[SNEAK PEEK] MR. LONDON MS. LANGKAWI

MR. LONDON MS. LANGKAWI Oleh Herna Diana

 

“TOK WAN!” jerit Liyana yang muncul tiba-tiba di belakang tok wannya.

Terangkat bahu Haji Salleh. Kus semangat orang tua itu. Nasib baik tak kena heart attack. Liyana… Liyana… seratus kali kau buat macam tu, mahu jalan jugak orang tua tu dibuatnya.

“Nana nak tok wan mati cepat ka?” marah Haji Salleh. Dia merenung Liyana dari sebalik cermin mata yang sedikit terlondeh ke hidung.

Liyana tersengih nakal. “Okey jugak tu tok wan. Nanti Nana boleh jadi kaya cepat sikit.”

Cis, budak bertuah ni. Cakap tak bertapis langsung! “Amboi, amboi suka tok wan mati cepat noo,” balas Haji Salleh dengan muka cemberut.

Liyana terus merapati datuknya. Leher Haji Salleh dipeluk erat. “Nana gurau ajelah tok wan. Orang sayang tok wan sangat-sangat tau.”

Haji Salleh tersenyum senang. Dia tahu cucunya itu amat sayangkan dia. Cuma nakalnya, nauzubillah.

“Nana ni awat nakal sangat? Kalau dok nakal-nakal macam ni, siapalah yang nak buat bini,” sakat Haji Salleh.

“Uish! Apa barang cerita pasal-pasal bini lak ni. Tak masuk betullah tok wan ni.” Liyana menjuihkan bibirnya. Elok sangatlah rupa macam tu. Sama saja gayanya macam Orang Utan di Zoo Taiping nun.

“Apa pulak tak masuk? Awat, Nana tak mau kahwin ka?” Haji Salleh memandang. Hisy! Jangan Liyana ni buat perangai macam-macam sudah. Nabi tak mengaku umat nanti.

“Hehehe… nak kahwinlah tok wan.” Hmm… gatal jugak rupanya!

“Habis tu?”

“Belum sampai masa lagilah tok wan,” balas Liyana bersahaja. Tangannya membelek-belek sebatang paku yang berada di dalam toolbox milik Haji Salleh.

“Nak tunggu siapa? Putera kayangan?” soal Haji Salleh sambil tergelak-gelak.

Liyana turut sama mengekek ketawa. “Apalah tok wan ni. Logik sikitlah tok wan ni pun. Mana ada putera kayangan yang nak kat budak hitam legam macam cucu tok wan ni.” Liyana ketawa lagi.

“Kalau ada?” Haji Salleh menduga.

“Uish! Kalau ada, confirm seminggu Nana kena mandi dengan Clorox. Biar putih, baru sepadan nak berganding sama.” Liyana ketawa besar lagi.

Haji Salleh turut sama ketawa mendengar lawak bodoh Liyana. Ada ke mandi dengan Clorox? Itu bukan buat putih kulit. Silap-silap, tertanggal semua kulit.

Sebetulnya, Liyana tidaklah segelap mana pun. Kulitnya sawo matang. Cuma kerana dia suka membuat kerja-kerja orang lelaki, terlebih gelaplah jadinya. Kerja pejabat tak mahu. Turun laut, masuk hutan juga yang diminatinya.

“Tak adalah tok wan. Nana lawak aje. Mana tunggu putera kayangan. Yang paling utama, orang tu mesti cintakan agama, bangsa dan negara. Satu kurang antara tiga-tiga tu, reject!” ujar Liyana setelah tawanya reda.

“Amboi, patriotik sungguh,” usik Haji Salleh sambil tersenyum. Tapi dia sedar, cucunya itu benar-benar maksudkan apa yang dikatakan. Dia kenal Liyana. Semangat patriotiknya cukup tinggi.

Dalam diam, Haji Salleh bangga kerana darah pahlawannya mengalir dalam diri Liyana. Satu-satunya cucu yang ada semangat sepertinya. Cucu-cucu yang lain, tak tahu nak cakap macam mana. Semuanya terbuai dengan kesenangan zaman sekarang. Hanya orang tua sepertinya sahaja yang tahu susah senang membina sebuah ‘Malaysia’. Tambah-tambah lagi dia adalah bekas tentera.

“Hai, tok wan. Jauh pulak mengelamun. Jangan tok wan, mengamuk tok nanti,” sergah Liyana.

Haji Salleh pelik dengan kata-kata Liyana. Tidak faham. “Nak mengamuk pasal apa pulak?”

“Tok wan dok mengelamun macam teringat girlfriend saja,” sakat Liyana. Macam biasa, budak bertuah ini akan ketawa besar selepas dapat menyakat orang.

“Hisy! Budak ni. Ke situ pulak perginya. Dengar kat tok hang, naya tok wan tau,” marah Haji Salleh.

Liyana tidak mengambil pusing kata-kata tok wannya. Sebaliknya dia terus bangun lalu berjalan melihat-lihat kawasan sekitar rumah banglo yang masih dalam pembinaan itu. Macam YB melawat kawasan pun ada juga gayanya.

“Bila pak long balik sini tok wan?” soal Liyana.

“Insya-ALLAH… seminggu sebelum raya sampailah pak long hang tu,” jawab Haji Salleh yang masih tekun dengan kerjanya menyemai pokok-pokok bunga di dalam pasu besar.

Liyana terangguk-angguk. “Agak-agak pak long tu garang macam pak su tak?” Soalan cepumas diajukan Liyana tanpa diduga.

Haji Salleh hanya tersenyum dengan soalan Liyana. “Awat Nana tanya lagu tu?”

“Sajalah nak tau. Kalau pak long tu pun garang macam pak su, habislah Nana. Double trouble la,” jawab Liyana bersahaja.

“Dak aih. Pak long Nana bukan macam tu,” sangkal Haji Salleh.

“Iya ke?” soal Liyana kurang percaya.

“Iya,” tekan Haji Salleh bersungguh-sungguh.

Liyana masih curiga. “Boleh percaya ke?”

Kerja-kerja Haji Salleh terhenti. Dia mengangkat muka memandang Liyana. “Awat tiba-tiba tanya pasal ni?” Dahinya berkerut.

Liyana sengih. “Tak ada apalah. Saja-saja aje.”

Haji Salleh kembali menyambungkan kerjanya. “Tapi sebelum pak long hang sampai, Abang Aidid hang akan balik sini dulu,” cerita Haji Salleh sambil tangannya lincah meletakkan baja ke dalam pasu bunga.

“Heh? Abang Aidid tu siapa pulak?” Liyana tanya soalan bodoh.

“Laaa… budak ni. Abang Aidid tukan sepupu hang. Anak pak long. Dah lupa ka?”

Liyana tergaru-garu kepala. ‘Hisy, dia tak pernah ingat pula dia ada sepupu nama Aidid. Betul ke ada? Tak ingat pun.’

“Tak pernah dengar pun.”

“Rasanya Nana memang tak kenal dia kot. Dia tak pernah balik sini. Balik pun, adalah dulu, sekali ke dua entah. Tok wan pun dah tak ingat. Nana pun kecil lagi masa tu,” cerita Haji Salleh lagi merungkaikan keraguan Liyana.

‘Hmm… masa kecil. Patutlah aku tak ingat,’ desis hati Liyana. Dia kemudianya terangguk-angguk sambil menyahut kata-kata Haji Salleh. “Oh, macam tu.”

“Kiranya dah jadi macam orang putihlah ya tok wan.” Liyana berkata lagi sambil membuat andaian sendiri.

“Tak taulah tok wan. Harap-harap tak macam tulah,” sahut Haji Salleh. Sesungguhnya dia berharap Aidid tidak seperti yang diandaikan Liyana.

Liyana terangguk-angguk lagi. Seketika dia mula berkhayal. Macam mana rupa sepupunya itu ya?

Tiba-tiba telefon bimbitnya menjerit. Terkejut Liyana dibuatnya. Melihat nama Ijam tertera di skrin, dia pantas menjawab.

“Oii mak cik! Hang kat mana hah? Dah pukul berapa ni?” jerit Ijam di hujung talian.

Liyana terkebil-kebil lima saat apabila disergah begitu. Terencat akalnya seketika. Bila sudah kembali normal…alamak terlupalah pula. Dia sudah lambat.

“Okeylah, tok wan. Nana nak kena pi dah ni. Nanti petang baru Nana balik tau.” Liyana meminta izin untuk berlalu. Tangan Haji Salleh dikucupnya.

“Pi mana?” tanya Haji Salleh apabila melihat Liyana tiba-tiba sahaja jadi kelam-kabut.

“Laaa… tok wan ni. Nak bawa tourists pergi island hoping la,” jawab Liyana yang sudah sedia berada di atas motosikal Yamaha X1R miliknya. Helmet dicapai lalu disarungkan ke kepala.

“Bulan-bulan puasa macam ni pun nak main ‘toping-toping’?” soal Haji Salleh kurang puas hati.

Liyana tergelak. “Apalah tok wan ni. Bukan ‘toping-toping’lah. Island hoping. Sebut betul-betul… Island hoping.”

Dalam kalut, sempat lagi budak ni buat lawak. “Tak kisahlah menatang apa pun. Bulan-bulan puasa macam ni, dok rumah ajelah Nana oii.” Haji Salleh cuba membantah.

“Hisy! Mana boleh tok wan. Duit tu,” sanggah Liyana bersama wajah mata duitan.

Haji Salleh mendengus. “Tak habis-habis dengan duit budak ni. Duit berkepuk dalam bank tu, nak buat apa tak tau.” Alamak, Haji Salleh berleter daaa…

Liyana tayang muka pelik. “Mana tok wan tau duit Nana berkepuk kat bank tu? Haaa… tok wan skodeng buku bank Nana ek?” Liyana mula menyakat datuknya. Budak ni nakal sungguh.

“Huh! Tak ada masa tok wan nak skodeng-skodeng aih. Dari skodeng buku akaun yang tak menarik tu, baik tok wan skodeng tok hang. Lagi bagus.” Si datuk pula melayan gila si cucu. Liyana pantas sahaja ketawa besar. Sampai menekan-nekan perut. Budak ni memang. Kalau dapat gelak, memang melampau-lampau aksinya.

“Amboi, amboi, amboi. Tok wan dengan cucu ni, seronok dok buat lawak bodoh nampak,” sergah Hajah Kamariah yang tiba-tiba sahaja muncul.

Mati terus ketawa Haji Salleh dan Liyana. Habislah…

“Errr… tok wan, Nana blah dulu. Dah lambat. Bye, tok.”

Tanpa menunggu, Liyana terus memecut motosikalnya. Cis! Pandai sungguh dia melepaskan diri. Nampaknya Haji Salleh kena mengadap soal jawab Hajah Kamariah seorang dirilah. Tak boleh pakai punya cucu.

*****

AIDID berjalan keluar melalui pintu ketibaan di KLIA. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Dia menarik nafas dalam. Pandangan pertamanya, Malaysia sudah banyak berubah. Seingatnya ketika dia kecil dahulu, Malaysia tidak semaju ini. KLIA pun belum beroperasi. Ternyata Malaysia kini memiliki lapangan terbang yang sehebat negara-negara maju di dunia.

“Welcome to Malaysia, sir. May I help you?” tegur seorang pemandu teksi KLIA kepada Aidid. Agaknya kerana melihat paras Aidid yang sememangnya agak kurang rupa Melayu dan ditambah dengan ketinggian susuk tubuhnya, membuatkan pak cik tersebut terus berbahasa Inggeris.

Aidid tergelak dalam hati. Boleh menyamar aku macam ni. Hehehe… “I want to go to LCCT Sepang,” jawab Aidid juga dalam bahasa Inggeris.

“Please welcome, sir.” Cukup ramah pemandu teksi itu melayan. Maklumlah budi bahasa budaya kita. Dia membukakan pintu di tempat penumpang kepada Aidid.

Aidid terus masuk ke bahagian belakang teksi tersebut. Beg galasnya diletakkan ditepi. Sekadar sebuah beg galas sahaja, tidak perlu dimasukkan dalam bonet belakang pun. Bawa satu beg saja? Nampak sangat pulang ke tanah air tidak bersungguh hati.

Sepanjang perjalanan menaiki teksi menuju ke LCCT, Aidid hanya memejamkan mata. Sepuluh jam penerbangan tadi seolah-olah belum cukup tidurnya. Alah, hati tak ada di sini. Macam tulah. Permandangan indah di hadapan mata pun tidak mahu dipandangnya.

“Are you coming for holiday, sir?” Pemandu teksi itu terus ramah berbicara.

“Yup!” Ringkas jawapan Aidid. Matanya masih terpejam.

Pemandu teksi itu terangguk-angguk. “Where?”

Aidid mendengus perlahan. Hisy, terlebih peramahlah pulak orang-orang Malaysia ni. Menyibuk aje! Dia mengomel di dalam hati.

“Langkawi.” Cuma sepatah jawapannya.

“Perfect choice, sir. Langkawi is a nice place. You’ll never regret to be there,” katanya penuh teruja.

Aidid hanya diam. Dibiarkan sahaja pemandu teksi itu menceceh seorang diri. Sombong betullah budak Aidid ni. Dia ingat duduk di luar negara bertahun-tahun tu bagus sangat gamaknya.

Melihat Aidid tidak berminat bersembang dengannya, pemandu teksi itu akhirnya memilih untuk mendiamkan diri. Penat sahaja bercakap seorang diri.

Perjalanan yang dirasakan lancar dan selesa tiba-tiba sahaja terganggu apabila pemandu teksi itu menekan brek secara mengejut. Aidid yang tidak sedar keadaan sekeliling kerana sedang memejamkan mata, tersentak. Badannya terdorong ke hadapan. Mujurlah tangannya sempat memegang kerusi di hadapannya. Kalau tidak mahu biru juga dahinya.

“Aduh! Kenapa ni pak cik?” Aidid terus bertanya. Suaranya sedikit keras.

“Minta maaf, encik. Kereta depan tu tiba-tiba sahaja masuk lorong ni. Nasib baik pak cik sempat brek,” jelas pemandu teksi itu sambil mulutnya tidak berhenti meminta maaf kepada Aidid. Terasa bersalah pula kerana menghadapi keadaan itu ketika membawa pelancong. Eh, kejap. Pelancong? Bukankah tadi dia… “Encik ni orang sini ya?”

Aidid terdiam dengan pertanyaan pemandu teksi tersebut. ‘Alamak, kantoilah pulak,’ desis hatinya.

Malas mahu berdolak-dalih, Aidid akhirnya mengakui. Pemandu teksi itu terus ketawa senang hati. “La… pak cik tengok susuk badan, wajah encik tadi, mati-mati pak cik ingat mat salih betul,” ujarnya sambil terus ketawa. “Mesti encik dah lama duduk di luar negara, kan?”

“Ha’ah… lamalah juga. Saya membesar di sana,” beritahu Aidid penuh bangga. Bangga kerana dia membesar di kota yang maju.

“Patutlah rupa pun dah macam orang sana,” komen pemandu teksi tersebut sambil tergelak kecil.

Aidid masih tersenyum nipis.

“Ni balik bercuti ke atau balik terus?” soal pemandu teksi itu lagi. Hai, dah macam wartawan pula pak cik ni.

“Bercuti.”

“Kenapa naik kapal terbang? Kalau nak ke Langkawi, naik bas lepas tu naik feri, baru seronok. Boleh tengok permandangan cantik sepanjang jalan. Pak cik pun orang utara juga. Orang Alor Setar. Kalau balik kampung, memang seronok tengok permandangan sepanjang jalan. Tengok kawasan kampung, tengok sawah padi. Penat memandu jauh pun tak apa,” celoteh pemandu teksi itu panjang lebar.

Aidid tayang muka bosan. Jelas sekali dia tidak berminat dengan apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi itu. “Iya ke?” soal balasnya sekadar berbahasa. Takut nanti kecil pula hati orang tua itu.

“Iya. Tapi tulah, makan masa. Naik kapal terbang, sekejap aje dah sampai,” balas pemandu teksi itu sambil tersengih.

‘Tahu tak apa! Aku datang sini pun bukan nak tengok pemandangan. Buang masa saja. Kalau tidak kerana abah, tak ingin aku ke sini,’ ujar Aidid di dalam hati.

Akhirnya teksi yang dinaiki Aidid tiba juga di LCCT Sepang. Lega hatinya kerana tidak perlu lagi mendengar celoteh pemandu teksi yang semacam tidak tahu penat itu. Menceceh sepanjang jalan. Hisy!

Selesai menguruskan soal penerbangannya ke Langkawi, Aidid memilih untuk duduk melepak sahaja di ruangan menunggu. Iyalah, takkan nak melepak di restoran atau kopitiam pula. Bulan puasa ni beb!

Aidid masih ada masa dua jam lagi untuk berlepas ke Langkawi. Menunggu sahaja tanpa berbuat apa-apa, membuatkan dia berasa begitu bosan sekali. Beberapa majalah yang sempat dibeli tadi, dikeluarkan daripada beg galasnya. Satu per satu dibeleknya. Mana yang hendak dibaca?

Akhirnya majalah AUTO menjadi pilihannya. Leka sekali dia menatap majalah tersebut. Tanpa sedar, masa berlalu dengan pantas. Panggilan supaya penumpang-penumpang pesawat yang akan berlepas ke Langkawi sudah kedengaran. Majalah di tangan ditutup lalu dimasukkan semula ke dalam beg.

Aidid melangkah perlahan menuju ke balai berlepas domestik. Jujurnya, dia tidak sepenuh hati mahu melangkah ke situ. Terpaksa. Ada keluhan kecil terbit dalam mulutnya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan sekali gus. Okey Langkawi. Aku datang!

*****

“ALA, awat Nana pulak yang kena pi ambil dia?” protes Liyana apabila mendengar arahan Haji Salleh. Tubuhnya dipeluk kejap dengan kedua-dua belah tangan.

“Habis tu, takkan tok wan nak suruh tok hang pulak yang pi jemput?” jawab Haji Salleh. Ada loyar buruk dalam ayat itu.

Liyana mendengus geram. ‘Aiseh! Aku tengah angin, boleh pulak tok wan buat lawak ya.’

“Tok wan, dekat Langkawi ni, teksi betul, teksi sapu, semua ada. Berlambak-lambak. Pilih saja yang mana suka. Letak punggung, sekejap saja dah sampai kat laman rumah ni,” balas Liyana.

“Hisy, tak eloklah buat lagu tu. Abang Aidid hang tu baru sampai sini. Berpuluh tahun dia tak balik. Bukannya dia reti jalan sini,” sanggah Haji Salleh.

“Alah, pemandu teksi kat airport tu kebanyakannya kenal tok wan. Cakap aje nak ke rumah Haji Salleh. Apa yang susahnya. Tak perlu pun cucu London tok wan tu kenal jalan ke tidak,” protes Liyana lagi. “Tok wan, Nana ni bukan tak mau pi ambil dia. Tapi Nana ni sibuk. Banyak kerja nak buat,” sambungnya lagi.

Haji Salleh diam.

Liyana menyambung kata. “Tak pun tok wan suruhlah pak su. Pak su tu kan dok saja aje kat rumah tu.”

Haji Salleh mengeluh mendengar kata-kata Liyana. Cucunya itu memanglah. Kalau bab bagi alasan, serahlah kat dia. Memang pandai! Seribu pun dia boleh beri.

“Hmm… tak apalah. Nana sibuk, kan? Pi la buat kerja Nana. Biar tok wan sendiri pi ambil Abang Aidid hang tu.” Haji Salleh terus bangun sebaik selesai menuturkan ayat sedih tersebut.

Liyana terus dilanda serba-salah. Takkanlah dia hendak biarkan datuknya pula pergi mengambil abang sepupunya itu. Nampak sangat dia bukan cucu yang bertanggungjawab. Tok wan ni memanglah. Suka buat ayat-ayat sedih macam tu tau. “Tok wan… tok wan,” panggil Liyana kalut.

Langkah Haji Salleh terhenti. Dia sudah mengulum senyum. Jeratnya mengena. Tahu sangat dia kelemahan cucu perempuannya itu. Semua dalam poket tok wan lah.

Haji Salleh berpaling. Senyuman disembunyikan. “Awat pulak?” Dia buat muka sedih.

Liyana melepaskan keluhan. “Tak apalah. Biar Nana pi ambil.”

“Nana kan sibuk. Takpalah, biar tok wan pi ambil. Bukan jauh mana pun Padang Mat Sirat tu.” Haji Salleh cuba bermain tarik tali dengan cucunya.

“Tak payah… tak payah. Biar orang buat. Tok wan duduk diam-diam kat rumah. Nanti orang bawa cucu London kesayangan tok wan tu balik dengan selamat dan sejahteranya,” pintas Liyana.

Haji Salleh hanya tersenyum lebar apabila melihat Liyana menapak turun ke bawah rumah. Tahu hati cucunya itu tengah sebal. Liyana kalau sudah bercakap pakai bahasa orang, orang… faham-faham sajalah.

Tetapi hatinya jadi cuak, apabila melihat Liyana sudah memakai helmet lalu melangkah naik ke motorsikalnya. Ah! Sudah.

“Astaghfirullah al azim… takkanlah Nana nak pi jemput Abang Aidid naik motor kot?” tegur Haji Salleh.

“Entahnya,” sampuk Hajah Kamariah yang tiba-tiba sahaja muncul dari belakang rumah. Di tangannya ada serumpun ubi kayu yang masih penuh dengan tanah.

“Pakai motorlah cepat tok wan, tok. Lecehlah nak bawa-bawa kereta ni. Nak kena cari parking lagi,” omel Liyana. Orang sudi nak pergi jemput pun dah kira baik tau!

“Ya ALLAH… budak ni. Kalau pakai motor, nanti beg-beg Abang Aidid kamu tu nak letak kat mana?” ujar Haji Salleh menolak kata-kata Liyana.

“Alah, Nana berani kerat daun serai tok kat belakang rumah tu hah, kalau cucu London tok wan tu bawa pakaian berguni-guni. Tok wan tengok ajelah nanti. Satu beg pun belum tentu penuh.” Penuh yakin Liyana menjawab.

Haji Salleh dan Hajah Kamariah berpandangan sesama sendiri. Ke situ pula budak bertuah ni! Liyana sudah memecut motorsikalnya meninggalkan datuk dan neneknya yang masih terkebil-kebil dengan kelakuannya.

SEPULUH minit merempit dengan motorsikal kesayangannya, Liyana sampai di Lapangan Terbang Padang Mat Sirat. Alah, jauh mana sangat Mukim Ulu Melaka tu dengan Padang Mat Sirat.

‘Liyana tercari-cari kelibat Aidid. Hisy! Mana satu pulak mamat London ni? Aku bukannya pernah jumpa dia pun. Macam mana nak kenal ni?’ Dia menyoal dirinya sendiri. Menyesal pula dia tidak bertanyakan lebih lanjut dengan tok wan tentang abang sepupunya.

Lehernya dipanjangkan, cuba mengintai-intai wajah yang dirasakan sesuai sebagai cucu London tok wannya. Tiba-tiba dia terpandang kelibat seorang lelaki. Hatinya kuat mengatakan itulah cucu London tok wannya.

Dengan penuh keyakinan di dada, Liyana melangkah jitu ke arah lelaki tersebut. “Hai… Aidid?” tegur Liyana.

Jejaka itu membuka kaca mata hitamnya. Wajah gadis yang tiba-tiba sahaja menegurnya direnung. Wow! Kacaknya. Sabar Liyana, sabar. Jaga kelakuan.

“Adik salah orang agaknya. Saya bukan Aidid. Saya Aaron,” jawab lelaki itu.

Mendengar kata-kata lelaki itu, Liyana terus ketawa bagaikan orang sakit meroyan. Pinggangnya dicekak kuat, cuba menahan sakit pada urat-urat akibat ketawa yang tidak berhemah.

Jejaka yang kononnya bernama Aaron itu, terkebil-kebil memandang gelagat Liyana. ‘Apa ke hal pulak budak perempuan ni? Tiba-tiba sahaja meroyan semacam ni. Aku ada buat lawak ke?’ “Adik, adik okey ke?” soalnya. Pelik ada, risau pun ada juga. Ada pesakit hospital bahagia terlepaskah?

Liyana masih ketawa tetapi frekuensinya sudah semakin menurun. “Awak jangan buat lawak boleh tak. Sakit urat kentut saya ni tau tak?” Selamba sahaja dia berkata-kata.

Lelaki itu semakin pelik dengan kelakuan Liyana. “Bila masa pulak saya buat lawak?”

“Awak ni pun. Kalau nak buat lawak pun agak-agaklah. Nampak benor nipunyer. Teman tahu ler kome tu kacak bergaye. Tapi, kalau nak ngaku Aaron Aziz pun agak-agak ler,” kata Liyana sambil kembali ketawa berdekah-dekah. Dah cakap Perak pulak dah budak ni!

“Dik, bila masa pula saya kata saya ni Aaron Aziz? Saya cuma cakap, nama saya Aaron,” jelas pemuda itu membuatkan ketawa Liyana mati serta merta.

Liyana terdiam. Ha’ah… kan? Dalam dunia ni, bukan Aaron Aziz tu seorang sahaja yang nama Aaron. Alamak, malunya… malunya.

“Eh?” kata Liyana sambil tersengih menayang gigi.

Pemuda itu tersenyum selamba. Tahu Liyana sudah termalu dengannya. “Hmm…”

“Hehe… sorry. Peace!” ucap Liyana dengan perasan malu yang teramat sangat. Dia mengangkat dua jarinya membuat tanda ‘peace’ lalu terus cabut lari. Malu… malu… Doreamon, mana kau? Aku nak pinjam poket ni. Nak sembunyikan diri!

Ibarat lipas kudung Liyana melarikan diri. Malu teramat sangat. Sudahlah salah orang, boleh pula dengan selamba kataknya dia pergi ‘sound’ mamat tu. Tanpa soal selidik pula tu. Hisy! Liyana… Liyana.

Kerana kelam-kabut mahu melarikan diri, Liyana tidak peduli lagi kiri dan kanannya. Sudahnya, dia merempuh seseorang yang sedang berjalan di hadapannya. Tergolek kedua-dua hamba ALLAH itu.

“Aduh!” Serentak mereka bersuara.

“Kenapa main langgar-langgar pula ni?” tegur pemuda itu sedikit marah. Dia bangun sambil membetulkan kembali kedudukan beg galasnya.

Liyana turut sama bangun. Tangannya memegang pinggang yang terasa sedikit nyilu akibat terjatuh tadi. Punggung dah ada rasa kebas-kebas. Malam ni sah kena cari Hajah Kamariah untuk betulkan urat.

“Minta maaflah, encik. Saya tengah main Amazing Race sebenarnya,” auta si Liyana. Macam-macam hal betul budak ni.

Mata pemuda itu mencerlung memandang Liyana. ‘Tengah main Amazing Race? Menipu tak agak-agak langsung budak ni.’

Liyana sengih tayang gigi lagi. Rasanya kecil-kecil dulu, mesti Liyana ni cita-citanya hendak jadi model iklan ubat gigi. Sekali lagi dua jarinya diangkat menunjukkan tanda ‘peace’.

Sekali lagi dia buat perkara yang memalukan diri sendiri. Liyana terus menapak laju meninggalkan pemuda itu terkulat-kulat. Tetapi, baru empat langkah menapak, Liyana kembali berpaling.

“Eh, eh… awak boleh cakap Melayu?” soal Liyana pelik.

Pemuda itu yang baru hendak bergerak, tercengang apabila ditegur Liyana lagi.

Tiba-tiba Liyana ketawa.

Apa masalah budak ni? Pemuda itu tertanya-tanya sendiri. Sudah macam terlebih gen aktif pun ada.

“Walaweh… saya ingat awak mat salih tadi,” ujar Liyana lalu menampar bahu pemuda itu.

Terpusing sedikit tubuh pemuda itu akibat tamparan Liyana. Asal boleh saja budak ni. Sesuka hati kambing dia nak tampar-tampar anak teruna orang.

“Saya Liyana. Kalau awak nak cuba Island Hoping, carilah saya ya,” ujar Liyana sambil menghulurkan kad perniagaannya. Sempat lagi buat bisnes tu. Hai, kalau otak sudah diset duit, duit sajalah yang difikirkannya.

Pemuda itu menyambut kad yang dihulurkan Liyana. “Aidid.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Oh…” Liyana terangguk-angguk.

“Hah? Apa? Aidid?” jerit Liyana tiba-tiba.

Aidid sekali lagi terkejut campur tercengang. ‘Apa lagi masalah budak ni? Tadi tiba-tiba langgar aku. Lepas tu tiba-tiba gelak macam orang meroyan. Sekarang ni, tiba-tiba menjerit pulak. Aduh! Boleh mental aku dibuatnya.’

“Aidid Muflis?” soal Liyana lagi. Matanya merenung tajam wajah Aidid.

“Err… bukan Muflis. Aidid Mukhlis.” Aidid membetulkan sebutan namanya.

Liyana menggawang tangan kanannya. “Alah, lebih kuranglah tu. Datang dari London, kan?” Dia meminta kepastian lagi.

Aidid mengangguk. “Ya.”

“Sah!”

“Apa yang sah?” Makin tinggi tahap tercengang Aidid.

“Sah. Awak cucu London Haji Salleh,” ucap Liyana penuh yakin.

“Hah?”

“Dah… dah. Tak payah nak buat rupa babun terkejut. Jom cepat. Dah lama saya cari awak ni. Saya ni dahlah banyak kerja nak buat. Haji Salleh sibuk suruh jemput awak lagi. Cepat, cepat,” gesa Liyana sambil berjalan pantas mahu menuju ke tempat motorsikalnya.

Aidid tidak berganjak. Dia masih berdiri tegak di tempat tadi. Dia jadi keliru apabila tiba-tiba sahaja bertemu dengan Liyana yang berperangai selamba tahap tak ingat. Macam orang gila pun ada juga.

Liyana yang menyedari Aidid tidak menurutinya, menghentikan langkah sambil bercekak pinggang. “Cepatlah weh. Banyak kerja lagi saya nak buat ni,” gesa Liyana.

Akhirnya Aidid menapak mendekati Liyana. Hatinya masih bersarang curiga. “Kenapa saya nak kena ikut awak pulak? Awak ni siapa?”

Liyana menepuk dahi. “La… kan dah cakap tadi. Nama saya Liyana.”

“Saya tahulah nama awak Liyana, tapi awak ni siapa? Tiba-tiba nak suruh saya ikut awak. Entah-entah awak ni orang jahat ke, apa ke, manalah saya tahu,” celopar mulut Aidid berkata membangkit bahang di wajah Liyana.

“Eh, Helo Mr. London! Cuba awak tengok wajah comel saya ni baik-baik. Ada rupa orang jahat? Ada?” Liyana sudah mula naik angin. Jari telunjuknya ditekan-tekan pada pipinya. Orang dah cukup baik nak tolong jemput, boleh pula tuduh orang jahat. Melampaulah tu!

“Iyalah. Tiba-tiba saja suruh saya ikut.” Aidid membela diri sendiri.

Liyana mendengus. “Encik Aidid Muflis…”

“Aidid Mukhlis!”

“Ah, iya. Encik Aidid Mukhlis. Awak cucu Haji Salleh yang baru sampai dari London, kan?”

Aidid mengangguk.

“Haa… ini Liyana The Samseng. Disuruh oleh tok wan awak yakni Haji Salleh menjadi driver awak untuk menghantar awak ke rumahnya dengan selamat dan sejahtera. Sekian, terima kasih.”

Habis sahaja mengucapkan ayat panjang lebar itu, Liyana kembali menyambung langkah ke motorsikalnya.

‘Mak aii! Liyana The Samseng tu! Patutlah perangai pun macam samseng. Kenapalah tok wan hantar orang macam ni jemput aku?’ omel hati Aidid.

Melihat Liyana yang sudah jauh ke hadapan, Aidid kelam-kabut berlari. Hisy! Haru betullah perempuan ni. ‘Kenapalah tok wan suruh budak ni yang datang menjemput?’

Sebaik sampai ke motosikalnya, Liyana melihat ada seorang jaga sudah menyandar cantik di situ. Sambil hayun-hayun cota lagi. Aiseh!

“Aku dah agak dah! Tak ada YB lain yang berani nak parking kuda jadian ni kat depan pintu utama ni kalau bukan hang,” tempelak jaga itu sebaik sahaja Liyana terpacak di hadapannya.

Rupa-rupanya tadi Liyana selamba sahaja memarkirkan motosikalnya di hadapan pintu masuk utama lapangan terbang tersebut. Sesuka hati dia sahaja. Agaknya Haji Salleh ada share dengan lapangan terbang ni kot.

Liyana tersengih, buat muka tidak bersalah. “ALLAH, sat aje Che Mat. Takkan tu pun nak marah.”

“Sat tengkorak hang. Aku dok kat kuda jadian hang ni dah dekat 20 minit hang tau,” balas Che Mat itu dengan garangnya.

Liyana sengih lagi.

“Memang nasib hang baik tau dak. Seminit lagi hang tak muncul, memang selamatlah kuda jadian hang ni aku kerjakan,” gertak Che Mat.

“Janganlah macam tu, Che Mat. Minta maaflah. Lain kali Nana tak buat lagi. Sungguh,” pujuk Liyana sambil mengangkat tangan kanannya bagaikan sedang berikrar.

“Che Mat jangan marah-marah. Nanti kena darah tinggi. Takpa… takpa. Nanti Nana belanja Che Mat makan cendol kat kedai Leha Janda tu okey,” umpannya lagi.

“Hang nak rasuah aku ka?”

“Hisy! Ada ke rasuah pulak. Apalah Che Mat ni. Tu bukan rasuah, tapi membalas budi sebab Che Mat tolong jaga kuda jadian Nana ni.” Liyana menyangkal tuduhan Che Mat.

Aidid sedari tadi hanya menjadi patung cendana di situ. Dia memerhati sahaja perbualan antara Liyana dengan lelaki yang dipanggil Che Mat itu. Bukannya dia faham sangat apa yang dikatakan mereka tapi kuda jadian tu apa ek?

“Huh! Iyalah tu. Belanja konon. Nanti hang seorang yang tibai.”

“Dak aih! Kita makan sama-samalah. Lagipun Nana tau, Che Mat suka ushar Leha Janda tu, kan?” tebak Liyana tergelak-gelak. Keningnya diangkat-angkat nakal.

‘Hisy! Tahu pulak budak ni yang aku suka tengok si Leha Janda tu. Bahaya ni! Budak Liyana ni bukan boleh pakai sangat. Silap gaya, habis heboh sekampung nanti,’ desis hati Che Mat.

“Yalah.”

“Hehe… terima kasih Che Mat.” Liyana masih tersengih-sengih.

“Hah! Apa lagi? Baliklah,” sergah Che Mat.

“Tu, pasung tu bila nak buka? Kesian kuda jadian saya ni Che Mat.”

La… dah kena clamped rupanya. Hahaha…

Che Mat mendengus lalu membuka kunci di motosikal Liyana.

Aidid pula akhirnya memahami apakah kuda jadian yang dimaksudkan. Motosikal dipanggil kuda jadian. Ish…ish… ish…

“Terima kasih, Che Mat,” ucap Liyana sambil tersenyum manis.

“Hah! Cepatlah naik,” arah Liyana kepada Aidid pula.

Aidid terasa tidak percaya. Naik motor? Dengan Liyana The Samseng? Hisy! Ini dah kira nyawaku pertaruhkan ni.

“Apa hal?” tanya Liyana apabila Aidid masih tercegat berdiri.

“Naik motor ni?”

Liyana juling mata ke atas. “Iyalah. Takkan nak bawa kapal terbang landing kat sawah tok wan awak pulak,” sinis balasannya.

“Tak naklah saya,” putus Aidid.

“Hekeleh dia ni. Mengada-ngadalah pulak.”

“Siapa budak ni Nana?” Che Mat yang masih berada di situ, tiba-tiba menyampuk. Hairan juga dia. Sejak dari tadi lelaki itu berdiri terpacak bersama mereka. Tak pernah pula dia nampak muka sebelum ni. Sudahlah tu, tak macam orang Melayu pun.

“Ni?” Jari telunjuk Liyana menunding ke arah Aidid.

Che Mat mengangguk.

“Ini cucu London Haji Salleh,” cerita Liyana.

“Ya ka? Anak Azman? La… dah besar pun,” ujar Che Mat sambil memandang Aidid.

Aidid tersenyum sambil mengangguk sedikit tanda hormat. Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Che Mat pantas menyambut.

“Haa… sudah, sudah. Che Mat kalau nak interview ke, apa ke, lain kali ek. Nana dah lambat ni. Banyak lagi kerja nak buat ni.” Liyana pantas menghalang apabila melihat Che Mat seperti ada ura-ura mahu memanjangkan temu ramahnya.

“Weh, cepatlah naik,” marah Liyana.

Melihat gaya Liyana yang hampir berubah menjadi singa jadian, Aidid terus melompat naik di belakang Liyana. La… takut juga dia dengan Liyana The Samseng rupanya. Hahaha…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/124970/Mr-London-Ms-Langkawi

Sejenak Bersama Herna Diana

Antara hasil karya Herna Diana

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Bagi bulan ini, admin berjaya menemu bual seorang penulis novel dimana salah satu daripada novel beliau sedang ditayangkansebagai drama di Singapura. Novel yang kami maksudkan ialah Mr. London Ms. Langkawi.

Kalau readers nak tahu lebih lanjut mengenai cik penulis kita Herna Diana, ikuti perbualan kami di bawah.

Ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Herna Diana. Kami akan kongsikan kepada peminat Herna Diana juga info ini.

Seorang novelis yang bernaung di bawah Karangkraf. Beliau berasal dari Utara Malaysia. Setakat ini mempunyai empat buah novel iaitu:

  • Cinta 3 Suku
  • Sayang Cik Tiramisu
  • Oh, Mama Tiriku!
  • Mr. London Ms. Langkawi

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Herna Diana menulis?

Boleh dikatakan sebenarnya saya bermula sebagai seorang pembaca novel. Minat menulis tu memang ada sejak dari sekolah lagi. Tapi tak pernah serius pun. Sekadar suka-suka saja. Cuma pada tahun 2008, tiba-tiba terasa nak cuba hasilkan sebuah novel. Masa tu tak terniat langsung sampai nak dibukukan. Hanya nak buat simpanan peribadi. Tapi bila manuskrip tu dah siap, abang saya bagi cadangan supaya hantar ke syarikat penerbitan. Mulanya memang saya menolak sebab saya tak yakin langsung. Tapi bila didesak beberapa kali, saya pun macam…ah, cuba jelah. Mungkin dah tertulis rezeki, manuskrip saya tu diterima dan akhirnya pada tahun 2010 terbitlah manuskrip saya tu atas judul CINTA 3 SUKU. Itulah novel pertama saya.

2. Apa makanan kegemaran anda?

Saya bukanlah orang yang jenis memilih makanan. Asal boleh saya bedal (janji Halal). Hehe… Tapi jika antara makanan pedas dan manis, saya lebih memilih makanan pedas. Jika antara masakan kampung atau western, selera saya lebih kepada masakan kampung.

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Jujurnya, saya tak ada penulis kegemaran. Sebab saya baca semua genre novel. Semua penulis ada kelebihan masing-masing dan saya hormati semua insan yang bergelar penulis.

4. Apakah novel kegemaran Herna Diana? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak sangat.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Saya sukakan kucing. Dulu ada pelihara kucing. Tapi sekarang dah tak ada.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Mana-mana pun boleh. Janji melancong. Haha…

Untuk persoalan mengapa, setiap tempat ada keindahan tersendiri. Dan saya amat hargai jika saya berpeluang menikmati keindahan tersebut.

7. Apakah Herna Diana merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Saya masih menulis dan akan terus menulis selagi diberikan ilham dan selagi masih ada yang sudi membaca karya saya. Tentang novel baru, ianya masih di peringkat awal. Tajuk pun belum ada.

8. Apakah pesanan Herna Diana kepada pembaca di luar?

Jadi pembaca yang bijak. Jangan hanya membaca tetapi kosong. Baca dan ambillah pengajaran yang tersurat dan tersirat di dalam bahan bacaan anda.

Kepada pembaca karya2 saya, terima kasih kerana menjadi warna-warna yang menceriakan kanvas kehidupan seorang Herna Diana.

9. Pada pandangan Herna Diana, apa istimewanya novel Herna Diana berbanding novel lain di pasaran?

Setiap novel ada keistimewaannya. So, saya tak pernah membuat sebarang perbandingan.

10. Dari mana Herna Diana selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Dunia sekeliling saya. Ada juga sedikit pengalaman sendiri yang saya kongsikan dalam karya saya.

11. Apa rutin harian Herna Diana? Ada yang rare tak?

Saya orang biasa. So rutin harian saya juga biasa-biasa sahaja.

12. Describe diri Herna Diana dalam 3 patah perkataan?

Saya Anak Malaysia

13. Apa nasihat Herna Diana kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi nasihat kerana saya juga masih baru. Masih dalam proses belajar. Cuma seperkara yang boleh saya kongsikan. Jadilah penulis yang bertanggungjawab dalam setiap karya anda. Kerana setiap apa yang ditulis akan terpikul di bahu anda sehingga ke akhirat kelak. Jadi, tulislah yang baik-baik ya.

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Herna Diana kuasai?

Loghat utara (Boleh diterima pakai tak? Hehe…)

Sekian saja dari kami. Kami mendoakan semoga Herna Diana akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Herna Diana, mahu lebih banyak judul daripada beliau

Novel yang sedang diadaptasi ke drama di sebuah stesen TV di Singaura. Membariskan Zul Arifin dan Izzara Aishah sebagai pelakon utama.

Karya terbaru Herna Diana boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_52482_Herna-Diana/~

[SNEAK PEEK] CINTA TIGA SUKU

9789831245828-medium
CINTA TIGA SUKU Oleh Herna Diana

IMAN tersenyum tatkala terpandang wajah yang amat dirinduinya itu. Pantas, dia mengatur langkah menghampiri. Tidak sabar untuk bertemu dan memeluk abahnya. Sudah tiga bulan dia meninggalkan insan kesayangannya itu kerana menyertai PLKN. Rasa rindu sudah tidak terkira lagi.

Tiba-tiba langkahnya terhenti. Akal nakalnya melintas di dalam kepala. Dia tersengih-sengih sendiri. Beg galas yang hampir melorot dikemaskan letak duduk di bahunya. Perlahan-lahan dia meneruskan langkah menghampiri abah yang masih ralit menghayati suasana petang di tepi sawah.

Iman berdiri betul-betul di belakang abahnya. Ternyata abah langsung tidak menyedari kehadirannya. Diperhatikan susuk tubuh abah dari belakang. Tubuh abah semakin susut. Kesayuan dan kerisauan menjentik hatinya secara tiba-tiba.

‘Abah sakit ke?’ Pertanyaan itu berlegar di hatinya. Iman masih ralit memerhatikan abahnya. Hatinya dipagut bimbang melihat perubahan fizikal lelaki itu.

“Abah… Iman sayang abah. Tanpa abah, Iman tak tahu apa yang akan jadi dengan Iman. Iman terlalu sayangkan abah. Hanya abah yang Iman ada di dunia ni,” bisiknya lagi.

“Hah, makan budak!”

Sergahan secara tiba-tiba membuatkan semangat gadis comel itu terbang melayang. Terduduk dia akibat terkejut yang teramat. Telinganya menangkap ketawa seseorang. Pantas dirinya kembali ke alam nyata. Dilihat abah sedang ketawa melihat tindak balas spontannya. Pantas abah menghulurkan tangan. Tawa abah sudah semakin reda.

Iman menarik muka masam, pura-pura merajuk. ‘Hisy…macam mana abah pulak yang kenakan aku ni? Sepatutnya aku yang kenakan abah… ni dah terbalik pulak. Tulah… suka sangat mengelamun. Eei… malunya,’ ujarnya di dalam hati.

Abah masih menghulurkan tangan untuk membantunya bangun. Iman memandang abahnya tidak puas hati.

“Meh, sini abah tolong,” ujar abah.

Iman masih tidak bergerak dari tempatnya jatuh tadi.

“Hisy… merajuk pulak si comel abah ni. Macam mana nak buat ni ya? Nak dukung, rasanya pinggang abah dah tak kuat. Kalau dukung, mau patah riuk ni. Kalau tak dukung, nanti melekat pulak kat tanah tu.” Abah cuba memancing reaksi Iman.

Ternyata pancing abah mengena. Melihat abah sudah berkira-kira mahu mendukungnya, pantas Iman mencapai tangan abah lalu bangun berdiri. Tangan Abah yang masih di dalam genggaman pantas disalam dan dicium penuh kasih. Seketika, Iman sudah melekap dalam pelukan abah.

“Iman rindu sangat dengan abah.” Kedengaran sayu ucapan Iman. Pelukan terhadap abah masih belum mahu dileraikan. Sungguh, dia benar-benar rindukan abah.

“Dah besar pun nak manja-manja dengan abah lagi?” Abah masih terus ingin mengusik Iman. Dan seperti diduga, wajah comel itu kembali mempamerkan riak masamnya. ‘Merajuk lagilah tu!’ Abah tersenyum ceria kerana usikannya mengena.

“Abah ni… tak suka Iman balik erk?” Abah tidak memberi reaksi. Hanya senyuman masih tersungging di bibirnya. Sebenarnya, abah senang melihat gelagat rajuk puteri kesayangannya itu. Wajah comel yang dimiliki Iman nyata mempamerkan aksi manja tatkala merajuk.

“Abah!” panggil Iman, sedikit bentak. Geram dengan gelagat abah yang suka mengusiknya.

“Abah tak suka takpelah… Iman nak pergi,” ugut Iman dengan suara yang sengaja dilirihkan. Seraya itu dia melepaskan pelukan abah dan berpura-pura untuk melangkah.

“Merajuk lagi intan payung abah ni.”

Iman yang sedang berdiri membelakangi abah tersenyum kerana mendapat perhatian. ‘Yes… mengena pun,’ jeritnya di dalam hati.

“Dahlah tu, jangan nak tarik muncung macam tu lagi. Tak comellah anak abah muncung-muncung macam ni,” pujuk Abah lagi.

Tersenyum Iman mendengar kata-kata abahnya. Lekukan lesung pipit pada kedua-dua belah pipi menambahkan lagi kecomelannya.

“Hmm… macam tulah anak abah. Sayang anak abah.”

KUNTUMAN bunga-bunga tanjung yang gugur di atas kepala Iman mengembalikan gadis itu ke alam nyata. Terlalu jauh dia mengelamun mengenang kembali memori bersama abah. Kini, abah telah tiada. Telah kembali menghadap pencipta-NYA.

Setitis air mata yang mengalir di pipi pantas diseka. Jiwanya terlalu rindukan abah. Sudah hampir setahun abah pergi menghadap ILAHI, tetapi dia merasa bagaikan baru semalam abah bergurau mengusiknya. Tapi, dia tetap berpegang teguh pada ketentuan ALLAH dan dia meredhakan pemergian abah. Cuma, dia terkilan kerana abah tidak sempat melihat dia mengecap kejayaan dalam hidup.

Iman memejamkan matanya lantas kedua-dua belah tangannya ditadah. Disedekah al-Fatihah kepada arwah abah dan mendoakan kesejahteraan abah di alam barzakh. Tangannya diraup ke muka serentak itu sebuah keluhan dilepaskan.

Dilirikkan mata ke jam tangannya. Rupa-rupanya sudah hampir satu jam dia melayan kerinduan hatinya di taman rekreasi ini. Iman tiba-tiba teringatan sesuatu. Pantas dahinya ditepuk.

“Alamak, aku dah lambat! Mampus aku kena lecture.” Tergesa-gesa dia bangun membetulkan topi agar elok kedudukannya lantas meninggalkan tempat itu.

****

“WASSUP bro?” tegur Iman sambil menepuk bahu teman sekerjanya, Amir.

“Wassup tengkorak kau!” balas Amir tidak senang.

“Alamak, kau ni apahal? Tetiba aje berangin. Nak kata uzur tak logik pulak,” ujar Iman sambil tergelak-gelak.

“Bukan aku yang berangin. Tu, hah… bos kesayangan kau kat dalam tu. Dia nak jumpa kau.”

Terhenti ketawa Iman sebaik mendengar kata temannya itu. Kepala yang ditutupi topi digaru-garunya. Dia sudah tahu apa yang akan dibebelkan oleh bosnya. Lambat datang kerja!

“Hah, apasal kau berhenti? Gelaklah lagi,” sindir Amir.Kini, giliran Amir pulak yang tergelak-gelak. Dia tahu Iman sudah kecut perut. Ternyata wajah Iman tidak pandai menyorok isi hatinya. Inilah yang membuatkannya senang berkawan dengan Iman walaupun mereka berlainan jantina. Iman seorang yang tidak pandai berpura-pura. Apa yang terlintas di fikiran, itulah yang keluar di mulutnya. Walaupun kadang kala kedengaran celopar dan kasar. Perwatakan Iman yang seakan-akan lelaki itu membuatkan dia sering lupa identiti sebenar temannya itu.

‘Kurang asam betul mamat ni, aku pulak digelakkan,’ hamun Iman di dalam hati.

“Apasal kau tak tolong cover line aku? Kau ni tak boleh harap langsunglah,” rungut Iman.

“Nak cover macam mana lagi, Man oii? Sampai stor ni dia cari kau. Aku nak kata apa lagi? Yang kau tu dah tahu orang tua tu berangin, datang lambat kenapa? Kau yang sengaja cari penyakit.” Amir masih ketawa.

“Aku ada hal sikit tadi. Dah… dah… kau jangan nak membebel, jangan nak gelak-gelakkan aku. Aku hentak karang naya aje,” sergah Iman sambil menunjukkan buku limanya.

Amir pantas menghentikan ketawanya sambil mengangkat kedua-dua belah tangan tanda menyerah. Bimbang juga dia kalau Iman benar-benar menumbuk. Bukannya dia tak pernah merasa tumbukan Iman. Walaupun sekadar bergurau, perit juga!

“Okeylah, aku pi jumpa bos dulu. Eeii… cairlah taik telinga aku kejap lagi,” ujar Iman sambil berlalu pergi.

Amir hanya memandang Iman. “Iman… Iman… muka comel, tapi kenapa kau suka sangat nak buat perangai lelaki? Macamlah best! Eh… mestilah best jadi lelaki. Aku kan lelaki?” Amir merungut sendirian. Namun, dia tahu kenapa Iman berperwatakan demikian. Seketika, dia terkenang perbualannya dengan Iman ketika mereka mula bersahabat dahulu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81521/Cinta-Tiga-Suku