng bangun. Mereka bertiga berlari sepantas yang mungkin walaupun pergerakan Ah Meng berdengkot-dengkot.
“Mil! Kau tunggu apa lagi? Lari!” pekik Idris apabila melihat Kamil masih tidak berganjak.
Lelaki itu sebenarnya tergamam sampaikan dia tidak sedar kawan-kawannya yang lain sudah jauh berlari meninggalkan dia di situ.
Bebayang hitam yang dilihat Kamil itu seolah-olah mempunyai sepasang mata merah menyala seperti api dan berjelaga. Dari satu susuk, ia bercabang-cabang dan mulai merayap bukan saja di permukaan tanah, tetapi juga mencuar-cuar ke atas, meliputi dinding terowong. Kamil yang baru tersedar ditinggalkan keseorangan, terkial-kial hendak melarikan diri. Sayangnya, dia sudah terlambat. Belum sempat Kamil memusingkan tubuh, dia terasa ada sesuatu yang menjalar memasuki seluarnya.
Kamil terjerit-jerit dan menggelinjang tidak tentu hala. Lelaki itu rebah di atas tanah dan menggelepar. Matanya terbelalak menahan sakit yang tidak terperi apabila lubang anusnya dirodok kepala akar hitam itu lalu tembus keluar ke mulut. Kamil ternganga. Rahang pipinya hancur lumat. Kamil terkedang kaku. Mulutnya terperohong, lidahnya terjelir ngeri sekali!

****

LEMAN kini berada di banglo Sir Richard, nun di atas bukit. Banglo berbentuk vernakular kolonial ini digelar The European Bungalow. Rumah-rumah yang dibina di kawasan tinggi di sekitar Sungai Lembing ini adalah kediaman rasmi pegawai-pegawai kanan Inggeris yang bermastautin di situ. Leman dipanggil di situ kerana bersebab. Belum pernah pekerja-pekerja lombong dibenarkan masuk ke residen itu apatah lagi menjejakkan kaki di banglo Sir Richard. Leman antara yang bertuah. Tetapi jemputan Sir Richard itu sudah dihidu niatnya. Leman seboleh-bolehnya tidak mahu pergi.
“Kenapa tuan hendak jumpa dengan saya?”
Leman yang dipanggil masuk ke dalam bilik pejabat lelaki Inggeris bermisai tebal berwarna perang itu, mempamerkan riak tegas. Dia tidak mahu dilihat lemah di hadapan bangsa penjajah.
“Sit…sit…” ujar Sir Richard sambil mengangguk-angguk mempelawa tetamunya duduk di atas kerusi.
Leman mengeluh. Dia tidak teringin walau sedikit pun hendak bersenang-senang di dalam bilik itu sekalipun dihampar dengan permaidani merah. Permainan orang Inggeris, dia sudah dapat baca. Mereka akan berbuat baik sekiranya berhajatkan sesuatu.
“Ada apa tuan panggil saya ke mari?” soal Leman lagi.
Dia tahu lelaki Inggeris itu bukan saja faham soalannya, tetapi mampu juga bertutur dalam bahasa Melayu. Sir Richard tersenyum penuh makna.
“Awak asal Sungai Lembing bukan?” soal Sir Richard, berbasa-basi.
Pelat Inggerisnya tebal, tetapi masih boleh ditangkap jelas maksudnya.
Leman mengangguk. Dia sengaja menayangkan muka bosan. Endah tidak endah saja hendak menjawab.
“Jadi, awak mesti tahu tentang…err… about this pandora’s box,” ujar Sir Richard, tidak tahu istilah dalam bahasa Melayu lalu dia mengambil keluar peti kayu yang dijumpai dua hari lepas dan diletakkan di atas meja.
Leman berasa kurang selesa. Reroma halus di pergelangan tangan serta-merta berdiri tegak. Dia berundur setapak ke belakang.
“Tuan kena pulangkan semula peti ni ke tempat asalnya. Saya tak mahu kawan-kawan saya yang lain pulak mati disebabkan perbuatan tuan!” tegas Leman.
Dia tidak peduli dengan siapa dia sedang berbicara sekarang. Kematian Kamil cukup tragik dan mengerikan. Benarlah pesanan arwah bapanya, petaka akan memburu sekalian penduduk di Sungai Lembing itu sekiranya benda yang ditanam di dalam perut bumi itu ditemui. Apatah lagi kalau jatuh ke tangan orang yang salah. Tragedi yang menimpa arwah Kamil bagaikan petanda amaran yang pertama.
“Stop being superstitious. Dalam ni ada harta karun. Awak mesti tolong saya!”
Satu per satu Sir Richard menyusun ayat. Dia menghampiri Leman dan meraih bahu lelaki itu lalu dibawa dekat ke meja. Leman dipaksa untuk menyentuh peti kayu itu.
“Buka! Buka untuk saya!”
“Kenapa tuan tak buka sendiri?” tukas Leman, berani berbalah.
“Saya tak dapat buka. Orang-orang saya buka pun tak dapat. Sebab tu saya mahu awak yang buka.”
Berderau darah Leman dibuatnya. Jantungnya berdegup laju. Bukan kerana takutkan lelaki Inggeris itu, tetapi dengan apa yang akan terjadi sekiranya dia berjaya membuka peti kayu itu. Jari-jemarinya menggeletar.
Peti kayu berbentuk empat segi tepat itu tidak bermangga. Ironinya, tidak boleh dibuka. Perlahan-lahan Leman menyentuh ukiran halus yang bertakik di permukaan penutup peti itu dengan perasaan libang-libu. Ada 12 baris serangkap. Mirip nazam orang lama. Lekas-lekas Leman mengangkat tangan daripada terus memegang peti kayu itu. Sungguh, dia berasa tidak sedap hati.
Sir Richard yang melihat kedegilan Leman yang enggan membuka peti itu, mulai baran. Dia menjerit memanggil pembantunya. Selang beberapa ketika kemudian, masuk pembantunya itu sambil mengheret Idris.
“Kalau awak tak mahu buka peti ni, i’ll blow a hole right through his head!” ugut Sir Richard lalu mencapai senapang patah dan menghalakan muncungnya betul-betul di atas dahi Idris.
Idris yang berikat kaki dan tangan, sudah pucat lesi. Leman tidak sangka begitu sekali permainan jahat lelaki Inggeris itu. Picu senapang tunggu masa sahaja hendak dilepaskan.
“Baik! Baik! Saya cuba!” ujar Leman, akhirnya mengalah.
Dia menggigil menyentuh peti kayu itu semula. Puas dia membuka penutup peti itu ikut cara biasa, tetapi ternyata ia tidak boleh dibuka. Leman membelek keseluruhan peti kayu itu untuk ke sekian kali. Hanya 12 baris ayat pada permukaan peti kayu saja petunjuk yang dia ada. Apa mungkin ini kuncinya?
“Si lembik mengarang bunga… Mari karang tali rotan… Minta tabik pada semua… Saya nak karang hikayat syaitan.”
Terhenti Leman pada penamat baris keempat. Bulu romanya meremang tidak pasal-pasal. Cuping telinganya terasa kebas dan tebal. Ada dua rangkap lagi yang perlu dilunaskan.

“Sayang jembalang bermata tujuh… Ditukang oleh tukang emas… Jangan dibuka jangan digaduh… Rahsia bergulung disimpan kemas.”
Lapan baris sudah dibaca. Tinggal serangkap lagi untuk melengkapkan nazam 12 baris ayat itu. Leman sudah menggelisah. Tiba-tiba, terasa telapak tangannya panas dan berpijar. Dia mahu mengangkat tangan, tetapi tidak boleh. Jari-jemarinya bagaikan melekat di permukaan peti kayu itu. Leman dirasuk ketakutan.
“Api-api tembaga dusun… Anak Perlin bergelang kaca… Bukan mati kerana racun… Mati terjelir si ekor mata.”
Lambat-lambat Leman menyempurnakan rangkap yang terakhir. Sekonyong-konyong ucapnya, berdetak bunyi peti kayu itu dari dalam seperti terbuka dengan sendiri. Leman segera mengalihkan tangannya. Sir Richard bersinar-sinar matanya apabila melihat peti kayu itu sudah terbuka katupnya.
“Good job! Good job!”
Tugasnya sudah selesai. Leman berlari mendapatkan Idris. Tali yang mengikat kaki dan tangan kawannya itu dileraikan.
“Apa isi dalamnya?” soal Idris, sempat berbisik kepada Leman.
“Aku tak mahu tahu. Mari kita keluar. Sungai Lembing akan dilanda malapetaka. Percayalah cakap aku!”
Leman dan Idris bersegera meninggalkan banglo Sir Richard tanpa dihalang sesiapa. Bayangan hitam bermata merah yang menjalar keluar dari lubang bawah tanah di dalam terowong bijih timah tempoh hari, masih kejap dalam ingatan mereka berdua. Seriau!

AKTIVITI mengorek bijih timah di Sungai Lembing diteruskan seperti hari biasa meskipun masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga. Sudah meniti dari bibir ke bibir, perkhabaran tentang kecelakaan yang menimpa arwah Kamil. Idris dan Leman banyak berdiam dan mengunci mulut. Mereka berdua seboleh-bolehnya tidak mahu memanjang-manjangkan cerita.
“Leman! Deris! Tuan Richard panggil lu olang berdua!” laung Ah Meng agak kuat.
Bunyi dengungan enjin kereta api pengangkut bijih yang beroperasi, mengatasi bunyi yang lain.
Leman dan Idris melompat keluar dari kenderaan transit lalu menghampiri Ah Meng.
“Dia mahu apa lagi?”
“Gua tak tahu,” jawab Ah Meng sambil mengangkat bahu.
Hendak tidak hendak, Idris dan Leman terpaksa menghadap muka lelaki Inggeris itu. Nampak saja kelibat mereka berdua, Sir Richard melambai-lambaikan tangan memanggil.
“Kenapa mereka sandang senjata? Mahu pergi berperang ke?” bisik Idris, perlahan.
Leman juga memandang pelik. Di bahu masing-masing, tersandang senapang patah pam.
“Saya mahu awak berdua ikut saya.”
“Tuan nak bawa kami ke mana?” soal Leman, hairan.
Sir Richard kemudiannya mengunjukkan skrol yang dipegang di tangan. Skrol itu dibuka, menunjukkan sebuah gambar peta. Seperti kartografi lama.
“Awak orang asal sini. Mesti tahu jalan. Awak pandu arah kami.”
Berkerut dahi leman. Dia masih tidak dapat menangkap lagi akan apa yang dimaksudkan dan dihajatkan lelaki Inggeris itu. Bingung dia dibuatnya.
“Ni peta apa?”
“Peta dalam peti yang awak buka semalam. Saya percaya ni peta harta karun.”
Mendengar tentang peti kayu itu, terus saja Leman menggeleng-geleng. Dia tidak mahu bersubahat. Dan sekarang, barulah dia dapat menebak kenapa orang-orang Inggeris itu siap menggalas senjata. Mereka mahu melindungi diri mereka kalau berlaku apa-apa.
“Saya tak mahu terlibat. Kalau tuan nak menempah maut, tuan dengan orang-orang tuan pergi cari sendiri.”
Berani sekali Leman berlawan kata. Sebaliknya, Idris tidak bersetuju dengan bangkangan kawannya itu. Dia berbisik ke cuping telinga Leman.
“Kalau benar peta tu peta harta karun, kenapa tidak kita ikut sekali? Mereka lengkap bersenjata, apa hendak ditakutkan?” bisik Idris, sedikit termakan kata-kata lelaki Inggeris itu. Harta karun, siapa tidak mahu?
“Kau yakin ada harta karun? Orang Inggeris memang itu saja dalam kepala mereka! Kau jangan gelap mata macam mereka!” marah Leman.
“Jadi kalau bukan benda berharga, apa dia?”
Leman tidak memberi sebarang jawapan. Rasa ingin tahu dalam diri Idris kian membuak-buak. Dia bukan tamakkan kekayaan, cuma dia teringin sangat hendak tahu rahsia di sebalik peta itu. Rahsia yang berkurun lama sengaja disembunyikan. Idris nekad. Dia mahu menjadi sebahagian dalam usaha menjejak khazanah itu.
“Saya ikut tuan.”
Leman terkejut apabila Idris tiba-tiba terus menyatakan persetujuan. Sudah hilang akal apa?
“Kau tak mahu tahu punca kematian arwah Karim?” soal Idris, mengumpan.
Leman terdiam. Lama. Akhirnya, lelaki itu akur. Dia bersetuju untuk memimpin perjalanan itu, tetapi bersyarat. Apa saja arahan yang keluar dari mulutnya mesti dipatuhi oleh semua orang. Dia tidak suka dirinya pula yang disuruh-suruh serupa lembu dicucuk hidung.

Peta tadi bertukar tangan. Leman menekuni lama. Berlapis dahinya. Daripada apa yang terlakar di atas lembaran, nyata ia digambarkan lengkap dan cukup rinci sekali.
“Titik mula pencarian kita adalah di tempat peti ni dijumpai,” ujar Leman, menerangkan.
Idris tertelan air liur mendengarnya. Sir Richard menterjemahkan apa yang keluar dari mulut Leman kepada orang-orangnya.
“Maksud kau, kita kena pergi dalam terowong bawah tanah tu semula?” soal Idris, meminta kepastian.
Leman mengiakan. Menelusur terowong bijih timah Sungai Lembing yang panjangnya beratus kilometer itu adalah cabaran getir yang perlu mereka tempuh. Mereka perlu bergerak dalam pasukan.
Misi menjejak pun bermula. Idris dan Leman mengepalai perjalanan diikuti Sir Richard dan dua orang pegawai kanannya. Mereka berlima menggunakan kereta api pengangkut bijih timah untuk masuk ke dalam lalu berhenti di tempat mereka menjumpai peti itu beberapa hari yang lalu. Suasana dalam terowong yang gelap itu hanya diterangi cahaya lampu karbaid yang dipegang Karim dan seorang lagi pegawai Sir Richard.
“Wait! Wait for me!” laung satu suara halus dari jauh.
Sir Richard mendadak berubah air mukanya. Seorang gadis berambut coklat terang, panjang mencecah ke pinggang, memiliki sepasang mata berwarna biru terkocoh-kocoh berlari ke arah mereka. Gadis itu menyandang beg besar selayaknya orang mahu pergi mengembara jauh.
“You are not supposed to be here, Isabelle!” ujar Sir Richard, melengking nadanya.
Terkejut dengan kehadiran anak perempuannya di situ. Isabelle namanya. Berusia 21 tahun.
“But daddy…I want to be a part of your journey. Please…” pujuk Isabelle.
Dia mencuri dengar perbualan ayahnya dengan pegawai-pegawainya semalam tentang perancangan lelaki itu yang mahu menjejak harta karun. Terujanya bukan kepalang.
Sir Richard mengeluh dan menggeleng-geleng.
“You’d better behave yourself!” ujar Sir Richard, memberi peringatan.
Isabelle bersinar-sinar matanya. Dia tersenyum lebar dan sempat lagi mengenyit mata ke arah Idris dan Leman. Leman masam mukanya.
“Belum apa-apa lagi, dah mengundang bala! Huh!” rungut Leman yang menganggap kehadiran gadis itu adalah satu beban.
Perjalanan mereka berenam menaiki kereta api pengangkut bijih itu berhenti tidak jauh dari tempat peti kayu itu ditemui. Mereka terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk masuk ke dalam. Isabelle yang awal tadi menyangka ia satu perjalanan yang menyeronokkan, mulai berasa kurang selesa. Apatah lagi berada di dalam ruang yang sempit, tertutup, gelap dan panas sedemikian rupa. Menyesal pula dia mengikut tadi. Tetapi dek semangatnya yang kuat mahu melihat harta karun dengan mata kepala sendiri, Isabelle cuba melawan segala macam perasaan kurang enak itu.
“Kita dah sampai?” soal Isabelle.
Slanga Inggerisnya tebal kedengaran. Namun, kefasihan anak pengurus syarikat lombong bijih timah itu bertutur dalam bahasa Melayu layak dipuji.
“Ikut dalam peta ni, di sinilah permulaannya,” jawab Leman.
Isabelle selamba mencapai peta dari tangan lelaki itu dan membelek-beleknya. Sir Richard dan dua orang kanannya memandang lubang tanah di hujung kaki mereka.
“Peta ni tak tunjuk arah kiri atau kanan, tapi anak panahnya menunjuk ke bawah. Well now it’s just weird!” ujar Isabelle, lebih banyak bercakap daripada ayahnya.
Idris memandang muka Leman. Kawannya itu saja yang punya jawapan.
“Itu maksudnya, kita kena gali lubang ni.”
Leman melingas matanya mencari batu besar yang runcing bahagian hujungnya di sekitar kawasan itu. Dia mengunjukkan satu kepada Idris.
“Kalau hendak cepat, dua pasang tangan saja tidak cukup,” ujar Leman sinis sambil memandang wajah Sir Richard.
Lelaki Inggeris itu faham sindiran yang ditujukan kepadanya. Dia lantas menyuruh dua orang pegawainya yang lain untuk turut sama menolong Leman dan Idris menggali lubang itu lebih dalam. Lampu karbaid yang dipegang oleh salah seorang lelaki Inggeris tadi bertukar tangan. Isabelle mengambilnya. Gadis itu bersama ayahnya hanya berdiri memerhati.
“Kalau apa yang kita nampak tempoh hari, keluar dari lubang ni bagaimana? Mati kita, Leman!” ujar Idris, sedikit cuak.
“Mulut jangan cabul. Kita turutkan saja kehendak mereka ni. Selesai tugas kita, kita angkat kaki,” ujar Leman, berbisik.
Empat tenaga lelaki mengorek lubang itu hingga mencecah lima kaki kedalamannya. Peluh jantan membasahi satu badan. Muka masing-masing comot-momot, berlumur dengan tanah. Sehinggalah tiba-tiba Leman merasakan ada pergerakan kecil pada plat tanah yang dipijaknya.
“Berhenti! Kau rasa tak apa yang aku rasa?”
Leman menyuruh yang lain untuk berhenti menggali. Idris sudah memandang ke bawah. Mulalah dia menggelabah.

“What’s wrong?” soal Sir Richard yang berada di atas.
Lelaki Inggeris itu tertunduk-tunduk menjenguk ke bawah.
“Keluar dari lubang ni lekas!” jerit Leman, tiba-tiba.
Tetapi belum sempat dia dan lain-lain menyelamatkan diri, keseluruhan kawasan itu tiba-tiba bergoncang kuat. Sir Richard yang berdiri di luar garis pusat lubang itu turut terasa kesannya. Dia pantas meraih pergelangan tangan Isabelle bagi melindungi gadis itu. Bunyi rekahan tanah semakin kuat kedengaran. Tanpa disangka-sangka, dinding terowong di bahagian atas retak lalu batunya menghempap mereka yang berada di dalam lubang yang sedang digali.
“Hey! Watch out!” jerit Isabelle, memberi amaran.
Leman sempat menarik Idris ke tepi. Depan mata mereka semua, sebongkah batu besar tiba-tiba menghentam kepala dua orang pegawai Inggeris. Berderau darah Isabelle. Darah memancut di udara. Isabelle segera berkalih lalu membenamkan muka di dalam pelukan ayahnya.
Sir Richard yang banyak berdiam sejak tadi, turut kehilangan kata-kata. Ternyata, rancangannya yang mahu menjejak harta karun itu bergalang dengan nyawa orang-orangnya sendiri. Keseluruhan badan dua lelaki malang itu ditindih dengan batu besar. Hanya tangan mereka saja yang terkitai-kitai keluar sebelum kejur tidak bergerak, tidak lama selepas itu.
Sangka mereka, segala-galanya sudah berakhir tetapi baru sahaja masing-masing hendak menghela nafas lega, keseluruhan kawasan itu seperti dilanda gempa. Gegaran kuat pada tempat Sir Richard dan Isabelle berdiri menyebabkan mereka anak-beranak turut sama terhunjam ke dalam lubang yang digali.
“Tanah ni tak kukuh. Kita akan jatuh!” laung Leman dan dalam sekelip mata, keempat-empat mereka terjoblos jauh ke dalam.
Isabelle menjerit sekuat hati. Dia terasa tubuhnya seperti ditolak dari pesawat di udara dan tidak ada apa-apa penahan yang boleh dicapai untuk berpaut. Mereka bagaikan di awang-awangan sebelum tubuh masing-masing jatuh terhempap di atas permukaan berpasir.
Idris yang mendarat dalam keadaan terlentang, mengerutkan dahi menahan sakit yang bukan kepalang. Tulang-temulang di bahagian belakang badan terasa seperti bersepai keluar. Perlahan-lahan Idris cuba menggerakkan tubuh dengan mengiring ke kanan terlebih dulu. Baru sedikit beralih ke sisi, berdetap kuat bunyi pinggangnya. Idris mengerang.
“Leman! Kau kat mana? Tolong aku. Aku tak boleh bangun!” Suara Idris bertalun-talun.
Gemanya bertimbal balik. Petanda yang mereka jatuh dalam hingga ke dasar.
“Come! Let me help you.”
Satu tangan terhulur dari atas. Idris memicingkan pandangan. Seperti tidak percaya dia melihat Isabelle, berdiri di hadapannya tanpa mengalami sebarang kecederaan. Sedangkan dia yang lelaki, jatuh serupa nangka busuk. Isabelle menarik kuat tangan Idris, membantu lelaki itu bangun.
“Terima kasih.”
“No problem.”
Idris tercari-cari kelibat Leman. Bukankah mereka berempat jatuh serentak tadi? Mustahil mereka boleh terpisah jauh. Batang hidung Sir Richard pun tiada. Ke mana pergi mereka berdua?
“Kawan awak dan ayah saya ada di sana. Mari ikut saya,” ujar Isabelle sambil berjalan terkedepan.
Idris terkial-kial mengekori. Satu badannya masih terasa sakit-sakit. Mujurlah tidak patah riuk.
Kelihatan Leman dan Sir Richard berdiri saling sebelah-menyebelah sambil mendongak. Tangan kiri Leman memegang peta sementara tangannya yang sebelah lagi memegang lampu karbaid. Idris dan Isabelle menyertai dua orang lelaki itu dan turut melangut, memandang ke arah yang sama.
“Kita sekarang betul-betul berada jauh ke dalam. Mungkin lebih kurang 20 kaki ke bawah,” ujar Leman, menganggar.
“Can we survive?” soal Sir Richard.
“Dinding di sini berbatu-batu. Kita boleh panjat ke atas.”
“Great! But right now, let’s find our treasure.”
Leman menggeleng-geleng. Dalam keadaan genting begini, Sir Richard masih memikirkan harta karun yang entah ada entahkan tidak itu berbanding nyawa sendiri dan orang lain. Leman malas hendak bertekak. Dia berjalan terus. Mereka berempat bergerak mengikut petunjuk peta. Udara yang nipis membuatkan masing-masing sukar hendak bernafas dengan sempurna.
“Busuknya! Bau apa ni, Leman?” soal Idris, berbisik.
Dia mulai tidak sedap hati. Tempat apa yang mereka cerobohi ini?
Leman hanya meletakkan jari telunjuk di atas bibir, mengisyaratkan kawannya itu supaya tidak banyak bertanya perihal yang tidak sepatutnya. Isabelle sudah mengambil sapu tangan dan mengikat separuh bahagian mukanya. Baunya terlalu menusuk hidung. Seperti bau air kencing dan tahi najis kering yang terenap begitu lama.
Keempat-empat mereka berhati-hati mengatur langkah. Dua buah lampu karbaid menerangi perjalanan yang membawa mereka entah ke mana. Suasana begitu senyap sekali. Hanya bunyi tapak kaki dan deru nafas masing-masing kedengaran.
“I saw something over there!” ujar Isabelle, tiba-tiba bersuara.

Dia menuding ke satu arah. Tetapi apa yang terlihatnya tadi, sepantas kilat ghaib. Gadis itu bertindak berani dengan berpecah keluar daripada kumpulan itu dan membawa haluan sendiri.
“Suruh anak tuan tu jangan buat hal,” ujar Leman, naik geram.
Sir Richard tidak punya pilihan selain akur pada bentakan lelaki Melayu itu. Dia pantas mengejar anak daranya. Isabelle tidak puas hati apabila disuruh untuk balik semula dalam kumpulan. Dia menghentak-hentak kaki. Dia yakin sekali melihat sesuatu tadi.
“Buang masa betullah budak ni mengikut!” gumam Leman, cemuih.
“Tapi saya memang nampak ada benda tadi. Seperti bayang-bayang…but it’s moving too fast!” ujar Isabelle, menjelaskan bersungguh-sungguh.
Idris yang mendengar perkataan bayang, sudah tertelan air liur. Dia berharap sangat apa yang keluar dari mulut gadis Inggeris itu tidak betul.
Sedang Isabelle dan Leman berseteru, Sir Richard yang berada di barisan paling belakang, melihat ada bayangan hitam yang menjalar laju ke arah anak daranya. Belum sempat dia hendak bertindak, pergelangan kaki Isabelle dibelit bayang itu lalu jatuh terlentang dan serentak tubuhnya ditarik.
Isabelle menjerit terperanjat. Idris dan Leman bertindak pantas dengan cuba merangkul tangan gadis itu, tetapi pegangan mereka hanya bertahan sekejap saja. Mereka berdua jatuh tertiarap. Benda yang menarik kaki Isabelle lebih kuat berbanding tenaga mereka. Isabelle tergapai-gapai tangannya cuba memaut mana yang sempat, tetapi sia-sia. Batang tubuhnya terus diseret laju!
“Tolong! Tolong saya!” jerit Isabelle, kuat.
Leman, Idris dan Sir Richard tergamam. Dalam kegelapan, suara jeritan gadis Inggeris itu semakin sayup-sayup kedengaran sebelum senyap.
“My daughter… Tolong selamatkan anak saya…” rayu Sir Richard.
Idris dan Leman tidak sampai hati. Benci mana pun mereka terhadap orang Inggeris, mereka masih berhati perut. Isabelle mesti diselamatkan!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/80003/lombong

[SNEAK PEEK] COMEY

9789670954295-medium
EBUKU COMEY Oleh Noor Azlin & Nur Farahida

Sejak tadi, Mek Sara buat hal. Kadang-kadang menangis, kadang-kadang menjerit. Dia nak aku sikatkan rambut dengan sikat pemberian mek, sedangkan sikat tu dah hilang. Puas aku cari sikat dia merata-rata. Walaupun aku cuba ganti dengan sikat baru, yang lebih cantik dan hampir menyerupai sikat yang hilang itu, dia tetap taknak. Aku pun dah mati akal. Mek Fesah pun tak balik-balik lagi. Kata cuti dalam dua-tiga hari aja. Ni dah nak dekat seminggu. Tengah sibuk-sibuk cari sikat ni, tiba-tiba ada orang bagi salam. Macam ramai saja yang datang. Masalahnya sekarang, aku tak boleh tinggalkan Mek Sara sorang-sorang. Kalau ada Mek Fesah, tak adalah jadi macam ni. Suara orang bagi salam makin kuat, Mek Sara pula tak henti-henti menangis.

“Meta deh,” aku cuba memujuk Mek Sara yang kelihatan tidak terurus. Sempat aku intai melalui tingkap siapa yang datang ke rumah. Bunyi loceng di luar pagar bertingkah dengan orang yang bagi salam. Alamak, Tengku Mikail Farizi datang dengan keluarganya! Baru aku teringat yang masa diorang datang haritu, aku janji nak bagi jawapan selepas seminggu. Nak cakap macamana ni? Tak teringat langsung yang aku kena buat keputusan tentang lamaran haritu. Setuju ke tak ya? Umur aku ni dah nak dekat sezen. Kalau tolak, ada lagi ke lamaran yang akan datang?

“Adik Mek, meta deh. Kak Mek tubik meta jah.”

“Kak Mek… jangelah tingga adik.”

“Metalah dik deh, ado ore mari tu. Ingak dok pese Mek, kito keno hormak ko tetamu.”

Tanpa menunggu jawapan Mek Sara, aku capai alat kawalan pintu pagar dan membukanya. Kesian pula tengok diorang tercegat kat luar pagar. Mak Ku dah singsing lengan baju sampai ke atas. Merelip barang kemas dia. Bukak saja pintu kereta, dua buah kereta mewah masuk ke dalam perkarangan rumah. Dari salah satu kereta tu, keluarlah wajah pemuda yang aku pernah gilakan dulu. Tengku Mikail Farizi muncul siap dengan baju Melayu dan bertanjak. Nasib tak bawa keris je. Ni dah macam orang nak kawin terus aje ni. Gerun pula aku tengok.

Mak Ku yang mula-mula melangkah masuk dalam rumah terus peluk aku. Tak bernafas aku kejap. Sempat pula dia berbisik kat telinga aku, kata ada sesi pantun pulak lepas ni. Tak paham aku kenapa Mak Ku ni suka sangat nak berpantun. Dia pernah jadi juara berpantun seluruh Kelantan kut.

“Hmm… mek mitok diri ko dapur meta, nok wak air ko tetamu.” Aku bingkas bangun tetapi sempat dihalang Mak Ku di sebelah. Kaki dia tahan kaki aku pula tu. Nasib tak dibentisnya. Daripada nak bangun, terus tak jadi bangun. Mak Ku kata diorang semua dah tak sabar nak tunggu keputusan aku, terutamanya Tengku Mikail Farizi yang sejak tadi tak berkelip-kelip pandang aku. Naik rimas pulak rasanya.

“Anok mudo pegi mengembaro, keputuse Mek Fesah lagu mano?” Ha, dia dah start acara pantun-pantun ni. Nasiblah dua kerat saja. Tapi dua kerat pun payah juga aku nak menjawabnya.

“Ginilah, Mok Ku, sayo raso…” Belum pun aku habis cakap, Mak Ku dengan riak muka tak puas hati nak juga aku jawab secara berpantun. Dah kenapa agaknya orang tua ni? Kemaruk pantun ke apa? “Jalan-jalan di tepi paya…..”

“Jadi Mek Fesah jawab ya.”

Terpinga-pinga jugak aku masa tu. Belum pun habis pantun aku jawab. Mak Ku terus tarik tangan aku dan tubuhku terasa terhimpit dengan rangkulannya yang agak kuat.

“Betul ko Mek Fesah jawab ya?” Tengku Mikail Farizi tengok betul-betul tepat kat mata aku. Entah sebab apapun aku tak tahu, laju saja aku angguk. Mak Ku terus raup tangan ke muka. Tengku Mikail Farizi pun tersengih suka.

“Tapi sayo tokleh tingga rumoh ni ngo adik sayo Mek Sarah. Sapo-sapo jah nok nikoh ngo sayo keno duduk rumoh ni.”

Tengku Mikail Farizi berfikir agak lama sebelum kata dia tak kisah, asalkan lamarannya diterima. Terkejut juga aku bila dia hulurkan cincin berlian kepada Mak Ku. Eh, aku cuma cakap setuju saja, belum nak kahwin lagi. Mak Ku kata itu cincin tanda jadi dan aku sudah pun dicup oleh Tengku Mikail Farizi. Bergilir-gilir rombongan daripada keturunan diraja tu peluk aku sebagai ucapan tahniah. Siap ada yang cakap aku tak buat pilihan yang salah sebab Tengku Mikail Farizi akan jadi suami yang perfect ten. Sebenarnya aku tak kisah perfect ten ke tak asalkan suami aku tu suami yang soleh dan memahami, dah. Sedap mata memandang tu sebagai satu bonus kat mata aku saja.

“Kiro jadilah deh.” Mak Ku tak semena-mena memeluk aku lagi, entah untuk kali keberapa. Aku layankan saja. Nanti kecik hati pulak orang tua tu. Tengku Mikail Farizi senyum sampai ke telinga. Tapi tiba-tiba terdengar seperti bunyi kaca pecah dari bilik Mek Sara. Mungkin gelas pecah masa dia nak ambik air. Tak fikir apa dah, aku tergesa-gesa ke kamar Mek Sara. Mak Ku dan Tengku Mikail Farizi pun ikut aku. Tak sempat aku nak larang. Sejak dia sakit ni, Mek Sara tak biasa menerima kunjungan orang yang dia tak kenal kecuali bomoh, ustaz dan pawang. Tu pun aku terpaksa pujuk bersungguh-sungguh. Kalau tak, jangan harap dia nak bagi orang datang. Kadang-kadang tu kawan-kawan dia datang pun aku terpaksa suruh balik sebab Mek Sara tak ingat diorang. Kalau datang masa meracau dia, lagi teruk. Sampai saja kat bilik dia, Mek Sara dah terjatuh kat lantai. Dia mengengsot sambil cuba nak kutip kaca-kaca yang bertaburan. Cepat-cepat aku halang, takut jari dia terluka. Tangan Mek Sara menggagau mencari tangan aku. Mata dia berkelip-kelip seperti menahan pedih.

“Bakpo, dik?” Aku angkat tubuhnya perlahan-lahan.

“Mato adik kabur, Kak Mek, adik tok napok. Pah tu adik dahago sangak nok minung air, nok panggil Kak Mek tapi Kak Mek ado tetamu.” Mek Sara teresak-esak menangis. Perlahan aku usap belakangnya sambil membacakan ayat-ayat Quran yang aku ingat serba-sedikit.

“Mek Sara… ni Abe Mikail. Mek Sara tok ingak ko abe doh ko?” Mek Sara memandang muka aku agak lama. Lepas tu dia menggeleng beberapa kali.

“Tok bowok gi berubak ko, Mek Fesah?”

“Doh banyok doh hok kito ikhtiar, Mok Ku, tapi satu pung tok jadi.”

“Mok Ku ado kenal denga sore bomoh ni, terkenal juga orenyo. Banyok jugok hok jadi berubak ngo dio.” Dalam hati aku kata, tak ada salahnya mencuba. Mana tahu kalau Mek Sara boleh sembuh kali ni.

“Sapo dio, Mok Ku?”

“Meta deh… Mok Ku WhatsApp saing Mok Ku meta. Dio la hok bowok Mok Ku gi paka su… su…. eh, maksudnyo, dio la hok bowok Mok Ku gi berubak sano dulu.” Mok Ku mengeluarkan iPhone daripada tas tangannya yang berjenama Louis Vuitton. “Ha dio balah doh.. namo dio Mok Bondo, duduk kat PCB.”

Aku cuba mengingat kembali kat mana aku pernah dengar nama tu. Oh ya, Mak Bonda yang duduk kat banglo mewah tu. Mek pernah bawa aku pergi sana sebab nak tambahkan seri wajah. Mak Bonda…

 

──♦──

 

Puas aku telefon Mek Fesah suruh dia balik, tapi telefon tak pernah berangkat. Buat apa ada telefon kalau malas nak angkat. Masuk harini, dah dua minggu Mek Fesah tak balik-balik. Dalam rekod dia, Mek Fesah cuma bagi nombor telefon tangan saja. Nombor telefon rumah tak ada pulak. Alamat rumah pun dia tak bagi. Aku tak salahkan dia pun. Ni atas sebab kecuaian aku sendiri sebab tak dapat jejak pembantu rumah yang hilang. Dah berapa kali aku geledah bilik Mek Fesah. Tak ada apa yang aku boleh jadikan petunjuk untuk mencari dia. Semua barang dia dah bawa balik. Memang aku perasan juga yang dia bawa beg yang agak besar masa balik kampong haritu. Ada aku tegur yang beg dia tu macam nak balik berbulan-bulan. Mek Fesah sengih saja. Dia kata tu semua hadiah untuk mak dan adik-beradik kat Kuala Krai. Tak ada apa yang mencurigakan masa tu. Dia pun berlagak macam biasa saja. Tak ada barang hilang pun. Rantai emas pemberian Mek masih tersimpan rapi dalam kotak khas. Nak kata dia pencuri, tak ada apa yang hilang, kecuali sikat kesayangan Mek Sara. Tapi dia nak buat apa dengan sikat tu? Bagi aku sikat tu nilainya tak seberapa.

“Kak Mek bilo nok nikoh?”

Aku berhenti menyuap mee goreng. Mek Sara pandang aku tepat pada mata. Lama dia tengok aku. Sebelum ni topik perbualan kami tak pernah sampai ke tahap perkahwinan aku. Pasal aku dan Mikail pun tak pernah aku ceritakan. Belum sampai masanya lagi.

“Mek mesti suko kalu Kak Mek nikoh.”

“Adik suko ko kalu Kak Mek nikoh?” Mungkin ini soalan yang terbaik untuk aku tahu apa dalam hatinya. Mek Sara dah lama terlantar sakit dan tak ada orang yang sanggup nak jaga dia. Bakal suami aku nanti kena betul-betul faham yang aku ada tanggungjawab untuk jaga Mek Sara sampai dia sembuh. Dah bertahun-tahun aku jaga dia. Takkan aku nak lupa pesanan arwah Mek semata-mata sebab nak kahwin. Kali ni aku nekad nak bincangkan soal Mek Sara dengan lebih serius. Tengku Mikail Farizi kena tahu yang aku tak main-main bila aku buat keputusan untuk mencari suami yang sanggup tinggal di sini bersama-sama untuk jaga Mek Sara.

“Adik suko, Kak Mek. Nikohlah denga ore molek. Hok bulih jago Kak Mek. Tokke Kak Mek nok jago adik sapa bilo-bilo.”

Sebak hati aku dengar kata-kata Mek Sara. “Kak Mek nok nikoh ngo Abe Mikail. Bule depe. Kito keno panggil Cik Nab mari sini mula, ado ore nok tengok Adik Mek. Muking Kak Mek keno wak persiape untuk kawin tu.”

Dia angguk tapi aku tengok muka dia berseri-seri. “Sekali-sekalo Kak Mek keno fikir pasa diri-sediri. Kak Mek keno cari kebahagie utuk diri Kak Mek.” Dalam keadaan sakit-sakit pun, dia masih fikirkan untuk diri aku. Mek Sara memang seorang adik yang baik.

“Kau Kak Mek nikoh ngo Abe Mikail pung, Kak Mek keno duduk sini jugok. Abe Mikail pung setuju. Dio pehe keadae adik.” Aku menyapukan bedak di mukanya. Adik Mek memang suka haruman Baby Johnson. Dia pun suka sangat kalau aku letakkan bunga kemboja dalam bilik. Haruman kemboja mengingatkan kami pada Mek yang dah tak ada. Kalau dulu, Mek suka tabur bunga kemboja atas katil. Sampai satu bilik berbau kemboja. Mek pun tak pernah pakai minyak wangi mahal-mahal walaupun dia berkemampuan. Cukup sekadar kemboja dan renjisan air mawar, itulah pewangi semulajadi Mek. Dulu masa kecik, kami berlumba-lumba kutip bunga kemboja untuk Mek. Siapa yang paling banyak akan dapat hadiah istimewa. Dan biasanya Mek memang akan bagi hadiah spesel. Semua orang pun dapat. Bunga kemboja tu Mek akan taburkan dalam bilik kami.

“Semale Mek maghi.”

Terkejut aku dibuatnya, nak terpelanting bedak Baby Johnson yang aku tengah pegang. “Adik mipi kut. Teringak sangak ko Mek.” Aku berlagak macam biasa.

“Dok… Mek maghi duduk dekak adik. Dia tolong sisir rambut adik mace dulu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79145/comey

REVIEW MANTERA HITAM

9789831244067-medium
MANTERA HITAM OLEH SERUNAI FAQIR

SPIRIT OF THE COIN… sebuah permainan mistik yang menggunakan duit syiling untuk menyeru roh orang yang sudah mati. Kehadiran roh akan diketahui apabila duit syiling yang digunakan bergerak sendiri.

Pada suatu malam dalam perkhemahan di tepi sungai, Nik mengajak Hizal dan Tunku bermain spirit of the coin. Perasaan takut dan teruja saling berbaur. Walaupun Hizal dan Tunku memperlekehkannya, namun naluri ingin tahu lebih menguasai.

Namun apabila bulu tengkuk meremang, mereka saling berpandangan. Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Bau kemenyan menyantak ke hidung. Gerimis mula menerjah. Akibatnya, mereka direnggut ke alam yang tidak pernah dialami selama ini. Perbuatan mereka itu mengundang kecelakaan, menjemput malapetaka yang tiada berkesudahan.


Sebuah novel yang saya kira sedikit berat kepada pembaca. Novel berkisarkan 3 orang  sahabat bermula bermain permainan Spirit of The Coin. Asalnya syiling itu kepunyaan ayah Nik, namun mereka telah menyeru roh (Marcel) tersebut secara tidak sengaja. Ia adalah sebuah novel mengenai alam ghaib dan alam manusia. Jika anda seorang yang minat berfikir tentang jalan cerita dan meminati cerita – cerita berbentuk mistik. Ini adalah cerita yang sesuai dengan anda!

Ceritanya, mereka yang bermain permainan tersebut, secara tidak sengaja mereka telah membebaskan Marcel seekor jin yang telah lama dikurung sejak tahun 1511. Malangnya setelah itu, banyak perkara- perkara yang terjadi kepada mereka. Contoh yang berlaku Nik dirasuk oleh jin saka keturunan  keluarganya. Maka bermulalah perang antara jin di alam ghaib yang ingin mendapatkan kitab ditangan Jin Namtar untuk menguasai dunia. Bagi menyelamatkan keadaan, mereka bertiga dibantu oleh Suraya dan Tengku Fauzi perlu masuk kembali ke alam ghaib tersebut dan merampas kembali kitab itu sebelum terjatuh ke tangan Jin Kafir. Mereka juga perlu menyelamatkan 2 orang yang tersesat dalam dunia tersebut.

Berjayakah misi yang berbahaya mereka ini? Dapatkah Nik dipulihkan dan apakah perang di alam ghaib ini akan berakhir.. Dapatkan ebuku penuh di e- sentral bagi mengetahui pengakhirannya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74006/mantera-hitam

 

REVIEW MISTERI LIF BERHANTU

9789674314330-medium
EBUKU MISTERI LIF BERHANTU OLEH PHAKINAI

Keadaan di fakulti perubatan itu begitu menyeramkan. Sebagai pustakawan yang baru bertugas di fakulti itu, Paeng rasa terganggu. Tinggal bersendirian di rumah yang terpencil, ditambah lagi dengan suasana fakulti perubatan yang sunyi dan menyeramkan, membuat Paeng semakin diburu ketakutan. Rasa takut itu sebenarnya tidak seberapa. Kenyataan bahawa lif di dalam bangunan universiti tempat dia bertugas berhantu, lebih menakutkan lagi! Suatu pembunuhan kejam dikatakan pernah berlaku di dalam lif itu. Paeng pada mulanya tidak percaya, sehinggalah dia terserempak sendiri, beberapa kali, dengan roh yang mengganggu. Gadis itu cuba menyelongkar rahsia, tanpa menyedari bahawa dia yang sebenarnya menjadi buruan…


Sasi merupakan seorang pelajar perubatan yang hampir ditendang keluar dari fakulti perubatan kerana keputusannya. Dia juga adalah mangsa yang dibunuh dan rohnya tidak tenteram sehingga mayatnya disempurnakan dengan betul. Paeng adalah seorang yang suka mengetahui mengenai hal orang lain yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

Konflik dalam jalan cerita ini membawa kita kepada pembunuh sebenar Sasi , Dan ini membuatkan kita hendak mengetahui siapakah dalang disebalik pembunuhan kejam Sasi. Dalam novel ini juga, banyak watak- watak yang dicipta oleh penulis tidak banyak dan ini membuatkan jalan cerita itu lebih jelas dan teratur.

Sebenarnya , admin tak minat cerita seram, tetapi kerana flow dan jalan ceritanya nampak begitu tersusun, admin baca dari muka ke muka untuk mengetahui cerita sebenar. Yang paling menarik sekali dalam novel ini, pembunuhan balas dendam terhadap orang yang bersubahat dengan pembunuhan Sasi diceritakan dengan penuh jijik dan memualkan.

Dapatkan Paeng memenuhi permintaan Sasi? Jika Paeng lambat, maka dialah mangsa seterusnya!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66680/misteri-lif-berhantu

 

 

[SNEAK PEEK] RENGSA

9789831249901-medium
EBUKU Rengsa oleh Zharulnizam Shah Z. A

 

BUDIN berjalan mengekori orang tua berjubah putih. Bau wangi menusuk rongga hidungnya. Budin cuba mengingati sesuatu. Rasanya dia pernah ke sini. Nanar, kosong, dan bisu. Ya! Ingatannya telah menemukan apa yang cuba digali. Di sinilah pernah dibawa untuk melihat pelaksanaan mistik ilmu hitam yang dihantar kepada arwah ibu dan ayahnya. Tapi itu dulu. Kini, apa pula puncanya dia dibawa ke sini? Jika pada peringkat awal dahulu dia mengikut sahaja. Kali ini pertimbangan akalnya lebih cepat mahu menyoal. Apatah lagi sebelum ini pun orang tua ini pernah berdialog dengannya. “Kita nak ke mana ini Tuk?” soal Budin. “Malam ini kau akan tahu segala rahsia.” Tenang dan bersahaja jawapan orang tua berjubah putih. “Rahsia apa Tuk?” soal Budin lagi. “Rahsia orang yang menganiaya arwah ibu dan ayahmu,” jawab orang tua berjubah putih. “Sakit dia tu boleh baik ke Tuk?” soal Budin. Langkahnya masih diatur kemas. “Hanya ALLAH yang dapat menjawab soalanmu ini.” Orang tua berjubah putih memandang ke arah Budin seperti pandangan kasih seorang datuk kepada cucunya. “Kalau dia dah macam tu, senanglah saya nak bunuh dia ya Tuk.” Budin rancak membongkar niat yang terpasak di hatinya. Semangatnya berkobar-kobar. Anehnya bersama orang tua ini, dia tidak gagap sama sekali. Susunan ayatnya juga kemas dan lancar. Lelaki berjubah putih itu menghentikan langkahnya apabila mendengar bicara Budin. Budin juga turut berhenti. Dia tidak berani menentang wajah orang tua itu. Sebaliknya tunduk ke bumi yang diliputi daun-daun kering. “Dendam itu kerja syaitan. ALLAH lebih berhak membalas setiap perbuatan,” nasihat orang tua berjubah putih. “Tapi dia bunuh ibu dan ayah saya.” Budin tidak dapat mengawal emosinya. Jika beberapa jam yang lalu dia melihat Mak Jeton menangis kerana Mazlan kini dia pula menangis mengenangkan ibu dan ayahnya. Meski ini bukan kali pertama air matanya tumpah. “Dia sedang menanggung apa yang dilakukan sebelum ini.” Orang tua berjubah putih bertutur yakin sambil tangan-nya mengusap rambut Budin. “Tapi nanti kalau orang ubatkan dia, dia boleh baik. Mak dan ayah saya tak dapat balik lagi.” Budin seperti kecewa. “Manusia hanya boleh berusaha tetapi selagi ALLAH tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku,” tegas orang tua berjubah putih

“Yalah, tapi dia boleh sembuhkan?” Berulang kenyataan yang sama oleh Budin. Hakikatnya Budin cuba mencari keadilan untuk ibu dan ayahnya. “Masih terlalu mentah kau orang muda. Selagi ALLAH tidak mengizinkan, ia tidak akan berlaku. Peganglah kata-kata ini, ALLAH yang berkuasa mentadbir segala-galanya,” jawab orang tua berjubah putih. Budin diam. Orang tua berjubah putih meneruskan langkahnya. Budin cepat-cepat mengekorinya. “Kau akan saksikan segala-galanya,” beritahu orang tua berjubah putih. “Teruk ke penyakit dia tu Tuk?” soal Budin. “Dia tidak sakit, tapi syaitan hidup dalam dirinya,” jawab orang tua berjubah putih sambil berhenti di bawah sebatang pokok kayu yang sudah tidak berdaun. “Kau boleh pergi melihatnya pada bila-bila masa. Dia sama sekali tidak boleh mencederakan dirimu selagi kau membaca al-Falaq dan an-Naas. Atau kau boleh juga mengamalkan ayatul kursi setiap kali berdepan dengannya,” pesan orang tua berjubah putih. Budin merantai sungguh-sungguh pesanan itu di benaknya. Tiga surah al-Quran itu sangat bernilai ketika berhadapan dengan Mazlan. “Syaitan yang hidup pada dia tu, boleh mati tak Tuk?” soal Budin. “ALLAH Yang Maha Berkuasa,” jawab orang tua berjubah putih. “Tapi orang tu boleh matikan Tuk,” soal Budin. “Tentu. Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati,” jawab orang tua berjubah putih. “Habis macam mana syaitan yang ada kat dia Tuk, nanti dia mati?” soal Budin. Orang tua tersenyum nipis mendengar pertanyaan Budin. “Dia akan mati. Syaitan hanya menumpang di tubuh manusia,” jawab orang tua berjubah putih. “Kalau syaitan tu dapat dibuang daripadanya, dia boleh baikkah Tuk?” soal Budin. “Tentu!” Orang tua itu menjawab lancar. “Ada ke orang yang dapat halau syaitan itu Tuk?” soal Budin. “Jika diizinkan ALLAH, ada,” jawab orang tua berjubah putih. “Siapa?” Dada Budin berdebar kencang. Dia mahu Mazlan melalui derita yang panjang. “Jika diizinkan ALLAH, hanya kau sahaja yang dapat membantunya,” tegas orang tua berjubah putih. Kata-kata itu benar-benar membuatkan Budin ter-peranjat. Mengapa dirinya terpilih. Maha Kaya dan Maha Mengetahui ALLAH menyusun segala kejadian dan suratan.

Hatinya berbisik jika berpuluh ribu sekalipun ditawarkan kepadanya, dia tidak mahu Mazlan sembuh. Biarlah masa menjawab segalanya. Dalam samar-samar cahaya bulan yang pucat Budin mengangguk kepalanya. Perjalanan mereka semakin hampir. Angin malam bertiup garang. Kedinginan mula mencengkam rasa. Budin dapat merasakan sedikit kelainan. Namun, hatinya tiada gementar kerana dia yakin lelaki berjubah putih ini dapat melindunginya. Dia masih ingat bagaimana pertarungan lelaki ini dengan patung bertubuh bayi dan berkepala ular di halaman rumahnya tidak lama dulu. “Apa yang kau saksikan seperti biasa, tidak boleh disampaikan kepada sesiapa pun di atas muka bumi ini!” Orang tua berjubah putih memberi peringatan seperti biasa setiap kali pertemuan dengan Budin. Sayup-sayup dari kejauhan terdengar anjing melolong panjang. Bunyinya seperti menyalak hantu. Itulah anjing Ah Meng, tauke kebun tembikai. Rumah yang ditujunya di kawasan pedalaman. Budin mempercepatkan langkahnya. Derap daun-daun kering menjadi irama tersendiri. “Syaitan ini boleh usik kita tak Tuk?” soal Budin. “Tidak ada kuasa yang lebih agung daripada kuasa ALLAH Taala,” jawab orang tua berjubah putih.  Mereka sudah pun sampai ke muka pintu pondok. Suasana nanar, sunyi, dan kosong. Budin menekup hidungnya. Bau busuk. Dia cuba mengingatkan saat dia melihat Mazlan tadi. Baunya sama dan cukup memualkan tekak. Sekujur tubuh seorang wanita tua yang tinggal rangka dan berulat di situ. Entah dari mana tiba-tiba dia melihat Mazlan datang dan duduk berhampiran wanita tua itu. Budin memerhatikannya dengan tekun sambil telapak tangan kanannya menutup lubang hidung. Orang tua berjubah putih tetap tenang, seperti tidak terhidu bau yang memualkan tekak itu. Tangannya seperti biasa menggerakkan biji-biji tasbih. Budin dapat mendengar dialog yang diutarakan Mazlan. Matanya sedikit terbeliak mendengar permintaan Mazlan yang mahukan Budin juga ‘dituju’ seperti arwah ayah dan ibunya. “Pusatkan hati dan fikir kepada ALLAH. Bawa kesabaran dalam diri.” Orang tua berjubah putih seperti dapat membaca hatinya. Budin menggigil menahan marah apabila mengetahui maksud Mazlan ke sini. Selepas tutur orang tua berjubah putih itu dia cepat-cepat mengingati ALLAH dan menepis nilai-nilai dendam yang kembali bercambah di ladang rasa. Dia melihat dengan nyata Mazlan tidak ubah bercakap dengan mayat. Wanita tua seperti nenek kebayan itu kelihatannya seperti tidak bernyawa, cuma ada benda asing yang sukar, digambarkan dengan kata-kata. Budin juga nampak seekor serangga seperti kumbang. Cuma saiznya kecil sedikit daripada kumbang, merayap di uraf saraf yang dipenuhi bintil-bintil ulat yang tidak terhitung di bahagian kepala wanita tua itu. Di buntut serangga itu ada api kecil. Berlegar-legar dan berpusing-pusing dalam tengkorak kepala wanita tua itu. Cukup menakjubkan dan menggerunkan. Cuma sayangnya Mazlan tidak nampak apa yang mereka lihat. Angin bertiup semakin garang. Tiba-tiba wanita tua yang terbaring seperti mayat itu bangkit perlahan-lahan. Dia bertutur dengan perlahan tetapi biji butirnya masih dapat difahami oleh Budin. Orang tua berjubah putih sekadar mengurut janggutnya yang segenggam tangan dan jemari tangan kanannya masih menggentel tasbih klasik.

Budin mendengar dengan berhati-hati dan cuba menangkap maksud wanita tua itu. Dadanya berdebar. “Dia sebenarnya tahu yang kau mengetahui rahsia songsang perbuatannya kepada orang tuamu.” Tenang tutur orang tua berjubah putih sambil matanya tepat menikam anak mata Budin. “Macam mana dia boleh tahu, Tuk?” soal Budin. “Kau sendiri yang menunjukkan kepadanya yang kau mengetahui rahsia itu,” jelas orang tua berjubah putih. “Tapi saya tak pernah beritahu dia Tuk.” Budin ber-sungguh-sungguh, orang tua berjubah putih dapat membaca kejujurannya. “Dengan orang lain pun saya tak beritahu Tuk.” Budin menyambung lagi apabila melihatkan orang tua itu masih belum memberikan jawapan. “Menunjukkan sesuatu tidak semestinya dengan kata-kata. Dia membacanya melalui perilaku dan tindakanmu,” jawab orang tua berjubah putih.  Budin memahaminya. Nyatalah tindakan dia menunggu Mazlan dengan parang di kedai Pak Yahya tempoh hari sebenarnya membongkar rahsia yang diketahuinya kepada Mazlan. Bukan Mazlan sahaja yang mencurigai malahan ramai lagi mereka yang berada di kedai itu juga menyimpulkan pemikiran sedemikian. Orang seperti Cikgu Sidek, Ustaz Zukri, dan Pak Yahya juga pernah mengungkapkan hal ini. Tambahan pula, mereka mengetahui keadaan dan cara kematian arwah ayah dan ibunya. Budin menumpukan kembali perhatiannya kepada drama mistik yang sedang ditontonnya. Ada dialog lanjutan tentang niat Mazlan tadi dan sesekali orang tua itu ketawa berdekah, cukup menakutkan. Tawanya membuatkan ulat-ulat yang banyak itu berjatuhan di atas lantai. Budin berfikir sendiri, mengapakah Mazlan tidak nampak apa yang dilihatnya. Begitulah kalau hidup lebih percayakan kuasa makhluk daripada kuasa ALLAH SWT. Mazlan kelihatan ketakutan seperti seorang murid yang menunggu hukuman rotan daripada guru. Serangga kecil yang tadinya merayap perlahan di sekitar kepalanya kini berkisar semakin laju turun ke dada. Meniti ke tulang rangka. Dari satu tingkat ke satu tingkat. Kemudian menyelinap ke hati orang tua itu. “Nenek tu dah mati ke Tuk?” soal Budin sambil matanya tetap terfokus ke tubuh wanita tua itu. “Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui,’’ jawab orang tua berjubah putih. “Kumbang itu sebenarnya apa Tuk?” Budin semakin ghairah untuk mengetahui apakah sebenarnya yang sedang ditontonnya itu. “Itu bukan kumbang tapi jelmaan syaitan dalam bentuk serangga. Ingatlah syaitan boleh menyerupai sesiapa sahaja kecuali junjungan kita Muhammad SAW,” tegas orang tua berjubah putih. Budin terasa seperti mendapat satu ilmu baru. Mazlan benar-benar seperti lembu yang diikat hidung. Apabila orang tua itu semakin rapat dengannya terdengarlah lolongan panjang anjing yang cukup menyeramkan. Detik-detik selanjutnya lebih cepat menyampaikan maksud orang tua yang seperti mayat mahu memindahka apa yang ada dalam tubuhnya kepada Mazlan. Mazlan dianggap pewaris yang akan meneruskan jelmaan yang berpuluh tahun dipeliharanya, yang menjadi sahabatnya sekian lama.  Serangga itu keluar dari arah hati, meneruskan rayapan ke hujung kaki berpusing naik ke pangkal paha kemudian turun semula ke kaki kanan. Gerakannya lancar dan naik semula ke bahagian dada berhenti seketika di situ. Bergerak semula ke bahagian kepala dan berputar-putar di situ agak lama sebelum mencari laluan di rongga hidung. Akhirnya, menemui jalan keluar dan terbang pantas lalu singgah di wajah Mazlan, kemudian menyelinap masuk ke lubang hidungnya. Segalanya berlaku begitu pantas seperti menyaksikan satu kemalangan jalan raya. Usai segalanya. Mazlan terpinga-pinga ketakutan. Budin semakin memahami apa yang berlaku sebenarnya ke atas Mazlan. Kesimpulannya, Mazlan bukanlah menuntut tetapi dia dipergunakan oleh wanita tua itu sebagai tempat melepaskan sesak. Serta-merta juga wanita tua itu rebah sejurus selepas serangga itu keluar daripada hidungnya. Budin melihat wajah Mazlan ketakutan. Tubuh wanita tua itu kelihatan telah reput. Bau busuk lebih pantas menusuk hidung dan baunya jauh lebih menyengat berbanding tadi. Orang tua berjubah putih sudah memulakan langkah meninggalkan rumah usang ini. Tanpa banyak soal Budin mengekorinya. Langkahnya seperti biasa, tenang. Geraknya tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Sesudah melewati kawasan hutan, akhirnya mereka berhenti di satu kawasan lapang. Bumi seperti beralas permaidani putih. Orang tua berjubah putih perlahan-lahan duduk bersila. Budin masih berdiri. Rasa loya di tekaknya sudah mula pudar. Dia memandang orang tua berjubah putih yang bersila di hadapannya itu. Orang tua berjubah putih mengisyaratkan agar Budin juga bersila. “Pertamanya, hasil perjalanan kita tadi berlaku dengan izin ALLAH Yang Maha Esa. Pentadbir tujuh lapis langit, tujuh lapis bumi,” ujar orang tua berjubah putih. Budin mendengar dengan sungguh-sungguh. Ditatapnya wajah orang tua ini sepenuh hati, seperti ada ketenangan menyelinap di sanubari. “Ingatlah, tiada kuasa yang boleh menewaskan ALLAH. Jangan sesekali bersahabat dengan  syaitan. Syaitanlah musuh kita yang paling utama,” tegas orang tua berjubah putih. “Kumbang itu tadi syaitanlah ya Tuk?” Soalan spontan oleh Budin. “Ya! Tapi tidak semua binatang semestinya syaitan.” Orang tua berjubah putih terus menurunkan ilmu berasaskan al-Quran dan sunah. “Syaitan boleh jadi binatang lain tak Tuk?” soal Budin lagi. “Boleh. Ular dan apa sahaja binatang lain. Macam Tuk katakan tadi syaitan boleh menyerupai sesiapa sahaja kecuali penghulu kita Nabi Muhammad SAW,” tegas orang tua berjubah putih. “Kalau syaitan itu, dia nak rupa macam saya boleh tak Tuk?” soal Budin. “Boleh! Lebih daripada itu pun boleh. Dia boleh jadi seperti orang alim, peminta sedekah, atau apa saja.” Orang tua berjubah putih berhenti seketika memberi penerangan seakan memberi peluang kepada Budin untuk menyoalnya lagi. Budin diam berfikir.

“Baik. Tuk tidak mahu Budin terus menghidupkan dendam lagi kepada dia,” ujar orang tua berjubah putih.  Budin menundukkan wajahnya ke bumi. Teringat arwah ibu dan ayahnya dan sumpah yang dilafazkan di kubur mereka. “Tapi saya dah sumpah dengan ibu dan ayah saya.” Budin membela niatnya. Orang tua berjubah putih melemparkan senyuman tipis kepada Budin. “Sumpah mesti ada asasnya. Jika bersumpah dengan nama ALLAH terhadap perkara yang tidak diredai, tidak dikira sumpah,” jawab orang tua berjubah putih. Budin mati akal untuk terus menegakkan niatnya. Dia akur dengan apa yang dikatakan oleh orang tua berjubah putih. “Selepas ini janganlah kau bersumpah lagi. Lebih baik berdoa daripada bersumpah.” Orang tua berjubah putih merenung Budin. “Yakinlah ALLAH menerima doamu. Orang itu sekarang sedang menanggung apa yang dilakukannya. Lambat-laun semua orang di tempatmu akan mengetahui dialah orang yang menganiaya ibu dan ayahmu,” ujar orang tua berjubah putih. Budin separuh terperanjat. Dia mula memikirkan bagai-mana mungkin orang kampungnya akan tahu Mazlan yang bertanggungjawb atas segala yang berlaku. “Macam mana pula orang lain akan tahu Tuk.” Budin tidak dapat menyembunyikan apa yang terkunci di fikirannya. “Kau lihatlah sendiri nanti. Pada bila-bila masa kau boleh melihat dan menghampirinya. Dia sama sekali tidak akan dapat mengapa-apakanmu. Ingatlah makhluk sesama makhluk  tidak boleh mendatangkan manfaat dan mudarat. Hanya ALLAH sahaja yang boleh melakukan itu semua,” nasihat orang tua berjubah putih. “Satu lagi jangan kau abaikan surah yang Tuk pesankan tadi setiap kali berhadapan dengan dia. Ingat tak?” Orang tua berjubah putih ingin kepastian daripada Budin.  Budin mengangguk. “Surah apa?” Orang tua berjubah putih ingin menguji daya ingatan Budin. “Al-Falaq, an-Naas dan ayatul kursi.” Budin menjawab agak lambat tetapi tepat.  Orang tua berjubah putih tersenyum memandangnya.  “Ya! Bagus. Tuk juga hendak ingatkan, pertemuan kita ini seperti biasa tidak boleh kau ceriatakn pada sesiapa,” ujar  orang tua berjubah putih. Ingatan ini berbentuk ulangan.  Budin maklum tentang itu. “Selepas ini kita boleh berjumpa lagi tak Tuk?” pertanyaan yang mengandungi harapan oleh Budin. Wajah orang tua berjubah putih sedikit berubah. Seperti ada kesayuan. “Hanya ALLAH yang tahu tapi selepas ini jika kita bertemu lagi bukan dalam keadaan seperti ini,” ujar orang tua berjubah putih

Degupan jantung Budin kencang. Dia mengangkat wajahnya  selepas menunduk ke hamparan putih bumi dan dilihatnya orang tua berjubah putih itu sudah bergerak tiga meter darinya dengan gerakan jalan yang mengundur. Tangannya dilambai-lambaikan ke arah Budin dan dia semakin jauh. Budin membalas lambaian sambil dengan spontan bangun dan mengejarnya. Namun, tidak terkejar. Orang tua itu semakin jauh dan menghilang ditelan kabus putih nun jauh di sana. Budin masih melambaikan tangannya. Tiba-tiba dia tersedar dari tidur kerana kakinya terasa sakit akibat tersepak anak tangga yang pertama di anjung rumah.  Budin bangun terkial-kial lalu menggosok-gosok mata-nya. Bau haruman saat kehadiaran orang tua berjubah putih itu tadi masih terhidu. Budin duduk di anak tangga cuba mengingatkan sesuatu. Ya! Aku baru pulang dari rumah Mazlan dan tertidur di anjung rumah ini kerana kepenatan. Dendam kepada Mazlan tidak boleh disempurnakan. Ya! ALLAH telah membalas segalanya. Ah! Biarkanlah segalanya berlalu dimamah waktu. ALLAH Maha Adil kepada setiap hamba-NYA dan takdir tidak pernah menipu sesiapa. Budin mendongak ke langit melihat bintang-bintang yang bertaburan. Dari kejauhan terdengar kokok ayam jantan seperti mengejutkan penghuni desa agar bangkit untuk bersolat. Budin berdiri dan menggeliat. Hatinya dirasakan tenang dan dia mahu ke Masjid Jamek Lubuk Batu. Beberapa langkah dia menuruni tangga tiba-tiba hatinya berbisik, menangkah Akob dalam perlumbaan dengan Mat Nor malam tadi?

****

IMAM Osman tenang walaupun kepiluan itu tersendat di jiwanya. Sanak saudara, rakan taulan, jiran-jirannya mahupun kenalan arwah Akob turut hadir memberikan penghormatan terakhir. Kudin dan Bujal membisu dalam kelompok orang ramai yang hadir di rumah Imam Osman. Menyimpan rasa bersalah dan ketakutan. Tersimpul juga rasa marah dan sekelumit dendam kepada Mat Nor. Kudin menggenggam wang yang diberikan oleh Akob malam tadi. RM300 bukanlah angka yang kecil bagi pekerja kilang seperti mereka. Dia sudah merangka wang itu akan dimasukkan ke dalam tabung yang diletakkan di bahagian pintu hadapan rumah Imam Osman. Rasanya itulah tindakan paling wajar, memulangkan semula wang itu kepada yang berhak. Itu lebih baik daripada menyerahkan kepada Mat Nor. Perasaan bersalah dan takut menghantui mereka kerana membiarkan Akob seorang diri tergolek di bahu jalan. Apatah lagi berita kematian Akob telah menjadi bahan siasatan polis. Jika siasatan itu berjaya dilaksanakan mereka berdua juga terbabit menanggung natijahnya. Mak Cik Fatimah pengsan apabila mendapat berita itu. Keadaannya terlalu lemah dan masih terbaring di bilik ditemani sanak saudara dan rakan ‘Pakatan Yasin’ kampungnya yang tidak putus-putus cuba menenteramkannya. Satu pemergian yang cukup menyedihkan hati seorang ibu. Mati sia-sia dalam satu perlumbaan haram. Seburuk mana pun perilaku Akob, dia tetap anak kandungnya yang lahir dari perutnya. Rubiah juga menangis. Matanya bengkak. Sedari pagi apabila menerima berita pilu itu dia sudah tidak dapat mengawal perasaannya. Teringat hari-hari terakhir arwah abangnya bergurau dengan kata-kata yang dianggap ‘buang tabiat’. Menurut laporan yang diterima, jenazah Akob ditemui oleh seorang pensyarah UiTM. Rubiah sendiri pun menge-nalinya, iaitu Profesor Madya Haji Ismad Shah. Beliau pernah mengajarnya sewaktu tahun satu dahulu. Mayat Akob ditemui di bahu jalan berhampiran tebing berbatu granit. Kaki sebelah kiri dihempap oleh motosikalnya. Kematian Akob berpunca daripada kecederaan parah di kepalanya. Berdasarkan kedudukannya jatuh, pihak polis percaya hal ini disebabkan laluan sebelah kanannya diganggu ataupun dihimpit sesuatu. Belum dapat dipastikan sama ada kereta atau motosikal. Terdapat beberapa bahan bukti yang ditemui. Namun, segalanya masih dalam siasatan. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Lambat-laun akan dikesan juga, bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan sehelai lalang. Jenazah Akob sedang dimandikan oleh beberapa orang sepupunya dan diketuai oleh Ustaz Zukri. Tidak ada sebarang keanehan. Segalanya berjalan lancar. Mereka bertungkus-lumus menunaikan fardu kifayah. Bahagian hidung dan telinganya sudah disumbat kapas. Kecederaan di kepala yang dialami menyebabkan darah masih mengalir. Sehingga segalanya selesai, jenazah itu dikafankan penuh tertib. Mereka me-lakukan semuanya dengan lembut, sopan, dan sabar. Kemudian jenazah itu diletakkan di ruang tamu. Sempurna untuk dikebumikan. Saat pilu memuncak. Adik-beradik, sanak saudara, dan rakan taulan diberi peluang terakhir untuk melihat sebelum wajahnya ditutup sepenuhnya. Rubiah menangis semahunya. Dikesat air matanya dengan sapu tangan yang sentiasa dipegangnya. Dia mahu mencium jenazah abangnya mendahului ibunya, Fatimah.  Imam Osman setakat berdiri di bahagian kepala Akob. Adat hidup temunya kematian. Ini waktu Akob, sampai masa nanti dia sendiri pun akan kembali juga kepada ALLAH. Dia reda atas segala ketentuan yang disuratkan. Cuma hatinya berdoa jika benar Akob mati akibat perbuatan jahat, moga-moga orang yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Mak Cik Fatimah pengsan lagi selepas mengucup dahi jenazah Akob. Dia dipapah oleh kaum ibu ke bilik. Seterusnya giliran saudara-mara mengerumuni jenazah Akob semakin ramai yang naik ke ruang tamu. Tidak terkecuali Kudin dan Bujal. Mereka tidaklah mengucup wajah Akob, sekadar memerhatinya. Tanpa disedari Kudin dan Bujal sama-sama berasa ada air panas menakung di mata. Semakin berat kelopak mata. Kedua-duanya cepat menghabiskan takungan air mata itu dengan jemari. Terselit juga rasa bersalah dalam diri mereka. Mereka berdualah orang pertama yang menatap wajah Akob selepas hilang nyawa. Hati mereka berbelah bahagi sekiranya laporan polis dibuat, Mat Nor pasti ditangkap tetapi mereka juga terbabit sama. Satu bahagian selesai. Jenazah Akob telah ditutup dan pengusung perlahan-lahan diangkat ke muka pintu. Turut sama dalam kelompok orang ramai itu ialah Tuk Penghulu Leman. Imam Osman berdiri di muka pintu, dia ingin menyatakan sesuatu. Biasanya tugas itu dilakukan oleh Tuk Penghulu Leman. “Assalamualaikum kepada semua yang hadir.” Imam Osman mengawal sebak di dadanya.  “Tuan-tuan, seperti yang semua ketahui telah datang takdir ALLAH Taala untuk anak saya Yaakob. Dia telah kembali ke rahmatullah. Dalam kesempatan ini saya mengucapkan berbanyak terima kasih.” Imam Osman menghela nafas sambil matanya memandang orang ramai yang memenuhi persekitaran halaman rumahnya. “Sekiranya sepanjang hidup anak saya ada termakan dan terminum hak tuan-tuan maka saya minta dihalalkan. Sekiranya ada hutang yang belum dibayarnya dengan tuan-tuan, bolehlah tuan-tuan berjumpa terus dengan saya,” ujar Imam Osman. Suasana hening seketika. Kepiluan menguasai suasana. “Jenazah ini akan disembahyangkan di Masjid jamek Lubuk Batu. Jasa baik tuan-tuan membantu menguruskan jenazah anak saya ini hanya ALLAH yang dapat membalasnya. Assalamualaikum…” Imam Osman mengakhiri ucapan lazim sekiranya berlaku kematian di kampung mereka. Terdengar jawapan yang tidak senada daripada para hadiran. Jenazah Akob diangkat oleh sepupunya dan ahli keluarga. “Al-Fatihah.” Kesemuanya membaca serentak. Van jenazah sudah ternganga pintu belakangnya untuk membawa jenazah Akob ke Masjid Jamek Lubuk Batu dan seterusnya ke tanah perkuburan. Di tanah perkuburan sudah ada lapan orang menunggu. Dalam kelompok itu termasuklah Budin yang sedari awal menghadirkan diri. Satu keberuntungan dia ke kedai Pak Yahya awal hari ini. Selepas sembahyang subuh di Masjid Lubuk Batu tadi, dia ke kedai Pak Yahya, itu pun bukan dengan niat untuk menunggu Mazlan tetapi disebabkan duit yang diberikan oleh arwah Akob masih ada, maka dia bercadang untuk bersarapan di sana. Cerita tentang pemergian Akob tersebar dengan cepat, dari mulut ke mulut. Pelbagai tafsiran. Ada yang mengatakan dia jatuh sendiri. Ada juga yang mengatakan terjatuh kerana lumba haram. Dalam kesempatan ini juga Budin menziarahi pusara ibu dan ayahnya. Dia menangis tetapi tidaklah sehebat dahulu. Semakin matang dia mengawal dirinya. Lebih tenang berbanding dahulu. Apatah lagi selepas bertemu dengan orang tua berjubah putih dalam kembara malam yang memperlihatkan bagaimana Mazlan boleh berubah menjadi kurang siuman. Api dendamnya juga hanya tinggal bara, tidak lagi marak dan sehebat dulu. Kelompok mereka yang menggali kubur pun tidak mengganggu Budin. Kebanyakannya sudah berumur dan mengetahui status Budin sebagai anak yatim piatu. Selepas membacakan al-Fatihah, Budin berbicara menyampaikan mesej tersendiri untuk arwah ibu dan ayahnya. Dia duduk di bahagian nesan kepala arwah ibunya. “Mak! A… a… a… yah, a… a… a… tuk tu ka… ka… ka… ta Din tak  bo… bo… bo… leh ba…ba… ba… las den… den… den… dam,” rintih Budin sambil mengesat air mata yangberlinang. “ALLAH su… su… su… dah ba… ba… ba… balas,” tangisnya tidaklah teresak-esak seperti dulu. Kepiluan tetap menyengat hatinya. Kerinduan kepada ibu dan ayahnya menerjah sukma. Menyesakkan emosi. “Dia dah ja… ja… ja… jadi gi… gi… gi…gila, kum… kum… kumbang ma… ma… masuk hi… hi…hidung dia.” Budin berasa lega apabila ayat ini berjaya disempurnakan. Harapannya lebih tinggi daripada Gunung Ledang agar ibu dan ayahnya mengetahui apa yang telah berlaku ke atas Mazlan. “Din rin…rindu kat mak, kat a… a… ayah. Din nak jum… jum… jumpa mak dan a… a… yah,” rintih Budin. Angin tengah hari bertiup sepoi-sepoi bahasa seakan mengirim berita pilu di tanah perkuburan ini. Kedudukan kubur Akob agak jauh sedikit dari kubur arwah Jamil dan Fadilah. Tindakan Budin menziarahi pusara ayah dan ibunya tidaklah diambil pusing oleh mereka yang mengusahakan lahad untuk jenazah Akob. Segalanya membuatkan Budin berasa senang. Selepas beberapa ketika bertafakur di situ, dia bangun dan melangkah ke kelompok orang yang menyiapkan liang lahad itu. Dari jalan utama kelihatan deretan kenderaan berhenti selepas van membelok ke tanah perkuburan ini. Segalanya berjalan mengikut kelaziman. Jenazah itu sudah selamat disembahyangkan di Masjid Jamek Lubuk Batu. Kemudian jenazah Akob diturunkan dan diusung menghala ke kelompok orang ramai yang menunggu di liang lahad. “Pelan-pelan.” Terdengar suara salah seorang yang mengangkat. “Dah boleh terus turunkan?” tanya Imam Zakaria, iaitu Imam Masjid Jamek Gemereh. Kebiasaannya yang membaca talkin untuk kematian di Kampung Lubuk Batu ialah Imam Osman. Dalam keadaan emosi yang kurang stabil, tugas itu diamanahkan kepada Imam Zakaria, sahabat baiknya. Masjid Jamek Gemereh dan Masjid Jamek Lubuk Batu bukanlah jauh sangat, hanya tujuh kilometer sahaja. Kudin bergegas ke hadapan dalam kelompok orang ramai itu. Bujal hanya memerhati. Niatnya hanya satu, ingin membantu memasukkan jenazah Akob ke liang lahad. Namun, hajatnya tidak kesampaian disebabkan waris terdekat Akob iaitu abang sulung dan sepupu-sepupunya sudah turun ke liang kubur. Jenazah Akob diturunkan dengan cermat. “Buka semua tali yang ikat kapan!” arah Imam Zakaria, sambil memegang kitab kecil tertulis ‘talkin’.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66603/rengsa

 

[SNEAK PEEK] Hantu Gadis Opera

9789674314323-medium
EBUKU Hantu Gadis Opera oleh Phakinai

Prolog

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap-gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti-peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, kelihatan berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera aneka corak, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda.

Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan.

Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

Narut tersentak bangun. Peluh dingin membasahi mukanya. Dia memandang sekeliling. Tiada apa- apa yang pelik di ruang pejabat yang gelap itu. Meja kerjanya masih tersusun kemas. Skrin komputer di depannya masih terpasang. Tugasan yang perlu dihantar esok, sudah selesai, membuatkan dia berasa agak lega.

Lelaki itu menyimpan tugasannya sebelum memadamkan komputer. Ditolehnya ke arah tingkap besar pejabat itu. Cahaya keemasan sudah mewarnai ufuk timur, menandakan hari baru akan bermula. Nampaknya dia perlu pulang ke rumah untuk membersihkan diri selepas semalaman berada di pejabat.

Walaupun kerja sudah selesai, mimpi yang mengganggu masih bermain-main di fikirannya. Sejak hari itu, hampir setiap malam Narut bermimpikan gadis pelakon opera itu. Siapa dia? Apa mahunya?

Gadis pelakon opera yang berkostum merah..

****

Dua cawan kopi dihidangkan pelayan di atas meja yang terletak di tepi tingkap restoran. Narut mencapai cawan kopinya. Diteguknya kopinya itu untuk mengembalikan kesegaran bagi memulakan pagi, lantaran kepalanya terasa berat. Tentu sebab sudah beberapa malam bersengkang mata untuk menyiapkan tugasannya. Maklumlah, sebagai pekerja bawahan, dia tidak layak bersuara.

Saban hari Narut dibebankan dengan tugas yang menimbun. Jika diarah membuat liputan berita, apa-apa pun berita, dia hanya menurut, walaupun gaji yang diterima hanya cukup makan. Kalaulah bukan disebabkan minat mendalamnya dalam dunia kewartawanan, sudah lama dia angkat kaki.

“Hai, Rut…”

Suatu suara menyapanya dari belakang. Muad Wit yang mengenakan pakaian seragam polis, memegang bahunya sebelum berjalan ke depannya lalu duduk bertentangan dengannya. Muad Wit merupakan rakan sekuliah Narut semasa di universiti dahulu.

“Dah makan? Jom minum kopi…” pelawa Narut.

“Boleh juga. Malam tadi ada operasi banteras jenayah sampai pukul 3 pagi. Mengantuknya!” balas pegawai polis muda itu sambil menguap lebar, menguatkan kenyataannya bahawa dia mengantuk benar.

Narut melambai pelayan untuk memesan secawan kopi lagi sebelum memulakan cerita kepada Muad Wit. Cerita yang melekat di benaknya sejak bermalam-malam lalu.

“Wit… sorrylah sebab minta engkau datang awal-awal pagi ni. Aku nak bincang sesuatu dengan kaulah…” jelas Narut dengan perasaan tertekan.

Walaupun Narut banyak kawan, tetapi dia lebih mempercayai Wit daripada kawan-kawannya yang lain.

“Laa… kenapa cakap macam orang tak biasa ni? Kalau ada apa-apa, bagi tahu aje…” balas Wit sambil mencapai cawan kopinya yang baru dihantar oleh pelayan, sebelum menghirup kopi itu. Mukanya serta-merta berubah kelat. Nampaknya kopinya perlu ditambah gula sesudu dua lagi.

“Mungkin apa yang aku nak cerita ni kedengaran pelik… dan tak masuk akal… tapi, kejadian itu betul-betul berlaku pada aku, Wit. Engkau ingat tak, minggu lepas aku ada buat liputan berita tentang aktiviti membersihkan kawasan kubur Cina di Chonburi?”

Narut pun memulakan cerita.

****

Cahaya terik matahari melimpahi seluruh kawasan lapang berumput tinggi yang beratus- ratus ekar itu. Dilihat daripada keadaan di situ, nampaknya sebahagian daripada kubur baru sahaja digali. Di bahagian bersebelahan, berderetan kubur bersimen yang dibina tersusun. Narut menjangkakan bahawa jauh di dalam tanah di bawah bersemadi ribuan mayat lain, malah mungkin lebih banyak daripada itu.

Beberapa buah khemah didirikan di suatu sudut kawasan terbuka itu. Penghuninya terdiri daripada orang-orang berpakaian serba putih. Kebanyakan mereka datang untuk kerja-kerja pembersihan kawasan kubur, yang sudah menjadi amalan masyarakat Cina setempat kerana dikatakan membawa kebaikan.

Kalau diberi pilihan, Narut tidak sanggup datang untuk membuat liputan berita di tempat seperti itu. Sejak kecil lagi dia memang takut akan hantu. Malangnya, dia tiada pilihan. Dia terpaksa menerima tugasan itu setelah kawan sekerja yang lain berpakat mengelak daripada melakukan tugasan tersebut kerana tidak mahu berjemur di bawah terik matahari, dan berurusan pula dengan hal-hal yang kurang menyenangkan seperti itu. Maka terbebanlah tugas itu kini di bahunya tanpa kerelaannya.

Tiba masa untuk upacara yang dijalankan oleh perantara dalam keadaan bersawai1. Pengantara yang memegang kayu ki, mengetuk-mengetuk tanah, diekori di belakangnya oleh pembantu berbaju putih, yang mencacakkan bendera merah di tempat yang ditunjukkan oleh si pengantara. Upacara itu bertujuan memudahkan sukarelawan mencari dan mengorek kubur lama mengikut kepercayaan mereka. Pelik juga apabila hampir di setiap tempat yang dipacakkan dengan bendera merah, ditemui mayat-mayat lama. Ada yang sudah kering dan tinggal rangka dan ada yang masih baru. Ada juga yang hampir reput. Orang-orang yang terlibat dalam upacara itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menunjukkan rasa tidak selesa ketika mayat-mayat dibawa keluar dari lubang- lubang kubur untuk dibersihkan. Bagi mayat yang sudah kering, berus kecil digunakan untuk membersihkan tanah yang melekat pada mayat, sebelum diteruskan dengan upacara seterusnya. Bagi mayat yang masih baru pula, hanya tangan digunakan untuk mengasingkan bahagian yang hancur sebelum tinggalan dibersihkan.

Banyak gambar yang diambil Narut. Mungkin beratus-ratus keping. Semua itu atas arahan ketuanya, untuk digunakan dalam penulisan laporan khas bagi terbitan majalah bulanannya. Semuanya berjalan lancar pada mulanya… sehinggalah Narut kembali ke keretanya, tempat dia mengalami kejadian yang pelik.

Bulu romanya tidak semena-mena, meremang. Sukar dijelaskan. Bau busuk mayat tiba-tiba memenuhi seluruh ruang keretanya. Amat meloyakan.

Narut pantas menoleh. Matanya silau bukan disebabkan terik cahaya matahari, tetapi disebabkan apa yang dilihatnya. Kelibat suatu bayangan hitam kelihatan sedang duduk di tempat duduk belakang kereta, sebelum sekelip mata ghaib. Narut menenyeh-nenyeh matanya dengan jari telunjuk, tetapi tiada apa-apa pun yang kelihatan lagi.

Dia berkhayalkah? Adakah dia berfikir yang bukan-bukan?

Dalam perjalanan pulang, ketika hampir tiba di rumah pangsanya, langit kelihatan mendung. Bau busuk masih menusuk hidung walaupun Narut telah menyemburkan pewangi di dalam kereta, dan menurunkan cermin tingkap kereta sepanjang perjalanan pulang. Pelik. Sebaik tiba di biliknya, Narut terus ke bilik air untuk mandi. Berulang kali dia menyental tubuhnya dengan sabun untuk menghilangkan bau busuk… atau mungkin bau itu sebenarnya melekat pada pakaiannya? Televisyen di biliknya terpasang, namun tidak ditontonnya. Suara dari peti televisyen itu sedikit sebanyak dapat menjadi peneman. Dia leka memuat naik kad memori kameranya ke dalam notebook kesayangannya, memilih gambar- gambar yang sesuai untuk ditunjukkan kepada ketuanya esok. Ketika menunggu proses memuat naik, Narut ke dapur. Dibukanya kabinet dapur. Dicapainya secawan mi segera. Dibuka penutup mi cawan itu lalu dicurahkan air panas ke dalamnya, sebelum dia berjalan kembali ke meja kerjanya.

Eh, apa dah jadi…?

Narut meletakkan cawan minya sebelum mengamati fail gambar dalam komputernya. Banyak gambar yang diambilnya menunjukkan bayangan hitam yang menganjur panjang di bahagian tengah gambar. Dibeleknya gambar yang lain. Bayang-bayang hitam itu masih kelihatan. Seribu satu tanda tanya muncul di benaknya.

Bayang-bayang apa ni?

Kamera kesayangannya rosakkah? Tidak! Tak mungkin kerana tidak semua gambar ada bayang-bayang hitam itu.

Narut kehairanan memikirkan kejadian itu, sehinggalah dia terlelap disebabkan keletihan…

****

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap- gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti- peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, tersusun berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera beraneka bentuk, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda. Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan. Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan.

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

****

Narut tersentak bangun tengah malam itu. Peluh membasahi tubuhnya walaupun alat pendingin udara menunjukkan suhu 25 darjah Celsius. Dia termengah-mengah, seolah-olah dikejar sesuatu.

Aku dah gila, ke… mimpi pelik-pelik macam ni lepas balik dari kawasan kubur Cina? Sampai mimpikan hantu Cina? Narut sempat mengutuk diri sendiri.

Dia menghela nafas dalam-dalam dan memutuskan untuk tidur semula. Dia bagaimanapun, berasa tidak sedap hati, seolah-olah dia tidak sendirian ketika itu. Sesuatu bergerak-gerak di tepi katilnya.

SREET… SREET.. SREET…! Kedengaran bunyi seretan panjang.

Tubuhnya menggeletar. Dia teragak-agak, sama ada hendak menyelidiki apakah bunyi itu atau tidak. Perasaan takut dan berani datang silih berganti. Akhirnya, keberanian menyerlah. Perlahan-lahan, Narut berpaling ke arah meja solek…

Seorang perempuan berambut panjang dan berpakaian serba putih kelihatan sedang duduk di meja solek. Perempuan itu sedang menyikat rambut panjangnya yang mengurai perlahan-lahan… mengeluarkan bunyi seretan yang meremangkan. Bunyi ketika sikat berbilah tajam meluruskan helaian rambut. Berwajah cantik, perempuan itu diam tidak bersuara. Matanya besar dan bulat, dan kelihatan sayu.

Tiba-tiba lembaga itu mengeluarkan suara mengerang yang sayup-sayup dan mendayu-dayu. Suara perempuan sedang menangis.

Beberapa rentetan kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku!

Perempuan itu tiba-tiba memusingkan kepalanya perlahan-lahan ke arah penghuni bilik itu… dalam keadaan seluruh tubuhnya kaku tidak bergerak! Matanya terbeliak besar ketika dia berkata.

“Carilah aku sebelum nyawamu melayang!”

Sebaik sahaja selesai mengucapkan kata-kata itu, kepala perempuan itu tertanggal dari badannya sebelum jatuh bergolek ke lantai, ke hujung katil Narut. Narut memekik-mekik… sebelum terjaga dalam deringan jam locengnya.

Dia bermimpi rupa-rupanya. Mujurlah cuma mimpi!

Sejak hari itu, setiap kali hendak memejamkan mata, Narut terbayang gadis dalam kostum opera Cina berwarna merah, sedang bernyanyi. Suara gadis itu sungguh merdu dan mendayu-dayu. Kata-katanya penuh misteri, seolah-olah mahu Narut menghuraikan sesuatu.

Narut membuat kesimpulan bahawa semuanya hanya mimpi. Akan tetapi, mengapa dia bermimpikan hal yang sama, tempat yang sama, kata-kata yang sama, dan perempuan yang sama sejak berminggu-minggu?

****

Mendengar cerita sahabat baiknya itu, kening Wit terangkat tinggi. Wajahnya sama berkerut dengan wajah si pencerita setelah mendengar cerita yang menyeramkan itu. Diangkat cawan kopinya lalu dihirupnya. Satu pertanyaan terpacul.

“Engkau ada ambil dadah ke, atau… stres sangat…?”

“Kau gila! Aku bukan orang yang dah hilang pedoman, yang sanggup gadai nyawa dengan ambil dadah!” Narut pantas menafikan.

“Err… aku tanya aje. Kenapa nak melenting? Hal-hal macam ni bukan selalu berlaku. Kadang- kadang di balai polis pun, masa aku jalan dekat bangkai kereta yang terlibat dalam kemalangan, aku dengar suara perempuan menangis. Rasa macam nak terkencing, tau,” balas Wit berseloroh walaupun lawan bualnya tidak merasakan begitu.

“Jadi… engkau nak tolong, tak?”

“Eh, memanglah nak tolong! Tapi macam mana. Hmm… macam inilah! Nanti aku bawa kau jumpa seorang kawan. Dia boleh tolong sketch gambar perempuan yang engkau ceritakan tu. Lepas itu kita carilah maklumat tentang dia,” Wit menawarkan bantuan.

Narut pantas mengangguk. Suatu idea yang baik.

“Tapi kita nak cari ke mana? Di Thailand ni kan banyak kumpulan opera Cina?”

“Apa susah! Semua kejadian pelik tu berlaku sejak engkau buat liputan kerja pembersihan kubur di Chonburi, kan? Kumpulan opera di sana tentu tak banyak. Lagi satu, engkau lupa, ke, yang aku pernah bertugas di sana? Kalau betul apa yang engkau ceritakan pada aku, aku rasa roh perempuan tu ikut engkau dari sana. Lagi satu, aku nak bagi tahu engkau sesuatu. Mungkin ada banyak rahsia di sebalik kematian perempuan itu, yang orang lain tak tahu,” Wit cuba mengagak, dan kebetulan sama seperti yang bermain di fikiran Narut.

“Tapi kenapa dia pilih aku?”

“Itulah…! Nanti kalau kau mimpikan dia lagi, jangan lupa tanya. Lepas tu, engkau bagi tahu aku besok. Okey?”

Ketawa menyindir sahabatnya itu membuat Narut membuntangkan mata. Meluat dia dengan tabiat lelaki itu yang tidak berubah langsung.

****

Narut menghabiskan masa hampir setengah hari duduk memberikan gambaran wajah pelakon opera yang datang dalam mimpinya kepada seorang jurulakar polis. Jurulakar itu ternyata seorang yang berpengalaman dalam membuat lakaran wajah penjenayah.

Sebaik sahaja melihat hasil kerja lelaki itu, bulu roma Narut meremang. Gambar yang terpampang di depannya saling tak tumpah dengan wajah yang sering mengganggunya, dan kelihatan hidup! Bebola mata wajah dalam gambar itu kelihatan hampir tersembul keluar, membuat jurulakar kawan Muad Wit itu seolah-olah tidak percaya bahawa lakaran tersebut merupakan hasil kerjanya. Lelaki itu memberitahu Narut bahawa semasa dia membuat lakaran seperti yang digambarkan Narut, dia merasakan seolah-olah ada tangan yang membantunya melukis. Dia hampir tidak perlu menggunakan tenaganya langsung.

Rakan-rakan setugas yang lain bagaimanapun, geli hati dengan apa yang diceritakan oleh jurulakar itu. Ada yang malah mendakwa yang mabuk lelaki itu selepas minum semalam, masih belum hilang.

Narut kembali ke pejabatnya pada sebelah petang. Lakaran gambar gadis pelakon opera itu kini tergeletak di atas mejanya. Direnungnya gambar itu dengan kepala ligat berfikir. Sebatang rokok yang diselitkan di antara jari telunjuk dengan jari hantu kanannya, sekurang-kurangnya dapat membantu meredakan ketegangan. Narut bukan perokok. Rokok sekadar membantunya ketika dia perlu banyak berfikir… dan dua, tiga tahun kebelakangan, telah menjadi teman setianya.

Dia pernah kenal gadis itukah?

Akhirnya jawapan yang diterima selepas sejam merenung gambar di atas meja itu tidak ada bezanya dengan jawapannya sejam sebelumnya. Dia memang tidak kenal. Terserempak pun tidak pernah. Lagipun, dia tidak pernah menonton pementasan opera Cina.

Tiba-tiba bahunya ditepuk. Narut tersentak lantas menoleh. Dilihatnya Abang Sayam, atau kakitangan lain memanggilnya ‘Phi Yam’, ketua bahagian berita yang berwajah serius, berdiri di sebelahnya. Belum sempat membuka mulut, belakangnya ditepuk kuat oleh lelaki itu sehingga mukanya hampir tersembam. Bukan kali pertama Phi Yam buat begitu. Sebab itulah Narut masih mampu tersenyum walaupun dalam hatinya meluap-luap geram.

“Apa ni, Rut? Aku dah bagi tahu banyak kali, jangan merokok dalam pejabat. Kalau nak merokok dan bawa kanser masuk dalam paru- paru engkau tu, pergi ke luar sana…” tegas Phi Yam menegur.

Dengan pantas, Narut menenyehkan puntung rokoknya ke tempat habuk rokok.

“Sorry, saya lupa…”

Yang engkau sampai sekarang masih merokok… kenapa tak berhenti? tempelak Narut dalam hati. Cerewet…

“Engkau ni tak sudah-sudah lupa. Oh, ya! Pagi tadi engkau ke mana? Elok aku ada kerja aje, engkau pulak lesap. Lain kali ‘on’kan handphone tu! Telefon tak pernah dapat…” lantang Phi Yam menempelak sehingga semua orang di dalam pejabat itu memandang mereka.

“Sorry, Encik Phi Yam. Kebetulan bateri habis. Encik nak saya buat apa?” tanya pemuda itu.

Phi Yam menghempaskan laporan berita yang dibuat oleh Narut semalam ke atas meja dengan kuat.

“Apa ni? Ini ke hasil kerja seorang graduan? Laporan macam ni… budak sekolah menengah pun boleh buat! Engkau tulis semula sekarang. Semak sekali kesilapan dalam laporan yang satu lagi. Aku beri masa sampai pukul 5.”

Arahan tegas Phi Yam membuatkan wajah Narut terasa kebas. Perasaan marahnya meluap- luap sehingga mukanya menjadi merah padam.

Ketika Phi Yam hendak beredar untuk kembali ke mejanya, ekor matanya terpandang lakaran gambar pelakon opera di atas meja Narut. Pantas dicapainya lakaran gambar itu lalu ditatapnya dengan pandangan sinis sambil ketawa menyindir.

“Apa dah jadi dengan engkau ni, Rut? Sekarang dah tukar cita rasa pulak. Dah suka pelakon opera Cina…”

“Errr…”

Belum sempat Narut membuka mulut, Phi Yam pantas memintas. “… Atau… bukan suka pelakon opera, tapi engkau sendiri yang teringin nak jadi pelakon opera…”

Selesai berkata demikian, Phi Yam mencampakkan gambar itu kembali ke atas meja, sebelum berjalan ke biliknya. Tinggallah Narut terkedu sendiri. Buku limanya digenggam kuat, penuh geram.

Orang bawahan memang tidak boleh untuk bersuara. Itu sudah lumrah.

****

Narut mengambil makanan sejuk beku dari dalam ruang sejuk beku lalu memanaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro sebagai hidangan makan malam. Sambil makan, Narut menonton televisyen di katilnya.

Esok hari Sabtu. Narut memutuskan untuk ke Chonburi, mencuba nasibnya dalam mencari gadis opera misteri itu. Muad Wit sudah mendapatkan maklumat tentang kumpulan opera Cina yang ada di daerah Chonburi. Daripada hasil siasatan Muad Wit, didapati ada dua atau tiga kumpulan opera Cina di kawasan itu. Kalaulah gadis opera yang dicari-cari Narut betul wujud, sudah tentu tidak sukar dia mengenali identiti gadis tersebut.

Sebaik sahaja urusannya selesai, Narut tidur awal. Fikirnya, lebih baik dia menyimpan tenaga untuk hari esok yang belum pasti. Ubat lorazene yang dibelinya di farmasi selepas dipreskribkan oleh doktor hasil pujuk rayunya kerana tidak dapat tidur, sudah beberapa malam ditelannya. Sebelum dia merebahkan badan, dia tidak lupa bertafakur, menegaskan kepada hantu gadis operanya bahawa kalau benar-benar gadis itu mahukan pertolongannya, janganlah datang lagi dalam mimpinya malam itu. Dia perlu banyak berehat.

Seolah-olah rayuannya didengar, buat pertama kalinya sejak dia balik dari upacara pembersihan kawasan perkuburan Cina dahulu, malam itu gadis itu tidak muncul lagi dalam mimpinya.

****

Hari masih gelap. Narut memasukkan semua barang keperluannya ke dalam beg galasnya, bersedia untuk memulakan perjalanan. Lakaran gadis misteri yang hendak dijejakinya itu tidak lupa dibawa bersama-sama. Sayang, Muad Wit bertugas hari itu. Jika tidak, sudah tentu kawannya itu dapat menemaninya, atau sekurang-kurangnya membantu menghantarnya ke daerah Chonburi.

Selepas beberapa lama dalam perjalanan, Narut tiba di hotel yang telah ditempahnya awal- awal. Dia menyimpan barang-barangnya di dalam bilik penginapannya, sebelum turun ke bawah untuk bertanya kepada penyambut tetamu hotel itu akan arah untuk ke lokasi yang hendak dituju. Lebih baik dia mendapatkan kepastian daripada mereka yang arif tentang tempat itu supaya dia tidak tersesat nanti.

Tempat yang hendak ditujunya hari itu ialah kawasan petempatan komuniti Cina di pinggir Chonburi. Dia rasa gadis yang hendak diselidikinya tentu pernah tinggal di situ.

Selepas lebih sejam berjalan, barulah Narut tiba ke tempat yang dituju. Sekali pandang, tempat itu sama seperti kawasan petempatan masyarakat Cina yang lain, tetapi lebih kecil. Kawasan yang sudah lama wujud itu tentu sudah berpuluh-puluh tahun usianya. Lorong-lorong kecil berselirat di di sana sini.

Narut merasakan seperti pernah sampai ke tempat itu dengan Phi Yam tidak lama dahulu. Akan tetapi, dia tidak ingat atas urusan apa dia ke situ.

Nampaknya tidak mudah menjejaki identiti gadis misteri yang muncul dalam mimpinya. Narut berhenti di sebuah kedai kopi yang agak kecil sebelum duduk di suatu sudut kedai kopi itu. Dia memesan secawan kopi ‘o’ ais untuk menghilangkan dahaga. Kesempatan itu digunakannya untuk bertanya-tanya dengan orang-orang di situ tentang kumpulan opera Cina.

“Maaflah, di sini tak ada kumpulan opera Cina,” jawab seorang lelaki Cina tua bermisai yang ditanya oleh Narut ketika lelaki itu datang membawa kopi yang dipesannya. Kening lelaki tua itu terangkat sedikit, kehairanan, sebelum menjawab dalam bahasa Thai dengan loghat Cinanya. “Nak tengok show, ka?”

“Ohh… taklah, apek. Saya nak cari orang.”

“Dulu sini memang banyak kumpulan opera. Tapi sekarang hampir semua dah berhenti sebab tak ada yang panggil buat show. Kalau ada pun cuma kumpulan Tee Sui Ferng Hua dan Kim Hong. Mereka tinggal di belakang sana. Masuk ikut lorong lapan, atau lu boleh tanya orang dekat-dekat sana.”

Ketika lelaki tua itu hendak beredar, Narut bertanya lagi.

“Nanti, Pek…” Narut segera mengeluarkan gambar lakaran gadis misterinya lalu ditunjukkan kepada lelaki tua itu. Apek tua tadi membuka gulungan kertas tersebut lalu ditatapnya. “Apek pernah tengok perempuan dalam gambar ini?”

Keadaan senyap seketika. Mata lelaki tua yang sebesar biji kuaci itu terbeliak, seolah-olah terpandang hantu.

“Haiya!”

“Ada apa, Pek?” tanya Narut teruja sebaik terpandang wajah terkejut lelaki itu.

“Ini Ah Chu.”

“Apek kenal dia?”

“Tentulah kenal. Semua orang sini kenal dia. Ah Chu ni dulu primadona kumpulan opera Tee Sui Ferng Hua yang terkenal. Kenapa lu cari sama dia?” tanya lelaki tua itu pula.

Narut bungkam. Dia tidak tahu sama ada hendak memberitahu perkara sebenar atau tidak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66679/hantu-gadis-opera