Sejenak Bersama Hannah Ezaty

Hello readers! Pada bulan ini, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku yang bernaung bawah Karyaseni dan Penulisan2u.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang penulis buku yang terkenal ini, boleh ikuti temu bual kami di bawah.

 

Latar belakang Hannah Ezaty

Lahir, membesar dan tinggal di Pulau Pinang. Mempunyai pendidikan dalam bidang Perakaunan tetapi lebih cintakan dunia penulisan. Mula menceburkan diri dalam bidang penulisan selepas tamat belajar pada tahun 2011.

1) Siapa yang memberi inspirasi untuk Hannah Ezaty menulis?

Ketika di Tingkatan 2, cikgu Bahasa Inggeris saya ‘memaksa’ saya untuk menulis sebuah sajak. Kemudian, sajak tersebut telah diterbitkan ke dalam majalah sekolah. Bermula dari situ, tercetusnya minat dan inspirasi untuk menulis. Terima kasih, cikgu!

 

2) Apa makanan kegemaran Hannah?

Semestinya makanan pedas. Lagi pedas lagi syokk!

 

3) Siapakah penulis kegemaran Hannah? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Ramaiiii!

 

4) Apakah novel kegemaran Hannah? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak. Tak tertulis rasanya. Tapi, antaranya ialah daripada tulisan Bikash Nur Idris, Ismi Fa Ismail dan Ramlee Awang Murshid.

 

5) Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada.

 

6) Jika Hannah diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Hannah mahu pergi dan mengapa?

Negara-negara Eropah terutamanya Switzerland, Spain dan Iceland. Saya nak ke Switzerland sebab nak naik mountain coaster sambil menikmati panorama dan keindahan alam semulajadi di sana. Spain kerana sejarah serta budayanya dan Iceland kerana Aurora! Oh, ya. Teringin juga nak ke Istanbul untuk food hunting. I’m a food lover!

 

7) Adakah Hannah merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Ya, saya bakal menerbitkan sebuah novel bergenre romance-mystery tak lama lagi berjudul 9 NOTA yang menceritakan kisah hidup seorang wanita yang sering menerima nota misteri daripada pengirim tak bernama dan bagaimana cara dan usaha yang dilakukan untuk menjejaki pengirim misteri berkenaan.

 

8) Pada pandangan Hannah, apa istimewanya novel Hannah berbanding novel lain di pasaran?

Dekat dengan hati pembaca kut?

 

9) Dari mana Hannah selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang tak kira waktu. Kadang-kadang, bila nak tidur pun ilham boleh muncul. Bangun pagi pun boleh dapat ilham. Kebanyakannya datang daripada pemerhatian dan pembacaan. Ada juga daripada pengalaman sendiri dan orang sekeliling. Adakalanya daripada berita dan isu-isu semasa yang telah diolah sehingga menjadi sebuah fiksyen.

 

10) Apa rutin harian Hannah? Ada yang rare tak?

Rutin harian biasa-biasa saja. Cuma saya akan menulis antara jam 3 pagi sampai jam 9 pagi kalau ada deadline. Selebihnya macam rutin orang lain.

Saya juga suka melepak seorang diri kat balkoni rumah antara jam 2-3 pagi kalau tak boleh tidur sambil perhati kereta yang lalu lalang. Err… itu dikira rare tak?

 

11) Describe diri Hannah dalam 3 patah perkataan.

Sepi itu mengasyikkan.

 

12) Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, apa lagi bahasa lain yang Hannah kuasai?

Pernah belajar Mandarin, Italian dan Spanish tapi sampai sekarang tak fasih-fasih. Hehe.

 

13) Apa nasihat Hannah kepada penulis-penulis yang masih baru dalam industri buku?

Jangan cepat mengalah dan berputus asa. Hargai diri sendiri dan bakat pinjaman tuhan. Teruskan berjuang!

 

14) Apakah pesanan Hannah kepada pembaca di luar?

Teruskan membaca dan teruslah menyokong industri buku dan penulisan.

 

Kami harap cik Hannah Ezaty akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarik dan bermutu lagi. Jika anda berminat dengan tulisan Hannah Ezaty, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

 

Lebih banyak karya dari Hannah Ezaty boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_47199_hannah-ezaty/~

[SNEAK PEEK] MR. STALKER… SAYA CINTAKAN AWAKLAH!

9789670567754-medium
EBUKU Mr. Stalker… Saya Cintakan Awaklah! Oleh Hannah Ezaty

SUDAH berkali-kali dia menghubungi Raziq, namun tetap gagal. Nadine Tasyrif memandang skrin telefon bimbitnya yang sudah hampir kehabisan bateri itu. Dia mendengus keras dengan kening yang bertaut rapat antara satu sama lain.

“Hei, jawablah panggilan! Susah sangat ke nak jawab?” bebel Nadine Tasyrif sendirian yang sedang duduk di satu sudut dalam studio dengan wajah geram. Giginya juga diketap rapat dengan mata masih menyorot ke arah skrin telefon bimbit.

Waktu rehat yang ada digunakan sebaiknya dengan menelefon tunangnya Raziq. Namun dia sedikit bengang kerana lelaki itu masih belum menjawab panggilannya sejak tadi.

Nadine Tasyrif melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir tengah hari. Sebetulnya, hari ini dia terlalu sibuk dengan kerja-kerja penggambaran memandangkan jadualnya yang begitu padat sejak awal bulan lalu. Kerjayanya sebagai seorang model yang cukup popular membuatkan masanya sering terbatas. Namun itu bukan alasan yang akan diguna apabila melibatkan soal Raziq.

Hari ini sepatutnya dia ke butik pengantin bersama tunangnya itu untuk melihat contoh rekaan baju pengantin yang bakal mereka berdua gayakan pada hari bersejarah yang tinggal tiga bulan saja lagi. Banyak perbincangan yang mahu dilakukan di sana nanti. Biar hari bersejarah mereka nanti akan jadi satu momen yang boleh dikenang sepanjang hayat.

Ikutkan janjinya dengan Raziq, selesai kerjanya sekejap lagi, mereka akan terus ke Butik Rafell yang dimiliki oleh salah seorang kenalan Raziq. Tak sabar rasanya nak bersatu dengan Raziq, jejaka yang dia cinta sepenuh hati. Syed Raziq Rafiqi, dengar saja namanya mampu buat jiwa bergetar hebat. Lelaki yang sering diberi jolokan lelaki macho dalam kalangan teman tunangnya. Mereka telah bertunang lebih daripada dua tahun.

Rindu tiba-tiba membuak-buak dalam hati kecil Nadine Tasyrif. Sudah hampir seminggu dia tak bertemu dengan jejaka itu memandangkan masing-masing sibuk. Raziq baru saja pulang dari London petang semalam setelah berurusan di sana sejak minggu lepas lagi.

“Kau ni kenapa? Resah semacam aje?” tegur Kila, teman yang merangkap pembantu peribadi gadis itu. Nadine Tasyrif melangut memandang Kila yang sedang mendekatinya sambil membawa dua botol air mineral sejuk. Dia mendengus lagi sambil melepaskan geramnya pada skrin telefon bimbit.

“Raziq nilah… Dari tadi aku call tak jawab-jawab. Entah apa kena aku pun tak tahu.”

“Alah, tak dengarlah agaknya!”

“Hesy, tak dengar apanya… Dia tu bukannya pekak!” balas Nadine Tasyrif lagi bersama kerutan di wajah. Dia melihat lagi skrin telefon bimbitnya lalu menekan-nekan punat dengan kasar. Kerana rasa rindu, dia naik angin. Geram apabila panggilannya tak bersambut.

“Dah, kau minum dulu air mineral ni. Kasi sejuk sikit. Nanti-nanti kau call dia semula. Aku rasa mungkin dia tak sedar telefon dia berbunyi,” nasihat Kila lagi lalu menghulurkan botol mineral yang sudah dibuka kepada Nadine Tasyrif. Gadis itu hanya menurut. Diteguk sekali dua air dari botol itu lalu dia menarik nafas untuk menghalau keresahan dalam hatinya.

“Nadine, ready in two minutes,” ucap salah seorang krew produksi yang bertugas. Nadine Tasyrif angguk. Dia meletakkan telefon bimbitnya ke dalam tas tangan sebelum membetulkan baju yang dipakai manakala botol mineral yang dipegang tadi diberikan saja kepada Kila.

“Jay, tolong betulkan mekap I,” ucap Nadine Tasyrif bersahaja. Tanpa membuang masa, lelaki yang bernama Jay itu segera menghampiri Nadine Tasyrif untuk membetulkan solekan di wajah Nadine Tasyrif yang mula pudar.

Selesai tugasnya di studio, Nadine Tasyrif cepat-cepat beredar. Langkah kakinya begitu laju sekali mendekati Suzuki Swift putih miliknya yang diletakkan berhampiran Wisma Cemerlang, bangunan yang terletak bersebelahan dengan Studio ETV, Agensi Pesona. Kunci yang berada di dalam tas tangan dicapai sebelum menekan punat. Sepantas kilat Nadine Tasyrif memboloskan dirinya ke dalam perut kereta namun tangan Kila yang tiba-tiba hadir menghalang pintu daripada tertutup rapat.

“Apa hal, beb? Aku nak cepat ni!”

“Aku cuma nak ingatkan tentang jadual kau. Jangan lupa esok kau ada photoshoot di studio Prima Kota untuk cover majalah Letop bulan depan. Tepat pukul sepuluh pagi kau mesti ada di sana. Aku dah arrange semuanya dengan dia orang tau. And one more thing, lepas sesi photoshoot tu, kau mesti gerak ke KLCC untuk raptai fashion show dengan Flora Boutique pukul dua petang. Kemudian sebelah petang pula kau ada sesi tandatangan perjanjian baru dengan Girl and Girl yang dah nak habis kontrak tu pukul lima. Malam pula kau ada dinner dengan wakil agensi Lemon Tea di Hotel Regency tepat pukul lapan malam. Baju-baju kau aku akan uruskan dan…”

“Kila, stop!” potong Nadine Tasyrif sedikit keras. Dia memegang wajahnya lalu ditepuk-tepuk perlahan. Kepalanya mula terasa berat dengan tugas-tugas yang agak banyak serta jadual yang padat seperti yang disebut oleh Kila satu per satu tadi. Pening kepalanya mendengar apa yang Kila ucapkan kepadanya.

“Kenapa?” soal Kila sambil memandang ke arah iPad di tangannya.

“Bilanya aku boleh cuti?” soal Nadine Tasyrif dengan suara seperti hendak menangis. Tapi Kila dah ketawa sakan melihat bosnya menayang muka penuh mengharap.

“Kenapa kau ketawa?” potong Nadine Tasyrif sedikit pelik dengan gelagat pembantu peribadinya itu.

“Kau buat lawak ke apa ni?”

“Lawak apa?”

“Tak adalah… Sepanjang aku bekerja dengan kau, sekali pun aku tak pernah dengar kau sebut pasal cuti. Siap minta aku susun jadual termasuk hari minggu lagi. Tapi sekarang dah ubah fikiran pula? Nak ubah status sebagai seorang workaholic ke?”

“Kau tak akan faham perasaan aku, Kila. Wedding aku tinggal tiga bulan saja lagi. Tapi kerja aku macam tak pernah surut sampai tahun depan. Kau nak tengok aku bersanding sambil buat photoshoot atau pertunjukan fesyen ke?” balas Nadine Tasyrif lemah. Terasa tersindir dek kata-kata Kila tadi.

“Kalau boleh aku nak ambil cuti panjang. Aku nak concentrate on my wedding. Tak naklah nanti pengantin perempuan muka macam Zombi duduk atas pelamin dengan encik tunang. Tak pasal-pasal masuk magazine, masuk portal hiburan, masuk TV… Dah jadi kontroversi pula. Haru weh!” Nadine Tasyrif gosok kepala.

“Okey, faham. Aku dah adjust kau punya jadual. Jangan risau… Sebulan sebelum wedding kau dah boleh cuti tapi sebelum tu kau settlekan dulu semua kerja kau. Lepas ni kalau kau nak pergi honeymoon dengan Raziq sampai ke hujung dunia pun tak ada siapa yang peduli.” Kila tergelak-gelak, sengaja mengusik.

“Hah, aku nak ingatkan kau sekali lagi tentang jadual untuk esok. Nanti aku e-mel dekat kau semua benda supaya kau tak lupa. Lepas tu jangan tak cek e-mel kau pula. Naya nanti! Asyik sibuk fikir wedding, benda yang depan mata nanti terlepas pula. Lepas tu aku juga nak disalahkan!” bebel Kila.

“Oh God, please give me some space!” ucap Nadine Tasyrif sambil memandang ke wajah langit sebelum kedua-dua matanya terpejam bagai mencari kekuatan.

“Kau dengar tak apa aku cakap tadi, Nadine?” Muka Kila berubah garang.

“Dengar.”

“Hmmm… Periksa e-mel tu nanti. Kalau tidak, sia-sia ajelah aku membebel dekat kau ni,” tekan Kila lagi sekadar mengingatkannya. Bukannya apa, dia bimbang sekiranya Nadine Tasyrif terlupa kerana dia tahu benar dengan perangai gadis itu. Kadang-kadang boleh leka dan cuai.

“Yalah-yalah… Aku tak lupa. Nanti aku ceklah e-mel kau tu. Dahlah, aku gerak dululah. Nak call Raziq dulu… Chao!” ucap Nadine Tasyrif sambil memberikan senyuman sekilas lalu mengangkat kening sebelah sebelum menarik pintu keretanya.

Nadine Tasyrif tersengih memandang Kila. Ekor matanya sempat menghantar kelibat Kila menjauh sebelum menghilang. Kemudian dia mencuba sekali lagi untuk menghubungi Raziq. Sekarang bukan masanya untuk dia fikirkan hal kerja. Sekarang dia hanya perlu fikir tentang Raziq yang masih menyepi sejak tadi. Telefon bimbitnya ditenung. Cuma seminit saja telefon bimbitnya sempat melekap ke telinga, tapi harapannya untuk mendengar suara Raziq terus hancur berkecai apabila tiada respons.

“Dia ni membuta lagi ke? Dah tengah hari ni. Tak reti-reti nak jawab call aku ke?” omel Nadine Tasyrif. Rasa bengang sejak tadi masih belum beransur hilang. Pelik juga dengan Raziq. Apa yang tak kenanya sehingga telefon berbunyi pun tidak diangkat? SMS yang dihantar juga tidak dibalas. Payah betul!

“Ni mesti tidur mati. Tahulah petang semalam sampai dari London. Huh, tak boleh jadi ni,” sambungnya lagi sambil membuang satu keluhan kecil. Stereng di hadapan diketuk sedikit untuk melepaskan rasa. Sepantas kilat dia menghidupkan enjin kereta kemudian berlalu keluar dari kawasan Wisma Cemerlang.

Jalan raya yang sedikit sesak menambahkan geram dalam hati Nadine Tasyrif. Hampir saja keretanya berlaga dengan kereta sebelah yang kelihatan tidak sabar-sabar mahu memintas kereta di hadapan. Nadine Tasyrif menggeleng. Dalam melihatkan gelagat pemandu-pemandu, tiba-tiba hatinya jadi tidak keruan.

Entah mengapa hari ini hatinya cukup berdebar-debar. Tidak seperti biasa. Dia rasakan jantungnya seakan-akan mahu melompat keluar dari badan. Dia sendiri kurang mengerti kenapa dia berperasaan sedemikian. Hendak kata mahu berjumpa dengan Raziq, hari-hari dia berjumpa dengan lelaki itu kecuali seminggu ini dan tak pernah pula dia gelisah sebegini. Seingatnya, sejak kali pertama jatuh cinta kepada Raziq, hatinya tidak pernah berdebar-debar sebegini hebat. Dia mula memegang dadanya dengan sebelah tangan untuk merasa denyutan yang mula tidak seirama. Tak keruan!

Haih, penangan tak jumpa Raziq selama seminggu ke apa ni? Atau penangan bakal pengantin? Macam ni ke rasanya nak naik pelamin? Berdebar tak tentu hala. Rasa rindu, risau, runsing, bimbang, cemas, semuanya silih berganti. Ah, peninglah fikir!

Satu hembusan nafas yang agak kuat pantas dibuang.

Ah, perasaan! Tolonglah berkelakuan baik dengan aku hari ni! bisik Nadine Tasyrif.

Kereta yang dipandunya berhenti di lampu isyarat di sebuah persimpangan. Dia mengambil kesempatan untuk menghubungi Raziq lagi. Mana tahu jika nasibnya baik, pasti Raziq akan menjawab panggilannya. Setelah beberapa saat menunggu, perasaan hampa menghimpit diri.

Dalam hati, dia dapat mengagak bahawa tunang kesayangannya itu mungkin masih tidur. Tidur mati. Dia baru terfikir semalam Raziq ada memberitahunya, sampai saja dia di sini, dia terpaksa berjumpa dengan beberapa klien syarikatnya untuk membuat pembentangan.

Sempat dia SMS Raziq malam semalam dan lelaki itu balas dengan mengatakan yang kerjanya masih belum selesai. Mungkin saja akan berlarutan sampai ke subuh sebelum menghantar laporan penuh hari ini. Haih, kadang-kadang apabila dia mendengar Raziq bercerita tentang kerjanya yang terlalu sibuk, dia berasa risau. Tapi lama-lama dia baru mengerti. Kadang-kadang dia kasihan dengan Raziq yang tak cukup rehat kerana sibuk dengan urusan pejabat.

Dia tersenyum. Apabila mereka dah kahwin nanti, dia akan pastikan Raziq akan perolehi hidup yang lebih teratur. Dia akan jadi seorang isteri yang terbaik untuk lelaki itu. Dia janji dengan diri sendiri yang dia akan bahagiakan Raziq!

Telefon bimbit ditenung lagi.

“Memang sah dia tidur mati ni. Penat sangat buat kerja sampai subuhlah tu!” Nadine Tasyrif mengomel seorang diri. Apabila lampu isyarat bertukar hijau, dia memecut keretanya selaju yang boleh menuju ke Valleria Condo.

Lif dituju, butang lif ditekan dengan hati berdebar-debar tak sudah. Usai pintu lif terbuka di tingkat 15, dia segera meloloskan diri lalu menuju ke unit kondominium milik Raziq. Loceng di luar pintu ditekan berkali-kali, tapi masih tiada respons. Diketuk-ketuk pula pintu kayu agak kuat bersama harapan yang Raziq akan muncul di sebalik pintu tapi semuanya tidak menjadi nyata. Nadine Tasyrif mengetap bibir untuk melepaskan rasa geram. Tak semena-mena dia memulas tombol pintu sebelum ia terbuka dan terkuak lebar.

“Aik, pintu pun tak berkunci? Lupa ke? Atau…” Suara Nadine Tasyrif terhenti apabila akal jahat mula merencana perkara yang tidak baik.

“Haih, apa aku mengarut ni? Cuba jangan fikir negatif, Nadine!” bebelnya kepada diri sendiri.

Segera langkah kaki diatur kemas menuju ke dalam. Ruang kondo milik Raziq dijejaki. Mata mula meliar memandang sekeliling dengan hati yang sungguh tak enak. Berlawanan dengan akal waras yang memberi amaran supaya berfikiran rasional.

Ruang tamu kelihatan lengang. Kosong. Namun masih tersusun rapi seakan-akan sudah dikemas beberapa minit sudah. Tak ada niat nak berlama-lama di ruang tamu, dia menjengah pula ke ruang makan tapi matanya terbeliak apabila melihat ada beberapa pinggan yang mengandungi sisa-sisa makanan. Mulut dah herot sebelah. Kepala dah menggeleng-geleng.

“Hesy, dia ni. Pinggan tahun bila dibiarkan tak bercuci ni? Raziq… Raziq…” Nadine Tasyrif mula membebel.

Ini yang dia rasa tak sabar sangat nak jadi isteri Raziq. Apabila dah jadi isteri lelaki itu, dia akan pastikan semua kelengkapan Raziq akan terjaga. Tak adalah nak sakit mata tengok meja makan berselerak begini.

Nadine Tasyrif keluar dari ruang makan setelah mengangkat pinggan-pinggan lalu diletakkan ke dalam singki. Kemudian dia cuba memberanikan diri menghampiri bilik tidur Raziq sambil nama lelaki itu dipanggil lagi. Masih tiada jawapan. Akhirnya dengan tekad dia menolak pintu bilik Raziq perlahan-lahan. Dia meninjau-ninjau sekitarnya. Kosong. Ke mana Raziq pergi? Jika Raziq tiada di rumah, mengapa pintu utama tidak berkunci? Adakah Raziq terlupa untuk menguncinya? Nadine Tasyrif kalut mencapai telefon bimbit dari dalam tas tangan lalu menelefon Raziq.

Tak semena-mena, dia terdengar deringan telefon bimbit Raziq bergema dari ruang tamu. Kakinya pantas mengatur langkah ke situ lalu mencapai telefon bimbit Raziq. Kepalanya digaru. Hairan. Mengapa Raziq tinggalkan telefon bimbitnya di atas meja? Ke mana dia pergi?

Pelbagai persoalan menerjah benaknya namun dengan tiba-tiba saja hati Nadine Tasyrif terdetik menyuruhnya melihat bilik tetamu yang terletak bersebelahan dengan bilik utama. Mungkin Raziq berada di situ untuk menyiapkan kerja pejabat atau sedang membuta. Manalah tahu!

Langkahnya diatur berhati-hati. Di dalam kepalanya ligat memikirkan pelbagai macam perkara yang tidak elok pula. Mindanya mula berlegar tentang cerita-cerita ngeri yang dia pernah baca dalam akhbar tentang pembunuhan selepas rompakan di rumah. Ah, janganlah Raziq terlibat!

Langkahnya beku di hadapan bilik tetamu. Dia memandang atas hingga ke bawah pintu sambil menelan liur. Dia berharap agar minda mengarutnya tadi tidak menjadi kenyataan. Dia menelan liur sebelum memegang tombol pintu. Tangannya terasa seram sejuk saat tombol pintu dipulas dan ketika itu juga hatinya semakin berdebar-debar.

Matanya dipejam saat pintu bilik yang nyata tidak berkunci itu dikuak. Perlahan-lahan pintu itu ditolak sehingga memperlihatkan keseluruhan bilik. Namun tidak sampai tiga saat, wajahnya berubah pucat dan nafas ikut tak menentu. Terkejut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79460/mr-stalker%E2%80%A6-saya-cintakan-awaklah