[SNEAK PEEK] SHAH JAHAN

SHAH JAHAN Oleh Abdul Latip Talib

Seorang kanak-kanak lelaki sedang khusyuk membuat panah. Pada usianya yang masih kecil, dia sudah mahir memanah dan berburu.

Askari, lelaki pertengahan umur menggosok lembut kepala anak saudaranya itu, dan anak kecil itu hanya membalas dengan senyuman. Tiba-tiba dia mengeluh. Dia merasakan sudah tiba masanya dia menceritakan siapa sebenarnya Akhbar.

“Muhammad,” seru Askari lembut.

“Ya, pak cik,” sahut anak itu sambil berdiri hormat. “Sebenarnya, ada rahsia besar yang pak cik sembunyikan daripada kamu selama ini,” kata Askari.

“Apa maksud pak cik?” tanyanya hairan. Walaupun masih kanak-kanak, tetapi Muhammad seorang anak yang pintar.

“Biarlah pak cik berterus terang. Sebenarnya kamu bukanlah anak orang biasa, dan di sini bukanlah tempat kamu.”

Dahi Muhammad berkerut seribu mendengar kata-kata bapa saudaranya itu, yang berlainan daripada biasa.

“Kamu adalah keturunan Ghengis Khan dan Timur-i-leng. Kamu sebenarnya adalah seorang putera raja.”

“Putera raja?” Muhammad terkejut besar.

Askari menarik Akhbar duduk di sebelahnya. Muhammad khusyuk mendengar bapa saudaranya bercerita tentang asal usul mereka dan kerajaan Mughal. Dia sebenarnya putera kepada Humayun dan ibunya Hamida Banu Begum adalah isteri pertama ayahandanya.

“Jadi ke mana ibu bapa saya?” Perasaan ingin tahunya mula meluap-luap.

“Mereka berdua tinggal dalam buangan selepas kalah dalam pertempuran dengan pemimpin Afghanistan, iaitu Sher Shah. Mereka terpaksa melarikan diri ke Parsi. Kamu pula terus tinggal bersama pak cik supaya keselamatan kamu terjamin.”

“Datuk kamu bernama Zahiruddin Muhammad Babur. Beliau salah seorang daripada cucu Timur Lenk. Beliau sangat berani dan digeruni oleh musuh.”

“Timur Lenk?”

“Beliau orang Mongol daripada keturunan Gengis Khan, yang telah memeluk Islam dan berkuasa di Asia Tengah pada abad ke-15,” terang Askari sambil mengusap rambut anak saudaranya itu.

Askari terus bercerita berkenaan sejarah keturunannya, dan Muhammad begitu khusyuk mendengar kisah sejarah kerajaan Mughal.

“Moyang kamu merupakan penguasa Ferghana. Babur mewarisi daerah Ferghana daripada orang tuanya ketika dia berusia 11 tahun. Setelah naik tahta, dia mahu menguasai seluruh Asia Tengah, sebagaimana Timur Lenk.”

“Adakah baginda berjaya?”

“Tidak. Baginda tewas di tangan tentera Uzbekistan. Baginda kemudian mendapat bantuan daripada Raja Ismail I, Safawi. Akhirnya, baginda dapat menguasai Samarkand pada tahun 1494. Beberapa tahun kemudian, baginda berjaya menduduki Kabul, ibu kota Afganistan. Dari situ baginda memperluas kekuasaannya ke sebelah Timur, iaitu India.”

Seterusnya Askari menceritakan sejarah kebangkitan kerajaan Mughal. Dalam pertempuran Panipat I, Babur yang hanya mempunyai 26,000 orang tentera, memperoleh kemenangan melawan 100,000 orang tentera Ibrahim. Dalam pertempuran itu, Babur berjaya memasuki kota Delhi sebagai pemenang dan menegakkan pemerintahannya di sana.

Kemudian, berdirilah kerajaan Mughal di India. Kemenangannya itu mengundang reaksi para penguasa Hindu. Babur mendapat tentangan kuat daripada Rajput dan Rana Sanga, yang didukung oleh para kepala suku India tengah, dan umat Islam setempat.

Babur terpaksa berhadapan dengan dua kekuatan itu. Pertempuran tercetus pada 16 Mac 1527 di Khanus, berhampiran Agra. Babur memperoleh kemenangan, dan Rajput jatuh ke dalam kekuasaannya.

Setelah Rajput dapat ditundukkan, fokus Babur diarahkan ke Afghanistan, yang saat itu dipimpin oleh Mahmud Lodi, saudara Ibrahim Lodi. Kekuatan Mahmud dapat dipatahkan oleh Babur dan Gogra serta Bihar jatuh ke bawah kekuasaannya.

Pada tahun 1530, Babur meninggal dunia dalam usia 48 tahun setelah memerintah selama 30 tahun, dengan meninggalkan kejayaan yang gemilang.

Kini, barulah anak itu tahu berkenaan susur galur keturunannya. Malangnya, putera raja itu hidup dalam kesusahan. Dia ibarat permata dalam lumpur. Namun, dia tidak sedikit pun mengeluh, malah sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupannya. Dia tidak belajar membaca mahupun menulis, tetapi menghabiskan masanya dengan berburu dan bertempur.

****

Di Agra, di dalam istana benteng merah, Sultan Shah Jahan mendengar pertempuran antara tiga anaknya Shah Shuja, Dara Shikoh, dan Aurangzeb. Fikirannya jauh terbang melayang. Sepintas lalu baginda melihat seakan-akan Arjumand dengan wajah muram memandangnya dengan sayu. Lalu baginda memejamkan matanya dengan jiwa yang sangat remuk.

“Maafkan kakanda… maafkan kakanda….” Hanya itu yang terluah daripada bibir tuanya.

Janjinya terhadap isterinya itu punah. Pertelingkahan keempat-empat anak lelakinya itu, bukanlah seperti yang diharapkan oleh isterinya ketika mereka menganyam kebahagian di kelilingi riuh-rendah suara anak-anak mereka. Sekali lagi baginda mengeluh berat.

Sultan Shah Jahan berbicara dalam puisi tentang gundah-gulana, tentang kehidupan, tentang kedukaan, dan tentang kecintaannya. Pembantu setianya tekun mencatit tiap-tiap bait yang diucapkan.

Wazir datang menghadap dan membongkok. Malangnya kehadiran wazir itu tidak diendahkan. Matanya terus menatap ke makam Mumtaz. Sultan itu tenggelam dalam puisinya, dan wazir itu menunggu sehingga selesai.

Setelah selesai, Sultan Shah Jahan kembali ke katilnya. Pembantunya itu beredar meninggalkan mereka berdua. Wazir terus setia tanpa membuka mulut.

“Wahai wazir, berita apa yang kamu bawa untuk beta?” tanya Sultan Shah Jahan perlahan.

Wazir itu serba salah.

“Beritahu sahaja kepada beta, usah bersembunyi. Jangan jadikan beta terkurung di istana tanpa mengetahui apa-apa berita di luar sana,” kata sultan Mughal itu.

“Ampun tuanku, Dara Shikoh kalah dalam pertempuran dengan Aurangzeb,” lapor wazir itu.

Riak wajah baginda sedikit berubah. Dia menunduk mukanya sambil mengangguk perlahan.

“Sudah beta jangkakan. Jadi apa yang dilakukannya?” “Dara Shikoh berjaya memboloskan diri, tetapi

Aurangzeb tetap mengejarnya.”

“Ke mana Dara membawa diri?”

“Tidak tahu, tuanku. Tiada siapa yang mengetahuinya,” jawab wazir.

Baginda ketawa sinis seraya berkata, “Dia memang bukan tandingan Aurangzeb!”

Katanya lagi, “Beta sepatutnya membenarkan Dara ke medan perang, bukan memanjakannya. Aurangzeb saling tidak tumpah seperti beta. Beta dihantar ke medan perang kerana Mehrunissa, dan Aurangzeb pula dihantar kerana beta sayangkan Dara.”

“Wahai, wazir,” seru baginda perlahan. “Ya, tuanku.”

“Adakah ini satu sumpahan buat beta?”

“Apa maksud tuanku?” Wazir itu tidak mengerti. Baginda terdiam seketika sebelum berbicara, “Sebelum ini, semasa zaman remaja, beta menyalahkan Khusrau kerana dia menentang ayahanda sendiri. Beta sedih kerana dia adalah abang dan sahabat baik yang beta ada. Beta benar-benar menyalahkannya. Beta kira, beta tidak akan bersikap sepertinya, tetapi malangnya, beta sendiri menentang ayahanda. Kini Aurangzeb, beta menjadi tawanan anak sendiri.”

Wazir hanya menundukkan kepala. Tiada jawapan. “Tuanku, berehatlah. Kesihatan tuanku sejak kebelakangan ini tidak begitu baik,” kata wazir mengubah topik perbualan.

Kemudian baginda merebahkan badannya perlahan ke tilam empuk. Matanya dipejam rapat. Tiba-tiba air mata mengalir perlahan ke pipinya yang sudah dimamah usia. Sepanjang usia pemerintahannya, penentangan anakandanya sendiri amat menyakitkan. Kini, barulah baginda memahami perasaan ayahandanya, Sultan Jahangir.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90598/shah-jahan

[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, SAYANG

SAYANG AWAK, SAYANG Oleh Murni Aqila

BANGLO yang sepi itu semakin sunyi. Rasa kosong sahaja apabila tinggal di dalamnya. Junaira memaksa diri untuk pulang semula di situ atas desakan hati dan pujukan Liani, dan rasa rindu pada Nazif.

Sejak pulang ke situ, Nazif tiada di rumah. Entah bagaimanalah reaksi Nazif jika melihat dia kembali ke rumah itu. Atau sebenarnya Nazif tidak kisah? Jauh di sudut hati dia dapat rasakan yang Nazif tidak pedulikan ketiadaannya. Jadi, benarlah kata-kata Fahim?

Setelah mendengar cerita Fahim yang cuba dinafikan, lama-kelamaan ia meresap jua ke hati. Lantas dia bangun daripada pembaringan. Ditinggalkan semua buku nota yang hampir penuh di atas katil. Belajar waktu fikiran sedang runsing hanya membuatkan jiwanya kacau.

Di luar bilik, suasana juga sunyi. Nazif masih belum pulang walau sudah pukul 8.00 malam. Pandangan didongakkan ke atas, ke bilik Nazif. Desakan hati meronta-ronta mahu dia masuk ke dalam bilik tersebut.

Tidak berlengah, lalu dia mendaki anak tangga. Pintu bilik yang tidak dikunci itu dibuka. Hatinya amat yakin, pasti Nazif ada menyimpan keratan akhbar yang mengadungi artikel mengenai kemalangan keluarga mereka. Dia mahu sesuatu sebagai bukti kebenaran kata-kata Fahim. Selagi dia tidak mencari, selagi itu jiwanya kacau. Sudah dicari melalui internet, namun tidak berjumpa. Jika ada pun, sudah menjadi artikel dalam arkib akhbar tersebut. Tidak boleh dicapai lagi. Masakan tidak, peristiwa hampir empat tahun yang lalu.

Dia cuba mencari di setiap laci yang ada. Inilah pertama kali dia membuat kerja gila, menyelongkar bilik orang lain.

Bagaikan sudah terancang, dia menjumpai sebuah fail yang terletak di bahagian bawah laci meja kerja Nazif. Apabila diselak fail tersebut, terpapar beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan tersebut. Juga susulan kejadian itu. Malah, ada gambar yang menunjukkan bagaimana remuk kereta Kancil yang dipandu arwah abahnya. Serta-merta rasa pilu menyengat dada.

Dia tidak pernah terfikir kemalangan tersebut mendapat liputan media. Apatah lagi ketika peristiwa itu berlaku, dia bertarung dengan jiwanya yang hampir rapuh. Tidak diambil peduli tentang kisahnya yang tertulis di dada akhbar.

Artikel itu dibaca dengan linangan air mata. Semerta datang kerinduan yang menendang-nendang naluri. Ya… memang benar kata Fahim. Keluarganya mengalami kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan arwah mummy dan daddy Nazif. Akibat kemalangan itu seluruh keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala daddy Nazif meninggal tiga hari selepas dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan yang teruk. Manakala mummy Nazif dimasukkan ke dalam wad dan disahkan lumpuh!

“Ya ALLAH…” Junaira terduduk di lantai. Linangan air mata tidak mampu ditahan-tahan lagi. Laju berderai ke pipi.

“Mummy kata dia lumpuh sebab sakit. Penipu! Rupa-rupanya dia lumpuh sebab kemalangan. Tergamak dia rahsiakan semua ni daripada aku. Tapi, kenapa dia ambil aku jadi anak angkat dia? Konon-konon nak ambil aku jadi orang gaji dalam rumah ni. Entah-entah mereka nak dera aku dengan Haziq. Tapi tak sampai hati pulak lepas tu. Dan tergamak pula memaksa Nazif kahwin dengan aku.

Patutlah Nazif terima dia sebagai isteri. Mungkin ada muslihat. Supaya hidup aku makin sengsara. Patutlah Nazif tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Apatah lagi mencintainya. Memang betul kata Fahim. Mereka licik dan penuh muslihat!”

Betapa hancurnya hati tatkala mengetahui semua itu. Setelah hampir empat tahun, baru dia tahu cerita sebenar. Patutlah arwah mummy baik sangat padanya. Dan Nazif terpaksa menurut apa sahaja permintaan mummynya dalam keadaan tanpa rela. Juga tidak rela menikahinya. Hanya dia sahaja yang mencintai lelaki itu, sedangkan Nazif tidak pernah ada hati padanya. Disebabkan itulah Nazif tidak kisah pun dia tidak balik ke rumah semalam. Nazif menamparnya di hadapan khalayak. Nazif langsung tidak memujuknya. Semuanya kerana tiada cinta dalam hati Nazif untuknya. Langsung tiada!

Teresak-esak dia menangis sambil menatap keratan akhbar tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapa semua ini yang harus terjadi dalam hidupnya? Mengapa? Mencintai seseorang yang tidak pernah mencintai adalah sesuatu yang sangat mendera perasaan.

Tiba-tiba pintu terbuka. Junaira mendongak. Nazif!

Lantas dia bangun dengan fail didakap erat ke dada. Spontan dia menyeka air mata yang membasahkan pipi. Pasti Nazif akan marah kerana dia menceroboh bilik itu.

Nazif tergamam melihat Junaira berada di dalam biliknya. Apatah lagi sedang memegang fail yang selama ini disimpan kemas. Wajahnya berubah riak. Pasti Junaira sudah tahu kisah sebenar antara keluarga mereka yang selama ini cuba disorok. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, Junaira bersuara terlebih dahulu.

“Maaf… Jun takkan masuk dalam bilik ni lagi.” Junaira meletakkan fail tersebut di atas katil dan terus berlalu melepasi Nazif yang tercegat di ambang pintu.

“Jun…” Nazif cuba menahan, namun Junaira sudah turun ke tingkat bawah. Pasti Junaira menyangka yang bukan-bukan sehingga mengalir air mata. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu. Mengenangkan keadaan pasti akan lebih teruk jika menerangkan ketika hati Junaira tidak tenang, dibatalkan niatnya untuk memujuk gadis itu. Barangkali esok lusa hati Junaira kembali tenang. Ketika itu dia akan jelaskan semuanya kepada Junaira.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96067/sayang-awak-sayang

[SNEAK PEEK] MY LOVELY TENGKU

MY LOVELY TENGKU Oleh Pitteriah Abdullah

DIA bukan datang hanya untuk Solat Subuh berjemaah. Tetapi siap bawa baju untuk ke pejabat. Mandi pun di bilik air di rumah Zara Irdina. Kali pertama mandi di rumah isteri tercinta. Malah guna kain tuala Zara Irdina juga.
“Sikat rambut mana?” soal Tengku Izraf Akif setelah siap berpakaian.
“Nak turun ke bawah macam mana?” soal Zara Irdina kembali.
Hari sudah cerah, orang akan nampak kelibat anak raja ini nanti. Jam sudah menunjukkan angka 7.30 pagi. Selepas solat tadi, mereka bersarapan bersama. Anak raja ini membawa bekalan dari istana. Puding diraja bersama roti jala air tangan Tengku Cempaka. Malah siap berpesan kepada Zara Irdina supaya sediakan air masak di dalam biliknya ini. Semakin menjadi-jadi apabila Zara Irdina sudah menjadi isterinya.
“Turun sekalilah, apa masalah?”
“Masalahnya…”
“Aku nak mengakulah, nak cakap dengan mama dan papa tentang kita berdua.”
“Sebabnya? Tak takut kena marah ke? Mula-mula ajak kahwin lari, tak sampai seminggu, nak cakap pula kita dah kahwin?” balas Zara Irdina.
Dia ni, aku yang takut terlebih, dia tenang aje. Tak ada masalah langsung tentang hal kami.
“Kita buat benda baiklah.”
“Aku rasa ada sebab kau buat macam ni, tak mungkin tiba-tiba aje kau ajak aku kahwin.”
Sudah mula timbul rasa curiga dalam hati Zara Irdina, sebab tindakan Tengku Izraf Akif mencurigakan hatinya. Kahwin dengan terburu-buru sedangkan dia kenal hati budi Tengku Izraf Akif selama ini.
“Tak ada apalah,” sangkal Tengku Izraf Akif.
Apabila difikirkan tentu ada sebab kenapa dan mengapa Tengku Izraf Akif lakukan semua ini. Sedangkan pertunangan sudah dilangsungkan. Mama dan bonda sudah beri restu, habis apa yang tidak kena. Papa pun suka juga dengan pertunangan ini. Lagipun tinggal dua bulan lagi hendak buat majlis kahwin. Habis kenapa gertak dan ugut suruh aku kahwin secepat yang mungkin.
Encik Wan Yusuf dan Puan Wan Aisyah sudah pun keluar rupanya. Ada Syazana dan Ayuni saja sedang bersarapan. Mereka terkejut apabila melihat Tengku Izraf Akif turun bersama kakaknya. Apa sudah jadi? Syazana memandang ke arah Ayuni dan mereka saling berpandangan.
“Abang buat apa kat bilik kakak?” soal Syazana.
Sudah sahih khabar angin yang hangat diperkatakan orang. Mereka berdua ini telah berkahwin tanpa pengetahuan keluarga masing-masing. Tetapi ramai sudah mula bercakap tentang perkara ini.
“Nak buatlah semalam tapi akak kau ni yang tak bagi,” ujar Tengku Izraf Akif.
Syazana tersenyum saja. Asalkan dia orang berkahwin, buatlah apa pun, aku tak kisah. Tapi janganlah tak kahwin, berdosa tu.
“Hisy!” marah Zara Irdina.
“Abang kahwin dulu dengan Kak Zara, baru boleh sentuh akak,” ujar Ayuni.
Gadis itu masih lagi belajar di UITM.
Zara Irdina meluahkan tawa. Menyokong kata-kata adiknya itu. Risau kat akak ya?
“Janganlah risau, abang akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku nanti,” ujar Tengku Izraf Akif sambil memandang wajah isterinya.
“Ni yang kita suka kat abang ni,” balas Syazana riang.
Harap-harap tiada orang lain yang melihat mereka bersama pagi ini. Kalau tidak, mesti orang syak yang bukan-bukan, walaupun mereka pergi kerja berasingan. Masuk ke pejabat pun, Zara Irdina yang masuk terlebih dahulu daripada Tengku Izraf Akif.
Di garaj utama, kelihatan kereta Tengku Cempaka. Apa mimpi bonda datang ke ofis hari ni? Selalunya bonda jarang datang ke ofis pada waktu pagi. Habis kuat pun sebelah petang, itu pun dua minggu sekali. Atau sebulan sekali saja. Pagi ini, bonda sudah berada di sini. Mungkin ke bonda sudah menghidu hubungan aku dengan anaknya? Desis hati Zara Irdina.
“Puan Zara, Tengku Cempaka nak jumpa kat bilik sekarang,” beritahu Aida sebaik saja Zara Irdina sampai di tempat duduknya.
“Okey, terima kasih ya,” balas Zara Irdina.
Dibukanya komputer terlebih dahulu. Dia terus duduk di kerusi dan membaca ayat suci Al-Fatihah dan doa seribu dinar. Ini rutin yang dia lakukan setiap pagi. Setelah keadaan diri tenang, barulah dia melangkah menuju ke bilik Tengku Cempaka.
Hanya selangkah mahu sampai di depan pintu yang sedang terbuka, Zara Irdina dapat menangkap suara Tengku Cempaka dan seorang lelaki. Suara itu bukan milik suaminya tetapi, entahlah.
“Bakar, akak tak boleh tunaikan permintaan kau. Lagipun apa salah Zara kepada keluarga kita?” ujar Tengku Cempaka.
“Dia anak luar nikah. Jangan bagi malu kaum kerabat kita, kak. Lagipun ramai lagi perempuan sedarjat dengan kita yang sesuai dengan Akif tu. Saya tak kira, apa pun terjadi saya tak setuju Akif bertunang dengan anak haram tu,” tegas Tengku Bakar.
Kata-kata itu menghiris hati Zara Irdina yang sedang mendengar. Rupanya kaum kerabat tidak setuju dengan pertunangan mereka berdua.
“Amboi! Amboi! Kau jangan hina dia, Bakar!” marah Tengku Cempaka.
Tengku Bakar merupakan adik nombor dua kepada Tengku Cempaka.
“Kebenaran kakak, tak ada seorang pun keturunan kita yang sukakan pertunangan anak raja ni. Akif, anak orang terhormat. Jangan kerana cinta murahan ni, membuatkan Akif rabun mata untuk menilai cinta seorang perempuan. Suruh Akif cari perempuan lain yang layak dengan darah keturunannya, kak!”
Suara Tengku Bakar semakin meninggi membuatkan Zara Irdina di luar sedikit ketakutan.
“Aku tak peduli, ini antara cinta dan kebahagiaan Akif. Asalkan Akif bahagia, aku merestuinya. Itu keputusan aku!”
“Akak kena ingat akak tu ketua masyarakat kat sini. Masyarakat sudah mencela Akif sekarang akibat perbuatannya dahulu. Apatah lagi dengan berita pertunangan ini. Kami akan menghalang hubungan Zara dan Akif. Perempuan tu patut sedar dia tak layak berdamping dengan anak raja,” balas Tengku Bakar.
Zara Irdina mengundur. Dia melangkah longlai masuk ke dalam biliknya. Inikah penyebabnya yang membuatkan Akif mengajak aku kahwin lari? Kerana hubungan kami tak direstui oleh kaum kerabat yang lain rupanya. Patutlah dia mendesak aku supaya cepat-cepat kahwin dengannya. Akif, Akif, apa yang telah kita lakukan ini adalah satu perbuatan yang salah.
Zara Irdina menarik nafas panjang lalu melepaskan perlahan-lahan. Dia mengawal sebak di dalam dada sambil mengucap di dalam hati.
“Puan Zara, Tengku Cempaka sedang tunggu!” jerit Aida.
Gadis itu baru saja menerima panggilan telefon daripada Tengku Cempaka yang menyuruh Zara Irdina berjumpa dengannya sekarang juga.
“Saya ada hal, kejap nanti saya pergi jumpa mak engku,” dalih Zara Irdina.
Aku tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan Tengku Cempaka saat ini. Kalau jumpa mesti aku menangis.
Kalau boleh lari, aku nak lari sampai ke hujung dunia sebab sedih sangat ketika ini. Orang tak suka aku tapi aku yang terlebih-lebih. Apa cerita? Aduhai, kenapa terburu-buru ikut ajakan Akif? Sepatutnya aku sedar, siapa aku di sisi dia? Tapi aku lupa diri dengan kebaikan dan kasih sayangnya selama ini.
Siapalah aku kan, Zara Irdina bukan puteri raja. Anak luar nikah pula tu. Itu yang patut aku tanam di dalam hatiku sewaktu dia mengajak aku berkahwin.
Zara Irdina tidak pergi berjumpa dengan Tengku Cempaka, tetapi dia membawa diri pulang ke rumah. Rasa sedih yang menyelubungi dirinya tidak tahu mahu dikongsi dengan sesiapa.
Namun Tengku Izraf Akif mengekori Zara Irdina dari belakang. Sampai di rumah, semua orang sudah keluar pergi ke pejabat. Mama yang menjadi suri rumah sepenuh masa juga turut keluar entah ke mana.
“Hei, kau ni kenapa? Aku tengok pelik sangat ni?” soal Tengku Izraf Akif setelah turut masuk ke dalam rumah.
“Aku nak tanya kau. Kenapa kau ajak aku kahwin tergesa-gesa? Ada apa yang tak kena dengan hubungan kita?” soal Zara Irdina.
Dia berasa sakit hati dengan perbuatan Tengku Izraf Akif yang telah menipu dirinya.
“Kan aku dah cakap, aku tak sabar nak sahkan hubungan kita,” jawab Tengku Izraf Akif.
Dia mahu memegang tangan isterinya tetapi Zara Irdina menjauhkan diri. Pelik, apa pula yang tak kena ni?
“Kau tipu aku. Sebenarnya kerabat kau tak suka aku, sebab aku anak luar nikah. Malah mereka nak putuskan pertunangan kita. Kenapa tak cakap semua ni?” jelas Zara Irdina.
Lantas membuatkan Tengku Izraf Akif terkejut mendengarnya.
“Tahu dari mana?”
“Aku dengar sendiri tadi.”
“Aku akan selesaikan perkara ni nanti, tak payah risau.”
“Kau cakap apa ni? Kita tak boleh bersamalah. Aku ni tak setaraf dengan keturunan kau!”
Air mata Zara Irdina sudah mahu mengalir ketika ini. Sakit dan pedih sudah sampai di kerongkong. Pedih sangat!
“Semua tu tak pentinglah. Aku cintakan kau, Zara,” ucap Tengku Izraf Akif, cuba meyakinkan.
“Itu kata kau, tapi penting bagi orang yang tak ada maruah macam aku.”
“Zara!” marah Tengku Izraf Akif.
“Aku tak nak jumpa kau lagi. Hubungan kita berakhir kat sini aje,” putus Zara Irdina.
Dia menolak tubuh suaminya keluar dari rumah. Terus ditutupnya pintu dengan kuat dan dikunci dengan rapat sekali.
Tengku Izraf Akif cuba menolak pintu dengan kasar tetapi tidak berjaya. Diketuknya pintu sambil memanggil-manggil nama Zara Irdina tetapi Zara Irdina buat tidak peduli saja.
“Kenapa ni, Akif?” soal Encik Wan Yusuf.
Dia baru saja balik dengan isterinya dari pasar. Hari ini dia tidak pergi ke pejabat.
“Tak ada apa, papa,” jawab Tengku Izraf Akif.
Zara Irdina mengesat air matanya yang sedang mengalir, kerana dia tidak mahu papa melihat air matanya. Terus dia melarikan diri ke dalam biliknya. Dia pura-pura tidak ada apa yang berlaku antara dirinya dengan Tengku Izraf Akif. Apabila mama menyoal, dia hanya diam saja. Begitu juga dengan papa.
Perang dingin itu berlarutan sehingga ke malam. Semua pintu tingkap sudah ditutup dengan kemas. Malah dikunci supaya Tengku Izraf Akif tidak dapat menyelinap masuk ke dalam biliknya malam ini seperti selalu.
“Zara, buka pintu ni sekarang jugak!” jerit Tengku Izraf Akif setelah tidak berjaya menolak pintu itu dengan tangannya.
Zara Irdina bungkam saja. Biarlah. Sakit hati dengan sikap terburu-buru Tengku Izraf Akif kali ini.
“Aku tak nak jumpa kau lagi! Pergi balik! Jangan kacau aku lagi!”
“Aku cakap buka, faham tak?” marah Tengku Izraf Akif.
Namun Zara Irdina buat tidak kisah.
“Tak nak!”
Zara Irdina terkejut apabila pintu biliknya terbuka tiba-tiba akibat ditendang dengan kuat oleh Tengku Izraf Akif. Ketika ini suaminya sudah berada di hadapannya.
“Sengaja nak cari pasal ke apa ni?” soal Tengku Izraf Akif sambil memegang bahu isterinya.
“Siapa yang cari pasal? Kau atau aku? Perkahwinan bukan benda main-main. Bukan kerana kasih sayang dan cinta aje, tapi kerana keturunan. Aku bakal melahirkan zuriat kau nanti. Kau nak orang cakap pasal keturunan kita?” marah Zara Irdina.
“Habis apa masalah kau sebenarnya? Sebab kau anak luar nikah? Kau ke yang mintak dilahirkan sebagai anak luar nikah? Otak kau memang senget aku rasa, benda mudah macam ni pun tak boleh nak fikir!” marah Tengku Izraf Akif.
“Ahli keluarga kau tak suka aku.”
“Bonda dah restu hubungan kita, yang lain jangan ambil peduli. Yang nak hidup bahagia atau tak adalah kita berdua. Orang lain tu hanya pandai bercakap aje.”
Zara Irdina hilang kata-kata. Dia tidak mampu membalas kata-kata suaminya itu.
“Orang yang nak berjaya dalam hidup, adalah orang yang takkan memandang kisah silamnya yang pahit. Aku nak kita bina kehidupan kita sendiri. Bina keluarga kita sendiri, dan kita buktikan, yang kita boleh berjaya dan bahagia,” ujar Tengku Izraf Akif lagi sambil memandang tepat ke anak mata isterinya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96087/my-lovely-tengku

[SNEAK PEEK] HARGA SEBUAH CINTA

HARGA SEBUAH CINTA Oleh Hani Fazuha

HUJUNG minggu itu, aku bermalam di rumah sewaku. Walau tinggal di rumah Zura, aku masih menjadi penyewa rumah tersebut kerana aku tidak akan selamanya tinggal di rumah besar itu. Perancanganku hanya sebulan dua dan apabila aku sudah cukup duit untuk membeli sebuah kereta, aku akan kembali tinggal di rumah sewaku.

Zura memang ingin aku terus tinggal di rumahnya tetapi ada banyak sebab untuk aku menolaknya terutama sekali dengan kewujudan Zhafir di rumah itu yang makin membuatkan aku kurang selesa. Namun, alasan yang kuberikan pada Zura hanya satu, ingin berdikari dan tidak ingin terlalu bergantung pada dia dan keluarganya.

Selalunya apabila bermalam di rumah sewa, aku terpaksa bangkit awal untuk ke tempat kerja kerana Aleeya hanya akan menghantarku ke stesen komuter Serdang. Dari situ, aku harus menaiki KTM ke Subang Jaya dan menaiki teksi untuk ke pejabat.

Pagi Isnin itu, sebaik melepasi pintu utama pejabat, pandanganku menyapa kelibat Zura yang sedang berborak bersama tiga orang lelaki di ruang legar berhampiran dengan kaunter penyambut tetamu.

“Fea!” Zura terjerit memanggil namaku sebaik melihat aku masuk. Pantas dia bergerak mendekatiku. Serentak dengan itu, tiga pasang mata yang sedang bercerita dengannya menoleh pandang ke arahku. Aku memandang sekilas pada ketiga-tiga lelaki yang berbual-bual bersama Zura tadi, tetapi aku tersentak saat pandanganku menyinggah pada salah seorang daripada mereka. Dadaku bergetar hebat.

Arman! Kenapa mataku seakan ternampak bayangan Arman? Benarkah salah seorang daripada mereka itu ialah Arman? Benarkah lelaki yang lengkap bersut coklat yang sedang berdiri di tengah-tengah Ikmal dan Zhafir itu, Arman?

“Jom! Aku kenalkan dengan ‘dia’” Zura berbisik perlahan padaku sambil menarik tanganku menghampiri tiga lelaki tersebut.

“Arm, kenalkan… best friend I, Fea… Hanisofea.” Tatkala Zura memperkenalkan kami, aku terasa ingin rebah di situ juga. Ya! Memang dialah Arman. Lelaki yang pernah mengajarku tentang makna cinta yang di dalamnya penuh dengan keindahan.

“Fea… ni Arman.” Zura memperkenalkan lelaki itu kepadaku pula tanpa menyedari riak wajahku yang sudah berubah.

“Yang selalu aku cerita kat kau tu,” sambungnya lagi bagai berbisik di telingaku.

Zura tersenyum bahagia menyebut nama lelaki itu manakala aku pula… bagai sedang dibakar api marak yang merentungkan hati dan seluruh perasaanku. Kenapa ada pertemuan yang sebegini kejam?

“Hai!” Hanya itu yang mampu keluar dari bibirku sebagai cara menyapa orang yang baru diperkenalkan kepadaku. Sedang hakikatnya, aku lebih lama mengenalinya.

Arman tidak membalas, sekadar mengangguk berbahasa isyarat tetapi aku tahu, dia sebenarnya sudah mati kata-kata dengan pertemuan ini. Ya! Siapa sangka, kami akan dipertemukan semula di sini dalam suasana begini.

“Hai, darling! Dah breakfast ke?” Ikmal yang entah dari mana datangnya tiba-tiba mencelah. Selamba wajahnya seselamba dia memanggilku darling mengejutkan semua orang yang berada di situ termasuklah aku sendiri. Serta-merta semua mata berkalih pandang ke arahnya. Nampaknya, dia semakin berani berlagak Romeo di hadapan semua orang.

“What? Anything wrong?” Dia menyoal sambil menyengih, pura-pura tidak faham apa-apa.

Zhafir melirik ke wajahku sebelum menjeling Ikmal. Arman pula bagai enggan melarikan pandangannya daripada terus menatap wajahku. Aku rasa seperti hilang seluruh jiwa, seolah-olah hanya jasad yang berdiri tanpa nyawa.

“Eh! Jom, ikut kita orang pergi breakfast.” Zura tiba-tiba bersuara memecah kebisuan antara mereka. Dia sudah bertindak memaut lenganku.

“Err… thanks, but no!” Aku cepat-cepat menolak lembut.

“Alaa… jomlah temankan aku, please…” Zura merayu seraya mempamerkan wajah simpati. Kalaulah dia tahu hatiku sedang menangis saat ini, pastinya dia tidak tergamak merayuku begitu.

“Sorry, Zura… aku ada banyak benda nak settle sebenarnya. Maybe next time, okay?” ucapku sebelum menepuk bahunya sebagai isyarat meminta diri.

Tanpa mempedulikan tiga pasang mata yang memandang, aku beredar memasuki pintu utama pejabat berserta air mata yang bergenangan, menunggu masa untuk menitis keluar. Kenapa harus ada pertemuan yang menyakitkan begini?

Tidak daya rasanya mahu terus melangkah namun, aku gagahkan juga kedua-dua kaki ini untuk menjauhkan diri daripada semua yang menyakitkan itu. Aku kalah dengan takdir tetapi selagi nafas belum berhenti, selagi itulah aku harus menelan segala kepahitan.

Duduk di meja kerja, aku jadi tidak tahu mahu berbuat apa. Kenapa harus dia yang menjadi pujaan Zura? Kenapa harus Zura yang menjadi pilihannya? Aku mula tertanya-tanya diri sendiri.

Sambil termenung, keyboard computer aku tekan-tekan tanpa sedar. Entah apa perkataan apa yang kutaip, aku tidak tahu. Ketukan kuat jariku sehingga mengeluarkan bunyi bising tetapi kebisingan itu ibarat satu irama yang mengiringi permainan mindaku.

“Oi! Cik Fea… tengah marahkan apa ni? Kesian keyboard tu jadi mangsa.” Encik Badri yang menjenguk di sebalik partition menyergahku.

Terkejut aku. Spontan tanganku mengurut dada. Aku senyum segaris, bagi menutup kecelaruan di hati. Wajah Arman dan Zura yang sejak tadi bertamu di segenap ruang fikiran terus lenyap diusir suara lelaki itu.

“Mana ada marah! Keyboard ni degil sangat. Tekan lembut-lembut tak mahu, kena kuat-kuat baru mahu.” Aku memberi alasan sambil pura-pura ketawa lucu.

“Yalah tu. Keyboard yang degil ke atau tuannya yang ganas?” usik Encik Badri sebelum dia menyambung langkah masuk ke biliknya.

Aku melepaskan nafas lega. Terlepas satu beban! Perginya lelaki itu, aku sekali lagi termangu. Nama dan wajah Arman singgah semula menggamit kisah lama.

“Kalaupun bumi ini terbelah menjadi dua, cinta saya tetap bertaut satu dan yang satu itu hanya untuk awak.” Mengingatkan janji manisnya suatu ketika dahulu, hatiku jadi sakit dan pedih. Kesakitan itu bagai membunuh seluruh perasaanku. Bertahun lamanya aku mengubat luka itu dan kini, dia kembali muncul menggores parut lama.

Aku tidak dapat menahan perasan. Kelopak mataku sudah membahang panas. Air jernih bergenang mengaburi pandangan. Dadaku berkocak hebat menahan rasa. Ada sesuatu yang masih tersimpan di situ. Sesuatu yang tidak mampu aku luahkan sehingga ke saat ini.

Simpulan cinta yang dia ikat di hatiku masih kemas di situ. Janji manisnya untuk terus hidup bersamaku masih kuingat hingga ke hari ni. Cuma dia mungkin sudah melupakan segalanya.

Oh, TUHAN… andai dia bukan tercipta untukku, kau dorongkan jalan untukku menghapuskan rasa itu dan namanya dari hatiku. Tapi, andai dia memang KAU cipta untukku, kau tunjukkanlah aku jalannya dan hikmah-MU.

Dengan langkah longlai, aku bangun menuju ke surau. Pagi-pagi buta masuk ke surau memang terasa janggal, tetapi hanya di situlah tempat untuk aku mencari ketenangan.

Aku duduk bersandar di dinding sambil menarik kedua-dua lututku rapat ke dada. Tanganku bergerak perlahan menarik tudung, meleraikan rambut yang tersimpul di dalamnya. Sambil mencium haruman rambut sendiri, ingatanku kembali semula kepada Arman.

“Saya suka rambut awak, cantik sangat,” puji Arman sambil memandang rambutku yang lurus dan sedikit ikal di hujungnya ketika itu.

“Awak jangan potong, tau? Simpan sampai panjang, sampai kita kahwin.” Itu yang dia minta dan permintaannya masih aku ingat. Waktu itu rambutku cuma separas bahu dan baru sekali aku memotongnya. Kini, ia sudah mencecah ke paras pinggangku.

Tiba-tiba sahaja aku terasa ingin menangis. Cepat-cepat aku telangkupkan wajahku ke lutut. Dan di situlah air mataku gugur setitis demi setitis. Kenapa rasanya begitu sakit dan pedih sekali? Bagaimana untuk aku lenyapkan sisa-sisa harapan yang masih tinggal di hati ini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93975/harga-sebuah-cinta

REVIEW VIDEOTAPE

VIDEOTAPE Oleh Adib Zaini

Razak seorang remaja yang dibesarkan dalam keluarga yang toksik. Disebabkan itu, dia lebih banyak lari daripada masalah di rumah dengan mencari masalah di luar. Sepanjang hidupnya, dia mengenali beberapa kawan yang dianggap sebagai darah dagingnya sendiri. Mereka mencari kegembiraan bersama dan mencari masalah bersama. Suatu hari, ketika didenda untuk bersihkan sekolah, mereka terjumpa sebuah kaset video yang tersorok di bilik stor. Tanpa mereka sangka, isi kandungan videotape itu bakal mengubah nasib hidup mereka. Bersama-sama, mereka menyelongkar misteri ngeri di sebalik objek berteknologi kuno itu. Menerusi proses ini, Razak pelajari erti persahabatan, percintaan, kehidupan — dan kematian.


Pada pendapat admin, jalan cerita yang agak menarik. Bila admin baca eBook ni, ada rasa nak campak HP ke dinding sebab geram sangat. Hahaha. Untuk watak pula, for sure readers akan suka dengan watak geng Razak ni. Semua jenis yang kepala masuk air tapi admin curious jugak lah sebab tak boleh nak agak siapa yang jahat siapa yang baik dalam cerita ini. Admin ni sejenis manusia yang mudah terhibur, so bila ada scene yang tak logik dek akal pon admin dengan mudahnya terhibur. Hehehe
So, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95888/VIDEOTAPE

[SNEAK PEEK] CINTA PANDANG KE-2

CINTA PANDANG KE-2 Oleh Laila Kamilia

 

Apartmen Avilla, Puchong

MAZLAN berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Sekejap kemudian, dia duduk semula mendail nombor telefon seseorang. Sejak pulang dari rumah Kak Lynn tadi, itulah aksi membuatkan Zairul berasa betul-betul rimas.

“Wei, engaged la…” Mazlan memberitahu Zairul yang sudah bersiap hendak masuk ke bilik. Selepas balik dari rumah Kak Lynn tadi, mereka menonton televisyen dan berbincang tentang reunion yang akan diadakan bulan depan.

“Telefonlah lagi. Kalau betul kau serius, janganlah putus asa.” Zairul memberi galakan. Dia sudah bangun menggeliat, membetulkan urat sarafnya yang bersimpul kerana keletihan dek aktiviti hariannya yang padat hari ini.

“Pinjam telefon kau kejap.” Mazlan meminta.

Dahi Zairul berkerut.

“Mana tau, tuah telefon kau tu dapat aku bercakap dengan dia.” Mazlan tersengih-sengih.

“Sudahlah, cakap saja kau nak pau kredit aku.” Zairul sudah dapat membaca apa yang ada di kepala teman serumahnya itu.

Zairul memandang ke arah Mazlan yang dengan spontan mendail nombor telefon seseorang menggunakan telefon bimbit miliknya pula. Zairul menggeleng. Tak boleh dia hendak kata apa kerana Mazlan itu tidak guna ditegur. Mukanya akan toya macam itulah. Buat penat air liur saja membebel. Dia lalu masuk ke dalam bilik. Sudah penat benar satu hari ini. Dia ingin berehat.

“Dah habis telefon, hantar balik ke bilik aku. Kalau tak, esok pagi aku tak bangun pulak,” pesan Zairul di muka pintu.

Mazlan terangguk-angguk. Dengar tak bermaksud dia akan buat. Zairul arif sangat dengan Mazlan. Apakan daya, itulah satu-satu teman yang sering bersama-samanya dari dulu sampai sekarang ini. Yang sangat memahaminya dan memberikan sokongan untuk semua tindak-tanduknya. Atau sebenarnya, dia bersabar hanya kerana rasa bersalahnya pada Mazlan kerana kesilapan lampaunya. Ah, susahnya hidup kerana rasa beban dosa silam.

Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur

AINNUR memandang skrin telefon bimbitnya. Ada lima panggilan tidak berjawab. Dia merenung Zely yang ada di hadapannya sedang asyik menonton televisyen. Mak Tiah ada di dapur membereskan kerja-kerja dapur yang masih belum selesai sejak tadi. Ainnur dapat merasakan Mak Tiah sengaja memberi peluang kepada dia dan Zely untuk berbincang. Sudah tiga jam dia berada di rumah mereka kerana merajuk dengan ibunya.

“Telefonlah Fiza balik. Tentu dia risau.” Zely berkata kepada Ainnur tanpa mengalihkan pandangannya daripada skrin televisyen.

Sekarang ini, Zely hanya berharap Rafiza dapat memujuk Ainnur pulang ke rumahnya semula kerana dia telah gagal memujuknya sejak dari tadi. Tentu Auntie Dalilah dan Uncle Amaluddin risau dengan ketiadaan Ainnur. Mana ada ibu bapa di dunia ini yang tidak kisah jika anak mereka tidak pulang melainkan memang itu ibubapa yang tidak sayangkan anak.

“Helo! Assalamualaikum!” Tidak lama menunggu, kedengaran suara Ainnur memberi salam kepada Rafiza.

Zely bangun lalu ke dapur. Dia mahu memberikan ruang selesa kepada Ainnur untuk berbicara dengan Rafiza.

“Waalaikumussalam…”

Mendengarkan suara Rafiza di talian, Ainnur sudah kembali menangis. Air matanya gugur lagi tanpa mahu mengerti apa makna berhenti. Sudah banyak tisu basah dek mengelap air matanya yang gugur sejak tadi. Dia tidak tahu kenapa semua orang tidak mahu menyebelahinya. Semua orang mahu dia menjadi anak yang baik, mendengar kata ibu tetapi bukankah dia juga punya hak untuk menentukan masa depan sendiri?

“Kenapa ni?”

Pertanyaan Rafiza semakin menyebabkan air matanya turun semakin laju. Ainnur memang lemah bila ada yang bersimpati dengannya. Dari luar memang nampak dia seperti wanita yang tabah-tabah saja. Boleh meninggalkan tanah air seorang diri untuk menyambung pengajian di luar negara, tetapi sebenarnya dia bukanlah wanita segagah Tun Fatimah, watak yang selalu dipamerkan. Hakikatnya, dia hanyalah seorang puteri lilin.

“Cuba bertenang. Bagitahu sekarang kat mana?” Rafiza lembut menutur kata. Sebagai seorang yang sentiasa menjadi tempat rujukan teman-teman, dia sudah masak sangat dalam hal memberi nasihat. Dia tidak boleh mendesak. Biarkan Ainnur bertenang dahulu.

“Kat rumah Zely.” Dalam teresak-esak Ainnur memberitahu.

“Bagi aku alamat, aku dah lama keluar dari rumah Kak Lynn. Ingat nak jumpa kau kat rumah. Kalau macam tu, kita jumpa kat sana.” Rafiza menyatakan rancangannya.

Walaupun dia penat, tetapi demi seorang kawan yang sedang dilanda masalah, dia akan berusaha untuk membantu. Apa gunanya bersahabat jika hanya untuk bersuka ria bersama, tetapi bila dirundung musibah terus menjauhkan diri. Selepas ini, dia ada banyak masa untuk berehat. Tambah pula, dia ada sebab yang kukuh untuk bersenang hati malam ini. Panggilan daripada Zairul beberapa ketika tadi telah menyebabkan tubuhnya terasa segar.

Ainnur mengesat air mata yang berjuraian di pipinya dengan tisu. Sekurang-kurangnya, dia berasa sedikit lega selepas Rafiza berjanji akan menjemputnya dari rumah Zely.

“Sekejapnya berbual.”

Sapaan Zely membuatkannya sedikit tersentak. Dia memandang Zely yang sedang menghulurkan secawan teh yang masih berasap.

Di wajah Zely tergambar kehairanan kerana sepatutnya tentulah perbualan Ainnur akan mengambil masa yang agak lama. Dari pengalamannya, bukan mudah untuk mententeramkan Ainnur.

“Minum dulu,” pelawanya setelah teh yang dihulurkan tadi tidak disambut Ainnur.

Tidak mahu menghampakan Zely, Ainnur mencapai cawan yang dihulurkan lalu menyisipnya sedikit. Aroma teh yang menyegarkan memberinya sedikit semangat yang hilang. Rasa teh itu benar-benar mendamaikan. Dia menyisip teh itu sekali lagi.

“Sekejap lagi Fiza nak datang sini. Aku ni dah menyusahkan ramai orang, kan?” Ainnur berkata kepada Zely sambil cuba untuk ketawa yang kedengaran dibuat-buat.

“Ainnur… kita kenal dah lama. Kenapa kau suka nak buat benda yang akan menyeksakan diri kau? Kau terseksa, tapi dia di sana berbahagia. Kau buat kerja bodoh tau? Kalaulah tidak mengenangkan kau yang beria-ia mempertahankan dia, memang dah lama jantan tu aku lanyak sampai lunyai.” Zely menggenggam penumbuknya tanda marah benar pada lelaki yang Ainnur gilakan itu. Urat di tengkuknya kelihatan tegang.

Sangkanya pemergian Ainnur ke luar negara akan dapat mengubat luka di hatinya. Seingatnya, Ainnur akan berjaya menemukan seseorang yang boleh membantunya melupakan kenangan silam. Harapnya kepulangan Ainnur ke Malaysia akan mengubah Ainnur yang lemah dan hanya bersandar pada cinta palsu. Tetapi segala-gala yang dijangka langsung tidak mengena. Ainnur masih gadis lemah yang sama ketika meninggalkan Malaysia. Tiada apa yang berubah selain daripada membawa segulung sarjana.

Sedari tadi Zely tidak habis-habis marahkan Ainnur yang degil untuk terus hidup dalam kenangan cinta. Kata sudah mahu lupakan si dia, tetapi mengapa tetap memilih jalan yang sama, yang hanya akan menemukan Ainnur dan lelaki tak berguna itu di bawah satu bumbung?

Zely bukannya tidak faham dengan prinsip cinta tidak semestinya bersatu yang dilaung-laungkan Ainnur. Dia arif benar kerana dia sudah merasakannya lama dulu. Sejak dia mengenali apa itu cinta. Cuma dia mahu Ainnur matang dengan usia. Cinta yang mengundang sengsara bukanlah cinta dalam erti kata yang sebenar. Cinta seharusnya membahagiakan.

“Aku bahagia dengan cara aku sendiri. Kalau aku tak boleh hidup dengan dia, hidup dalam kenangan itu sudah memadai. Lagipun siapa hendak kahwin dengan perempuan kotor macam aku ni, Zely? Biarlah aku hidup begini. Kurang-kurang aku tak susahkan sesiapa.” Ainnur mempertahankan pendiriannya.

“Siapa kata tiada orang yang hendakkan kau? Kau perempuan baik, Nur. Kerana semalam yang malang tidak membuatkan kau jadi perempuan jijik. Hanya kau yang merendahkan diri kau sendiri. Cubalah fikir positif dan beri peluang kepada diri kau untuk rasa erti bahagia yang sebenar. Kau harus tunjukkan kepada dia yang kau berhak mendapat lelaki yang lebih baik daripada dia.” Zely berceramah lagi. Dia berharap kata-katanya akan difikirkan oleh Ainnur bila gadis itu sudah tenang nanti.

Ainnur ketawa. Kata-kata Zely itu terlalu indah untuk menjadi realiti. Hakikatnya, dia yang menanggung sendiri.

“Siapa yang sudi nak kahwin dengan aku? Kau sendiri pun tak sudi nak kahwin dengan aku.” Ainnur berkata sambil memandang ke wajah Zely. Dia mahu melihat apa reaksi Zely dengan kata-katanya. Dengan Zely, dia tidak pernah berasa malu. Mereka membesar bersama-sama. Dengan Zely, dia menjadi Ainnur yang tidak perlu berpura-pura.

Zely tunduk memandang lantai. Dia ingin berterus terang tentang perasaannya, tetapi dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah lelaki yang paling layak untuk Ainnur jadikan suami apatah lagi menantu kepada Auntie Dalilah dan Uncle Amaluddin. Dia hanya anak seorang bekas pemandu dan orang gaji di rumah besar itu. Dia tahu di mana dia harus meletakkan diri. Dia sudah memikirkan semasak-masaknya. Biarlah segala-galanya ditelan sendiri.

“Aku bukan tak sudi, Nur. Aku hanya anak seorang pemandu dan orang gaji kat rumah kau. Aku sekali-kali tak layak jadi suami kau, Nur!” Lirih suara Zely menjelaskan apa yang ada di fikirannya. Air mata yang berkaca di matanya, cuba ditahan agar tidak jatuh ke pipi.

“Zely!” Ainnur bangun dari sofa. Dia berasa sedih dan marah dengan kata-kata Zely.

“Sampai hati kau kata begitu pada aku. Aku tak pernah pandang darjat untuk jodoh aku. Begitu juga dengan keluarga aku. Kau menghina aku dengan berkata begitu, Zely.” Ainnur begitu marah dan kecewa. Sekalipun Zely tidak sudi berkahwin dengan perempuan kotor macam dia, jangan sesekali menuduhnya mementingkan darjat dan pangkat pula.

“Aku kawan dah lama dengan kau. Kenapa baru sekarang kau cakap macam tu, Zely? Aku tak sangka, begitu rendahnya kau memandang aku.” Dengan nada hiba Ainnur menyatakan kekecewaannya. Terasa ia bagai belati menusuk tajam ke ulu hatinya.

“Aku minta maaf, Nur. Aku tak berniat begitu, kau salah faham…” Zely cuba menjernihkan suasana. Dia tidak sangka kata-katanya akan membuatkan Ainnur tersinggung. Reaksi Ainnur benar-benar menakutkannya. Ketika itu, dia sedar akan kehilangan Ainnur pada bila-bila masa.

“Aku akan buktikan pada kau suatu hari nanti Zely, aku orang yang macam mana!” Ainnur berlari ke luar rumah. Air matanya merembes laju. Dia tidak pernah berasa begitu terhina. Berada di hadapan Zely dalam keadaan begitu, sangat melukakan hatinya.

Hari ini, dia menerima dua perkara yang begitu mendukacitakan dalam hidupnya. Dia berasa sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi. Hari esok, apakah masih ada sinar mentari untuknya? Masihkah ada sisa rasa kasihan daripada ALLAH? Dia berdoa semoga ALLAH masih menyayanginya dan memberi petunjuk jalan kebenaran. Di saat semua insan tidak lagi boleh diharapkan, hanya DIA yang dapat menyelamatkan.

Dia berlari keluar dari rumah Zely sambil menyeka air mata. Panggilan Zely langsung tidak dihiraukan. Dia hanya mahu membawa sekeping hatinya jauh daripada semua!

ZELY cepat-cepat mencari nombor telefon Rafiza pada menu telefon bimbitnya. Mujur saja dia masih menyimpannya walaupun hanya sekali dua dia bersua muka dengan Rafiza. Dia tidak sabar mendengar suara Rafiza di hujung talian. Sambil itu kepalanya terjenguk-jenguk ke luar halaman, mencari kelibat Ainnur.

“Helo! Fiza! Zely ni.” Terus saja Zely menegur sebaik talian mereka bersambung.

“Lama lagi ke kau baru nak sampai?” Zely bertanya sambil menyarung selipar. Dia ingin mengejar Ainnur yang sudah jauh daripada pandangannya. Jika apa-apa terjadi kepada Ainnur malam itu, dia tidak akan memafkan dirinya sampai bila-bila.

“Okey. Okey. Jaga dia untuk aku. Katakan aku minta maaf.” Zely bernafas lega bila mendapat berita daripada Rafiza, Ainnur sudah ada bersamanya. Menurutnya, semasa dia masuk ke lorong rumah Zely, dia nampak Ainnur berlari. Mujurlah dia sampai tepat pada masanya. Jika tidak, entah apa yang akan terjadi kepada temannya itu.

“Terima kasih, Fiza. Jaga dia untuk aku!” ulang Zely lagi sebelum talian telefon bimbitnya dimatikan. Dia memejamkan mata. Perkara yang sangat ingin dielakkan kini benar-benar terjadi. Dia benar-benar kesal.

Sekitar Lebuhraya Persekutuan

RAFIZA memberhentikan keretanya di bahu jalan setelah beberapa ketika memandu. Dia tidak boleh menumpukan perhatian pada pemanduan kerana tangisan Ainnur semakin menjadi-jadi. Dia langsung tidak boleh memandu dengan keadaan Ainnur yang sedang dilanda emosi begitu.

Sebaik kereta berhenti, Ainnur memeluk Rafiza lalu menangis semahu-mahunya di bahu Rafiza. Dia melepaskan kesedihan di hati bersungguh-sungguh. Rafiza berasa begitu empati hinggakan dia turut sama menangis.

“Ambil tisu ni.” Setelah beberapa ketika, Rafiza menghulur beberapa helai tisu dari dashboard keretanya. Dia merenung wajah Ainnur yang nampak kusut benar malam itu. Tentu masalah yang dihadapi Ainnur begitu besar hinggakan Zely yang paling rapat dengannya telah mengalah.

“Minum air ni dulu. Tenangkan diri.” Rafiza mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Jika Ainnur tidak mahu bercerita apa-apa, dia akan turutkan saja. Pada fikirannya saat ini, dia harus menenangkan Ainnur, itu saja. Ainnur perlu rasa yang dia punya seseorang yang berada di pihaknya buat masa ini.

Setelah tangisan Ainnur reda dan kelihatan sedikit tenang, Rafiza bersedia untuk meneruskan pemanduannya. Dia bimbang juga tentang keselamatan mereka. Lorong yang mereka lalui agak suram disebabkan tiang-tiang lampu berada agak jauh antara satu sama lain. Orang pula tidak ramai yang lalu-lalang.

Ainnur berpaling pada Rafiza yang sudah masuk ke Lebuhraya Persekutuan. Lampu-lampu jalan sudah terang-benderang menyuluh kegelapan malam. Jam di dashboard telah menunjukkan 10.00 malam. Rafiza menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sesekali Ainnur dapat rasakan, Rafiza menjelingnya.

“Terima kasih sebab datang,” beritahu Ainnur sambil cuba tersenyum.

“Tak ada apa. Masa kau perlukan aku, aku mesti datang.” Rafiza memegang tangan Ainnur cuba memberikannya kekuatan semula.

“Tolong hantar aku balik rumah.” Ainnur bersuara perlahan, tetapi bernada tegas.

Rafiza memandang Ainnur sekilas sebelum mengangguk mengiakan.

“Aku dah buat keputusan…” Tanpa disuruh-suruh Ainnur memberitahu Rafiza.

“Tentang apa?” tanya Rafiza sedikit keliru. Dia tidak tahu pokok pangkal cerita Ainnur, tetapi temannya sudah membuat keputusan.

“Aku akan turut apa saja kemahuan ibu walaupun itu bermakna aku akan padamkan semua cita-cita aku. Mungkin ada betulnya kata Zely… aku sudah buat keputusan untuk lupakan dia. Seharusnya aku terus melangkah bukan membiarkan diri terus dibuai kenangan silam.” Ainnur berkata perlahan. Lebih kepada dirinya sendiri.

“Lupakan siapa?” Rafiza tercengang-cengang tidak faham. Dia keliru apa yang sedang diperkatakan sahabatnya itu.

“Lupakan siapa, Ainnur?” ulangnya sekali lagi.

“Suatu hari nanti, aku akan ceritakan segalanya. Bila aku sudah benar-benar bersedia. Sekarang, kau hantar aku pulang ya. Tentu ibu bapa aku risau sebab aku keluar rumah lama sangat dah.” Ainnur memberitahu sambil menggenggam tangan Rafiza.

Rafiza hanya mengangguk sahaja. Dia akan tunggu masa di mana Ainnur betul-betul bersedia meluahkan segalanya. Dia arif sangat dengan gadis bernama Ainnur Azleen di hadapannya ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93958/cinta-pandang-ke-2