[SNEAK PEEK] PELINDUNG SEORANG PUTERI

Pelindung Seorang
Puteri oleh Mia Kiff

ROSE duduk bersila sambil menyumbat maggi goreng dalam mulutnya. Geram. Bila jiwa kacau macam ni, hanya makan saja pengubat stres.

Nak makan yang lain, duit pun pokai. Hanya ni saja yang mampu. Begitulah kalau gaji cukup-cukup makan.

Akhirnya Rose kalah. Air mata turun juga. Mulanya menitik akhirnya menderu bagai air terjun. Dan maggi gorengnya kian habis.

“Arghhh!” jerit Rose melepas perasaan. Tension sangat!

Pintu diketuk berulang kali. Ish, siapa pula datang ni? Tania tak bawa kunci rumah ke?

Rose membuka pintu. Eh, tak ada pula orang. Tapi di depan pintu, ada nasi lemak daun pisang. Tiga bungkus dalam plastik.

Siapa yang bagi ni? Rose mengambilnya. Ada satu nota.

Untuk Rose.

Makanlah nasi, jangan asyik makan maggi je. Tak elok untuk kesihatan. Sayang diri tu, kerana ada yang masih pedulikan awak.

-?-
Rose hairan. Mana dia tahu, aku tengah makan maggi ni? Agaknya Tania kot. Baik pulak dia, padahal kami pun sama-sama pokai. Hurm, lantaklah. Aku tengah lapar ni, rezeki jangan ditolak.

Rose masuk semula ke dalam bilik. Apa lagi, melantaklah dia sampai habis semua. Bayangkan, dua minggu dia tak makan nasi. Dia cuma makan roti, biskut kering dan maggi saja.

Dah kenyang, sakit hatinya datang balik. Teringat hal pagi tadi semasa dating dengan kekasihnya.

Hurm, kekasihku suami orang. Sadisnya! Sob… sob…

“Tak sabarlah saya nak kahwin dengan awak. Saya tak pernah rasa bahagia macam ni tau. Harihari menanggung rindu. Tak jumpa dalam sehari, tak boleh duduk saya. Kalau 24 jam depan mata, mesti tak jemu-jemu pandang awak.”

Tersenyum segan Rose dibuatnya. Baginya, Firdaus calon suaminya yang tepat kerana mempunyai kerjaya tetap, bisnes, ada kereta Honda Accord dan dah stabil dari segala segi.

Sejak kenal Firdaus, Rose bukan saja mewah kasih sayang tapi lelaki ini selalu saja menghadiahkannya macam-macam. Rasa diri dihargai sebagai seorang wanita.

Lihat sajalah cincin dan gelang emas bertatah kan berlian yang berada di tangan dan lengannya ni. Bukannya murah harganya. Ditempah khas.

“Saya dah sedia nak kahwin dengan awak. Bila awak nak jumpa famili saya? Raya ni boleh?” Bersungguh-sungguh Rose bertanya. Soal cinta letak ke tepi, yang penting masa depan.

“Raya ni? Insya-Allah, kita balik sama-sama. Kalau boleh sekarang saya nak meminang awak tau, tak sabar saya. I love you, sayang!”

Sedang mereka berkasih-kasihan, tiba-tiba terdengar satu suara bernada keras.

“Meminang?”

Serentak Rose dan Firdaus memandang ke arah suara itu. Perempuan mana pula ni? Yang Firdaus apahal muka pucat semacam? Nampak ketara dia takut. Terbangun Firdaus dibuatnya. Panik.

“Nu…nu…nurul! Apa Nurul buat kat sini?”

Perempuan yang bernama Nurul itu dah macam nak telan orang. Dia meneran marah. Seriau Rose ditenung begitu.

“Oh, patutlah selalu balik lambat. Weekend pula asyik keluar aje. Perangai pun makin berubah. Bila tanya, busy dengan kerja konon, rupanya-rupanya busy dengan betina ni! Saya dah agak, abang dah curang dengan saya!” Nurul menengking sampai orang yang berada di restoran itu memandang mereka.

Terkejut Rose mendengarnya. Curang? Firdaus curang dengan aku? Siapa perempuan ni pada dia? Jangan-jangan isteri. Oh my god, katakan ini tidak benar. Katakan! Rose rasa mahu terkena serangan jantung. Nafasnya sudah semput.

Firdaus meraup mukanya. Dia memandang sekitar.

“Nurul, bertenang dulu. Jangan serang-serang macam ni. Semua orang tengok tu, ni tempat awam. Duduk dulu kita bincang!” Suasana yang tegang cuba dikendurkan.

“Berbincang kepala otak abang? Dah abang curang depan mata saya, abang nak suruh saya berbincang? Abang tahu tak, betapa hancurnya hati saya bila abang ucap ‘I love you’ pada perempuan ni?

Abang tak sedar ke abang tu dah berkahwin? Dah ada anak? Senang-senang aje cakap nak kahwin dengan perempuan lain. Habis tu kami ni, abang nak campak mana?” Meledak nada suara yang tinggi.

Air mata Nurul yang mengalir membuatkan Rose rasa dia sangat kejam. Terketar-ketar bibirnya menahan rasa bersalah. Dia, perampas suami orang?

Rose menyampuk, “Is…isteri? A…awak dah kahwin Firdaus?” Rose memandang Firdaus yang sudah mati akal.

Firdaus rasa serba salah melihat mata Rose sudah berkaca.

Nurul membalas geram, “Dia dah kahwin dan aku ni isteri dia. Dah 5 tahun kami kahwin. Kau tak sedar ke, kau dah kacau suami orang dan rosakkan rumah tangga kami. Betina jenis apa kau ni? Tak tau malu, perampas, dasar betina jalang!”

Firdaus tak sanggup Rose dituduh begitu. Bukan salah Rose, dia yang salah kerana merahsiakan statusnya.

Rose tergamam. Belum pernah lagi orang mencercanya sebegitu rupa. Jiwanya patah.

Firdaus menyampuk, “Nurul, please. Kalau you anggap I ni suami you, tolonglah. Jangan malukan I di sini, hormatkan I!”

Nurul tersenyum sinis.

“Nak hormat apa suami macam you? Dahlah makan minum, segala perbelanjaan kita, I yang tanggung.

Nafkah pun langsung you tak bagi, hal anakanak langsung you tak peduli, you nak I hormat you? Nak tanggung I pun tak mampu, ada hati nak pasang lagi satu.

Hei betina, ikutkan hati aku ni, nak aje aku tembak kau ni biar mampus. Betina perampas macam kau ni tak patut hidup. Selagi betina macam kau ni wujud, habis kacau-bilau rumah tangga orang lain.

Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku sekarang? Betapa lukanya hati aku, suami aku ada betina lain? Aku sumpah satu hari nanti, kau rasa sakit yang sama!”

Rose tunduk dan hatinya retak seribu. Ya Allah, malunya. Ramai orang menonton dan menjuih mulut padanya.

“Saya minta… minta maaf kak. Sa…saya tak tahu, Firdaus suami orang. Ka…kalau saya tahu, saya tak akan…”

Pang! Selamat mendarat satu tamparan. Sebelum ni, asyik tengok drama saja sekarang rasakan sendiri.

“Kau ingat aku nak percaya ke? Tu kat lengan kau, gelang aku tau. Aku beli dengan penat lelah. Senang-senang aje kau pakai, kan? Tu cincin, cincin perkahwinan kami tau? Macam mana boleh ada kat jari kau?

Ni semua mesti abang yang bagi, kan? Tergamak betul abang, senyap-senyap ambik barang kemas saya, bagi kat betina ni.

Entah apa lagi barang yang abang bagi, saya tak tahulah! Macam saya langsung tak berharga di mata abang. Abang ni memang suami tak guna!” Nurul naik angin dan mengamuk. Dia menumbuk dada Firdaus.

Rose benar-benar tak sangka, sejauh ini Firdaus menipu dia. Dia lantas menanggalkan cincin dan gelang. Lalu meletakkan atas meja dan berlari keluar dari situ.

Air mata berderu-deru. Bukan saja harapan dan impian musnah, tapi harga diri yang tak seberapa sudah dipijak lumat.

“Hei sudahlah tu. Menangis buat apa lagi?” Tania, penyewa bilik sebelah menegur Rose. Dia tahu segala kisah cinta Rose yang tak kesampaian.

“Aku taklah sedih sangat putus cinta ni. Tapi aku sedih, kenapa orang yang aku harapkan mesti kecewakan aku? Kenapa impian kita nak dapat suami kaya tak kesampaian Tania?”

“Daripada kau tahu ditipu selepas jadi isteri dia, lebih baik kau tahu sekarang. Sekurang-kurangnya, kau sakit hati aje, tak ada luka!

Alah aku tahulah, kau tu bukannya cinta pun dengan Firdaus tu, kan?” Tania memujuk. Bilik sewa Rose diperhatikan. Kemas, walaupun sempit.

“Memang aku tak cintakan dia, tapi dia harapan aku tahu tak? Harapan untuk aku ubah nasib aku ni.

Dia tu macam, hero yang mampu keluarkan aku dari segala masalah hidup. Tapi rupa-rupanya, dia menambah lagi masalah yang aku ada.” Rose menangis lagi.

“Agaknya, dah takdir kita kot Ros? Sabarlah…” Tania memujuk.

“Mati-mati aku ingatkan, bolehlah balik raya kat kampung tahun ni sebab aku nak kenalkan calon suami yang kaya macam Firdaus tu, depan semua orang. Biar orang yang pandang hina aku, celik biji mata tu.

Tapi rupa-rupanya dia penipu. Nampaknya, raya tahun ni aku tak balik lagilah. Balik pun buat apa, buat malu diri sendiri aje,”

Rose menangis teresak-esak. Kain batik diambil dan dilap hingus yang meleleh. Nak buktikan dia berjaya dulu barulah balik, memang taklah jawabnya. Hidupnya masih sama saja, tak ada perubahan.

Tania melepas keluhan. Dia pun lebih kurang juga terjebak dengan suami orang. Isteri pertama siap melamar lagi jadi madu. Dia sedang berfikir sama ada nak terima atau tak.

“Niat kau tu tak betul, sebab tu kau asyik gagal aje. Nak bawak balik bakal suami yang kaya, sematamata nak menunjuk-nunjuk? Elok sangatlah tu.”

Betul juga cakap Tania tu.

“Habis tu, nak harapkan aku? Apa yang aku ada?”

“Kau ni, macam-macamlah. Hidup ni, jangan selalu merungut, itu yang rezeki lambat masuk. Kena sabarlah. Allah tahu masa yang tepat untuk tunaikan impian kita.”

“Iyalah. Tak cukup sabar ke aku selama ni? Tapi apa aku dapat?”

“Kau ni, sensitiflah. Suka sangat amik pusing apa orang kata. Kita ni, kalau nak turut apa orang cakap, baik mereput aje lagi baik. Cuba kau abaikan semua tu? Jadikan apa yang orang kutuk tu, sebagai pembakar semangat!”

“Kau cakap senanglah, kau tak kena.”

“Iyalah. Dahlah tu, tak payah sedih-sedih lagi. Lepas ni kau carilah bakal suami lagi. Mesti jumpa punyalah, kau kan cantik. Petik jari aje, ramai yang beratur pilih kau!”

“Banyaklah kau punya cantik. Asyik kaki penipu aje yang nak aku ni. Yang kat kampung aku tu, buat aku sakit jiwa! Pening kepala aku!”

“Oh, mamat psiko yang kau cerita dulu tu ya?”

“Argh lantaklah, pasal mamat psiko tu, aku dah lupa pun. Ni, Firdaus yang latest .”

“Iyalah. Aku pun tak sangka, Firdaus tu suami orang.”

“Aku lagilah tak sangka, Tania. Tengah seronok dia lamar aku tadi, tetiba bini dia datang serang terus. Hancur tau hati aku ni. Sampai sekarang trauma, malu rasanya nak keluar rumah!”

Banyak sangat bersedih dah macam selesema nada suaranya.

Rose mengerling Tania yang tenang. Dia anak yatim piatu, tak payah fikir apa dah. Fikir diri sendiri saja.

“So, kau tak balik raya lagi tahun ni? Apa besar sangat masalah kau ni?”

“Ala banyak kisahlah yang buat aku ni tak ada hati nak balik kampung. Bukan saja famili aku, tapi tekanan orang sekeliling lagi.” Rose memegang kepalanya yang sesak.

“Dahlah tu, jangan menangis. Kalau kau rasa tak mampu nak balik lagi, kau rayalah sini. Berdua dengan aku. Aku ni bukan ada sesiapa. Macam biasa, pagi raya kita kerja overtime. Boleh dapat gaji lebih sikit.”

Itulah aktiviti mereka setiap tahun menjelang raya selama tiga tahun berturut-turut. Mereka menyibukkan diri dengan bekerja untuk melupakan kesedihan beraya di perantauan.

“Aku pun rasa macam tu kot. Aku dah berjanji dengan diri aku, aku takkan balik selagi aku tak berjaya.

Aku nak buktikan pada mak, abah, adik, abang dan orang kampung, yang aku pun akan berjaya juga satu hari nanti dan membanggakan diorang. Tapi sayangnya, sampai sekarang aku gagal!” Rose menangis lagi.

“Kau ni, emosi sangatlah. Jangan fikir soal gagal sebab kejayaan tu, bermula daripada kegagalan tau! Semua orang yang hidup susah bukan sebab hidup dia, Allah tak berkat, tapi Allah sayang sebab tu diuji.

Kalau Allah senang saja bagi apa yang kau nak, kau akan lupa bersyukur.” Sedikit semangat diseru daripada pujukan Tania ni.

“Iyalah. Thanks Tania. Ikutkan aku ni, rasa dah takda hatilah nak stay kat JB. Rasanya dah tak ada benda yang aku cari kat sini. Rasanya rezeki aku bukan kat JB kot.

Tapi itulah, nak pergi mana? KL? Kalau boleh aku tak mau dekat-dekat, aku nak jauh daripada famili aku. Aku tak mau mereka tahu pasal aku!”

“Kita kerja kat Singapore nak tak? Sana, income masyuk.”

“Boleh juga tu.” Rose tertarik mendengarnya.

Telefon berdering namun Rose tak endahkan. Malas nak angkat. Mood pun ke laut. Tak cukup dengan itu, mesej pun bertalu-talu masuk.

Rose membelek telefonnya. Bukan saja panggilan daripada Firdaus tapi daripada mak di kampung.

Maafkan Rose, mak. Rose tak dapat balik lagi beraya tahun ni. Selamat berpuasa dan sela

Tania yang mahu keluar dari bilik ditegur Rose. “Eh Tania!Thanks belanja nasi lemak.”

Tania hairan.

“Hah, nasi lemak? Tak fahamlah!”

“Lah, bukan tadi kau letak depan pintu ke? Ni hah siap tinggal nota lagi.”

Tania mengambil nota itu dan membacanya.

“Bukan akulah…”

“Habis tu, siapa?”

Mereka saling berpandangan. Pelik.mat hari raya mak, ayah, abang, adik. Maaf zahir batin.

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271648/pelindung-seorang-puteri

[REVIEW] BIDADARI SALJU

Bidadari Salju oleh Mia Kiff

Kayra mula berasa seram sejuk, bulu romanya meremang, dia rasa geli geleman. Tolonglah, jangan berbicara soal lelaki, cinta dan perkahwinan. Janganlah ada yang berani bertanya soal ini kerana dia tak pernah terfikir sama sekali ekoran dendam silam dan rasa rendah diri. Perjalanan hidup Kayra penuh berliku. Menempuhi zaman remaja yang amat menyedihkan. Diri di hina, keluarga di sisih oleh masyarakat. Semuanya angkara fitnah yang merobek maruah dan harga diri. Kayra hanya mampu menangis. Patutlah ramai yang memanggilnya bohsia, pelacur, perempuan balen. Dia popular dengan gelaran jijik itu. Lapan tahun berlalu, lelaki ini hadir semula dalam hidupnya. Jodoh cuba dijauhi, namun perancangan Tuhan tiada siapa yang tahu. Puas ditepis, puas dielak. Bekulah dirinya bagaikan bidadari salju namun ia tetap datang tanpa diduga.


Novel ini agak panjang jalan penceritaannya. Terdapat beberapa bahagian dalam novel sepanjang perjalanan hidup Kayra. Bermula dari umur 16 tahun sehingga umur 27 tahun. Lelaki yang pernah membenci Kayra kini amat cintakan dia. Plot cerita di dalam novel ini disusun dengan teratur dan imbasan kembali juga tidak mengganggu penceritaan tetapi terdapat banyak scene membuatkan readers perlu memahami cerita dengan betul. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga agak straight forward. Bermula pada zaman sekolah,  Kayra Binti Ilias simiskin yang dibuli Hariz . Hariz juga mengedarkan kononnya gambar bogel Kayra sehingga digelar pelacur. Gambar tersebut sampai ke pengetahuan Pak Ilias dan Kyra dihukum seteruknya sehingga sampai tahap Kyra ingin membunuh diri. 8 tahun kemudian, Kayra bekerja di syarikat yang kebetulan milik keluarga Hariz. Hariz yang selama ini mencari Kayra untuk meminta maaf dan meluahkan rasa cintanya mula menggoda Kayra. Kayra melayan dengan motif untuk membalas dendam atas perbuatan Hariz terhadapnya 8 tahun dulu. Kemudian Kayra dan Hariz bertunang dalam paksa. Kayra cuba memutuskan pertunangan tersebut tetapi tidak berjaya. Rentetan pergaduhan dan pertelingkahan Kayra dan Hariz ditamatkan dengan berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Kehidupan selepas mereka berkahwin juga masih tetap tidak bahagia. Terdapat banyak konflik yang berlaku sehinggalah di hujung penceritaan novel ini. Novel ini recommended buat readers yang sukakan novel yang panjang jalan penceritaannya dan penuh dengan konflik. 

 

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271642/bidadari-salju

[SNEAK PEEK] HALALKAN HATI YANG KU CURI

HALALKAN HATI YANG KU CURI Oleh Mia Kiff

Constance Moofushi, Pulau Malpes

AKHIRNYA Faiq dan Delisha sampai juga ke syurga kepulauan terumbu karang terindah di dunia. Mereka ke sini menaiki seaplane yang diakses terus dari Male International Airport. Mengambil masa 25 minit juga perjalanan ke Resort Constance Moofushi sambil menikmati kebiruan laut yang luar biasa cantiknya. Memang Pulau Malpes mempunyai keunikan pantai dan lautnya yang tersendiri dan tak hairanlah menjadi destinasi pelancongan pilihan di dunia.

Faiq tersenyum puas, melihat Delisha menolak kaca mata hitamnya ke atas demi menikmati pemandangan resort mewah yang terapung di atas laguna yang luas. Pasiran putih yang sungguh mengagumkan terdampar di sepanjang pinggiran pantai menyemarakkan ketenangan. Semoga panorama di sini mampu mengembalikan mood Delisha yang merudum tadi.

Delisha memandang Faiq lama hingga Faiq tertanya-tanya.

“Dear, you love it, right?” Faiq yakin dengan katanya. Tak mahu dah mengadap perangai Delisha yang tak habis-habis dari KLIA sampai ke sini.

“Tempat apa you bawa I ni? I nak Resort JA Manafaru. Bukan kat sini. I dah bagi tahu awal-awal kan, suruh you booking resort tu. Habis tu apa ni? I tak naklah tempat ni, ni bukan pulau yang I nak.” Delisha merungut tak puas hati. Mahunya tidak, dia dah berangan nak berjemur di pantai peribadi milik resort tu, nak berendam sakan di private pool. Tapi kat sini, ada apa? Dia bukannya survey pun tempat ni.

Faiq mengeluh. Ingatkan Delisha akan puji habis-habisan tempat ni, ada juga komen dia.

“Sayang, sini pun cantik apa? Constance Moofushi pun salah satu resort termewah tau kat Pulau Malpes ni. Review pun bagus kat sini. Pantai cantik, pemandangan indah. Makanannya sedap-sedap, servis dia orang pun bagus.”

Delisha memeluk tubuhnya sendiri, dia masih tak puas hati. Tak cukup mood dirudumkan, sekarang Faiq tambah lagi?

Delisha akui memanglah cantik pemandangan kat sini. Dekorasi resort ni pun menarik tapi JA Manafaru lagi cantik dan mewah. Lagi banyak fasilitinya.

“Tapi sana better dari sini, kan? I sendiri tak tahu dan tak ambil port tempat ni. Patutnya tanya I dulu, bincang dengan I dulu. Suka hati ikut kepala you aje nak decide itu ini. Lain kali jangan tanya pendapat I. You pilih sendiri. Merosakkan mood I nak bercuti,” rengus Delisha dengan muka masam mencuka.

Sakit hati Delisha berganda melihat Faiq mengusung tiga orang kawan lelakinya yang turut membawa kekasih masing-masing. Mereka semua baru tiba menaiki seaplane. Mesti Faiq yang support, kan? Lagi bertambah kacau mood Delisha.

Delisha cukup tak suka kawan-kawan Faiq. Baginya mereka ni memang suka ambil kesempatan, memang tak tahu malu. Delisha inginkan privacy bersama Faiq tapi kehadiran mereka ini memang mengganggu sangat.

Delisha sambung lagi. Dia jenis tak suka pendam. Biar habis kat sini saja. Biar Faiq tahu, betapa dia tak puas hati dan sakit hati.

“Tu, sampai hati you tak bincang dengan I dulu. Buat apa bawa dia orang semua tu? Mesti you sponsor dia orang, kan? Sebab sponsor dia oranglah, you tak jadi menginap kat sana, kan? Kalau I tahu, dari awal-awal lagi I takkan susahkan you la. I boleh booking sendiri. Setahun pun nak menginap kat resort tu, I mampulah! I boleh holiday tanpa you!” Delisha nak kesah apa, janji duit ada kat tangan, mahu kemana-mana pun tiada masalah.

Berani ke tu melancong sendirian? Masa belajar di Itali pun, Faiq dan Zainal yang jaga dia. Kat KL pun harapkan Faiq dan driver ke mana-mana? Delisha kalau emosi, terkeluar habis.

“Sayang, kalau kita berdua aje, tak bestlah. Ramai-ramai barulah happening. Kita datang sini nak berseronok, nak enjoy . Nak tenang-tenangkan fikiran. You, jangan fikir yang bukan-bukan. Dahlah tu, janganlah tunjuk muka masam kat sini. Nanti kawan-kawan I dengar, kecil hati dia orang. You duduk sebilik dengan kekasih kawan I, ya? Dia orang tu nak sangat kawan dengan you tau. Tapi you ni, suka syak wasangka yang bukan-bukan. Cubalah you bermasyarakat sikit.”

Faiq memujuk Delisha lagi. Delisha pandang atas. Meluat betul. Tak kuasa dia nak bercampur dengan manusia perangai parasit macam tu.

“I kalau tak suka, tak boleh paksa I la. I nak duduk bilik asing-asing. I tak nak kongsi. I perlukan privacy. I walk in, you tak payah sibuk hal I, you layanlah kawan you tu puas-puas.” Sebaik saja kawan-kawan Faiq yang baru sampai mendekati mereka, Delisha terus angkat kaki. Ketara wajah bengangnya. Faiq memandang hampa.

“Faiq, cantik siot tempat ni! Thanks sponsor kita orang.” Zamri menegur sambil mata tak lepas pandang sekeliling. Rakan-rakan yang lain pun sama, sungguh teruja.

Faiq senyum tawar. Masakan tidak, kekasih hati merajuk. Tapi takkan nak tunjuk perasaan depan kawan-kawan. Hati mereka kena jaga.

Zaimah, kekasih Zamri menegur.

“Eh, kenapa Isha tu? Masam aje daripada tadi? Kita orang tegur, langsung tak balas.”

Zaimah sedar yang Delisha tu agak sombong sikit, maklumlah anak hartawan. Harap berduit aje mereka nak menempel, kalau harapkan perangai berlagak dia tu, tak ingin mereka nak kawan. Menyakitkan hati betul.

Yang peliknya kenapa Faiq ni cinta sangat Delisha tu? Memanglah cantik tapi harap muka aje. Perangai buruk. Kalaulah Zaimah dapat lelaki handsome dan kaya macam Faiq ni, akan dijaga sepenuh rasa, dibelai-belai manja setiap masa.

Amboi, sedapnya hati tu berburuk sangka kat orang, kan? Padahal diri sendiri yang tak ikhlas tak sedar-sedar. Nak harap duit sendiri nak sampai tempat macam ni, memang taklah. Orang nak belanja pun, dah besar rahmat.

Faiq menggeleng.

“Datang bulan kut. Tensionlah tu tak dapat mandi laut. Biasalah perempuan I yang satu tu, angin dia datang tak menentu.”

Mencipta alasan demi menjaga keadaan. Kesian tengok kawan-kawan bukan main gembira lagi.

Semua ketawa. Ketawa demi ceriakan keadaan agar mood percutian tak terganggu.

“Tak jadi honeymoon la nampaknya kau. Bendera Jepun tengah berkibar!” usik Mazlan. Lagi mereka ketawa.

“Banyaklah kau orang punya honeymoon. Tak ada maknanya. Hahaha… Eh dahlah, jom kita check in , tak sabar aku nak mandi laut…” Faiq buat-buat ketawa, padahal serabut fikirkan Delisha yang tak habis-habis kepala angin.

Mereka beransur ke kaunter pendaftaran.

LEGA Delisha, walaupun dia walk in tapi masih ada bilik kosong. Delisha meletakkan bagasi dalam wardrobe dan mengamati sekitar vila. Water Villa Crystal All Inclusive adalah salah satu vila yang terapung merentasi lagun dikelilingi air laut yang jernih. Untung dia dapat vila ni, sedangkan Faiq dan rakannya yang diusung tadi semua menginap di vila tepi laut.

Delisha memerhati sekeliling bilik. Cantik juga dekorasinya. Banyak juga kemudahan bilik ni, termasuk TV skrin rata, mini Mac (dengan DVD dan sambungan iPod) dan Wi-Fi percuma. Not bad, cuma tak ada private pool. Tak apalah, berendam kat bath tub pun okey juga.

Angin laut meniup langsir putih memanggil Delisha untuk ke balkoni. Hembusan angin dihirupnya puas. Rambut ikal mayangnya berterbangan ditiup angin. Ada dua buah kerusi rehat panjang di luar dan buaian untuk merehatkan diri. Delisha menuruni anak tangga dan menyentuh air laut yang kebiruan, ikan-ikan yang berwarna-warni berenang-renang sungguh mengasyikkan. Cantiknya. Delisha tersenyum gembira beroleh ketenangan.

Delisha mengambil beberapa gambar mengunakan iPhone5nya. Swafoto. Pemandangan yang cantik membuatkan Delisha yang sedia cantik bertambah menawan.

Tanpa menunggu lagi, dia upload dalam Instagram dan Facebook beberapa keping gambarnya dengan teruja.

Holiday at Pulau Malpes.

Tanpa perlu tunggu lama, Faiq orang pertama like dan komen dulu. Dan yang paling Delisha geram, Zainal pun sama juga.

Faiq: I love you, more than you…

Zainal: Jika bulan menerangi seluruh alam
ini, kecantikanmu menerangi hatiku.

Faiq: Sila cuci mata sambil gigit jari. Yalah,
nak dapat orangnya, cuma dalam mimpi.
Kesian… Kesian…

Zainal: Aku akan terus menanti.

Faiq: Kau tunggulah, tak ada siapa pun
suruh. Kau kan suka buat kerja siasia…

Delisha merengus. Bergaduh pula mamat dua ekor ni. Dua-dua menyakitkan hati. Tak ada masa aku nak balas komen dia orang berdua. Macam budak-budak. Menyemak aje kat IG aku. Mujurlah like banyak. Sejuk juga hati aku ni. Delisha menutup telefonnya.

Tubuhnya rasa melekit. Nak mandilah, segarkan badan dulu kemudian berehat. Penat.

PETANG itu Delisha bersiar-siar sendirian di tepi pantai yang dikhaskan untuk penginap resort . Esok pagi, dia tak sabar nak snorkeling dan scuba diving. Nak menikmati keindahan terumbu karang dan hidupan laut di sini.

Terjaga saja dari tidur tadi, ada berbelas missed call. Lantak. Tak adanya dia telefon balik. Hatinya masih membara lagi.

“Dear…” Terdengar suara Faiq. Dah datang pun. Berdiri di sisi. Muka bengang Delisha menyambut kedatangannya.

“Kat mana bilik you? I tanya reception, mereka tak nak cari, risau you ke mana-mana…” Delisha memeluk tubuh, air muka mencuka. Tersentuh hati juga dengan sikap ambil berat Faiq tu, tapi dah hati ni berangin.

Melihat Delisha diam, Faiq bertanya lagi.

“Merajuk lagi?” Delisha menjeling. Baru nak panggil mood bercuti, puncanya datang balik.

Delisha menjawab geram.

“Bila I tak jawab call you balik, tak faham-faham bahasa lagi ke? I tak nak diganggu. I need my privacy. You datang bercuti pun, bukan nak bersama I, kan? You tak payah pedulikan I, you pergi layan kawan-kawan you tu. Bergembira saja dengan dia orang tu!” Bertegas sajalah daripada jernihkan keadaan. Delisha belum lagi reda sakit hati.

“Sayang, janganlah macam ni. I risau tau you jalan sorang-sorang. Dahlah buah hati I ni cantik. Kalau ada yang mengurat nanti macam mana?” Delisha merengus. Wajah Faiq dipandang serius. Sakit hatinya Faiq panggil ‘sayang’, sayang apa maknanya tu.

“I bukan urusan you. You pergilah kat kawan-kawan you. Mereka lagi penting daripada I.” Masih dingin.

“Sayang, kawan dengan kekasih mana sama. Bersama you, macam-macam perkara yang I boleh buat dengan happy , tapi tanpa you, satu perkara pun tak jalan sebab I tak happy . Dahlah, jangan merajuk lagi.” Faiq memanggil mood Delisha lagi agar pulih. Dia tak pernah bosan mengadap perangai Delisha yang tak menentu ni. Yang penting dia sayang, dia cinta.

“Kalau macam tu, biar lautan yang indah ni jadi saksi, I nak clash dengan you! Lepas ni you cari patung buat teman hidup you, sebab I dan patung tak ada bezanya!” Delisha dah tak dapat tahan sabar dan minta putus sebab nak Faiq rasa sakit yang sama.

Faiq segera mendapatkan Delisha.

“Tahu tak kenapa I bawa kawan-kawan I join sekali?” Delisha tersenyum sinis. Apa pula tanya dia? Mana dia tahu. Yang dia tahu, mereka semua tu penyibuk dan ambil kesempatan.

“Sebab I tak cukup kuat nak bercuti berdua dengan you.” Delisha tertarik mendengar jawapan itu. Dia berhenti melangkah.

“Maksud you?” Faiq lega, Delisha dah merudum sedikit marahnya. Dah boleh bawa berbincang. Kata putus tadi Faiq tahu, bukannya serius pun.

“Sebab tu I bawa kawan-kawan I bersama-sama. Sekurangnya, boleh elak apa yang you tak suka tu. I tak nak kita terlanjur kat sini sebab I memang tak kuat. Daya tarikan you tinggi sangat kerana I cintakan you…” Terkedu Delisha mendengarnya. Sampai macam tu sekali Faiq cuba mengawal keinginannya. Tersentuh juga hati. Argh , ini semua alasan!

“Tapi I tak suka dia orang tu. Yang perempuan tu gedik. Yang lelaki tu, suka pergunakan you dan duit you. You tak sedar ke, Faiq?”

“Dah itu aje kawan I yang ada. Okey, jom kita ke sana? Main bola tampar pantai dengan kawan-kawan I,” ajak Faiq menghulur tangan. Delisha mengerling sekilas dalam kemarahan yang kian reda.

“Yalah. Tapi ingat ya, I tak suka bercampur dengan mereka. Jangan suruh mereka tumpang bilik I pula.” Faiq gembira Delisha akur. Clash tadi hanya mainan emosi saja. Delisha kalau marah, memang habis keluar semua tapi Faiq tahu, Delisha sayangkan dia.

“Yalah sayang, mereka kan dah ada bilik…”

DELISHA duduk bersantai di atas kerusi panjang sambil minum jus oren. Dia hanya jadi penonton Faiq bermain bola tampar pantai bersama rakan-rakannya dan juga beberapa orang pelancong di situ.

“Hai Isha,” tegur Zaimah. Delisha tak rapat sangat, kenal macam tu aje. Yang pastinya, ini salah seorang daripada perempuan yang Delisha tak suka. Gedik. Tengoklah pakaian dia, seksanya mata.

“Hai.” Dingin balasan Delisha.

“Cantikkan tempat ni? Rasa macam mimpi aje boleh sampai sini. Eh, kat mana you tidur? Tak join kita orang ke?” Delisha mencebik, buat-buat mesra konon. Dia mengangkat kening menampakkan angkuhnya di situ.

“Excuse me, I tak suka kongsi-kongsi. You ingat lawatan sambil belajar ke nak kongsi-kongsi?” Zaimah mengutuk dalam hati. Berlagak betul dia ni. Mujurlah Faiq tu kekasih dia. Kalau tak, memang kena sound direct aje.

“Oh, well I faham. Mesti you nak duduk sebilik dengan Faiq, kan? Yalah, datang jauh-jauh, rugilah tak manfaat masa bersama. Kalau duduk dengan kami, kacau line la!” Zaimah berseloroh, tapi dia seorang yang ketawa. Apa, ingat kelakar bagi Delisha? Never!

“Sorry, I bukan macam you dengan Zamri, okey? Kita orang belum langgar lagi. I just need my privacy. I datang sini nak bercuti, nak tenangkan diri, bukan nak semakkan kepala I!”

“You tak takut ke tidur sorang-sorang?” Dalam mengutuk itu, Zaimah harap juga Delisha pelawa dia tidur bilik Delisha. Mesti lagi mewah.

“I lagi takut kalau tinggal dengan manusia yang perangai lebih daripada hantu. You tahu kan, zaman moden ni manusia lagi menakutkan daripada hantu…”

Terkena sebiji Zaimah, memang tersindir dek kata-kata Delisha. Tapi ditahan sabar. Cuba lagi nak berbaik-baik.

“Betul cakap you tu. Eh, you tengok saja ke mereka main? Tak join sekali? Thanks …” Zaimah mengucapkan terima kasih pada pelayan yang baru saja meletakkan segelas jus oren buatnya.

“I sayang lemak I, tak naklah kurus sangat. Nanti tak seksi, cuba pakai seksi pun tak ada maknanya…” Sengih Delisha, paksa ramah. Jus oren dihirupnya. Zaimah mencebik. Tak dinafikan, Delisha memiliki susuk tubuh yang sempurna. Tak macam dia, kurus sangat macam tiang lampu. Sebab tu dia agak terasa ditegur begitu.

“Kurus sangat pun tak apa, asalkan baik hati. Tak buat perangai yang menyakitkan mata. Terutamanya dengan kekasih.” Delisha berpaling hairan memandang Zaimah. Zaimah perli dia ke?

“Nak uji kekasih kita tu baik atau tak, cubalah buat dia marah. Kalau dia masih bersabar dan pandai memujuk tanpa kenal erti putus asa, itu tanda dia benar-benar sayangkan kita, cintakan kita sepenuh hati dia.” Zaimah dibakar api cemburu. Untungnya Delisha. Sudahlah cantik, anak hartawan, dapat kekasih pun anak orang kaya habis-habis.

“Yalah sangat tu. Belum dapat pijak semut pun tak mati. Dah dapat entah dicampaknya tepi jalan. You, hati-hati tau. Kang nak datang bercuti, terhoneymoon pula. Punah semuanya.” Delisha pandang Faiq yang sedang bergembira bermain bola tampar pantai. Sempat Faiq menoleh ke arahnya dan melambai. Delisha membalas dengan senyuman.

“I kenal Faiq, lebih daripada I kenal you. Kalau you cemburukan I sebab dapat Faiq, tak payahlah cuba nak reka cerita nak hancurkan hubungan kami. Cukuplah you dengan boyfriend you dah hanyut, tak payahlah nak samakan Zamri dengan Faiq.”

Geram betul Zaimah, walaupun Delisha ni kepala angin tapi tak mudah melatah juga tu.

“Percaya betul you dengan Faiq tu ye? Actually, I hairanlah kenapa you still couple dengan Faiq padahal dia tu, perempuan sana sini. Tak mungkinlah kaki clubbing macam dia tu tak main dengan perempuan. Dengar kata, ada yang dah tidur dengan dia dah pun.”

Delisha menggelengkan kepala. Tak habis-habis lagi nak sebar fitnah. Lesing juga kang betina ni.

“Siapa perempuan tu? Ada bukti? Kau nampak?”

Berubah muka Zaimah. Bukti mana ada, dia main teka ni. Delisha dah faham apa sebenarnya niat perempuan ni, mengada-adakan cerita.

“I pun dengar cerita daripada orang. Tapi I pernah nampak, dia menari dengan perempuan lain kat kelab…”

Kalau itu Delisha pun tahu, sebab perangai gatal Faiq tu susah nak ubah. Tapi bab curang ni…

“Siapa yang cerita?”

“Ma… Manalah I kenal…”

“So, tak ada alasan untuk I dengar cakap you.” Zaimah tersenyum sinis. Susahnya nak hasut perempuan ni.

“Hei, Isha. I cuma nak tolong you aje tau, agar tak terjerat dengan buaya tu. Ini you balas I? You ni memang loser, patutlah you tak ramai kawan. Tak ada yang teringin nak kawan dengan you sebab you ni tak habis berlagak, sombong, mentang-mentang anak orang kaya!” Zaimah terkeluar taring sebenar, Delisha senyum mengejek.

“Biar loser pun tak apa, daripada dapat kawan yang berlidah macam you ni. Biar berlagak pun tak apa, asalkan harta benda sendiri, daripada tak tahu malu menginding duit orang. You tahu tak kenapa I dan Faiq bergaduh tadi? Sebab I tak suka dia bawa you all ke sini sebab I tahu you all ni bukan kawan yang jujur. You all ambil kesempatan sebab dia berduit.”

“You tergamak ya, burukkan Faiq depan I? Padahal dia taja percutian you dan kekasih you ke sini? Apa jenis manusia you ni? Tak tahu kenang budi ke? I ni, walaupun laser dan menyakitkan hati, tapi itulah I. I berkata yang betul, I bukan hipokrit macam you all!”

“I kenal Faiq lebih daripada you. Jadi jangan nak buruk-burukkan dia. Kesian Faiq dapat kawan macam you all ni! Bukan saja ambil kesempatan tapi tikam dia dari belakang.” Panjang lebar Delisha menghambur Zaimah.

Zaimah merengus, tapi dia kena kawal tingkah laku. Delisha ni nampaknya susah nak diracun.

“Sorrylah Isha, janganlah salah sangka dengan I. I tahu you cintakan Faiq, mesti you akan percaya dia. I tak ada niat nak burukkan Faiq. I cuma nak you hati-hati. I cuma nak warning you. I kan wanita, I pun nak selamatkan you.”

Delisha tersenyum sinis. Tak payahlah nak belit cerita, dia dah jelas semuanya.

“Diri sendiri pun dah barai, ada hati nak selamatkan orang. Huh!” Delisha bangun dari situ mengambil jus oren menghampiri Faiq yang sudah tamat bermain bola. Terpinga-pinga Zaimah dibalas begitu.

Bersorak keriangan Faiq dan rakan-rakan sepermainan. Tisu dari poket seluar dikeluarkan lalu dilap peluh buah hatinya itu. Faiq senang hati menerima layanan Delisha. Baik sudah mood dia, senyum pun tak henti.

“Minumlah, you dahaga, kan?” Delisha menghulurkan jus oren buat Faiq.

Faiq terus menghirupnya. Kongsi minumanlah pula. Romantisnya Delisha.

“Thanks, sayang.” Delisha tersenyum senang. Melihat wajah Faiq, dia jatuh kasihan. Kasihan kerana dikelilingi orang-orang yang tak jujur sedangkan Faiq baik sangat.

Mereka bersurai. Faiq dan rakan-rakannya sudah merancang nak ke Manta Bar malam ni.

“Jom, sayang. I hantar you balik bilik. Malam ni kita dinner sama-sama.”

“Tak apa, I boleh balik sendiri. Malam ni kita jumpa kat reception…” Delisha berkira-kira untuk pulang ke resort tapi Faiq menghalang.

“Merajuk lagi?” Faiq rasa sedikit perubahan pada Delisha.

“Merajuk? Taklah.”

“Habis tu, takkan I nak hantar pun tak sudi?” Delisha berdecit.

“I bukan budak kecil lagilah. Tak payahlah nak temankan I, you tu penat, kan? Balik rehat, mandi! Busuk.”

Delisha menggosok hidungnya, tak selesa.

Delisha kembali atur langkah, namun Faiq mengekori.

“I nak pastikan you selamat sampai ke bilik you. Malam ni I datang jemput you. Kita dinner sama-sama. Kita ke pub…” Faiq menyaingi Delisha.

“You ni degil la… I kata tak payah teman tu tak payahlah!” Faiq berdiri mengadap Delisha.

“You ni tak habis-habis nak marah. Apa yang tak kena lagi?”

“I datang sini nak tenangkan fikiran. Tapi biasalah, parasit yang you bawa tu tak habis-habis buat I hilang mood .”

Delisha memeluk tubuhnya. Faiq mengeluh, ada lagi yang tak kena nampaknya.

“Cubalah you ikhlaskan diri you bergaul dengan mereka. Mereka semua tu baik.” Delisha ketawa.

“Baik? You nak I ikhlas dengan orang yang tak ikhlas macam tu? Come on la, Faiq. Naif betul you ni, mujurlah I ni kenal hati budi you. Kalau tak, I kick you ke laut. Stupid!”

Faiq menyaingi langkah Delisha ke bilik.

“You tak payahlah nak sesakkan kepala dengan dia orang tu. Abaikan ajelah semua tu. Janji ada I, ada you, kita happy bercuti bersama. Right?”

“Whateverlah, Faiq. Kawan-kawan you tu bukan sesiapa pun pada I. Lantaklah. Esok-esok, you terkena you tanggunglah. Padan muka you!”

“Dear, dahlah tu…”

“Yalah, tak ada pentingnya pun I nak cakap pasal dia orang.” Faiq berasa lega, gaduh Delisha tak berpanjangan.

“Wow, cantiknya resort yang terapung ni. Siap ada tangga lagi nak turun laut, ya? Resort you pun macam ni ke?” Faiq memerhati sekeliling. Ditunjukkan salah satu daripada bilik yang terapung merentasi lagun.

“Haah, nasib I baik. Ada bilik kosong. Tak sanggup I kongsi dengan perempuan-perempuan gedik tu. Kalau tak ada bilik, I rela patah balik.”

Dah sampai bilik Delisha. Patutlah Delisha lupa terus Faiq sebaik saja check in tadi. Cantik dekorasinya.

“Okey, dah sampai bilik I. So, you tunggu apa lagi?” Delisha berdiri depan pintu memeluk tubuh.

Faiq tersenyum nakal.

“Tak bagi I masuk? Teringin juga nak tengok bilik you? Mesti cantik, kan? Untungnya you dapat bilik ni…”

“Nak harapkan you entah bilik jenis apa you pilih untuk I. Dah la kena kongsi. You tak payah mengada-ada la nak masuk tengok. Baik you pergi balik bilik yang you pilih tu. Hadap puas-puas!”

Faiq menghadang tangannya di kiri kanan Delisha. Selambanya Delisha tolak. Hai, kepala angin betul buah hati Faiq ni. Nak romantik pun susah.

“Yalah, sayang. I takkan buat sesuatu yang you tak suka. You siap cantik-cantik tau, malam ni I jemput.”

Mata Delisha naik ke atas.

“Yalah.” Faiq senyum. Direnung kasih dalam mata Delisha.

“Bye, sayang…” Tangan diletak di bibir sendiri, lalu diletak atas bibir Delisha. Cukuplah kasih sayangnya hanya setakat itu. Dia akan sabar menanti saat bahagia mereka.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203429/halalkan-hati-yang-ku-curi