Sejenak Bersama Azleya Shadzalin

Antara hasil karya Azleya Shahdzlin dalam industri buku

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Bagi bulan ini, admin berjaya menemu bual seorang penulis novel yang kini telah menghasilkan 5 buah novel keseluruhannya.

Saya Azleya Shadzalin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Sebelum ini saya bernaung di bawah rumah penerbitan KarnaDya. Selepas itu bersama Alaf 21 (Karangkraf) sehingga sekarang.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Azleya Shadzalin menulis?

Sebelum menjadi penulis saya memang peminat novel. Saya gemar membaca. Jadi secara keseluruhannya saya mendapat inspirasi dari pembacaan novel penulis-penulis senior dan rakan-rakan penulis yang lain.

2. Apa makanan kegemaran Yatie Atiqa?

Saya amat menggemari sate, rojak manis, western food dan sudah tentu sebagai orang Johor, asam pedas merupakan salah satu makanan kegemaran saya.

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Aina Emir, Aisya Sofea, Hani Fazuha, Melur Jelita dan semua penulis secara amnya. Saya kan minat membaca jadi semua penulis saya suka. Tak kira penulis senior atau penulis baru.

4. Apakah novel kegemaran Azleya Shadzalin? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Banyak! Antaranya novel-novel Aina Emir, novel-novel Aisya Sofea, novel-novel Melur Jelita dan banyak lagilah.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Ada. Kucing.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Saya suka ke Mekah dan Madinah. Tenang dan banyak memberi inspirasi dari segi jiwa dan nurani. Tapi itu tidak dikira melancong kan? Jadi, jika destinasi pelancongan, saya memilih Korea, Indonesia, negara Timur Tengah atau negara Eropah sebab banyak tempat menarik dan situasi yang boleh membuahkan idea selain dapat bercuti dan bersantai.

7. Apakah Azleya Shadzalin merancang untuk menulis dan produce novel terbaru? 

Ya, sudah semestinya. Sebagai penulis saya sentiasa mahu hasilkan sesuatu untuk tatapan pembaca dan untuk kepuasan diri sendiri bila dapat menjadikan idea yang terangka di minda dalam bentuk cetakan.

8. Apakah pesanan Azleya Shadzalin kepada pembaca di luar?

Apa yang mampu saya katakan, terimalah apa yang penulis hasilkan seadanya. Kami penulis ni sudah cuba sedaya upaya untuk hasilkan karya yang terbaik dan memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Maafkan saya dan penulis lain jika hasil karya kami tidak menepati citarasa. Tegurlah sebaiknya agar kami boleh perbaiki dari masa ke masa.

9. Pada pandangan Azleya Shadzalin, apa istimewanya novel Azleya Shadzalin berbanding novel lain di pasaran?

Saya hanya penulis kecil. Tiada yang istimewa tentang penulisan saya. Masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari. Apa yang saya tulis setakat ini adalah berdasarkan kisah benar jadi saya berharap agar karya saya mampu menyentuh jiwa pembaca dan moga ada sedikit pengajaran yang dapat pembaca perolehi dari penulisan saya.

10. Dari mana Azleya Shadzalin selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Secara keseluruhannya saya banyak mendapat idea dari perkongsian cerita kawan-kawan dan kenalan. Selain itu dari pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Saya suka perhatikan keadaan dan situasi yang berlaku tak kira di mana saja.Ada juga sedikit pengalaman sendiri yang saya selitkan dalam penulisan sebagai kenangan.

11. Apa rutin harian Azleya Shadzalin? Ada yang rare tak?

Tak ada yang rare pun. Saya mempunyai pekerjaan tetap jadi masa saya memang sentiasa terisi dengan tugasan dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Di sebelah malam pula selepas meluangkan masa bersama anak-anak dan keluarga, barulah saya menulis. Itu pun jika tidak terlalu letih. Menulis dan membaca novel merupakan hobi yang mampu buat saya release tension bekerja selepas menghadapi hari yang panjang dan melelahkan.

12. Describe diri Azleya Shadzalin dalam 3 patah perkataan?

Saya suka cabaran.

13. Apa nasihat Azleya Shadzalin kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Menulis ni ibarat percaturan nasib. Kadang di bawah dan kadang di atas. Tak semua pembaca dapat terima hasil karya kita. Jangan putus asa dan teruslah berkarya. Menulislah dari hati. Ikhlas dalam berkarya. Bukan semata-mata mengejar glamour dan populariti. Intergrati dan maruah dunia penulisan kenalah jaga.

14.  Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Azleya Shadzalin kuasai?

Tiada.

Kami berharap agar cik Azleya Shadzalin akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarika dan bermutu. Jika anda berminat dengan tulisan beliau, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya.

Karya terbaru Azleya Shadzalin boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_28_azleya-shadzalin/~

[SNEAK PEEK] CUMA DIA

9789831244357-medium
EBUKU Cuma Dia Oleh Norzailina Nordin

SENYUMAN yang masih bersisa di bibir Dalila lenyap serta-merta tatkala mereka bertentang mata. Degupan jantungnya kencang. Lututnya terasa lemah. Jari-jemarinya menggeletar dan dia hampir-hampir sahaja rebah jikalau tidak memaut kerusi yang paling hampir dengan pintu itu. Iqbal?

“Dalila… you… you terkejut tengok I?”

Gadis itu hanya merenung Iqbal seolah-olah dia tidak berpijak di bumi nyata. Seakan-akan lelaki itu hanya ilusi. Dan dia seperti berhalusinasi.

“Duduk dulu…” pinta Iqbal sambil tersengih. “Ah, macamlah ni ofis I! You… you nampak luar biasa cantik, Lila. Tadi I hampir tak cam muka you. Ada seri yang tak pernah I nampak sebelum ni. You memang dah berubah. You tak macam yang I kenal dulu.”

Dalila menghela nafas panjang. “Iqbal…”

“Maafkan I, Lila. I tak bagi tahu yang I dah balik dari Tanzania. Masa di sana pun, I cuba contact you, tapi you pun faham. Kat sana tak macam sini.”

Iqbal sudah berubah! Rambutnya panjang mencecah bahu. Mukanya lebih cengkung daripada dulu. Dan tubuhnya ternyata lebih kurus sehinggakan kemeja corak kekotaknya nampak terlalu besar. Malah, kulitnya juga lebih gelap.

“Iqbal…”

“Dengar dulu cerita I, Lila.”

Dalila deras menyampuk. “Tapi ni waktu kerja. I rasa tak patut sangat kalau…”

Lelaki itu mengangkat tangan kanannya ke atas sedikit, seolah-olah meminta izin untuk mencelah percakapan Dalila. Matanya bersinar dengan semangat yang berkobar-kobar. Dia seolah-olah sudah menunggu saat pertemuan ini sekian lama sehingga setiap inci tubuhnya begitu teruja dan dia tidak dapat mengawal gerak hatinya.

“I tahu, Lila. I sanggup tunggu. Petang ni, I datang jemput you lepas habis kerja, ya?”

“I tak tahu pukul berapa. I sibuk hari ni, Iqbal.”

“Esok?” cadang lelaki itu. “Atau lepas you habis semua kerja? I dah lama tunggu nak jumpa you, nak makan dengan you dan berbual dengan you. I tahu kita dah banyak habiskan masa dengan sia-sia. Jadi, kita akan cuba bersama setiap masa yang terluang.”

Dalila melemparkan pandangan ke langit dan kepulan awan umpama sisik-sisik ikan di persada kebiruan. “You dah berubah, Iqbal.”

“Ya, I dah kurus, rambut I dah panjang… I tak sempat ke kedai gunting sebab tak sabar nak jumpa you,” jelas Iqbal. “You pun sama. I nampak ada cahaya bahagia di mata you. You rindukan I ya, Lila?”

“Sebelum ni, you tak bercakap banyak, Iqbal. Sekarang you macam… macam sangat peramah pula. I tak faham.”

Iqbal mengeluh. “Banyak hal dalam dunia ni yang kita tak faham, Lila. Kalau hidup seribu tahun pun takkan faham.”

“Kenapa you cakap berbelit-belit?” Dalila menggunakan nada suara yang sama ketika menginterogasi pihak yang bersalah di dalam kamar mahkamah.

Dia semakin tidak memahami Iqbal walaupun jauh di sudut hati, dia sebenarnya amat lega melihat lelaki itu kembali dengan selamat. Ada sesuatu dalam nalurinya yang telah ‘terbangun’ dengan kehadiran lelaki itu, tetapi dia cuba menepis segala perasaan lama itu.

Selama ini, dia memikirkan Iqbal tidak akan muncul dan telah menutup pintu minda yang terisi dengan segala kenangan manis bersama Iqbal. Tiba-tiba tatkala terlihat lelaki itu semula, pintu minda itu terbuka dengan sendirinya. Semua kenangan umpama tayangan di layar perak fikiran. Dia langsung tiada upaya menghalangnya.

“Macam-macam pengalaman I nak kongsi dengan you, Lila. 1001 malam pun, takkan habis. Macam Scheherazad yang menceritakan hikayat kepada suaminya supaya dia terlepas daripada hukuman bunuh dan dibiar hidup untuk satu hari lagi.”

“Kenapa you dah berubah?”

“Maksud you?”

Dalila memeluk tubuh. “Dulu you tak seramah ni. You lebih banyak diam, berfikir dan sentiasa beringat. Sekarang, you macam…”

“Pandang I, Lila… I rindukan you. I tak nak lagi berpisah. I tahu, dah berbulan-bulan I tak call atau SMS, tapi TUHAN tahu, I dah cuba sedaya upaya. I nak cerita semuanya tapi…”

Sebuah ketukan terdengar di pintu. Dalila bergegas membukanya.

“Ada mesyuarat dalam masa 10 minit lagi,” kata seseorang di sebalik pintu.

“Okey.” Dalila menutup pintu dan berpaling ke arah lelaki itu. “You kena pergi, Iqbal.”

“I tunggu you petang nanti?”

Gadis itu tidak menjawab.

“Telefon I rosak, semua nombor hilang. Boleh you, hmm…” Lelaki itu ketawa. Tidak, dia tidak kelihatan semuda dulu. Mungkin di Tanzania, dia telah mengalami kesulitan yang tidak terkata. “Kenapa I rasa macam orang bodoh, Lila?”

Dalila mengelak daripada menjawab. Dia terus memberikan nombor telefonnya. “Nanti you SMS I, ya?” Kata-kata itu sekadar sebuah janji supaya Iqbal lekas beredar dari situ.

“I datang jemput you petang ni, ya? Kereta I rosak, kena servis…” Iqbal ketawa lagi. “Tapi, kita boleh jalan kaki atau naik teksi, kan?”

“Naik kereta I pun tak apa.” Entah apa yang mendorong Dalila untuk berkata sedemikian. Mungkin atas dasar terlalu simpati.

Iqbal berdiri. Dan Dalila membiarkan lelaki itu keluar tanpa menghantarnya ke pintu hadapan ofis. Hatinya sebak melihat lelaki yang pernah dan sedang mendambakan kasih daripadanya itu. Kenapa Iqbal harus muncul di saat dia sedang membilang hari untuk menjadi isteri Hilman?

Terlintas pada fikirannya untuk menelefon Hilman, tetapi dia perlu membereskan pelbagai kerja terlebih dahulu. Satu demi satu urusan menghambat waktunya sehinggalah Suraya menelefonnya jam 5.10 petang.

“Lila, kamu balik makan di rumah ke malam ni? Mak ingat nak masak taucu yang kamu suka sangat tu.”

“Tak… tak, mak. Ada kerja sikit nak buat. Tak tahu lagi pukul berapa nak balik.”

“Ingat pesan mak, kalau boleh, jangan jumpa Man. Nanti hilang seri pengantin.”

Sebaik sahaja mengucapkan ‘bye’ kepada Suraya, telefon Dalila menerima SMS. Daripada Iqbal!

I tunggu you di lobi. Tak kira pukul berapa you turun, I sanggup tunggu. I dah lama tunggu saat ini, berapa jam lagi pun tak apa.

Sedang Dalila berkira-kira sama ada hendak menelefon Hilman atau tidak, dia menerima panggilan daripada Vanessa. Kata rakannya itu, Gomez memberitahunya tentang kedatangan Iqbal.

“I ingat you nak call I tadi… nak cerita hal tu.”

“Sorry… hari ni I sibuk sangat, Vee. Fikiran I tak tentu arah.”

“Yalah, esok you dah cuti. Tapi, macam mana sekarang?”

“Macam mana apa?”

Suasana pejabat hingar-bingar dengan kakitangan yang bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada juga yang galak membuat perancangan untuk menghabiskan sisa-sisa petang dan malam melepak di Bintang Walk. Mereka yang kaki sosial memang mempunyai pelbagai agenda sendiri dalam usaha mencari keseronokan.

“Iqbal.”

“Oh… dia tunggu I kat bawah sekarang.”

“Lila!”

“Ya… I patut cakap kat Hilman tak?”

“Kenapa?”

“Kalau dia tahu, mungkin dia marah,” sahut Dalila.

“You belum jadi isteri dia, Lila.”

“Okeylah, Vee. I pergi dulu, ya?”

“Bye…”

Semasa menunggu lif, Dalila berasa tidak sedap hati. Nalurinya mengatakan, dia mesti memberitahu Hilman. Niatnya ikhlas hendak bersemuka dengan Iqbal dan menceritakan segala-galanya. Ini umpama pertemuan terakhir. Tidak mungkin Hilman akan mengesyaki apa-apa. Hilman pun tahu siapa Iqbal. Buat apa dia hendak berselindung jika niatnya ikhlas?

“Helo, sayang…” Seperti selalu di laman chatting, Hilman akan memanggil Dalila begitu.

Dalila menelan liur kerana tiba-tiba sahaja tekaknya terasa kering. Inilah saat paling payah dalam kamus hidupnya semenjak mengenali Hilman. Namun, seandainya dia ikhlas, tiada sebab untuk Hilman berasa curiga.

“Man, I nak minta izin…”

“Izin? Apa halnya?”

“Susah sangat nak cakap. Tapi, I… hmm, you ingat Iqbal?”

Di hujung talian, Hilman terdiam sejenak. Sukar buat Dalila untuk meneka apa yang sedang bermain di benak lelaki itu. Terkejutkah dia? Marahkah dia? Geramkah dia?

“Iqbal, kawan you yang pergi ke Afrika tu?”

“Ya… dia dah balik.”

Hilman membisu lagi.

“I nak jumpa dia, nak cerita hal sebenar. Boleh ke?”

“Bila dia balik?”

“Tak tahu… tapi dia datang ke ofis tengah hari tadi, dan tunggu di lobi sekarang.”

Setelah jangka masa yang dirasakan oleh Dalila terlalu panjang, Hilman berkata, “Okey.”

****

IQBAL yang sedang tersenyum ke arah Dalila petang itu bukan Iqbal tengah hari tadi yang kelihatan tidak terurus langsung. Rupa-rupanya, lelaki itu mengambil peluang ke kedai gunting rambut. Dengan berkemeja biru muda, jaket kulit warna khaki dan seluar coklat tua, dia mampu menarik perhatian ramai wanita yang berjalan di lobi itu.

“Dalila, you nampak letih…”

Gadis itu hanya tersenyum. Mereka melangkah ke tempat parkir. “Kita nak makan di mana?” soalnya sambil menekan penggera Persona.

“Biar I bawa, Lila…”

Dalila mengetap bibir dan termenung sejenak. Dia tidak tahu kenapa, tetapi hatinya begitu lembut terhadap Iqbal. Ada sesuatu dalam pandangan lelaki itu yang meruntun jiwa. Entah apa gerangannya, dia sendiri tidak mengerti. Persona bergerak perlahan dalam kesesakan di Jalan Yap Kwan Seng.

Iqbal kembali pada persoalan yang dikemukakan oleh Dalila tadi. “Ya, I tahu… I janji akan bawa you ke sana, masa I dalam penjara di Stone Town.”

“You… you masuk penjara?”

Iqbal tersengih. “I akan cerita satu per satu. I nak cerita semuanya supaya you tahu apa sebenarnya yang dah jadi pada I di sana. Dan Lila, I nak berterus terang dengan you.”

Dalila mengerutkan dahi. “Jadi, selama ni you simpan rahsia? You sengaja buat I tertanya-tanya?”

Iqbal tersenyum. Dia sudah agak kurus, tetapi tubuhnya tetap nampak tegap dan berkarisma. Mungkin dia banyak membuat gerakan fizikal ketika di Tanzania.

“Malam ni, kita boleh bercerita sampai subuh, Lila.”

Jangan merepeklah, bisik gadis itu di dalam hati. Dia ingin segera pulang dan menelefon atau berchatting dengan Hilman. Dia ingin berkongsi bermacam cerita dengan bakal suaminya itu. Dia juga mahu mendengar kisah hidup Hilman di Kanada.

“Kita ke Mid Valley, ya? Tempat kita mula-mula jumpa dulu?” cadang Iqbal.

Dalila menggeleng. “Ramai sangat orang di sana.”

“Kalau tak nak ramai, kita boleh ke bistro di Bangsar tu. Atau… Tamarind Hill.”

Oh tidak! Tamarind Hill menyimpan kenangan manis antara Hilman dan aku, fikir Dalila.

“Kalau you suka, kita boleh beli take away dan makan di dalam kereta sambil pusing-pusing menghabiskan minyak. Terpulang pada you, Lila… tapi jangan di tempat yang mahal sangat, I tak ada duit.”

“Gila you!”

Iqbal tergelak. “I tengah cari kerja.”

“Apa dah jadi?”

“SRICOM pecat I. Cuti I habis dan I tak dapat bagi tahu mereka, I dalam kesusahan di Zanzibar.”

Mereka membisu seketika. Kesesakan begitu teruk pada petang itu. Akhirnya, Iqbal bercadang membelok ke kiri menuju ke KLCC. Dia yang menetapkan jikalau Dalila masih enggan membuat keputusan.

“Kenapa semua tempat tak bergerak ni?” Iqbal mulai berasa berang. “Tak jadilah nak ke KLCC, kita pergi Great Eastern Mall. Okey juga, kan?”

Dalila menggigit bibir.

“Sorry, Lila. I tak dapat kawal perasaan I. Macam-macam sedang berlaku serentak dalam kepala I. Paling I takut, tak dapat kerja. Tapi kawan I janji, ada tempat lain yang lebih bagus dan gaji lebih tinggi… yang tak perlu I ke luar negara lagi. You suka begitu, kan?”

Gadis itu membisu. Akan sampai masanya dia menceritakan kepada Iqbal status dirinya. Buat masa ini, nampaknya Iqbal sendiri sedang mengalami nasib yang malang. Sampai di tempat yang ingin dituju, mereka terburu-buru ke surau kerana waktu maghrib sudah menjelang.

Kemudian Iqbal mengajak Dalila ke Shyet-Li Kopitiam. Di situ memang agak lengang. Sebetulnya, Dalila tiada selera untuk makan apa-apa. Dia hanya memesan espresso. Iqbal pula, mi Hokkien dengan teh.

“You tak macam dulu, Lila. You sedar tak?” Iqbal menyoal. “I tak kisah kalau you marah I…”

Dalila tidak tahu sama ada hendak marah atau menangis. Selama beberapa bulan tanpa khabar berita, tiba-tiba hadir, sesiapa pun akan marah. “You kata nak cerita tadi.”

“Tak boleh di sini, Lila.”

Jantung Dalila mulai berdegup kencang. Perasaannya bersimpang-siur. Di hadapannya, Iqbal bagaikan orang asing.

Selesai sahaja makan, mereka beredar. Di dalam Persona yang sedang menuju ke MRR2, Iqbal bercerita semula. Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia menjadi pengumpul maklumat untuk membanteras kegiatan pihak tertentu. Itulah sebabnya dia terpaksa ke Pulau Zanzibar. Semuanya berjalan lancar dan dia sudah membuat persiapan untuk pulang ke Dar-es-Salaam dengan feri. Tatkala itulah Farashuu yang banyak menolongnya mendapatkan maklumat, ditangkap oleh Tsehisi.

Dalila mendengar, antara percaya dengan tidak.

Menurut Iqbal, dia berpatah balik kerana ingin menyelamatkan Farashuu, tetapi dia mendapati Tsehisi hanya mahu memerangkapnya. Mujurlah ada seorang lelaki Arab menolongnya. Dia terpaksa menyorok selama beberapa bulan, bimbang ditangkap dan diseksa. Waktu itu, dia menganggap dirinya seperti berada di penjara. Bila berlaku pergaduhan antara Tsehisi dan Kanoute, yang berakhir dengan pembunuhan Tsehisi, barulah dia melarikan diri ke Dar-es-Salaam. Farashuu kembali ke pangkuan keluarganya.

Pihak berkenaan berjaya membongkar penyeludupan dadah di dalam botol bedak. Mereka yang bertanggungjawab menjalankan human trafficking gadis-gadis untuk kegiatan tidak bermoral ditumpaskan akhirnya. Malah, mereka yang terlibat di Malaysia juga sudah ditangkap.

“Semua ni maklumat rahsia, Lila… tapi I percayakan you,” seru Iqbal.

“Bahaya kerja you!”

“Bahaya?” Lelaki itu tergelak. “Kalau you melintas jalan, lagi bahaya kerana ada kebarangkalian dilanggar oleh lori.”

“Boleh berhenti di depan tu?” Dalila menuding ke arah ruang parkir di hadapan tembok pagar Kedutaan China.

“Ada apa di situ?”

“Tak ada apa-apa. I…”

Iqbal memberhentikan Persona di situ. Kawasan tersebut menghadap pokok-pokok besar yang kelihatan amat menggerunkan kerana terlalu rimbun.

“Kenapa?” Iqbal berpaling menghadap Dalila.

“I tak tahu macam mana nak cakap pada you, Iqbal…” Intonasi suara Dalila gementar.

Namun, Iqbal tidak perasan ada sesuatu yang tidak kena. “Lepas dapat kerja, I nak bawa you balik kampung, jumpa emak. Dan kita boleh bertunang.”

Dalila tergelak dalam nada menyindir. “I dapat tahu, Iqbal… you pernah bawa balik anak dara orang ke kampung, akhirnya tak jadi.”

Iqbal terkejut. Air mukanya berubah. “Ikhwan cakap, ya? Betul dia kata, tapi dengan you, I tahu… kita takkan berpisah lagi. Lila, I rindukan you setiap hari masa di Tanzania. Pandang I… I really love you!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73861/cuma-dia

REVIEW MAKNA CINTA

9789831244494-medium
MAKNA CINTA OLEH MARIA ALINA

SEPANJANG zaman remajanya, Zulaikha sering dicemuh, dihina dan diherdik rakan-rakannya kerana dikatakan anak luar nikah. Yusuf antara mereka yang sering menjatuhkan air mukanya.

Hanya kepada nenek tercinta, dia memperoleh ketenangan dan semangat dalam mengharungi liku-liku hidup.

Masa berlalu, Zulaikha diterima sebagai siswi di sebuah universiti tempatan. Dia mula bangkit menjadi gadis yang cekal dan dambaan ramai siswa yang terpikat akan kecantikannya. Tidak ketinggalan Yusuf yang merupakan pelajar senior di situ.

Ke mana sahaja dia berada, Zulaikha sering dibayangi wajah Yusuf. Lelaki itu benar-benar ingin memikatnya. Zulaikha rimas. Namun akhirnya, hati gadis itu cair jua. Perlahan-lahan dia mula menaruh hati terhadap Yusuf.


Bila baca cerita ni admin boleh cakap.. Karma. Tapi kasihan Zulaikha. Berjumpa dengan banyak cinta namun cinta sejati memang sukar untuk dicari. Setelah lama mencari.. Akhirnya dia berjumpa dengan cinta sejati secara tidak diduga..

Benar cinta perlukan pengorbanan dan kalau kita benci orang tu dulu, mana tahu dia mingkin menjadi tulang rusuk kita satu hari nanti.

Zulaikha and Yusuf yang dahulunya bermusuh sejak kecil kerana mereka ingatkan bahawa mereka adalah adik beradik. Selepas beberapa tahun kemudian, mereka berjumpa kembali. Bukan benci yang menanti, malah cinta mula berputik. Benarkah mereka jatuh cinta dan bukan bertepuk sebelah tangan? Cinta memerlukan pengorbanan dan inilah cinta yang penuh dengan pengorbanan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73863/makna-cinta

 

REVIEW AWAK JANGAN NAKAL

9789831249444-medium
EBUKU AWAK JANGAN NAKAL OLEH MURNI AQILA

Pernah dengar pasal Geng Mat Ngek? Ya, memang Ayu jatuh cinta dengan Shahrul. Tapi Shahrul tak senakal Geng Mat Ngek yang suka mengusik, menyakat, membahan dan mengenakan kaum perempuan. Lebih-lebih lagi ketua Geng Mat Ngek, Jeffry. Nakalnya… Bencinya dia melihat Jeffry.

Namun, apa yang kita harapkan adakala lain yang jadi. Disebabkan berada pada masa, tempat dan keadaan yang salah, Ayu terpaksa menerima Jeffry sebagai suaminya. Perkara yang tak pernah dibayangkan terjadi dalam hidupnya, membuatkan dia sengsara. Hubungannya dengan ibu menjadi dingin. Terpaksa pula berhadapan dengan keluarga Jeffry yang kacau-bilau. Argh… tertekan!

Macam manalah hidup dia selepas sebumbung dengan Jeffry? Sedangkan dia masih mengharapkan Shahrul.


 

Kadang- kadang kita suka orang lain, tapi kahwin dengan orang lain. Dalam novel ini,  kita harapkan keajaiban akan berlaku dalam hidup. Suka orang itu, nak sehidup semati dengan orang itu. Namun, itu semua terserah kepada takdir yang menentukan.

Admin suka cerita ni sebab, jalan cerita dia tak heavy dan dekat dengan pembaca kerana setting dalam novel, mudah untuk digambarkan. Kisah cinta Ayu terpaksa menerima Jeff walaupun masih menunggu Shahrul. Mampukah kamu ubah haluan cintamu Ayu terhadapku! Bila admin baca, terus admin membayangkan kalau ia terjadi kepada diri admin sendri.

 

Untuk mengetahui kesudahan cinta mereka, dapatkan ebuku penuh di laman web kami.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66581/awak-jangan-nakal

 

[SNEAK PEEK] Halusinasi

9789831248973-medium
EBUKU Halusinasi oleh Jessy Mojuru

Bunyi kaki bangku menggeser lantai mengisi suasana. Maya menghenyak punggung dengan pandangan sudah pun tersua ke arah monitor komputer. Apapun gadis itu bangkit semula dan berundur dengan muka tegang. Dia terkejut apabila sederetan ayat bertinta merah darah muncu l satu per satu di dada skrin komputer.  Awak akan menerima padahnya, Maya! Ayat-ayat itu kemudian mencair lalu berluyutan deras ke bibir skrin dan kini menitik-nitik menimpa meja komputer. Situasi tersebut tidak berakhir di situ. Cairan yang semacam darah manusia itu kini menyimbah lantai pula.  Maya panik dan berasa amat takut. Dia terus berundur tanpa mengacuhkan lagi bangku tempatnya mendarat tadi terpelanting berhampirannya. Tiba-tiba darah hanyir yang kini menggelegak di depannya itu bangkit lalu membentuk sesusuk tubuh. Lembaga tersebut menyerupai seorang wanita yang memakai jubah hitam.  Maya terpekik apabila lembaga yang terbentuk daripada cairan darah merah itu bergerak perlahan arahnya. “Jangan! Jangan apa-apakan aku! Jangan! Tolongg!” Dia terus berundur dan menjerit histeria. Tersentak dia apabila jatuh tersungkur dari bangku. Dia terlentang dengan belakang kepala terhantuk di dinding bilik.  “Cis, aku tertidur rupanya!” Maya meradang apabila mendapati dia cuma bermimpi tadi. Dalam keadaan mamai, dia bangun sambil mengusap tulang pundaknya. Bangku kayu yang tergolek didirikan. Dengan muka berkerut-kerut dia duduk. “Kan aku dah terbangun dari tidur sebelum ni. Macam mana aku boleh tertidur semula?” Dia mengetuk kepala, semakin bingung memikirkan semua fenomena ini. “Mungkin aku berhalusinasi,” fikirnya mengandaikan situasi dirinya. Lantas ekor matanya tercari-cari mug berisi air Nescafe yang dibancuhnya tadi.  “Kalau benar aku tak berhalusinasi, mesti mug tu masih berada kat sini dan tak berisi apa-apa,” lanjutnya seraya bangun. Dia terkejut tatkala ternampak mug yang dicarinya itu berada dekat dengan balang penapis air. Asap nipis dari dalam mug seramik tersebut masih meliuk-lentok.  “Eh, sakitnya kepala aku.” Maya semakin bingung memikirkan keadaan dirinya serta enigma-enigma yang menghantuinya. Dia kembali duduk dengan pandangan kembali tersua ke arah skrin monitor. Tika ini bendang fikirnya masih dipugar misteri tadi.  Bunyi berderak-derak di luar menyentakkan Maya. Pandangannya beralih sekejap sebelum terjingkit-jingkit menghampiri bunyi tersebut. Bunyi tadi lesap apabila dia melekapkan telinga ke tepi dinding. Lama dia ternanti-nanti di situ sebelum berpatah semula ke tempat duduknya.

“Mungkin aku yang terlalu terikut-ikutkan perasaan.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyedapkan hati.  Waktu ini hari dah lewat malam. Suasana dalam kawasan setinggan ini juga agak sunyi. Tiada apa lagi yang kedengaran selain bunyi kucing dan anjing yang menyalak sekali-sekala.  Maya meneruskan kerjanya. Menaip dan terus saja menaip. Dia hanya terfikir hendak berehat selepas jarum jam dinding menuding angka 3.00 pagi. Dia berganjak ke balkoni untuk mengambil angin di samping mahu melegakan urat sarafnya yang terasa kebas. Entah mengapa, dia berasa seperti sedang diperhatikan dari kejauhan.  “Itu semua hanyalah mainan perasaan,” katanya perlahan dengan muka selamba. Apapun, hatinya bagaikan digamit untuk mengetahui siapa gerangannya yang sedang memerhatikannya ketika ini. Lantas dia berpaling dan terkejut apabila sesuatu melayah pantas melintasinya, hingga dia tak sempat mengenal pasti bendanya yang melayang di depannya tadi.  Perkataan ’hantu’ yang tiba-tiba bercambah dalam batas fikirnya membuatkan dia terus saja terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik. Selepas merapatkan daun pintu, dia merebahkan tubuh di atas katil. Dia ingin berehat dan melapangkan fikiran. Ketika sedang terkebil-kebil itulah dia akhirnya terlelap. Tidak diketahui mahupun disedari oleh Maya, sesuatu sedang merangkak-rangkak keluar dari cermin muka yang tergantung dalam bilik air. Ia menyerupai susuk tubuh seorang wanita muda. Pergerakannya tampak kaku dan amat menakutkan. Susuk tubuh yang semacam mayat reput itu terus saja merangkak keluar dari dalam bilik air dan kini menuju arah ranjang, di mana Maya sedang berbaring.  Kepalanya terteleng-teleng dengan mulut ternganga pucat. Kolam matanya yang putih kelihatan terbelalak. Lembaga itu kemudian bangkit dan berjalan pincang dengan sebelah tangan terhulur. Dari mulutnya tercicir perkataan ‘Maya’. Lembaga itu tiba-tiba berjalan ke belakang, kemudian merangkak dan masuk semula ke dalam cermin mengikut urutan kejadian.  Toyol yang entah sejak bila berada di sebelah Maya menyeringai dengan mata berkilau. Kucing hitam itu masih memandang ke arah bilik air sewaktu Maya terjaga. “Toyol… bisinglah awak ni,” marah Maya lantas terlelap semula tidak lama selepas itu.    “MAYA…”  Maya tersentak apabila satu suara bergema dalam terowong telinganya. Matanya tercelik luas, walhal seingatnya baru seketika tadi dia terlena.  “Mari ikut aku, Maya.”  Maya berasa pergelangan tangannya dicengkam oleh seseorang. Seseorang yang tidak diketahuinya siapa.  “Mari, Maya,” ajak suara itu lagi seakan terdesak. Namun, nada suaranya kedengaran lembut menusuk hati.

“Hisy! Awak ni, Maya… ada-ada ajelah. Awak akan tahu nanti. Marilah!” “Bagi tahulah dulu supaya aku ikut awak.” Maya sengaja bertele-tele. Dia sebenarnya mencurigai niat manusia halimunan tersebut.  Suara itu kedengaran menarik nafas. Maya menanti penuh setia. Sesekali dia tersengih seolah sengaja mahu menayangkan logam pandakap gigi yang dipakainya.  “Tahu tak, Maya… awaklah perempuan paling hodoh yang pernah aku nampak.” Suara itu ketawa kecil.  Maya mencebik. Dia sedikit pun tidak berasa sakit hati. Baginya, itu kata-kata yang jujur dan telus. Orang yang suka memuji tak semestinya ikhlas. Dalam diam, dia berasakan semacam ada kemesraan antara dia dengan lelaki halimunan itu. Dia sikit pun tidak berasa tersinggung dengan usikan suara itu.  “Tapi aku tahu, di sebalik kehodohan itu ada kecantikan yang tersembunyi. Awak cantik sebenarnya, Maya.”  Senyuman Maya spontan melebar dengan sinar mata semacam malu-malu pula.  “Apapun, awak janganlah perasan pula.” “Aku tak perasan pun. Awak tu yang perasan.” Senyuman tadi hilang dan wajah Maya kembali masam.  Suara itu ketawa perlahan. Gelagat Maya membuatkannya terhibur walau di hati berisi derita yang amat dalam.  “Marilah, Maya. Aku harap petunjuk ni dapat membongkar satu misteri.” “Maksud awak?” “Awak akan tahu jugak nanti.” Suara itu menggumam. “Terima kasihlah, Maya… kerana menulis watakku. Kalaulah bukan kerana cita rasa awak sebagai seorang penulis, aku mungkin tak wujud di tengah-tengah medan ceritera awak. Aku benar-benar bersyukur, Maya.”  Terasa jari-jemari Maya digenggam erat. “Tapi haba badan awak macam…” “Aku juga manusia biasa seperti awak, Maya. Sebab itulah kita kena mulakan langkah pertama untuk membongkar satu misteri. Aku akan bantu awak dan awak jugak mesti berjanji akan membantu aku keluar dari lembah ni.” “Cakap awak ni berbelit-belitlah,” keluh Maya semakin bingung. Dipandangnya suara itu, namun hanya dinding bilik terarca depan matanya. Keluhannya berhamburan. “Pejam mata, Maya,” suruh suara itu. Maya segera memejamkan mata, namun membukanya semula. Ada sesuatu melintasi benaknya. “Awak nak bawa aku ke liang lahat ke?” Demikian prasangka yang mengacah ketenangannya. Suara itu ketawa perlahan. “Aku orang baik, Maya. Percayalah padaku.” “Jangan-jangan awaklah hantu yang selalu mengganggu aku,” tuduh Maya pula.“Tak adalah. Itu semua hanyalah mainan perasaan awak. Ia tak berkaitan dengan sesiapa. Terutama aku.” “Aku harap awak betul.” Maya memejamkan mata.    “BUKA mata, Maya,” arah suara itu selepas beberapa ketika.  Maya mencelikkan mata dan terkejut apabila mendapati dirinya berada di tepi hutan. Pokok-pokok yang hitam berbalam di situ sungguh menakutkan. Lokasi tersebut lengang dan tiada apa yang berada di tempat ini selain… Dia menoleh ke belakang apabila terdengar desup kereta. Dia terkejut apabila mendapati sebatang jalan raya di situ dan dia seperti mengenali lokasi ini.   “Suara, awak kat mana?” soalnya perlahan dan seperti berbisik. Sunyi. Tiada siapa yang menyahut dan menjawab pertanyaan yang diajukannya tadi. Tika ini hanya bunyi cengkerik dan bunyi-bunyian lain yang entah milik siapa kedengaran tingkah-meningkah.  “Suara, awak jangan main-mainkan aku. Ni tepi hutan awak tahu tak?” Geram pula Maya tatkala menyedari dia ditinggalkan berseorangan di situ. Dia berasa amat menyesal kerana mengakuri permintaan suara halimunan itu.  “Awak ni betul-betul tak gunalah.” Dia cepat-cepat berundur apabila tertangkap bunyi tayar berderit kuat. “Siapa pulak yang sibuk berlumba kereta tengah malam buta ni?” ajunya kepada diri sendiri dan sekali lagi berpaling menghadap jalan raya arah kiri pula.  Dia kemudian memandang hala kanan semula apabila ternampak terjahan cahaya lampu yang tersorot garang dari arah tersebut. Nampaknya, ada dua buah kereta sedang sakan berkejar-kejaran ketika ini.  “Alamak! Matilah aku!” Maya cepat-cepat berlari menjauhi jalan raya.Waktu ini dadanya dihentam debaran yang tiada terkira hebatnya. Dirasakan nyawanya seperti tercabut apabila dua buah kereta itu tiba-tiba berlanggar dan salah sebuah daripadanya terpelanting ke arahnya. Dia cepat-cepat tunduk sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan. Sementara kereta yang sebuah lagi terbalik beberapa kali sebelum menggeser permukaan jalan raya.  Dia tidak segera membuka mata melainkan menggigil di tempatnya tadi. Dia berasa sungguh takut dan enggan melihat apa yang telah terjadi. Sedetik kemudian suasana bertukar hening dan sunyi sepi.    BEBERAPA saat kemudian, barulah Maya memiliki keberanian untuk membuka mata termasuk merenggangkan jari-jemarinya yang menutup sebahagian muka. Ketika ini dia seperti terdengar bunyi kipas biliknya berputar ligat. Dia terkejut apabila mendapati dia berada di dalam bilik tidurnya dan sedang berdiri dengan tangan menutup muka.  “Tak mungkin.” Dia seperti tidak berpuas hati. Apa yang dilihatnya tadi bukanlah khayalan mahupun imaginasi. Kejadian tersebut memang benar-benar berlaku di depan matanya. Ketika ini dia semacam masih terasa kehangatan rerumput yang dihujani embun pagi di tebing jalan raya tadi

“Mungkin misteri inilah yang dimaksudkan oleh suara tadi. Misteri mengenai punca kemalangan yang melibatkan dua buah kereta…” Ayat yang dipetiknya tergantung di situ. Dia kemudian terkocoh-kocoh membancuh semug minuman lalu duduk menghadap komputer.  Tanpa bertangguh, dia mengetuk papan kekunci dan segala apa yang dilaluinya tadi diterap ke dalam karyanya. Menjelang pagi barulah dia tergerak hati hendak melelapkan mata. Kali ini dia tidak melalui apa-apa. Dia hanya terjaga ketika matahari sudah meninggi.  Bunyi telefon bimbit memaksa dia bangun. Dia meraba-raba di bawah bantal dan persekitarannya dengan mata masih terpejam.  “Eh, mana pulak benda bedebah ni?” Maya terpaksa menguak sedikit matanya, lalu dengan pandangan mamai, disorotinya kesemua tempat. Dia kembali tidur bertimbun dengan selimut apabila telefon bimbitnya sudah tidak berdering. Keseronokannya menguliti mimpi kembali terjejas apabila telefon bimbitnya memekik semula.  “Alah…” Dengan muka kusut dan lesu, Maya berusaha bangun lalu mencicirkan pandangan. “Huh!” keluhnya malas dan dalam rasa terpaksa terpisat-pisat ke tubir katil. Dia kemudian melangkah malas ke arah meja komputer. Telefon bimbitnya yang terdampar sepi di situ diambil.  “Hah! Ada apa?” tanyanya kasar setelah menjawab panggilan itu. “Amboi, garangnya!” usik Jiah, sengaja mengacah. “Ada apa?” ulang Maya lagi semacam kurang sabar. “Awak tak keluar ke petang ni?” “Tak. Aku sibuk.” “Sibuk menulis ke? Alah, keluarlah sekali-sekala. Tenangkan minda,” tingkah Jiah.  Maya diam.  “Ada kawan nak meraikan hari jadi kat Kingfisher malam ni. Dia jemput awak, aku dan Munira.” “Aku tak dapat. Aku sibuk sangat ni.” “Sekejap pun tak dapat ke? Kita bukannya nak berlama-lama kat rumah kawan tu.” Suara Jiah seperti mendesak. Maya menghela nafas. “Aku tak dapat pergi walaupun sekejap saja. Setiap detik amat berharga buat aku. Aku perlu habiskan manuskrip-manuskrip yang lain selain manuskrip yang sedang dalam penulisan ni,” katanya panjang lebar.  Jiah akhirnya mengalah. “Okey.”  Sejurus kemudian perbualan pun dimatikan. Maya tidak segera kembali ke tempat tidur. Dia ke bilik air. Dia ingin buang air kecil. Kali ini pintu bilik air sengaja tidak dikatupkannya. Dia sebenarnya risau seandai muka yang muncul di cermin itu menjengahnya semula.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66150/halusinasi

REVIEW KEJORA DILANGIT CINTA

9789831247815-medium
EBUKU KEJORA DI LANGIT CINTA OLEH ANIS AYUNI

Memang Khalish lelaki dambaannya sejak empat tahun lalu. Sejak bertemu di Kota Makkah ketika menunaikan umrah, langit jiwanya dipenuhi kejora cinta buat si dia. Namun, dipendamkan rasa itu kerana malu. Bimbang hanya bertepuk sebelah tangan. Jejaka itu terlalu memukau akal dan fikirannya.

Namun, kemunculan Datuk Azlan mencurigakan. Baiknya berganda-ganda sehingga menimbulkan tanda tanya. Apakah lelaki itu ada hati terhadapnya? Tidak mungkin! Dia hanya mengaggap lelaki itu sebagai bapa anak muridnya. Apatah lagi seluruh hatinya sudah ditawan oleh Khalish. Tetapi anak Datuk Azlan, Ibrahin Hakimi yang suatu ketika dahulu liar berubah baik disebabkan dirinya. Barangkali Ibrahim Hakimi mendambakan kasih seorang ibu.

 


Bagi review novel ini, cerita ni agak catchy. Bila tengok nampak macam cerita heavy or tak tau cerita ini pasal apa. Betul, tak tipu. Ada lawak and sweet2 walaupun permulaan cerita sedikit lambat , tapi bila masuk pertengahan novel ini, jangan tanya kenapa korang baca sambil tersengih.

Khalish dan Dila saling suka dalam diam. Malu tapi mahu gitu . Dengan hanya mendengar nama Khalish, sudah mampu membuat Dila tersenyum seorang diri. Oh parah sungguh cinta ini. Dalam meniti perjalanan Dila sebagai seorang guru, banyak yang dia lalui. Ibrahim Hakimi, seorang pelajar 1 Tekun yang nakal dalam kelas semasa Dila manjalani praktikalnya di salah sebuah sekolah. Seorang pelajar yang hanya mahukan perhatian dan kasih sayang. Tapi kedegilannya membuatkan Dila putus asa dalam mengajar.

Dapatkah Dila mengubah Ibrahim Hakimi, dan apakah Dila dan Khalish akan bersama hingga ke anak cucu atau sekadar angan-angan apabila Dila baru saja kehilangan Neen.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64990/kejora-di-langit-cinta

 

REVIEW Anehnya Cinta

EBUKU Anehnya Cinta oleh Eija Khadeeja
EBUKU Anehnya Cinta oleh Eija Khadeeja

 

Sinopsis:
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.

Terpaksa? Oh! Ungkapan itu hanya berpihak kepada Afini dan bukannya lelaki yang sedang tertawa bahagia dapat menikahi wanita malang ini. Gembiranya hati tidak terkata kerana dapat menikahi wanita yang amat dicintainya. Namun gembiranya tidak lama. Keakraban Afini dan Zack telah membakar api cemburu di hatinya. Disakiti dan dilukai hati Afini hingga hancur. Kepercayaan terhadap kaum Hawa yang mulai menebal kini kian menipis sehingga membawa kepada dendam. Dendam yang menghampiri sebuah kehancuran.


 

Admin geram dengan Yus sebenarnya. Admin faham dia memang trauma dengan perempuan sebab ibu dia tinggalkan ayah dia untuk lelaki lain, apatah lagi banyak pula orang yang kahwin demi wang pada masa moden ni. Tambahan lagi, Zack dan Afini memang ada history dan rapat sebagai kawan dari kecil. Tapi kadang-kadang dia pun  degil juga walaupun kawan-kawan dah cakap dengan dia. Nasib baik akhirnya sedar.

Okay, selesai merepek. Ehem…

Keperibadian Afini ialah sesuatu yang boleh menjadi pengajaran; sabar menghadapi masalah dan mudah memaafkan orang. Masa moden ini susah memaafkan orang selepas mereka telah berbuat salah dengan kita. Awalnya admin fikir Afini akan mendamaikan Yus dengan ibu Yus, namun penulis berjaya mengejutkan admin dalam perihal ini. Ada juga bahagian-bahagian cerita lain yang tidak dijangka terjadi, namun admin tak dapat cerita. Kalau dah cerita, nanti jadi terjangka pula, hehehe.

Untuk pengakhiran cerita ini, admin serahkan pada pembaca. Terus terang, admin kecewa atas Jeff dan Zack kerana tidak ada perkembangan yang membawa kepada keputusan mereka, namun banyak juga yang senang dengan pengakhiran untuk kedua lelaki ini. Jarang ada novel Melayu yang membahas perihal gay dan admin meletakkan harapan dengan cerita ini. Tapi yaay untuk Afini dan Yus. Setelah macam2 konflik, akhirnya mereka bersatu juga dan hidup bahagia.

 

Ebook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64981/anehnya-cinta