DELIMa, laman pendidikan digital baharu MoE, mendiskriminasi kandungan tempatan

DELIMA, laman pendidikan digital baharu MoE, mendiskriminasi kandungan tempatan, kata teknopreneur tempatan

 

Baru- baru ini KPM telah menlancarkan Digital Education Learning Initiatives Malaysia (DELIMa).  Ia merupakan sebuah laman pembelajaran digital yang membekalkan servis dan aplikasi pembekal luar seperti Google, Microsoft dan Apple secara percuma.

Ini maklum balas Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, Faiz Al Shahab mengenai perkara ini yang dikatakan telah mendiskriminasi kandungan tempatan. Beliau juga telah menyuarakan perkara ini kepada KPM bersama surat di bawah.

 

YBRS. DR. HABIBAH BINTI ABDUL RAHIM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
PEJABAT KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)
ARAS 8 BLOK E8

KOMPLEKS E, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA                                                                                       17 JUN 2020

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

YBrs. Dr. Habibah yang budiman,LAMAN SESAWANG DIGITAL EDUCATION LEARNING INITIATIVE MALAYSIA (DELIMA) MENDISKRIMINASI TEKNOLOGI DAN KANDUNGAN DIGITAL TEMPATAN

 

Merujuk perkara diatas, saya bagi pihak syarikat, sedar akan niat murni Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendemokrasikan sumber pendidikan digital. Namun pada masa yang sama, kami berpendapat bahawa pegawai-pegawai dalam KPM secara sistematik, mendiskriminasikan teknologi dan kandungan digital tempatan.

 Pada konteks makroekonomi Negara, bagaimanakah ianya demokrasi jika kita menindas diri kita sendiri?

Saya merujuk kepada laman sesawang DELIMA, yang baru dilancarkan, dan melihat bahawa semua inisiatif aplikasi dan kandungan digital tempatan telah diketepikan.

KPM dengan bangganya mengagong-agongkan teknologi dan aplikasi luar negara, dan berusaha sedaya upaya untuk menenggelamkan segala inisiatif tempatan yang maju.

YBrs. Dr. Habibah,

Untuk pengetahuan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah pun memulakan inisiatif perpustakaan digital sejak 2013, dan telah menggabungkan beberapa pelantar sumber digital dibawah payung u-Pustaka (jawapan PNM untuk mendemokrasikan sumber digital), dan perkhidmatan kami berjenama ELIB, menjadi pelantar sumber pinjaman e-Buku yang membawa variasi judul-judul tempatan.

ELIB secara statistiknya menyumbangkan lebih daripada 250ribu patron untuk u-Pustaka, dan untuk tahun 2020 sehingga 31 Mei sahaja, ELIB telah membawa lebih daripada 136 ribu pinjaman e-Buku, lebih daripada 1.2 juta hits trafik, dan lebih daripada 2 juta paparan halaman untuk u-Pustaka. Tidak dapat dinafikan bahawa ELIB adalah perkhidmatan paling popular dalam u-Pustaka, dan sudah tentu jauh meninggalkan Overdrive dari segi kepenggunaan.

Izinkan saya tambah sedikit lagi data, iaitu pecahan genre pinjaman. Mengikut dapatan statistik juga, 81% daripada pinjaman di ELIB adalah daripada semua jenis kategori dalam Bahasa Malaysia, manakala koleksi New York Times Bestseller memberi sumbangan sebanyak 12% daripada pinjaman, dan 7% lagi terdiri daripada kategori-kategori Bahasa Cina dan juga Bahasa Inggeris daripada terbitan tempatan. Ini adalah bukan sebuah fenomena, ianya berlaku kerana majoriti rakyat Malaysia kini lebih selesa dengan berbahasa Melayu, disebabkan oleh polisi menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantaran dalam sekolah sejak 1976, sebuah polisi KPM sendiri.

Dr. Habibah yang saya hormati,

Jadinya soalan besar disini adalah mengapa dalam laman sesawang DELIMA, jika ikhlas, pautan pusat sumber bukan sahaja mengabaikan ELIB, malah juga mengabaikan laman web u-Pustaka (yang lebih rasmi), dan mengutamakan pautan Overdrive, yang merupakan sumber e-Buku daripada Amerika Syarikat dalam u-Pustaka?

Saya lihat juga tiada sebarang kandungan atau pun aplikasi daripada pemain tempatan yang lain, kerana jika perkhidmatan percuma yang menjadi pilihan, wujud juga koleksi video Edunation dan juga KPM eTextbook Reader, iaitu kepunyaan Perbadanan Kota Buku, agensi KPM sendiri, yang juga telah diketepikan. Ini semua adalah pemain-pemain lama dan matang dengan solusi yang maju untuk pendidikan di Malaysia, dan KPM tidak boleh memberi alasan tidak tahu. 

Apakah harapan untuk pemain industri tempatan jika sikap pegawai-pegawai dalam KPM adalah begini?

Pegawai-pegawai tidak membawa bincang secara telus sebarang rancangan dengan pemegang taruh tempatan, lagi-lagi yang kecil, hanya mengambil kira pandangan juru jual teknologi Barat atau paling hampir pun syarikat Telko tempatan sahaja.

Setelah melawat pameran pendidikan digital di luar Negara, pegawai-pegawai yang bergesel bahu dengan pembangun teknologi Barat ini merasakan mereka adalah pakar dalam bidang pendidikan digital, walaupun tidak melalui sebarang pengalaman pembangunan teknologi (ada perbezaan ketara antara membaca teori dan melaksanakan sesuatu untuk kegunaan kehidupan).

Sikap KPM adalah seperti orang kampung yang malu dengan orang kampungnya sendiri.

Saya faham bahawa alasan yang akan diberikan adalah tidak cukup masa untuk melibatkan semua pautan, namun sikap untuk hand pick Overdrive sebagai pautan menunjukkan sentimen pegawai-pegawai KPM yang hadap dengan produk Barat dan memandang rendah terhadap inisiatif tempatan.

Mengapa saya rasa amat kecewa adalah pada masa yang sama, wang Negara dicurah untuk syarikat-syarikat pemula tempatan memperkenalkan teknologi dan ekosistem baharu, supaya penjanaan ekonomi menuju revolusi industri 4.0 dapat diusahakan. Dana dan geran diberikan, tumpuan dan rangkaian dipupuk oleh agensi-agensi seperti MDEC, Cradle, Magic, MTDC dan yang lain, namun apabila tiba pada realiti, tiada sebarang sokongan yang diberikan oleh KPM dalam pelaksanaan atau pun perolehan teknologi tempatan.

Setiap negara maju mempunyai syarikat-syarikat teknologi yang mengetengahkan pengaruh dan mengumpul data untuk mereka membuat bekal menuju Revolusi Industri 4.0, kita pula di Malaysia dengan sewenang-wenangnya memberi data kepada teknologi luar supaya mereka dapat mencapai cita-cita mereka, meninggalkan kita sekadar pengguna bertauliah sahaja.

Sekali lagi ini jelas kelihatan apabila pautan moe-dl.edu.my adalah sekadar perkhidmatan ubah hala ke pelayan Google, supaya data setiap anak-anak kita disimpan oleh Google. Mudah dikatakan.

Namun sedekad dari sekarang, siapa yang perlu menjawab kepada anak-anak kita yang terasa diri mereka menjadi mangsa kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang bermula daripada dataraya teknologi luar yang dibenarkan bersekongkol dengan KPM? Sudah tentu pegawai-pegawai yang membuat tetapan ini sudah pun pencen dan tidak bertanggungjawab lagi terhadap keputusan ini. KPM membuat keputusan hari ini yang tidak melindungi kepentingan masa depan murid-murid. Jika pegawai-pegawai tidak mementingkan perihal murid-murid, perihal industri tempatan, untuk siapakah pula pegawai KPM memberi khidmat?

Saya berharap bahawa perkara ini dibawa bincang, dan KPM juga perlu memahami senario semasa di Malaysia dengan lebih mendekati pemaju-pemaju teknologi tempatan. Semoga perkara ini diambil berat untuk kepentingan Negara kita.

Terima kasih saya dahulukan.

 

Yang Benar,

Syed Faiz Al-Shahab
Pengarah Urusan

 

[SNEAK PEEK] DELIMA

9789670954691-medium
DELIMA Oleh Regina Ibrahim

 

Manusia berjanji meluah kata,
terlalu manis terlupa tuhan,
antara permata dengan permata,
Delima juga jadi pilihan.

Hujan, musim tengkujuh sekarang jadi tidak menentu dan sukar diramal, berterusan dari petang hinggalah ke malam. Jam menunjukkan tepat 9 malam. Ruby mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana. Dia malas menonton televisyen. Tidak ada apa yang menarik. Bolak-balik rancangan hiburan, lawak jenaka yang tidak lucu dan rancangan gosip palsu artis-artis yang hanya bertujuan mahu kekal di persada, disanggah pula dengan jawapan skema membosankan. Tidak menarik langsung atau hatinya yang resah tidak damai?

Sambil duduk di balkoni melihat langit kelam Kuala Lumpur dari apartmen mewah di Ampang, dia mengimbau kembali kenangan silam, bagaimana dia boleh hadir di kota besar ini. Kota yang tidak pernah kenal erti kasihan pada para penghuninya. Manusia KL masing-masing membawa haluan diri, dia juga mungkin termasuk antara satu dalam beribu-ribu manusia KL yang bersifat sama. Kota yang pantas, manusia yang bergerak semakin laju, menipu, ditipu menjadi hal yang biasa, diterjemahkan pula sebagai hidup yang progresif.

Kuala Lumpur membuatkan dia jadi lebih berani, orang di Kuala Lumpur juga yang mengajar dia jadi begitu. Kehidupan remaja di Pulau Pinang suatu ketika dulu, walaupun menggerunkan, tidak pernah sama dengan apa yang dia lalui di Kuala Lumpur. Kerjaya ini menuntut dia bertutur bahasa Inggeris dengan lancar. Kelas dialek Indonesia juga lancar begitu juga dengan kelas tatarias diri, dipendekkan cerita, dia sudah siap untuk menakluki Asia. Tidak pernah terlintas semuanya sebelum ini. Dia yatim-piatu dari desa. Anak orang Lahar Ikan Mati, Kepala Batas, Seberang Perai, nama sebenar tempat dia dilahirkan, namun sehingga kini apabila wartawan bertanya dia orang mana, dia tetap akan berkata, Pulau Pinang atau Penang seolah-olah dia anak orang kelas pertengahan yang dilahirkan di pulau.

“Ya, saya dilahirkan di Penang,” dia kerap secara selamba selesa menjawab.

Herannya wartawan Malaysia tidak bertanya banyak. Mereka juga sudah tentu tidak tahu tentang pergolakan hebat yang dilalui sekitar tahun 80-an di sana, hingga membawa diri ke Kuala Lumpur. Kalaulah mereka tahu semuanya, matilah dia dikerjakan mereka. Wartawan hiburan Malaysia mempunyai satu tabiat, menulis gosip sipi-sipi dengan memberi buah-buah yang mudah ditelah pembaca tentang artis, apabila tercium sifat buruk dan cerita artis Malaysia. Peminat bidang seni Malaysia pula jenis yang sukar untuk memaafkan sebarang kejadian tidak bermoral, akan diungkit sampai bila-bila. Syukur sehingga kini imejnya bersih di mata pendengar dan penonton. Ini merupakan satu hal yang amat Ruby syukuri.

Kalaulah mereka tahu bagaimana dia pernah tinggal di Georgetown dan pernah khilaf remaja, pasti satu Malaysia akan terlopong. Orang Malaysia semakin bermoral sekarang. Mempertikaikan cara hidup orang sudah menjadi agenda utama mereka, sampai terlupa pada cariknya kain sendiri. Kalaulah Amir Mirza, kekasih pertamanya tahu tentang Nur Nabilah, dia juga bakal susah. Manusia dalam banyak waktu seolah-olah ketagih dan lapar pada kisah-kisah sensasi manusia lain. Dia dan Amir bertemu di saat-saat awal membina kerjaya di Georgetown. Segalanya seolah berlaku begitu pantas. Amir, jejaka pertama yang berjaya memikat hatinya, juga guru pada keseronokan, leka, cemburu, kecewa dan luka. Ruby sewaktu bekerja di Yaohan Komtar menjual pakaian dan barangan lelaki, sering melihat jejaka berkulit putih berambut ikal itu datang dengan dua-tiga teman untuk membeli-belah, seperti biasa mengurat nakal, sambil membeli barangan. Perkenalan bermula dan entah bagaimana dia boleh menjadi rapat dengan Amir, dia sendiri tidak ada jawapan, gelojak remaja biasa agaknya. Ada semacam rasa apabila degupan hati wanita remajanya disahut lancar oleh Amir.

Amir yang bekerja sebagai bartender di sebuah kelab di Jalan Sultan Ahmad Shah, melayan Ruby dengan baik, sewaktu cuti hari Isnin Amir akan membawanya berkaraoke, makan-makan dan berhibur di bandar yang penuh dengan hiburan itu. Mesra, bahagia dan romantik hanya mereka berdua yang tahu di saat itu. Sungguh indah.
Amir jugalah orang yang bertanggungjawab mengajar dia berpakaian mengikut zaman. Dia tidak ralat mengeluarkan wang untuk Ruby, supaya kelihatan lebih canggih sebagai kekasih untuk bergandingan. Amir lelaki bercitarasa bagus, jadi sebagai pasangan Ruby mengikut saja. Sebelum ini tidak pernah dia terfikir tentang pakaian, apa saja yang sopan selesa dia akan pakai.

“Malu kalau orang nampak nanti, apa dia orang kata, girlfriend I nampak kampungan.”

Ruby menurut saja, lagipun dia tidak mempunyai masalah bentuk badan, dia bukan gemuk pendek, dia hitam, tapi bukan sebarang hitam, dia hitam manis. Berhidung mancung, anak mami kata ramai orang, padahal dia anak Melayu jati, menurut kakak sulungnya. Tiada siapapun baik dari pihak ayah dan ibunya berdarah kacukan. Dia dan Amir memang sepadan. Amir tinggi lampai, Ruby juga tinggi, 5 kaki 6 inci, dia tahu tapi tidak pernah mengukur, bagi perempuan Malaysia Ruby memang tinggi, silap-silap berdandan orang nanti fikir dia bapok, bapok yang jelita. Sewaktu berkawan dengan Amir dia kerap membelek majalah-majalah fesyen dari Barat dan berkhayal mahu memakai busana trendy.

Masih Ruby ingat antara helaian pakaian yang Amir beli untuknya, yang paling dia ingat adalah baju lycra hitam potongan Tarzan ketat sendat, dibeli di sebuah butik di Komtar.

“Ini satu saja ada… you bole pakai punia, you boli cantik!” kata amoi butik itu.

Ruby ambil saja, kerana yang membayar adalah Amir. Amir banyak duit, bartender-lah katakan. Sehingga kini dia tidak pernah bercerita pada sesiapapun kenapa, dia sering menolak memakai sebarang potongan fesyen yang sama dengan baju Tarzan itu. Kerap kali sewaktu sesi fotografi dia akan menolak, datanglah pereka busana manapun dia akan mengatakan dia tidak selesa. Sebenarnya potongan baju itu mengingatkan dia pada segala punca merana hidup di Georgetown.

Amir Mirza rupanya lelaki kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Tukarlah bagaimana sekalipun nama pakaian itu, “One shoulder dress?”, “Toga dress?” Ingatan kelat itu tidak akan pernah pupus. Itu juga baju kegemaran Amir, kerap kali apabila mahu keluar, itulah baju yang dia suruh Ruby pakai.

Dia masih bekerja di Yaohan, sewaktu Amir mencadangkan mereka pindah saja dan tinggal bersama di Tanjung Bungah. Jangan takut, pujuk Amir, kerana itu kawasan penempatan orang Cina, jadi tiada masalah tangkapan khalwat atau tangkap basah. Orang Cina jenis tidak peduli, asalkan masing-masing tidak membuat gangguan apabila berjiran. Apartmen 2 bilik itulah tempat mereka menjalinkan hubungan bagaikan orang yang telah bernikah. Satu bilik lagi disewakan pada kawan sekerja Amir, Balan namanya, yang bekerja sebagai penyelia kelab malam.

Ruby yatim-piatu sejak berusia 10 tahun, di Kepala Batas dia diuruskan oleh kakak sulungnya, yang berkahwin dengan pekerja Jabatan Tali Air, kakak sulungnya bukanlah orang yang senang-senang, jadi harapan untuk melanjutkan pelajaran adalah satu hal yang tidak mungkin. Malah kakaknya mungkin akan lebih gembira lega bila Ruby sudah mula berdikari. Ruby juga sedar, dia tidak berapa digemari kakaknya sendiri, semakin dia dewasa semakin kakaknya menjadi gusar, mungkin cemburu akan sifat abang iparnya yang bermata liar setiap kali melihat Ruby yang semakin mekar di tempat tinggal yang sempit di kampung. Bilik mandi satu, bilik tidur tidak berpintu lengkap menjadikan suasana agak sukar dan janggal bagi anak gadis yang sedang akil baligh.

Menjadikan Ruby tempat lepas geram di meja makan dan dapur adalah kegemaran si kakak. Dia cemburu apabila sang suami sering terlepas cakap memuji Ruby dan hati wanitanya menjadi panas dengan tanggungan yang jatuh ke tangan dia sejak kematian ibubapa mereka. Membesarkan Ruby mungkin beban besar selama ini. Atas dasar itu masing-masing memilih untuk hilang dari radar tanpa sebarang rasa rindu langsung setelah waktu jauh berlalu. Aneh, sampai hari ini tidak ada sebarang usaha dari kedua belah pihak untuk bertemu.

Sewaktu awal bekerja di Yaohan, Ruby tinggal bersama Rahimah, budak baik dari Baling, Kedah, bekerja sungguh-sungguh kerana mahu sambung belajar. Apabila pindah tinggal bersama Amir terpaksalah Rahimah tinggal sendirian kerana Kak Noor, yang juga menyewa flat kos rendah itu tinggal di bilik kedua, Kak Noor jarang ada di rumah kerana sibuk bekerja di sebuah hospital swasta, Rahimah agak kesal sebenarnya dengan tindakan Ruby, namun manusia apabila mabuk dilamun asmara, tidak guna dinasihati. Rahimah merelakan saja niat Ruby mahu pindah ke Tanjung Bungah. Ruby keluar dengan elok, dia sebenarnya merasa kasihan kerana harga bilik itu mulai bulan seterusnya akan ditanggung Rahimah secara penuh. Namun tiada pilihan, panggilan cinta indah sudah mengatasi segalanya. Perasaan cinta pertama ini sungguh indah, sukar untuk digambarkan. Siapa tahu, ini jodoh buat dirinya?

Sejujurnya setelah mengenali Amir, Ruby dan Rahimah jarang menghabiskan masa apabila cuti hari Isnin. Dia kerap keluar dengan Amir bersantai, menghadiri pesta anak-anak muda. Rahimah sekarang menaiki bas ekspres dari Butterworth dan pulang ke Baling bersendirian, tidak sama lagi seperti waktu dulu Ruby sering menemaninya pulang bercuti.

Apa yang seronok dengan Amir? Anak Melayu dari Perak yang merantau ke Pulau Pinang, berkulit putih kuning, bermata bundar persis anak campuran mat salleh, tapi bila ditanya mengatakan dia anak orang Melayu jati, heran juga Ruby. Amir bagi Ruby ketika itu, adalah seorang yang ‘cool’, dia punya aura yang memikat dan tidak sejengkel jejaka Melayu lain yang pernah Ruby kenali. Gaya keseluruhan berbeza yang amat memikat dan pasti ada harapan dalam perhubungan mereka. Cara hidup Amir di kelab? Ketampanannya sudah tentu akan memikat hati mana-mana saja anak gadis. Menjadi guru Bahasa Inggeris tidak rasmi pada Ruby, dia banyak menyimpan pita-pita rakaman yang dia sendiri beli untuk mempelajari bahasa kedua ini. Sangat berkesan cara itu. Menurut Amir, kita di Malaysia, kalau tidak boleh berbahasa Inggeris, siapapun tidak akan pandang. Hendak-hendaknya tinggal pula di Penang.

Sudah tentu Amir orangnya romantik dan ada kalanya lucu. Ruby masih lagi bekerja di Yaohan, kerana mahu mencari wang sendiri, segan kalau mahu meminta-minta terlalu kerap. Usia 18, kederat masih ada, maka usaha sajalah sebaik mungkin.

****

Cinta leka, cinta bersambut, cinta dusta, cinta nafsu, atau cinta apa?

Empat bulan awal tinggal bersama, segalanya jadi baru. Amir merasa lega kerana Ruby boleh juga mengemas rumah bujang yang disewanya. Nampaklah sedikit seperti rumah tempat orang tinggal, bilik bujang dulu tidak lagi bersepah, ada juga sentuhan kewanitaan, pelayaran hidup menjadi bertambah nikmat, sama seperti pasangan suami-isteri. Amir berusia 25 tahun ketika itu dan Ruby mula merasa dewasa sebagai wanita.

Segala bermula pada suatu pagi selepas mandi, sewaktu ingin mengenakan jeans sendatnya untuk pergi ke tempat kerja, butang tidak dapat dimatikan, ketat! Ada ruang tidak sampai, lebih kurang 2 inci. Tidak mungkin! Itu jeans ketat kegemaran Ruby. Setelah gagal, Ruby terpaksa mencapai seluar getah.

Mustahil, apa yang aku makan? Bila masa aku muntah-muntah? Tidak mungkin. Hati Ruby menjadi berdebar, degupan jantungnya terasa laju dan dada berdegup kencang. Amir sedang tidur, tidur mati kerana letih dan kesan mabuk semalam seperti biasa. Bukankah Amir juga yang mengatakan semuanya akan selamat, kerana dia tahu teknik bersama tanpa perlindungan? Berkerut dahi Ruby pagi itu, dia resah.

Sesampai saja di tempat kerja, Ruby terus mendapatkan Rahimah yang bekerja di bahagian kanak-kanak.

“Imah, hang arini rehat pukul berapa?” tanya Ruby.

“Kenapa, Ruby? Ada apa ni? Tak pernah-pernah nak belanja arini, dapat bonus ka?” Rahimah melawak.

“Taklah, Imah, aku belanjalah, aku ada problem nih!”

Di Pulau Pinang tidak ada siapa lagi untuk dia berbicara hal serius selain Amir, Rahimah dan Kak Noor. Tapi ini hal orang perempuan, yang hampir cuma Rahimah. Ruby sewaktu bekerja hari itu hati merasa tidak senang. Diraba-rabanya perut secara kerap, berlari ke bilik persalinan pakaian dan melihat betul-betul pandangan dari sisi, tiada perbezaan ketara. Waktu rehat dia dan Rahimah, berjalan cepat keluar dari pintu belakang dan mereka ke kedai kopi Seng Tat depan pasaraya Gama. Tempatnya dekat, mudah dan harga nasi tengahari yang dijual murah berbanding dengan kedai nasi di dalam bangunan Komtar sendiri.

“Aku takut sangat, Imah,” Ruby memulakan bicara setelah mereka mengambil nasi masing-masing.

“Awat? Takut kena tinggai dengan Amir ka?” tanya Rahimah melawak.

“Yang ni lagi teruk dari tu, Imah…” kata Ruby serba-salah, tiada pilihan, pada Rahimah dia berterus-terang.

Rahimah mengucap panjang setelah mendengar penerangan Ruby dan berdoa dalam hati agar ia tidak betul. Ruby mula bertanya hal-hal tentang klinik. Terlintas untuk menjalani pemeriksaan samada betul atau tidak dia mengandung? Tentunya sebagai wanita muda biasa dia takut dan malu untuk menyatakan hasrat menggugurkan saja kandungan itu awal-awal. Langkah apa yang harus diambil, juga dia tidak tahu.

Rahimah mencadangkan Ruby tanya saja pada Suziela, yang bekerja di bahagian barangan makeup, kerana dia pernah mendengar khabar angin yang Suziela juga pernah mengandung tahun lepas, tapi Ruby kena tanya sendiri, Rahimah mengatakan yang dia tidak berani bertanya hal-hal peribadi orang secara tidak tentu hala.

“Hang pi lah buat-buat nak beli makeup, kemudian pandai-pandai hanglah untuk bertanya klinik mana nak check,” saran Rahimah yang juga tidak keruan mendengar kisah sebegini.

“Kalau betui, Ruby, hang nak buat apa?” terus Rahimah bertanya kembali pada Ruby yang diam menyepi kerana leka mendengar atau juga mungkin terlalu resah.

Seharian Ruby merasa kurang enak, bukan tidak sihat fizikal, tapi kepalanya berputar-putar, memikirkan pelbagai kemungkinan. Malam itu juga dia memutuskan untuk tidak ke kelab bagi menemani Amir walaupun esok hari minggu. Dia merasa lemah dan mahu berehat-rehat saja, menanti Amir pulang, mendengar muzik, memang dia sukakan muzik, tapi keadaan muzik disko di tempat kerja Amir akan membuatkan dia lebih pening nanti, tunggu Amir balik sajalah, baik dia habiskan waktu malam dengan mendengar pita belajar ‘Bahasa Inggeris perbualan peringkat pertengahan’ dari dibiarkan ia mengumpul habuk.

Sewaktu awal-awal dulu, apabila Amir pulang dalam keadaan separa mabuk, Ruby mendapati diri Amir agak seksi, dia agak suka pada layanan Amir yang tahu membelai tubuh badannya sebagai wanita, kenikmatan itu tidak akan dapat dia lupa. Kalau benarlah dia hamil, minta-minta Amir gembira dan sudi menerimanya sebagai isteri, tidak apalah kalau hanya mahu ‘kawin koboi’, Ruby akan sudi dan rela. Esok hari Ahad, dia bekerja, dia akan mencari jalan bertanyakan pada Suziela, selembut mungkin, di mana klinik untuk membuat pemeriksaan, apa yang tindakan yang harus diambil. Dia merangka-rangka bentuk ayat yang mahu disuarakan nanti dalam kepala.

Ruby tertidur dengan lampu yang terbuka. Amir pulang sekitar 6 pagi, seperti biasa, kali ini mulutnya berbau arak yang sangat kuat. Ruby tidak pasti samada itu merupakan derianya yang baru, deria sensitif orang mengandung, atau selama ini Amir sememangnya berbau demikian. Amir memadamkan lampu dan merangkak menggagahi tubuh Ruby, bertindak kasar bila Ruby dalam keadaan mamai mengatakan dia penat dan mengantuk.

“Aaahhh! Kejap jer, yang…” kata Amir separa sedar.

Ruby mati akal, dia hanya berserah. Amir tidur mati seperti biasa setelah melunaskan kepuasan lelakinya, sehinggalah Ruby siap berdandan dengan memakai seluar getah yang sama untuk ke tempat kerja; pada pukul 9 pagi pun Amir masih lelap. Dia menanti bas biru dari Teluk Bahang menuju Komtar bersendirian, sambil berpusar-pusar berfikir tentang kehidupannya selama ini dengan Amir. Muzik, arak dan hiburan tanpa henti, untuk wanita muda berusia 18 tahun tentulah ia menyeronokkan, tapi sampai bila?

Ruby terfikir, dalam saat-saat begini Rahimah boleh saja menolak mentah untuk membantu atau mendengar keluh-kesah dirinya, kenapa tidak? Sepanjang dia asyik masyuk dengan Amir, Rahimah seolah-olah tidak wujud dalam ruang lingkup sosial dirinya, ke mana-mana saja pasti dengan Amir, leka melompat dari satu kelab ke kelab yang lain menemani boyfriend yang tampan itu.

Deruman bas biru itu sama saja seperti kemarahan dan keresahan dalam benak hatinya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81613/DELIMA