[SNEAK PEEK] KERANA CINTA ITU ADA SAKITNYA

KERANA CINTA ITU ADA SAKITNYA Oleh April Snow

TANGAN kiri Fyza laju menukar frekuensi radio dengan tangan kanan cekap mengemudi stereng. Aida yang tenggelam sejenak dalam kolam memori penuh palitan lumpur duka menoleh ke sebelah. Gelagat Fyza diperhati dengan hati yang sedayanya ditenteramkan dek usikan silam. Digelengkan kepala. Tahu benar tujuan sahabat baiknya itu berbuat demikian. Dilepaskan liur yang tersangkut di lohong kerongkong.

“Fyza. Tak apa. Biar aje la lagu tu. Tak payah nak tukar.” Mata terus takzim singgah di wajah bulat Fyza yang ayu bertudung hijau limau nipis berjalur putih dan hitam. Ekor mata masih merenung.

Fyza buat tak endah dengan kata-kata Aida. Jari- jemari terus menekan mencari frekuensi saluran lain dengan mata yang memfokus ke jalan raya.

“Menyampah aku dengar lagu ni. Sakit lubang telinga. Sakit hati sampai ke ulu. Kau tak rasa ke? Ke… kau ni tak ada perasaan?” Fyza lontar provokasi. Sengaja. Bukan Fyza tak kenal peribadi Aida. Sangat kenal. Suka memendam.

Aida geleng lagi. Nafas yang berpulas di dalam lohong kerongkong dilepaskan perlahan-lahan. Tahu benar amarah teman baiknya ini yang masih belum susut. Masih merah. Aida sedaya upaya tidak mahu mengungkit kenangan itu. Sudah dikuburkan. Tidak akan digali lagi.

“Lagu tu tak salah. Tak ada kena-mengena pun dengan kau atau aku. Kesian kat lagu tu, Fyza. Tu kan sekadar halwa telinga pendengar.”

Fyza mencebik. Mata kedua-duanya saling bertempur. Mata bundar Aida yang berkaca dan redup dikerling sesaat. Wajah manis putih gebu bertudung hitam di sebelahnya ini menyimpan duka dalam jiwa yang bukan kepalang. Fyza turut merasa tempiasnya dan rasa sakit itu masih menggunung dalam hati. Benci sungguh apabila memikirkan sebaris nama itu. Kau memang lelaki jahanam, Razman!

“Kau tau tak, bila dengar lagu ni kepala aku ini tak boleh lari mesti akan terbayang muka jantan tak guna tu. Eee… Aku sakit hati tau Aida dia buat kau macam tu. Panas aje hati aku ni jadinya. Memang dasar jantan kurang ajar. Jantan tak guna… Jantan penipu. Elok kena panah petir aje. Rentung lagi baik. Baru padan muka dia!”

Fyza lepas dengusan kasar. Bertubi-tubi makian terluncur dari bibirnya. Hatinya menggunung geram yang tidak pernah reda biar kisah tu sudah dua bulan berlalu. Sakit hati apabila memikirkan perkara yang menimpa Aida kesan perbuatan lelaki itu. Jari-jemari runcingnya terus menekan saluran, mencari frekuensi lain.

Aida geleng kepala lagi.

“Dah sudahlah tu. Tak baik kau cakap macam tu. Mendoakan yang tak baik untuk orang bukan ajaran yang kita belajar. Bukan kita yang berhak menghukum, Fyza. Biarlah. Tu bukan kerja kita. Aku tak mahu ungkit lagi. Allah Maha Tahu atas semua kejadian ni, kan? Mungkin ada hikmah di sebalik semuanya ini… Siapa tahu? Aku serahkan semua kepada Allah. Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat setiap hamba-hamba-Nya. Jangan pertikaikan takdir yang sudah tersurat.”

Fyza geleng kepala. Tahu benar dengan sikap lembut hati Aida. Mata menyusuri pemandangan di hadapan. Kereta yang dipandu terus bergerak perlahan mengikut aliran arus jalan raya yang sungguh tidak bersahabat. Bibir melantun bicara lagi.

“Aku tahu semua ini daripada Allah, Aida. Memang betul. Siapa kita nak menolak takdir? Tapi aku tetap tak puas hati dengan sikap baik kau ni, tau tak? Dari awal lagi tu aje la yang lepas dari mulut kau. Biarlah… Biarlah. Biarlah. Kan? Itulah kau. Lembut sangat dengan orang. Baik hati tak bertempat. Tak reti langsung nak lepaskan rasa marah, sedih dan geram kau. Luahkan apa yang kau simpan selama ini. Habis-habis, kau kurung diri di dalam bilik menangis sorang-sorang. Dia bukan peduli pun kau sedih dengan semua yang dia dah buat. Sebab apa tau?”

Fyza kerling ke sebelah. Aida dilihat hanya diam memandang kosong ke hadapan. Langsung tidak terkesan dengan kata-kata Fyza.

“Sebab kau tu mudah mengalah dan sikap membiarkan kau tu la buat dia langsung tak rasa apa-apa dengan apa yang dia dah buat dekat kau. Sekelumit pun tak ada rasa bersalah tau, Aida. Ada dia minta maaf dekat kau? Haram! Sindir dan perli kau adalah. Tak ingat apa yang dia tulis dalam surat dia kepada kau tu? Dasar jantan sial. Jantan keparat. Tengoklah nanti. Mesti ada balasan Allah buat dia. Bumi ni bulat, bukan leper.”

Fyza toleh lagi. Aida masih jeda. Langsung tidak memberi apa-apa reaksi. Digelengkan kepala. Kadang-kadang Fyza jadi pelik dengan sikap Aida ini. Kalaulah dia di tempat Aida, memang maut Razman tu dikerjakan.

“Kau kena jadi perempuan yang tegas lepas ni, Aida. Jangan lembut hati dengan orang, lagi-lagi lelaki. Aku tak nak kau sedih lagi. Cukup-cukuplah apa yang dah Si Razman tak guna tu buat kepada kau. Aku ni turut rasa sakitnya. Aku tak mahu kau ingat lagi hal kau dengan dia. Noktahkan semuanya. Buang semua daripada ingatan kau.”

Aida lepas nafas perlahan. Jeda bibir dari tadi terus berlarutan. Hanya cuping telinga yang menadah setiap butir bicara teman baiknya ini. Aida tidak mahu langsung membalas. Biarlah. Fyza memang macam ni sejak dahulu. Dia tahu bebelan Fyza tidak bermaksud mahu menyindir. Jauh sekali mahu menyakitkan hatinya. Aida tahu jauh di sudut hati teman baiknya ini, Fyza begitu menyayangi dirinya. Fyza hanya mahu melindunginya. Fyza hanya mahu dia melupakan segala kenangan pahit yang telah dia lalui.

 

****

AIDA hala alat ujian kehamilan di tangan ke arah Fazwan.

“Positif?”

Aida angguk. Tersenyum dalam limpahan kesyukuran yang tak terucap. Dan serentak tubuhnya diangkat. Aida terjerit kecil. Terkejut. Ketawa Fazwan yang penuh bunga-bunga keterujaan terhambur.

“Kita akan dapat baby, sayang. Alhamdulillah. Doa abang Allah makbulkan. Usaha kita diberkati.”

Perlahan tubuh Aida diturunkan. Aida genggam erat tangan Fazwan yang nampak gembira tak terhingga. Wajah suaminya ini penuh kebahagiaan yang tak mampu dizahirkan dengan bait kata-kata.

“Kita beritahu mak ya, sayang?”

Aida geleng dalam senyum. Tangan Fazwan yang digenggam erat dibawa ke bibir. Dikucup. Mata mereka saling berbicara. Fazwan yang merenung dengan aksi tidak faham dibalas dengan kerdip mata.

“Abang… Kita kena sahkan dulu di klinik. Ni cuma alat penguji sahaja. Mana tahu, kan. Tak tepat ke? Biar doktor yang berikan jawapan. Itu yang sebaiknya. Kan?”

Aida tidak mahu Fazwan terlampau teruja. Kalau diikutkan, Aida juga rasa gembira dengan apa yang baru dilihat tadi. Perkahwinan mereka yang baru dua purnama membuatkan Aida waswas. Takut kalau-kalau kegembiraan ini cuma sementara. Mungkin keputusan ini kurang tepat.

“Okey, sayang. Jom kita ke klinik sekarang.” Fazwan tarik tangan Aida.

Aida ketawa. Tangannya dibawa ke pipi Fazwan. Dielus penuh kasih.

“Esok ya abang kita pergi klinik. Dah malam ni, kan? Sabar ya, Encik Fazwan Anuar. Insya-Allah. Kita doa yang baik-baik sahaja, hmmm.

Fazwan angguk. Senyum dan ketawa saling bergabung. Tubuh Aida dibawa ke dalam pelukan. Pipinya dicium bertalu-talu. Ketawa Aida terluncur.

“Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab hadiahkan abang berita gembira ini. Abang yakin ujian ini betul, sayang. Kita akan jadi daddy dan mommy yang paling bahagia di dunia. Ya Allah, abang gembira sangat sekarang ni, sayang.”

Pelukan dilerai namun pautan di tubuh Aida masih tidak dilepaskan. Tangan Fazwan dibawa ke perut Aida.

“Welcome to the world, anak daddy. Mommy dan daddy tak sampai nak tunggu baby lahir.”

Tangan Aida ikut melekat di kura tangan Fazwan. Jiwa dilimpahi rasa yang sukar diungkap. Terima kasih, Allah untuk anugerah yang terindah ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79457/kerana-cinta-itu-ada-saktinya

REVIEW ISTERI UNTUK DISEWA

9789670890173-medium
ISTERI UNTUK DISEWA OLEH SYAMNURIEZMIL

Dia bukan seorang perempuan yang menjual maruahnya tapi dia ialah Nur Adreiana, minah merah jambu. Akibat perniagaan perkhidmatan sewanya itu, tiba-tiba saja hatinya itu dituntut untuk dimiliki empat jejaka. Namun, Nur bukan lelaki yang boleh berkahwin empat.
“Nur pulangkan cincin ini apabila Nur bersedia untuk tidak menjadi isteri abang ya, sayang…” – Noah Ryzal, pelanggan.
“Ini cincin pilihan saya, untuk awak. Tak apa… Kalau tak suka, banyak lagi boleh pilih! Cubalah untuk terima saya, Cik Nur!” – Putera Raiyan, CEO.
“Cincin ini untuk Nur, dan akan hanya jadi milik Nur. Bukan Isabella, bukan sesiapa. Titik.” – Imtiyaz Irdad, kawan baik.
“Ini cincin daripada ayah kepada ibu saya. Nanti, kalau parents awak setuju, kita kecilkan sikit.” – Suffi Naufal, Remy Ishak celup.
Antara pelanggan, CEO, kawan baik dan Remy Ishak celup, mana satu yang dapat menyewa hati Nur dengan ringgit cinta? Dalam hidup, hanya ada dua pilihan, tanpa dia, kita boleh hidup atau, tanpa dia, kita tak boleh hidup. Yang mana satu… pilihan Nur?


Bayangkan watak gadis yang kasar dan meminati warna merahjambu dan suka memakai jersey menjadi agen yang membantu masalah perhubungan. Kelakar bukan jalan penyelesaiannya.

Nur yang sudah biasa disewa, memang sudah biasa dengan kitaran hidupnya menjadi isteri yang bakal disewa untuk beberapa hari sebelum diceraikan selepas beberapa jam mereka berkahwin. ‘Bercinta’ dan ‘berkahwin’ dengan ramai lelaki membuatkan Nur masak dengan perangai lelaki. Tidak diduga yang disewa adalah bakal suaminya dalam dunia sebenar. HAHA!

Kalau nak tahu Nur pilih siapa sebagai pasangan hidupnya. Kena baca ebuku sepenuhnya bersama kami di e- sentral.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71833/isteri-untuk-disewa

 

REVIEW 13 JAM A380

9789670890166-medium
EBUKU 13 JAM 380 OLEH EVELYN ROSE

13 jam di dalam penerbangan ke London menaiki MAS A380, takdir menemukan HANA SOFEA dan Syed HAYDAR, jejaka idamannya. Mencipta kenangan terindah di langit biru.

Mereka bergelar kekasih kayangan untuk empat jam, menari tango bersama, menjelajah seluruh pesawat bersama, merasai enaknya Caramel Latte bersama… Tapi tatkala MAS A380 mencecah lantai bumi,, segalanya pergi bagai wap di udara.

“Hana, thank you for last night… but i can’t have cocaine all the time.”- SYED HAYDAR

Melihatkan sendiri kemesraan SYED HAYDAR dan kekasih realitinya, si model jelita membangkitkan HANA SOFEA daripada mimpi indah.

Di kota London, A380 juga akhirnya menerbangkan HANA SOFEA kepada FAWWAZ HUSSAINI, jutawan kacukan Melayu-Inggeris-Arab. Tanpa sebarang sebab, Emmel, anak angkat Fawwaz menyangkakan Hana Sofea sebagai ibunya.

“My daughter likes you. If you’re willing to let her call you mommy… i will pay you fifty buck per hour…”-FAWWAZ HUSSAINI

“Dapat hadiah tak?” -HANA SOFEA

“A pink Audi TT, is that okay?”-FAWWAZ HUSSAINI

“Saya nak Audi TT yang latest version aje. yang lain saya tak nak.”-HANA SOFEA

Hadirnya HANA SOFEA menghiasi kehidupan mereka sekeluarga bagaikan indahnya bunga popi mekar, munculnya sang jutawan bermata ambar yang kuat pegangan agamanya itu dalam hidup Hana Sofea pula bagai menyedarkan HANA SOFEA tentang kasih sayang Tuhan. Dan saat semuanya bagaikan baru bermula, SYED HAYDAR datang menuntut sebuah cinta…

“Saya rindu awak, Hana… Jangan cakap awak dah kahwin dan budak ni anak tiri awak, Hana.” – SYED HAYDAR

Adakah mimpi akan kekal sebagai mimpi setelah waktu berlalu dan hari berganti?


Ya. Tajuk ulasan buku kali ini, dari novel karangan Evelyn Rose, sebuah cerita yang sangat menarik dan sangat sweet. Jalan cerita yang mudah difahami dan konflik yang ada tidak terlalu dalam hingga membuatkan pembaca perlu berfikir untuk mendapatkan maksud cerita tersebut. Gaya bahasa yang bersahaja menambahkan lagi keinginan pembaca untuk terus kekal dengan kisah cinta diawangan ini. Kenakalan Haydar mampu sahaja mencairkan hati wanita yang mendampinginya. Namun begitu cinta mereka hanya diudara saja.

Pastinya setiap perempuan mendambakan hidup yang seperti ini. Kalau dah jodoh tak kemana bak kata Haydar kepada Hana Sofea “Wherever you go, you will return to me. Just like the eagle that returns to its nest.” Lelaki yang dahulu menjadi dambaan Sofea dalam khayalannya sendiri kini mungkinkah mereka dapat bersama walaupun mereka berdua sudah berpunya. Lelaki sekacak Haydar mana mungkin dilepaskan. Tetapi Fawwaz, untuk kau menjadi milikku, kamu terlalu baik. Begitu lah kata hati Hana.

Masih adakah ruang dihati ini untuk kamu Haydar…Rintih hati Hana Sofea…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71824/13-jam-a380