[SNEAK PEEK] CIK SOMBONG BALIK GHOMBAU

Cik Sombong Balik Ghombau Oleh Cici Aida

 

ABANG!” jerit Erman kuat.

Berpaling Hans bila namanya dipanggil. Kelihatan adik sepupunya berlari dengan wajah cemas.

“Kenapa ni, Man?”

“Kak Ira…”

“Apo kono ea ni, Man? Cubo ambik napeh dulu nak bocakap tu.” Ujar Leman. Tercungap-cungap dilihatnya reaksi cucunya itu.

“Kak Ira jatoh kek sungai.”

“Hah?” Buntang mata Hans mendengar.

“Apo dibuek ea kek situ? Sensorang ko beduo?”

Erman hanya mampu mengangkat satu jari. Tak larat dia nak bercakap lagi. Biarlah abang sepupu dan datoknya melihat sendiri.

Tanpa bertanya lagi, bergegas Hans berlari mengikut langkah adik sepupunya yang terdahulu. Risau hatinya bila mendapat tahu si isteri jatuh sungai. Kaki itu mana pernah jejak ke sungai. Apatah lagi kalau dah terjatuh dan kebasahan. Mahunya cik puan sayangnya itu sedang mengamuk sakan sekarang.

“Aiik, parang den tu nak dibawak ke mano?”

Tak terjawab Hans bila kaki sudah laju berlari. Terbayang-bayang dia akan wajah si isteri saat ini.

“Allah, sayang…kenapa mandi sungai tak ajak abang?” Itu soalan yang ditanya Hans. Tangan bercekak pinggang sambil memandang dari atas tebing.

Bertambah cembeng muka Ira Harisya mendengar. Dua orang adik sepupu Hans yang turut di situ bersahaja menggelakkan reaksi spontan Hans.

“Sampai hati kau ejek aku. Tolonglah…” Menangis Ira Harisya yang masih terduduk dalam air.

Dalam rasa bersalah sempat lagi bibir menarik senyum. Comel sungguh isterinya buat muka cembeng. Pertama kali dia melihat wajah yang biasanya garang itu bertukar sedih macam budak-budak.

“Ya ya, abang nak tolonglah ni. Nampak? Dah sampai pun.” Basah kaki seluarnya sebaik menjejak kaki dalam sungai.

“Macam mana boleh jatuh ni?”

Tubuh Ira Harisya terasa berat bila mahu diangkat.

“Ada pacat gigit kaki aku tadi. Sakit…” rengek Ira Harisya.

“Mana? Dah cabut ke belum?”

“Dah.” Mata sempat menjeling pada dua adik sepupu Hans yang sedari tadi menjadi pemerhati di atas tebing.

Gerak mata si isteri cukup buat Hans faham.

“Erman ajak kakak mandi sungai ke?”

“Taklah.”

“Akif pun tak.”

“Habis tu macam mana kakak boleh jatuh sungai?”

“Entah. Kakak tiba-tiba je main lompat-lompat lepas tu jatuh. Kan, Akif?”

“Lompat-lompat lepas tu jatuh. Macam anak beruang mandi.”

Serentak dua kanak-kanak itu tergelak.

“Dah. Tak baik tau ejek-ejek orang bulan puasa. Pergi balik. Nanti abang cakap dengan mak Erman dengan Akif mandi sungai. Nak?”

Terdiam kedua-duanya melihat riak wajah tegas Hans. Masing-masing menggeleng.

Melihat kedua kanak-kanak itu sudah pergi, Hans kembali senyum memandang Ira Harisya.

“Macam anak beruang mandi.” Menutup mulut Hans menahan ketawa.

Sakit saja hati Ira Harisya melihat reaksi suaminya ketika itu. Kalau kakinya tidak sakit, memang dia sudah bangun membenam Hans. Biar sama-sama basah kuyup.

“Diamlah! Kau hantar aku balik KL sekarang juga.”

Terdiam Hans. Ketawanya ikut terus tertelan.

“Okey, abang minta maaf. Sayang janganlah marah-marah. Kitakan sekarang ada di tempat damai, sambil menghirup udara yang nyaman. Dapatlah melihat flora dan fauna. Sesekali rasa suasana begini, apa salahnya.”

“Banyaklah kau flora dan fauna. Angkatlah aku cepat. Dah sejuk ni.” rengek Ira Harisya dipenghujung ayat.

“Sayang tak boleh berdiri?”

“Kaki aku sakit…”

Alahai manjanya cik puan sayang ni. Juling mata Hans nak mengatakan tidak. Apa nak buat kalau dah sayang. Berat pun dia sanggup pikul bawa naik atas.

“Sayang tunggu sini ya.”

“Kau nak ke mana?”

“Adalah. Kejap ya.”

Melihat Hans berlari meninggalkan dia sendiri atas tanah, Ira Harisya kembali seram. Walaupun tidak berdekatan dengan semak, tapi bila mengingatkan binatang bernama pacat itu terus bulu romanya meremang.

“Bodosup amek kau belari yo. Mano oghang ghumah kau?”

“Ada kat tebing sungai tu.”

“Lukueh ko deh?”

“Ha’ah. Pinjam kereta, Tok. Nak bawa barang.”

“Kek topi nun. Alang-alang tu, bawa an pisang tu balik kali.”

Pisang? Bersilih ganti kereta sorong dan setandan pisang yang terbaring atas tanah dipandang. Terkebil-kebil Hans nak buat keputusan. Muat ke? Berat pula hatinya nak menolak permintaan Atok.

“Hm..yelah.”

Berbekalkan setandan pisang, Hans kembali semula mendapatkan Ira Harisya yang masih terduduk di tebing sungai.

“Jom balik.”

Tak berkelip mata si isteri memandang kereta sorong ditangannya.

“Kenapa?”

“Aku mana larat nak jalan. Kau dukunglah. Tak kan kau nak paksa juga.”

“Siapa kata abang paksa. Abang tolak aje. Sayang naik atas ni.”

“Dengan pisang?”

Sambil tersenyum Hans mengangguk.

“Kau ingat aku barang nak tolak dengan kereta sorong ni? Tak naklah!”

“Habis tu, sayang nak abang buat macam mana?”

“Kau dukunglah aku. Pisang ni tinggalkan.”

“Eh? Tak boleh. Atok dah pesan suruh bawa balik sekali. Kalau abang tinggalkan dekat sini, nanti monyet makan.”

Ergh! Rasa nak menjerit sekuat hati saja melihat perangai lurus si Hans ni.

“OMAK!” jerit Haykal

“Apo namo eh tojoret-joret ni?” Meleret suara Mak Teh menyahut.

“Atok tobang pisang banyak, mak. Satu keto sorong Abang Hans tolak tu ha.”

“Sok-sok kito buek pongek yo.”

Beria Mak Teh berjalan laju ikut sama melihat di muka pintu. Elok sungguh hasil tanaman pisang ayahnya di kebun. Tak sia-sia berbakti kepada tanah. Selebihnya, bolehlah anaknya tolong jual di kedai nanti.

“Eh?”

Dengan muka tercengang dua beranak ini berpandangan sesama sendiri. Kain yang menutupi separuh badan kereta sorong itu rupanya, ada orang.

“Pisang apo namo ea tu?”

“Pisang lisut.”

“Heh!”

Laju tangan Mak Teh melibas bahu si anak dengan kain lap. Boleh saja anak bujangnya tergelak-gelak.

“Dongar dek bini ea kang, joghuk muko eh.” Tegur si emak.

“Emang muko tu dah joghuk. Nak sonyum kek oghang punyolah payah. Jobo.” Bersahaja Haykal mengutuk.

“Apo kono ea sampai besorong-sorong dalam keto ni?”

Belum sempat Ira Harisya membuka mulut nak menjawab, giliran Haykal menyambung dengan pertanyaan kedua.

“Mesti akak kecil-kecil dulu tak dapat naik kereta sorongkan? Sebab tulah teringin.” Haykal menyengih.

Memerah muka Ira Harisya bila soalan itu diajukan padanya. Kurang asam punya budak. Suka hati saja nak kata dia begitu. Rasa nak angkat kakinya tinggi-tinggi biar mata itu nampak kakinya lebam.

Hans yang bersedia nak menurunkan si isteri dari dalam kereta sorong, tersenyum memerhati wajah cemberut Ira Harisya. Sabar sayang, sabar. Hati berbisik sendiri.

Bap!

“Auw!” terjerit Ira Harisya.

“Sorry-sorry. Abang tak sengaja. Sayang okey tak?”

Berdesis Ira Harisya sambil menggosok punggung sendiri. Elok-elok dah macam Cinderella kena dukung, tapi boleh pula dihempas ke tanah. Mesti Hanas sengaja nak sabotajnya. Rasa patah tulang punggungnya sekejap.

“Kau nampak aku okey ke? Sakitlah!” rengus Ira Harisya.

Terlepas ketawa Haykal melihat telatah abang sepupunya Hans. Lelaki ini boleh saja tersenyum-senyum biarpun kena marah. Tapi sekejap, tiba-tiba Haykal terasa tangan si emak menyiku lengannya. Mata itu sudah memberi isyarat supaya masuk.

Menggaru kepala Hans. Tak ada niat dia nak jatuhkan isteri sendiri tadi. Agaknya tangan dia terkejut sebab dah lama tak angkat isteri sendiri ni.

“Mari sini abang tolong.”

Belum sempat tangan dihulur…

“Tak payahlah. Biar aku bangun sendiri. Kalau harap kau angkat mahunya aku tersadung kat depan pintu tu pula.”

“Ish, sayang ni. Tak baik cakap macam tu. Kata-kata tu satu doa tau. Abang bukannya sengaja nak jatuhkan sayang tadi. Mungkin sayang dah berat kot. Yelah, seminggu duduk sini macam-macam yang sayang makan.”

“Apa kau cakap?”

“Err…tak abang terlebih buat kerja berat agaknya. Sebab tulah tangan ni lenguh tadi. Dahlah. Sayang masuk mandi ya. Dah nak maghrib ni.”/p>

“Kejap!”

“Aku dengar apa kau cakap tadi. Baik kau cakap. Aku dah gemukkan?” Bibir Ira Harisya mula cembeng.

Dengan pakej muka begitu, mula buat hati Hans lemah. Dia bukan boleh tengok isteri sendiri sedih. Terasa dirinya yang bersalah.

“Ayoyo aci, jangan pikir itu macam. Aci banyak lawa, banyak cantik, mana ada gemuk. Itu gajah dalam hutan juga gemuk. Aci, ini macam. Muah..muah..muah.. Bikin hati mata saya susah mau tidur. Amak.” Berkali-kali ibu jari sendiri Hans cium.

Cuba meyakinkan hati cik puan sayangnya.

“Kau ni mengadalah. Saja nak sedapkan hati akukan.”

“Sayang jangan ambil hati apa abang cakap tadi. Abang gurau je.”

“Hm…”

Tertahan-tahan Ira Harisym menahan senyum. Suka sangat buat memek muka nak tarik perhatiannya.

“Sayang…”

Kaki yang baru melangkah setapak, kembali berhenti. Ira Harisya berpaling memandang reaksi suaminya.

“Kalau sayang besar peti sejuk sekali pun, abang tetap sayang. Sayang, sayang, sayang tau.”

Buntang mata Ira Harisya mendengar. Laju tangan mencapai selipar depan pintu. Belum sempat nak dibaling, Hans sudah mencicit berlari ke belakang rumah. Tau takut.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278587/CIK-SOMBONG-BALIK-GHOMBAU

[REVIEW] PENGGARI HATI MR EGO

Penggari Hati Mr Ego Oleh Cici Aida

 

“Kenapa aku? Sepatutnya kau yang minta maaf sebab kau cuba nak bunuh aku tadi. Nyaris tak mati katak. Kalau jadi apa-apa dekat aku tadi, belum tentu kotak buruk kau tu mampu nak bayar insurans nyawa aku.”- Dania. “Hei, kenapa mulut kau ni jahat sangat ha? Aku tak pernah jumpa perempuan sewel kuat menjawab macam kau ni. Kalau aku tak tarik kau tadi, memang kau dah mati katak. Aku juga yang rugi, sebab kau tak dapat bayar ganti rugi kereta aku. Aku tak nak banyak cakap. Bayar sekarang!!! – Lutfi. Dania Wirdani, gadis yang selamba dan pantang dicabar. Selalu ada jawapan bagi setiap persoalan. Manakala Ahmad Lutfi, lelaki yang penuh displin diri. Namun, sikapnya yang angkuh terhadap Dania, membuatkan dirinya digelar Mr. Ego oleh gadis itu. Benteng hati si gadis seolah sukar dijangka. Dan dalam diam Dania telah mencuri hatinya. Biarpun tidak dizahirkan dengan kata-kata, hati mula dipaut rasa suka. Jiwa terang menari bahagia. Ucapan sayang tidak pernah terungkap, tetapi ikatan suci yang dibina dengan restu keluarga, mula mengalun cinta. Dania sedar dengan siapa dia berkahwin. Dan Lutfi juga tahu, mengapa Dania yang dipilih. “Awak hanya pentingkan diri sendiri Fi. Sepatutnya saya berfikir sepuluh kali untuk berkahwin dengan lelaki luar biasa macam awak.” – Dania. “Cukup..! Memang saya lelaki luar biasa yang awak tak pernah tahu. Semua yang saya pendam, semua yang saya simpan tak mungkin ada hati yang akan faham. Dan antara kita tak perlu ada rahsia lagi Dania.” – Lutfi. Kedua-duanya punya prinsip bagi mengatur langkah untuk kehidupan sendiri. Tetapi apabila Dania memiliki Lutfi, bermakna dia adalah seorang isteri. Dan mampukah Lutfi sebagai suami meletakkan ego di tempat yang sepatutnya? Bila hati digari cinta, meluahkan bukan semudah yang disangka. Sebaliknya, hanya keihklasan yang menentukannya.

Novel Penggari Hati Mr Ego hasil karya Cici Aida merupakan sebuah novel yang sangat santai untuk dibaca dan mempunyai gaya jalan cerita yang menarik di setiap bab yang mampu mencuit hati. Kisah permulaan perkenalan antara Lutfi dan Dania adalah dengan cara tidak baik. Mereka sering bergaduh dan bertengkar setiap kali berjumpa. Lutfi adalah seorang hero yang memegang watak yang sangat ego manakala Dania merupakan seorang wanita yang zahirnya memang kasar dan suka melawan kata. Rania, merupakan kekasih hati Lutfi, seorang model dan Lutfi sangat menyayangi wanita tersebut. Malangnya hubungannya tidak begitu diterima baik oleh ibunya sendiri. Tetapi takdir telah menentukan bahawa akhirnya Latif dan Dania berkahwin. Apakah kesudahan yang akan terjadi? Mengapa Latif bersetuju untuk mengahwini Dania? Apa yang berlaku kepada Rania, kekasih hatinya?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278597/Penggari-Hati-Mr-Ego