[SNEAK PEEK] AWAK PENGANTIN SAYA!

9789831249895-medium
AWAK PENGANTIN SAYA! Oleh Ainul Hazrah

NURUL mematikan enjin keretanya. Sengaja dia berhenti di situ supaya menghalang kereta di hadapannya dari keluar. Jika ikutkan hati mahu dilanggar saja Volkswagen buruk yang menempek di tempat parkir keretanya.

“Eeii… kereta siapa pulak letak kat tempat aku ni?” rungut Nurul ketika melewati kereta yang menyemakkan matanya itu.

“Entah kereta kurun bila entah? Kalau aku tendang mahu kopak pintu kereta ni agaknya!” Sambil merungut langkahnya laju menuju ke rumah. Kalau ditendang bukan saja pintu kereta yang akan terkopak, telinganya juga akan terkopak sama sebab kena leter dengan Nuqman nanti.

Kelihatan Muhamad Nuqman, abang dan satu-satunya saudara yang paling disayangi, sedang berbual dengan seorang lelaki di dalam porch. Entah siapa, tidak dikenalinya dan tidak pernah dilihat pun sebelum ini. Dengan cermin mata berbingkai hitam tebal, rambut disikat ke belakang yang melekat rapat di kepala. Nerd? Huh!

“Itulah adik aku… Nurul Qamar Imani, kau ingat lagi?” tanya Nuqman kepada Fandi yang asyik memerhatikan semua gelagat gadis itu.

Nurul Qamar Imani! Tidak mungkin dia lupa! Nama yang bagus. Selalu dia melihat gadis itu bila dia datang ke situ semasa belajar bersama-sama Nuqman dahulu. Mereka jarang sekali bertegur sapa, namun dalam diam selalu berbalas pandang dan tersenyum mesra. ‘Sudah besar panjang dia! Semakin cantik… sedap mata memandang.’

“Ingatlah sikit-sikit. Dia bukannya rapat dengan aku, entah-entah dia pun langsung tak ingat aku.”

“Dengan rupa kau macam ni, memang dia tak ingatlah! Aku hari tu pun nyaris-nyaris tak kenal kau!” Nuqman tersenyum. Atas bawah, atas bawah dia melihat Fandi. Memang jauh beza penampilan Fandi dahulu dan sekarang. “Tak kisahlah kau ingat ke, dia ingat ke… kau mesti tolong aku!”

Fandi mengeluh perlahan. Apa yang tidak kena dengan gadis itu? Mungkin hatinya? Entah… tidak dapat ditebaknya. Keliru dia bila memikirkan permintaan Nuqman itu.

“Adik…” tegur Nuqman ketika Nurul melewati mereka. “Kenalkan, ni kawan abang… Fandi.”

Nuqman dan Fandi sama-sama berpandangan. Daripada riak di wajah Nurul, mereka sangat yakin yang Nurul tidak mengenali Fandi.

“Oh…” Nurul mengangguk tanda hormat, namun tidak dapat dikawal matanya daripada mencari Volkswagen buruk tadi. Dia pasti itulah tuan punya kereta buruk itu. Tuan dan kereta sama saja.

“Duduklah.”

Lama Nurul memandang Nuqman. ‘Buang tabiat apa, tak pernah-pernah ajak aku duduk sama dengan kawan-kawan dia, hari ni sosial sangat pulak. Kalau yang handsome tak nak pulak ajak, dengan Si Nerd lemau ni, nak pulak suruh beramah mesra!’

“Tak apalah…” Malas dia hendak sama-sama melayan tetamu abangnya.

“Adik… duduk dulu, kejap saja.” Tegas bunyinya, tapi macam merayu pun ada. Nuqman mahu supaya Nurul duduk bersama mereka. Biar Fandi dapat melihat dengan jelas wajah adiknya itu.

Dengan sebuah keluhan, Nurul duduk juga menghadap Nuqman dan Fandi. Dari sebalik cermin mata UV protection kesempatan diambil untuk meneliti wajah asing di hadapannya. Kulit bersih. Muka macam orang baik! Cuma penampilan… urghhh! Kalau ubah stail rambut dan tukar cermin mata, mungkin lebih menawan! Lagi satu, mulut tu cubalah senyum sikit! Kedekut sungguh!

“Hmm… adik, tolong buat air. Kesian tetamu kita ni dah kering tekak asyik berbual, airnya tak dijamu,” pinta Nuqman sambil mengerling kepada Fandi. Bagai ada isyarat yang mahu disampaikan.

“Mak Kay, kan ada…” tepis Nurul. Bab ke dapur memang bukan bidangnya.

“Mak Kay dan Pak Kob keluar beli barang.”

“Urghh!” rengus Nurul perlahan. Patutlah nak sangat dia duduk di situ, ada tugas yang hendak diberi rupa-rupanya! Beg tangan diletakkan di atas kerusi. Bangun juga Nurul untuk membuat minuman walaupun tanpa rela. Minuman sendiri pun jarang dibancuh ini pula terpaksa buatkan minuman untuk tetamu!

Nuqman mengangkat kening pada Fandi. Dia tidak mahu berselindung. Biar Fandi sendiri melihat perangai dan peribadi adiknya seperti apa yang telah diceritakannya.

“Kenapa pilih aku?” soal Fandi serius.

“Aku yakin pada kau! Kita dah kenal lama dan aku tahu kemampuan kau. Selama ni, aku selalu berdoa supaya adik aku mendapat suami yang baik dan penyabar, yang boleh membimbing dan membahagiakannya. Aku selalu bayangkan lelaki itu adalah lelaki seperti kau. Kau tahu betapa gembiranya aku masa jumpa kau hari tu. Dah bertahun tak jumpa, tiba-tiba kau ada depan mata aku. Nampaknya, ALLAH telah mendengar doa aku dan menemukan kita semula.”

Sejak tamat belajar, mereka membawa haluan masing-masing. Walaupun Nuqman ada juga cuba menghubungi Fandi, tapi tidak pernah sekali pun berhasil. Sebulan yang lalu, mereka berdua telah dipertemukan kembali secara tidak sengaja ketika Nuqman melawat kawasan projek baru di kawasan pedalaman.

Daripada apa yang didengar tentang cara hidup Fandi dan keadaannya yang masih belum berkahwin atau punya teman wanita, Nuqman yakin Fandi dapat membimbing Nurul dan menjadikannya perempuan yang sebenar perempuan.

“Kalau setakat nak bimbing dia menjadi perempuan yang lebih baik, kau pun boleh!”

“Fandi… aku ni abang dia. Dia tu manja sangat dengan aku! Mana boleh nak tegur dia sangat. Aku tak sampai hati nak berkeras pun.”

“Mungkin dia jadi macam tu pun sebab kau bagi muka sangat…”

“Jangan nak salahkan aku pulak!” tingkah Nuqman cepat. Salahkah kalau dia memanjakan Nurul setelah mereka kehilangan kedua orang tua? Papa, sudah lama meninggal. Mama… walaupun masih hidup, tetapi bagaikan orang asing layaknya. Tidak seperti ibu orang lain, mama tidak pernah mengambil tahu dan mempedulikan kewujudan mereka berdua sejak Nurul masih bayi lagi. Nurullah satu-satunya keluarga yang dia ada. Nyawa pun sanggup digadaikan buat adik kesayangannya itu.

“Aku cuma nak dia hidup senang. Nak dia bahagia seperti orang lain, tu saja…”

“Tapi, takkan sampai tak buat apa langsung…”

Kedua-duanya langsung mendiamkan diri bila Nurul kembali ke situ. Tidak patut pula membiarkan Nurul mendengar perbincangan mereka.

Ralit Fandi meneliti gadis yang mungkin bakal menjadi isterinya itu. Dengan cermin mata yang sudah diangkat ke atas kepala, lebih jelas wajah itu pada pandangannya. Wajah ayu, comel… namun hatinya tidak dapat ditebak. Mungkinkah seindah wajahnya?

Nurul meletakkan dua mug yang dibawanya ke atas meja. Sebuah Tupperware besar yang dikepit di celah lengannya sedari dapur tadi juga turut diletakkan di situ.

“Minumlah!” pelawanya dengan tangan yang laju membuka tutup Tupperware. Sekeping keropok dicapai dan digigitnya, bersahaja.

“Adik, kenapa tak letak dalam pinggan?”

“Nanti masuk angin, tak sedap!” jawab Nurul dengan suara yang berkulum. Penuh mulutnya dengan keropok. Beg tangannya segera dicapai, mahu segera berlalu.

“Nak pergi mana?” soal Nuqman. “Duduklah dulu.”

“Malas aaa… panas! Nak mandi.” Tanpa mempedulikan permintaan Nuqman, Nurul masuk ke dalam. Sikit pun Fandi tidak dipandangnya, apatah lagi hendak meminta diri.

“Itulah adik aku!” keluh Nuqman perlahan. “Kau dah tengok perangai dia. Kau rasa pula air tangan dia, minumlah!” sambungnya dengan senyum kambing sambil menunjuk ke arah mug berisi air oren di atas meja.

Fandi mengambil mug di hadapannya, melihat seketika isi mug itu. Nampak biasa. Air berwarna oren, nampak pekat dan menyelerakan dengan ketulan air batu yang terapung. Memang sesuai diminum dalam cuaca panas begitu. Sementelah tekaknya juga memang haus.

“Hmm!” Hampir menyembur air dari mulut Fandi, berkerimut dahinya. “Pekat gila!” komennya dengan kepala yang tergeleng serta sedikit senyum yang terlarik. “Kau orang dapat gula free ke? Ke adik kau ni, Puteri Oreng Manis? Taruh gula sikit pun dah manis sangat-sangat. Pati oren pun dia tuang sebotol agaknya, pekat gila! Aduh! Boleh kena kencing manis kalau selalu macam ni.”

“Nurul… kalau tak terlalu manis, tawarlah jawabnya air dia. Dah baguslah tu, ada juga dia jamukan kau keropok. Itupun nasib baik Mak Kay dah siap gorengkan, kalau tidak tak merasalah jawabnya. Tapi tulah… rumah kami ni banyak gula, tapi tak ada pinggan!” keluh Nuqman dengan kepala tergeleng sebelum berlalu ke belakang.

Nuqman kembali lagi dengan sebotol ais kosong dan sebiji pinggan. Keropok dikeluarkan dan dihidangkan di dalam pinggan. Ais kosong pula ditambah ke dalam minuman mereka berdua bagi mengurangkan rasa manis.

“Minum dulu, kalau manis juga nanti campurkan air ni lagi,” pelawa Nuqman bila air sudah penuh di dalam gelas. Walau belum dirasa, dia sudah tahu yang air Nurul itu pasti teramat manis.

“Kau dah tengok sendiri macam mana adik aku tu, kan! Sebenarnya, aku takut nak kahwinkan dia dengan orang lain. Satu kerja rumah pun, dia tak tahu buat. Aku takut dia kecewa nanti. Kau sanggup terima cadangan aku?”

Fandi diam memandang Nuqman. Besar harapan Nuqman kepadanya, tetapi mampukah dia membahagiakan Nurul nanti? Yang penting, adakah mereka akan serasi dan mahukah Nurul berkahwin dengannya?

“Dia tak ada teman lelaki?”

Nuqman menarik nafas panjang. “Not exactly…”

“Maksud kau?”

“Ini mungkin sebab utama aku pilih kau. Ada seorang lelaki ni, Fadzley… mula rapat dengan Nurul. Nampak macam lelaki yang baik, tapi aku tahu dia tu tak boleh dipercayai, kaki perempuan. Dia tak serius pun dengan Nurul. Aku pernah jumpa dia dan minta dia jangan kacau Nurul, tapi tulah… dia marah dan cakap yang dia akan dapatkan Nurul dan akan pastikan Nurul kecewa satu hari nanti.”

Sebak Nuqman menceritakan tentang nasib yang bakal diterima Nurul. Dia telah berusaha untuk membahagiakan Nurul selama ini, namun dia takut jika Nurul benar-benar dikecewakan oleh Fadzley.

“Sebab tu aku nak kahwinkan Nurul dengan kau. Lepas kahwin nanti, kau akan bawa Nurul pergi dari sini dan aku yakin kau akan jaga Nurul dengan baik.”

“Jangan terlalu yakin! Aku pun manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan. Tidak mustahil, aku akan sakitkan adik kau nanti.”

“Tapi kebarangkaliannya kurang! Hanya kau yang aku harapkan…”

“Entahlah… aku…”

“Aku tak paksa kau. Adik aku bukan gadis yang sempurna sebagai isteri.”

Fandi mengeluh panjang. Tanggungjawab yang amat besar sedang diserahkan Nuqman kepadanya. Mampukah dia melakukannya dengan baik? Dia sendiri tidak mampu memberikan keputusan. Jika terima seperti menjerut dirinya sendiri. Tidak diterima, maknanya dia menghampakan harapan sahabat lamanya itu.

“Aku bukan tak nak tolong kau, tapi… aku kena juga tahu serba sedikit tentang dia. Aku takut tak mampu nak membentuk dia seperti mana yang kau inginkan. Aku perlu sedikit waktu…”

“Itu tak susah! Kau ada hal yang nak diselesaikan kat sini, kan? Kata nak duduk sini dua malam lagi, hotel pun belum book, kan? Daripada kau nak duduk hotel dan buang duit tu, apa kata kau bermalam di sini, sambil tu bolehlah kau perhatikan Nurul,” saran Nuqman yang sudah bulat hati untuk menjodohkan Nurul dengan Fandi.

“Hisy… tak naklah aku! Apa kata Nurul kalau tahu kita buat macam ni? Kecil hati dia nanti!” bangkang Fandi. Tidak patut rasanya apa yang dirancangkan Nuqman. Nurul bukannya barang pameran yang perlu diberikan penilaian.

“Yang tahu perkara ni hanya kau dan aku. Aku takkan beritahu Nurul apa-apa. Tak tahulah kalau kau sendiri yang nak pecah lubang, memang kantoilah! Ke… kau ada cadangan yang lebih baik?”

Fandi menggeleng. Memang dia tidak punya cara lain yang lebih baik dari itu! Tapi… cukupkah sehari untuk dia memerhatikan perangai Nurul dan membuat keputusan?

“Mama kau?”

“Mama? Layak ke dia dapat panggilan tu? Entah-entah dia pun dah lupa yang dia pernah lahirkan kami!”

Melihat ketegangan pada air muka Nuqman, Fandi segera mendiamkan diri. Sejak kenal Nuqman, tidak pernah sekali pun dia berjumpa dengan insan yang melahirkan sahabatnya itu. Mama Nuqman dan Nurul telah berkahwin lain dan tinggal di luar negara bersama keluarga barunya. Selain itu, dia tidak tahu apa-apa kerana Nuqman tidak pernah menceritakannya.

****

TERSENTAP Nurul seketika sewaktu duduk di meja makan. Tidak disangka tetamu abangnya itu masih lagi di situ. Selepas naik ke atas tadi, dia tidak turun-turun sehingga tiba waktu makan malam.

‘Tak reti-reti nak balik ke dia ni?’ Sungguh kurang selesa Nurul untuk bersama-sama menikmati hidangan makan malamnya. Susahlah nampaknya dia hendak bermanja dengan Mak Kay!

“Hmm… apa tunggu lagi, adik? Duduklah. Kita orang semua tunggu adik saja, dah lapar ni,” rungut Nuqman bila Nurul tercegat bagaikan patung di tepi Mak Kay.

“Ha’ah… duduk Nurul,” suruh Mak Kay pula. Tangan Nurul ditariknya supaya duduk di sebelahnya. Mahu tidak mahu terpaksalah juga dituruti oleh Nurul. “Nurul nak lauk apa?”

Nurul menarik nafas panjang. Nak makan apa? Ada sambal udang dan ikan kurau kukus yang dihidangkan sebagai hidangan utama. Nak makan udang… dia tidak pernah mengupas kulitnya sendiri. Itu kerja Mak Kay. Nak makan ikan… tidak pernah pula dia asingkan tulangnya sendiri, itu pun kerja Mak Kay! Takkan Mak Kay hendak buat semua tu di hadapan tetamu? Nampaknya, makan sayur sajalah malam ni!

“Hah… ni kegemaran Nurul!” Tanpa disuruh, ikan kukus diambil dan diletakkan Mak Kay ke dalam pinggan Nurul. Dipastikan pula ikan itu bebas daripada tulang-tulangnya supaya senang dimakan Nurul. Siap tugasan itu, dicedok pula sayur… pun untuk Nurul. Akhir sekali barulah dicedoknya sambal udang dan diletakkan ke dalam pinggannya sendiri.

Sudah tentu semua perlakuan Mak Kay dan Nurul dirakam oleh kanta mata Fandi dan disampaikan ke otaknya. Sedetik pun tidak ketinggalan.

“Fandi… makanlah! Tunggu apa lagi?” Suara Nuqman mengejutkan Fandi yang leka menonton kisah adik manja di hadapannya. Bukan drama adaptasi, bukan drama lakonan pelakon terkenal, tetapi amat menarik baginya. Menarik sebab heroinnya manja tahap pokok semalu, lemah longlai! Nak makan pun orang kena cedokkan makanan untuknya.

Baru Fandi mahu memulakan suapan, apa yang disaksikan matanya membuat dia kaku lagi. Udang yang sudah siap dikupas di dalam pinggan Mak Kay beralih pula ke pinggan Nurul, bukan untuk dimakan Mak Kay rupanya!

‘Tak reti buat sendiri ke dia ni?’ Semasa dia ke situ dulu, tidak pernah pula dia melihat keadaan seperti ini. Makin dewasa makin teruk pula nampaknya. Atau mungkin kebetulan sewaktu kedatangannya, Mak Kay tidak pernah memasak ikan atau udang? Lagipun dia dan Nurul jarang duduk makan semeja.

Mata Fandi pantas mencari wajah Nuqman. Nampaknya, Nuqman sudah bersedia memandangnya dengan kening terangkat dan senyum meleret.

“Kalau jadi kahwin nanti, aku kena buat macam ni jugak ke?” bisik Fandi seperlahan yang mungkin. Takut didengari oleh Nurul dan Mak Kay suami isteri.

“Kalau kau nak, apa salahnya. Romantik apa!” Nuqman mahu ketawa, tetapi sedaya upaya ditahannya. Takut pula kalau keadaan mereka menarik perhatian yang lain.

“Romantik?” Fandi berkerut dahi. Hampir saja dia terjerit. “Masalahnya bukan romantik ke, loving ke… kalau setiap kali makan macam ni, bila masa aku nak makan? Baik aku kunyah terus nasi dan lauk-lauk tu sampai hancur, lepas tu keluarkan dan suap kat dia, lagi senang! Dia terus telan…”

“Wei, agak-agaklah!” Nuqman ketawa hingga menarik perhatian semua.

Walaupun tidak tahu butir bicara antara Nuqman dan Fandi, Nurul sudah punya firasat tersendiri. Pasti dia yang menjadi tajuk bualan kedua lelaki itu. Kalau bualkan perkara yang baik tak apalah… tapi dia dapat rasakan yang dia sedang diejek!

“Abang!”

“Aa… adik, ada apa?” soal Nuqman sambil cuba meredakan tawanya. Nampak macam Nurul sudah mengesan intipati perbualan mereka.

“Gelakkan orang, eh?” tuduh Nurul dengan muka panjang. Yakin sangat yang telahannya betul.

“Gelakkan adik? Taklah! Mana ada… abang…” nafi Nuqman. Sempat dia mengerling pada Fandi yang mula menjamah makanannya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

“Eleh! Orang tahulah… tak payah nak tipu. Bukan sehari dua adik kenal abang. Muka tu dah ada cop suka mengumpat.” Semakin geram Nurul. Mimik muka dan cara percakapan Nuqman sudah cukup bagi menguatkan tuduhannya. Tambahan pula dengan keadaan Fandi yang menunduk menghadap makanan, nampak sangat yang dia sedang cuba melarikan diri.

“Nak gelak? Gelaklah puas-puas! Abang dengan kawan abang ni sama saja!” dengus Nurul seraya berdiri. Tanpa membasuh tangan dan meminta diri, dia terus keluar dari ruang makan dan naik ke bilik. Tidak sempat hendak ditahan oleh Nuqman atau Mak Kay.

“Nuqmannn…” panggil Mak kay panjang. Matanya terjegil besar kepada Nuqman. Dia sendiri yakin yang Nuqman memang mentertawakan Nurul tadi. “Hmm… kan dia dah merajuk!”

“Alah, merajuk kejap saja Mak Kay. Nanti dia lapar, turunlah balik,” jawab Nuqman walaupun hatinya sudah mula ditepek dengan rasa bersalah. Senyum dan tawanya juga hilang serta-merta bila Nurul meninggalkan mereka.

“Kalau dia turun… kalau tak?” Tepat mata Mak Kay menantang Nuqman. Jika Nuqman itu kanak-kanak sudah lama dicubit-cubitnya. “Dah tahu adik macam tu, saja nak cari pasal. Buatnya dia tak turun makan, sakit perut ke nanti… sukalah?”

Nuqman menarik nafas panjang. Jika apa yang dikatakan Mak Kay berlaku, dialah yang paling menyesal. Dia tidak suka melihat Nurul sakit, tetapi kini dia yang menjadi penyebabnya jika Nurul benar-benar sakit.

Dalam diam, Fandi juga memarahi dirinya sendiri. Jika bukan kerana kata-katanya kepada Nuqman tadi pasti semuanya tidak berlaku. Apa yang boleh dibuat lagi? Nurul sudah merajuk, takkan dia pula yang hendak memujuk?

“Kejap lagi Man pujuklah dia, Mak Kay…”

“Tak ada maknanya! Tak payahlah buang masa dan buang liur sampai sakit tekak tu. Tak mahunya Nurul tu dengar. Bilik pun dia dah kunci tu. Tunggu sajalah sampai esok. Ni, nasi Nurul… habiskan!”

Bukan mereka tidak tahu bagaimana keadaan Nurul bila sudah merajuk. Tidak ada sesiapa yang dapat memujuk lagi. Dia hanya akan memencilkan diri di dalam bilik dengan pintu yang berkunci dan berselak dari dalam.

Nuqman dan Fandi berpandangan. Kata-kata Nurul terngiang kembali…

“Nak gelak? Gelaklah puas-puas!”

Jangankan ketawa hendak senyum pun kedua-duanya sudah tidak mampu. Hilang sudah selera makan mereka. Nasi dimakan juga sehingga habis kerana tidak mahu membazir dan membiarkan syaitan ketawa semakin kuat! Lebih teruk lagi nasi Nurul yang baru sedikit dicicip juga terpaksa mereka berdua habiskan kerana didenda oleh Mak Kay.

SUDAH puas Nurul beralih ke kiri dan kanan, tidak juga dia mahu lelap. Bagai ada puting beliung yang sedang menari tarian ‘Hulahup’ di dalam perutnya. Hendak turun makan, takut Nuqman dan Fandi masih belum tidur. Malas dia hendak bersua muka dengan keduanya.

Terpaksa juga Nurul turun untuk makan bila perutnya tidak henti-henti berkeriuk. Lapang dadanya bila dua makhluk yang menyakitkan hatinya itu tidak kelihatan di mana-mana. Ruang tamu juga sudah gelap-gelita menandakan tiada sesiapa lagi di situ.

Nasi di dalam periuk masih panas terasa. Tentu Mak Kay telah membiarkan periuk itu dalam keadaan ‘keep warm’ supaya nasi tersebut sentiasa panas. Lauk pula seperti biasa akan disimpan di dalam peti sejuk. Tidak patut sangat jika mahu mengejutkan Mak Kay semata-mata untuk memanaskan lauk.

‘Sejuk pun tak apalah, kena nasi panas nanti okeylah.’

Nurul duduk di kerusi, menghadap pinggan nasi yang sudah diletakkan udang dan ikan di atasnya. Hendak atau tidak terpaksalah dia membuang sendiri tulang ikan dan mengupas kulit udang, perkara yang selama ini dilakukan oleh Mak Kay.

Tulang dibahagian sirip ikan telah selamat dibuang, namun masih ada beberapa lagi tulang di bahagian tengah yang perlu dibuang. Jenuh Nurul menguis-nguis isi ikan mencari kalau-kalau ada lagi sisa tulang ikan yang tertinggal.

“Argh! Tak payahlah makan ikan ni!” omel Nurul sendiri. Dengan siapa lagi dia hendak bercakap, cuma dia seorang yang berada di situ. Nurul menguis-nguis pula udang kaki merah masak sambal kegemarannya.

“Macam mana nak buang ni? Hisy… tulah Nurul, manja sangat! Dah tua bangka macam ni, nak buang kulit udang pun tak reti-reti,” marah Nurul pada dirinya sendiri. Ditekan-tekannya udang itu, namun tidak juga isinya dapat dikeluarkan. Udang yang tadi nampak sedap dan cantik kini telah terbahagi pada beberapa bahagian kecil yang masih juga berkulit.

“Eeii… macam mana nak makan ni? Takkan nak makan dengan kulit-kulit kot?”

“Nak saya tolong?”

“Hah?!” Melompat Nurul dari tempat duduknya. Sereyat darahnya seketika sebelum bernafas lega bila pasti yang bercakap dengannya adalah manusia biasa.

“Awak ni… menakutkan orang sajalah!” dengus Nurul geram. Tidak habis-habis Fandi menyusahkannya.

“Maaf! Saya bukan nak takutkan awak. Awak yang tak perasan saya masuk sini tadi. Taksub sangat dengan udang tu,” terang Fandi bersungguh-sungguh.

Ketika dia masuk ke ruang dapur tadi dilihatnya Nurul begitu asyik menekan-nekan sesuatu di dalam pinggan sambil mulutnya membebel-bebel tidak habis-habis. Baru dia faham yang Nurul sebenarnya bukan sahaja manja, tetapi hendak makan pun mengharapkan bantuan orang. Belum lagi hendak memasak!

Fandi ke singki untuk membasuh tangan sebelum duduk berhadapan dengan tempat duduk Nurul. Hilang niat asalnya yang ingin membasahkan tekak tadi. Pinggan Nurul ditarik dan kulit udang mula diasingkan daripada isinya. Isi ikan yang sudah lunyai juga dipastikan supaya tidak bertulang lagi. Semoga ini dapat menebus kesalahannya mengumpat Nurul semasa makan malam tadi.

“Hmm… makanlah. Dah tak ada kulit dan tulang lagi,” suruh Fandi sambil menyorong perlahan pinggan ke hadapan Nurul.

Nurul menarik pinggan rapat ke hadapannya. Ditelitinya pinggan itu untuk memastikan apa yang dikatakan Fandi betul. Setelah yakin memang tidak ada tulang dan kulit udang, dia mula menyuap makanan ke mulut tanpa mempedulikan Fandi yang memerhatikan setiap gerak-gerinya. Biarlah apa pun yang hendak dikatakan lelaki itu, dia sudah tidak tahan untuk berlapar lagi!

“Wei… lamanya kau minum…”

Nurul dan Fandi sama-sama berpaling ke arah Nuqman yang masuk ke dapur.

“Aaa… adik… baru nak makan?” Terus tumpuan Nuqman beralih kepada Nurul.

“Dah abang gelakkan Nurul tadi, buat-buat tanya pulak!” tempelak Nurul, sudah mula bergenang matanya. Kecil hati sungguh dia dengan perangai Nuqman tadi. “Mentang-mentang ada geng, seronok aje abang mengumpat Nurul…”

Nuqman menarik kerusi di sebelah Nurul dan duduk di situ. Kepala Nurul diusapnya perlahan. Sesal sangat dia kerana mentertawakan Nurul tadi. Betul kata Nurul, bila ada kawan seronok pula dia menyakitkan hati adiknya yang begitu dijaga selama ini.

“Abang minta maaf, sayang… Abang tak…”

“Tak apa? Tak sengaja? Tak ada niat? Tipu!” selar Nurul cepat dengan air mata yang merambu-rambu di pipinya.

Kali ini, Fandi betul-betul terkedu. Sebelum Nuqman tiba tadi elok saja Nurul menjamah makanannya. Datang saja abangnya, dia terus menangis tersedu-sedu. Jangan sampai Nuqman fikir yang dia telah melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap adiknya sudahlah!

“Adik… janganlah macam ni! Tak baik nangis depan rezeki! Lagipun tak sedaplah makan nasi dengan sup perisa air mata ni.” Pinggan nasi Nurul dijauhkan oleh Nuqman, takut jika air mata adiknya yang jujuh bercampur dengan makanan.

“Abanglah punya pasal. Jahat sangat!” Air matanya diseka Nurul dengan lengan baju. Bukan lengan baju sendiri, lengan baju tidur Nuqman yang menjadi mangsa. “Abang kena denda diri abang sendiri!”

“Hmm… okey sayang, abang denda diri abang untuk suap adik makan! Boleh?” Sudah biasa Fandi dengan keletah Nurul. Faham benar dia apa yang Nurul inginkan. Bukan yang susah-susah, benda kecil pun sudah memadai untuk mengambil hatinya kembali.

Nurul mengangguk laju. Pinggan makannya cepat ditolak ke hadapan Nuqman sebelum dia sendiri bangun untuk mencuci tangan di singki.

Nuqman dan Fandi berpandangan. Keduanya sama-sama mengangkat kening dan bahu, terasa hendak ketawa, tetapi tidak berani! Hmm! Kena denda diri sendiri? Cikgu disiplin kat sekolah pun tak buat macam tu. Selalunya dia yang mendenda, bukan suruh orang denda diri sendiri.

Dengan helaan nafas lega, Nuqman turut ke singki untuk membasuh tangannya. Nurul yang berselisih dengannya sudah kelihatan tersengih keriangan.

“Apa tengok-tengok?” sergah Nurul bila Fandi leka memerhatikannya. “Awak pun patut kena denda diri awak. Sebab awak, saya gaduh dengan abang saya!”

Pulak! Tidak terlepas nampaknya Fandi. Dia juga kena mendenda diri sendiri seperti Nuqman. Denda pun dendalah! Memang dia bersalah.

“Okey… okey. Saya denda diri saya.” Fandi mula memikirkan denda yang mahu dilakukannya. Jika dengan menyuap nasi Nuqman sudah dimaafkan, maknanya dia juga tidak perlu bersusah sangat untuk mendapat kemaafan Nurul. Takut-takut Fandi mencuba nasibnya. “Saya ambilkan air untuk awak?”

“Hah, bagus!” setuju Nurul. Kedua ibu jarinya diangkat dan ditayangkan kepada Fandi.

Seperti yang dijangka, tidak susah rupanya untuk memenuhi permintaan Nurul. Segera Fandi ke kabinet untuk mengambil gelas, bukan saja untuk Nurul, tetapi juga untuk dia dan Nuqman. Sambil menyelam minum air! Dapat juga membasahkan tekak yang kering sedari tadi.

“Awak nak air apa?” soal Fandi sambil menayangkan botol air kosong dan bekas air oren kepada Nurul.

“Dua jenis air sekali? Pandai awak!” puji Nurul dengan ketawa manja yang panjang. “Saya nak dua-dua!”

Pertama kali melihat Nurul berwajah manis begitu nadi Fandi mula tidak sekata denyutannya. Nurul yang langsung tidak ramah sejak awal perjumpaan mereka tadi kini kelihatan begitu manis, manja dan sudah tentu polos sekali. Itu cuma permulaannya saja, belum boleh untuk Fandi menjadikan sebagai pendorong untuk dia membuat keputusan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81508/Awak-Pengantin-Saya