[REVIEW] NOVEL HERO

Novel HERO Oleh Hilal Asyraf

 

Tragedi menimpa keluarganya menyelak jendela konspirasi yang lebih besar. Diri yang penuh dengan noda kini menggalas sebuah perjuangan, menjadi HERO Kotaraya Angsana, harapan kepada Malaysia. Dua tahun berlalu, negara masih lemas dalam korupsi, dirinya pula terpaksa menikahi Sang Bidadari kontradik dengan diri, sedang muncul watak misteri bakal mengancam perjuangan suci. Mampukah dia mengusahakan perubahan?

Novel-novel oleh Hilal Asyraf tidak lagi janggal didengari dikalangan peminat novel pada masa sekarang. Novel HERO ini mengisahkan bagaimana kehidupan seorang pemuda yang dipanggil Afam ini telah berubah dari tiada hala tuju ke tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya. Afam bertanggungjawab berjuang dalam sut yang canggih demi melindungi rakyat Malaysia. Begitu menarik sekali apabila, latar tempat ini menggambarkan Malaysia pada zaman yang akan datang, kotaraya yang baru, mempunyai bangunan yang mengalahkan bangunan tertinggi di dunia dan penuh dengan teknologi yang tiada tandingannya. Hilal Asyraf gemar menceritakan realiti latar masyarakat Malaysia pada zaman ini dan secara tidak sedar, jalan cerita ini ada juga menyelitkan dakwah dan nasihat yang sangat bermanfaat untuk rakyat Malaysia menjadi lebih baik dan bertanggungjawab terhadap persekitaran. Secara keseluruhannya, jalan cerita novel ini sangat best dan saya cadangkan anda semua tidak melepaskan peluang untuk membaca eBook ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/205706/Novel-HERO

[SNEAK PEEK] SASAR

9789670954431-medium
EBUKU SASAR Oleh Syaihan Syafiq

BAHAGIAN 1:

Catatan Seorang
Insomniac

1

Hari #01

Pasangan lelaki dan perempuan di tempat duduk sebelah tergelak lagi.
Entah kali ke berapa aku sudah lupa. Jenuh aku berikan mereka jelingan maut
menyuruh mereka hentikan perbuatan tidak senonoh tanpa bajet di dalam panggung wayang yang hampir kosong ini. Kecelakaan apalah yang menimpa nasib aku yang menyebabkan aku terpaksa duduk sebaris dengan si perempuan yang lebih asyik seluk tangannya ke dalam celah kangkang jeans si lelaki yang sedang asyik menguli nasi lemak dua puluh sen milik perempuan itu. Kecelakaan apalah pula yang aku memilih untuk tonton filem ini pun aku tidak tahu.

Mungkin disebabkan fahaman rasional bawah sedarku yang mahu menyokong
filem tempatan (yang berkualiti sahaja!) menyebabkan
aku terpanggil untuk beli tiket wayang untuk filem yang dilakonkan Redza Minhat
dan si cantik manis Cristina Suzanne itu. Dua (atau mungkin tiga?) orang budak
perempuan yang sah-sah merupakan muka-muka tidak asing di kampus di baris depan
aku tak habis-habis hendak terjerit-jerit kegembiraan
setiap kali datangnya adegan yang ada Redza Minhat. Gedik. Kalau hendak
diikutkan hati mahu saja aku lempar kelongsong bertih jagung ini ke arah
budak-budak perempuan itu agar mereka bawa mengucap dan bertenang.

“Pathetic,” aku mencebik. Sebutir bertih jagung hangus masuk ke dalam
mulut. Sedikit pahit, tetapi manisnya masih ada walaupun terasa sedikit lemau
bila dikunyah. Bertih jagung GSC jarang sekali sedap. Yang dijual di kaunter
itu selalunya yang sudah lama dimasak. Lainlah kalau
kau ke TGV, aku gemarkan bertih jagung bersadur karamel cair di sana.

Di dalam panggung ini hanya ada aku, pasangan yang sakan beromen di
sebelah dan budak-budak seuniversiti yang aku kira hanya menonton sebab minat
‘abang gigi besi’ itu. Aku pegang kelongsong kertas
berisi bertih jagungku. Sudah sepertiga habis kukunyah telan. Mujur filem itu
sudah hampir benar ke penghujungnya. Aku tahu kerana ini merupakan kali kedua
aku menonton filem yang sama. Filem ini bagus juga sebenarnya, entah kenapa di mana silapnya ia tidak laku. Kisah seorang lelaki
yang dirundung kemurungan yang mahu bunuh diri dan akhirnya bertemu sebuah
agensi bebas yang kononnya menyediakan perkhidmatan untuk ‘membunuh’ individu
yang bernawaitu serupa.

Filem itu akhirnya tamat dan aku bergegas kutip
beg sandang yang aku tinggal di bawah tempat duduk dan segera keluar dari
panggung. Pundi kencingku penuh berisi Coke saiz besar yang aku cicip berselang
dengan kunyahan bertih jagung tadi dan aku benar-benar tidak tahan mahu terkencing. Sesampainya di tandas, aku seorang
sahaja yang masuk ke sana dan aku buru-buru masuk ke kubikel yang kosong. Ada
sesuatu tentang air kencing yang mengalir masuk ke dalam lubang jamban di
tandas yang kosong itu yang menyebabkan aku berasa
amat tenteram. Usai kencing dan menarik pam tandas, aku bercadang untuk duduk
sekejap di atas mangkuk tandas itu buat seketika.

Apalah yang menantiku kalau aku buru-buru pulang awal sekalipun. Rumah
flat di tingkat lima yang aku sewa di Seksyen 13 di
Bandar Baru Bangi itu akan masih berada di situ, kosong dengan berisi perabot
paling minimum. Melangkah masuk ke dalam pintu utama rumah itu kau akan bertemu
dengan ruang tamu lapang, hanya ada dua sofa dua tempat duduk, satu berwarna
biru, satu berwarna merah darah, kedua-duanya diperbuat daripada PVC yang kulitnya sudah menggelupas dan terkopek-kopek di bahagian penyandar dan perehat tangannya. Ada karpet segi empat sama warna coklat yang sudah lusuh di tengah-tengah sofa yang berlainan warna itu. Tiada televisyen kerana tuan rumah yang menyewakan rumah itu tidak sediakan satu dan aku sendiri tidak mampu dan tidak bernafsu untuk menonton televisyen. Maju beberapa langkah ke hadapan dan segera toleh ke kiri dan kau akan lihat sepetak ruang yang dijadikan
dapur. Ada peti ais namun kau bakal kecewa jika kau lihat ke dalamnya. Yang ada hanya dua botol air sejuk, sebungkus coklat Daim (yang aku baru makan dua-tiga butir sahaja) yang Sha hadiahkan kepadaku ketika dia pergi melancong ke Langkawi bulan lepas dan kotak leper berisi (mungkin) dua potong piza keju sisa yang aku tidak larat hendak habiskan kelmarin. Di ruang dapur itu juga ada dapur gas namun sudah hampir sebulan tidak berganti. Pertama, aku malas, dan keduanya aku sendiri jarang memasak. Jadi buat apa hendak diganti?

Kalau kau langkah lagi ke depan, kau akan bertemu dengan sepasang pintu saling bersebelahan seperti sepasang kekasih yang sedang bertengkar. Yang sebelah kiri bercat kuning pucat dan yang sebelah kanan cat birunya sudah mulai menggelupas. Pintu bercat kuning itu akan membawa kau ke bilik tidurku dan pintu bercat biru itu pula masih kosong tidak berpenghuni. Ketika aku berpindah ke mari, Sha sudah banyak kali ingatkan aku bahawa
tahun lepas di blok flat yang bertentangan khabarnya ada seorang lelaki bernama Amran mati terjatuh dari aras enam. Katanya lagi, mamat bernama Amran itu bukan terjatuh secara tidak sengaja tetapi dia ditolak oleh teman serumahnya yang tidak waras. Lantaran daripada
itu dua-tiga aras paling atas blok itu tidak sampai sebulan banyak yang kosong. Penghuni di blok itu segera berpindah ke tempat lain kerana khuatir mereka menjadi mangsa orang gila itu yang berikutnya.

Apa-apalah.

Bilik yang kosong itu aku telah ubahsuai menjadi stor. Kebanyakannya adalah kotak-kotak berisi buku-buku dan makalah yang aku kumpul sejak pada tahun satu pengajian lagi. Selebihnya adalah barang-barang rawak yang berbalut kemas di dalam suratkhabar lama dan disimpan di dalam kotak yang siap berlabel. Semuanya tersusun dan kemas. Mungkin disebabkan aku mempunyai OCD yang minor menyebabkan aku amat mementingkan kekemasan. Semuanya harus berada dalam keadaan teratur dan tertib, kalau tidak aku akan menjadi gelisah tidak keruan. Semuanya juga bebas habuk. Aku sendiri kagum bahawa bilik itu aku kelaskan sebagai stor kerana ia terlalu kemas untuk dijadikan stor.

Bilik aku juga tiada apa yang istimewa. Ada katil bujang lengkap bercadar dan dua biji bantal dan gebar yang kemas terlipat di hujung katil. Ada meja studi di sebelah katil itu yang menempatkan beberapa buah jurnal yang aku perlu tetapi belum berkesempatan hendak baca kerana malas, komputer riba jenama ACER yang aku beli sejak lima tahun yang lalu dan sebuah
bekas alat tulis yang diperbuat daripada besi yang aku beli di Daiso. Di situ juga ada sebuah cermin kecil berbentuk bujur yang diletakkan di atas meja yang sering aku guna untuk menilik wajah sendiri selepas mandi atau ketika sedang bosan. Berhadapan dengan meja itu aku gantung sebuah papan gabus yang aku beli di IKEA dulu. Di atas mukanya aku lekatkan jadual kuliah, nombor telefon beberapa pensyarahku (penting untuk pelajar tahun akhir seperti aku ini kerana aku banyak berurusan dengan pensyarah demi untuk menyudahkan tesis) dan beberapa memo ringkas untuk memperingatkan aku tentang hal-hal mustahak seperti tarikh konsultasi tesis bersama penyeliaku dan sebagainya. Disudut kanan papan gabus itu aku pinkan gambar Sha sedang duduk membelakangi lensa kamera, di atas sebuah benteng konkrit sambil memandang jambatan Pulau Pinang. Gambar itu kami ambil setelah kami berdua pulang daripada menziarahi kubur arwah Adam, kenalan kami yang sudah lama tiada
kerana kecelakaan motosikal beberapa tahun sebelumnya. Sejujurnya aku suka akan gambar itu. Ketika gambar itu diambil, matahari belum lagi menampakkan wajahnya dan langit berwarna ungu gelap. Yang ada hanyalah deretan lampu jalan pada jambatan Pulau Pinang itu. Sha juga suka gambar itu. Dia tak habis-habis beritahu aku yang jambatan itu adalah sebuah alegori akan kehidupan kita.

“Cuba kau bayangkan yang jambatan ni macam
suatu alegori, sebuah ruang penghubung antara dunia nyata dengan dunia
permanent yang kita semua bakal pergi selepas kita mati nanti,” ujar Sha dalam
hembusan berselang asap rokok.

“Tapi jambatan tu kan dua hala,” balasku.

“Sebab tulah aku cakap sebagai alegori, mangkuk!” Dia meluku kepalaku sambil ketawa terkekeh-kekeh. “Kau ni nama je ambik kos sastera, alegori pun tak tahu!” Aku tahu walaupun dia sedang tertawa tetapi matanya tidak mampu untuk menipu. Aku tahu walaupun sudah bertahun-tahun arwah Adam meninggalkan kami, parutnya masih berbekas dan kami masih terasa kehilangannya.

Aku, Sha dan Adam rapat sejak di bangku sekolah menengah lagi. Adam si jagoan hoki, Sha si pemberontak dan anarki sistem ketertiban sekolah dan aku si skema keding dengan buku-bukunya. Siapa sangka walaupun berlainan personaliti kami mampu merapat dan menjadi sahabat paling akrab. Walaupun jika diberi pilihan untuk patah kembali ke masa lampau, aku
enggan untuk menelusuri zaman persekolahanku, aku bersyukur kerana dipertemukan dengan Adam dan Sha. Period lima tahun di sekolah menengah merupakan waktu gelap buatku dan aku amat yakin bahawa mustahil untuk aku masih berdiri di sini kalau bukan dek kerana
kehadiran Sha dan Adam dalam hidupku. Tidak tahulah kau bagaimana, tetapi aku teruk dibuli ketika aku di sekolah dahulu. Cukuplah dengan aku menerangkan itu sahaja buat masa sekarang. Mungkin masih terlalu awal untuk aku berkongsi sisi gelapku kepada kau.

Apabila Adam meninggal, ia meninggalkan titik hitam yang maha pekat kepadaku dan Sha. Pada awalnya masing-masing bagaikan tidak mahu percaya yang dia bakal pergi dalam usia semuda itu, dan kami berdua bagaikan hidup dalam kontradiksi. Masing-masing berlagak bagaikan tabah, sedangkan kami berdua sedar yang kami saling memerlukan antara satu
sama lain kerana jiwa kami meruntuh dek kehilangan rakan kami yang amat-amat
kami sayangi. Setahun selepas itu, bagaikan berjanji, aku dan Sha datang ke Pulau Pinang untuk menziarahi pusara Adam, suatu ritual yang kami amalkan sehingga kini.

Bertentangan dengan katil itu pula ada sebuah almari kain yang aku beli dari Giant. Di dalamnya ada beberapa helai kemeja siap bergosok dan digantung berjujuk mengikut warna, disusun pula secara berasingan antara yang berlengan panjang dan pendek. Di sisi katil itu ada sebuah meja kecil yang aku jumpa dibuang orang di tempat pembuangan sampah. Aku kutip,
bersihkannya, gosok permukaannya dengan kertas pasir dan sapukan syelek, betulkan engsel gelongsor lacinya dan ia tampak seperti baru. Di atas meja kecil itu terdapat sebuah lampu konsul pemberian Sha sempena ulangtahun aku yang lalu. Di atas meja itu juga aku akan
tinggalkan telefon bimbitku untuk dicas, bersebelahan dengan senaskhah novel Infinite Jest yang terbiar terlungkup yang sudah hampir setahun aku baca tapi tak habis-habis
lagi. Maklum ajalah, novel itu tebal nak mampus mengalahkan direktori nombor
telefon, kalau secara tidak sengaja terjatuh menimpa kaki mahu patah tulang ibu
jari kaki barangkali. Tingkap louvered di bilik ini hanya ada sepasang langsir lutcahaya berwarna putih. Aku sengaja tidak mahu pasang langsir yang tebal kerana mahukan seberapa banyak cahaya semulajadi masuk ke dalam bilik ini. Tambahan pula, dengan ketiadaan langsir membolehkan aku untuk bangun awal kerana sekitar jam 10 pagi sepetak cahaya
matahari akan jatuh tepat di mana bantal tempat aku melabuhkan kepala di katil,
menyilaukan sesiapa sahaja yang sedang tidur di situ.

Keluar dari bilik tidur aku dan kembali ke ruang tamu yang bersambung
dengan dapur ringkas itu, kau boleh lihat yang di sudut di mana dua keping dinding bercantum di penjuru bertentangan dengan dapur gas itu wujudnya sebuah tingkap louvered yang sengaja tidak aku pasang langsir dan di sebelahnya pula ada pintu yang akan membawa kau ke ruang balkoni di belakang flat kecil aku ini. Ada ampaian baju yang sudah uzur benar peninggalan penyewa sebelumnya, bagaikan rangka seekor hidupan yang mati kekeringan di situ. Aku jarang guna ampaian itu kerana selalunya aku hantar dobi saja kesemua pakaianku yang
sudah dipakai. Itupun mungkin seminggu atau dua minggu sekali. Terpulang kepada
kerajinan dan kuantiti pakaian yang perlu dibasuh.

Nah, selesai sudah rancangan MTV Cribs edisi rumah bujangku yang menyedihkan. Sedar tidak sedar sudah setengah jam aku duduk tercongok di atas mangkuk tandas panggung wayang ini dan mengelamun entah apa-apa. Aku bingkas bangun dan baru sahaja hendak keluar dari sini, kuak sedikit daun pintu kubikel ini dan aku ternampak sesuatu, seseorang sebenarnya, sedang berdiri membelakangiku betul-betul bertentangan dengan kubikel yang sedang aku diami sekarang.

Lelaki itu bertubuh agak tinggi. Tetapi apa yang mencurigakan aku bukanlah ketinggiannya yang agak luarbiasa, tetapi apa yang dia sedang pakai. Di tubuhnya terbalut sut lengkap berwarna kuning langsat yang gelap, lebih tepat lagi warna seperti najis kau ketika kau sedang
alami cirit-birit. Sepatunya pula hitam berkilat cemerlang tetapi anehnya tapak
kasutnya kotor sekali, sepertinya dia baru sahaja berlari meredah lumpur. Dia juga memakai topi fedora buruk warna serupa, jenis yang selalu aku lihat golongan hipster-wannabe gemar pakai ketika mereka bersidai tanpa hala tuju di Pavilion. Jika diteliti topi itu sudah buruk benar, sudah ada benang-benang putus dan kesan sobek di hujung-hujungnya. Wajah lelaki itu tertunduk, makanya amat sukar untukku lihat wajahnya di pantulan cermin sinki di hadapannya.

Apa yang lebih menggerunkan adalah apabila aku terpandang jari-jari lelaki itu. Jari-jemarinya runcing dan kurus panjang, menyerupai ruas buluh yang sudah reput. Kulit belakang tangannya
yang terdedah juga putih pucat seperti langsung tidak berdarah. Urat-urat darah yang timbul jelas kelihatan dibalut oleh kulitnya yang putih pucat itu. Sejak bila dia tercegat di situ aku sendiri tidak tahu dan aku tidak mahu tahu. Aku jadi gugup, makanya aku berundur setapak dan berniat untuk diam berdiri di dalam kubikel ini sambil menunggu sahaja sehingga lelaki
aneh itu beredar, separuh berharap agar adalah orang lain yang akan masuk ke dalam tandas itu dan aku akan menggunakan peluang itu untuk segera meninggalkan tempat ini.

Malangnya tiada siapa yang masuk. Aku lihat pada jam di telefon bimbit. Waktu sudah menjengah ke jam sebelas lebih. Aku kira tandas ini sepi kerana sekarang semua orang masih sedang menonton wayang di slot selepas tamatnya filem KIL tadi.

“Shit,” aku berbisik. “Masa macam nilah tak ada orang masuk pulak dah.”
Aku berundur lagi beberapa langkah, berhati-hati benar agar tidak mengeluarkan
sebarang bunyi. Ketika itulah senario celaka klise babak cemas filem seram yang sering kau tonton berlaku ke atasku: telefon bimbitku berbunyi! Aku buru-buru keluarkannya, lihat pada skrinnya untuk melihat nama Sha terpapar di situ dan dengan satu gerakan tangkas tapi spontan aku buka kompartmen belakang telefon bimbitku dan cabut baterinya,
sekaligus mematikan telefon itu serta-merta. Mataku masih memandang ke arah
lelaki aneh yang tercegat di luar yang bagaikan langsung tidak terganggu oleh
panggilan telefon mengejut tadi. Nafasku jadi turun-naik, dadaku berombak dan cemasku serta-merta memuncak daripada setenang tasik kepada seganas tsunami melanda Feringghi apabila aku terlihat jemari lelaki itu bergerak sedikit.

Aku pekup mulut agar tidak terjerit, hampir-hampir hendak terlepas
telefon bimbit yang sedang kugenggam. Jemari lelaki itu berkutik sedikit, tergenggam sepertinya telinga lelaki itu menangkap bunyi-bunyian yang aku hasilkan. Aku sedaya-upaya menahan nafas dan langsung tidak bergerak. Lelaki itu masih tercegat di situ, membelakangiku
dan menunduk.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79550/sasar

 

REVIEW KOTA TERORIS: ZODIAK

9789670774381-medium
EBUKU KOTA TERORIS: ZODIAK OLEH AMIRUL IDHAM

 

Seluruh rakyat Malaysia gempar apabila Datuk Alex menjadi mangsa penculikan ketika beliau pulang dari majlis perasmian wisma perniagaan miliknya. Semua pengawal peribadi dan pemandu beliau mati dibunuh oleh penculik.

Tiga hari selepas penculikan Datuk Alex, semua saluran televisyen di Malaysia telah digodam dan memaparkan rancangan Zodiak TV. Orang yang menculik Datuk Alex muncul dalam rancangan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai Zodiak. Datuk Alex telah dibunuh secara langsung di kaca televisyen yang ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

Shah dan Badri, dua inspektor muda telah ditugaskan untuk menyiasat kes Zodiak yang diketuai oleh ASP Hasnan. Namun, siasatan mereka menemui jalan buntu apabila Zodiak sekali lagi muncul dalam rancangan Zodiak TV untuk membunuh mangsa seterusnya secara langsung di kaca televisyen.


Satu perkataan yang sesuai untuk review novel Kota Teroris : Zodiak ini ialah ‘Wow!’. Sangat tak sangka novel ini membawa jalan cerita yang saya tak jangka. Pembunuhan dengan kejam (Ye!kejam sampai anda rasa mual dan nak muntah) berjaya membuatkan adrenalin pembaca naik mendadak. Zodiak ialah teroris yang cuba menegakkan keadilan. Zodiak tahu Datuk Alvin, Datuk Razali dan rakannya bukanlah orang baik sebelum ini, jadi Zodiak membunuh mereka dengan sangat kejam untuk memberitahu dunia mengenai kesalahan mereka.

Jika ada watak jahat, pastinya ada watak baik yang cuba menghentikan keganasan Zodiak. Shah dan rakannya yang merupakan pihak polis menerima cabaran tersebut dalam merencanakan taktik bagi memerangkap Zodiak. Ada konflik dan plot twist yang kita tidak jangka berlaku sekaligus menambahkan perisa kepada novel ini.
Tidak dinafikan Zodiak memang licik, namun apakah Zodiak akan mencari mangsa lagi bagi menegakkan keadilan yang dia mahu? Apakah Shah dan rakan seperjuangan dia mempunyai masa yang cukup utnuk mematahkan segala rancangan Zodiak.
 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66271/kota-teroris-zodiak