REVIEW THE KITE RUNNER-SI PENGEJAR LAYANG- LAYANG

9789674314316-medium
EBUKU THE KITE RUNNER – SI PENGEJAR LAYANG- LAYANG OLEH KHALED HOSSEINI

The Kite Runner, mengisahkan persahabatan antara dua orang budak lelaki, Amir dan Hassan, saudara sesusuan. Berlatarbelakangkan zaman terakhir pemerintahan beraja di Afghanistan, Amir merupakan anak ahli perniagaan kaya sementara Hassan, anak orang suruhan keluarga Amir dari puak Hazara, puak minoriti yang dipandang rendah. Pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan memaksa Amir dan bapanya melarikan diri ke luar negara untuk memulakan hidup baharu di California. Merasakan bahawa dia sebenarnya telah melarikan diri daripada masa lalunya, masa yang menyaksikan pengkhianatan, dan kuasa pembohongan, Amir akhirnya pulang ke Kabul demi sahabat sejatinya, Hassan. Kisah menyayat hati tentang persahabatan, persaudaraan, kasih sayang, pengkhianatan, dan kesengseraan ini memaparkan sisi-sisi lain Afghanistan, bumi yang dahulunya indah, dan sehingga kini, masih menyimpan kepedihan.


Sebuah kisah yang rare. Jika ditanya kepada saya sendiri, novel ini menyingkap kisah- kisah mengenai konflik yang berlaku di Afganistan iaitu Sunni dan Syiah. Kekejaman yang berlaku, menampakkan seolah- olah nyawa boleh dibeli dan diambil dengan begitu mudah. Yang paling saya puji, watak Hassan. Sanggup meletakkan kesalahan orang lain atas bahunya sendri walaupun bukan berpunca dari dia sendiri.
Selain itu pembaca juga akan banyak dikejutkan oleh berbagai peristiwa yang tak terduga, hal ini menyebabkan akhir dari kisah novel ini menjadi unpredictable sehingga novel ini jadi tak membosankan dan membuat pembaca terus bertanya-tanya bagaimana akhir dari novel menarik ini. Satu demi satu konflik yang timbul dari watak yang berlainan. Antara bapa dengan anak, anak dengan sahabat baiknya.
Dari segi terjemahan novel ini patut mendapat pujian, pemilihan gaya bahasa yang digunakan menepati citarasa pembaca yang menggunakan Bahasa Melayu dan membuatkan jalan cerita itu mudah difahami.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66678/the-kite-runner-%E2%80%93-si-pengejar-layang-layang

 

 

[SNEAK PEEK] AKU CINTA DIA

9789831244593-medium
EBUKU Aku Cinta Dia oleh Sharifah Abu Salem

HEMBUSAN angin adalah rahmat ALLAH. Adakalanya mendatangkan rahmat, adakalanya mendatangkan seksa. Apabila kalian merasakannya, janganlah kalian memakinya tetapi mintalah kepada ALLAH kebaikan angin tersebut dan berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan. Alhamdulillah, angin di Wadi Saffiyyah belum pernah membawa seksa. Malah, setiap hembusan membawa damai yang bukan sedikit. Angin yang membawa bau segar kawasan lembah dan perbukitan. Angin yang meniupkan zat yang menyihatkan bukan sahaja tubuh tetapi minda.  Gemersik angin inilah antara hiburan yang membuatkan Iqbal menyayangi Wadi Saffiyyah. Pesonanya memang amat mengasyikkan. Kehijauan, kedinginan, dan kedamaian di sini membuatkan dirinya pun terasa lebih dekat dengan PENCIPTA. Sehingga Iqbal tidak pernah berniat untuk meninggalkannya lagi. Malah, ketika empat tahun di Universiti Islam Antarabangsa, rindunya pada Wadi Saffiyyah tidak pernah luntur. Ada sahaja kesempatan, pasti dia pulang ke lembah ini.  Mengingati potongan hadis daripada Abu Hurairah itu, Iqbal mengucapkan kesyukuran dan terus berdoa meminta kebaikannya. Kemudian, langkahnya diatur terus menuju ke Teratak Abu Muslim. Dia mempercepatkan langkah sebaik sahaja melintasi rumah tetamu yang bersebelahan biliknya. Namun, susuk tubuh seseorang di beranda Teratak Bukhari membuatkannya terkejut. Siapa di rumah tetamu itu? ‘Agaknya ada orang baru!’ bisik hatinya. Dia menundukkan muka memandang tangga.  Namun, bagai ada kuasa tarikan di antara kedua-duanya selepas itu. Serentak mata mereka menoleh. Mereka bertentang mata. Dania terkejut melihat Iqbal di situ. Cepat-cepat dia menundukkan muka, dan melindungi wajah di sebalik tudungnya.  “Assalamulaikum!” Tiba-tiba Iqbal memberi salam.  Dijawab Dania dengan suara perlahan. Kemudian cepat-cepat dia menyelinap masuk. Tidak sempat Iqbal menatap wajah gadis itu di sebalik tudung hitamnya. Tetapi lirikan mata gadis itu terasa menyambar matanya. Sempat dia melihat mata gadis itu yang sayu penuh kesedihan. Siapa dia?  KOPIAH ditanggalkan sebaik sahaja pintu bilik ditutup. Iqbal duduk di meja kecil. Tangannya mengambil senaskhah kertas cadangan yang akan dibentangkan. Tetapi fikirannya menerawang jauh. Dari mana dia datang? Kenapa dia dihantar ke sini? Siapa namanya? Apa yang menyebabkan dia terhantar ke sini? Tiba-tiba sahaja dia berfikir banyak mengenai gadis itu. Namun, dia tersentak dan beristighfar. Dia tunduk dan memegang kepala. Dia tidak berfikir sebanyak itu sebelum ini jika ada orang baru datang.  “Astaghfirulahalazim! Kenapa aku banyak fikir pasal dia?” Iqbal bercakap dengan dirinya sendiri. Dia mengambil semua laporan untuk dibawa ke an-Nadwah. Pagi ini, mesyuarat akan dijalankan di pejabat walid yang terletak di sebelah pejabat ummi. Banyak agenda Wadi Saffiyyah hendak dibincangkan. “Assalamulaikum! Ustaz Iqbal… Ustaz!”  Iqbal bingkas menuju ke tingkap apabila mendengar suara Pak Kitam.  “Tuan Haji ajak bersarapan sekali…” beritahu Pak Kitam sebaik sahaja Iqbal menjenguk. “Yalah. Saya datang ni, Pak Kitam!” balas Iqbal lalu mencapai kopiahnya semula.

Matanya sempat menjeling Teratak Bukhari ketika kakinya memijak tangga menuju ke bawah. Gadis itu tidak ada! Ke mana dia? Dia mula mengatur langkah ke dewan makan. Namun, kotak fikirannya masih berlegar tentang tetamu baru itu. Apa kesalahannya sehingga dia dihantar ke sini? Bagaimana ibu bapanya tahu tempat ini? Wadi Saffiyyah bebas daripada sebarang publisiti. Bagaimana mereka tahu tempat ini?   “DUDUK, Iqbal.” Ummi meminta Iqbal duduk sebaik sahaja anak bujangnya sampai di meja makan.  Iqbal meletakkan semua kertas cadangannya di atas meja sebelah lalu menunggu kata-kata ummi seterusnya.  “Kita terima orang baru, Iqbal!” beritahu ummi sambil menuangkan minuman yang sudah tersedia untuk anaknya. “Ummi percaya kita akan terima lebih ramai orang baru selepas ini,” sambung ummi lagi.  “Masalahnya… kalau semakin ramai, bilik pun semakin tak muat,” celah Haji Mukri pula. “Kalau nak tambah bilik, boleh… tapi, kita kena cari modal.” Wajahnya yang tenang berubah bimbang.  Ummi mengangguk-angguk, mengiakan kata-kata suaminya. “Tempat untuk Nur Dania ada. Sementara Rakibah belum balik, dia boleh ambil katil Rakibah. Nampaknya terpaksalah bersesak sikit,” cadangnya.  ‘Oh, nama dia Nur Dania,’ bisik hati Iqbal.  “Kata Ummu Maryam, Bilik az-Zahra lebih lapang sikit. Masukkan aje dia ke bilik tu. Biar katil Rakibah kosong, tak baik nak bagi katil dia pulak pada orang lain. Lainlah kalau dia dah tak balik ke sini” Haji Mukri menjeling isterinya.  “Katil Nur Dania?” soal ummi sambil tersenyum. “Kalau nak beli baru pun, belum tentu dia orang hantar hari ni. Mungkin sehari dua lagi.” “Ambil katil saya, ummi!” Tiba-tiba Iqbal menawarkan diri. “Saya pun bukannya tidur atas katil tu. Ustaz Affan tidur kat bawah, takkan saya tidur atas katil pulak? Ummi boleh ambil untuk orang baru tu.” Ummi dan walid berpandangan. Kedua-duanya tersenyum. Akhirnya, selesai satu masalah. “Ahamdulillah. Nanti Iqbal dengan Affan boleh keluarkan katil tu. Tilamnya kita ada. Dalam bilik ummi ada tiga lagi tilam baru. Iqbal ambil satu hantar ke Bilik az-Zahra,” perintah ummi.  “Kalau bilik dah penuh, ummi boleh ambil bilik kita, kan ustaz?” Tiba-tiba Affan pula bersuara.  Haji Mukri ketawa. “Habis, kamu berdua kena tidur dalam bangsallah?” guraunya.  Iqbal turut tergelak. “Insya-ALLAH! Mudah-mudahan ALLAH permudahkan urusan kita kan, ummi?”  Ummi mengiakan dengan senyuman.  “Sekarang ni, kita kena banyak berdoa dan minta pertolongan dari ALLAH. Insya-ALLAH, kalau diizinkan, Wadi Saffiyyah akan berubah wajah tak lama lagi!” Kening Iqbal berkerut mendengar kata-kata walidnya. Wadi Saffiyyah akan berubah wajah?

Haji Mukri menghabiskan minumannya. Dia melihat jam pada dinding.  “Eh, dekat pukul lapan. Elok kita mulakan mesyuarat sekarang!” Dia hendak bangun, tetapi dihalang oleh isterinya. “Boleh kita tangguh dulu, bang? Tetamu kita belum balik lagi. Apa kata Datin nanti? Kita lewatkan satu jam, boleh kan?” cadang ummi pula.  “Astaghfirullahalazim! Lupa pulak saya yang kita ada tetamu!” Haji Mukri menepuk dahi. “Eloklah. Affan dan Iqbal boleh keluarkan katil tu sementara walid cuba hubungi Ustaz Syakir.” Dia mengambil telefon bimbit di depannya lalu beredar dari situ menuju ke biliknya.  DARI pintu utama Wadi Saffiyyah kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menuju ke arah an-Nadwah. Haji Mukri tidak jadi melangkah. Ada tetamu lainkah datang pagi-pagi begini? “Walid, Ustaz Syakir datang!” Affan muncul di muka pintu Teratak Khadijah dan memaklumkan kepada Haji Mukri tentang kedatangan Ustaz Syakir dan Kamarul.  Haji Mukri terkejut. Ustaz Syakir? Dia baru bercadang hendak menghubungi Ustaz Syakir, tetapi lelaki itu sudah muncul pula di sini. Lalu, dia bergegas keluar. “NET! Kau nak dengar cerita tak?” Tiba-tiba Shira menepuk bahu Netty dengan kuat.  Netty terkejut yang amat sangat.  “Hei, kau tahu tak budak yang baru sampai tu? Anak Datuk wa cakap lu! Mengandung, beb! Mengandung anak luar nikah!” Shira bercakap dengan suara yang megah. Matanya bersinar-sinar.  Netty baru perasan yang puteri-puteri lain sudah tidak ada di tepi kolam. Masing-masing ke batas sayuran. Ada yang sedang mencabut rumput. Ada juga yang sedang membubuh baja.  “Mana kau tahu?” soal Netty penuh hairan.  “Aku dengar ummi bercakap-cakap dengan Mak Yam sekejap tadi. Emak dia belum balik lagi. Tapi tengah bersiap nak baliklah tu! Net, tak lama lagi kita dapat anak saudara!” Shira ketawa di hujung kata-katanya. “Malam ni, aku nak test dia! Dia duduk Bilik az-Zahra tau.”  “Kau nak test macam mana? Apa yang kau nak buat?” soal Netty pula.  “Manalah tahu kalau dia pun sekepala dengan kita.  Bertambah geng kita, Net!”  “Eh, tolong sikit! Geng-geng aku tak main ha…” balas Netty selamba lalu bangun daripada mencangkung.  “Eh, kau ni… dah mula nak bertaubat ke?” Netty menjeling. Dia tidak menghiraukan kata-kata Shira.  ‘Nak perli akulah tu.’ Shira mendengus sebaik sahaja Netty mula melangkah meninggalkannya.  “MACAM MANA, Nur Diana? Nak tinggal kat sini?” soal ummi lagi kepada Dania ketika melawat tetamu dari jauh di Teratak Bukhari itu.  Anak gadis itu hanya membisu, sebaliknya Kak Jah pula yang menjawab, “Alhamdulillah, Kak Saffiyyah. Nampaknya,  dia mahu. Dia tak cakap apa pun. Cuma, dia tak bagi Datin balik cepat.”

“Ummi percaya, Nur Dania akan sukakan tempat ni. Jangan risau, sayang. Ummi ada,” pujuk ummi lagi.  Dania akhirnya mengangguk.  Kak Jah menyusun beg pakaian yang sudah diletakkan di atas anak tangga. Datin Kay mengajaknya pulang awal ke Kuala Lumpur, namun ummi menahan mereka agar pulang selepas makan tengah hari dahulu. “Oh ya, Datin, Khadijah… kita ada solat dhuha sekejap lagi. Lepas tu Iqbal sambung kelas fardu ain. Kalau nak ikut, datang ke surau. Dekat aje, Khadijah.” Ummi lalu menolak daun jendela dan menunjukkan Surau ar-Rahman. “Tu hah surau…”  Kak Jah dan Datin Kay serentak menjenguk.  “Tapi, Kak Saffiyyah tak paksa. Kalau nak ikut sekali, datanglah. Ajak Nur Diana sekali,” sambung ummi dan meminta izin untuk beredar dari bilik itu.  “Nak ikut solat tu ke, Kak Jah?” soal Datin Kay kepada Kak Jah.  “Dania tak mahu, ma. Dania malu,” celah Dania. Datin Kay mengerutkan dahinya. “Semua dah tahu Dania mengandung, ma,” rintih Dania dengan suara perlahan.  “Apa nak dimalukan, Dania? Mereka yang ada di sini, semua ada pengalaman lebih kurang Dania. Apa yang nak dimalukan?”  Dania terdiam mendengar pujukan Kak Jah.  “Jangan malu pada orang, Dania. Kita kena malu pada ALLAH,” nasihat Kak Jah lagi. Datin Kay merenung wajah Dania, kemudian beralih ke perutnya. Dia akan rasa gembira jika Dania suka tinggal di Wadi Saffiyyah. Namun, apa akan terjadi sekiranya Datuk Safuan tahu di mana Dania disembunyikan? Dia mengeluh perlahan.

****

SEMUA puteri Wadi Saffiyyah sedang memerhatikan Dania. Mereka seperti sedang mengata-ngatanya. Semua seperti memandang benci padanya. Tentu ada ejekan. Tentu ada cemuhan. Pasti mereka juga sudah tahu apa yang berlaku kepadanya. Malunya untuk berdepan dengan mereka. Terasa wajahnya disepuh lumpur yang busuk dan menjijikkan. Terasa palitan noda sedang menghiasai mukanya.  Lantas mereka semua melihat dosa-dosa yang terlukis di wajahnya itu. Dosa itu sedang mengasingkannya dengan dunia mereka yang sudah lama berada di Wadi Safffiyyah. Mereka sudah kembali ke pangkal jalan sedangkan dia baru sahaja memulakan langkah.  Sejarah pahit mereka sudah lama tercipta. Malah, semakin terhapus tanpa bekas dan sisa. Tetapi, sejarahnya baru bermula semalam. Ia masih masih menjadi kenangan yang menyakitkan. Dan sejarahnya tidak mungin terpadam kerana lakaran sejarah itu turut meninggalkan jejak dan kesan. ‘Anak ini. Aku sedang membawa kesan sejarah semalam. Dan akan terus membawanya untuk beberapa bulan lagi. Dapatkah aku melalui segala-galanya di sini tanpa cemuhan dan ejekan?’ DANIA terus duduk di anak tangga Teratak Abu Muslim untuk melepaskan rasa peningnya seketika. Dia baru sahaja menunaikan solat dhuha di Surau ar-Rahman. Mamanya mengikut Kak Jah menjenguk Ummu Maryam di dapur. Lalu, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja.  Dia menyandarkan kepalanya ke kisi tangga di kiri kanannya sambil menekan perut. Dia mula berpeluh. Dia tidak mahu duduk lama-lama di situ. Kalau Ustaz Iqbal balik, tentu lelaki itu nampak dia di situ.  Dia cuba sedaya upaya menggagahkan diri untuk bangun. Dia berpaut pada tiang dan mula melangkahkan kakinya, namun terasa dirinya tidak berdaya. Dia terduduk semula.  “Ya ALLAH, Nur Dania?”  Tiba-tiba Dania terdengar seseorang menyebut namanya. “Nur Dania tak sihat ke?”  ‘Ustaz Iqbal! Dia ada di dalam rumah rupanya!’ Dania berasa serba salah. Mereka baru sahaja diperkenalkan oleh ummi di depan surau tadi. Dan kini, lelaki itu sudah menyaksikan penderitaannya. Iqbal baru sahaja keluar sambil mengepit fail. Dia kelam-kabut meniti tangga ke bawah.  “Nur Dania, tak apa-apa ke?” sapa Iqbal semakin mesra.  Dania terpaksa menggeleng. Dia cuba bangun semula.  Iqbal memandang sekeliling melihat sesiapa yang boleh dipanggil untuk membantu Dania. Tetapi tidak ada. Masing-masing sedang melakukan kerja-kerja di dewan makan agaknya. Atau masih di surau menghafaz al-Quran.  Dania mengagahkan diri untuk berdiri. Tiba-tiba Iqbal memegang lengannya. Dia terkejut dan cepat-cepat menarik tangannya. “Maafkan saya… err… saya cuma nak bantu,” kata Iqbal dengan perasaan bersalah.  “Saya tak apa-apa. Terima kasih, ustaz!” tutur Dania. Dia melangkah perlahan menuju ke Teratak Bukhari.

Iqbal masih memerhatikan sambil bimbang melihat keadaan Dania. Selepas Dania berjaya meniti anak tangga, barulah dia berlari pantas ke an-Nadwah. Ummi tentu sedang menunggunya di pejabat.  “LAMBAT!” Ummi menjeling sebaik sahaja Iqbal masuk dan memberi salam. “Ambil fail pun lama sangat Ustaz Iqbal ni,” perlinya lagi dengan tujuan mengusik anak bujang itu.  “Mana pulak lambat, ummi? Iqbal naik buraq sekejap tadi. Kan cepat ni?” balas Iqbal juga membalas usikan umminya. Dia membuka helaian di dalam fail yang ingin disemak oleh umminya.  Ummi menyemak satu per satu helaian itu. Nampaknya,  dia tertarik dengan perancangan-perancangan Iqbal.  “Ummi, nampaknya Nur Dania tu macam sakit aje.” Iqbal bersuara. Ummi memanggung kepala memandang Iqbal. “Iqbal nampak dia kat mana?” soalnya agak serius.  “Masa Iqbal keluar bilik tadi. Nampak dia duduk atas tangga kat situ. Dia jalan terhuyung-hayang, ummi. Macam pening kepala. Iqbal rasa dia sakitlah, ummi!”  Ummi mengetap bibir, kemudian berkata, “Dia bukan sakit, Iqbal. Dia… dia… mengandung!”  Terbeliak biji mata Iqbal mendengar kata-kata umminya. Benarkah? “Maknanya, ini kes kelima ya, ummi?” Ummi hanya mengangguk.  Iqbal juga mula memahami. Selama lebih setahun Wadi Saffiyyah beroperasi, sudah ada tiga gadis yang melahirkan bayi mereka di situ. Tetapi mereka datang dengan kandungan yang sudah cukup bulan dan hampir melahirkan. Selepas melahirkan, mereka dibawa pergi oleh ibu bapa masing-masing atas alasan akan berkahwin dengan pasangan atau menyambung semula pelajaran. Rakibah yang keempat, tetapi tidak sempat melahirkan anaknya.  “Iqbal, jangan sebut-sebut perkara ni depan orang lain. Kita kena sembunyikan aib orang lain. Ummi tahu, lambat-laun semua akan tahu. Tetapi, kita jangan lukakan hati Nur Dania. Ummi tak mahu dia berasa dihina atau dipandang rendah oleh orang lain.” Iqbal memandang wajah umminya dengan penuh pengertian. Dia mengangguk. “Kes Nur Dania… ummi belum tahu apa ceritanya. Ummi tak mahu bertanya Datin. Biar ummi tanya Nur Dania sendiri,” beritahu ummi lagi.  ALANGKAH pedihnya saat perpisahan. Dania memeluk erat tubuh Datin Kay. Berat rasanya hendak berpisah dengan mamanya, tetapi dia terpaksa menerimanya.  Selepas makan tengah hari, Datin Kay tidak mahu bertangguh lagi. Dia mula memikirkan Datuk Safuan. Tentu suaminya sedang mencari mereka ke sana sini. Tentu suaminya sedang berang kerana dia melarikan anak gadis mereka. Apa pun yang akan dilakukan suaminya nanti, dia kena pulang terlebih dahulu. Sudahlah pergi begitu sahaja, sehingga kini dia tidak berani untuk cuba menghubungi suaminya. Namun, apa yang kulakukan ini adalah untuk mengelakkan  lelaki itu daripada berbuat dosa. Berkali-kali hati Datin Kay berbisik. Dia mencium kening Dania penuh syahdu. Sedikit pun dia tidak berasa bimbang. Dia tahu, Dania akan selamat dan tenang berada di Wadi Saffiyyah. Dania tidak akan bersedih lagi kerana dia tahu anak gadisnya bersama mereka yang senasib dengannya.

Puteri-puteri Wadi Saffiyyah melambaikan tangan ketika kereta Datin Kay menuruni bukit kecil di depan an-Nadwah. Kesempatan berkenalan di dewan makan, cepat memesrakan Datin Kay dengan mereka semua. Sempat wanita itu meminta puteri-puteri itu agar menjaga Dania dengan baik. Tetapi, reaksi Dania pula sebaliknya. Dia tidak dapat menahan hamburan air matanya. Dia tidak pernah berpisah lama dengan mamanya. Saat ini, dia amat memerlukan kebersamaan mereka sedangkan dulu, dia selalu meninggalkan mama tanpa meminta izin atau memberitahunya.  Kini, saat berpisah itu menjadi begitu menyakitkan sedangkan dulu, dia berasa seronok dan megah apabila dapat meninggalkan mamanya untuk bersama dengan kawan-kawan.  Kini, dia terpaksa bersendirian di tempat yang asing itu. Tidak ada mama atau Kak Jah yang akan melayan kerenahnya. Dia kini terlontar di lembah asing. Dia juga bakal memulakan perjalanan hidupnya sini. Apakah yang bakal menanti di perjalanan ini? Dia tidak pasti.

****

APAKAH erti pandangan Iqbal pada Dania? Apa pula makna pandangan Dania pada Iqbal? Bukankah ALLAH sudah membataskan penglihatan seorang lelaki pada wanita dan begitu juga sebaliknya? Lupakah Iqbal tentang perkara ini?  Sebelum ini dia tidak pernah melihat Iqbal memandang walau seorang pun puteri Wadi Saffiyyah dengan pandangan seperti itu. Bagai ada suatu kuasa yang menarik kedua-duanya untuk saling berpandangan dan bertentangan mata. Sesuatu yang belum pernah dilakukan Iqbal sebelum ini. Mungkin Iqbal terlupa atau dia tidak sengaja! “Bahawa apabila seorang lelaki ingin melihat kepada perempuan yang ajnabiah tanpa sebab yang syar’ie, maka haram baginya yang demikian itu.”  Pernah Haji Mukri membangkitkan perkara demikian dalam salah satu ceramah kerohanian yang disampaikanya.Tetapi, kenapa tiba-tiba Iqbal terlalai apabila melihat Dania? Tidakkah Iqbal juga membaca kitab yang sama, yang digunakan oleh Haji Mukri sebagai bahan ceramahnya? Malah, bahan-bahan tazkirah yang disampaikan oleh Iqbal, ada ketikanya juga merujuk pada kitab-kitab lain yang juga dirujuk oleh Haji Mukri.  UMAIRAH merenung senja yang mula merangkak tiba. Kesunyian mendakap Wadi Saffiyyah. Cuma alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada Affan yang terdengar dari surau. Itu pun terasa jauh dan amat perlahan.  Senja itu bukan sekadar membawa sunyi. Tetapi kesayuan yang sudah lama tidak menjengah dirinya. Betapa perasaannya bagai diregut seketika bila dia melihat apa yang berlaku di Bilik az-Zahra tadi. Pandangan Iqbal pada Nur Dania bukan pandangan biasa. ‘Ah, hati! Janganlah kau berasa cemburu. Ah, jiwa! Janganlah kau mengundang lara. Tidak ada maksud pandangan Iqbal pada Nur Dania. Tidak ada juga maksud lain Nur Dania kepada Iqbal. Mereka juga manusia biasa. Sesekali pasti mereka terleka. Ya ALLAH, cemburukah aku? Sehingga membuat tafsiran yang dalam tentang erti pertautan pandangan mereka?’ “Assalamulaikum, ustazah. Kenapa duduk kat sini?”  Umairah terkejut mendengar sapaan di belakangnya. ‘Iqbal! Kenapa dia muncul tiba-tiba ketika aku sedang mengingatinya?’ Dia bangun dari kerusi batu yang dibina Haji Mukri di laman itu.  “Semua dah ke surau nampaknya tu. Err… elok ke sana sekarang. Ummi mana?” tanya Iqbal penuh sopan.  “Err… ada. Tadi dah nak keluar,” kata Umairah teragak-agak. “Saya tengah tunggu ummilah ni.” Itulah alasan terbaiknya untuk mengelak salah sangka Iqbal. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk beredar dahulu.  Iqbal mempersilakannya melangkah bersama. Umairah teragak-agak. Kedua-duanya berjalan seiring tetapi dengan jarak yang sangat renggang.  “Macam mana dengan Nur Diana?”  Soalan Iqbal membuatkan Umairah tersentak. Tetapi, itu bukan perkara luar biasa. Iqbal memang suka mengambil berat tentang keadaan puteri-puteri Wadi Saffiyyah. Namun, kenapa Nur Dania menjadi soalan pertamanya dan pertanyaan mengenai puteri baru itu meruntun hatinya? Umairah gugup seketika.  “Alhamdulillah, ustaz. Nampaknya dia sedang cuba menyesuaikan diri. Maklumlah, mungkin dia belum biasa…” beritahu Umairah sejujurnya

KEDUA-DUANYA sampai di depan Surau Ar-Rahman ketika Haji Mukri sedang menjenguk di muka pintu. Iqbal terkejut mendengar sapaan walidnya yang tiba-tiba.  “Hah, dah sampai pun! Walid ingat kamu tertidur.” Haji Mukri memandang Umairah dengan wajah serius. “Ke Umairah yang tolong kejutkan dia tadi?” soalnya.  Umairah menggeleng. “Bukan, walid!” Dia segera menuju ke pintu yang membawanya ke ruang jemaah perempuan.  Kedatangan Umairah disambut jelingan cemburu oleh Shira. Shira ternampak wanita itu dan Iqbal berjalan berdua-duaan di laman surau sebentar tadi.  “Menyampah!” gumam Shira dengan wajah mencuka. Dia menghempaskan tubuhnya di antara Dania dan Netty.  Netty menyiku Shira yang sedang menghimpitnya. Dania terpaksa menjauhkan jaraknya daripada mereka berdua.  “Kenapa? Kau tak suka aku ke?” Tiba-tiba Shira bersuara perlahan kepada Dania.  Dania menelan liur. Dia tidak menjawab. “Kalau kau nak tahu, aku memang samseng kat sini! Kau kena berhati-hati dengan aku!” sambung Shira, cuba menakut-nakutkan Dania. Netty pantas mengalihkan pandangan ke arah wajah Dania. Kemudian beralih pada perut Dania yang terselindung di sebalik telekungnya. ‘Dia sedang melalui apa yang aku lalui dahulu.’ Hatinya mula berbisik. ‘Malah, aku melaluinya tiga kali.’ Mengandung bukan sesuatu yang mengejutkan bila kandungan pertamanya digugurkan tanpa belas dan rasa berdosa. Tidak ada wanita yang mahu menanggung beban yang tidak dikehendaki itu.  “Kalau kau teruskan kandungan, macam mana kau nak bekerja?” Suara mami bergema ke seluruh ruang biliknya. “Siapa yang nak pakai kau kalau dia orang tahu kau mengandung?” Jerkahan mami mengecutkan perutnya.  Akhirnya, dia terpaksa menggugurkan kandunganya. Satu demi satu. Kehamilan bukan lagi yang membimbangkannya. Beritahu sahaja kepada mami, selesai semua masalahnya. Sehinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki berhati mulia itu. Lelaki yang mengeluarkannya dari lubang neraka itu dan menghantarnya ke sini. Tetapi, di mana lelaki itu sekarang?  Netty merenung Dania kembali. Dania berbeza. Dia tidak mahu menggugurkan kandungannyakah? Bukankah itu penyelesaian terbaik untuk gadis mentah sepertinya? Bagaimana boleh terdorong hatinya untuk mempertahankan bayi di dalam kandungannya itu? Tidakkah Dania tahu, banyak ranjau yang akan ditempuhi dengan kelahiran itu? Namun, jauh di sudut hatinya, dia merasakan Dania memang ada kekuatan luar biasa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66575/aku-cinta-dia

REVIEW AWAK JANGAN NAKAL

9789831249444-medium
EBUKU AWAK JANGAN NAKAL OLEH MURNI AQILA

Pernah dengar pasal Geng Mat Ngek? Ya, memang Ayu jatuh cinta dengan Shahrul. Tapi Shahrul tak senakal Geng Mat Ngek yang suka mengusik, menyakat, membahan dan mengenakan kaum perempuan. Lebih-lebih lagi ketua Geng Mat Ngek, Jeffry. Nakalnya… Bencinya dia melihat Jeffry.

Namun, apa yang kita harapkan adakala lain yang jadi. Disebabkan berada pada masa, tempat dan keadaan yang salah, Ayu terpaksa menerima Jeffry sebagai suaminya. Perkara yang tak pernah dibayangkan terjadi dalam hidupnya, membuatkan dia sengsara. Hubungannya dengan ibu menjadi dingin. Terpaksa pula berhadapan dengan keluarga Jeffry yang kacau-bilau. Argh… tertekan!

Macam manalah hidup dia selepas sebumbung dengan Jeffry? Sedangkan dia masih mengharapkan Shahrul.


 

Kadang- kadang kita suka orang lain, tapi kahwin dengan orang lain. Dalam novel ini,  kita harapkan keajaiban akan berlaku dalam hidup. Suka orang itu, nak sehidup semati dengan orang itu. Namun, itu semua terserah kepada takdir yang menentukan.

Admin suka cerita ni sebab, jalan cerita dia tak heavy dan dekat dengan pembaca kerana setting dalam novel, mudah untuk digambarkan. Kisah cinta Ayu terpaksa menerima Jeff walaupun masih menunggu Shahrul. Mampukah kamu ubah haluan cintamu Ayu terhadapku! Bila admin baca, terus admin membayangkan kalau ia terjadi kepada diri admin sendri.

 

Untuk mengetahui kesudahan cinta mereka, dapatkan ebuku penuh di laman web kami.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66581/awak-jangan-nakal

 

[SNEAK PEEK] Hantu Gadis Opera

9789674314323-medium
EBUKU Hantu Gadis Opera oleh Phakinai

Prolog

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap-gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti-peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, kelihatan berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera aneka corak, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda.

Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan.

Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

Narut tersentak bangun. Peluh dingin membasahi mukanya. Dia memandang sekeliling. Tiada apa- apa yang pelik di ruang pejabat yang gelap itu. Meja kerjanya masih tersusun kemas. Skrin komputer di depannya masih terpasang. Tugasan yang perlu dihantar esok, sudah selesai, membuatkan dia berasa agak lega.

Lelaki itu menyimpan tugasannya sebelum memadamkan komputer. Ditolehnya ke arah tingkap besar pejabat itu. Cahaya keemasan sudah mewarnai ufuk timur, menandakan hari baru akan bermula. Nampaknya dia perlu pulang ke rumah untuk membersihkan diri selepas semalaman berada di pejabat.

Walaupun kerja sudah selesai, mimpi yang mengganggu masih bermain-main di fikirannya. Sejak hari itu, hampir setiap malam Narut bermimpikan gadis pelakon opera itu. Siapa dia? Apa mahunya?

Gadis pelakon opera yang berkostum merah..

****

Dua cawan kopi dihidangkan pelayan di atas meja yang terletak di tepi tingkap restoran. Narut mencapai cawan kopinya. Diteguknya kopinya itu untuk mengembalikan kesegaran bagi memulakan pagi, lantaran kepalanya terasa berat. Tentu sebab sudah beberapa malam bersengkang mata untuk menyiapkan tugasannya. Maklumlah, sebagai pekerja bawahan, dia tidak layak bersuara.

Saban hari Narut dibebankan dengan tugas yang menimbun. Jika diarah membuat liputan berita, apa-apa pun berita, dia hanya menurut, walaupun gaji yang diterima hanya cukup makan. Kalaulah bukan disebabkan minat mendalamnya dalam dunia kewartawanan, sudah lama dia angkat kaki.

“Hai, Rut…”

Suatu suara menyapanya dari belakang. Muad Wit yang mengenakan pakaian seragam polis, memegang bahunya sebelum berjalan ke depannya lalu duduk bertentangan dengannya. Muad Wit merupakan rakan sekuliah Narut semasa di universiti dahulu.

“Dah makan? Jom minum kopi…” pelawa Narut.

“Boleh juga. Malam tadi ada operasi banteras jenayah sampai pukul 3 pagi. Mengantuknya!” balas pegawai polis muda itu sambil menguap lebar, menguatkan kenyataannya bahawa dia mengantuk benar.

Narut melambai pelayan untuk memesan secawan kopi lagi sebelum memulakan cerita kepada Muad Wit. Cerita yang melekat di benaknya sejak bermalam-malam lalu.

“Wit… sorrylah sebab minta engkau datang awal-awal pagi ni. Aku nak bincang sesuatu dengan kaulah…” jelas Narut dengan perasaan tertekan.

Walaupun Narut banyak kawan, tetapi dia lebih mempercayai Wit daripada kawan-kawannya yang lain.

“Laa… kenapa cakap macam orang tak biasa ni? Kalau ada apa-apa, bagi tahu aje…” balas Wit sambil mencapai cawan kopinya yang baru dihantar oleh pelayan, sebelum menghirup kopi itu. Mukanya serta-merta berubah kelat. Nampaknya kopinya perlu ditambah gula sesudu dua lagi.

“Mungkin apa yang aku nak cerita ni kedengaran pelik… dan tak masuk akal… tapi, kejadian itu betul-betul berlaku pada aku, Wit. Engkau ingat tak, minggu lepas aku ada buat liputan berita tentang aktiviti membersihkan kawasan kubur Cina di Chonburi?”

Narut pun memulakan cerita.

****

Cahaya terik matahari melimpahi seluruh kawasan lapang berumput tinggi yang beratus- ratus ekar itu. Dilihat daripada keadaan di situ, nampaknya sebahagian daripada kubur baru sahaja digali. Di bahagian bersebelahan, berderetan kubur bersimen yang dibina tersusun. Narut menjangkakan bahawa jauh di dalam tanah di bawah bersemadi ribuan mayat lain, malah mungkin lebih banyak daripada itu.

Beberapa buah khemah didirikan di suatu sudut kawasan terbuka itu. Penghuninya terdiri daripada orang-orang berpakaian serba putih. Kebanyakan mereka datang untuk kerja-kerja pembersihan kawasan kubur, yang sudah menjadi amalan masyarakat Cina setempat kerana dikatakan membawa kebaikan.

Kalau diberi pilihan, Narut tidak sanggup datang untuk membuat liputan berita di tempat seperti itu. Sejak kecil lagi dia memang takut akan hantu. Malangnya, dia tiada pilihan. Dia terpaksa menerima tugasan itu setelah kawan sekerja yang lain berpakat mengelak daripada melakukan tugasan tersebut kerana tidak mahu berjemur di bawah terik matahari, dan berurusan pula dengan hal-hal yang kurang menyenangkan seperti itu. Maka terbebanlah tugas itu kini di bahunya tanpa kerelaannya.

Tiba masa untuk upacara yang dijalankan oleh perantara dalam keadaan bersawai1. Pengantara yang memegang kayu ki, mengetuk-mengetuk tanah, diekori di belakangnya oleh pembantu berbaju putih, yang mencacakkan bendera merah di tempat yang ditunjukkan oleh si pengantara. Upacara itu bertujuan memudahkan sukarelawan mencari dan mengorek kubur lama mengikut kepercayaan mereka. Pelik juga apabila hampir di setiap tempat yang dipacakkan dengan bendera merah, ditemui mayat-mayat lama. Ada yang sudah kering dan tinggal rangka dan ada yang masih baru. Ada juga yang hampir reput. Orang-orang yang terlibat dalam upacara itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menunjukkan rasa tidak selesa ketika mayat-mayat dibawa keluar dari lubang- lubang kubur untuk dibersihkan. Bagi mayat yang sudah kering, berus kecil digunakan untuk membersihkan tanah yang melekat pada mayat, sebelum diteruskan dengan upacara seterusnya. Bagi mayat yang masih baru pula, hanya tangan digunakan untuk mengasingkan bahagian yang hancur sebelum tinggalan dibersihkan.

Banyak gambar yang diambil Narut. Mungkin beratus-ratus keping. Semua itu atas arahan ketuanya, untuk digunakan dalam penulisan laporan khas bagi terbitan majalah bulanannya. Semuanya berjalan lancar pada mulanya… sehinggalah Narut kembali ke keretanya, tempat dia mengalami kejadian yang pelik.

Bulu romanya tidak semena-mena, meremang. Sukar dijelaskan. Bau busuk mayat tiba-tiba memenuhi seluruh ruang keretanya. Amat meloyakan.

Narut pantas menoleh. Matanya silau bukan disebabkan terik cahaya matahari, tetapi disebabkan apa yang dilihatnya. Kelibat suatu bayangan hitam kelihatan sedang duduk di tempat duduk belakang kereta, sebelum sekelip mata ghaib. Narut menenyeh-nenyeh matanya dengan jari telunjuk, tetapi tiada apa-apa pun yang kelihatan lagi.

Dia berkhayalkah? Adakah dia berfikir yang bukan-bukan?

Dalam perjalanan pulang, ketika hampir tiba di rumah pangsanya, langit kelihatan mendung. Bau busuk masih menusuk hidung walaupun Narut telah menyemburkan pewangi di dalam kereta, dan menurunkan cermin tingkap kereta sepanjang perjalanan pulang. Pelik. Sebaik tiba di biliknya, Narut terus ke bilik air untuk mandi. Berulang kali dia menyental tubuhnya dengan sabun untuk menghilangkan bau busuk… atau mungkin bau itu sebenarnya melekat pada pakaiannya? Televisyen di biliknya terpasang, namun tidak ditontonnya. Suara dari peti televisyen itu sedikit sebanyak dapat menjadi peneman. Dia leka memuat naik kad memori kameranya ke dalam notebook kesayangannya, memilih gambar- gambar yang sesuai untuk ditunjukkan kepada ketuanya esok. Ketika menunggu proses memuat naik, Narut ke dapur. Dibukanya kabinet dapur. Dicapainya secawan mi segera. Dibuka penutup mi cawan itu lalu dicurahkan air panas ke dalamnya, sebelum dia berjalan kembali ke meja kerjanya.

Eh, apa dah jadi…?

Narut meletakkan cawan minya sebelum mengamati fail gambar dalam komputernya. Banyak gambar yang diambilnya menunjukkan bayangan hitam yang menganjur panjang di bahagian tengah gambar. Dibeleknya gambar yang lain. Bayang-bayang hitam itu masih kelihatan. Seribu satu tanda tanya muncul di benaknya.

Bayang-bayang apa ni?

Kamera kesayangannya rosakkah? Tidak! Tak mungkin kerana tidak semua gambar ada bayang-bayang hitam itu.

Narut kehairanan memikirkan kejadian itu, sehinggalah dia terlelap disebabkan keletihan…

****

Keadaan di belakang pentas opera yang gelap- gelita itu begitu sunyi dan menyeramkan. Peti- peti barang besar diletakkan berderetan di suatu penjuru. Setiap satu tercatat nama pemiliknya di suatu sudut. Di penjuru lain, kelihatan ampaian yang bergantungan dengan kostum opera pelbagai warna, tersusun berpasang-pasang, baharu dan lama. Di atas para-para yang dibuat khas pula kelihatan hiasan kepala pelakon opera beraneka bentuk, diletakkan berderetan. Sebahagiannya digantungkan pada ampaian buluh di bahagian belakang pentas. Berhayun-hayun ditiup angin, topeng-topeng kepala kelihatan seperti kepala manusia yang dipenggal dan digantungkan.

Bahagian tengah ruangan cuma diterangi cahaya kekuningan yang terpancar dari sebiji mentol lampu yang dibiarkan terpasang. Penutup peti yang terbuka kelihatan dilekatkan di bahagian dalamnya dengan gambar-gambar pelakon dahulu-dahulu, termasuklah gambar pemilik peti- peti tersebut, yang mengenakan kostum opera yang cantik.

Yang satu ini merupakan wajah seorang perempuan yang cantik rupa parasnya. Berambut hitam panjang, berwajah bujur sirih, dan berkulit cerah, rupanya kelihatan sungguh menawan walaupun tanpa solekan.

Perempuan itu sedang merenung wajahnya dalam cermin. Berkostum opera berwarna merah menyala, rambutnya disanggul tinggi menggunakan pencucuk sanggul yang sangat cantik. Pin keperakannya berkilauan dalam cahaya. Daripada wajah yang terpamer pada cermin lama yang dipegang, yang menampilkan wajah seorang pelakon opera yang jelita, jelas yang perempuan itu masih muda. Cermin diangkat tinggi, memperlihatkan wajah yang seluruh mukanya sudah disapu dengan bedak putih. Bahagian tulang pipi dan mata diwarnakan merah jambu sementara hidung disolek sebegitu rupa sehingga kelihatan mancung bak seludang. Keningnya dipantis melengkung, dengan mata dilukis tajam seperti mata burung. Gincu semerah mawar mewarnai bibirnya, sesuai dengan wataknya sebagai primadona yang menjadi kegilaan. Perlahan-lahan gadis itu meletakkan cermin yang dipegangnya ke atas peti. Dia berpaling ke kiri dan ke kanan, sebelum tersenyum puas dengan rupa yang sempurna.

Sekonyong-konyong, gadis itu membuka mulut dan mengalunkan suara, mendendangkan lagu opera Cina dengan nada tinggi dan mendayu- dayu. Merdu dan pada masa yang sama… meremangkan bulu roma.

‘Hari berganti hari

Budi yang baik tidak hancur

Malam demi malam

Beransur lebur…

Dendam kesumat masih terpahat

Jiwa berkecai nafas terlerai

Roh melayang…

Aku akan kembali membawamu,

Ke dalam bumi… bersamaku!’

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, perempuan itu ketawa mengilai, sebelum menoleh ke arah orang yang memandang. Dia tersenyum lebar, kemudian mengangkat tangan untuk menutup mukanya dengan sapu tangan putih, seolah-olah tersipu malu.

“Kenapa pandang saya macam tu? Saya malulah! Awak tahu nama saya? Saya puteri, tau! Awak nak saya bagi tahu nama saya? Nama keluarga saya? Tak payahlah…” kata perempuan itu lagi lantas menutup mulutnya sambil ketawa kecil. Kepalanya ditundukkan sedikit, seolah-olah malu. “Carilah saya sampai jumpa… baru tahu siapa saya…”

Perempuan itu kemudian bersenandung. Pencucuk sanggul di kepala, ditariknya dengan jari-jemarinya yang runcing, lalu digenggamnya. Dengan tidak disangka-sangka, perempuan itu menghalakan hujung tajam pencucuk sanggul ke muka… lalu ditusukkan ke dalam matanya!

Darah merah memancut keluar. Kostum opera merahnya dibasahi darah.

Perlahan-lahan, perempuan itu bangun dan menarik pencucuk sanggul dari matanya. Sebiji matanya melekat di hujung pencucuk sanggul itu. Begitu mengerikan.

“Carilah aku… sebelum nyawamu melayang!”

****

Narut tersentak bangun tengah malam itu. Peluh membasahi tubuhnya walaupun alat pendingin udara menunjukkan suhu 25 darjah Celsius. Dia termengah-mengah, seolah-olah dikejar sesuatu.

Aku dah gila, ke… mimpi pelik-pelik macam ni lepas balik dari kawasan kubur Cina? Sampai mimpikan hantu Cina? Narut sempat mengutuk diri sendiri.

Dia menghela nafas dalam-dalam dan memutuskan untuk tidur semula. Dia bagaimanapun, berasa tidak sedap hati, seolah-olah dia tidak sendirian ketika itu. Sesuatu bergerak-gerak di tepi katilnya.

SREET… SREET.. SREET…! Kedengaran bunyi seretan panjang.

Tubuhnya menggeletar. Dia teragak-agak, sama ada hendak menyelidiki apakah bunyi itu atau tidak. Perasaan takut dan berani datang silih berganti. Akhirnya, keberanian menyerlah. Perlahan-lahan, Narut berpaling ke arah meja solek…

Seorang perempuan berambut panjang dan berpakaian serba putih kelihatan sedang duduk di meja solek. Perempuan itu sedang menyikat rambut panjangnya yang mengurai perlahan-lahan… mengeluarkan bunyi seretan yang meremangkan. Bunyi ketika sikat berbilah tajam meluruskan helaian rambut. Berwajah cantik, perempuan itu diam tidak bersuara. Matanya besar dan bulat, dan kelihatan sayu.

Tiba-tiba lembaga itu mengeluarkan suara mengerang yang sayup-sayup dan mendayu-dayu. Suara perempuan sedang menangis.

Beberapa rentetan kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku!

Perempuan itu tiba-tiba memusingkan kepalanya perlahan-lahan ke arah penghuni bilik itu… dalam keadaan seluruh tubuhnya kaku tidak bergerak! Matanya terbeliak besar ketika dia berkata.

“Carilah aku sebelum nyawamu melayang!”

Sebaik sahaja selesai mengucapkan kata-kata itu, kepala perempuan itu tertanggal dari badannya sebelum jatuh bergolek ke lantai, ke hujung katil Narut. Narut memekik-mekik… sebelum terjaga dalam deringan jam locengnya.

Dia bermimpi rupa-rupanya. Mujurlah cuma mimpi!

Sejak hari itu, setiap kali hendak memejamkan mata, Narut terbayang gadis dalam kostum opera Cina berwarna merah, sedang bernyanyi. Suara gadis itu sungguh merdu dan mendayu-dayu. Kata-katanya penuh misteri, seolah-olah mahu Narut menghuraikan sesuatu.

Narut membuat kesimpulan bahawa semuanya hanya mimpi. Akan tetapi, mengapa dia bermimpikan hal yang sama, tempat yang sama, kata-kata yang sama, dan perempuan yang sama sejak berminggu-minggu?

****

Mendengar cerita sahabat baiknya itu, kening Wit terangkat tinggi. Wajahnya sama berkerut dengan wajah si pencerita setelah mendengar cerita yang menyeramkan itu. Diangkat cawan kopinya lalu dihirupnya. Satu pertanyaan terpacul.

“Engkau ada ambil dadah ke, atau… stres sangat…?”

“Kau gila! Aku bukan orang yang dah hilang pedoman, yang sanggup gadai nyawa dengan ambil dadah!” Narut pantas menafikan.

“Err… aku tanya aje. Kenapa nak melenting? Hal-hal macam ni bukan selalu berlaku. Kadang- kadang di balai polis pun, masa aku jalan dekat bangkai kereta yang terlibat dalam kemalangan, aku dengar suara perempuan menangis. Rasa macam nak terkencing, tau,” balas Wit berseloroh walaupun lawan bualnya tidak merasakan begitu.

“Jadi… engkau nak tolong, tak?”

“Eh, memanglah nak tolong! Tapi macam mana. Hmm… macam inilah! Nanti aku bawa kau jumpa seorang kawan. Dia boleh tolong sketch gambar perempuan yang engkau ceritakan tu. Lepas itu kita carilah maklumat tentang dia,” Wit menawarkan bantuan.

Narut pantas mengangguk. Suatu idea yang baik.

“Tapi kita nak cari ke mana? Di Thailand ni kan banyak kumpulan opera Cina?”

“Apa susah! Semua kejadian pelik tu berlaku sejak engkau buat liputan kerja pembersihan kubur di Chonburi, kan? Kumpulan opera di sana tentu tak banyak. Lagi satu, engkau lupa, ke, yang aku pernah bertugas di sana? Kalau betul apa yang engkau ceritakan pada aku, aku rasa roh perempuan tu ikut engkau dari sana. Lagi satu, aku nak bagi tahu engkau sesuatu. Mungkin ada banyak rahsia di sebalik kematian perempuan itu, yang orang lain tak tahu,” Wit cuba mengagak, dan kebetulan sama seperti yang bermain di fikiran Narut.

“Tapi kenapa dia pilih aku?”

“Itulah…! Nanti kalau kau mimpikan dia lagi, jangan lupa tanya. Lepas tu, engkau bagi tahu aku besok. Okey?”

Ketawa menyindir sahabatnya itu membuat Narut membuntangkan mata. Meluat dia dengan tabiat lelaki itu yang tidak berubah langsung.

****

Narut menghabiskan masa hampir setengah hari duduk memberikan gambaran wajah pelakon opera yang datang dalam mimpinya kepada seorang jurulakar polis. Jurulakar itu ternyata seorang yang berpengalaman dalam membuat lakaran wajah penjenayah.

Sebaik sahaja melihat hasil kerja lelaki itu, bulu roma Narut meremang. Gambar yang terpampang di depannya saling tak tumpah dengan wajah yang sering mengganggunya, dan kelihatan hidup! Bebola mata wajah dalam gambar itu kelihatan hampir tersembul keluar, membuat jurulakar kawan Muad Wit itu seolah-olah tidak percaya bahawa lakaran tersebut merupakan hasil kerjanya. Lelaki itu memberitahu Narut bahawa semasa dia membuat lakaran seperti yang digambarkan Narut, dia merasakan seolah-olah ada tangan yang membantunya melukis. Dia hampir tidak perlu menggunakan tenaganya langsung.

Rakan-rakan setugas yang lain bagaimanapun, geli hati dengan apa yang diceritakan oleh jurulakar itu. Ada yang malah mendakwa yang mabuk lelaki itu selepas minum semalam, masih belum hilang.

Narut kembali ke pejabatnya pada sebelah petang. Lakaran gambar gadis pelakon opera itu kini tergeletak di atas mejanya. Direnungnya gambar itu dengan kepala ligat berfikir. Sebatang rokok yang diselitkan di antara jari telunjuk dengan jari hantu kanannya, sekurang-kurangnya dapat membantu meredakan ketegangan. Narut bukan perokok. Rokok sekadar membantunya ketika dia perlu banyak berfikir… dan dua, tiga tahun kebelakangan, telah menjadi teman setianya.

Dia pernah kenal gadis itukah?

Akhirnya jawapan yang diterima selepas sejam merenung gambar di atas meja itu tidak ada bezanya dengan jawapannya sejam sebelumnya. Dia memang tidak kenal. Terserempak pun tidak pernah. Lagipun, dia tidak pernah menonton pementasan opera Cina.

Tiba-tiba bahunya ditepuk. Narut tersentak lantas menoleh. Dilihatnya Abang Sayam, atau kakitangan lain memanggilnya ‘Phi Yam’, ketua bahagian berita yang berwajah serius, berdiri di sebelahnya. Belum sempat membuka mulut, belakangnya ditepuk kuat oleh lelaki itu sehingga mukanya hampir tersembam. Bukan kali pertama Phi Yam buat begitu. Sebab itulah Narut masih mampu tersenyum walaupun dalam hatinya meluap-luap geram.

“Apa ni, Rut? Aku dah bagi tahu banyak kali, jangan merokok dalam pejabat. Kalau nak merokok dan bawa kanser masuk dalam paru- paru engkau tu, pergi ke luar sana…” tegas Phi Yam menegur.

Dengan pantas, Narut menenyehkan puntung rokoknya ke tempat habuk rokok.

“Sorry, saya lupa…”

Yang engkau sampai sekarang masih merokok… kenapa tak berhenti? tempelak Narut dalam hati. Cerewet…

“Engkau ni tak sudah-sudah lupa. Oh, ya! Pagi tadi engkau ke mana? Elok aku ada kerja aje, engkau pulak lesap. Lain kali ‘on’kan handphone tu! Telefon tak pernah dapat…” lantang Phi Yam menempelak sehingga semua orang di dalam pejabat itu memandang mereka.

“Sorry, Encik Phi Yam. Kebetulan bateri habis. Encik nak saya buat apa?” tanya pemuda itu.

Phi Yam menghempaskan laporan berita yang dibuat oleh Narut semalam ke atas meja dengan kuat.

“Apa ni? Ini ke hasil kerja seorang graduan? Laporan macam ni… budak sekolah menengah pun boleh buat! Engkau tulis semula sekarang. Semak sekali kesilapan dalam laporan yang satu lagi. Aku beri masa sampai pukul 5.”

Arahan tegas Phi Yam membuatkan wajah Narut terasa kebas. Perasaan marahnya meluap- luap sehingga mukanya menjadi merah padam.

Ketika Phi Yam hendak beredar untuk kembali ke mejanya, ekor matanya terpandang lakaran gambar pelakon opera di atas meja Narut. Pantas dicapainya lakaran gambar itu lalu ditatapnya dengan pandangan sinis sambil ketawa menyindir.

“Apa dah jadi dengan engkau ni, Rut? Sekarang dah tukar cita rasa pulak. Dah suka pelakon opera Cina…”

“Errr…”

Belum sempat Narut membuka mulut, Phi Yam pantas memintas. “… Atau… bukan suka pelakon opera, tapi engkau sendiri yang teringin nak jadi pelakon opera…”

Selesai berkata demikian, Phi Yam mencampakkan gambar itu kembali ke atas meja, sebelum berjalan ke biliknya. Tinggallah Narut terkedu sendiri. Buku limanya digenggam kuat, penuh geram.

Orang bawahan memang tidak boleh untuk bersuara. Itu sudah lumrah.

****

Narut mengambil makanan sejuk beku dari dalam ruang sejuk beku lalu memanaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro sebagai hidangan makan malam. Sambil makan, Narut menonton televisyen di katilnya.

Esok hari Sabtu. Narut memutuskan untuk ke Chonburi, mencuba nasibnya dalam mencari gadis opera misteri itu. Muad Wit sudah mendapatkan maklumat tentang kumpulan opera Cina yang ada di daerah Chonburi. Daripada hasil siasatan Muad Wit, didapati ada dua atau tiga kumpulan opera Cina di kawasan itu. Kalaulah gadis opera yang dicari-cari Narut betul wujud, sudah tentu tidak sukar dia mengenali identiti gadis tersebut.

Sebaik sahaja urusannya selesai, Narut tidur awal. Fikirnya, lebih baik dia menyimpan tenaga untuk hari esok yang belum pasti. Ubat lorazene yang dibelinya di farmasi selepas dipreskribkan oleh doktor hasil pujuk rayunya kerana tidak dapat tidur, sudah beberapa malam ditelannya. Sebelum dia merebahkan badan, dia tidak lupa bertafakur, menegaskan kepada hantu gadis operanya bahawa kalau benar-benar gadis itu mahukan pertolongannya, janganlah datang lagi dalam mimpinya malam itu. Dia perlu banyak berehat.

Seolah-olah rayuannya didengar, buat pertama kalinya sejak dia balik dari upacara pembersihan kawasan perkuburan Cina dahulu, malam itu gadis itu tidak muncul lagi dalam mimpinya.

****

Hari masih gelap. Narut memasukkan semua barang keperluannya ke dalam beg galasnya, bersedia untuk memulakan perjalanan. Lakaran gadis misteri yang hendak dijejakinya itu tidak lupa dibawa bersama-sama. Sayang, Muad Wit bertugas hari itu. Jika tidak, sudah tentu kawannya itu dapat menemaninya, atau sekurang-kurangnya membantu menghantarnya ke daerah Chonburi.

Selepas beberapa lama dalam perjalanan, Narut tiba di hotel yang telah ditempahnya awal- awal. Dia menyimpan barang-barangnya di dalam bilik penginapannya, sebelum turun ke bawah untuk bertanya kepada penyambut tetamu hotel itu akan arah untuk ke lokasi yang hendak dituju. Lebih baik dia mendapatkan kepastian daripada mereka yang arif tentang tempat itu supaya dia tidak tersesat nanti.

Tempat yang hendak ditujunya hari itu ialah kawasan petempatan komuniti Cina di pinggir Chonburi. Dia rasa gadis yang hendak diselidikinya tentu pernah tinggal di situ.

Selepas lebih sejam berjalan, barulah Narut tiba ke tempat yang dituju. Sekali pandang, tempat itu sama seperti kawasan petempatan masyarakat Cina yang lain, tetapi lebih kecil. Kawasan yang sudah lama wujud itu tentu sudah berpuluh-puluh tahun usianya. Lorong-lorong kecil berselirat di di sana sini.

Narut merasakan seperti pernah sampai ke tempat itu dengan Phi Yam tidak lama dahulu. Akan tetapi, dia tidak ingat atas urusan apa dia ke situ.

Nampaknya tidak mudah menjejaki identiti gadis misteri yang muncul dalam mimpinya. Narut berhenti di sebuah kedai kopi yang agak kecil sebelum duduk di suatu sudut kedai kopi itu. Dia memesan secawan kopi ‘o’ ais untuk menghilangkan dahaga. Kesempatan itu digunakannya untuk bertanya-tanya dengan orang-orang di situ tentang kumpulan opera Cina.

“Maaflah, di sini tak ada kumpulan opera Cina,” jawab seorang lelaki Cina tua bermisai yang ditanya oleh Narut ketika lelaki itu datang membawa kopi yang dipesannya. Kening lelaki tua itu terangkat sedikit, kehairanan, sebelum menjawab dalam bahasa Thai dengan loghat Cinanya. “Nak tengok show, ka?”

“Ohh… taklah, apek. Saya nak cari orang.”

“Dulu sini memang banyak kumpulan opera. Tapi sekarang hampir semua dah berhenti sebab tak ada yang panggil buat show. Kalau ada pun cuma kumpulan Tee Sui Ferng Hua dan Kim Hong. Mereka tinggal di belakang sana. Masuk ikut lorong lapan, atau lu boleh tanya orang dekat-dekat sana.”

Ketika lelaki tua itu hendak beredar, Narut bertanya lagi.

“Nanti, Pek…” Narut segera mengeluarkan gambar lakaran gadis misterinya lalu ditunjukkan kepada lelaki tua itu. Apek tua tadi membuka gulungan kertas tersebut lalu ditatapnya. “Apek pernah tengok perempuan dalam gambar ini?”

Keadaan senyap seketika. Mata lelaki tua yang sebesar biji kuaci itu terbeliak, seolah-olah terpandang hantu.

“Haiya!”

“Ada apa, Pek?” tanya Narut teruja sebaik terpandang wajah terkejut lelaki itu.

“Ini Ah Chu.”

“Apek kenal dia?”

“Tentulah kenal. Semua orang sini kenal dia. Ah Chu ni dulu primadona kumpulan opera Tee Sui Ferng Hua yang terkenal. Kenapa lu cari sama dia?” tanya lelaki tua itu pula.

Narut bungkam. Dia tidak tahu sama ada hendak memberitahu perkara sebenar atau tidak.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66679/hantu-gadis-opera 

Pelancaran Ebuku Institut Tadbiran Awam Negara [ INTAN ]

Sedikit gambaran kepada anda mengenai pelancaran ebuku INTAN yang dibangunkan oleh E- Sentral telah berlangsung pagi tadi dalam majlis INTAN Digital Exploration 2015. Pelancaran ini dirasmikan oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah JPA. Besama ini juga, ada video pelancaran INTAN bagi majlis tersebut.


IMG-20151120-WA0001

IMG-20151120-WA0004

IMG-20151120-WA0008

IMG-20151120-WA0009

Antara judul- judul yang telah dilancarkan dalam pelancaran tersebut Kreativiti Dan Inovasi Menjana Insan ProduktifResearch Methodology ManualSemerah Darah Seputih Tulang: Patriotisme Merentas Kehidupan. Bahan bacaan ini sangat ilmiah dan mampu membina tamadun masa depan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ebuku INTAN, pembaca dapat melayari di http://intan.e-sentral.com/

Website Intan

 

Website Intan 2

[SNEAK PEEK] Rasa Paling Indah

9789831247914-medium
EBUKU Rasa Paling Indah oleh Durrah Fatiha

DIA bangkit dari duduknya yang hanya sekejap lalu bergerak menuju ke tingkap. Langsir itu diselak sedikit. Amani melemparkan pandangan ke arah taman yang teratur dan kemas di luar rumah.  Perlahan dia berusaha menghirup udara segar yang berlegar di taman yang berlanskapkan pepohon hijau dan pelbagai bunga yang sedang memekar. Jiwa kembali tenteram dihidangkan dengan pemandangan indah berwarna-warni yang diselang-seli dengan kehijauan. Sungguh harmoni. Amani tunduk mengamati pakaian yang tersarung di tubuhnya pula. Dres labuh longgar berlengan panjang dihiasi corak bunga-bunga kecil warna merah jambu, coklat muda dan maroon. Dres potongan empat tingkat bermula dari bawah dada itu dimaniskan dengan sulaman riben satin berwarna maroon di setiap tingkat. Sesuai dengan potongan badannya yang tinggi langsing. Amani membuka almari, memeriksa tudung warna coklat muda yang baru semalam dibeli dari butik Ariani. Memang sepadan! “Macam mana penampilan aku, ek? Okey ke?” Cepat dia bergerak dari almari pakaian menuju cermin meja solek di hujung bilik yang luas itu. Mengamati diri dari situ. Amani pantas merapikan penampilannya. Hati puas. Cuba membayangkan senyuman suami tatkala pandangan singgah di wajahnya, seolah-olah lelaki itu sedang berdiri di hadapan mata. Ada rasa teruja dengan pertemuan yang bakal berlangsung, tetapi dalam masa sama gemuruh di dada tetap mengombak. Bagaimana perasaan suami terhadapku? Betul ke dia sayangkan aku? Mungkin dia hanya mahu membuktikan kemampuan dirinya? Ataupun… dia berkahwin sekadar untuk puaskan ego lelakinya? Ya, egonya memang beratus tan! Ah, lelaki memang begitu. Amani menggeleng dalam sinis. Namun bila teringatkan kesungguhan lelaki itu menjadi imam solat mereka, hatinya tersentuh. Sejurus kemudian dada Amani berkocak lagi. “Ya ALLAH, apakah pilihan yang kubuat ini tepat?” soalnya kepada diri sendiri. Dalam tempoh perpisahan mereka selama sepuluh hari ini, dia banyak menyoal diri. Sudah pastikah aku dengan hati ini? Sejauh mana aku menerima si dia yang bergelar suami ke dalam hidupku? Dengan penuh kecintaan? Ya ke? Mungkin bibit-bibit cinta itu datang setelah melalui pelbagai kerenah dalam hubungan kami. Mungkin tidak. Hingga kini Amani tidak pasti akan perasaan suami terhadap dirinya. Benarkah dia menyayangi aku seperti kata Haifa? Walaupun nampak dari perlakuannya seperti lelaki itu memang sayangkan dia, tetapi entahlah… Amani melabuhkan punggung ke atas kerusi kayu jati di tepi tingkap. Menyandarkan tubuh ke belakang sambil mata dipejamkan. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan sedikit demi sedikit. Fikirannya menemui titik tenang semula. Perlahan-lahan mindanya hanyut ditelan memori, memfokus kepada rentetan peristiwa yang dilalui hingga termetrai ikatan perkahwinannya dengan lelaki yang kini bergelar suami. Kini minda Amani menyelami semula kisah mereka..

****

PAGI itu Amani dan suaminya agak kelam-kabut kerana terlewat bangun. Tanpa sempat bersarapan masing-masing bergegas memasuki kereta untuk ke tempat kerja. Setiap hari berkongsi kenderaan yang diserahkan oleh bapanya untuk kegunaan mereka.  Sheikh Iqbal mempunyai beberapa buah kereta yang diatur di halaman rumahnya. Dia juga boleh dikatakan tokoh perniagaan yang berjaya menerajui syarikat sendiri, walaupun tidak sebesar kepunyaan Datuk Syed Yusoff, ‘besan tak jadinya’.  Sebaliknya, Sheikh Abu Wasim yang menjadi besannya sekarang bukanlah ahli perniagaan seperti mereka. Sebaliknya lelaki itu menjawat jawatan tinggi di sebuah syarikat bertaraf antarabangsa. Itu menjadi sebab dia sentiasa sibuk. Kadangkala ke luar negara untuk beberapa lama. “Sejak dua hari ni saya tengok selera awak dah bertukar kepada kereta kecil. Ada sebab tertentu ke? Minggu lepas elok aje kita guna BMW lama tu,” komen Amani setelah mereka berada di dalam kereta untuk ke pejabat.  Sejak berkahwin Amani tidak dibenarkan memandu ke pejabat. Isyraf menetapkan, dia akan menghantar dan mengambil Amani dari tempat kerja. Alasan? Dia mahu bersamanya di dalam kereta. “Ni pun kira baik saya tak pakai motor. Awak nak rasa pengalaman naik motor?” balas Isyraf tersengih nakal.  Sebelum berkahwin dahulu, Isyraf gemar menunggang motosikal ke pejabat. Cara berkesan untuk mengelak dari terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Tetapi sekarang tidak mungkin dia menghantar Amani ke pejabat menaiki motosikal. Mati kena sergah dengan babah kelak! Kadang-kadang dia gemar juga meminjam kenderaan walid. Namun, sudah dua hari berturut-turut selera Isyraf bertukar kepada Mini Cooper kepunyaan Fikri yang dikebas. “Kereta kecik ni kan bagus. Jimat minyak.” Isyraf menyambung penjelasannya setelah melihat mata Amani yang mencerlang. Tau takut! “Kereta ni nama aje kecik tapi kuasanya tinggi. Jimat sangatlah tu,” balas Amani dalam cebikan sinis. Dia menjeling sekilas kepada Isyraf sebelum pandangannya dikalih ke luar tingkap. “Hmm…” Isyraf tersengih nakal.  “Kereta kecik ni sempit, kan. Tulah best. Saya boleh selalu dekat dengan awak. Kita duduk himpit-himpit sampai berlanggar kepala lutut.” Serentak itu Isyraf menggerakkan tangannya hingga tersentuh peha Amani. Satu perbuatan yang sengaja dan bertujuan menyerlahkan maksud kata-katanya. Terkesima sejurus Amani yang menerima perlakuan tak senonoh itu. Huh, tak habis-habis dengan perangai gatal dia! Memang sahlah perangai dia dulu-dulu macam ni, getus Amani dalam diam. “Amani, kita pindah duduk asing nak?” Tiba-tiba sahaja timbul usul sebegitu yang diajukan Isyraf. Perkahwinan mereka sudah masuk ke bulan kedua. Kadang-kadang mereka pulang ke rumah ibu bapa Isyraf dan ada masanya tinggal di rumah ibu bapa Amani. Setakat ini mereka belum memutuskan untuk terus menetap di mana. Isyraf sendiri lebih suka mereka tinggal terus di rumah ibunya tetapi dia harus memikirkan perasaan Amani juga.

Terpegun Amani mendengarnya. Baharu dua bulan menjadi suami isteri, dia dah tak sabar nak berpindah keluar dari rumah orang tua? “Pulak? Awak ni kenapa?” Kerut di dahi Amani begitu ketara. “Alah, kita dah kahwin. Saya rasa nak belajar hidup sendirilah. Susah senang kita sama-sama tanggung. Lagipun ada privasi.” Isyraf tersengih nakal menghabiskan ayat terakhir itu. Di dalam kereta yang sempit itu, laju sahaja tangan kirinya menjalar ke peha Amani. “Hey, tangan tu kat sterenglah. Cepatlah pandu. Saya dah lewat nak masuk pejabat, tau. Ni semua awak punya pasallah.” Amani mengingatkan.  Bibirnya sudah muncung empat belas. Serentak itu dikuis tangan Isyraf yang masih berlabuh di atas pehanya. Nanti tak pasal-pasal terlanggar kereta depan. “Saya pula dituduh lewat. Awak tu apa kurangnya?” Isyraf tersengih-sengih mengingatkan keadaan mereka yang terlewat bangun pagi tadi. “Awak tu kerja dengan Ammi Yusoff, pukul berapa masuk ofis pun dia tak kisah. Tapi saya kerja dengan orang, tau. Ada peraturan,” sergah Amani. Sengaja tidak mahu dilayan omelan Isyraf yang menjadi-jadi sejak pulang dari New Zealand. “Okay Mrs. Amani… at your service, ma’am.” Serentak itu Isyraf menambah tekanan pada pedal minyak dan keretanya menyusup laju di celah-celah kenderaan yang berderet-deret. Amani menahan nafas. Ngeri! “Cuba awak fikir… kalau tak nak duduk asing, kita nak duduk mana? Tentulah umi dan babah nak kita tinggal dengan mereka. Sebaliknya, mama dengan walid saya macam mana pula?” Isyraf kembali menyambung cerita tadi.  Setelah beberapa lama mengharung jalan yang amat sesak, dia berputus asa dan mengikut rentak lalu lintas yang sudah merangkak-rangkak. Tiada guna mencelah dan membahayakan mereka dalam keadaan sesak begini sedangkan sudah sah mereka akan lewat! Lama kedua-duanya berdiam diri, Isyraf memberi ruang untuk isterinya berfikir dan menimbangkan cadangan tersebut. “Betul juga kata awak. Kita tak mahu mana-mana pihak berkecil hati. Nampaknya jalan terbaik adalah dengan kita berpindah duduk asing. Macam tu maksud awak?” Amani sudah menangkap maksud di sebalik cadangan suaminya. “Tahu tak apa!” Isyraf tersenyum ceria. Dia sebenarnya tidak mahu ada pihak yang berkecil hati. Lagipun, dia ada perkara yang mahu dirahsiakan daripada kedua-dua belah keluarga.  Dengan tinggal berasingan dari keluarga masing-masing, dia berharap hal Erina mampu ditanganinya tanpa pengetahuan sesiapa. Yang paling mahu dielakkan ialah Erina mengganggu isterinya.  Isyraf berjanji akan memastikan Erina tidak mengenali Amani, jauh sekali untuk mengetahui lokasi di mana mereka tinggal. Gadis itu boleh bertindak apa sahaja, tidak mustahil jika satu hari nanti dia akan mencari Amani dan bercerita yang bukan-bukan mengenai hubungan silam mereka. “Awak menantu kesayangan walid dengan mama. Jadi awaklah yang kena pujuk dia orang,” putus Isyraf yang sudah mengenyit mata. Hee… dia ni. “Kenapa saya pulak yang kena buat kerja sensitif tu?” Amani mengerutkan dahi seraya mencebirkan bibir. “Sebab saya tahu awak dah tawan hati walid dengan mama. Dia orang pandang tinggi pada awak. Dia orang lebih dengar cakap awak dari saya. Babah dengan umi tu perkara kecik aje.” Laju sahaja Isyraf menawarkan hujahnya. Isterinya hanya menjeling sambil menghadiahkan cebikan. Nyata, tidak senang dengan saranan itu. “Awak kan peguam, gunalah hujah-hujah yang kaw-kaw dan kreatif untuk pujuk. Please…” rayu Isyraf dengan senyuman penuh menggoda di wajahnya yang kacak itu. Ah… susahnya bila dia cakap please macam tu, sahut hati Amani. Jiwa semakin kacau dengan gelagat suami yang menawan kalbu.  Kini wajah Thaqif semakin jauh dari mindanya. Amani mula membuka ruang di hatinya untuk menerima kasih sayang suami.

DENGAN kebijaksanaan Amani yang memujuk kedua-dua belah pihak keluarga, akhirnya dia dan Isyraf berpindah ke sebuah taman perumahan yang tidak berapa jauh dari rumah keluarganya. Hanya lima belas minit perjalanan. Rumah baharu itu kepunyaan babah yang kebetulan baharu beberapa bulan diserahkan kunci oleh pemaju. Kini kuncinya bertukar tangan kepada mereka pula.  Itu adalah syarat daripada keluarga mereka. Jika tidak mahu tinggal di situ, jangan harap walid mahupun babah akan benarkan mereka berpindah keluar. Petang itu Isyraf pulang dari pejabat lebih awal dari biasa. Selesai memparkir kereta di garaj dan mematikan enjin, dia menyandarkan tubuh ke belakang. Lama dia melengung di dalam kereta baharu yang dihadiahkan babah kepadanya. Lega kerana dia dapat bersendirian memandangkan Amani awal-awal lagi meminta izin untuk pulang ke rumah umi pada petang itu bersama Fikri. Abang iparnya itu sudah dua hari balik bercuti dari Sabah. Dia sendiri akan menyusul selepas solat maghrib. Isyraf melayan fikiran yang berkecamuk disebabkan insiden yang tercetus sejak beberapa hari yang lalu. Tidak mampu diketepikan lagi, perlahan-lahan mindanya memainkan semula apa yang berlaku sewaktu lawatan ke New Zealand tidak lama selepas majlis perkahwinannya selesai.   “I SAYANG you. Sungguh, I tetap sayangkan you. Tapi kita tak mungkin bersama lagi. I’m sorry love.” Kepada Erina dia menyampaikan keputusan. Itulah hajat sebenar kedatangannya ke New Zealand.  Hanya beberapa hari sebelum perkahwinannya berlangsung, dia menghubungi Erina melalui e-mel, menjemput gadis itu ke majlis hari bahagianya. Sekali gus memaklumkan tentang perkembangan dirinya.  Dia tahu Erina tidak akan dapat menghadirinya kerana gadis itu masih di New Zealand. Tujuan sebenar adalah bagi membuatkan Erina faham bahawa hubungan mereka benar-benar telah bernoktah, sementalah Erina sendiri yang memutuskannnya tempoh hari. Namun balasan e-mel dari gadis itu membuat hatinya resah. Erina seolah-olah tidak dapat menerima status baru mereka sebagai kawan biasa. Dia mengugut untuk ‘menggegarkan’ perkahwinan Isyraf apabila balik nanti. Jika tidak diselesaikan hal antara mereka, dikhuatiri Erina akan mengganggu hidupnya sesudah berkahwin kelak.  Itu sesuatu yang harus dielakkan. Nyata telahan dia benar apabila berhadapan dengan keengganan Erina melepaskan dirinya. “Isyraf! You… you tak maksudkan apa yang you cakapkan ni, kan? You’re just joking, right? Please…” Erina tersengih lucu mendengar kata-kata Isyraf. Ia sesuatu yang tidak mungkin. “I’ve never been more serius, Erina.” “Tapi muka you tak nampak serius pun. Janganlah macam ni, Isy. Let’s continue where we left off. Macam dulu-dulu. I menyesal dengan keputusan yang I buat hari tu.” Jemari Erina menyentuh pipi Isyraf. Dielus lembut dan perlahan. Gaya memujuk yang selalu digunakan terhadap lelaki .Isyraf mengelakkan diri dari sentuhan tangan itu dengan bertindak bangkit dari sofa. Tidak wajar begini, desis hatinya. “Erina, kali ni I betul-betul minta maaf. I meant every word I’ve just said.” Isyraf bernada serius. Dia mengangkat serta mendepangkan kedua-dua telapak tangan memberi isyarat dia sudah cukup dengan semua ini. Dah muak, dah bosan. Erina menggeleng beberapa kali, berusaha mengusir kenyataan yang menusuk telinganya. Sungguh dia tidak percaya dan tidak mahu mendengar kata-kata tersebut. Mana mungkin hubungan dia dengan Isyraf berakhir selamanya?  Sudah beberapa kali kasih mereka terpisah, namun setiap kali tetap bertaut semula. Dan hari ini juga masih serupa. Dia sering mampu memujuk Isyraf dengan gaya manjanya untuk menyambung semula hubungan mereka.  Pasti kali ini tiada bezanya, tekad Erina. Akan digunakan daya pujuknya untuk mengembalikan cinta mereka ke era dulu. “It’s over. Erina, I love you, but not like before. Sekarang ni kasih I pada you hanya sebagai kawan…” Isyraf bersuara dalam lembut. Ayatnya tergantung apabila Erina mencelah. “Syyh…” Segera tangan Erina berlabuh di bibir Isyraf. Menghalang jejaka itu dari bersuara lanjut. Isyraf yang tidak selesa dilayan begitu hanya membiarkan keadaan dalam sepi buat seketika. Dalam hatinya dia telah nekad. Harus diluahkan juga apa yang bersarang di minda. Harus diselesaikan misi kedatangannya ke sini. Direnung Erina dengan pandangan yang redup. “Dengar sini Erina… I tak cintakan you macam dulu lagi. Cinta kita yang tu dah lama berakhir. Dah padam.” “Tidak,” geleng Erina beberapa kali.  “It cannot happen.” Tangannya lembut merayap ke dada Isyraf. Tidak dipedulikan reaksi lelaki itu yang berundur dua langkah kerana rimas dengan tindakannya. Erina tidak mahu melepaskan Isyraf, semakin merapatkan jarak antara mereka. “Erina, listen to me…” Isyraf memegang kedua-dua lengan Erina erat lalu direnggangkan bagi menghentikan perbuatan gadis itu yang hampir menyembamkan wajah ke dadanya. Kini anak matanya ditala kepada anak mata Erina. “Semuanya dah berakhir sejak perpisahan kita beberapa minggu sebelum I balik Malaysia hari tu. Tak mungkin diperbaharui, Erina. You sendiri yang putuskan masa tu, bukan I.” Nadanya ditegaskan walau suaranya masih berlembut.  Dia harus bersabar dengan kerenah Erina dalam rangka membuat gadis ini faham dan sedar akan perkara yang baru disampaikannya. Perpisahan mereka untuk kali ini telah menemui jalan mati. Tidak mungkin diperbaharui. Dia sudahpun berumah tangga. Tidak dihiraukan kata-kata lelaki itu, Erina terus merenung wajah di hadapannya dalam mata yang seolah-olah merayu. Operasi memujuk dan menggoda harus bermula secepat mungkin! Dari sekarang. “Isyraf, dulu kita pernah berpisah. Malah beberapa kali… tapi lepas tu kita berbaik semula. Apa bezanya untuk kali ni?” Erina menghamburkan senyuman ceria. Senyuman yang dulu sering mengundang bahagia di wajah jejaka ini. Mustahil Isyraf tidak terkesan dengannya. Dia bergerak memaut mesra pinggang jejaka itu. “Dulu, mungkin ya. But not for this time, Erina. You sendiri yang buat keputusan tu, ingat tak?” Isyraf masih mengekalkan nada suaranya yang lembut namun tegas.Perlahan dileraikan tangan Erina yang berada di pinggangnya. Matanya menikam pandang anak mata Erina dalam usaha menyampaikan maksud. Hati berdebar juga. Takut andainya benteng pertahanannya ampuh bila berdepan dengan pujuk rayu Erina.  Erina memang juara dalam hal pujuk-memujuk sejak dulu lagi. Tetapi hari ini dia nekad untuk tidak tunduk kepada godaan mahupun rajuk manja Erina. Dia bukan lagi Isyraf yang meninggalkan bumi Kiwi ini enam bulan yang lalu.  Kini dia adalah Isyraf yang lebih bertanggungjawab, yang sudah berubah menjadi lelaki sopan lagi beradab.  Isyraf sekarang adalah yang lebih pentingkan solat dan amal kebajikan, yang menepati janji, yang lembut tutur kata dan sentiasa hormatkan orang lain terutama sekali kedua-dua ibu bapanya.  Dia berazam menjadi manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, menjadi suami yang penuh tanggungjawab dan dihormati. Demi Amani, dia mahu menjadi kekasih yang setia. Ya, dia berusaha membetulkan dirinya supaya menjadi Muslim yang bermaruah! Dalam beberapa hari kebelakangan ini, dialog sebegitu sudah kerapkali berulang. Tetapi hingga sekarang ia berlarutan tanpa sebarang kata putus.  Dia sudah pening memikirkan bagaimana untuk menoktahkan segalanya. Namun setiap kali tiba ke penghujung, ia sering temui jalan untuk berbalik ke pangkal.  Pujuk rayu Erina membuatkan dia berasa bersalah terhadapnya. Erina seolah-olah bertekad mendapatkan semula dirinya sekalipun tahu dia sudah berkahwin.

Mungkin kini Erina menyedari hakikat bahawa dia memang bersungguh-sungguh dan muktamad dalam menerima pengakhiran hubungan mereka beberapa minggu sebelum pulang ke Malaysia dulu.  Tetapi, kenapa dia tidak rela menerima perpisahan ini? Kenapa dia masih menagih kasih?   ISYRAF membuka matanya setelah dipejamkan untuk beberapa waktu. Dia hanya tidur-tidur ayam, langsung tidak dapat nyenyak. Dikerling ke kiri setelah agak lama menyedari bahunya terasa berat.  Erina di sisinya masih terlentok dalam lena yang nyenyak. Isyraf membiarkan sahaja, tidak sampai hati mengejutkannya.  Dia membuang pandang ke luar tingkap pesawat. Masih gelap. Penerbangan dari Christchurch mengambil masa hampir 12 jam untuk tiba ke Kuala Lumpur. Diamati jam di pergelangan. Kira-kira satu jam lagi mereka akan mendarat di KLIA. Hatinya walang memikirkan duduk perkara… bagaimana setelah menjejakkan kaki kelak? Dahi Isyraf mula berpeluh. Bagaimana mahu menjelaskan tentang kepulangannya bersama gadis ini? Jika diketahui walid dan mama… mampus aku! Ya ALLAH, bantulah aku tangani kemelut ini dengan sebaik-baiknya. Panjang monolog Isyraf sementara kapal terbang terus membelah awan. “Oh, you dah bangun, Isy. Berapa lama lagi kita nak sampai?” Erina terus berpaut kepada lengan jejaka itu sebaik sahaja membuka mata. Suara Erina memecah haluan fikirannya. Isyraf melepaskan keluhan kecil.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66584/rasa-paling-indah

REVIEW SEMERAH RED VELVET

9789831248461-medium
EBUKU SEMERAH RED VELVET OLEH HEZZY AZRA

Di waktu Raina ingin lari daripada Emir Hadhri, kek cawan Red Velvetnya telah menemukan mereka kembali. Raina jadi kalut. Hati Emir semakin terpaut. Mereka bagai langit dan bumi. Namun rasa cinta itu lebih mengatasi sehingga Raina tidak teragak-agak untuk menjadi isteri kepada lelaki yang baharu sahaja dikenalinya.

Oh… rupanya tidak mudah menyesuaikan diri. Banyak perbezaan wujud di celah-celah kehidupan mereka. Setiap kali Emir berulit dengan buku, Raina mati kutu. Raina kepingin untuk berkumpul dengan adik-beradiknya, Emir pula mahukan ruang privasinya. Emir terlalu obses dengan pengajiannya, Raina dambakan kemesraan mereka. Tersilap kata, cemburu pula melanda.

Rasa tidak puas hati semakin membukit. Kisah lama kembali diungkit. Hati masing-masing mula rasa sakit. Hidup sebumbung, tetapi tetap rasa kosong. Benarkah perpisahan merupakan yang terbaik buat mereka?


Bagi ulasan buku kali ini, sejujurnya admin puji cara olahan cerita ini walaupun pada permulaannya admin tak suka pada seorang watak ni.  Dari segi ‘keberatan’ novel, ia tidak la begitu berat hingga membuatkan anda pending. Cukup untuk anda sengih sendirian sambil membaca bila sampai di bahagian yang kelakar dan rasa macam nak baling buku ini apabila tiba di bahagian yang membuatkan anda geram. Oleh itu, bacalah dari kulit depan sampailah kulit belakang untuk mengetahui kisah selanjutnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66587/semerah-red-velvet