[REVIEW] NOVEL HERO

Novel HERO Oleh Hilal Asyraf

 

Tragedi menimpa keluarganya menyelak jendela konspirasi yang lebih besar. Diri yang penuh dengan noda kini menggalas sebuah perjuangan, menjadi HERO Kotaraya Angsana, harapan kepada Malaysia. Dua tahun berlalu, negara masih lemas dalam korupsi, dirinya pula terpaksa menikahi Sang Bidadari kontradik dengan diri, sedang muncul watak misteri bakal mengancam perjuangan suci. Mampukah dia mengusahakan perubahan?

Novel-novel oleh Hilal Asyraf tidak lagi janggal didengari dikalangan peminat novel pada masa sekarang. Novel HERO ini mengisahkan bagaimana kehidupan seorang pemuda yang dipanggil Afam ini telah berubah dari tiada hala tuju ke tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya. Afam bertanggungjawab berjuang dalam sut yang canggih demi melindungi rakyat Malaysia. Begitu menarik sekali apabila, latar tempat ini menggambarkan Malaysia pada zaman yang akan datang, kotaraya yang baru, mempunyai bangunan yang mengalahkan bangunan tertinggi di dunia dan penuh dengan teknologi yang tiada tandingannya. Hilal Asyraf gemar menceritakan realiti latar masyarakat Malaysia pada zaman ini dan secara tidak sedar, jalan cerita ini ada juga menyelitkan dakwah dan nasihat yang sangat bermanfaat untuk rakyat Malaysia menjadi lebih baik dan bertanggungjawab terhadap persekitaran. Secara keseluruhannya, jalan cerita novel ini sangat best dan saya cadangkan anda semua tidak melepaskan peluang untuk membaca eBook ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/205706/Novel-HERO

[REVIEW] SURIHATI ENCIK PEMBUNUH

Surihati Encik Pembunuh oleh Hilal Asyraf

 

Novel sambungan Pemburu ini mengisahkan Faisal, seorang pembunuh profesional bagi Organisasi Hitam. Dia telah meragut sekitar 900 nyawa sehingga digelar “Izrail” dalam dunia gelap. Namun Faisal diserang rasa meluat dan benci kepada kerjayanya ini dan rasa ingin keluar membersihkan diri semakin membuak-buak. Takdir menentukan pertemuannya dengan Amirah Sophia, rakan sepengajian di universiti yang aktif dengan gerakan dakwah. Faisal membuat keputusan drastik mengutarakan lamaran. Sangkanya jalan perubahan sudah terbentang, namun apa yang Faisal tidak nampak ialah onak dan duri yang terpacak bersamanya.


Novel genre aksi ini mengisahkan tentang pembunuh upahan profesional yang ingin berubah ke arah kebaikan. Jalan cerita novel ini dapat memberikan kita bayangan tidak kisah berapa dalam pun seseorang di dalam lohong kegelapan, akhirnya pasti terbuka hati juga untuk membersihkan diri. Segelap mana pun kehidupan kita, pasti ada orang yang sanggup terima kita seadanya dan sanggup iringi kita ke jalan yang benar. Kehidupan berzina, minum arak seperti rakan-rakan Faisal dari Organisasi Hitam membuatkan Faisal mual dan loya dan itu menunjukkan bahawa kehidupan sebegitu rupa tidak lah membawa faedah kepada umat Islam seperti Faisal. Banyak juga pengajaran yang diberi seperti tidak semua orang boleh dipercayai di dalam dunia ini dan haruslah kita berhati-hati ketika bersosial dengan orang-orang sekeliling jika tidak mahu ditikam belakang. Novel ini layak mendapatkan 4 stars kerana novel ini menceritakan kisah yang masih lagi terjadi di Malaysia pada masa kini. Adakah Faisal akan terselamat dari kancah kegelapan yang dijerat Maximus, boss Organisasi Hitam atau adakah harapannya untuk berubah itu satu perkara yang sia sia? Untuk tahu apakah endingnya, boleh baca eBook dengan lebih lanjut di link bawah ini.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/207124/Surihati-Encik-Pembunuh

[SNEAK PEEK] NOTA PARENTING OHSEM

 

Nota Parenting Ohsem Oleh Dr Taufiq Razif

Anak Tak Reti Duduk Diam?

Mungkin mempunyai kecerdasan kinestetik yangi tinggi.

Kecerdasan kinestetik ataupun biasa disebut body smart ini ialah kemahiran dan bakat yang sangat istimewa. Cuma yang sedihnya ramai anak dengan bakat ini disebut sebagai nakal dan juga anak yang tak reti duduk diam.
Bukan!

Anak yang ada kecerdasan kinestetik ini memang belajar dan meneroka dunia melalui pergerakan tubuh dan anggota badan. Anak yang tinggi kinestethic intelligence ini dikenali sebagai tactile learners.

Tactile learner suka belajar menggunakan deria sentuhan.

Si comel kita yang tak reti duduk diam itu kemungkinan seorang tactile learners yang mana mereka perlu melompat, belari, berjoget dan berguling-guling untuk menukarkan informasi dan ilmu itu kepada memori yang tertanam kukuh dalam otak mereka.
Ibu bapa dan cikgu pun perlu faham yang seorang anak yang mempunyai kecerdasan kinestetik yang tinggi ini memang susah nak belajar hanya melalui kuliah, ceramah dan demonstrasi yang mana mereka terpaksa duduk diam saja. Mereka senang jadi bosan dan muram. Jadi kalau nak mereka belajar, kena bagi mereka aktiviti yang membuatkan mereka bergerak.

Banyak ciri-ciri anak yang mempunyai kecerdasan kinestetik yang tinggi ini antaranya:

    • Mereka suka aktiviti yang libatkan fizikal seperti berenang, naik basikal, melempar bola, tangkap bola dan berlari.
    • Mereka jenis yang sensitif dengan persekitaran mereka, mereka menghargai tekstur benda yang dipegang.
    • Mereka tak takut tangan mereka kotor dengan debu dan tanah. Mereka sangat suka dengan cabaran fizikal apabila buat sesuatu.

Anak yang ada kecerdasan kinestetik yang tinggi ini kalau digilap dengan cermat suatu hari nanti mereka berpotensi untuk menjadi seorang atlet sukan yang tangkas sehinggalah kepada pekerja yang cekap dan mahir.

Jangan pandang rendah pada bakat dan kecerdasan anak kita ya!

NOTA PARENTING 26

Nak tengok anak kita visual learner ke tak ini senang sahaja :

1. Cuba kita ajar anak kita sesuatu, cukup ke dengan cakap di mulut saja? Kalau dia perlu kita demonstrasi atau tunjukkan cara di depan mata, itu antara tanda-tanda visual learner.

2. Cuba tengok mata anak kita masa kita ajar dia sesuatu, anak mata dia pandang ke mana? Kalau anak mata itu selalu pandang ke atas seolah olah berkhayal ataupun fokus pada pergerakan tangan atau lakaran kita, itu pun antara tanda- tanda visual learner.

3. Visual learner ini biasanya sangat suka membaca sebab dia suka tengok gambar, tulisan, carta, peta dan lain-lain.

Tips : Nak asah bakat dan ajar anak visual ini jangan bebel aja. Dia tak akan dengar pun. Sesekali jelaskan dengan pergerakan tangan, lakaran di kertas ataupun tunjukkan depan dia tutorial nak buat sesuatu benda itu.

*****

RAMAI BETUL TAK TAHU JAJAN INI BAHAYA SEBENARNYA

Terkedu saya!

Baru-baru ini saya ambil anak saya daripada tadika. Yang peliknya anak saya tak nak berenggang dengan beg galas dia. Saya pula rasa pelik dah. Bila saya buka aja beg dia..

Ya Allah! Penuh dengan jajan!

Hari pertama beg dia penuh dengan bungkusan jajan berperisa jagung. Saya urut dada. Tak apalah. Mungkin cikgu dia tersilap masukkan kot. Hari kedua dan ketiga selepas itu pun masih dapat jajan lagi. Bermacam-macam perisa, siap dapat lolipop lagi! Saya tak boleh berdiam diri lagi. Saya terus jumpa cikgu tadika anak saya itu.

Saya tak marah pun cikgu itu cuma saya tanya elok-elok saja, “Cikgu, kenapa banyak sangat jajan dalam beg anak saya?”

Cikgu itu macam agak cuak jugalah sebab dia kenal saya. Dia cakap ada pelajar yang sambut hari lahir jadi bahagi-bahagi jajan itu pada semua pelajar tadika. Saya terkedu.

Maka di sini saya nak bagitahu keburukan jajan ini kepada semua, terutama untuk kanak-kanak. Mungkin ada yang belum tahu.

Bahaya jajan:

  • Jajan – makanan yang tinggi kalori tapi tiada nilai nutrisi.
  • Kanak-kanak yang suka makan jajan terdedah kepada risiko penyakit kronik seperti kencing manis, kanser, strok dan juga penyakit kardiovaskular sebelum umur 30 tahun.
  • Lebih parah lagi kalau kanak-kanak sudah terdedah dengan jajan sebelum umur 3 tahun. Ikut kajian daripada Universiti Bristol, kanak-kanak yang terdedah dengan jajan sebelum umur 3 tahun akan memberi kesan pada perkembangan IQ kanak-kanak itu.
  • Walaupun mungkin selepas itu ibu bapa dah tersedar dan cuba ubah balik gaya pemakanan si anak sebelum umur 3 tahun itu, namun agak terlambat dah. Sebab perkembangan otak paling progresif dalam 3 tahun pertama itu. Kesannya seumur hidup.

Jadi kepada ibu bapa, pantau apa yang anak kita makan ya. Zaman sekarang ialah zaman yang mana ‘penyakit orang dewasa’ dah mula menyerang kanak-kanak. Inilah zaman yang mana umur 20 tahun pun dah ada yang kena potong kaki dan umur 30 tahun pun dah kena strok dan serangan jantung.

Saling ingatkan pasangan dan keluarga kita sekali ya. Sama-sama kita jaga keluarga kita.

NOTA PARENTING 27

Suami Merokok Tapi Nak Tegur Macam Mana?

Forward fakta ini kepada suami anda.

Bayi yang terdedah dengan asap rokok ini, risiko untuk meninggal mendadak dan tiba-tiba itu meningkat!

Ini namanya Sudden Infant Death Syndrome (SIDS). Biasanya si bayi itu meninggal ketika tidur. Jadi, tolong jauhi asap rokok daripada bayi anda ya!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203496/Nota-Parenting-Ohsem

[SNEAK PEEK] BEBASKAN JIWAMU

BEBASKAN JIWAMU Oleh Afdholul Rahman

Menjemput Kematian Ke Dalam Hati

Sebahagian salaf berkata:

“Berwaspadalah (persiapkan diri) kamu dengan kematian di dunia ini sebelum kamu berpindah ke satu tempat di mana kamu berharap adanya kematian, tetapi kamu tidak akan memperolehinya lagi.”
Kalau kita menganggap kehidupan adalah sebuah kenikmatan, maka kematian juga sebenarnya adalah sebuah kenikmatan.

Dengan kematian, kita belajar sesuatu untuk diri kita. Kita belajar menghargai hidup, mempersiapkan masa depan, mempersiapkan akhirat kita dan yang lebih penting kita belajar menyediakan hidup yang terbaik di dunia.

Orang yang inginkan kematian yang terbaik buat dirinya pastilah akan mempersiapkan kehidupan yang terbaik juga ketika berada di dunia.

Kematian Adalah Motivasi Untuk Hati

Lantas, kita teringat yang baginda Rasul S.A.W sering berpesan kepada kita:

“Perbanyakkanlah mengingat penghancur kelazatan.” [HR Ibn
Majah, no. 4258]
Kematian. Itulah penghancur kelazatan.

Ketika badan tidak mampu lagi bergerak, mata tak mampu lagi melihat, tangan dan kaki tak mampu diangkat, lidah tak dapat lagi merasa, hidung tak dapat lagi mencium bau-bauan, telinga tak dapat lagi mendengar, maka di saat itu, segala kelazatan dahulu yang enak dinikmati hilang dan lenyap begitu sahaja.

Dulu kita mungkin makan makanan paling sedap, paling mahal, di restoran yang mahal, tetapi hari ini tidak ada lagi restoran, tidak ada lagi makanan sedap, minuman yang hebat menunggu kita di dalam kubur.

Dulu kita mungkin tidur di atas katil empuk, tilam yang mahal dan bagus, di bawah pendingin hawa yang sejuk, tetapi hari ini yang ada hanyalah tanah biasa, yang kita akan ditinggalkan berseorangan, gelap dan tiada berteman.

Dulu kita mungkin mendengar muzik-muzik indah, menonton filem, video dan sebagainya yang menarik-menarik belaka ketika di dunia, tetapi hari ini yang ada hanyalah kegelapan, soal jawab munkar nakir. Tidak ada lagi movie, tidak ada lagi artis-artis yang menjadi tontotan dan kegemaran kita dahulu untuk menyelamatkan, membantu atau menemani kita dalam kegelapan kubur itu.

Sehinggakan Nabi S.A.W suatu ketika pernah duduk di tepi kubur ketika sedang ada proses pengembumian jenazah, lalu menangis. Di dalam riwayat hadith ini dikatakan sehingga basah tanah itu. Kemudian Nabi S.A.W berkata kepada para sahabatnya,

“Wahai saudara-saudaraku, persiapkanlah diri kalian untuk yang semisal ini (yakni kematian).” [Ibn Majah, 4195, dihukum Hasan oleh Al-albani)

Persiapkan Kematian, Lalu Kita Persiapkan Kehidupan

Apabila kita merancang untuk kematian yang terbaik, maka kita sedang menyiapkan satu design, satu pelan hidup yang baik.

Orang yang tidak ingat kepada kematian, melalaikannya, tidak mempersiapkannya, maka dia hidup di dunia ini seakan-akan dunia adalah segala-galanya untuk dirinya sedangkan dunia hanyalah tempat persinggahan sementara menguji insan.

Akhirnya dia tidaklah memanfaatkan dunianya untuk hidup akhiratnya, tetapi dirinya pula dipergunakan oleh dunia.

Abu ‘Ali Ad-Daqaq menasihatkan kita dengan mutiara nasihatnya :

“Siapa yang banyak mengingati mati, maka dia dimuliakan dengan 3 perkara.

Dia dimuliakan dengan kesegeraan dirinya untuk bertaubat,
Bersungguh-sungguh dalam ibadah dan
Sifat qanaah (rasa cukup) dalam hati…”
Sambungnya lagi, “…siapa yang melupakan kematian, nescaya dia dihukum dengan 3 perkara, iaitulah :

Bertangguh dalam bertaubat
Malas dalam melakukan ibadah
Dan tidak ada qanaah (rasa cukup) dalam diri.”

Menjemput Kematian

Menjemput kematian bukanlah bermaksud kita pergi mencari kematian. Kematian tidak perlukan kita untuk mencarinya kerana ialah yang akan mencari kita.

Hanya saja, kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati.

Menjemput kematian adalah menghadirkan gambarannya dalam mata hati kita supaya kita menjadi orang yang lekas sedar diri, celik imannya, dan segera bangun melaksanakan tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini sebagai hamba-Nya.

Rasul S.A.W berpesan :

“Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit gelak tawa dan banyak menangis.” [HR Bukhari , no. 6485]
Ada orang menziarah orang mati, tetapi tidak mengizinkan hatinya mengambil iktibar dan pelajaran dari kematian itu.

Jemputlah pelajaran kematian masuk ke dalam hati, supaya hati kita terus subur hidup dan tidak mati.

Ingat mati bukan kerana kita mahu lari dan mengabaikan tanggungjawab dunia.

Ingat mati kerana itu adalah penghujung dunia menuju alam abadi yang kita akan hadapi lalu kita mahu hadapinya dalam keadaan Allah redhai.

Ingat mati supaya kita lebih tawaduk, tidak sombong diri dan sederhana hidup.

Ingat mati supaya hati kita terus hidup.

Bahkan mengingati mati adalah supaya kita lebih kuat dan bersungguh dalam beramal di dunia, mempersiapkan bekalan menuju akhirat.

*****

Syaitan Yang Mengajarkan Taubat

Yusuf A.S datang kepada ayahnya, Yaaqub A.S, mengadukan bahawa dirinya telah bermimpi akan segala kebesaran di langit tunduk sujud kepadanya. Bulan, bintang dan matahari yang ternyata di antara makhluk hebat di cakerawala tunduk kepadanya.

Di balik kehebatan mimpi sedemikian, baginda Yaaqub A.S mengetahui ada urusan besar sedang diatur oleh Allah S.W.T untuk anaknya itu.

Lalu dipesannya, “Jangan kau ceritakan mimpi kau itu kepada saudara-saudara kau, nanti mereka merancang makar untukmu.”

Pesanan itu bertali pada ayat yang seterusnya dengan ingatan dari Allah S.W.T. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Apa kaitan makar saudaranya Yusuf dengan syaitan?

“Boleh jadi syaitan itu,” kata Al-Qurtubi, “yang membawa mereka kepada bermaksud sesuatu yang buruk terhadapmu (Yusuf).”

Kalau saja terhadap orang semulia Yusuf yang mendapatkan mimpi sehebat kebesaran alam yang bersujud padanya itupun syaitan berniat hasad dan mahu bermakar padanya, pasti sesuatu yang tidak menghairankan kalau orang sekerdil kita ini lebih kuat desakan.

Lubang syaitan itu bukan satu. Sering tersangka pada ramai orang, lubangnya syaitan itu hanya melalui pintu kejahatan yang nampak secara langsung. Syaitan juga sudah begitu berpengalaman dengan lama umurnya dan tidaklah begitu bodoh untuk menusuk ke dalam hati manusia hanya melalui jalan kejahatan.

Beransur-ansur melalui jalan kebaikan, ia menukarkan kiblat kita sedikit demi sedikit kepada kejahatan, membuat kita terkeluar hanya 1 darjah saja dari permulaan landasan yang lurus, 1 darjah itu akhirnya tak disedari, hari demi hari membuatkan 1 darjah itu kian membesar menjadi 90 darjah dan seterusnya kita melencong tersesat tanpa sedar.

Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang baik minum arak, cukuplah dengan hanya berbangga dengan amalnya, ia merosakkan kebaikan tersebut. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh orang rajin ke masjid berhenti solat, cukuplah dengan hanya menghantar susuk gadis menggodanya atas alasan meminta nasihat dari seorang yang dirasakannya soleh, yang akhirnya di situ punya potensi kembang biak menjadi maksiat yang menjauhkannya dari Tuhan. Ia tidak harus bersusah payah menyuruh lelaki perempuan ber-couple bermaksiat, cukup dengan hanya menyuntik mereka melalui jalan yang dilihat baik seperti study berdua, saling bermesej tazkirah, akhirnya satu pakej lengkap maksiat terangkum di dalamnya bagi mereka yang terpengaruh dengan bisikan syaitan itu.

Kesesatan Nyata VS Iman Yang Tidak Nyata

Syaitan tidak bodoh.

Kita pula tidaklah terlalu bijak.

Kita justeru telah mengetahui lama bahawa jalan syaitan itu adalah kesesatan yang nyata, tetapi berapa ramai yang langsung terpengaruh. Barangkali kesesatan yang nyata dihadapi oleh iman yang tidak nyata, maka seringlah iman yang tidak nyata itu tertewas.

Iman yang tidak nyata, yang masih banyak berbelah baginya, yang masih banyak berkira-kira dengan Tuhan di kala Tuhan tidak berkira-kira memberi anugerah-Nya, memilih-milih dalam ibadah yang dirasakan senang dan suka bagi dirinya, bersikap sambil lewa dan tidak bersungguh dalam menjejak kaki di atas kebenaran, selalu senang berada dalam keadaan lalai dan leka, akhirnya kita terperangkap dalam nyatanya perangkap syaitan.

Iman yang tidak nyata, tidak kuat untuk mendepani kesesatan yang telah nyata.

Meski terbukti dan jelas-jelas di depan mata, bahawa yang di depan kita itu adalah sebuah kesesatan, tetapi kerana iman yang tidak nyata, bergolak di antara hidup, sakit atau matinya iman, membuatkan kesesatan yang nyata itu pun dilihat indah sebagai jalan yang lurus.

Syaitan Bermakar Melalui Jalan Taubat

Sepertimana saudara bersepuluh yang telah bermakar ke atas Yusuf, apakah mereka tidak mengetahui ketika mana mereka bermakar itu, makar mereka itu ternyata adalah suatu kesesatan?

Tidak. Mereka bahkan mengetahui.

Itu adalah kerana makar mereka itu berhasil daripada bisikan syaitan.

Mereka itu bukan sebarangan orang, mereka adalah anaknya Nabi Yaaqub

A.S. Namun, iman tidak membeza-beza anak Nabi atau bukan, keturunan Nabi atau tidak.

Iman tidak diwarisi sebagaimana harta dan takhta sang monarki.

Kalau imannya tidak nyata, maka makar syaitan yang lebih nyata itu akan memenangi ke atas dirinya.

Begitulah sebagaimana yang dirancang oleh mereka. Syaitan bermakar kepada mereka melalui jalan taubat.

“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,” kata mereka, lalu disambung lagi, “dan sesudah itu, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang soleh.”

Buatlah jahat semahu kalian, selepas ini, bertaubatlah. Pintu taubat itu terbuka luas untuk kalian. InsyaAllah, masih punya kesempatan taubat selepas berbuat jahat ini. Seakan-akan itulah bisikan syaitan ke atas mereka.

Syaitan bahkan mengajarkan taubat kepada mereka, mengajar tentang bagaimana menjadi soleh. Namun, itu pastinya ajaran yang tidak percuma dan tidak beres.

Ia adalah talbis iblis. Tipu daya iblis.

Ia bersenandung di baliknya bisikan jahat, bukan untuk sampai kepada tujuan taubat itu, kerana akhirnya bisikan syaitan itu permulaannya akan membawa kepada pakej kejahatan berantaian yang lengkap dalam hidup insan sekiranya insan itu tidak segera kembali dan benar-benar bertaubat.

Siapakah yang punya jaminan terhadap hidupnya sesaat selepas dia melakukan dosa dalam kesengajaan dia mengetahui bahawa dosa itu adalah satu dosa? Siapakah yang punya jaminan bahawa dia masih bisa bernafas lagi untuk kembali bertaubat setelah dia memilih melakukan dosa dalam keadaan dia mengetahui itu adalah suatu yang salah?

Justeru, tidak siapa pun punya jaminan sedemikian melainkan Allah S.W.T. Sesiapa yang memilih menangguh taubatnya kerana mendahulukan dosanya yang diketahuinya salah, maka ia telah terjatuh ke dalam perangkap syaitan yang nyata.

Persiapkan Iman

Dalam senggang-senggang ruang yang ada, syaitan tidak pernah berputus asa menipudaya kita.

Tidak berjaya dengan jalan yang terang-terang menyuruh berbuat jahat, dimakarnya kita dengan jalan kebaikan.

Tidak berjaya dengan jalan yang besar, dipilihnya denai-denai kecil.

Tidak berjaya dengan jalan dosa, atas nama jalan taubat pun boleh menjadi perangkapnya.

Sentiasalah syaitan itu tidak berhenti bekerja. Ia jelas, di atas kesesatannya yang nyata itu, apa yang ingin dicapainya terhadap manusia.

Kita, dengan iman kepada Allah S.W.T., yang telah jelas sebenarnya bagi kita akan kebenaran jalan Allah S.W.T. ini, apakah kita sejelas dan sekuat itu kita bekerja untuk akhirat kita, untuk Islam kita?

Persiapkanlah iman yang nyata.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203495/buku-motivasi-bebaskan-jiwamu