[SNEAK PEEK] PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR

PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR Oleh Wan Rohayu

MATANYA terpaku lagi buat ke sekian kali. Terpaku pada susuk tubuh tegap yang tidak pernah jemu mengunjungi seseorang yang sudah pasti bertakhta paling teratas dalam hati. Bertuah kau, budak! Sebiji macam Sleeping Beauty! monolognya.

Matanya memerhati sang puteri sedang beradu. Sang putera setiap hari datang dengan harapan dapat mengejutkan lena panjang sang puteri tetapi sayang, sang puteri pula sibuk melayan dunia gelapnya. Dengan endotracheal tube di dalam mulut, ventilator untuk memanjangkan hayat serta bunyi-bunyi dari berbagai alatan monitor. Sungguh! Sang puteri bukan mengharapkan sekadar ciuman sakti tetapi cinta sejati.

“Buat apa kau kat sini? Tak guna kau kat sini! Dia tak perlukan kau!” Bulat mata melihat adegan tidak dijangka. Oh… Jangan bertumbuk sudah! getus hati mula cuak melihat dua orang lelaki kacak bila-bila masa akan berhentam.

“I have the right and don’t need your permission to stay!” balas lelaki yang baru sahaja sampai. Sampai-sampai dah diajak berhentam. Itulah, masa Sleeping Beauty sedar diri tak ingat pula tentang hak. Huh, nasib baik hati ini tak sempat nak tersangkut dengan mamat supercold tu! Erk, ya ke? Adalah sikit. Normallah, kan! Aci potong kuku kalau hati tak goyang dengan mamat kategori handsome macam tu. Siapa yang tak nak jadi kekasih encik doktor, kan?

Tetapi, sedihnya apabila melihat hero seorang lagi itu. Setiap hari datang tanpa jemu ke sini melihat Sleeping Beauty masih tak bangun-bangun. Bila kau nak bangun, Sleeping Beauty? Kasihan dua orang mamat ni. Seorang muka monyok macam cekodok basi dan seorang lagi muka macam tapai masam. Berkerut-kerut muka depa tengok hang tak mahu bangun-bangun. Sudah-sudahlah tu bawa diri dalam dunia gelap tu.

“Hmm… Aku balik dulu, Del!” bisik Edlin dari kejauhan. Bukan waktu yang sesuai datang melawat temannya sekarang. Edlin sempat mencuri pandang kedua-dua mamat handsome itu sebelum beredar. Masing-masing sedang merenung perempuan yang mereka sayang menerusi dinding kaca.

Hati Edlin sebak. Hatinya juga rindu dengan temannya itu. Adelia merupakan teman baiknya yang paling rapat sepanjang bekerja di hospital ini. Mereka berdua bersama memulakan tugas di hospital ini selepas menamatkan pengajian di kolej jururawat. Apa yang berlaku terhadap Adelia sangat memberi impak kepadanya. Dia juga sayangkan Adelia dan berharap semoga Adelia cepat sedar. Adelia, bertahanlah.

Keluar saja dari ICU, Edlin menggunakan tangga untuk turun. Bersemangat menggunakan tangga untuk turun ke tingkat bawah. Sengaja nak membakar lemak-lemak degil di pahanya. Edlin sempat menggosok-gosok pahanya yang mantap. Haish… lemak… lemak… susah hati betul!

“Eh!” Tiba-tiba bahu dirempuh kasar. Menonong pelaku yang merempuh bahunya menuruni tangga. Langsung tak menoleh. Jauh sekali nak memohon maaf. Bikin hati Edlin panas aje!

“Hello, brader!”

Lelaki itu menoleh ke belakang. Rahang Edlin sikit lagi nak terjatuh apabila terpandang lelaki itu. Oh… Mamat tapai masam rupa-rupanya.
Edlin tekup mulut. Mata lelaki itu hanya memerhati Edlin dengan renungan yang susah untuk dijelaskan.

“Tak apa, tak apa… teruskan.” Tangan Edlin memberi isyarat supaya lelaki itu mengabaikan sahaja apa yang berlaku di situ.

“Sorry… tengah rushing!” Lelaki itu sempat memohon maaf, kemudian terus hilang di tingkat tiga. Hanya kedengaran pintu kecemasan tertutup rapat.

Edlin terkelip-kelip. Aura lelaki itu tertinggal dalam hati Edlin. Terasa sesuatu yang pelik sedang menelusuri hatinya. Mata tu, betul-betul panahan arjuna! Edlin menyentuh dadanya yang dup dap semacam.
Ed, sedar diri tu sikit! Edlin menggeleng beberapa kali bagi centre sedikit kepala otaknya. Tiba-tiba jadi bingung, apa hal?

IRFAN TIDAK dapat menahan dirinya lagi. Jika dia masih berlama di situ, tak pasal-pasal semua benda di sekeliling bilik ICU melayang ke udara macam UFO karang. Huh, kalau diikutkan hati, mahu dipatah-patahkan kesemua anggota badan houseman hingusan itu satu per satu. Biar lumpuh satu badan baru puas hatinya.

Apabila diingatkan balik waktu di labour room dahulu, teruk juga mamat itu dikerjakannya. Berbirat lebam di merata muka. Itu pun belum cukup membalas apa yang telah lelaki bedebah itu pernah lakukan terhadap Adelia. Teringatkan perempuan kesayangannya masih belum sedarkan diri, Irfan menjadi terlalu sayu. Delia, bertabahlah! Saya sentiasa ada untuk awak, Delia.

Mood Irfan memang jauh ke laut dalam. Tak pasal-pasal selalu melenting sejak dua menjak ini. Emosi memang merudum. Nak-nak jika matanya singgah ke wajah lelaki bedebah itu.

Huh, Irfan laju melangkah keluar dari ruangan ICU. Panas hati dan terbakar jiwa melihat lelaki bedebah itu. Itu yang menonong turun tangga dan tidak sengaja merempuh bahu seorang jururawat. Apabila dah kena sound, barulah buka mulut memohon maaf dan memberi alasan nak cepat. Kalau tak… menonong buat tak tahu aje. Sejak bila dia menjadi manusia tak berhemah pun dia tak tahu. Betul-betul berserabut sejak Adelia tidak sedarkan diri.

EDLIN MENAPAK ke tempat parkir motosikal. Anak kunci motosikal dikeluarkan. Matanya sempat menilik sebuah motosikal besar berada di sebelah skuter cabuknya.

Pergh, cun siot! Jenama apa ni? Edlin menunduk melihat. Oh… Ducati Monster. Tidak semena-mena Edlin teringatkan teman baiknya yang terbujur kaku di ICU. Temannya itu sangat meminati motosikal besar. Adelia selalu menyebut jenama-jenama motosikal besar apabila bersembang dengannya. Edlin tidak berminat nak mengambil bahagian bab-bab motosikal besar macam ni. Manalah dia mampu. Yang dia mampu hanyalah berangan.

Tetapi, Edlin salute habis dengan Adelia kerana meminati motosikal besar dan pandai pula membawa motosikal besar. Edlin selalu teruja mendengar cerita-cerita Adelia tentang pengembaraannya dengan grup motosikal besar yang disertainya. Awek bawa superbike. Cool gila! Tak macam dia, skuter cabuk ini aje la yang dia mampu. Mana ada manyak ongkos nak melayan motosikal besar macam ni. Kalau dia ada duit lebih baik dia simpan untuk adik-adiknya di kampung yang masih bersekolah.

Edlin memakai helmet. Kemudian dia bersedia untuk menarik skuternya keluar dari tempat parkir. Motosikal yang diletakkan rapat-rapat menyukarkan Edlin mengeluarkan skuter merah jambunya. Terkial-kial!

“Nak saya tolong?” Suara entah dari mana menyinggah di tepi telinga. Edlin menoleh kepalanya. Tercengang sekejap! Rahang yang hampir jatuh cepat-cepat ditutup. Oksigen, oksigen. Tiba-tiba Edlin rasa semput dengan makhluk ciptaan Tuhan yang sempurna. Sungguh, panahan mata arjuna itu sangat terkesan dalam hatinya. Jantung Edlin bergetar aneh, dup dap semacam!

“Hah!”

Irfan mengerutkan keningnya. Perempuan di hadapannya kelihatan blur apabila dia cuba nak menolong. Tangan Irfan laju saja menarik motosikal di sebelah skuter comel perempuan itu ke tepi supaya skuter perempuan itu dapat keluar dari tempat parkir dengan mudah. Selepas itu, Irfan terus menaiki Ducati Monsternya. Perempuan itu masih belum pergi. Kelihatan seperti bingung semacam.

Irfan tidak mengambil pusing. Masih banyak perkara yang berpusing-pusing di dalam kepalanya daripada mengambil pusing perkara yang bukan berkenaan dengan hidupnya. Irfan menarik motosikalnya keluar. Bila nak memakai helmet fullface, Irfan pandang perempuan itu yang masih belum beredar.

“Tak nak balik?” tanya Irfan dengan senyuman nipis. Pelik pula melihat perempuan itu seperti terkejutkan sesuatu.

Dengan senyum nipis sahaja cukup membuatkan hati Edlin terasa nak melayang ke kayangan. Mak, tolong cheq!

“Cik…” Irfan menegur lagi.

“Eh…” Edlin tayang sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Baru tersedar. Boleh pula dia tercegat macam kena paku di situ. Adeh, nampak sangat kesengalannya di situ. Habis percentage ayunya. Oh… Edlin rasa nak meraung.

Lelaki kacak itu dengan penuh bergaya memakai helmet di kepala kemudian melambai dua jari kepada Edlin sebelum beredar. Namun cukup membuatkan Edlin seperti kena paku lagi di situ. Huuu… Betul-betul macho!

IRFAN DATANG lagi. Adelia masih tetap sama. Tiada perubahan. Masih bergantung dengan mesin ventilator. Irfan melihat data-data keadaan Adelia sepanjang hari semalam. Tekanan darah Adelia semakin stabil. Keputusan darah juga sudah banyak yang normal. Tetapi, kenapa Adelia masih belum sedar daripada lena yang panjang? Bangunlah, Delia… rintih hati Irfan tiada kesudahan.

Irfan masuk ke dalam bilik Adelia. Bunyi-bunyi mesin monitor kedengaran di telinganya. Irfan mengenakan stetoskop di telinga lalu meletakkan diaphragm di dada Adelia. Memeriksa keadaan paru-paru Adelia. Lungs clear! Irfan berpuas hati melihat progress Adelia semakin stabil.

“Awak kena kuat, Delia! Saya sedang menunggu awak,” bisik Irfan di telinga Adelia. Luluh hatinya melihat perempuan kesayangannya terbujur kaku di situ. Hatinya benar-benar terseksa melihat Adelia begini. Dengan wayar dan tiub berselirat dan anggota badan yang ditusuk dengan pelbagai kanula. Irfan dapat merasai kesakitan yang sedang dilalui oleh Adelia. Kasihan awak, Delia.

“Dr. Irfan kat sini rupa-rupanya!” Muncul seorang jururawat.

“Kenapa?” tanya Irfan tanpa senyum. Tangannya sibuk membelek lengan Adelia yang lebam. Ini kerja jururawatlah ni, suntik blood thining drug pada tempat yang sama aje. Irfan tak puas hati.

“OT called, cari doktor,” beritahu jururawat itu.

“Okey!” Pendek. Tahu pula staf OT mencarinya di ICU. Irfan tahu mukanya familiar sangat di wad ICU sekarang. Selagi Adelia masih berada di sini, dia akan menjadi pengunjung setia di sini.

Irfan keluar dari bilik Adelia. Menonong dengan pakaian OT berwarna biru. Mata sibuk membelek gadget di tangan untuk mencari nama yang ingin dihubungi.

“Helo… Okey, I’ll be there in five minutes!” Kaki diayun pantas. Suis pintu besar automatik ditekan dan pintu ICU terbuka. Dia terus melangkah tanpa memandang sesiapa. Akibatnya, Irfan tidak sengaja terlanggar orang lagi.

“Sorry…” mohon Irfan. Kemudian Irfan seperti terkejut sedikit apabila melihat orang yang dilanggarnya ialah orang yang sama dia langgar semalam.

“Tak apa, tak apa, teruskan…” Gaya perempuan itu masih sama. Irfan rasa bersalah pula. Ini kali kedua dia terlanggar perempuan itu.

“Sorry… Saya nak cepat.” Alasan yang sama diberikan. Semalam, dia tak adalah mengejar masa sangat tetapi hari ini dia betul-betul mengejar masa. Khidmatnya diperlukan di bilik bedah dengan segera. Kes ectopic pregnancy. Dia tidak boleh berlengah lagi.

“Eh, tak apa! Bukan ada apa pun,” balas perempuan itu dengan senyuman. Irfan membalas dengan senyuman nipis. Rasanya dah tiga kali dia terserempak dengan perempuan itu. Seingatnya, di tempat parkir juga.

“Sorry, ya!” Irfan dengan gaya dua jari melambainya kemudian terus berlalu.

EDLIN MASUK ke dalam bilik teman baiknya. Dia melihat Adelia yang sedang lena beradu di dalam dunia kegelapan. Entah bila akan sedar.

“Kau dah mandi belum, Del? Busuk aje aku bau. Haaa.. Tak pun kau yak ya, Del?” Edlin memeriksa teman baiknya itu.

“Kau minum susu ikut hidung aje kut! Awat kau yak busuk sangat ni?” Hidung Edlin kembang kempis.

“Aku tukarkan diaper untuk kau, ya? Relakslah… Kitakan best friend! Buat apa nak malu. Hari ini hari kau, esok-esok hari aku kau jangan pula tak pedulikan aku. Sedih woo…” Edlin membebel walaupun tiada respons daripada teman baiknya.

Selepas menukar diaper, Edlin membancuh susu.

“Kau hari-hari minum susu ikut hidung. Tak boring ke, Del? Aku yang tolong bagi ni pun naik muak tengok. Kau bangunlah, nanti kita pergi makan piza ramai-ramai. Fuh, terliurnya nak makan piza.” Edlin selamba berceloteh sambil menuang susu melalui tiub.

“Weh, lama kau tak masuk kerja. Aku rindulah.” Tiba-tiba suara Edlin berubah. Air mata bertakung menunggu jatuh sahaja tetapi Edlin menahannya sedaya mungkin.

Dan Adelia masih juga begitu. Masih dengan lena panjangnya.

“Suami kau datang tak hari ni, Del? Aku tengok suami kau, aku geram tapi dalam waktu yang sama, kesian pula aku tengok dia, Del! Dah macam hero Hindustan berjambang. Tak terurus langsung!” Edlin selamba mengutuk suami Adelia.

“Kalau aku jadi kau pun, mesti susah nak maafkan. Terpulang pada kau, Del! Tapi, kau kena bangun. Kau tak boleh lari macam ni.” Si Edlin masih lagi membebel.

“Kau tengok badan kau ni… penuh lebam-lebam kena cucuk sana sini. Bangunlah!” Walaupun membebel, tangan sedang membetulkan tubing drip.

“Eh, aku nak balik dululah. Boring siot bila kau tak ada ni. Kalau kau ada, kita boleh keluar tengok wayang ke? Shopping ke? Kalau kau belanja aku makan lagi bagus. Sukanya aku tapi… hmmm…” Edlin monyok lagi.

“Okey, Del! Aku balik. Esok aku cuti. Kalau aku boring-boring kat rumah, aku datang sini tengok kau, ya! Kau jangan lupa bangun tau!” Apabila berpuas hati teman baiknya dalam keadaan kemas dan rapi, Edlin bersiap ingin keluar.

Mulut Edlin terlopong sewaktu melihat Dr. Pasha betul-betul berada di muka pintu dengan wajah suram. Alamak, terdengarkah ocehannya tadi? Edlin tayang senyum buat-buat. Oho… Mulut ni betullah!

“Dr. Pasha baru sampai ke?” Edlin saja berbasa-basi, cuba menutup perasaan bersalah kerana sesuka hati dia saja mengutuk doktor itu.
Anggukan lemah si hero Hindustan berjambang itu sudah cukup membuatkan Edlin terlalu kasihan. Tak larat nak beramah-tamah dengan hero Hindustan seorang ini. Tak apalah, faham.

“Dr. Pasha, saya baru aje bagi susu. Diaper pun saya dah tukar. Okey, doc! Saya pergi dulu!” beritahu Edlin sebelum beredar.

“Terima kasih, ya!” ucap Pasha dengan suara agak serak.

Aduh, kasihannya! Edlin tak boleh berlama-lama nanti dengan dia sekali menangis karang.

“Tak apa. Adelia kawan baik saya. Cuma kalau Adel bangun, tolong jangan lukakan hatinya lagi,” pesan Edlin sebelum menutup pintu. Huh, ayat cek macam drama! Edlin garu kepala sebelum beredar.

LULUH HATI Pasha melihat Adelia terbujur kaku. Sudah dua minggu isterinya masih tidak sedarkan diri. Adelia bergantung sepenuhnya dengan mesin ventilator dan ubat-ubatan. Sepanjang itu Pasha sentiasa dirundung dengan perasaan bersalah. Dia seorang yang benar-benar teruk.

“Abang teruk, kan? Apa yang abang dah lakukan ni? Abang buta, sayang. Sungguh, abang buta. Maafkan abang. Abang tahu ucapan maaf abang takkan mampu menyembuhkan luka dalam hati sayang. Tapi, abang tak tahu lagi. Jika nyawa abang jadi pertaruhan, abang rela menggantikan nyawa abang untuk sayang. Bangunlah, sayang…” Penyesalan sudah tiada gunanya sekarang. Mereka telah kehilangan anak mereka dan Adelia pula masih tidak sedarkan diri.

Teringat kembali detik-detik cemas di labour room. Pasha pejam mata kerana terasa amat perit bila teringatkan betapa teganya dia tidak mempedulikan isterinya kala itu. Sungguh, dia seorang yang pengecut! Akui Pasha dalam getir. Seketika Pasha membelai rambut Adelia dengan lembut. Wajah pucat Adelia dengan mata tertutup membuatkan Pasha hampir menangis lagi di situ.

“Anak kita perempuan, sayang… Abang sempat iqamatkan anak kita sebelum dia pergi. Dia hanya sempat bertahan selama satu jam saja. Berat lahirnya hanya 1 kilo lebih,” beritahu Pasha dalam sendu. Bayi mereka juga bertarung nyawa untuk menjenguk dunia namun Allah lebih sayangkan anak mereka. Walaupun telah diberikan bantuan pernafasan dengan ventilator, bayi mereka masih tidak mampu bertahan.

“Sayang… Anak kita comel sangat.” Air mata mengalir tanpa sedar. Terimbas dalam minda wajah anak perempuan mereka. Sangat-sangat comel dan kemerah-merahan. Pasha tidak dapat menahan dirinya lagi lalu terus menyembamkan wajahnya ke dada Adelia. Teresak-esak dengan penuh rasa penyesalan.

“Abang tak layak dimaafkan! Anak kita…” Tanpa malu, Pasha mengongoi kesedihan.

“Abang rela tidak dimaafkan dengan sayang sampai bila-bila asalkan sayang bangun. Tolong bangun, sayang…” rayu Pasha tidak peduli lagi dengan keadaan sekeliling.

Irfan merenung tanpa jiwa ke dalam bilik Adelia menerusi cermin kaca. Irfan nampak suami Adelia sedang menangisi Adelia yang belum sedarkan diri. Tiba-tiba Irfan mendengus sambil mengepal penumbuk. Gigi diketap rapat. Asal nampak saja malaun seorang itu, darahnya membuak-buak.

GITAR DIPELUK rapat ke dada. Hatinya sunyi… Delia, bangunlah…
Irfan humming suara perlahan sambil memetik gitarnya. Dengan sayu Irfan menyanyi dengan penuh perasaan.

“Dengarlah bintang hatiku, aku akan menjagamu. Dalam hidup dan matiku, hanya kaulah yang kutuju. Dan teringat janjiku padamu, suatu hari pasti akan kutepati. Aku akan menjagamu semampu dan sebisaku. Walau kutahu ragamu tak utuh. Kuterima kekuranganmu dan aku tak akan mengeluh. Karena bagiku engkaulah nyawaku. Aku akan menjagamu semampu dan sebisaku…”

Nyanyian Irfan tiba-tiba terhenti apabila suaranya mula serak dengan sendu yang tak tertahan.

“Delia, please wake up…” Air mata mengalir tanpa sedar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79960/Pemilik-Hati-Encik-Doktor

[SNEAK PEEK] NYANYIAN HATI

NYANYIAN HATI Oleh RodieR

“SO, dia tu office interior designer, tapi kerja part time jadi photographer. Memang photographer yang sangat berbakat.” Abang Long senyum. Akhirnya Abang Long nak bercerita juga tentang jejaka yang bakal diperkenalkan kepadanya itu.

Ras penat dia mengekor Abang Long ke mana saja abangnya itu pergi dalam rumah pada hari raya ketiga yang hening itu, bertanyakan itu dan ini akhirnya berbayar juga. Abang Long ditahannya di dapur, disogoknya dengan Milo ais, dan didudukkannya di kerusi di dapur yang tiada orang itu. Kak Jee dan Kak Ngah di bilik, melayari Internet. Umi dan abah di depan, menonton TV. Abang Yusuf, suami Kak Ngah pula keluar ke rumah kawan tak balik-balik lagi.

Oh, yeah? Ain sengih. Kalau dah namanya dah lulus ujian Abang Long, memang semua benda dia puji.

“Can you please start with a name?” dia menyakat. Yelah, takkan nanti nak panggil awak, awak aje.

“Danial.” Abang Long menjawab pendek. “Dan apabila Abang Long kata dia berbakat, dia memang betul-betul berbakat, okey. Sampai ambil gambar orang gelak habis nampak semua tiga puluh enam batang gigi pun still nampak cantik.” Senyum Abang Long melebar menjadi sengih nakal.

Ain dah pelik. “Aaa…” eh, kejap. Abang Long ni tengah cakap fasal…

“Aaa… what?”

Ketawa si abang pecah. “Aaa… yes.” Dia mengajuk.

No… nooo… no way…. Takkanlah…

“Dialah photographer masa Abang Long kahwin dulu tu.”

Memang betul la Abang Long cakap fasal tu!

“What? Yang ambik gambar Ain gelak macam orang gila tu? Mamat tu ke?”

Abang mengangguk, ketawa lagi. “Itulah orangnya.”

Teringat hari itu…

April 2005

Waktu itu baru selesai majlis menyambut menantu Abang Long dan Kak Jee. Selepas penat berperang dengan pinggan mangkuk, dia ke ruang tamu, melepaskan lelah. Abang Long dan Kak Jee kemudiannya mengajak dia dan Kak Ngah sama-sama duduk bersila memilih gambar-gambar nikah mereka yang ditayangkan di skrin komputer riba Abang Long.

Cantik! dia berbisik dalam hati, memuji gambar-gambar itu. Pandai Abang Long dan Kak Jee memilih jurugambar. Melayu pulak tu. Biasanya yang terer bab-bab ni ramainya Cina.

“Ha, yang ni boleh dibesarkan.” Kak Ngah dah sibuk memberi cadangan. “Yang ni pun. Cantik satu famili.”

Yang nak dibesarkan dialih Kak Jee ke dalam folder yang berasingan. Cekap jemarinya dilarikan di atas touchpad. Memang kamceng la dengan abang. Nasib baik la abang tu bukan typical computer geek. Boleh aje buat lawak-lawak tahap cipan dan selamba yang dia sendiri tak pernah nak terfikir. Dia senyum sendiri melihat gambar Kak Jee mencium tangan abang untuk upacara membatalkan air sembahyang.

Tiba-tiba…

Aih, apa hal tiba-tiba muka aku yang menonjol tu?

“Ek?”

Kak Jee di sebelah dah sengih. “Kejap, Ain. Ain kena tengok yang lain-lain.”

Huh? Yang lain-lain?

Gambar dia tadi Kak Jee ‘cut’ dan ‘paste’ ke dalam folder bertajuk Ain’s.

Apakah…? Folder itu dibuka.

Ada dekat sepuluh juga fail JPEG itu. Dan semuanya adalah gambar-gambarnya semasa majlis nikah tu.

“Abang paling suka yang ni.” Abang Long yang tadi diam, mencelah dengan senyum.

Satu fail JPEG itu dibuka.

Terpampang muka Ain dengan sengih cukup lebar hingga menampakkan segala gigi dan gusi.

“What the…!” kali ni kuat dia hampir menyumpah.

Abang Long, Kak Jee dan Kak Ngah serentak ketawa.

“Kenapa Bang Long?” umi di belakang yang sedang duduk di atas sofa di sebelah abah, menonton TV bertanya.

“Ada gambar Ain gelak, suka hati sangat-sangat.” Abang Long menjawab, menepis tangan

Ain yang cuba nak menampar lengannya. “Didn’t know you’re that happy when I got married, sis. I’m touched.”

“Ei, tak nak tengok, tak nak! Padam… padam!”

Salur darah di muka dah kembang bertubi-tubi. Gila photographer ni, baru tadi puji. Sekali dia ambik gambar aku gelak macam orang gila tu dah kenapa? Tak de benda lain dah nak ambil?Ambik la gambar bunga telur tu ke, pasu bunga ke, pintu pagar yang cantik berukir tu ke? Yang muka aku tengah herot-berot tu jugak yang diambilnya kenapa?

“Buruknya muka Ain!” dia mengeluh kuat. Memang pun. Dah la gigi nampak hampir semua, hidung pulak dah berkerut seribu. Ei, buruk!

“Apa pulak buruk? Cantik la. Nampak spirit of the party, ceria.” Kak Ngah membantah.

Ceria, buah peria. “Tak de, tak de, delete!”

“Tu baru satu, Ain.”

Ala, jangan la… ini namanya mimpi ngeri. Please, Wake Me Up When September Ends. Eh, bukan! Tu Greenday punya lagu. Wake me up, please, tolonglah cubit kat mana-mana. Aku tak nak mimpi ngeri ni…!

Satu per satu gambar itu dibuka oleh Kak Jee. Gambar Ain sedang mengaminkan doa, sebelah tangan lagi memegang kamera, gambar Ain ketawa lagi, gambar Ain sedang bercakap dengan umi dan Kak Ngah, gambar Ain bersimpuh duduk di depan pengantin dengan senyum simpul….

Cet, photographer ni. Dalam duk lip-lap lip-lap flash tu sempat lagi dia fokus ambik gambar aku.

“Photographer yang mana ni? Nak kenal sikit, nak pergi cekik tekak dia.” Tak berkelip Ain merenung gambar-gambar itu. Eh, yang aku duk senyum sorang-sorang tu macam lawa la pulak. Aih, perasan la pulak aku ni! Senyum, ya, lawa. Gelak bagai nak rak tu, ya, buruk!

“Yang pakai cap hitam ‘KL’ tu.” Kak Jee menjawab, sengih melihat Ain yang dah mengepal penumbuk.

“Oh, yang tu ke? Memang Kak Ngah perasan pun dia asyik duk ambil gambar Ain je.” Kak Ngah pula mencelah dengan sengih.

“Gila!” Hanya sepatah itu saja yang mampu diucapkan oleh Ain. “Padam la Kak Jee, please.” Dia dah merayu.

“Akak pelan nak cuci la gambar-gambar ni.” Kak Jee dah sengih nakal, sama naik aje dengan Abang Long di sebelahnya.

“No! Padam!”

“Okey, kita undi. Siapa nak cuci?” Tiga tangan diangkat tinggi.

Abang Long dengan Kak Ngah dah ketawa kecil.

“Okey. Siapa nak padam?”

Tangan Ain tinggi diangkat. Satu aje. Eh, tak boleh jadi, kena minta bantuan skuad tambahan. “Abah, mi, angkat tangan!” Tapi, walaupun skuad tambahan, jadi seri aje ni. Camne…

“Kenapa?” Abah dah berkerut dahi. “Ala, angkat je la, bah.” Redah aje la.

“Ain nak suruh padam gambar dia masa majlis nikah abang.” Kak Ngah sengaja membuka cerita.

“Eh, buat apa nak padam? Cuci je la semua.” Abah yang tak faham apa-apa dah secara tak sengaja mengumumkan pemenang.

Serentak Abang Long, Kak Jee dan Kak Ngah ketawa. “Okey, thanks, abah!”

Memang betullah dia tak bangun lagi daripada mimpi ngeri itu…

Dan kini, selepas dua tahun, mimpi ngeri itu datang mengejarnya lagi. Biar betul?

Ain dah ternganga, terkebil-kebil matanya merenung Abang Long.

Abang Long sengih jahat, merenungnya kembali.

“Dia kawan pada kawan Abang Long sebenarnya. Kawan Abang Long yang rekomen dia untuk ambil gambar-gambar kahwin tu. Satu hari tu beberapa minggu lepas majlis tu, kawannAbang Long tu pergi rumah dia, nampak gambar Ain yang besar dia tampal kat dinding. Kawan abang tahu la tu gambar Ain, adik Abang Long. So dia tanya kenapa letak situ. Kat rumah dia tau! Kalau tayang kat studio ke, kedai gambar ke, tak la pelik sangat. Kalau la Abang Long yang pergi masa tu, terlepas jugak kut dulu dua tiga biji penumbuk sebelum tau cerita sebenar.”

Isy, sempat lagi tu. “Cerita sebenarnya apa?”

Abang Long sengih. “Mula-mula tu dia jawab sebab Ain fotogenik sangat-sangat, kira yang paling fotogenik yang dia pernah jumpa la. Kira apabila dia tengok gambar Ain, dapat inspirasi la.”

Uish, meremang rasa bulu roma. Fotogenik? Aku? Okey, kensel kerja jadi ahli farmasi, esok jugak aku audition jadi model. Huh Ain, nak merasa ke dua tiga biji penumbuk abang tu?

“Lepas tu?”

“Lepas tu, kawan Abang Long ni, bertuah punya mamat, dia tak puas hati. Dia korek jugak-jugak.” Abang Long terhenti, tunduk menghirup Milo aisnya, lama.

“Korek apa?” Ain dah tak sabar.

Abang Long terus menghirup Milo. “Abang Long!”

“Iye! Apa?” Abang Long buat muka tak bersalah.

“Kawan Abang Long korek apa?”

“Korek rahsia la, takkan korek hidung kut.” Abang Long dah melawak.

“Ei, Abang Long ni!” Lengan Abang Long dicubit. “Betul-betul la.”

Abang Long tergelak. “Okey, okey, abang sambung. Dahaga la bercerita dengan Ain ni.”

Ain menjulingkan mata ke siling dapur.

“Lepas tu, dia cakap la dia dah suka kat Ain.”

Nasib baik bukan dia yang tengah menghirup Milo. Kalau tak, memang ada muka yang free kena sembur. “What?”

“You heard me.”

“Suka Ain? Macam tu je?” Unbelievable. Dia menelan air liur, terasa cuak tiba-tiba.

Abang angguk. “Kalau nak guna istilah yang dia guna, dia kata dia jatuh cinta pandang pertama.”

Air liur yang ditelan tadi terasa nak terhambur keluar. Tak memerlukan Milo pun untuk disemburkan.

Jatuh cinta pandang pertama? Wujudkah benda seumpama itu di muka bumi ni?

“Abang Long, jangan la nak melawak dengan

Ain. Betul-betul la.” Muka dah terasa tebal semacam.

“Bila pulak Abang Long buat kelakar?”

“Mana ada orang cakap macam tu zaman sekarang ni. Cinta pandang pertama konon! Ingat ni Disney movie ke?” Dia dah tergelak kecil.

“Tak tau la Disney movie ke apa. Tapi, itu la yang dia bagi tau kawan Abang Long, dan itu la yang kawan Abang Long bagi tau Abang Long. Honest.”

“Dan benda ni jadi dua tahun lepas?”

“Yup.”

“Kenapa sekarang baru dia nak kenal? Ha, masa tu dia dah ada awek eh, tapi sekarang dah clash, tiba-tiba terasa nak cari Ain balik, kan? Tak nak la macam tu, Abang Long. Ain tak nak jadi rebound girl.”

Abang Long dah berkerut dahi. “Amboi, jauhnya imaginasi. Lari langsung.”

“Dah tu? Kenapa lama sangat tunggu kalau dah cinta pandang pertama sangat?”

“Sebab abang confront dia masa tu.”

“What?” Sungguh la dia rasa kosa kata dia dah mengecil dan hanya tinggal satu perkataan tu aje dalam fikirannya sekarang.

Abang sengih jahat lagi. “Kawan Abang Long cerita dekat Abang Long straight away after dia balik dari rumah Si Danny ni. Weekend tu Abang Long pergi jumpa dia dengan kawan Abang Long, Si Haris tu.” Milo diteguk habis. “Abang Long tanya Danny betul-betul. Daripada cara dia jawab,

Abang Long memang rasa dia serius. Abang Long bagi tau dia, boleh kalau nak kenal dengan Ain, dengan satu syarat.”

“Wh… apa?” Eh, tukar bahasa Melayu la pulak, penat dah dukberwhat-what.

“Tunggu Ain habis belajar dulu.”

Diam. Ain tunduk. Aku habis belajar tahun lepas…

“Tapi Ain habis…”

“Tau.” Abang dah memotong dulu. “Tapi Ain jugak cerita, first yearkerja tension. Buat praktikal and such, banyak kerja dan masih dalam proses belajar lagi. Jadi abang bagi tau kat dia. Memang masa Ain konvo tu dia dah nak pergi jumpa Ain. Abang cakap dengan dia. Dia kena tunggu lagi setahun. Abang siap bagi pilihan pun kat dia sebenarnya, tak payah la nak tunggu kalau dah jumpa orang lain. But, he’s one heck of a firm, loyal guy. He said he wanted to wait, didn’t mind waiting, and he waited.”

Gila mamat ni. “Dia tunggu?”

“Yup.”

“Dua tahun? Tunggu Ain?” Walaupun tak kenal aku langsung-langsung… gila!

“Yup. Yup.”

“Dia tunggu?” Serius, aku masih lagi tak percaya.

“Iye.” Abang dah sengih. “Lepas ni bahasa apa pulak?Mandarin?”

“Ta deng wo?”

Pecah ketawa abang. “Okey, Abang Long kalah. Tak tau nak balas apa dalam bahasa Mandarin, but yes, he waited. Dia tunggu dan sekarang la masanya. Haris tu baik jugak dengan dia, so memang diakeep me up to date la tentang Danny ni. Memang dia bagi tau Abang Long, Danny tu baik orangnya, memang betul-betul dia tunggu, tak main-main dengan mana-mana perempuan pun. Dia memang betul-betul serius dan sebab tu la Abang Long decide dah cukup lama dah dia tunggu Ain.”

Ain hanya mampu ternganga, terkebil-kebil merenung Abang Long yang tersengih memandangnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185112/nyanyian-hati

[REVIEW] AKU BUKAN MISTRESS

AKU BUKAN MISTRESS Oleh Acik Lana

Mya Arlissa terperangkap dengan permainan dunia yang kejam. Dia tercampak ke dunia yang kelam dan gelap tanpa kerelaan hatinya. Tangan yang disangka boleh memimpinnya ke arah yang lebih lurus, rupanya tidak berbeza seperti lelaki lain yang hidup berajakan nafsu. Dirinya tergadai kepada Mikail, lelaki tampan yang kaya-raya dan menjadi buruan ramai wanita.


Ini kisah yang menarik perhatian admin sebaik sahaja membelek helaian pertama. Kelainan yang dibawa oleh penulisnya memang mengujakan. Malah jarang sebenarnya watak-watak utama yang mempunyai sisi hitam diterjemahkan dengan baik dalam sesebuah novel. Tajuk ABM sudah menggambarkan isi cerita novel ini. Jadi seeloknya novel ini dijauhkan daripada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Mya Arlissa punya nama indah yang tak seindah kisah hidupnya. Terperangkap dalam dunia kotor itu bukan kehendak hatinya tetapi apakan daya. Mujur ada sang penyelamat, si ‘hero’ yang muncul dalam kelam. Tetapi siapa sangka, Mikail sama saja seperti yang lain, hidup bertunjangkan nafsu dunia.

Hampir dua tahun bersama-sama Mikail, Mya mula menyedari sesuatu. Apatah lagi dengan kematian neneknya, umpama satu wake up call buat Mya. Sudah terlalu lama bertemankan dosa, apakah ada jalan pulang buatnya? Di saat ini, Mya mula berubah, menjauhkan diri daripada Mikail. Dia perlu mencari arah hidupnya kembali.

Namun bagi Mikail, bukan senang untuknya melepaskan Mya. Dia tak mahu teman lain selain Mia. Ego tingginya dibuang begitu saja bila Mya bertekad untuk pergi daripada dunia palsu mereka. Dia akur yang dia kini sudah jatuh cinta pada perempuan yang di’bela’nya. Pelbagai cara dilakukan untuk memenangi hati Mya semula.

Untuk membina kembali hubungan baru antara mereka bukan mudah. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang tiba-tiba hadir menuntut janji dan Suzanne yang menyakitkan hati benar-benar menyukarkan hidup Mya. Apatah lagi dengan penolakan Datin Adiba; ibu Mikail yang begitu membenci perempuan seperti Mya. Apa kesudahan kisah Mya dan Mikail? Berjayakah mereka membina semula hubungan yang direstui dan halal di sisi agama? Mari saksikan dalam kisah ABM ini.

Pujian memang harus diberikan pada Acik Lana kerana menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam kisahnya ini. Admin juga harus memuji cara penulis ‘memutihkan’ kembali watak Mya dan Mikail. Kredit kepada Kaki Novel juga kerana membawa variasi dalam novel-novel keluarannya, bukan lagi santai tetapi sudah ada novel yang disampaikan dalam nada berat dan dramatik.

Setiap manusia itu diberi pilihan. Memilih jalan putih atau kekal bergelumang dalam dosa. Dan bila saja pilihan dibuat, kita harus menempuh segala yang merintanginya. Suka dan duka itu rencahnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183588/aku-bukan-mistress

[SNEAK PEEK] NOTA: 3

NOTA: 3 Oleh Shaz Johar

Pagi itu aku dikejutkan dengan bunyi alat penggera di telefon dengan kuat. Tidak sangka aku terus terlelap sebaik saja habis berbual dengan Amri malam tadi. Kepenatan mungkin. Aku menilik jam di skrin. Hari pertama di New Delhi dimulakan seawal jam 7 pagi. Aku harus berada di Room 7 – Rights Table dalam bangunan Pragati Maidan pada pukul 9 pagi nanti untuk pengenalan dan taklimat pendek daripada wakil penganjur sebelum perjumpaan dimulakan.

Aku tidak tahu di mana bangunan itu berada. Menurut peta di Google, lokasinya dengan hotel itu agak dekat tetapi aku tidak tahu bagaimana mahu ke sana dan berapa tambang teksi atau keretapi atau pengangkutan lain yang harus kubayar untuk sampai ke situ.

Tangan bijak mencapai alat kawalan jauh untuk menutup pendingin hawa. Selimut ditebarkan. Dengan berlenggeng aku berjalan menuju ke bilik air yang kecil. Pili dibuka dengan perlahan tetapi belum pun sempat aku mencuci muka, tiba-tiba aku teringat pesan Mama untuk menggunakan air botol mineral saja buat berkumur untuk menggosok gigi. Dia bimbang aku tertelan air yang tidak bersih. “Kita tak tahu berapa juta kuman yang ada dalam air pili itu,” katanya.

Aku setuju lalu dengan pantas aku mencapai air botol mineral yang disediakan oleh pihak hotel di tepi TV. Aku tidak mahu keracunan. Terlantar di hospital dengan tubuh yang lembik, muntah-muntah dan perut yang sakit bukanlah sesuatu yang aku tunggu-tunggu, lebih-lebih lagi terlantar di hospital di India. Di negara orang. Seorang diri tanpa teman. Dengan aku tidak tahu sama ada mereka mampu berbahasa Inggeris atau tidak. Aku pernah bekerja menjawab panggilan dulu, aku tahu telor pekat mereka berbahasa Inggeris bagaimana. Tidak.

Botol dibuka, selesai berkumur dan menggosok gigi, aku membuka pili shower untuk membersihkan diri. Suhunya dibetulkan. Tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.

Sepanjang mandi, aku hanya menutup mulut dengan ketat. Fikiran melintas dengan segala rancangan dokumentari yang pernah aku lihat di TV tentang India. Tentang bagaimana penduduknya yang padat, sungainya yang tercemar dan najis orang yang bersepah merata-rata. Kemudian, aku teringat pula dengan filem Slumdog Millionaire.

Ada adegan menunjukkan bagaimana budak miskin itu mengisikan air paip ke dalam botol mineral sebelum menutup botol itu dengan gam untuk diberikan kepada pelanggan di restoran. Bulu roma di tengkuk tiba-tiba tinggi meremang. Bagaimana jika hotel itu melakukan perkara yang sama?

Selesai mandi, aku bersiap-siap ke lobi untuk bersarapan. Buffetnya ringkas tetapi menarik. Ada dua-tiga jenis roti dan kuah sambal dan kari, nasi putih dan beriani serta beberapa jenis manisan. Ada juga disediakan buah-buahan, kentang goreng, hashbrown, telur hancur dan bijirin bagi mereka yang bercitarasa antarabangsa.

Aku elakkan untuk meminum jus epal dan oren, sebaliknya memilih chai panas. Aku bimbang jika air yang digunakan untuk membuat minuman itu tidak dimasak terlebih dahulu. Sedang menikmati juadah seorang diri, ada beberapa tetamu hotel yang lain, rata-ratanya mat saleh, datang memeriahkan suasana. Mereka berbual-bual dengan pekerja di situ, aku kira pengurus banquet, bertanyakan sesuatu dalam bahasa Inggeris. Aku tersenyum lebar.

Lelaki itu datang ke mejaku tidak lama kemudian. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Mehta sebelum bertanya jika ada apa-apa yang perlu dibantunya untuk menaik-taraf kualiti makanan di situ.

Aku hanya menggeleng sambil menaikkan ibu jari. “Perfect,” jawabku. Aku tidak berbohong, memang makanan di situ sedap, cuma aku berserah sajalah jika di dalam meeting nanti aku akan berkawan dengan tandas sepanjang masa.

“Do you know where Pragati Maidan is?” Tiba-tiba soalan itu terpacul.

“Pragedi Maydan?” soalnya semula.

“Yes.”

“Oh, it’s very near. You just go to the main road and straight ahead.”

“Ahh… walking distance?”

“Ya, ya, about 10 to 15 minutes walk,” jawabnya penuh yakin.

“Good.” Aku menaikkan ibu jari sekali lagi.

“Why you want to go there?”

“To the book fair.”

“I see.” Dia menggeleng. “Where you come from?”

“Malaysia.”

“Oh! Truly Asia!” balasnya dengan ketawa besar. Aku tidak tahu apa yang lucu.

“Of course. Have you been there?”

“Ya, long time ago. I have a family there. In Klang. Ah, Malaysia, truly Asia.” Dia mahu bercerita panjang lagi tetapi salah seorang pekerja di situ memanggilnya untuk masuk ke dapur.

Aku hanya mengangguk ketika dia meminta diri. Jam tangan sudah menunjukkan pukul 8:30 pagi. Beg disangkutkan ke bahu. Pinggan dan cawan aku biarkan saja di atas meja. 10 ke 15 minit berjalan kaki. Mudah. Kakiku panjang, mungkin aku boleh tiba lebih awal daripada itu. Cuaca gelap dan sejuk tetapi tidak sesejuk malam tadi. Langit nampak kusam. Aku harap tidak hujan. Malu juga jika aku basah kuyup di dalam meeting itu nanti.

Dengan menarik nafas panjang aku memulakan langkah.
Pragati Maidan aku datang.


Aku terlupa pula orang India memang suka berjalan. Sudah lebih 15 minit aku menapak tetapi bayangan bangunan yang mahu dituju itu masih tidak nampak di depan mata. Mungkin aku sudah tersilap jalan dan perlu berpatah semula tetapi aku perlu bertanya orang terlebih dahulu. Aku tidak mahu tersesat lagi.

Jalan raya pagi itu sangat sibuk. Kereta, motor, bas, lori, auto (sejenis pengangkutan awam seperti tuk-tuk di Thailand atau bajaj di Indonesia) berpusu-pusu, melekat di antara satu sama lain. Hon bingit berbunyi seolah-olah siapa yang paling kuat menekan, dia yang dapat berjalan dulu. Asap berkepul di udara, mujur cuacanya dingin, jika tidak, tentu seluruh tubuh sudah kotor berdebu dan ketiakku sudah berpeluh kepanasan.

Dari jauh aku perhatikan ada beberapa orang anggota polis atau mungkin pengawal keselamatan sedang berbual. Aku ingin melintas tetapi lampu isyarat tidak bertukar dan jika ia bertukar pun, tiada kenderaan yang akan berhenti. Aku lihat ada beberapa orang tempatan yang tidak mempedulikan kenderaan-kenderaan itu dan berjalan saja perlahan-lahan sambil mengangkat tangan mereka. Gila. Tak ubah seperti cubaan membunuh diri.

Aku tunggu sehingga kereta betul-betul tidak dapat bergerak sebelum berlari menyeberang. Setiba di simpang, aku terlihat ada papantanda tertulis Zoo di belah kanan dan Pragati Maidan terus ke hadapan. Aku tidak tahu mahu terus ke mana lagi, mustahil bangunan itu terlalu kecil untuk dilihat. Aku berlari mendapatkan pegawai polis atau pengawal keselamatan tadi.

“Excuse me, do you know where Pragati Maidan is?”

Dia menggeleng. Aku tidak tahu sama ada dia tidak tahu berbahasa Inggeris atau dia memang tidak tahu apa-apa. Lalu aku pasrah dan ikutkan saja kata hati untuk terus berjalan ke depan dan terjumpa dengan dua-tiga orang pegawai polis atau pengawal keselamatan lagi.

Aku ajukan soalan yang sama, mulanya mereka tidak tahu tetapi bila aku katakan “Book Fair” mereka mengangguk dan menyuruh aku berjalan kaki untuk 10 ke 15 minit lagi. Jam waktu itu sudah pun pukul 9 pagi. Aku bakal tiba lambat pada hari pertama perjumpaan bersama wakil-wakil penerbit buku yang lain. Aku harap aku tidak menconteng arang ke muka penerbit kesayanganku dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kali ini kata pegawai polis atau pengawal keselamatan itu betul. Memang aku hanya perlukan 10 ke 15 minit saja untuk tiba ke bangunan itu tetapi bangunan itu besar. Ada beberapa pintu masuk utama dan aku perlu ke Gate 1 di hujung sekali. Aku perlu berjalan untuk lima minit lagi sebelum tiba di depan pintu masuk yang masih tertutup.

Bangunan itu dibuka kepada umum pada pukul 10 pagi. Sesiapa yang telah mempunyai pas masuk boleh melepasi pondok pengawal dengan menunjukkan pas mereka saja. Apabila aku tanyakan kepada pengawal itu bagaimana untuk mendapatkan pas yang sama, dia hanya menggeleng.

Sekali lagi aku tidak tahu sama ada dia memang tidak tahu berbahasa Inggeris atau dia memang bodoh. Hati menyumpah-seranah. Mujur ada bangku di bawah pokok untuk aku lepaskan penat. Sebatang rokok dikeluarkan dari dalam beg. Aku tidak nampak sesiapapun yang merokok di situ tetapi aku tidak peduli.

Tidak berapa lama kemudian, makin ramai orang yang menunggu di luar bangunan itu. Ada seorang lelaki tempatan duduk di sebelah. Dia berbahasa Hindi mulanya, merungut sesuatu kepadaku tetapi apabila aku beritahu yang aku bukannya berasal dari negara itu, dia mula berbahasa Inggeris. Katanya, dia tidak mengerti mengapa kaunter tiket lambat dibuka kerana dia datang untuk membeli buku ke situ sebelum lebih ramai orang yang datang.

Aku pula beritahu tujuan aku datang ke situ untuk menghadirkan diri ke perjumpaan dengan wakil penerbit buku yang lain tetapi aku tidak dibenarkan masuk tanpa pas. Dia tersenyum lebar. Semua pas telah diberikan kepada semua yang mengambil bahagian semalam, sehari sebelum pesta buku itu bermula, katanya. Aku terangguk-angguk.

Kaunter tiket dibuka lima minit sebelum jam 10. Ada dua barisan, lelaki dan perempuan. Pertama kali di dalam hidup aku lihat jantina diasingkan untuk membeli tiket. Tiket berharga Rs50. Selesai urusan membeli, aku bergegas masuk dengan beg diperiksa dan berjalan terus ke Hall 12. Tidak sangka dalam kompleks itu sudah pun dipenuhi ramai orang. Lelaki itu mengajak untuk naik sama ke dalam van yang akan membawa pelawat ke seluruh kawasan di situ. Terlalu besar. Berganda-ganda luasnya daripada PWTC atau mana-mana pusat konvensyen yang pernah aku lihat atau pergi di Malaysia.

Sebaik saja masuk ke dalam van, aku menjeling ke luar. Tiba-tiba aku jadi kagum. Tidak sangka keadaannya begitu meriah. Setiap satu hall mengisikan puluhan nama penerbit yang terlibat sama. Ada juga papantanda yang menunjukkan peta untuk ke lokasi dan aturcara majlis yang akan diadakan. Aku tertarik dengan poster yang menayangkan featured books dan penulis yang terpacak di tepi-tepi jalan. Entah bila agaknya akan ada poster dengan wajahku yang terpampang sebesar itu.

“Hall 12,” kata lelaki itu apabila van yang kami naiki tiba di tempat yang dituju. Aku cepat-cepat membuka pintu untuk turun dan sebaik saja menjejakkan kaki ke tanah, mata bertentang dengan seorang perempuan jelita yang berdiri di depan. Dia tersenyum. “Excuse me,” katanya lembut sebelum masuk ke dalam van itu. Aku ke tepi sedikit untuk memberikan laluan kepada orang lain yang ingin masuk sama.

Fikiran yang awalnya agak lembab tiba-tiba ligat berputar. Aku kenal dengan perempuan itu. Kenal sangat-sangat. Kepala pantas dipalingkan ke belakang sebelum van itu bergerak tetapi wajahnya tidak dapat dilihat (dia duduk di sebelah tingkap yang lain) lalu aku berlari ke situ untuk memandangnya sekali lagi. Ya, benar. Aku kenal dengan perempuan itu. Rambutnya telah panjang dan ikal. Berwarna hitam pekat. Dia memakai cermin mata. Kepalanya tunduk sedang menatap telefon bimbit di tangan. Aku mengetuk tingkap van itu.

Dia terkejut.

“Dina!” jeritku.

Wajahnya berkerut.
Van itu kemudiannya pergi.


Tiada sepatah harampun kata-kata dari Jimmy, wakil penganjur Rights Table itu yang masuk ke dalam otak. Benakku masih terbayang-bayangkan wajah perempuan tadi. Aku yakin itu Dina. Walaupun dia sudah berambut panjang dan berkacamata, aku masih kenal dengan senyumannya dan gaya dia menunduk, memalingkan wajah, mengerutkan dahi dan duduk.

Segala-galanya sama seperti dulu. Cuma yang pelik, kenapa dia tidak langsung terkejut melihatku? Kenapa dia seolah-olah tidak mengenali aku siapa? Mustahil dia tidak kenal aku sebagaimana aku mengenali dirinya. Aku tahu itu dia. Itu Dina.

Mungkin dia hanya berpura-pura. Ya. Aku pasti dia berpura-pura. Kimk. Bagaimana dia boleh tercampak ke situ? Ke pesta buku itu? Ke New Delhi? Ke India? Apakah dia datang untuk melancong? Sendirian? Bersama Vin? Buah hatinya? Bagaimana dia boleh terlepas dari hukuman mati? Bukankah dia telah membunuh Iskandar? Rumi? SIALAN!

Aku mahu menghubungi Lisa dan Mama di Kuala Lumpur tetapi kredit telah habis dimakan, semalaman aku biarkan telefonku roaming tanpa sedar. Hati mula menggaru-garu. Resah.

Tidak sabar mahu mencari wi-fi. Apakah mereka ada menyediakan wi-fi percuma di situ? Atau di mana-mana yang aku boleh curi? Mata meliar mencari jika ada tanda Free Wi-Fi di mana-mana tetapi gagal. Cuak. Tisu diambil dari beg yang aku letak di bawah meja. Aku mahu mengesat muka yang kebasahan. Tangan mula menggeletar. Menggigil seperti penghidap Parkinson.

Dahi dan atas bibir berpeluh-peluh. Aku makin rasa tidak senang. Segala apa yang telah dia lakukan terhadapku dulu kembali bermain-main di dalam fikiran. Melekat, bergayut di situ, tidak mahu berganjak. Perut rasa memulas. Tidak. Aku yakin aku bukan keracunan makanan. Aku cuma takut.

“Excuse me?”

Tiba-tiba aku ditegur seseorang ketika baru saja mahu berdiri untuk ke tandas. Aku memandang wajah lelaki itu tanpa berkelip. Dia kemas berpakaian siap suit dan tali leher, sedangkan aku hanya berkemeja lengan panjang dan berseluar jeans saja. Aku memandang ke sekeliling sekali lagi. Ya, semua yang ada di situ berpakaian cukup formal. Aku seorang saja yang sempoi. Cilaka.

“Yes?” soalku semula dengan tersenyum kelat.

Dia memperkenalkan diri sebelum menghulurkan kad perniagaannya. “Sorry, our appointment is at 2 actually but I need to go back to my office now. If you don’t mind, can we…”

“Sure,” jawabku tanpa berfikir panjang. Aku tidak mampu untuk berfikir apa-apapun. Aku tidak peduli siapa yang patut aku temui dulu sebenarnya.

Ah! Tuhan, tolonglah!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96084/nota-3

 

 

[SNEAK PEEK] NASI LEMAK IKAN PEKASAM

NASI LEMAK IKAN PEKASAM Oleh Ahmad Safarman

KISAH AIMAN membawa katak ke sekolah mendapat pelbagai reaksi cikgu-cikgu di situ. Ada yang khusyuk bercerita. Ada yang diam membisu. Ada yang memasang telinga saja. Bahkan ada yang sedikit pun tidak ambil tahu. Bagi mereka itu perkara biasa yang mereka jumpa. Ada lagi kisah murid yang lebih teruk daripada itu.

Mungkin sebagai cikgu baharu, Cikgu Ezudin menganggap itu adalah satu perkara luar daripada kebiasaan. Sebaliknya, guru-guru lain mengatakan itu perkara biasa. Tak ada apa yang istimewanya. Biasalah murid sekolah. Nakal dan degil ibarat isi dengan kuku.

Itu mereka tapi tidak bagi Cikgu Ezudin. Bahkan sebagai denda, dia telah menyuruh Aiman ketuk ketampi dan melompat macam katak. Bahkan di buku tulisan, mengarahkan menulis perkataan katak sebanyak dua muka surat. Itu sebagai pengajaran.

“Cikgu ni tak biasa dengan kehidupan kampung. Biasalah tu mereka membawa katak ke sekolah,” tegur Miss Marsha selaku guru Bahasa Inggeris berasal dari Sarawak itu.

“Tapi, apa mereka buat dengan katak itu?”

“Cikgu, tu perkara biasa saja kat sini. Tu belum tengok kes bawa lastik, batu, botol, biji getah, ikan pelaga, cicak ke sekolah.” Miss Marsha tersenyum.

“Cicak pun ada ke? Tapi apa mereka buat dengan semua tu? Apa mereka buat kat katak tu? Bukannya boleh makan.” Cikgu Ezudin bertanya bagaikan orang bodoh. Dia betul-betul tak tahu. Sukar menduga perangai anak muridnya.

Guru-guru lain seakan tergelak dengan jawapan itu. Sambil memeriksa buku, mereka tetap mencelah untuk menghangatkan perbualan. Menceritakan kepada cikgu baharu itu akan rentak dan langkah murid-murid di sekolah itu. Cikgu Ezudin masih lagi kebingungan.

“Tak apalah. Cikgu masuk kelas nanti, tanyalah. Apa mereka buat dekat katak tu? Apa mereka buat pada haiwan lain? Banyak kepentingan katak ni kepada murid sekolah. Bahkan ada yang tak boleh hidup tanpa benda-benda macam tu.” Miss Marsha memujuk lembut.

Sesekali dia berpaling ke arah cikgu-cikgu lain. Ada yang tertunduk. Ada yang tersengih. Ada yang tersenyum sinis.

“Nak buat eksperimen subjek Sains ke?” soal Cikgu Ezudin lagi.

“Hahaha!” Sekali lagi Cikgu Ezudin digelakkan oleh rata-rata guru. Ada yang menyampuk kuat. Ada yang tersenyum saja. Ada yang menggeleng kepala. Cikgu Ezudin merasakan dia dimalukan. Semakin ditanya semakin kuat gelak ketawa.

“Cikgu, masa saya mengajar di sekolah di Kapit satu ketika dulu macam-macam lagi berlaku.” Miss Marsha menyambung cerita. Mata guru-guru terarah kepada guru Kristian itu.

“Apa yang berlaku?” Cikgu Ezudin bertanya. Cikgu lain memasang telinga. Agak menarik bunyinya.

“Masa tu saya mengajar kat Kapit. Murid-murid begitu kampung dan jakun sekali. Rata-ratanya murid Kristian macam saya. Ada beberapa orang saja murid Melayu. Ketika itu pertengahan tahun persekolahan. Dan guru besar sedang menerima hadiah daripada murid-muridnya.”

“Hari Guru ke?”

“Ya cikgu. Ni kisah Hari Guru.”

“Wah, mesti hebat cerita kamu ni Marsha.” Guru yang lain bersuara.

Cikgu Ezudin memandang tepat ke arah guru yang masih bujang itu dan selalu disindir dengan gelaran andartu. Umur sudah mencecah 30 tahun, masih tak kahwin-kahwin lagi. Cantik memang cantik. Kulit putih gebu. Menunggu putera kayangan agaknya. Teringat dia akan bekas kekasihnya, Fatin di Kuala Lumpur.

“Salmi, anak kepada seorang pemilik kedai bunga memberi guru besar hadiah. Guru besar menggoyangkan kotak hadiah itu. Memegangnya di atas kepala, dan berkata, aku yakin aku tahu apa ini. Beberapa kuntum bunga? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? Salmi bertanya. Oh, hanya meneka, kata guru besar.

Murid berikutnya ialah anak perempuan kepada seorang pemilik kedai manisan. Guru besar memegang hadiah itu. Menggoyangkannya dan berkata, saya yakin saya boleh meneka apa ini. Sebuah kotak yang penuh berisi gula-gula? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? tanya murid itu. Oh, hanya meneka, kata guru besar. Guru besar itu mengucapkan terima kasih.

Hadiah berikutnya adalah daripada anak seorang pemilik kedai minuman keras. Guru memegang kotak hadiah itu, tapi kotak itu bocor. Dia menyentuh setitik kebocoran itu dengan jarinya dan menyentuh ke lidahnya.

Apakah anggur? Guru besar itu bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan gembira. Guru mengulanginya. Mengambil cairan daripada kotak yang bocor itu ke lidahnya. Apakah champagne? dia bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan lebih lebar senyumannya.

Guru besar merasai cecair itu lagi sebelum menyatakan, saya menyerah kalah. Apa di dalam bungkusan ini? Anak murid itu menjawab, itu anak anjing!”

“Hahahaha! Sangat kelakar la cerita kamu ni Miss Marsha.” Guru-guru di situ memuji cerita yang disampaikan itu. Cikgu Ezudin ketawa dengan kuatnya. Bilik guru menjadi kecoh seketika.

“Jadi guru besar itu sudah merasa air kencing anjinglah ya? Hahaha!” Cikgu Ezudin ketawa besar. Guru-guru lain menyambung ketawa.

“Tak sanggup! Tak sanggup!” Guru-guru perempuan bersuara dan menunjukkan reaksi muka masing-masing.

“Kalau terkena kat saya, mahu saya sembelih pelajar itu!” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan. Dia ketawa. Sekali-sekala dia membetulkan tali leher yang dipakai. Sedikit panas.

“Jadi, Cikgu Ezudin rasa cerita kamu dengan cerita saya mana lagi hebat? Setakat katak tu saya tak hairan.”

“Dengar tu apa Miss Marsha cakap tu, cikgu. Selaku orang berpengalaman. Banyak cerita. Belum ada yang bawa anjing lagi bagi hadiah kat cikgu kan? Saya harap lepas ni cikgu tak terima hadiah katak!” Ustaz Fakri yang diam dari tadi mencelah. Membuatkan suara ketawa lagi kuat bergema.

Cikgu Ezudin pura-pura ketawa. Tapi hatinya sedikit panas. Mungkin ini caranya kaedah buli yang digunakan oleh guru lama kepada guru baharu sepertinya.

“Cikgu teguhkanlah keperibadian anda. Setiap orang adalah berbeza. Anda merupakan sesuatu yang lain daripada yang lain.” Terdengar suara lembut bersuara. Cikgu Ezudin hanya memerhati tuan punya suara itu. Begitu cantik sekali.

“Tidak seorang pun yang menyerupai kita dalam catatan sejarah kehidupan ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan kita. Dan tidak akan pernah ada orang yang akan serupa dengan kita di kemudian hari. Jadi, kalau anak murid cikgu degil, terimalah keunikan dia.” Ustazah Humaira menyambung lagi. Dari tadi lagi dia asyik mendengar saja. Kali ini dia bersuara. Mungkin untuk memberi sedikit nasihat kepada Cikgu Ezudin.

“Betul cakap ustazah tu, cikgu. Jadi cikgu jangan melenting tak tentu fasal. Kalau cikgu tengah panas, cubalah minta hadis-hadis atau doa penenang hati daripada ustazah kita ni.” Ustaz Fakri mengusik. Cikgu Ezudin memerhati ke arah Ustazah Humaira yang memberikan sekuntum senyuman. Dia membalasnya. Guru-guru lain mula cuba mencipta gosip baharu.

“Kalau rapat dengan ustazah, suami dia tak marah ke?” jujur Cikgu Ezudin bertanya.

“Hahaha! Jangan risau, suami dia tak marah. Bahkan suami dia suka lagi.” Ustaz Fakri mengusik lagi membuatkan guru-guru sekali lagi ketawa besar.

“Lagi elok, kata suaminya.” Miss Marsha mencelah. Diikuti gelak ketawa. Cikgu Ezudin kebingungan.

“Saya masih cik la. Saya mana ada suami lagi.” Ustazah Humaira yang bertudung labuh berwarna merah jambu itu malu-malu. Merah juga muka Cikgu Ezudin dengan jawapan itu.

“Cikgu ni jangan tertekan sangat. Apa kata cikgu pergi jalan-jalan kat sini. Kat pekan Gerik ke?” Ustaz Fakri cuba lari daripada topik. Dia tidak mahu daripada gosip berlakunya fitnah. Daripada fitnah berlakunya pergaduhan.

“Oh, saya tak sempat lagi melawat kawasan di sini. Saya tak tahu lagi apa itu pekan Gerik. Menarikkah?”

“Menariklah cikgu. Kalah Kuala Lumpur. Kalah Dataran Merdeka.” Miss Marsha memberitahu.

“Ya ke? Tak apalah, nanti saya sendiri pergi tengok.”

“Cikgu, Gerik merupakan bandar yang terletak di tengah-tengah perjalanan dan kedudukannya amat strategik sama ada anda dari arah utara, timur, selatan atau barat Semenanjung Malaysia.” Ustaz Fakri cuba menerangkan dengan penuh semangat.

Bagaikan mengajar anak murid di dalam kelas. “Ustaz, kalau ikutkan, dulu saya pun tak tahu apa itu Gerik. Tapi selepas datang sini saya ada la baca sikit sejarahnya.”

“Apa yang cikgu tahu?”

“Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai, lalu meneroka hutan di kuala sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok ‘Ad,” terang Cikgu Ezudin.

“Betul tu cikgu. Ni mesti banyak membaca.”

“Saya buat sedikit pembacaan sebelum datang ke sini, ustaz.”

“Ceritalah lagi, cikgu.” Miss Marsha ingin tahu. “Tidak berapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tidak jauh dari situ ada perkampungan yang terletak di tengah-tengah hutan. Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang ganjil terbit dari perdu serumpun buluh.” Cikgu Ezudin menyambung lagi.

“Bunyi apa yang ganjil tu?” Ustazah Humaira yang berasal dari Kelantan juga turut bertanya. Topik berilmu seperti ini begitu menarik minatnya. Mana tahu dia boleh menceritakan kepada murid-murid nanti. Dalam masa yang sama juga dia ingin menambah ilmu.

“Kemudian baginda memerintahkan supaya dipagarkan keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orangnya menggali di situ untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu. Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan sedang mengerit umbi buluh. Oleh kerana umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang ganjil apabila digerit oleh dekan-dekan itu.”

“Oh, sebab itulah dia dipanggil Gerik? Tapi siapa yang menamakan tempat ini dengan nama tu?” tanya guru yang lain.

“Cikgu, Gerik ni sebenarnya Raja Reman telah menamakan sebagai Kampung Gerit. Sebutan ‘Gerit’ itu telah digunakan beberapa lama dan kemudiannya sebutan dan ejaannya diubah daripada ‘Gerit’ menjadi ‘Grik’, kemudian menjadi ‘Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.” Tambah Ustaz Fakri.

“Ustaz, dekan tu apa ek? Tak pernah dengar pun?” Ustazah Humaira bertanya lagi.

“Sejenis haiwan seakan-akan tikus. Sekarang masih boleh ditemui di Hutan Belum.” Ustaz Fakri cuba menerangkan. Biar semua tahu. Ilmu harus dikongsi. Sejarah harus dihayati. Dikenang sepanjang zaman buat generasi akan datang.

“Takutnya saya dengan tikus. Geli!” Miss Marsha mencebikkan mukanya.

“Sekarang Gerik telah membangun dengan pesat dan banyak kemudahan, bangunan-bangunan kedai, pusat membeli-belah, serta kawasan-kawasan perumahan baharu telah wujud. Gerik terletak di tengah-tengah lebuh raya yang menghubungkan Butterworth dan Kota Bharu.” Ustaz Fakri meneruskan penceritaan. Ternyata ramai lagi yang tidak tahu tentang sejarah Gerik. Orang Gerik sendiri pun tidak tahu apatah mereka yang duduk di luar.

“Macam tu ke ustaz? Wah, ada sejarah tersendiri Gerik ni. Satu ilmu yang saya dapat hari ini. Tapi ustaz, pernah tak Aiman bawa dekan ke sekolah?” Cikgu Ezudin bertanya. Nada suaranya kali ini lembut. Teratur sekali. Takut benar tersalah cakap. Takut dipersendakan kawan-kawan.

“Hahaha! Kamu ni. Aiman tu budak kampung. Budak hutan. Bukan setakat benda tu je dia bawa. Macam-macam lagilah. Pernah sekali dia bawa beruk ke sekolah.” Ustaz Fakri memulakan cerita.

“Beruk?” Cikgu Ezudin ternganga. Namun dia cepat-cepat menutup. Takut andai cikgu-cikgu lain perasan.

Ustaz Fakri mengiakan, “Ya, dia tambat di belakang sekolah. Apabila duduk dalam kelas dia akan jenguk-jenguk ke luar kelas. Dia tengok beruk dia sedang buat apa.”

“Macam-macam.” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan.

“Kalau cikgu nak tahu lagi tentang jalan di Gerik ni ataupun Tasik Banding, cikgu boleh tanya Ustazah Humaira. Dia setiap bulan balik ke Kelantan. Dia orang Kota Bharu. Orang Pasir Tumbuh. Nanti bolehlah ustazah tunjukkan jalan ke tasik tu. Nak balik ke rumah ustazah pun boleh,” usik Miss Marsha sambil memandang Ustazah Humaira. Ustazah Humaira hanya tersenyum menerima gurauan itu.

“Tasik Banding? Cantik ke?”

“Sebab tu la saya suruh cikgu pergi. Kalau cikgu tengok tasik tu sah-sah cikgu tak nak balik. Cantik dan mendamaikan.” Miss Marsha menerangkan lagi. Cikgu Ezudin terbayang-bayang akan keindahan Tasik Banding itu. Adakah secantik Tasik Titiwangsa atau Tasik Permaisuri? Suatu hari nanti dia mesti pergi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185111/nasi-lemak-ikan-pekasam

[SNEAK PEEK] FRATELLO

FRATELLO Oleh Khairul Aswad

“EDIKA, pelanggan meja tujuh. Macam biasa,” bisik Mael waktu dia lalu tepi aku.

Waktu tu aku tengah sibuk susun cawan dekat rak. Hati aku jadi tak tenteram tiba-tiba. Aku cuba usha tengok betul ke orang yang aku bayangkan ada dekat situ. Sebenarnya aku dah dapat agak, tapi manalah tahu Tuhan nak makbulkan doa aku yang aku minta tiap kali lepas solat. Tapi nampaknya, masih belum termakbul. Mungkin lambat lagi.

“Dia nak apa lagi?” Aku tak puas hati.

“Boleh kau tanya lagi? Engkau! Dia nak kau!” Mael tenyeh jari telunjuk dia dekat dada aku. Kemain lebar dia tersengih. Sumpah aku rasa nak tumbuk.

“Aku tak sukalah. Geli.”

“Geli ke, stim ke… kau kena pergi juga. Duit tu. Ingat sikit.”

Inilah yang aku tak berapa suka dengan Mael. Mamat ni pantang nampak duit. Kalau ada peluang yang boleh dapat duit, dia memang takkan lepaskan.

Dalam keterpaksaan, aku jalan malas-malas menuju ke meja tujuh tu. Daripada jauh aku dah nampak sanggul setinggi empat jengkal warna oren. Aku geleng. Tak berat ke?

“Ya, boleh saya bantu?” Tanyaku dengan senyuman hipokrit level 999.

“Hei, korang! Inilah dia yang I cakapkan tu. Tengok… sado, kan? Memang taste I dia ni.”

Aku ditarik rapat ke meja. Lenganku yang agak tertimbul urat tu diraba-raba dan ditayangkan pada kawan-kawannya yang lain. Aku masih maintain senyum walaupun rasa nak belasah je sorang-sorang. Perangai gersang semacam!

“Mana you jumpa dia ni Sally? Oh My Bata, hot sangat ni!” Wanita bersanggul dua jengkal tu pula bertanya.

“Mana lagi. Dekat sinilah,” jawab wanita yang bernama Sally tu.

Mengekek tiga orang wanita tu dengan sekuat hati. Dia orang ni tak peduli langsung dah pelanggan yang lain. Buat macam ni kedai dia orang sendiri. Lagi dia orang tak peduli bila jadikan aku macam bahan pameran seni. Sesuka hati nak sentuh aku sana sini. Aku nak marah, tapi customer is always right. Kan?

“So, cik semua nak apa?” Tak boleh jadi ni. Kalau aku lama-lama dekat sini, habis satu badan aku akan kena raba.

“Alah, relaxlah. Malam masih muda.”

Memang malam masih muda, tapi korang bertiga ni yang dah nak mereput! Si wanita nama Sally tadi masih berpaut pada lengan aku. Ya ALLAH, rimasnya!

“Kalau you dah tak sabar, jomlah ikut kitaorang balik. Bukan ada sesiapa pun dekat rumah. You boleh pilih rumah mana satu yang you nak. All available.” Sally menyampuk.

“Nak kami bertiga dalam satu rumah pun boleh,” sambung wanita yang bersanggul dua tu.

Apa lagi. Bertambah teruk ngilaian tawa mereka bertiga. Kalau aku boleh smack down sorang-sorang, dah lama aku buat. Bising! Lagi pun, kalau yang offer aku ni Fazura ke, Nora Danish ke, mungkinlah setan dalam badan ni hampir berjaya goda aku. Tapi bila aku pandang geng sanggul depan mata ni, boleh mati pucuk dibuatnya.

“Tak apalah. Saya ada banyak kerja dekat belakang tu. Maybe next time?” Walaupun aku tak suka, aku tak boleh juga nak pamerkan direct to the point. Ah, susahnya buat bisnes ni!

“I tak nak next time. Dah lama I tunggu you tau?” Sally merengek lagi, cuba menjadi manja. Aku rasa macam nak menangis.

“Kata orang, makin lama kita tunggu, akan jadi makin bermakna.”

“Maksudnya?” tanya si sanggul tiga jengkal yang bersuara buat kali pertama.

“Kenalah fikir sendiri.” Jawabku sambil kenyit mata.

“Awww….”

Ketiga-tiga wanita sanggul itu sudah mula meroyan. Waktu tu aku dah menyesal gila sebab kenyit mata. Kenapa aku boleh buat macam tu? Arghh… tak pasal-pasal!

Aku menjengah kepala ke belakang. Aku cari kelibat Mael. Aku dah cakap awal-awal dekat dia. Lepas lima minit, dia kena buat-buat panggil aku ke dapur. Tapi ni dah dekat tujuh minit aku jadi mangsa. Tahu tak dua minit extra tu ibarat satu azab seksaan untuk aku?

“Excuse me, but I really have to go.” Aku cuba minta diri.

“Sorry boy. But you need to entertain us. We are your customers. Am I right?” Sally memperkuatkan lagi pegangan di lenganku. Mak cik ni ahli gusti lengan ke?

“I really need to go. Urgent!” Aku tiba-tiba dapat satu idea. Aku buat-buat meloncat macam nak menari.

“Hei, Sally! Dia nak shi shi tu…” Si sanggul tiga jengkal tu juga yang faham signal yang aku bagi.
“Oh, sorry. You pergilah dulu. Nanti banjir pula dekat sini.” Sally akhirnya melepaskan lenganku. Waktu tu aku terasa macam baru keluar daripada gua yang sangat gelap. Dapat juga lihat cahaya. Terasa macam nak sujud syukur!

Aku cepat-cepat meluru masuk ke dapur. Batang hidung Mael aku cari. Celaka betul mamat ni. Mana pula dia menyorok? Kau dah senang-senang campak aku dalam kandang rimau, kau ingat kau boleh lari?

“Hah, amacam Dika? Syok?” Mael menahan tawa.

Entah daripada mana Mael ni muncul. Tiba-tiba je.

“Cuba kau bayangkan mak cik kau sendiri yang dok raba­raba kau. Agak-agak syok tak?” tanyaku bengang.

Mael hanya diam. Aku tengok dahinya berkerut-kerut. Kemudian dia mencebik. Hah, baru kau tahu kesengsaraan aku.

“So?” tanyaku sinis.

“Tapi, duit tu! Kau tahu kan dia orang tu antara pelanggan yang paling banyak menyumbang dekat sini. Kalau ikut peratus, adalah dalam 35% daripada total sales. Dia orang saja tau!” Bersemangat Mael terangkan dekat aku. Dia tak peduli ke kesengsaraan yang aku rasa tadi?

“Antara 35% sales dengan teruna aku, mana kau pilih?” Aku bagi kata dua pada Mael. Geram pula bila dia buat tak kisah dengan apa yang dah jadi pada aku.

“Sales la kot?” Jawabnya tanpa perlu fikir panjang.

“Bodoh kau Mael!”

Mael ketawa kuat. Mujur dapur kami letaknya agak jauh daripada meja pelanggan. Lagi pun dah nak dekat pukul sembilan malam. Pelanggan tak ramai mana pun. Cuma langau tiga ekor tu je yang tak faham-faham bahasa. Masih nak bersarang dekat meja tujuh tu.

Malas aku nak layan Mael yang gila duit tu, aku terus tuju ke bilik persalinan untuk tukar baju. Aku tak boleh balik lambat. Nanti mulalah mak aku membebel. Lagipun aku memang kena balik awal hari ni. Ada satu azab lain menanti dekat rumah.

“Kau dah nak balik dah ke?” tanya Mael sambil dia kemas­kemas peralatan dapur.

“Haah. Hari ni kena balik awal. Aku dah bagitahu semalam kan. Adik aku ada dekat rumah,” jawabku malas-malas.

“Adik kau dah balik? Wah, syoklah kau.”

Aku pandang Mael. “Syok?”

“Yalah. Setelah sekian lama kau tak jumpa adik kau tu. Bertambah meriahlah rumah kau nanti.” Mael ketawa lagi.

Mamat ni memang sengaja cari pasal. Kau sabar Mael. Suatu hari nanti siap aku kenakan kau.

“Pelik aku kenapa kau layan adik kau macam tu. Aku tengok baik je.”

Aku rasa macam Mael tengah buat lawak. Adik aku baik?

“Kesian pula aku tengok dia kadang-kadang. Kau sebagai abang, kau kenalah layan adik kau tu elok sikit. Kalau dia merajuk nanti macam mana. Lagi susah kau nak pujuk. Perempuan ni jangan main-main, Dika. Dia orang ni makhluk yang kompleks!”

“Sebab aku abanglah aku layan dia macam tu.” Jawabku pendek.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/200938/fratello

[SNEAK PEEK] GADIS BERTUDUNG MERAH

GADIS BERTUDUNG MERAH Oleh Jill Naura

DIA DUDUK di situ sendirian, tanpa mahukan teman. Buat pertama kali dalam hikayat hidupnya, dia seronok tidak berteman. Terasa tenang tanpa gangguan sesiapa. Komputer riba yang terletak kemas di dada meja di hadapannya ditenung kosong. Nafsu untuk melangsaikan tugas kerja bagaikan mati tidak bernyawa. Dirinya juga bingung. Sedangkan deadline kian hampir.

“Kau termenung kenapa?” sapa Joey dengan satu tepukan lembut di bahunya. Segera dia tersentak. Terkebil-kebil dia melihat kawan karibnya itu yang tiba-tiba muncul di hadapannya tanpa sebaris ucapan salam.

“Aku menung tunggu kau la,” jawab Idzrie spontan. Komputer ribanya segera ditutup dan pelayan kafe yang dia kenal sebagai Jack dipanggil. Pesanan minuman diambil sebelum memulakan bicara antara mereka.

“Lama tak jumpa kau. Apa khabar kau sekarang?” soal Joey setelah selesa melabuhkan punggungnya di hadapan tempat duduk Idzrie.

“Aku sihat. Steady je macam dulu,” jawab Idzrie ringkas.

“Punyalah kita lama tak berjumpa, khabar kau sihat je?”

“Kau tak suka aku sihat? Aku taulah aku tak sihat macam kau.” Kali ini Idzrie pula bergurau. Kalimah itu diluahkan dengan mata memandang tubuh Joey yang kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Joey hanya tersengih sumbing.

“Orang gembira memang macam ni,” luah Joey yang masih belum lekang dengan senyuman. Hatinya yang berbunga terpancar di wajahnya yang berseri-seri.

Dalam waktu yang sama, dia menghulurkan satu sampul kepada Idzrie. Idzrie senyum. Dia tahu apa yang berada di dalam sampul itu. Pun begitu, sampul itu tetap dibuka dan kandungannya dibaca.

“Tahniah. Nak kahwin dah kawan aku sorang ni,” ucap Idzrie. Satu tepukan mesra hinggap di lengan Joey. Dia sendiri bagaikan tidak percaya hari yang pernah mereka bincang sewaktu belajar dulu tiba untuk Joey dahulu. Joey tersipu-sipu.

“Kau bila lagi?”

“Aku lambat lagi. Relaks dulu,” jelas Idzrie selamba. Minuman coklat panas yang dipesannya tadi dikacau-kacau tanpa tujuan, cuba menyorokkan hakikat yang terbuku dalam hati.

“Kau dengan Mona macam mana?” Dengan sengaja soalan itu diluahkan daripada mulut Joey. Ingin benar dia mengetahui perkembangan terkini tentang diri Idzrie.

“Aku dengan dia dah habis.” Tenang sahaja ayat itu dimuntahkan. Tak ada walau sekelumit pun rasa hiba terselit di suaranya.

“Kau buat perangai ke dia buat perangai?” Joey ingin merisik punca.
Idzrie membisu tanpa sebarang kata. Matanya tajam merenung pemandangan di luar kafe. Dia bagaikan terpukau pada sesuatu.

Joey mengalihkan pandangannya ke arah yang sama. Namun, dia belum pasti arah tujunya. Terlalu banyak perkara yang boleh diperhatikan. Joey akhirnya melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Idzrie untuk mendapatkan kembali perhatian rakannya itu.

“Kau tengok apa?” Joey aneh akan sikap Idzrie yang serba tidak kena. Sejak tadi Joey merenung raut wajah Idzrie yang keruh tidak bermaya. Sensitif sangatkah soalan aku tadi tu? Sampai dia ni mengelamun tak menentu? Persoalan itu hanya mampu bermain dalam minda Joey sahaja.

Idzrie mengerling seketika ke arah Joey sebelum kembali memandang ke luar. Kerlingan itu sekadar isyarat dia mendengar setiap bibit perkataan yang diluahkan Joey. “Aku tengok perempuan tu,” jawab Idzrie tanpa menudingkan jarinya. Hanya lirikan matanya menjadi pembayang kepada teka-teki yang masih belum terjawab pada Joey.

Joey mengerutkan kening tanda hairan namun tetap juga dia menoleh untuk melihat.

“Yang bertudung lilit warna merah tu.” Idzrie membisikkan pembayang kedua.

Pantas pandangan milik Joey menangkap kelibat yang dimaksudkan itu. Dia meneliti gadis kemas bertudung merah itu. Tidak dinafikan, dia turut terpegun dengan gadis tersebut. Bahasa tubuhnya menggambarkan dia seorang gadis yang tegas tetapi ada lembutnya. Blaus berwarna putih bercorak geometri kemerahan dan skirt labuh berona hitam yang dipadankan tampak anggun dengan kaki yang beralaskan kasut but platform sederhana tinggi. Selesai menelaah penampilan, Joey beralih pula pada wajah gadis yang berdiri di hadapan butik pakaian Muslimah yang bertentangan dengan kafe itu.

Wajah gadis itu memang tidak kurang cantiknya. Joey meneka gadis itu kacukan Cina kerana sepasang matanya yang kecil itu tidak sepet. Anak matanya pula besar seperti anak patung. Dengan bibir yang mongel dan kulit yang putih gebu, dia memiliki wajah persis pelakon Korea. Tapi, raut wajah itu kelihatan seperti biasa dilihatnya. Apabila memori tentang gadis tinggi lampai itu mula menyapa, dia ternganga sendiri. Idzrie yang masih khusyuk memerhatikan gadis itu dilihat dengan ekor matanya.

“Kau minat budak tadi tu eh?” Joey bertanya setelah gadis itu berlalu.
Idzrie tersipu-sipu mengangguk.

“Sejak bila?” Joey bertanya lagi. Dirinya dibaluti perasaan ingin tahu.

“Sejak setahun yang lalu,” luah Idzrie selamba. Hakikatnya, dia cuba menyembunyikan perasaan yang bergelojak dalam jiwanya. Rasa teruja apabila dapat menceritakan perasaannya terhadap seseorang kepada orang lain setelah lama perasaan itu dipendam.

“Setahun???” Joey terkejut beruk. Matanya terbeliak kurang percaya akan fakta yang dijelaskan oleh Idzrie. Sahabatnya yang dikategorikan sebagai hunk itu selalunya jaguh dalam perihal memikat wanita. Manakan tidak, dia memiliki paras rupa yang menawan; bersama sepasang anak mata yang bundar dan hidung mancung dengan kulit yang cerah bercahaya. Sekujur tubuh yang tegap dan tinggi menambahkan lagi ciri-ciri kelakian anak kelahiran Melaka itu. Dengan ciri-ciri fizikal sebegitu, siapa yang boleh menafikan kemampuannya untuk mencairkan hati kaum Hawa.

“Who are you? What did you do to my bestfriend?” soal Joey. Jelas dalam nada suaranya dia sukar mempercayai kenyataan yang diluahkan oleh salah seorang insan yang paling dia percayai dalam hidupnya.

Idzrie ketawa kecil. Dia sudah menyangka reaksi sebegitu akan dia terima.

“Kau putus dengan Mona sebab dia ke? Kalau ya, kau memang gila. Kalau kau dah dapat dia lainlah cerita walaupun kalau kau buat macam tu kau memang teruk!” omel Joey lebih pada dirinya sendiri. Idzrie mengerutkan keningnya. Sepatah pun dia tak faham kata-kata Joey. Ayat tunggang terbalik!

“Kau membebel apa? Aku dengan Mona putus dengan aman la. Aku tak menduakan dia, dia pun tak menduakan aku. Dia putus dengan aku sebab dia setuju dengan lelaki pilihan keluarga dia,” terang Idzrie cuba membuang sangkaan buruk Joey.

“Kau tak sedih?” Bebola mata Joey merenung tajam mata Idzrie cuba mencari bibit-bibit kedukaan yang mungkin sedang disorokkan oleh rakannya itu. “Sedih tapi tak la frust menonggeng. Kalau dia tak minta putus pun, mungkin esok lusa aku yang akan minta putus dengan dia. Sebab hati aku dah dicuri orang lain. Time aku tengah cari kekuatan untuk putus dengan dia, dia yang minta putus dengan aku dulu. So, kira okeylah. Dia tak perlu tahu perasaan aku padanya dah hilang.” Panjang lebar Idzrie berhujah.

“Habis yang kau masih berseorangan di sini setelah hatimu dicuri sang puteri rembulan bertudung merah tu kenapa? Kau nak Mona ingat kau frust menonggeng ke?” bebel Joey dengan kata-kata pujangga yang mengusik hati Idzrie. Dia hanya mampu mengulum senyuman.

“Usyarlah dia! Kau kan hero bab pikat-memikat orang ni.” Dalam sindiran, Joey seolah-olah mendesak. Senyuman yang sedari tadi telah sedia terukir di bibir Idzrie kini menampakkan pula sebaris giginya yang putih bak mutiara.

“That’s the problem. I don’t know why I can’t find even the slightest courage to try and get closer to her,”ulas Idzrie dengan ton merendah diri. Terasa lebih rendah dia apabila meluahkan kata-kata itu sebagai seorang lelaki. Mujur yang mendengar seorang yang amat memahami dirinya. Taklah jauh sangat jatuh martabat tu! Tetapi benar, dia terasa dirinya tidak layak berdampingan dengan gadis bertudung merah itu. Alasannya? Masih kabur….

“Ooo… no courage? I’ll give you a hint of courage.” Joey merenung dalam-dalam mata Idzrie.

Idzrie menelan air liur. Entah kenapa dia terasa khuatir untuk melakukan cadangan yang diusulkan oleh Joey. Kelakiannya sudah menerawang entah ke mana. Dia sendiri terasa pelik. Selalunya dia tak macam ni.

“Aku kenal perempuan tu…” kata Joey yang duduk berhadapan dengannya itu.

Kecut perut Idzrie mendengar kenyataan itu. Kenal? Biar benar? Persoalan itu dibiarkan sahaja bermain di minda. Tidak diluahkan seuntai kata kerana dia tahu ayat Joey itu masih tergantung.
“… dan kau pun kenal dia.”

Terbeliak biji mata Idzrie cuba memahami kenyataan itu. Betulkah? Lidahnya kelu. Matanya yang terbeliak masih merenung kosong wajah Joey seolah-olah meminta penjelasan yang lebih mendalam.
“Daripada reaksi kau, aku rasa kau memang tak ingat kat dia. Atau dalam waktu kita dah lama tak berjumpa ni kau hilang ingatan?” sindir Joey.

Idzrie menggeleng. Tak membantu langsung Joey ni. Dah aku tak ingat tolong la ingatkan. Ke situ pulak dia.

“Siapa minah tu? Macam mana kau kenal dia?” Idzrie berusaha mencungkil kisah.

“Dia classmate kita waktu degree dulu. Namanya Marliya. Ingat tak?”

Nama yang disebutkan itu bunyinya tidak asing pada Idzrie. Satu per satu wajah pelajar perempuan yang sekelas dengannya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik diimbas dalam memori namun nama Marliya tidak dapat diletakkan pada wajah yang diingatnya. Ada antara pelajar-pelajar itu yang dia ingat nama, tapi tak ingat rupa. Ada yang dia ingat rupa, tak ingat nama. Sememangnya ingatannya terhadap Marliya telah pun kabur setelah berapa lama mereka tidak ketemu atau berhubung.

“She does look kind of familiar. Tapi, aku tak berapa ingat. Balik kang aku refreshlah balik.” Ujar Idzrie ringkas.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185105/gadis-bertudung-merah