[REVIEW] KALAU-LAH

Kalau-lah Oleh Ahmad Affzan Abdullah
Kau tahu, ketika kau GAGAL, macam-macam persoalan yang akan berlegar-legar dalam fikiran. “Apa yang aku buat salah?” “Kalau aku pilih cara lain, mungkin boleh berjaya.” “Kalau akau tak buat begini, mungkin tak teruk sangat.” Macam aku, sembilan tahun aku menyeksa diri memikirkan jawapan kepada persoalan-persoalan tadi, hidup aku jadi serabut. Aku kerap jatuh sakit, demam. Walaupun banyak benda aku cuba dalam hidup, aku tetap tak puas hati. Kenapa aku sangkut dalam perjalanan menuju kejayaan. Benda sudah jadi. Kau fikir lapan juta kali pun. Ia takkan berubah. Apa yang kau boleh ubah ialah masa depan kau, hidup kau yang sekarang.

Setiap ujian yang datang kepada kita tidak akan sama dengan orang lain. Mungkin ada yang lebih berat dari kita. Dan apabila kita gagal tak selamanya kita gagal. Inilah contoh perumpamaan yang cuba disampaikan oleh Ahmad Affzan Abdullah melalui novel Kalau-lah ini. Ya, gagal itu memang pedih tetapi Tuhan akan tunjukkan satu persatu hikmah di setiap apa yang terjadi. Yakinlah, setiap apa yang terjadi itu semua atas kehendak-Nya dan mesti ada sebabnya. Novel ini juga mengajar kita terus yakin dengan setiap doa-doa yang kita minta kerana insya-Allah pasti Allah akan kabulkan. Banyak lagi kisah dan pengalaman menarik yang penulis sendiri hadapi dan ingin berkongsi dengan kita semua supaya kita dapat jadikan sebagai iktibar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277289/Kalau-lah

[SNEAK PEEK] MAT CLEANER UK

Mat Cleaner UK oleh Ahmad Affzan Abdullah

 

1

Jadi Tukang Cuci


Sudah masuk tahun ketiga saya menjadi pelajar di Imperial College dan tahun kelima belajar di United Kingdom. Pengalaman hidup di negara orang ini sangat menginsafkan. Tidak semuanya seindah pelangi seperti yang kita selalu tonton di televisyen.

Lima tahun lepas, saya dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini bersama 128 rakan-rakan yang lain di bawah program Penghantaran Terus UK atau singkatannya PTUK. Dua tahun saya di Bedford Modern School untuk mengikuti pengajian A-Level. Waktu itu, memang berharap dapat masuk ke Imperial College sebab nak merasa tinggal di London. Selalu di Malaysia dapat dengar-dengar saja, sekarang dapat peluang belajar di London, takkan nak dilepaskan.

Bukan mudah untuk masuk ke universiti yang tersohor itu. Alhamdulillah, dengan keputusan 3A dan 1B dalam peperiksaan akhir A-Level, saya diterima.

Berbunga-bunga hati apabila surat tawaran daripada Imperial College sampai ke rumah di Malaysia.

Pada tahun 1999, saya menjejakkan kaki di Imperial College buat kali pertama sebagai salah seorang pelajar di situ.

Tahun pertama, saya tinggal di Montpellier Hall, sebuah asrama kediaman pelajar yang berhadapan dengan pusat membeli-belah ternama, Harrods. Memang berangan macam orang kaya. Ada masa lapang saja, saya berkunjung ke Harrods untuk mencuci mata.

Tahun kedua, saya berpindah ke sebuah flat di Edgware Road, berkongsi dengan tujuh orang rakan yang lain. Waktu itu, dunia masih lagi indah.

Menjelang cuti musim panas tahun 2002 ini, saya sudah mula rasa kesempitan wang. Daripada duduk bertujuh tahun sebelumnya, kini cuma kami berlima di Edgware Road. Ia memerlukan saya membayar sewa sebanyak 320 pound sebulan sedangkan duit biasiswa bulanan cuma 400 pound.

Edgware Road ini terletak di tengah-tengah kota London, tak menghairankan kalau sewanya tinggi. Flat itu pun tidak sebesar mana. Kami tinggal bertujuh di situ. Lokasinya menarik, bersebelahan dengan McDonald’s dan berhadapan dengan pasar raya Safeway. Jalan ke depan sedikit, boleh jumpa Restoran Mawar yang sering menjadi lokasi persinggahan orang Malaysia apabila berkunjung ke London.

Tapi itu semua tak bermakna kalau duit sudah kering di dalam poket dan dompet.

‘Aduh, macam mana nak hidup ni?’

Saya lihat rakan-rakan daripada penaja lain hidupnya tidak mewah, tapi selesa. Sekurang-kurangnya kalau nak makan tidaklah berkira-kira sangat. Ada juga yang berduit lebih, dapat melancong ke Eropah.

“Silap aku juga, tak menyimpan. Tahun lepas duit dah banyak, tapi boros,” saya berleter kepada diri sendiri.

Sewaktu saya belajar di peringkat A-Level, memang banyak wang yang saya simpan, sehingga dapat melancong ke Switzerland. Malangnya, dek kerana banyak berbelanja, masuk tahun kedua di Imperial College, poket pun kosong.

Mujurlah dalam kepeningan itu, datang sahabat saya, Zul ke flat kami. “Cuti ni aku nak sambung kerja cleaner. Kau nak apply tak?” dia membuat tawaran.

“Wah, jadi cleaner ke? Tahun lepas kau kerja?”

“Ya, tahun ni aku nak apply jawatan supervisor pula sebab dah ada pengalaman. Gaji mahal sikitlah. Kalau kau nak, boleh mula dengan apply kerja cleaner biasa. Gaji sejam 4.20 pound. Biasalah, gaji minimum, tapi kalau kumpul-kumpul boleh dapat empat lima ratus juga sebulan.”

“Bolehlah kalau macam tu.”

Hati saya sudah berbunga-bunga. Kalau dapat kerja ini, legalah sedikit. Tak perlulah memohon bantuan dari kampung.

“Okey, kalau macam tu, esok kau ikut aku pergi pejabat. Boleh mohon kat situ.”

Alhamdulillah. Lidah saya tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana diberi jalan keluar oleh Allah. Walaupun saya jarang-jarang buat kerja mencuci di rumah sendiri, apatah lagi bekerja makan gaji sebagai cleaner, saya fikir ini merupakan masa yang baik untuk saya mulakannya. Saya yakin ia akan jadi satu pengalaman yang berguna untuk saya pada masa akan datang.

‘Mudah-mudahan dapatlah hendaknya,’ saya berdoa dalam hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266461/mat-cleaner-uk