Sejenak Bersama Hannah Ezaty

Hello readers! Pada bulan ini, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku yang bernaung bawah Karyaseni dan Penulisan2u.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang penulis buku yang terkenal ini, boleh ikuti temu bual kami di bawah.

 

Latar belakang Hannah Ezaty

Lahir, membesar dan tinggal di Pulau Pinang. Mempunyai pendidikan dalam bidang Perakaunan tetapi lebih cintakan dunia penulisan. Mula menceburkan diri dalam bidang penulisan selepas tamat belajar pada tahun 2011.

1) Siapa yang memberi inspirasi untuk Hannah Ezaty menulis?

Ketika di Tingkatan 2, cikgu Bahasa Inggeris saya ‘memaksa’ saya untuk menulis sebuah sajak. Kemudian, sajak tersebut telah diterbitkan ke dalam majalah sekolah. Bermula dari situ, tercetusnya minat dan inspirasi untuk menulis. Terima kasih, cikgu!

 

2) Apa makanan kegemaran Hannah?

Semestinya makanan pedas. Lagi pedas lagi syokk!

 

3) Siapakah penulis kegemaran Hannah? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Ramaiiii!

 

4) Apakah novel kegemaran Hannah? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak. Tak tertulis rasanya. Tapi, antaranya ialah daripada tulisan Bikash Nur Idris, Ismi Fa Ismail dan Ramlee Awang Murshid.

 

5) Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada.

 

6) Jika Hannah diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Hannah mahu pergi dan mengapa?

Negara-negara Eropah terutamanya Switzerland, Spain dan Iceland. Saya nak ke Switzerland sebab nak naik mountain coaster sambil menikmati panorama dan keindahan alam semulajadi di sana. Spain kerana sejarah serta budayanya dan Iceland kerana Aurora! Oh, ya. Teringin juga nak ke Istanbul untuk food hunting. I’m a food lover!

 

7) Adakah Hannah merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Ya, saya bakal menerbitkan sebuah novel bergenre romance-mystery tak lama lagi berjudul 9 NOTA yang menceritakan kisah hidup seorang wanita yang sering menerima nota misteri daripada pengirim tak bernama dan bagaimana cara dan usaha yang dilakukan untuk menjejaki pengirim misteri berkenaan.

 

8) Pada pandangan Hannah, apa istimewanya novel Hannah berbanding novel lain di pasaran?

Dekat dengan hati pembaca kut?

 

9) Dari mana Hannah selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang tak kira waktu. Kadang-kadang, bila nak tidur pun ilham boleh muncul. Bangun pagi pun boleh dapat ilham. Kebanyakannya datang daripada pemerhatian dan pembacaan. Ada juga daripada pengalaman sendiri dan orang sekeliling. Adakalanya daripada berita dan isu-isu semasa yang telah diolah sehingga menjadi sebuah fiksyen.

 

10) Apa rutin harian Hannah? Ada yang rare tak?

Rutin harian biasa-biasa saja. Cuma saya akan menulis antara jam 3 pagi sampai jam 9 pagi kalau ada deadline. Selebihnya macam rutin orang lain.

Saya juga suka melepak seorang diri kat balkoni rumah antara jam 2-3 pagi kalau tak boleh tidur sambil perhati kereta yang lalu lalang. Err… itu dikira rare tak?

 

11) Describe diri Hannah dalam 3 patah perkataan.

Sepi itu mengasyikkan.

 

12) Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, apa lagi bahasa lain yang Hannah kuasai?

Pernah belajar Mandarin, Italian dan Spanish tapi sampai sekarang tak fasih-fasih. Hehe.

 

13) Apa nasihat Hannah kepada penulis-penulis yang masih baru dalam industri buku?

Jangan cepat mengalah dan berputus asa. Hargai diri sendiri dan bakat pinjaman tuhan. Teruskan berjuang!

 

14) Apakah pesanan Hannah kepada pembaca di luar?

Teruskan membaca dan teruslah menyokong industri buku dan penulisan.

 

Kami harap cik Hannah Ezaty akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarik dan bermutu lagi. Jika anda berminat dengan tulisan Hannah Ezaty, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

 

Lebih banyak karya dari Hannah Ezaty boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_47199_hannah-ezaty/~

Sejenak Bersama Aliesha Kirana

Aliesha Kirana

 

Hello readers! Admin akan kongsikan hasil temu bual kami bersama seorang penulis dari Karyaseni dan Penulisan2u. Pada bulan ini, admin berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal dengan bukunya Love You Mr. Arrogant, Aliesha Kirana! 

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang penulis buku ini, boleh ikuti temu bual kami di bawah 🙂

 

Aliesha Kirana, 6 tahun bergelar penulis, 7 novel dan 1 kompilasi cerpen bersama Karyaseni dan Penulisan2u.

-Love You Mr. Arrogant

-Cinta Bersaiz XXL

-Miss You Mr. Arrogant

-Melodi Cinta II (cerpen Daim)

-Angin Cinta

-Mamat Muka Selenga

-Pak Cik Kerek Semanis Pavlova

-Jodohku Jejaka Jelita

 

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan penulis, bolehlah mengikuti:-

Facebook Pages di fb.com/NovelisAlieshaKirana,

blog penulisan tintaalieshakirana.blogspot.com,

Wattpad @AlieshaKirana,

twitter dan instagram @alieshakirana.

 

1) Siapa yang memberi inspirasi untuk Aliesha Kirana menulis?

Saya sendiri tak pasti siapa yang beri saya inspirasi tapi saya rasa saya mula berminat untuk menulis sedari saya sekolah rendah lagi. Saya suka benar dengan karangan yang tak ada format. Jadi saya rasa saya harus bagi kredit kepada cikgu Bahasa Melayu saya dahulu sebab buat saya jatuh cinta dengan karangan. Dan sampai sekarang saya tak berhenti menulis.

 

2) Apa makanan kegemaran Aliesha Kirana?

Saya sejenis manusia yang tak memilih makanan, saya boleh makan semua (yang halal) jadi kegemaran saya pun ada banyak. To name a few; samgyetang, nasi ayam, ikan patin masak lemak, nasi kerabu, ayam percik, ikan keli bakar, daging kambing bakar dan banyak lagi. Oh terus teringat pasar malam. Lain kali jangan tanya saya bab makanan. Hahah.

 

3) Siapakah penulis kegemaran Aliesha Kirana? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Ramai saja penulis yang saya suka, tapi kalau bukan semata sebab novelnya, saya akan sebut Illa Shanahila, Liz Haliza dan Aifa Batrisya. Sebab dia orang sahabat-sahabat penulis yang saya paling rapat. Aci kan? Haha!

 

4) Apakah novel kegemaran Aliesha Kirana? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak sebenarnya novel kegemaran saya jadi susah nak senaraikan satu-satu dekat sini.

 

5) Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada. Tapi teringin nak bela haiwan eksotik macam burung hantu, iguana mahupun ular sawa. Haha.

 

6) Jika Aliesha Kirana diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Aliesha Kirana mahu pergi dan mengapa?

Kalau percuma dan tak perlu memilih, maka semua tempat di dunia ni saya teringin nak jejak. Tapi kalau kena pilih a few saja, maka saya mungkin akan pilih:

-Mekah dan Madinah, untuk ziarah dan umrah.

-Korea, pernah pergi tapi nak repeat sebab best sangat!

-Jepun, nak tengok sakura berkembang masa musim bunga.

-India, mungkin untuk merasai sendiri macam mana berlari-lari di taman bunga yang terbentang luas. Haha!

-Iceland, nak kejar Aurora Boraelis

-Switzerland, sebab view dia masya-Allah!

 

7) Adakah Aliesha Kirana merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Yup. Insya-Allah, selagi diizin Allah untuk berkarya. Nantikan!

 

8) Apakah pesanan Aliesha Kirana kepada pembaca di luar? 

Bacalah buku-buku saya dan rakan-rakan penulis yang lain, kerana insya-Allah walau karya-karya kami banyak kekurangan tapi kamu sudah mencuba yang terbaik untuk memenuhi citarasa dan kepuasan pembaca. Tolong sokong industri novel dan buku ini, jangan biarkan ia hambar ya? Sokongan pembaca buatkan kami terus bersemangat untuk berkarya di masa hadapan dan mencuba untuk terus melakukan yang terbaik. Terima kasih untuk pembaca-pembaca yang tak henti-henti menyokong kami terutamanya saya, Aliesha Kirana, daripada dulu hinggalah sekarang, di saat jatuh bangun, susah dan senang. Terima kasih!

 

9) Pada pandangan Aliesha Kirana, apa istimewanya novel Aliesha Kirana berbanding novel lain di pasaran?

Lemah betul bab nak memuji novel sendiri,  sebab bagi saya banyak sangat kekurangan novel-novel saya ni. Tapi bagi saya apa yang berbeza dan boleh dikatakan istimewa adalah saya selalu memberi kelainan dalam watak-watak yang saya cipta. Setiap novel ada pelbagai watak yang berbeza. Contohnya:

-Love You Mr. Arrogant – kisah lelaki yang berlagak sombong dengan gadis naif.

-Cinta Bersaiz XXL – kisah gadis saiz XXL bertemu jodoh dengan lelaki sempurna.

-Mamat Muka Selenga – kisah lelaki biasa yang sengal dengan gadis garang, jiwa kental.

-Pak Cik Kerek Semanis Pavlova – kisah lelaki bujang terlajak kerana menjaga anak saudaranya yang lumpuh.

-Jodohku Jejaka Jelita – kisah lelaki berwajah keperempuan dan berperwatakan lembut.

Berbeza kan? Jadi nantikanlah apa kelainan yang saya bawa untuk novel berikutnya ya.

 

10) Dari mana Aliesha Kirana selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham ini sebenarnya boleh didapati daripada pelbagai cara. Sengaja atau tidak sengaja. Biasanya saya dapatkan ilham daripada pemerhatian dan tontonan. Saya suka memerhati sekeliling saya dan dari situ kadangkala muncul idea yang saya tak sangka. Drama, program tv dan filem juga ada membantu dalam memberi inspirasi tetapi itu tidak bermakna saya meniru apatah lagi mengambil bulat-bulat daripada cerita tersebut. Saya biasanya suka memerhati satu-satu watak dan karakter yang saya tonton. Sebagai contoh, karakter Jep Sepahtu yang lucu dan sengal, membuatkan saya mendapat idea untuk mencipta watak sebegitu di dalam novel Mamat Muka Selenga.

Kalau daripada pengalaman saya sendiri ada juga saya masukkan tetapi biasanya tidak banyak. Sekadar 5 ke 10% sahaja, hanya sekadar penambah perasa. Contohnya di dalam novel Love You Mr. Arrogant, watak heroin, Zaara Amirah sukakan warna merah jambu, suka makan ikan keli dan ayam percik (nampak tak perkaitannya di sini dengan soalan tentang makanan kegemaran saya tadi? Haha), sama macam saya. Dalam novel Cinta Bersaiz XXL pula, kisah-kisah sadis yang dialami heroin, Adeeba Addin kerana dia bersaiz XXL, kebanyakannya saya pernah lalui sendiri sebagai seorang yang bersaiz besar.

 

11) Apa rutin harian Aliesha Kirana? Ada yang rare tak?

Rutin harian saya teramatlah membosankan jadi nak share pun takut orang lain mengantuk mendengarnya. Haha. Jadi sebab itu saya suka menulis sebab menulis membawa saya mengembara ke alam khayalan yang saya boleh corakkan sendiri.

 

12) Describe diri Aliesha Kirana dalam 3 patah perkataan.

Penulis. Pencinta. Pemimpi.

 

13) Apa nasihat Aliesha Kirana kepada penulis-penulis yang masih baru dalam industri buku?

Buat semua penulis baru, sama ada yang sudah punya buku atau masih mencuba untuk karyanya diterbitkan, saya cuma nak pesan supaya jangan berputus asa dan lemah semangat dalam berkarya. Jatuh bangun itu lumrah dalam kehidupan, termasuk dalam industri ini tetapi kita harus sentiasa percaya yang rezeki tak pernah salah alamat, asalkan kita berusaha dan tidak menyerah kalah.

Terus belajar dan belajar untuk memantapkan penulisan kita dan jangan pernah puas dengan tahap kita sedia ada. Bagi saya penulis juga harus jadi seorang pembaca supaya kita dapat luaskan minda kita dan belajar sesuatu daripada penulis lain. Kalau kita tak baca novel orang lain, kita akan rasa novel kita dah cukup bagus dan tak perlukan penambahbaikan lagi. Kalau kita baca novel dan lihat cara-cara penulis lain, barulah kita akan sedar yang bukan kita seorang yang pandai menulis. Masih ramai lagi yang pandai dan mungkin lebih pandai menulis daripada kita. Kan?

Jadi jangan putus asa, teruskan membaca, teruskan belajar, dan teruskan menulis. Teruskan usaha kalian dan teruskan perjuangan! Saya doakan setiap daripada kalian akan berjaya menempa nama dalam industri. Amin!

 

14) Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, apa lagi bahasa lain yang Aliesha Kirana kuasai?

Saya boleh faham bahasa Hindi sikit-sikit, tapi nak bertutur tu gagaplah. Haha. Ini adalah hasil menjadi penonton drama Hindi tegar sejak kecil. Sekarang tengah cuba fahamkan bahasa Korea supaya bila tonton Kdrama tak payah fokus dekat subtitle sangat jadi boleh fokus tengok ahjussi-ahjussi yang berkarisma. Hahaha. Gurau.

 

Karya terbaru Aliesha Kirana boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_34513_aliesha-kirana/~

[SNEAK PEEK] MEH, SANDAR PADA AKU!

9789670890982-medium
MEH, SANDAR PADA AKU! Oleh Aifa Batrisya

DI BAWAH adalah biodata Doktor Syed sombong a.k.a penyeliaku…
Nama: Syed Nadzhan bin Syed Irham
Umur: 31 tahun
Pekerjaan: Jurutera Penyelidikan
Status: Bujang
Kepantangan: …

“Perempuan!” jerit Salwa lalu ketawa kecil.

“Hesy… sibuklah kau ni! Aku nak luahkan perasaan dalam diari pun tak boleh! Apa kau buat kat sini? Bukan tempat kau dekat tingkat atas ke?”

Salwa menjelirkan lidah sebelum tertawa kecil. Seronok dapat mengenakan Tasneem.

“Aku pergi tandas tadi. Saja datang sini nak melawat kau. Salah ke? Ehhh… pakwe kau mana?” soal Salwa sambil terjenguk-jenguk.

“Aku mana ada pakwe la!” Tasneem membalas perlahan. Malas rasanya hendak membuka mulut bila soal pakwe, kekasih mahupun mata air diajukan kepadanya. Jujurnya, sejak di bangku sekolah lagi memang tidak ada lelaki yang sudi berkawan rapat dengannya. Kenapa? Entah. Dia sendiri kurang pasti sebab musababnya.

“Maksud aku, Doktor Syed la!”

Laju saja dia mencebikkan bibirnya apabila penyelianya yang sombong itu dikatakan sebagai kekasihnya. Salwa sengaja aje hendak mengenakannya.

“Eh, bila masa pula aku jadi makwe dia ni? Kau jangan nak pandai-pandai buat gosip murahan ya, Awa. Dia belum datang lagilah. Entah-entah, dia cuti hari ni.”

“Siapa yang cuti?”

Erkkk! Tasneem terdiam. Takut-takut dia hendak menjawab. Dari sisi mata, dia sudah boleh mengagak gerangan yang bertanya. Daripada bau minyak wanginya saja Tasneem sudah tahu siapa gerangan orangnya. Heh Salwa ni, memang saja nak mengundang masalah. Errr… Aci tak kalau dia pura-pura tak mendengar soalan itu?

“Ehhh… Doktor Syed! Lewat hari ni? Jalan jammed ya?” tegur Tasneem, ceria. Langsung lari daripada topik cuti.

“Hmmm… Masuk bilik aku kejap!” balasnya sambil terus membuka pintu kaca biliknya.

Mata Salwa sedikit membulat. Aku? Biar betul penyelia Si Anim ni! Sempoi gila. Guna kata ganti nama diri aku-kau aje?

Seakan-akan memahami maksud pandangan Salwa, Tasneem cepat-cepat menggeleng, memberi isyarat kepadanya supaya pergi. Hah, nampaknya mood Doktor Syed tak berapa baik pada hari ini. Bersedialah wahai Afnan Tasneem. Sila sediakan kapas putih cukup-cukup buat menyumbat telinga!

“Ya Doktor Syed?” soal Tasneem lalu bersiap sedia dengan nota dan pen di tangan. Lagak dah macam setiausaha tak berbayar. Hidungnya lantas menangkap bau minyak wangi yang semerbak memenuhi bilik itu. Damai. Menarik lagi tertarik. Urghhh… Bahaya ni! Fokus Tasneem, fokus!

“Haaa… yang kau terpejam-pejam mata ni, kenapa? Baru hari kedua dah mengantuk datang kerja?”

Alamak! Cepat-cepat dia membuka mata.

“Doktor Syed ni wangi sangatlah…” Kata-katanya terhenti di situ tatkala mata lelaki itu tajam memandang ke arahnya. Aduhai Anim… Macam manalah mulut ni boleh terlepas cakap?!

“Kenapa? Busuk? Pening?” soalnya dengan pandangan redup. Tidak seperti semalam. Matanya tajam seperti singa yang dah berbulan-bulan tak makan daging.

“Eh… tak adalah. Saya suka bau macam ni, macam… Emmm… aaa… tak mengapalah, tak penting. Oh ya, ada apa Doktor Syed panggil saya ni?” Pantas saja Tasneem menukar topik. Tidak mahu soal minyak wangi terus diutarakan.

“Haaa… Lupa pula aku. Kau dah baca pasal amidasi?”

Laju Tasneem menggeleng. Bila pula dia ada masa nak mencari maklumat berkenaan amidasi kalau pada malam tadi dia sibuk menjawab temu bual eksklusif daripada Mastura dan Salwa tentang lelaki di hadapannya ini?

“Kau buat apa malam tadi? Bergayut dengan pakwe ya?” soalnya serius. Pandangan redup terus berubah menjadi pandangan yang menakutkan dengan mata yang tajam langsung tak berkerdip.

Mata Tasneem mencerlung. Uikkk… Soalan!

“Saya mana ada pakwe la, Doktor Syed.” Tasneem membalas bersahaja.

“Dah tu, kalau bukan dengan pakwe, gayut dengan tunang?”

“Kalau pakwe pun tak ada, tunang lagilah tak ada, kan?” balas Tasneem seiring senyuman manakala nada suara meminta simpati. Tapi senyumannya setakat di situ saja apabila melihat lelaki itu kembali memandang komputer.

Perlahan-lahan Tasneem memberanikan diri, memerhatikan wajah lelaki yang sedang sibuk memandang ke arah skrin komputer riba itu. Kacak. Kulit putih mulus dan bersih. Hidung mancung. Rambut tersisir elok. Pengemas. Ada kerja yang bagus… tapi bajet bagus sangat! Sebab itulah tak ada perempuan yang nak dekat.

Wah Anim, baru dua hari praktikal di sini dah boleh membuat ulasan pasal penyelia sendiri. Bila ditanya soal kerja, soal proses amidasi… huh… haram. Sepatah pun tak boleh dijawab!

“Yang kau beria-ia pandang aku ni, kenapa? Tengah dok fikir aku sesuai ke tak jadi calon pakwe kau?”

Tasneem menelan air liur. Perit pula rasanya lebih-lebih lagi apabila melihatkan senyuman ala-ala perli lagi sinis lelaki di hadapannya itu.

“Hehehe. Tak adanya, heh! Saya ni manalah layak nak digandingkan dengan Doktor Syed. Doktor Syed ni pegawai besar, saya ni pula, pelajar praktikal saja. Manalah…”

“Jadi, betullah kan tadi kau dok renung, fikir pasal aku? Tasneem, Tasneem…”

Kali ini Tasneem tergamam. Lama. Terkebil-kebil dia melihat lelaki itu tersenyum mengejek ke arahnya sambil menggeleng kepala berkali-kali. Biarpun rasa malu sebab terkantoi di situ tapi entah kenapa hatinya berbunga-bunga. Aduhai Doktor Syed yang kacak, merdu sungguh suara kau menyebut nama aku tadi.

Tasneem… Tasneem.

Hai la… Hari-hari kalau macam ni boleh cair dia dibuatnya.

****

SESEKALI Tasneem menggenyeh matanya yang mula terasa pedih. Hampir dua jam dia menghadap skrin komputer riba, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh lelaki itu. Matanya sudah mula berasa letih.

Tentang apa? Ahhh, apa lagi kalau bukan tentang proses amidasi tu. Selagi tidak menjelaskan secara tepat tentang proses itu, selagi itulah dia terpaksa mencari bahan. Hai la amidasi…

“When you fail to explain it simply, it means that you don’t understand the topic well enough. Bukan aku yang cakap ya, Albert Einstein yang cakap.”

Dek mendengar ceramah motivasi pendek itulah, Tasneem ada di atas kerusi itu, di hadapan meja itu biarpun pada mulanya, dia terasa segan bila diarah duduk di atas kerusi dan meja milik lelaki itu untuk mencari maklumat. Paling dia risaukan, tanggapan pegawai-pegawai lain kalau ada yang lalu-lalang, terlihat dirinya di situ. Mereka mesti menganggap yang bukan-bukan.

Tapi kalau bukan di situ, di mana lagi dia nak mencari maklumat? Di sini bukannya seperti di universiti, ada makmal komputer bagai. Lagipun, bukan dia yang memandai-mandai hendak duduk di situ, tapi atas arahan lelaki itu sendiri.

“Syed! Kenapa you tak balas SMS I?

Tasneem mengangkat wajahnya perlahan-lahan tatkala suara itu menyapa di hadapan pintu gelangsar yang baru dibuka.

“Ehhh… Awak ni student praktikal, kan? Awak buat apa dalam bilik Doktor Syed ni, ha? Pandai-pandai saja awak guna laptop dia ya!”

Suara wanita berambut ikal mayang yang berdiri sambil bercekak pinggang di hadapannya itu sedikit menggerunkan. Cepat-cepat Tasneem bangun.

“Maafkan saya, puan…”

“Doktor Aleesya.”

“Maafkan saya, Doktor Aleesya. Doktor Syed yang suruh saya duduk di sini…”

“Really? It’s sound stupid, dear. Which Doktor Syed are you talking about?”

Tasneem terdiam. Ceh… Speaking London pula dia ni! Dia ni siapa sebenarnya dengan Doktor Syed? PA? Tak mungkin. Dia pun ada pangkat doktor juga.

“Doktor Syed suruh saya cari maklumat tentang…”

“Tak payah nak buat ceritalah. Doktor Syed yang saya kenal tak akan bagi mana-mana perempuan duduk dalam bilik dia, lebih-lebih lagi atas kerusi dia dan guna komputer peribadi dia. So, apa awak buat kat sini?” soalnya sambil berpeluk tubuh dengan pandangan sinis.

“Betul, Doktor Aleesya…”

“Ohhh… Just shut up! Saya cukup masak dengan sikap pelajar praktikal perempuan macam awak yang datang sini pura-pura comel, kononnya nak belajar something tapi sebenarnya nak menggatal, mengurat lelaki macam Doktor Syed, kan?”

Tasneem menarik nafas panjang.

S. A. B. A. R. Perkataan itu cuba ditanam dalam dirinya. Kalau ikutkan fitrah dan perangai asalnya, memang dah lama perempuan di hadapannya ini dihabiskan cukup-cukup

Apa sebenarnya masalah dia ni? Datang-datang terus nak naik angin satu badan? PMS mungkin? Tak pun marah sebab cintanya kepada Doktor Syed tak berbalas? Ahhh… Kenapa pula hal peribadi Doktor Syed nak menjadi urusannya pula?

“Saya bukan macam yang Doktor Aleesya cakapkan tu…”

“Well, yeah. Sesiapa pun boleh cakap macam tu, even you. Tapi tengok apa yang awak buat? Opposite! Awak tahu tak, belum pernah ada perempuan duduk atas kerusi tu?”

Habis tu? Ada aku kisah? Gatal saja mulut Tasneem hendak menjawab, tapi hanya mampu diluahkan dalam hati.

“Kalau Doktor Aleesya tak percaya, doktor boleh tanya pada Doktor Syed…” Tasneem cuba bertegas.

“Enough girl! Pack your things, and get out from this room right now!”

Darah Tasneem sedikit menyirap apabila suara itu sedikit meninggi hingga ada beberapa orang yang lalu berhampiran berpaling. Gatal sahaja mulutnya hendak terus membalas tuduhan melampau itu tapi bila memikirkan tentang Mastura, hasrat itu dimatikan. Kesian pula dia kepada Mastura. Dia yang membuat hal, Mastura pula nanti yang mendapat malu!

Perlahan-lahan Tasneem mencapai kertas dan telefon bimbitnya. Kemudian dia mengatur langkah keluar dari bilik itu, diiringi jelingan tajam Doktor Aleesya.

“Ha… Kalau betul awak nak cari bahan, pergi ke lobi. Pinjam komputer Hani dekat meja penyambut tetamu tu. Jangan berani-berani lagi masuk bilik ni. Faham?”

Tasneem mengangguk perlahan. Malas nak bercakap banyak. Malas nak mencari gaduh!

“KAU buat apa kat sini?”

Tasneem berpaling. Melihatkan gerangan yang menegur, cepat-cepat dia berdiri tegak lalu tersenyum.

“Doktor Syed! Emmm… Saya cari bahan yang Doktor Syed nak tentang proses amidasi tu la.”

“Tapi kenapa kat sini?” soal Doktor Syed. Dahinya sedikit berkerut. Elok-elok dia suruh duduk di dalam bilik, kenapa pula nak mencari maklumat di meja penyambut tetamu?

“I yang halau dia dari bilik you, Syed. Budak ni, pandai-pandai saja masuk bilik you…”

“You halau dia? I yang bagi dia masuk, suruh dia guna laptop I. Yang you pandai-pandai halau dia, kenapa?”

Doktor Aleesya yang baru saja turun dari tangga kelihatan sedikit tergamam dengan jawapan yang diterima. Wajah Syed Nadzhan direnung dalam-dalam.

“Syed? I nak guna laptop you pun you marah… takkanlah…”

“Itu you. Tasneem bukan you!” Mata Doktor Aleesya membulat sebaik saja mendengar jawapan itu. Dia mendengus kasar sambil menayang wajah geram.

Tasneem mengetap bibir. Dia rasa serba salah untuk terus berada di situ. Perlahan-lahan dia menggaru kepalanya yang tak gatal. Apa kata kalau secara senyap dia beredar dari situ dan membiarkan pasangan kekasih ini menyelesaikan masalah atau konflik mereka berdua? Hmmm… Idea yang bagus.

“Tasneem, awak nak ke mana tu?”

Langkah Tasneem terhenti bila ditegur. Aik, dia memanggil aku dengan gelaran awak pula? Bukan selalu kau-aku ke?

“Saya… saya… nak masuk dalam makmal Doktor Syed…” jawab Tasneem takut-takut.

“Awak dah makan?” Tasneem menggeleng perlahan.

“Makan dengan saya.”

Tasneem tergamam. Wajah Doktor Syed kelihatan bersahaja. Tapi tatkala melihatkan rupa Doktor Aleesya yang merah padam dan masam mencuka sambil memandang ke arahnya, dia jadi kecut perut pula.

“Saya puasa.” Entah dari mana alasan itu tiba-tiba saja datang

“Sejak bila pula ada hukum dalam Islam, hanya berpuasa makan tapi minum boleh? Botol air kat tangan awak tu, apa bendanya?”

Gulp! Lagi sekali dia kantoi!

“Pergi masuk, ambil handbag awak. Saya tunggu dalam kereta. Oh, ya. Aleesya, mulai hari ni… I tak mahu you ganggu Tasneem lagi, okey. She’s…”

“She’s what?” potong Doktor Aleesya.

Tasneem terus melangkah laju, masuk ke dalam makmal. Dia tak mahu terus berdiri di situ dan mendengarkan jawapan dari mulut lelaki itu. Sudah pastilah jawapannya, she’s my practical student! Takkanlah dia nak jawab, she’s my girlfriend kut?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79885/meh-sandar-padaku

 

 

[SNEAK PEEK] TUAN ANAS MIKAEL

9789670567549-medium
Ebuku TUAN ANAS MIKAEL Oleh Syamnuriezmil

YA Allah Ya Tuhanku… Kau tetapkanlah hati aku! Kau tebarkanlah rezeki Kau di mana-mana. Nanti aku usahakan sendiri. Insya-Allah. Kalau tak boleh, paksa sampai boleh!

Mak tengok jam di dinding kemudian memandang aku semula.

“Tak pi?”

“Tak.”

Selalu jam pukul lapan pagi, mak sudah keluar. Kalau aku nak kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku kena keluar sama waktu macam mak keluar. Oleh kerana aku buat keputusan tak mahu kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku pun melepaklah di rumah. Siap-siapkan sarapan.

“Sungguh ke ni?”

“Mak… Kalau kita buat sesuatu keputusan, kita kena confident. Kalau tak confident, macam manalah Tuhan nak tolong kita? Kalau mak takut mak tak dapat pencen, mak tok sah risaulah. Nanti orang dapat kerja, orang ganti balik

duit pencen mak tu. Bukan Tuan Anas tu saja boleh bagi. Ni, Puan Ayu pun boleh, haihhh… Mak tolong doa saja orang dapat kerja.”

Mak mencebik bibirnya. Kalau tak dapat restu ni, macam mana? Makan apa aku dengan mak nanti kalau aku masih tak dapat kerja?

“La ni kerja bukan senang, Ayu oi…”

“Adalah sangkut kat mana-mana nanti. Bukan sikit orang hantar resume tu, mak. Banyak. Kalau niat kita untuk majukan keluarga kita, insya-Allah, Tuhan tolong. Yakin saja. Mak sendiri bagi orang mengaji tinggi-tinggi, tak nak bagi anak mak kerja tukang cuci. Sekarang mak pula pusing niat mak. Mana boleh lagu tu!”

Mak diam.

“Dahlah. Tak payah nak kalutlah. Kalau dia tu berhati-perut, kan mak… Dia bagi mak pencen mak tu. Kalau tak, tak payahlah mak nak agung-agungkan majikan mak yang pasal tangga pun nak pecat mak tu!”

Tak habis isu salah tangga. Nak saja aku haramkan semua tangga di dalam Malaysia ni. Tapi, kalau tak ada tangga, macam mana nak naik bangunan pencakar langit tu? Lagipun, aku bukannya PM yang orang nak dengar kata aku.

“Suka hati Ayulah.”

“Tak apalah, mak… Rezeki ada kat mana-mana. Mana tau sat lagi ada panggilan kerja? Orang bukannya bodoh sangat sampai satu pun tak dak tersangkut. CGPA, 3.80 kut!”

“Mak sukalah dengan confident kamu tu, Ayu. Tapi jangan nak confident sangat… CG kaaa… PA kaaa… Kalau tak dak usaha, tak daklah mai kerja!”

Aku angguk-angguk. “Tau haih… Orang dah pelan pagi ni nak menghala ke mana. Kalau boleh nak cari kerja yang dekat-dekat dulu. Motor arwah ayah tu bukannya boleh buat jalan jauh. Nanti ada duit sikit, orang pi cari kereta second-hand.”

“Yalah.”

“Mak rehatlah. Tak payahlah kerja. Ini masanya orang balas pula jasa mak bagi orang berjaya sampai sekarang.”

Mak senyum. Nampak garis tua di pipinya. Aku peluk bahu mak. Aku suruh dia duduk dan menjamah nasi goreng yang aku buat. Adalah rezeki tu kat mana-mana… Tak dapat jadi penasihat kewangan kat bank… jadilah financial controller pun tak apalah. Tak dak semua tu akauntan bodoh buat buku tunai pun jadilah! Kalau nak jadi gabenor bank negara teruihhh… tak dak kekosongan lagi. Heh, tak agak-agak punya tahap keyakinan aku ni!

Seharian aku dekat kafe siber tengok JobStreet. Aku dah hantar semua resume. Sambil tu aku pusing-pusing rumah kedai berhampiran rumah aku, tanya nak pakai pekerja ke tak. Susah sikit pun tak apalah. Asalkan tak tunduk pada ego Tuan Anas Mikael tu.

Masuk… seminggu. Aku masih tak dapat juga kerja. Dapat temu duga tapi semuanya tangguhkan keputusan. Tak apa, aku masih bersabar. Duit tabungan masih cukup nak bagi makan mak lauk sedap-sedap lagi.

“Mak rasa, mak dah sihat. Mak pi cari kerja, ya? Tolong Ayu?”

“Eh, tak payah.”

“Tak apalah, Ayu. Mak kuat lagi ni. Kalau duduk di rumah, lagi sakit-sakit badan mak ni.”

Aku terdiam. “Mak nak pi cari kerja mana?”

“Tengoklah.”

“Jangan nak pergi rumah Tuan Anas mak tu.”

“Dia ada telefon mak semalam…”

“Dia call mak?”

“Ya…”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap… anak Cik Su ada hutang tak berbayar. Bila nak bayar?”

Kurang ajarrr!!!

Memang tak makan dek ajar betul. Apa yang aku hutang dia? Setahu aku dah selesai semua. Kalau aku tak terima tawaran dia, mak aku diberhentikan kerja. Kan itu namanya hutang langsai. Apa masalah Tuan Anas ni?

“SAYA nak jumpa Tuan Anas Mikael. Ini kad pengenalan saya, pak cik!”

“Tuan Anas tak nak jumpa sesiapa terutamanya kamu.”

“Fine. Saya nak jumpa dia selesaikan hutang tapi dia tak nak jumpa saya. So, satu sama.”

“Apa? Nak selesaikan hutang?”

“Yalah.”

“Kalau macam tu, Tuan Anas menunggu kamu di dalam.”

“Pula!”

Dengar saja kata-kata aku nak jumpa nak bayar hutang, cepat saja pak guard kekwat tu kata aku boleh masuk. Sah, skrip ini dibuat oleh Tuan Anas. Sama kekwatlah macam majikannya juga!

“Tapi dengan syarat…”

“Apa syaratnya?”

“Penyelesaian hutang bukan dengan wang ringgit tapi dengan menggantikan tempat Cik Su.”

Macam mana dia tahu aku nak bayar ganti rugi rawatan dia pi hospital atau klinik atau bayaran kepada doktor peribadinya, gara-gara dia jatuh tangga kerana aku? Aku dah pecahkan tabung Hello Kitty aku tadi. Dapatlah dalam lima ratus ringgit. Takkan jatuh sikit nak kena pakai sampai lima ratus, kan… Paling kurang pun seratus lima puluh ringgit. Tapi, aku bawa jugalah lima ratus ringgit di dalam poket ni. Tuan Anas ni scan kepala otak aku ke?

“Hesy…”

“Macam mana?”

“Macam mana pun, saya dah tak boleh larilah ni?”

“Tak boleh. Hutang perlu dibayar!!!”

Suara Tuan Anas dari walkie-talkie pak guard kekwat tu, berbunyi. Ceh! Main cak-cak pula. Aku lantas memegang walkie-talkie tu dan memandang ke arah CCTV yang ada di atas kepala aku.

“Saya ada degree tau. Apa hal pula saya nak kena kerja tukang cuci dekat rumah tuan pula?!”

“Degree awak tu standard degree tukang cuci rumah saya saja.”

Memang kurang ajar betul mulut mamat tu! Penat-penat aku belajar, dia kata ijazah aku standard tukang cuci rumah dia. Haih, kalaulah ada cili api dekat tangan aku sekarang ni, memang aku cili walkie-talkie tu!

Kalau aku tak bayar dengan tulang empat kerat aku ini, sahlah Tuan Anas tu tak akan berhenti menggunakan tulang empat keratnya mengugut mak. Sudahlah mak tu tak boleh nak stres. Apabila stres, darah dia naik. Nanti aku juga yang susah hati. Kalau aku terima kerja dekat rumah Tuan Anas, aku pula yang stres dan darah aku pula yang naik. Tapi, biarlah darah aku yang naik… asal bukan mak. Lagipun aku bukannya ada kerja apa-apa. Duit simpanan pun semakin menipis.

Nak tak nak…

“Baiklah. Kali ini saya mengalah pada ego tuan. Hari ini, hari tuan.”

Aku dengar tawa Tuan Anas kuat dari corong walkie-talkie tu membuatkan aku betul-betul sakit hati. Ya Allah, Ya Tuhanku… Aku tak tahulah kenapa jalan ke rezeki ini yang Kau bukakan untuk aku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Haipppp… Mungkin… Mungkin apa dia? Kau kena yakin, Ayu!

“HAI… Saya Kay.”

Aku berjabat tangan dengan seorang perempuan berskirt pendek dan berambut panjang. Sesuailah dengan nama dia yang moden itu.

“Saya PA kepada Tuan Anas. Segala hal di dalam rumah dan di luar rumah, saya yang akan laporkan kepada

Tuan Anas.”

Aku mengangguk-angguk.

“Pencen Cik Su telah pun saya masukkan ke dalam akaun Cik Su. Surat penamatan perkhidmatan Cik Su telah pun saya courier ke rumah. Ini pula surat pelantikan untuk Cik Ayu. Sila baca surat dan perjanjian ini kemudian tandatangan di muka surat paling belakang.”

Aku membaca surat itu dengan perlahan. Dahi mula berkerut. Kemudian aku pandang Kay. “Awak salah taip gaji ni kut…”

Kay tersenyum. Dia menggeleng.

“Takkan sepuluh ribu sebulan kut. Standard gaji tukang cuci yang saya tahu dekat Malaysia ni dalam sembilan ratus. Tu minima. Kalau ada pengalaman mungkin seribu hingga seribu lima ratus ringgit. Tak pernah dengar sepuluh ribu kut!”

“Ini gaji awak, Cik Ayu. Gaji awak setimpal dengan kerja yang awak kena buat. Bacalah JD awak tu…”

Aku terdiam. Memang berhelai-helai job description yang aku kena buat tu… tapi…

“Sebelum saya sain, saya nak tahu, Tuan Anas ni bukannya pengedar dadah, kan? Saya bukannya kena jadi keldai dadah, hantar dadah ke Afrika, kan? Atau cuci duit dia daripada duit haram kepada duit halal?”

Kay ketawa. “Tak adalah. Tuan Anas bukan seperti yang Cik Ayu fikirkan.”

“Manalah tahu. Kaya sangat sampai tak tahu duit tu nak buat apa. Sampai bagi gaji mengarut-ngarut. Mana tahu nak bersihkan duit…”

Selamba saja aku menuduh. Bukannya nak toleh,

kanan kiri. Sekali…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

Tuan Anas muncul. Aku terdiam. Itulah, mulut tak ada insurans!

****

BANYAK kut perbezaan kalau buang satu kosong. Memang taklah aku nak tolak. Sudah pasti aku akan terima punya. Kawan-kawan aku yang grad sama dengan aku pun belum tentu boleh dapat gaji banyak macam tu. Kalau jadi pegawai bank pun dalam dua ribu lima ratus ringgit gitu. Tapi aku boleh dapat sepuluh ribu! Nampaknya, bulan pertama gaji saja dah bolehlah aku beli kereta dan rumah sendiri nanti. Mulalah tu nak berangan.

Tapi…

Untuk mendapatkan gaji sepuluh ribu sebulan tu bukan kerja senang. Bukan hanya menjadi tukang cuci. Sahlah kerja pun kerja yang berharga sepuluh ribu sebulanlah. Tengoklah JD yang diberikan kepada aku. Mak yang baca pun… tak tertelan air liurnya! Mulanya aku pun tak yakin tapi oleh kerana aku tak ada pilihan lain, aku sain sajalah. Boleh ke tak boleh ke… itu belakang kira! Paling teruk pun kena pecat saja. Kalau kena pecat, lebih baiklah! Tak payah kerja dengan Tuan Anas Mikael kekwat meluat tu!
Job Description.

Ayu Maisarah binti Ayman.

Kerja bermula pukul empat pagi, berakhir pada waktu tidak diperlukan.

Aku baca itu saja, aku dah menelan air liur. Empat pagi tu tak apa lagi, tapi berakhir pada waktu tidak diperlukan? Itu memang gila. Aku dapat bayangkan dua puluh empat jam aku akan duduk bersebelahan dengan dia. Mana taknya, kalau tengok senarai JD aku… dah macam kerja jadi isteri dia pula.
1. Jam empat pagi, ketuk pintu bilik. Kejutkan bangun pagi. Sediakan pakaian untuk bersenam.

2. Rumah perlu dibersihkan sebelum jam tujuh pagi. (Sila tengok lampiran.)

Aku buka lampiran. Cadar perlu ditukarkan setiap hari Ahad, setiap lima bilik. Lantai perlu disapu dan mop setiap hari. Susun atur jangan diubah. Kalau senget, sengetlah! Dahi berkerut… Pula?
3. Sarapan perlu disediakan sebelum jam tujuh setengah pagi. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu! Makkk aiii…

Ni semua aku kena masak ke? Apa kejadah? Green Chile Tortilla Scramble? Errr… Pesto Scrambled Eggs? Tak boleh ke roti canai cecah kari?
4. Siapkan baju untuk ke tempat kerja setiap jam lapan pagi. Sila pilih baju mengikut kod. (Sila tengok senarai kod di lampiran.)

Aku selak lampiran. Sekali lagi aku menelan air liur. Sebulan punya senarai. Isnin lain… Rabu lain… Hari-hari lain! Berapa besar mamat tu punya almari baju? Huh!
5. Update semua appointment dengan Kay.

6. Siapkan makan tengah hari sebelum pukul satu petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu lagi…

Tak ada maknanya mamat ni makan makanan Melayu! Semua makanan berbelit-belit nak menyebutnya. Dah serupa menonton MasterChef dah! Kalau dah namanya orang kaya berlagak… macam inilah, Ayu oiii… Apalah kau nak harapkan?
7. Hantar dobi, ambil dobi. Baju semua dry clean. Sila susun ikut kod.

8. Sediakan makan petang tepat jam lima petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Kuat betul mamat ni makan. Kali ini makanan untuk minum petang tak panjang. Satu saja. Karipap inti daging cincang dan kentang. Itu sajalah masakan Melayu yang aku tengok. Hemmm… Ada apa dengan karipap inti daging cincang dan kentang ni?
9. Semua kenderaan di basement perlu berjalan dua kali sebulan. Pastikan semua kenderaan mempunyai minyak secukupnya. Jangan lupa untuk cuci dan servis bila tiba masanya. Take note bila kena renew road tax dan insurans. (Senarai ada di lampiran.)

Aku buka lampiran. Kenyang telan air liur sendiri! Sepuluh buah kereta dan lima buah motor berkuasa besar… Gila!
10. Bersihkan set golf setiap kali selepas permainan.

11. Makan malam pukul tujuh malam. Segelas susu dan sekeping biskut oat.

12. Pastikan rumah berkunci dan alarm on sebelum tidur.

13. Kerja-kerja adhoc lain.

Huh!

Nampak macam sikit. Nampak macam senang. Tapi, aku rasa sangat sibuk. Setiap jam ada saja kerjanya. Nombor tiga belas tu paling nayalah. Seram pula apabila aku fikirkan hari esok!

Tapi, sepuluh ribu punya pasal…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

“Tak baik kalau dah bagi, tarik balik. Buruk siku kepala lutut namanya!”

Tuan Anas Mikael serius saja memandang aku. Dia langsung tak senyum. Sikit pun tak ada. Aku dengar dia gelak pun dari walkie-talkie tu. Itupun aku tak yakin dia yang gelak. Mungkin dia suruh sesiapa menyamar. Boleh ke dia gelak kalau dia serius saja macam ni? Tangannya asyik berpeluk tubuh. Bererti dia ialah seorang yang sangat kejam. Orang yang suka berpeluk tubuh ni orang yang tak ada keyakinan diri. Tapi mata redup dan tajam memandang dengan kening lebat dan tersusun. Buat lagi seram! Tapi setakat dia ni… apa ada hal? Aku lagi takut Tuhan!

“Jangan lupa buat full medical check up selepas ini sebelum dia sain surat ni, Kay. Takut kita lantik orang kepala otak tak betul buat kerja! Jangan buat rugi 0.0001 peratus duit saya!”

“Kalau saya tak betul pun, bukan kerana dilahirkan tak betul. Tapi ditakdirkan berjumpa dengan tuan,” bebel aku perlahan.

“Apa awak cakap?”

“Terima kasih tuan sebab bagi saya kerja.”

Aku pusing. Heh… Mampuih kalau dia dengar!

“Dalam rumah ni ada banyak CCTV. Kalau awak buat macam-macam, Cik Ayu… Awak tahulah nasib awak. Pergi buat medical check up. Kalau approved, sila sain surat itu. Pindah masuk hari ini juga dan bersedia untuk bayar hutang awak esok!”

Keras arahan Tuan Anas Mikael. Jadi, tadi Kay bawa aku pergi klinik dan buat pemeriksaan kesihatan. Aku lulus dengan cemerlang dan bolehlah Tuan Anas Mikael tu nak belasah tulang empat kerat aku yang terlebih kalsium ni.

“Tuan Anas tu baik orangnya.”

“Ada CCTV ke dalam kereta ni, Kay?”

Kay ketawa. “Saya memuji bukan sebab saya nak gaji lebih. Tapi dia memang seorang majikan yang baik hati. Dia prihatin dengan kesihatan Cik Su. Itu sebab dia suruh Cik Su buat kerja ringan-ringan saja. Kalau tak siap pukul sepuluh pagi, rehat, pukul dua belas tengah hari buat pula.”

Aku terdiam.

Yalah tu. Baik ada maknaaa…

AKHIRNYA, aku dan mak aku pindah juga ke rumah Tuan Anas. Mak… seronok. Rumah yang aku dan mak duduk itu memang bersambung dengan rumah Tuan Anas. Bahagian dapur ke dapur. Agak besar juga. Cukuplah aku dengan mak. Rumah sedia ada yang aku dan mak tinggal pun rumah sewa saja. Tak apalah. Nanti gaji, kumpul-kumpul, aku beli rumah untuk mak.

“Tidurlah. Esok nak bangun pukul empat pagi.” Mak menguak pintu bilik aku.

“Hemmm…”

Aku masih melipat baju kemudian masukkan ke dalam almari. Aku baru selesai membaca senarai kerja itu sekali lagi. Sajalah… Sambil lipat baju, sambil rancang apa yang aku nak buat esok. Aku memang suka merancang dulu. Jadi, tak adalah kelam-kabut dan tak yakin dalam menyiapkan kerja.

“Kerja elok-elok, Ayu. Jangan sia-siakan peluang ni. Walaupun kerjanya renyah, setimpallah dengan apa yang Ayu dapat.”

“Orang kaya, mak… Kalau tak dapat nak belit, bukan orang kayalah, mak. Tapi kalau orang beriman, maaf itu sudah cukup. Orang yang memberi maaf itu bukan saja menghapuskan dosa, tapi memudahkan jalan ke syurga tau!”

Mak senyum. “Jadi… anak mak kenalah mula dulu. Maafkanlah dia!”

Memang taklah!!!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66769/tuan-anas-mikael

 

REVIEW LAYAKKAH AKU?

9789670890364-medium
EBUKU LAYAKKAH AKU? OLEH AZURA RASIDDIN

26 tahun Farra Hani hidup dalam kebenciaan ibu kandungnya. Dia bukan sahaja dibenci oleh ibu kandungnya, malah dia juga dibenci oleh Mikail Amsyar. Lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Sedar dirinya dibenci, Farra Hani cuba menahan diri daripada terbuai dengan layanan mesra Mikail Amsyar yang tidak tahu identiti sebenarnya.
“We have another date then.” – Mikail Amsyar
“Errr, it is not a date. It is a normal dinner.” – Farra Hani
“Tapi bagi I, it is a date. So, see you tomorrow, sayang.” – Mikail Amsyar
Semakin dia cuba larikan diri, semakin dekat lelaki itu dengannya. Puas berlari, Farra Hani memutuskan untuk menerima lelaki itu selagi identitinya tidak diketahui. Di Cameron Highlands, Mikail Amsyar melamar Farra Hani untuk menjadi suri dalam hatinya dan di Cameron Highlands juga identiti Farra Hani terbongkar.
“Eh, perempuan! Kau sedar tak selama ni aku benci kau? Boleh pula kau tayang wajah tak bersalah kau kepada aku. Kau boleh selamba aje dengar aku cerita pasal perasaan benci aku kepada perempuan yang dah hancurkan hidup adik aku masa kat Cameron. Dasar perempuan tak tahu malu. Tak ada maruah. Aku benci tengok kau. Aku benci tengok lakonan kau. Aku benci tengok kepura-puraan kau!” – Mikail Amsyar
Dalam kebencian, akhirnya Mikail Amsyar dan Farra Hani disatukan jua. Farra Hani tuduh Mikail Amsyar memerangkapnya. Mikail Amsyar pula menuduh Farra Hani. Mereka saling tuduh-menuduh. Kalau bukan mereka, siapa pula yang memerangkap mereka?
Setelah memastikan sesuatu, Farra Hani mula sedar siapa yang memerangkap mereka. Farra Hani reda dengan pernikahannya. Meskipun dia rasa bersalah kerana mengheret Mikail Amsyar dalam masalahnya, dia bersyukur kerana dia diperangkap dengan Mikail Amsyar. Bukan lelaki lain. Dia ikhlas menjadi isteri Mikail Amsyar.
Namun, ikhlaskah Mikail Amsyar untuk menerima Farra Hani sebagai isterinya? Bisakah dia memaafkan Farra Hani setelah apa yang gadis itu lakukan kepada keluarganya? Layakkah Farra Hani untuk memiliki cintanya?


Sebuah cerita yang penuh konflik. Kepada pembaca yang minat dengan cerita yang jalan ceritanya agak berat, admin sarankan cerita ini. Lepas satu msalah, masalah lain timbul. Lepas satu pembunuhan, pembunuhan yang lain timbul. Apa yang sebenarnya terjadi dan yang paling penting siapa dalang disebalik semua cerita dusta ini!!!

Hani yang dikatakan stalker akhirnya terperangkap bersama Mikail. Siapa yang melakukan semua ini? Atas dasar terpaksa, mereka disatukan juga. Sudah lah tidak saling mencintai. Hidup mereka ibarat jodoh. Seringkali bertemu dan itu yang Hani katakan coincident. Akan terungkaikah kisah sebenar tentang siapa Farra Hani sebenarnya. Oh admin baru faham. Life is really complicated sekarang!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79453/layakkah-aku

 

 

 

[SNEAK PEEK] MISS YOU MR. ARROGANT

 

9789670890357-medium
EBUKU Miss You Mr. Arrogant Oleh Aliesha Kirana

ZAARA merenung jam dinding di dalam biliknya itu. Sudah menghampiri jam lima petang. Telekung yang tersarung di tubuhnya saat itu pantas dibuka lalu disimpan di tepi katil setelah selesai menunaikan solat asar. Tubuhnya dihempas perlahan ke atas katil. Matanya terasa terlalu berat setelah seharian menguruskan rumah.

Wajah Iman yang sedang nyenyak tidur diusap perlahan lalu dikucup lembut. Dia tidak mahu mengejutkan anak kecil itu. Pejam celik, pejam celik, sudah lebih lima tahun usia perkahwinannya dengan Irham dan sudah empat tahun Allah kurniakan anak kecil itu kepada mereka. Zaara rasa begitu bersyukur kerana dia punya sebuah keluarga yang lengkap walau pelbagai dugaan melanda sebelum ini.

Siapa sangka perkahwinan tanpa cinta dan kerana terpaksa boleh memberikannya sebegitu banyak bahagia yang tidak pernah dia impikan selama ini? Ya, walaupun Irham masih seperti Irham yang dikenalinya lima tahun lalu, masih berlagak, masih tak nak kalah, masih sedingin ais, masih mengekalkan trademark mr. arrogantnya, namun Zaara tahu Irham sayangkan dia.

Kalau tak sayang, tak adalah Irham pernah cuba membuang perangai arrogantnya itu. Tapi Zaara sendiri yang meminta dia berhenti kerana nampak palsu sangat. Sungguh Zaara sudah tidak kesah. Dia sudah terbiasa dengan Irham yang ini. Jadi, dia tidak perlukan Irham yang sebegitu. Irham yang sekarang sudah cukup sempurna bagi seorang Zaara.

IRHAM menjenguk sebelum melangkah perlahan memasuki ruang kamar tidurnya itu. Dia tidak mahu mengejutkan dua insan kesayangannya yang sedang lena tidur. Jam di tangannya dikerling. Sudah menghampiri jam enam setengah petang.

Dia pantas menghampiri Iman sebelum mengucup pipi anak kecil itu. Wajah Zaara yang terlena dipandang seketika. Jelas terpancar keletihan di wajah isterinya itu. Irham mencempung Iman dengan berhati-hati sebelum dibawa ke katil kanak-kanak yang tersedia di sebelah katil bersaiz king itu. Dia meletakkan anaknya dengan berhati-hati sebelum kembali ke katil.

Irham melonggarkan ikatan tali lehernya sebelum melabuhkan punggungnya di atas katil itu. Dia mengengsot mendekati Zaara sebelum baring di sebelah isterinya dengan mengiring menghadap wajah mulus itu. Wajahnya didekatkan dengan wajah Zaara hingga desahan lembut isterinya itu bisa didengar dengan jelas. Tangannya didepang, mendakap Zaara sebelum matanya turut dipejam. Terasa semua keletihan dunia hilang begitu saja saat kehangatan tubuh Zaara meresapi dirinya.

ZAARA terjaga ketika dia merasakan bahunya kian memberat seperti dihempap sesuatu. Matanya dibuka sebelum dia terpanar melihat Irham sedang berbaring di sebelah dengan satu tangan mendakap dirinya. Tangan Irham dialih dengan berhati-hati sebelum dia perlahan. Dia duduk, meraup wajah dan mengikat kembali rambutnya yang sudah kusut. Jam di dinding dipandang seketika kemudian matanya membulat.

“Awak! Bangun, awak!!!” Zaara memanggil Irham sekuat hati membuatkan Irham yang baru saja terlelap, bangun terkulat-kulat.

“Ada apa ni?” Matanya digosok perlahan. Kantuknya masih belum hilang.

“Dah pukul tujuh, awak! Cepatlah bangun solat subuh. Dah lambat ni. Karang awak lambat pergi kerja pula. Saya pun belum solat lagi ni. Astaghfirullahaladzim! Macam mana boleh terlajak tidur ni?” Zaara kelam-kabut lalu pantas turun dari katil.

Belum sempat Zaara membawa langkah ke bilik air, Irham memegang tangan Zaara erat, menghalangnya daripada melangkah.

“Isy, kenapa ni, awak? Dah lambat dah ni.” Zaara kegelisahan. Irham menjeling tajam.

“Sekarang pukul berapa?”

Zaara memandang jam di dinding semula, memastikan yang dia tidak tersilap melihat.

“Betullah dah pukul tujuh.” Zaara yakin.

“Memanglah. Tapi pagi ke petang?” Irham menyoal lagi. Zaara menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Irham bingkas bangun dari katil tanpa menunggu Zaara membalas. Tuala yang tersidai di penyangkut segera diambil sebelum memandang Zaara semula.

“Lain kali jangan tidur lepas asar, kan dah jadi gila.” Irham mencuit hidung Zaara sebelum membawa langkah ke dalam bilik air.

Zaara terpinga-pinga. Jam di telefon bimbitnya pula dikerling. Subhanallah, tujuh petang rupa-rupanya! Zaara mengetuk dahinya sendiri.

“KEPALA dah okey?” Irham menyoal saat mereka usai bersolat maghrib berjemaah malam itu. Zaara menarik muncung, tidak suka diusik Irham sebegitu.

“Kalau tak okey lagi, saya nak hantar hospital sakit jiwa, boleh kawan dengan Faisal.” Irham ketawa mengekek.

“Awak! Tak baik tau cakap macam tu.” Zaara geram. Kenapa soal Faisal pula yang diungkit? Dia tak bersalah pun dalam soal ini.

Irham terus ketawa mengekek. Terasa lucu sekali saat mengingati kejadian tadi. Macam manalah tujuh petang boleh disangka tujuh pagi? Ini benar-benar lawak! Muncung Zaara kian panjang saat mendengar tawa Irham yang tidak surut dari tadi. Hatinya benar-benar rasa sebal.

“Saya gurau ajelah.” Irham bersuara tidak lama kemudian setelah tawanya hilang. Dia enggan memanjangkan lagi usikannya. Dia bangun melipat sejadah sebelum memandang Zaara semula.

“Okey, saya minta maaf. Tak payahlah nak muncung macam tu sekali. Saya sangkut sejadah dekat bibir awak tu baru tahu.”

Zaara mendengus geram sebelum ikut bangun membuka telekung yang tersarung di kepalanya. Dia langsung tidak membalas kata-kata Irham. Bukan boleh dilayan usikan suaminya itu. Karang makin galak dia mengusik.

“Jom, teman saya makan.” Irham menggenggam erat tangan Zaara sebaik isterinya itu selesai menyangkut telekung dan sejadahnya. Dia menarik tangan isterinya keluar dari bilik dan cuba memujuk isterinya yang masih mencuka.

“Makanlah sorang-sorang.” Zaara langsung tidak memandang ke arah Irham.

“Janganlah macam tu. Tak kesian dekat saya ke? Dari tadi saya tak makan apa-apa tau.” Irham cuba memancing dengan ayat meminta simpati. Perutnya ditekan tanda dia kelaparan. Zaara cuma diam memerhati, tidak memberi sebarang reaksi.

“Jomlah!” Irham tersengih lalu menarik tangan Zaara membuatkan Zaara tidak punya pilihan lagi. Irham tahu panas dalam hati Zaara sudah surut sebaik melihat wajah cemberut isterinya itu sudah kembali normal walau senyuman belum bisa terukir.

“Awak ni jahat, kan!” ucap Zaara sebelum bahu Irham ditampar sepantas kilat. Dia membawa langkah untuk turun ke dapur, ingin memanaskan semula lauk-pauk yang dimasaknya hari ini. Dia meninggalkan Irham terpinga-pinga sambil menggosok bahunya yang pedih.

“IMAN buat apa dekat rumah hari ni?” Irham sibuk melayan anak kecilnya itu di hadapan televisyen. Zaara sibuk di dapur, mengemas selepas selesai makan malam.

“Main game.” Iman mendongak memandang bapanya yang sedang meribanya saat itu.

“Game apa?”

“Game lari-lari dekat keretapi. Game penyek semut. Game Pou,” petah anak kecil itu menjawab membuatkan bibir Irham automatik mengukir senyum.

“Iman main game aje hari ni?” Irham mengucup ubun-ubun Iman sebelum mengusap lembut rambut anaknya. Iman menggeleng.

“Mama bawa pergi supermarket. Beli ikan.” Mulut itu masih laju berceloteh dalam pelatnya yang pekat. Irham mengangguk sebelum berpaling mencari kelibat Zaara yang masih tidak kelihatan. Dari jauh Irham dapat melihat Zaara sedang asyik membasuh pinggan mangkuk. Hatinya jatuh kasihan melihat isterinya itu masih sibuk di dapur saat itu. Satu keluhan keluar dari bibirnya. Anak kecilnya itu dibiarkan menonton sendirian sementara dia melangkah masuk ke dapur menghampiri Zaara.

“Sudahlah, sambung esok pula.” Irham bersuara di tepi telinga Zaara.

“Oi, mak terkejut!” Zaara melatah membuatkan dia terhempas pinggan ke dalam singki. Dia berpaling melihat Irham dengan wajah geram.

“Isy, awak ni!!! Tak buat saya terkejut tak sah ke?” Hatinya sebal. Mujur pinggan itu tidak pecah. Pinggan itu dikutip semula sebelum dibilas kembali.

“Macam tu pun nak terkejut. Teruk sangat latah awak ni. Dah macam Mak Enon saya tengok.”

“Mana ada!”

“Hah! Tengok. Muka pun dah sama.”

“Isy, awak!” Zaara geram. Lengan Irham dicubit membuatkan Irham mengaduh.

“Sakitlah! Tangan macam ketam!”

“Siapa suruh cakap macam tu?”

“Itu pun nak marah. Betul apa saya cakap.”

“Eee, geramnya. Dah, pergilah depan. Yang kacau saya dekat dapur ni kenapa?”

Irham diam. Air paip yang masih laju mengalir segera ditutup.

“Dah, pergi tidurkan Iman lepas tu tidur. Sambung esok aje kerja ni semua.”

“Eh, mana boleh tinggal kerja sekerat jalan macam ni. Tak baiklah, awak. Kejaplah. Lagi sikit nak siap dah.” Zaara ingin membuka paip air semula namun segera dihalang Irham.

“Saya cakap tak payah, tak payahlah. Dah, pergi tidurkan Iman.”

Zaara mengeluh. Dia memang tak mampu nak lawan arahan tuan besar seorang ni.

“Yalah. Saya pergilah ni.” Zaara ingin melangkah namun dia teringatkan sesuatu. Langkahnya mati. Wajah Irham dipandang semula.

“Eh awak, minggu ni saya nak balik kampung, ya. Dah lama tak jenguk ibu dengan ayah. Awak ikut sekali, ya.”

“Tak boleh. Sibuk,” pendek Irham membalas membuatkan Zaara mencebik.

“Alah, ambillah cuti.”

“Kan saya dah cakap tak boleh. Banyak kerja dekat ofis tu. Tak faham ke?” Jawapan Irham itu membuatkan bibir Zaara menarik muncung panjang.

“Yalah. Saya dengan Iman balik sendiri, awak pergilah kerja tu.”

“Esok saya hantar awak balik kampung. Nanti hari Ahad saya datang ambil.” Irham menerangkan rancangannya kepada Zaara. Zaara buat tidak dengar sahaja. Dia segera melangkah keluar dari dapur dengan wajah mencuka. Irham tersenyum sendiri sebelum matanya jatuh pada pinggan mangkuk di dalam singki. Kemudian lengan baju Melayu yang dipakainya disingsing. Dia kembali membuka paip lalu menghabiskan baki pinggan mangkuk yang masih belum dibilas di dalam singki itu.

“KAMU tak tidur sini ke Irham?” soal Haji Zaidi saat Irham bersalaman dengannya. Ketika itu Irham meminta diri untuk pulang petang itu selepas menghantar Zaara dan Iman ke kampung.

“Orang tu sibuk kerja, ayah. Mana ada masa.” Zaara memerli dari belakang.

Isy, bukannya nak cover aku! bisik Irham dalam hati. Dia membeliakkan matanya memandang Zaara dengan rasa tidak puas hati.

“Janganlah kerja teruk sangat sampai tak ada masa untuk berehat, Irham. Sekali-sekala tidurlah sini, rehatkan fikiran.”

“Hari ni memang tak boleh, ayah. Insya-Allah, nanti Irham datang balik.” Irham memaniskan mukanya, enggan membuatkan bapa mentuanya itu terasa.

“Yalah. Ayah faham. Jaga diri kamu.” Haji Zaidi menepuk bahu menantunya itu. Dia cuba mengurangkan rasa bersalah dalam hati Irham.

“Saya balik dulu.” Irham menghulur tangan ke arah Zaara. Zaara sambut tangan Irham tanpa memandang wajah suaminya itu. Hatinya masih terasa namun dia tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz dengan tidak melayan Irham.

“Bawa kereta elok-elok,” pesan Zaara.

“Awak pun jaga diri.” Irham sempat berpesan sambil mengusap kepala Zaara sebelum bingkas memasuki perut keretanya.

****

IRHAM merenung jam di pergelangan tangannya sekali lagi. Masa yang berlalu terasa begitu lambat sekali. Dari tadi dia kegelisahan macam cacing kepanasan, menanti detik untuk pulang kerana ada agenda yang dia mahu selesaikan. Walaupun dia CEO kepada syarikat ini, namun itu bukanlah tiket percuma untuk dia pulang atau keluar sesuka hati. Dia harus menjadi contoh kepada para pekerja dan bukannya menyalahgunakan kuasanya.

“Irham…” Satu suara garau menerpa gegendang telinganya membuatkan Irham lekas mengangkat muka. Seraut wajah tua itu tersenyum kepadanya saat mata mereka bertentangan.

“Papa buat apa datang ke ofis ni?” Irham bersuara sebaik melihat wajah itu. Sejak Irham mengambil alih syarikat beberapa tahun lalu, papanya sudah jarang datang ke pejabat. Tapi entah kenapa hari ini papanya muncul, dia sendiri tidak pasti.

“Saja nak tengok keadaan pejabat. Dah lama rasanya papa tak menjengah.” Susuk tubuh itu melangkah masuk ke bilik pejabat Irham sebelum mengambil tempat di atas sofa bersebelahan meja Irham.

“Papa kan tak berapa sihat, papa rehat sajalah dekat rumah. Irham boleh uruskan semuanya, pa.” Irham turut melangkah ke sofa lalu melabuhkan punggungnya di situ. Dia menghadap papanya dengan penuh rasa hormat.

Tan Sri Zahir tersenyum. Dia tahu anak lelakinya itu memang boleh diharap untuk menjaga syarikat itu, namun bukan itu tujuannya datang ke pejabat hari ini.

“Papa percaya pada kebolehan kamu, Am. Cuma…” Tan Sri Zahir berjeda seketika sambil merenung jam di tangan. Baru pukul sembilan setengah pagi.

“Papa tahu kamu nak balik kampung Zaara hari ini. Papa datang ni nak tolong tengokkan ofis.” Wajah Irham berubah sebaik mendengar kata-kata papanya. Perlahan bibir Irham mengorak senyuman lebar.

“Ya ke ni, papa? Macam mana papa tahu?” Irham menyoal dalam nada teruja. Tan Sri Zahir tersenyum. Dia sudah mengagak perkhabaran itu menggembirakan anaknya.

“Mama kamu yang beritahu papa. Alang-alang papa tak ada program hari ini, tak salah kalau papa tolong kamu uruskan syarikat, kan?”

“Molek sangat tu, papa.” Irham tersengih. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya. Memang dari tadi dia asyik menghitung detik untuk pulang.

“Tapi tak menyusahkan papa ke?” Irham menyoal semula, gusar.

“Tak apa, kamu jangan risaulah. Sebelum papa serahkan syarikat ni dekat kamu, sudah tiga puluh tahun papa uruskan syarikat ni sendirian. Setakat tolong urus hari ni, small matter.” Irham ketawa kecil mendengar kata-kata papanya.

“Terima kasih, papa. Hari ini tak ada perkara penting sangat pun untuk diuruskan. Cuma pukul tiga nanti ada dua orang akan datang untuk temu duga jawatan pegawai pemasaran. Itu saja.” Irham mengingatkan sebelum dia sendiri terlupa.

“Tak apa. Kamu baliklah, Irham. Kalau ada hal penting nanti, Hani akan inform papa sendiri.” Irham mengangguk tanda mengerti sebelum mengemaskan barangnya.

“Kalau ada apa-apa, papa call aje Irham, okey?”

Tan Sri Zahir mengangguk perlahan bersama senyuman di wajah. Dia enggan membuang masa Irham yang memang sudah kelihatan begitu teruja untuk pulang.

“Terima kasih, papa.” Irham bersuara ketika melangkah keluar dari biliknya itu dengan pantas.

Zaara, aku datang!!! Irham menjerit dalam hati.

“UHUK… Uhuk…” Zaara yang sedang menghirup kopi panas di dalam cawannya tiba-tiba tersedak. Perit tekaknya saat itu membuatkan wajahnya berubah kelat.

“Kenapa ni, Zaara? Kamu tak apa-apa ke?” Hajah Amina menggosok perlahan belakang Zaara.

“Zaara okey, ibu. Tersedak sikit aje.”

“Itulah, jangan minum laju sangat. Kopi tu panas lagi.” Hajah Amina mengomel melihat keculasan anaknya itu.

“Zaara minum perlahan-lahan dah tadi ibu, tapi entah kenapa boleh tersedak juga.” Zaara mempertahankan dirinya sambil mengelap sisa air yang tumpah dengan tisu.

Hajah Amina menggeleng perlahan. Lucu melihat wajah anaknya yang enggan mengaku salah.

“Yalah tu, Zaara. Laki kamu rindukan kamulah tu kut.” Sengaja Hajah Amina mengusik apabila melihat Zaara sudah kembali menghirup kopi panas itu.

Sekali lagi Zaara terbatuk-batuk saat terdengar kata-kata ibunya. Hajah Amina ketawa mengekek melihat gelagat anak tunggalnya itu sambil menggeleng.

“Zaara… Zaara… Perangai tak berubah.”

“Ibu ni suka merepek masa orang tengah minum, kan?” Zaara tak henti mengurut dada, cuba melancarkan kembali pernafasannya yang terganggu.

“Betul apa ibu cakap.” Hajah Amina bersuara sambil tangannya menguis-nguis bihun goreng di atas pinggan.

“Tak ada maknanya dia nak rindukan Zaara ni, ibu. Dia tu asyik sibuk dengan kerja dia aje sampaikan nak ajak balik kampung pun susah.” Zaara mengomel, mulutnya sudah muncung sedepa.

“Isy, kamu ni Zaara… Tak baik cakap macam tu. Irham tu kerja keras untuk kamu juga. Bukan kamu tak tahu, dia tu kan suka balik kampung. Cuma bila dah sibuk sangat yang dia tak mampu nak ikut kamu balik.”

Zaara berjeda sendiri sambil menghirup kopinya semula.

“Kerja keras sampai lupa anak bini.” Zaara bersuara perlahan hingga hampir tidak kedengaran.

“Hah, cakap pasal anak, cuba jenguk Si Iman tu. Entah-entah dah bangun.” Hajah Amina mengingatkan Zaara.

Zaara tergamam seketika sebelum kepalanya sendiri diketuk. Sedap aje cakap Irham lupa anak bini, dia sendiri yang terlupa pasal Iman. Aduh!

ZAARA membuka pintu bilik sederhana besar itu dengan perlahan dan berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan Iman andai anaknya itu masih tidur.

“Morning, mama,” petah si anak bersuara saat Zaara menjenguk di muka pintu.

“Iman dah bangun?” Zaara terkejut ketika melihat anak kecil itu merenungnya dengan senyuman manja. Ada Tablet di dalam genggaman anak kecil itu.

“Hmmm…” Mulut mungil itu bersuara halus namun matanya tak lepas daripada merenung Tablet.

Zaara melabuhkan punggungnya ke atas tilam sebelum merenung kembali anak kecil yang seolah-olah tidak terkesan langsung dengan kehadirannya. Perlahan Tablet di tangan anak kecil itu dicapai sebelum wajah itu ditatap penuh sayang. Iman yang terkejut pantas memandang ibunya, tidak puas hati.

“Sudah, pergi mandi dulu lepas tu sarapan. Nenek dah masak sedap-sedap tu. Iman tak lapar ke bangun-bangun terus menghadap Tablet?”

“Ala… Cejukkklah, mama,” balas Iman dengan pelatnya yang masih belum hilang.

“Dah, jangan nak mengada-ada. Kalau sejuk, Iman basuh muka dan gosok gigi dulu. Mama bancuhkan susu coklat untuk Iman, okey?”

Wajah yang sudah cemberut itu kembali tersengih saat minuman kegemarannya disebut si ibu. Dengan langkah berat, Iman menuju ke bilik air di belakang rumah sambil diperhati oleh Zaara. Walaupun anak kecil itu pandai berdikari, namun Zaara tetap mengambil langkah berhati-hati. Dia bimbang apa-apa terjadi kepada anak tunggalnya itu.

“Ahhh… Cejukkk!” kedengaran Iman menjerit sebaik air kolah mencecah mukanya. Zaara yang menunggu di luar bilik air, ketawa kecil.

“Perangai sebiji macam papanya. Hesy!” Zaara mengomel sendiri tanpa menyedari senyuman sudah kembali terukir di bibirnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79452/miss-you-mrarrogant

REVIEW SUAMI EDISI TERHAD

9789670890333-medium
EBUKU SUAMI EDISI TERHAD OLEH MARRISA

Dia lelaki biasa-biasa saja, tapi apabila menjadi seorang suami, dia menjadi sangat luar biasa. Nakal, seksi, penyayang dan seorang bapa yang baik. Itulah Suami Edisi Terhad yang bernama HAZRUL EFFENDI.
“Sayang…”
“Emmm…”
“Kalau makan ikan, lepas tu jangan minum air tau.”
“Kenapa?”
“Takut ikan tu berenang dalam perut.”
Beginilah nasib seorang isteri bernama AZIAN YUHANIS yang sangat bahagia kerana memiliki seorang suami yang sangat istimewa. Kena buli selalu!
Namun rumah tangga mana yang tidak pernah dilanda gelora? Pasti tak terlepas dari semua itu. Dugaan datang dari kanan dan kiri.
“Eh, mama tahu. Kamu yang hasut Hazrul, bukan? Kamu yang hasut Hazrul tinggalkan Menara Holding. Kamu takut Puteri Zahra akan rampas Hazrul, jadi kamu paksa Hazrul buat keputusan begitu. Mama baru tahu rancangan kamu. Tak sangka busuk betul hati kamu, Azian. Pentingkan diri sendiri. Sebab takut Hazrul tak pedulikan kamu, sanggup kamu buat rancangan jahat macam tu.”
Seorang ibu mentua yang sudah diracuni fikirannya bertindak mahu meruntuhkan mahligai anak sendiri. Yang tidak-tidak saja dilakukan demi mengikut arahan si batu api bernama PUTERI ZAHRA.
Berjayakah rancangan kedua-duanya? Atau HAZRUL EFFENDI akan kekal menjadi SUAMI EDISI TERHAD dalam menghadapi kemelut yang melanda.


Kalau cerita ni, ulasan yang sesuai admin bagi, lawak la keluarga ni. Cerita yang santai walaupun ada beberapa watak jahat yang cuba menghancur ranapkan keluarga Azian dan Hazrul. Ada saja yang mendengki hubungan mereka. Ada saja jalan yang akan dilakukan demi memusnahkan mereka. Maklumlah demi kekayaan manusia sanggup berbuat apa- apa. Azian seorang gadis yang blur tidak pernah mengukur cinta melalui duit dan pangkat. Kerana itulah Encik CEO jatuh hati padanya. Nak tahu apa cerita mereka, dapatkan ebuku penuh di e- Sentral.

Cerita yang sweet dan bersahaja dan mampu membuatkan anda ketawa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75659/suami-edisi-terhad