[SNEAK PEEK] PROJEK SERAM : TEROWONG

Projek Seram : Terowong Oleh A. Darwisy, Zaifuzaman Ahmad, Syasya Bellyna

 

SEKUMPULAN pemuda berjubah dan berketayap putih memasuki tren. Berjanggut kemas dan bercelak di bawah mata. Beberapa orang penumpang berasa kurang senang dengan kehadiran mereka. Ada yang terus bangun dan segera berpindah duduk di tempat lain.

Syed dan kawan-kawan buat-buat tidak endah lalu melabuhkan punggung seperti biasa. Mereka sudah betah dengan penerimaan umum sebegitu. Orang sekarang mudah takutkan sesuatu yang mereka tidak tahu. Dan suka meletakkan penilaian tertentu berdasarkan penampilan luaran seseorang.

“Pandang kita macam nampak hantu,” bisik Hidhir, jengkel.

“Abaikan… bukan kita buat salah pun,” pujuk Syed, malas hendak ambil pusing.

Dia mengitari suasana di dalam tren itu sebelum arah matanya terhenti pada susuk tubuh yang sedang duduk beberapa langkah darinya. Dia seperti mengenali wajah itu.

Syed yakin sekali itu kawan sekolahnya dari tingkatan satu hingga lima. Dia nekad hendak menegur.

“Azlan kan?” sapa Syed.

Azlan yang sedang termenung dek leka memandang butiran air hujan yang melekap di cermin gerabak tren, sedikit tersentak. Latifah yang duduk di sebelah, baru saja terlena.

Azlan mengangguk. Dahinya sedikit berkerut menatap lelaki berjanggut dan berpenampilan Islamik itu. Setelah diperhati lama, wajah di hadapannya itu seperti mengingatkan dia kepada sahabat lama sewaktu di bangku sekolah.

“Syed ke ni? Syed Munawar?”

“Betullah tu! Lamanya kita tak jumpa. Habis SPM, terus lost contact. Kita sekarang pun dah 27 tahun… maknanya dah 10 tahun bro!”

Azlan dan Syed berdakap. Dulu, mereka boleh dikatakan agak rapat berdua.

“Maaflah, lambat sikit nak cam muka kau. Kau dah jauh berubah. Suara kau tu yang buatkan aku masih ingat. Aku habis sekolah, balik kampung. Ni pun baru biasakan diri hidup di bandar. Kau buat apa sekarang?”

“Aku mengajar di sekolah agama. Kau, Lan? Mesti kerja bagus dah ni.”

“Kalau kerja bagus, taklah aku pergi balik naik LRT tiap-tiap hari Syed. Ha… ha… ha… aku kerja biasa aje.”

“Tak apa… asal kerja yang kau buat tu diredai, berkat rezeki dan lapang hidup kau. Syukurlah.”

“Amin, terima kasih Syed.”

Syed memperkenalkan Azlan kepada kawan-kawannya yang lain. Mereka saling berjabat tangan. Dalam pada mereka rancak bersembang, salah seorang kawan Syed yang bernama Hidhir berkerut-kerut hidungnya. Dia terbau sesuatu. Terbongkok-bongkok dia hendak mengintai cermin luar, mencari papan tanda stesen.

“Kita kat mana dah ni?”

“Baru aje lepas stesen KLCC. Lepas ni, stesen Ampang Park. Kenapa, Hidhir?”

Lelaki itu cuma mengangguk. Bau harum mirip bauan bunga kuburan terus-terusan menusuk ke lubang hidungnya. Awalnya, Hidhir mahu mendiamkan saja tetapi apabila kawan-kawannya yang lain turut terhidu bau yang sama, mereka saling berisyarat mata.

Azlan yang menyedari akan tingkah Syed yang seperti menyembunyikan sesuatu, digaru-garu perasaan ingin tahunya.

“Syed, apa yang kau bisikkan dengan kawan-kawan kau tu?”

Syed serba salah hendak memberitahu. Dia merapati Azlan.

“Kami tercium bau wangi. Kau tak bau ke?”

Azlan menggeleng. Tidak pula dia terhidup bau apa-apa. Aneh. Dalam pada Syed, Hidhir dan lain-lain mencari punca bau wangi itu dari mana, suara tangisan bayi hinggap di pendengaran mereka semua.

Syed dan kawan-kawannya pula sudah memandang sesama sendiri. Sehinggalah Azlan sendiri ternampak satu susuk wanita berkerudung di kepala, sedang menimang bayi yang sedang menangis sakan, duduk di bangku paling hujung berdekatan dengan pintu di gerabak sebelah. Kelibat wanita itu membelakangi mereka. Barangkali naik di stesen sebelum ini tadi. Fikir Azlan.

“Anak akak tu yang menangis kuat,” beritahu Azlan kepada Syed.

Tangisan bayi itu semakin lama kedengaran semakin merengsakan. Kasihan kepada si ibu yang cuba menenangkan tetapi kian menjadi-jadi pula esakannya. Syed terpanggil untuk datang menolong. Bayi kalau menangisnya luar biasa, kemungkinan ada sesuatu yang mengganggu.

“Puan,” sapa Syed pendek. Salam yang diberi tidak bersambut.

Wanita itu dilihatnya sedang bersungguh memujuk si anak supaya berhenti menangis. Sekali lagi, Syed memberi salam.

Si ibu berpaling. Perlahan-lahan menunjukkan sisi muka.

Syed terdorong beberapa langkah ke belakang. Meremang dia satu badan. Hampir-hampir hendak terjelepok. Wanita yang ditegurnya itu tidak berwajah. Kulitnya putih pucat serupa mayat. Dan bayi yang sedang didakap kelibat menyerupai wanita itu pula adalah batu nisan. Syed tergemap. Serentak itu juga keseluruhan lampu di dalam tren terpadam tiba-tiba.

Menjerit beberapa orang penumpang perempuan dek kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Pasangan ibu anak yang tertidur tadi, serta-merta terjaga dari lena dek kekecohan yang timbul. Begitu juga dengan Latifah. Celik saja mata, pandangannya jadi gelap. Menggagau dia mencari telefon bimbitnya.

“Lan, awak kat mana?” panggil Latifah, sudah cuak.

“Saya ada dekat sini. Jangan takut.”

“Kenapa gelap aje ni?”

“Saya rasa bekalan elektrik terputus. Tren pun tiba-tiba aje berhenti,” beritahu Azlan.

Masing-masing bergantung pada cahaya telefon bimbit untuk memeriksa apa yang sebenarnya sudah berlaku. Latifah memegang hujung baju Azlan. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya sudah mula menggigil kecil.

“Stesen berikutnya, Kampung Baru.”

Pengumuman dari sistem hebahan tren berkumandang dari salah satu pembesar suara di dalam gerabak tren itu. Azlan berkerut dahi. Apa mungkin dia silap mendengar? Bukankah sepatutnya selepas stesen KLCC adalah stesen Ampang Park?

Baru berdetak rasa pelik di dalam hati, tren yang tadinya terberhenti secara tiba-tiba, meluncur laju sehinggakan hampir semua penumpang di dalam tren, terdorong ke belakang. Ada juga yang terjatuh di lantai gerabak dek tidak sempat memaut pada mana-mana tiang.

“Tren berundur ke belakang!” jerit satu suara, cemas.

Azlan dan Latifah tertelan air liur. Bagaimana sistem perjalanan tren yang sudah dikomputerisasi mengikut jadual sekian-sekian stesen, boleh berubah haluan dengan sendiri? Masing-masing kehairanan.

Tren terus bergerak laju menyongsang arah. Sehinggalah bunyi geselan besi rel berdentum kuat sekali gus membuatkan tren mendadak berhenti untuk ke sekian kali. Latifah terhantuk sisi kepalanya pada tiang dek momentum yang terhasil akibat perubahan halaju itu.

“Auch!” keluh Latifah sambil mengusap-usap bahagian kepalanya yang sakit.

Matanya kemudian melingas ke serata tempat. Keadaan lebih buruk dari sebelumnya. Kalau tadi, meski bergelap, masih ada tempias cahaya yang tembus masuk ke dalam tren itu. Tetapi sekarang, gelap sehingga mereka tidak nampak wajah sesama sendiri.

“Tren dah berhenti,” gumam Azlan.

“Lan, mari kita keluar dari sini. Saya tak boleh ada dalam tempat gelap. Saya fobia,” adu Latifah menunjukkan ciri-ciri seorang penghidap achluophobia.

Azlan mencari Syed dan kawan-kawannya. Dia melihat Hidhir dan dua orang lagi sahabat pemuda itu sedang mengerumuni seseorang. Bergegas dia ke sana.

“Kenapa ni?” celah Azlan apabila melihat riak muka Syed yang ketara nampak berubah.

“Tak ada apa-apa. Mari kita keluar dari sini lekas,” putus Syed tidak mahu memanjang-manjangkan isu.

Kelibat menyeramkan yang dia nampak beberapa minit lepas cuma diceritakan kepada kawan-kawannya.

Azlan, Latifah, Syed, Hidhir dan lain-lain bergerak masuk jauh ke dalam gerabak tren untuk bersama penumpang-penumpang yang lain. Masing-masing panik. Sudahlah tren itu dikendalikan secara automatik tanpa pemandu, dengan siapa mereka hendak meminta tolong?

Semua penumpang yang terkandas berkumpul di gerabak tengah. Azlan sempat mengira berapa orang yang ada ketika itu. 14 orang penumpang termasuk dirinya.

“Tren berhenti dalam terowong bawah tanah… berkemungkinan kita ada di pertengahan terowong di antara stesen KLCC dan stesen Kampung Baru,” ujar salah seorang penumpang.

Latifah sudah berasa sesak nafas. Suasana yang gelap dan terkurung, memburukkan lagi keadaan.

“Siapa tahu nombor telefon kecemasan Putra LRT?” soal Azlan, terfikir akan jalan penyelesaian yang satu itu.

Wanita yang bersama-sama kanak-kanak lelaki tadi, menyahut dari belakang.

“Saya ada nombornya,” jawab Mariam lalu memeriksa data simpanan nombornya.

Belum sempat nombor dihubungi, mereka terdengar bunyi letupan kecil di kepala gerabak diikuti percikan api.

“Tren terbakar!” laung Hidhir apabila memerhati percikan api yang datang dari kepala tren, semakin lama semakin melarat hingga deria hidu masing-masing sudah tercium bau asap. Barangkali kebakaran berlaku disebabkan masalah teknikal pada sistem tren. Atau mungkin disambar petir lantaran hujan lebat di luar sana. Sekali gus memutuskan bekalan eletrik. Segalanya boleh jadi punca.

Mariam lekas-lekas menghubungi nombor kecemasan LRT untuk meminta bantuan. Dia merengus tidak lama kemudian. Merungut-rungut.

“Kenapa kak?”

“Tak ada line lah. Saya sudah cuba lebih tiga kali!”

Semua yang berada di situ, segera mengeluarkan telefon bimbit masing-masing. Benarlah kata wanita itu, liputan isyarat telefon di dalam terowong bawah tanah itu lemah dan adakalanya terus tiada. Sekali gus memutuskan hubungan komunikasi mereka yang terperangkap di bawah tanah dengan orang di luar.

Syed tidak mahu tertegun tanpa berbuat apa-apa. Matanya meliar mencari sesuatu. Berlari dia ke hujung gerabak lagi satu. Bunyi kaca pecah merenggut perhatian semua orang. Pemadam api keselamatan di dalam tren itu ditarik keluar oleh Syed. Lalu bahagian belakang pemadam api dihentak ke permukaan cermin gerabak. Semua orang berundur ke belakang. Hentaman demi hentaman membuahkan hasil. Permukaan cermin mulai retak seribu. Syed menendang ke arah cermin itu sehingga pecah. Seorang demi seorang mulai membantu.

“Hati-hati. Jangan sampai terpegang kaca,” pesan Syed kepada para penumpang lain yang pakat-pakat menolongnya.

Sebaik sahaja terbuka satu cermin, Syed berlari ke kepala tren yang terbakar dengan membawa sekali pemadam api bersamanya. Berhati-hati Syed menarik pin keselamatan dan kemudian menekan pemicu. Muncung hos pemadam api dihalakan ke kawasan api yang merebak. Percik-percik api yang baru hendak merebak, beransur-ansur padam selepas itu. Masing-masing menghembus nafas lega.

“Kita kena keluar dari sini cepat, Syed. The worst can happen kalau pusat kawalan tak tahu kita terkandas kat sini, bila-bila masa saja tren lain akan hentam tren ni,” beritahu Azlan.

Boleh dikatakan setiap hari dia menggunakan perkhidmatan LRT itu. Perbezaan selang masa dan kekerapan tren pada waktu puncak dan di luar waktu puncak sudah terakam dalam kepala.

“Takkan sistem dia orang tak dapat kesan tren ni bermasalah?”

“Apa yang aku cakap tadi situasi paling buruk yang boleh berlaku. Kalau pusat kawalan dapat detect, lagilah bagus. Paling tidak, dia orang akan panggil pegawai bantuan untuk selamatkan kita. Apa pun, kita kena keluar dari tren ni sekarang,” saran Azlan.

Syed bersetuju. Mereka berdua bertindak sebagai marsyal. Menolong setiap seorang pengguna tren untuk lolos keluar dari tren itu dengan selamat.

“Semua melekap ke dinding terowong sewaktu berjalan. Sebolehnya, jangan pijak landasan. Takut terkena renjatan,” pesan Azlan.

Meskipun sudah jelas bekalan elektrik terputus tetapi risiko itu tetap ada. Empat belas penumpang tren yang terkandas itu berjalan lurus sehinggalah lebih kurang 10 minit kemudian, mereka akhirnya sampai di stesen Kampung Baru.

Malangnya, stesen itu adalah stesen bawah tanah. Ada pintu skrin platform yang memisahkan di antara bahagian dalam stesen dengan bahagian luar laluan tren.

“Pintu kaca ini tebal, macam mana kita nak pecah masuk?” celah satu suara daripada ramai-ramai itu.

Azlan dan Syed sudah memandang antara satu sama lain. Mereka buntu. Apa tindakan yang mereka perlu ambil lagi?

Dalam masa yang sama, Hidhir cuba mencari jalan masuk. Dia berjalan hingga ke hujung pintu skrin platform itu dan mendapati ada tangga kecil ke atas. Ada papan tanda yang tertulis, ‘Untuk Kakitangan Sahaja’ ditampal di pintu kaca. Hidhir melaung nama Syed.

“Pintu ni kaca dia tak tebal. Aku rasa kalau kita hentak guna pemadam api, mahu pecah,” usul Hidhir sebaik sahaja Syed dan semua yang lain sudah berkumpul di situ. Azlan menawarkan diri untuk berpatah balik ke tren. Pemadam api keselamatan ditinggalkan di dalam gerabak tren itu.

Hati-hati!” ujar Latifah apabila Azlan membuat keputusan untuk pergi sendiri.

Azlan mengangguk. Cahaya pada telefon bimbit dihidupkan. Dia perlu mengharungi terowong yang gelap itu sekali lagi.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266815/Projek-Seram-Terowong

[SNEAK PEEK] LOMBONG

9789674462369-medium
PROJEK SERAM: LOMBONG Oleh A. Darwisy, Saidee Nor Azam, Zyra Safiya, Hasrudi Jawawi

Sungai Lembing, Pahang,1920…

GEMPITA kawasan perlombongan itu dengan bunyi letupan. Saling bertingkah dengan bunyi mesin gerudi yang digunakan untuk menebuk lubang. Mereka sudah betah dengan suasana bingit sedemikian rupa. Lagi-lagi semenjak Sir Richard mengambil alih pengurusan hasil kekayaan bumi penduduk di tempat itu. Ramai orang yang berasa kurang senang dengan caranya. Lelaki itu memandang orang tempatan yang bekerja dengannya tidak ubah seperti buruh kasar yang boleh disuruh-suruh dan diinjak-injak tanpa belas.
“Tak guna punya orang Inggeris! Mereka ingat kita ni apa? Hamba abdi dia?” seranah Idris, tidak puas hati sambil meludah ke tanah.
Mukanya merah padam menahan marah. Sudah 12 hari berturut-turut dia dikerah untuk bekerja sepenuh masa, dari siang membawa ke malam. Badannya sudah sakit-sakit. Tidur pun tidak cukup. Upah yang diberi bukanlah banyak mana. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia melayangkan buku lima ke muka-muka mandur berkulit putih pucat yang berdiri di hadapannya tadi. Tetapi, dia teringat anak bini di rumah. Kalau dia memberontak, nescaya dia akan dibuang kerja.
“Sabarlah, Deris. Bukan kau seorang, aku pun sama. Kita senasib,” pujuk Karim.
Dia memahami perasaan kawannya yang seorang itu. Tiada siapa yang akan mendengar luahan hati pekerja lombong seperti mereka. Hendak mengharap majikan menjaga kebajikan mereka, usah dimimpi. Malah, lebih teruk lagi mereka menindas. Hujungnya, menggelek luka, kena gelek pun luka. Selagi tulang empat kerat masih larat, selagi itulah mereka cuba bertahan.
“Ramai orang kita mati mengorek terowong bawah tanah tu. Mereka sikit pun tak ambil peduli. Nyawa kita ni agaknya tak ada nilai langsung buat mereka. Bijih timah dalam perut bumi tu lebih penting daripada segala-galanya. Dasar penjajah!” getus Idris, melampiaskan amarah.
Dadanya seperti mahu meletup. Tunggu masa saja.
“Tuan Richard mahu kita cepat korek pangkang ni. Aku dengar cerita, harga dagang bijih timah di pasaran melonjak naik. Sebab tu dia mahu kita laju membuat kerja,” ujar Karim, bukan memihak kepada orang Inggeris tetapi dia cuba memahamkan Idris akan tujuan majikan mereka yang kapitalis dan memikirkan keuntungan saja.
Idris merengus. Dia peduli apa harga bijih timah naik atau turun. Bukannya memberi kesan pun kepada dia sekeluarga. Kalau dulu, mereka melombong ikut cara tradisi. Ada hasil, adalah rezeki. Tidaklah dipaksa-paksa serupa kuli.
Baru sahaja Idris hendak berlawan hujah, kumpulannya yang sedang berehat tiba-tiba mendengar kekecohan seperti sedang berlakunya pertelingkahan tidak jauh dari situ. Idris dan Karim saling memandang antara satu sama lain.
“Tu suara Leman,” sampuk salah seorang daripada mereka.
Idris dan Karim bingkas bangun. Dua sahabat itu termasuk tiga pekerja lombong yang lain, bergegas ke sana. Termengah-mengah mereka berlima berlari. Sampai di tempat kejadian, masing-masing termati langkah. Benarlah suara Leman tadi dan lelaki itu sekarang sedang menjerit-jerit.
“Tak perlu dikorek lagi terowong tu hingga ke dalam! Cukuplah! Kita dah sampai sempadannya!” ujar Leman, cuba menghalang, tetapi akibatnya muka lelaki itu ditumbuk oleh mandur-mandur Inggeris yang langsung tidak mengambil endah tegahannya.
Leman tertiarap di atas lantai tanah.
Idris menggigil menahan marah. Buku limanya sudah digenggam kuat. Mahu saja dia masuk campur, tetapi Karim kejap memegang pergelangan tangannya supaya tidak terburu-buru bertindak. Beredar saja mandur-mandur itu, lekas-lekas Idris dan Karim mendapatkan Leman yang terkoyak bibirnya kesan tumbukan tadi. Ada darah mengalir keluar.
“Kenapa, Leman? Apa yang berlaku ni?” soal Idris sambil membantu Leman untuk bangun.
Selepas meludah darah dan pasir yang bercampur dalam mulut, barulah Leman bercerita. Tetapi sebelum itu, dia menyuruh tiga orang pemuda dalam kumpulan Idris untuk menyambung rehat mereka. Sebenarnya, dia mahu menaruh beras dalam padi. Berdua terkunci, bertiga terbuka.
“Mereka mahu mengorek terowong tu lebih dalam lagi. Aku kata, tak boleh. Tanah Sungai Lembing ni bukan tanah sembarang!”
“Maksud kau, Leman?” soal Idris, tidak sabar-sabar ingin tahu.

Leman sememangnya lebih arif dengan kawasan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing itu. Orang tuanya dulu antara yang paling awal mendulang bijih timah di situ sekitar tahun 1882. Ikut kiraan tepat, 38 tahun yang lepas. Sebelum syarikat The Pahang Corporation Limited menjalankan aktiviti perlombongan bawah tanah secara intensif lima tahun kemudiannya.
“Arwah bapak aku pernah beritahu aku dulu. Tanah ni rizab jin,” jawab Leman.
Idris dan Karim tertelan air liur. Tidak semena-mena merinding bulu roma mereka. Leman mengusap-usap belakang tengkuk. Seboleh-bolehnya, dia mahu menyimpan rahsia. Nanti jadi buah mulut orang ramai, tiada pula yang mahu melombong di situ.
“Rizab jin?”
Takut-takut Karim mengulang sebut. Leman mengangguk, tanda mengiakan. Sempat dia memandang ke kiri dan ke kanan. Khuatir ada yang memasang telinga. Setelah dipastikan selamat, dia menyambung bicara.
“Ada sesuatu yang tersimpan kat bawah tanah. Dan benda ni kalau ditemui, mengundang petaka. Bapak aku cakap, ia pusaka jin. Dari bapak aku hidup lagi, orang-orang Inggeris ni mencarinya. Mereka sebenarnya ada niat lain. Serampang dua mata.”
“Macam mana pulak kau boleh tahu benda tu letaknya kat terowong bawah tanah yang kita sedang korek tu? Dan benda yang tersimpan tu apa sebenarnya? Berharga sangat ke?” celah Idris, semakin terpancing minatnya.
“Bapak aku cakap, petandanya mudah. Lihat pada amang bijihnya. Lagi tinggi nilai bijih timah di kawasan tu, bermakna di sekitar tulah ia ditanam. Tapi apa bendanya tu, aku tak tahu. Apabila sampai ke pengetahuan orang Inggeris tentang perkhabaran ni, mereka tekad mahu mendapatkannya. Mereka menganggapnya harta karun.”
Idris menghadam penerangan Leman.
“Jadi, apa benar ada harta karun tersembunyi di bawah tanah?” soal Idris, sedikit menekan nadanya.
Iyalah, kalau benar ada perbendaharaan berharga di situ, ada baiknya biar mereka yang menjumpainya terlebih dahulu. Tidak mahu dia melihat lahanat-lahanat Inggeris itu membolot rakus kesemuanya. Serakah jiwa imperialis yang mahu mengaut semua kekayaan untuk mengisi tembolok mereka sendiri.
Otak Idris terus ligat bekerja. Berpandukan cerita Leman tadi tentang petanda yang disebutkan arwah bapanya, memang benar kualiti bijih timah di situ terbaik mutunya. Bertambah bersemangat dia hendak mendengar lanjutan kisahnya.
“Sekalipun harta karun, benda tu bukan hak kita. Nenek moyang kita dulu yang lebih awal membuka petempatan di sini. Merekalah yang menanamnya supaya rahsia tu tersembunyi sampai bila-bila. Angkat sumpah telah dibuat untuk kebaikan kita, penduduk Sungai Lembing. Aku tak mahu tulah menimpa. Dibuatnya terbalik tanah ni dari atas ke bawah, siapa yang susah? Kita jugak.”
Sembang Idris, Karim dan Leman bubar tidak lama kemudian apabila cuping telinga masing-masing menangkap bunyi letupan yang lebih kuat daripada biasa. Datangnya dari dalam terowong bawah tanah. Tanah yang dipijak terasa bergegar seperti berlakunya gempa kecil. Ketiga-tiga lelaki itu deras berlari ke terowong itu untuk melihat dengan mata kepala sendiri. Leman mulai berasa tidak sedap hati. Bulu romanya merinding. Dia takut sekali membayangkan musibah yang mendatang. Celakanya pasti akan memburu setiap seorang daripada mereka.
Sampai di dalam terowong itu, mereka terpempan melihat beberapa orang pekerja lombong mengalami kecederaan teruk dan bergelimpangan di atas tanah. Menderu yang lain datang menolong, memapah mereka keluar untuk diberi rawatan dengan segera. Seorang mandur Inggeris juga cedera di bahagian kepala. Tetapi masih mampu berdiri. Semakin lama, semakin ramai yang berkerumun sehingga ruang bawah tanah yang sedia sempit itu bertambah padat. Masing-masing hendak tahu apa yang telah berlaku.
Leman meliar matanya ke sana ke mari. Habuk debu kesan letupan sekejap tadi masih berapungan di udara. Biarpun di luar masih siang, tetapi berada di situ bagaikan hari sudah malam.
“Aku dah melarang, tapi mereka degil. Nilah makannya!” bisik Leman di telinga Idris.
Beberapa orang pegawai Inggeris datang sejurus kemudian. Semua yang ada di situ berundur ke tepi memberi laluan.
“Sir, we found something!” ujar mandur yang cedera tadi.
Idris dan Kamil memandang saja dari jauh dengan perasaan teruja ingin tahu. Mereka nampak sebuah peti kayu bersaiz sedang-sedang, ditarik keluar dari lubang tanah. Apa mungkin di dalamnya ada harta karun sepertimana yang diceritakan Leman?
“Bring it to the office,” arah pegawai atasan itu serta-merta.
Peti kayu itu diangkat. Kelihatan tidak berat daripada pandangan kasar. Sebaik sahaja peti itu dikeluarkan daripada tempatnya, berbunyi satu tempikan yang nyaring bersipongang ke segenap penjuru terowong bawah tanah itu. Masing-masing sudah cuak. Pertama kali mereka mendengar bunyi aneh lagi menggerunkan. Idris dan Kamil mulai merinding satu badan. Keadaan bertambah gamat apabila tanah yang mereka pijak mulai merekah dan menunjukkan tanda-tanda mahu terbelah dua.

“Out! Out! Get the hell out from here!” pekik salah seorang pegawai Inggeris yang menyedari ada sesuatu yang aneh sedang berlaku di dalam terowong itu.
Mereka kumpulan pertama sekali meloloskan diri. Peti kayu yang dijumpai tadi, dibawa keluar dengan selamat. Dalam masa yang sama, sebahagian besar pekerja lombong yang tidak memahami apa yang dimaksudkan orang-orang Inggeris tadi, bingung terpinga-pinga dan saling berpandangan antara satu sama lain.
“Lekas! Keluar dari sini! Lari ke tempat tinggi!” jerit Leman, lantang.
Mendengar arahan lelaki itu, barulah masing-masing berasak-asak berlari tidak cukup tanah. Idris dan Kamil turut sama bertolak-tolakan demi menyelamatkan diri. Bunyi tempikan nyaring itu semakin kuat kedengaran. Seolah-olah ada satu makhluk purba yang hendak keluar dari perut bumi dan mahu membaham mereka semua.
Seluruh kawasan perlombongan bijih timah itu bagaikan dilanda gempa kecil. Masing-masing kelam-kabut mencari tempat perlindungan. Dalam kekalutan yang tidak disangka-sangka itu, salah seorang daripada mereka tersadung langkahnya lalu tersungkur. Suara jeritan meminta tolong kedengaran kuat selepas itu. Idris yang mendengar jeritan itu mulai berbelah bahagi. Sama ada hendak teruskan berlari atau berpatah balik ke belakang.
“Kamil! Leman! Ada kawan kita yang jatuh. Aku nak selamatkan dia!” ujar Idris, benar-benar tekad.
“Kau jangan buat kerja gila, Deris!” ujar Leman, cuba menghalang tetapi Idris terus menongkah arus.
Hendak tidak hendak, atas dasar persahabatan, Leman terpaksa berundur lalu mengejar Idris. Kamil yang menyedari dua orang kawannya itu berlari menyongsong haluan, turut sama berbuat demikian. Sudahnya, ketiga-tiga mereka berpapasan melawan arah sekumpulan besar pekerja lombong yang berpusu-pusu mahu keluar dari terowong itu.
“Ah Meng tu!” ujar Idris, dengan mudah dapat mengecam wajah yang sedang mengerut menahan sakit.
“Tolong aku, Deris! Kaki aku terkehel. Kemudian, kena pijak pulak ramai-ramai,” adu Ah Meng.
Idris melihat bahagian yang tercedera. Benarlah seperti apa yang dikatakan lelaki itu. Kaki Ah Meng bengkak besar dan melebam teruk. Mujurlah Kamil dan Leman ada bersama. Idris meminta Leman memapah Ah Meng di sebelah kiri sementara dia di sebelah kanan.
“Ya ALLAH! Deris! Leman! Apa tu?” jerit Kamil, terbeliak sambil menuding jari telunjuk ke satu arah. Ke lubang di mana peti kayu tadi dijumpai.
Idris, Leman dan Ah Meng serentak menoleh. Mereka berempat tergamam. Tidak berkelip mata mereka melihat bebayang hitam menyerupai akar pokok kayu, menjalar keluar dari dalam lubang itu. Meremang bulu roma mereka semua.
“Kita kena cepat keluar dari sini!” ujar Leman sambil menekankan suara.
Lagi lama mereka berlengah, lagi berisiko mereka dalam bahaya. Idris dan Leman lekas-lekas mengheret Ah Meng bangun. Mereka bertiga berlari sepantas yang mungkin walaupun pergerakan Ah Meng berdengkot-dengkot.
“Mil! Kau tunggu apa lagi? Lari!” pekik Idris apabila melihat Kamil masih tidak berganjak.
Lelaki itu sebenarnya tergamam sampaikan dia tidak sedar kawan-kawannya yang lain sudah jauh berlari meninggalkan dia di situ.
Bebayang hitam yang dilihat Kamil itu seolah-olah mempunyai sepasang mata merah menyala seperti api dan berjelaga. Dari satu susuk, ia bercabang-cabang dan mulai merayap bukan saja di permukaan tanah, tetapi juga mencuar-cuar ke atas, meliputi dinding terowong. Kamil yang baru tersedar ditinggalkan keseorangan, terkial-kial hendak melarikan diri. Sayangnya, dia sudah terlambat. Belum sempat Kamil memusingkan tubuh, dia terasa ada sesuatu yang menjalar memasuki seluarnya.
Kamil terjerit-jerit dan menggelinjang tidak tentu hala. Lelaki itu rebah di atas tanah dan menggelepar. Matanya terbelalak menahan sakit yang tidak terperi apabila lubang anusnya dirodok kepala akar hitam itu lalu tembus keluar ke mulut. Kamil ternganga. Rahang pipinya hancur lumat. Kamil terkedang kaku. Mulutnya terperohong, lidahnya terjelir ngeri sekali!

****

LEMAN kini berada di banglo Sir Richard, nun di atas bukit. Banglo berbentuk vernakular kolonial ini digelar The European Bungalow. Rumah-rumah yang dibina di kawasan tinggi di sekitar Sungai Lembing ini adalah kediaman rasmi pegawai-pegawai kanan Inggeris yang bermastautin di situ. Leman dipanggil di situ kerana bersebab. Belum pernah pekerja-pekerja lombong dibenarkan masuk ke residen itu apatah lagi menjejakkan kaki di banglo Sir Richard. Leman antara yang bertuah. Tetapi jemputan Sir Richard itu sudah dihidu niatnya. Leman seboleh-bolehnya tidak mahu pergi.
“Kenapa tuan hendak jumpa dengan saya?”
Leman yang dipanggil masuk ke dalam bilik pejabat lelaki Inggeris bermisai tebal berwarna perang itu, mempamerkan riak tegas. Dia tidak mahu dilihat lemah di hadapan bangsa penjajah.
“Sit…sit…” ujar Sir Richard sambil mengangguk-angguk mempelawa tetamunya duduk di atas kerusi.
Leman mengeluh. Dia tidak teringin walau sedikit pun hendak bersenang-senang di dalam bilik itu sekalipun dihampar dengan permaidani merah. Permainan orang Inggeris, dia sudah dapat baca. Mereka akan berbuat baik sekiranya berhajatkan sesuatu.
“Ada apa tuan panggil saya ke mari?” soal Leman lagi.
Dia tahu lelaki Inggeris itu bukan saja faham soalannya, tetapi mampu juga bertutur dalam bahasa Melayu. Sir Richard tersenyum penuh makna.
“Awak asal Sungai Lembing bukan?” soal Sir Richard, berbasa-basi.
Pelat Inggerisnya tebal, tetapi masih boleh ditangkap jelas maksudnya.
Leman mengangguk. Dia sengaja menayangkan muka bosan. Endah tidak endah saja hendak menjawab.
“Jadi, awak mesti tahu tentang…err… about this pandora’s box,” ujar Sir Richard, tidak tahu istilah dalam bahasa Melayu lalu dia mengambil keluar peti kayu yang dijumpai dua hari lepas dan diletakkan di atas meja.
Leman berasa kurang selesa. Reroma halus di pergelangan tangan serta-merta berdiri tegak. Dia berundur setapak ke belakang.
“Tuan kena pulangkan semula peti ni ke tempat asalnya. Saya tak mahu kawan-kawan saya yang lain pulak mati disebabkan perbuatan tuan!” tegas Leman.
Dia tidak peduli dengan siapa dia sedang berbicara sekarang. Kematian Kamil cukup tragik dan mengerikan. Benarlah pesanan arwah bapanya, petaka akan memburu sekalian penduduk di Sungai Lembing itu sekiranya benda yang ditanam di dalam perut bumi itu ditemui. Apatah lagi kalau jatuh ke tangan orang yang salah. Tragedi yang menimpa arwah Kamil bagaikan petanda amaran yang pertama.
“Stop being superstitious. Dalam ni ada harta karun. Awak mesti tolong saya!”
Satu per satu Sir Richard menyusun ayat. Dia menghampiri Leman dan meraih bahu lelaki itu lalu dibawa dekat ke meja. Leman dipaksa untuk menyentuh peti kayu itu.
“Buka! Buka untuk saya!”
“Kenapa tuan tak buka sendiri?” tukas Leman, berani berbalah.
“Saya tak dapat buka. Orang-orang saya buka pun tak dapat. Sebab tu saya mahu awak yang buka.”
Berderau darah Leman dibuatnya. Jantungnya berdegup laju. Bukan kerana takutkan lelaki Inggeris itu, tetapi dengan apa yang akan terjadi sekiranya dia berjaya membuka peti kayu itu. Jari-jemarinya menggeletar.
Peti kayu berbentuk empat segi tepat itu tidak bermangga. Ironinya, tidak boleh dibuka. Perlahan-lahan Leman menyentuh ukiran halus yang bertakik di permukaan penutup peti itu dengan perasaan libang-libu. Ada 12 baris serangkap. Mirip nazam orang lama. Lekas-lekas Leman mengangkat tangan daripada terus memegang peti kayu itu. Sungguh, dia berasa tidak sedap hati.
Sir Richard yang melihat kedegilan Leman yang enggan membuka peti itu, mulai baran. Dia menjerit memanggil pembantunya. Selang beberapa ketika kemudian, masuk pembantunya itu sambil mengheret Idris.
“Kalau awak tak mahu buka peti ni, i’ll blow a hole right through his head!” ugut Sir Richard lalu mencapai senapang patah dan menghalakan muncungnya betul-betul di atas dahi Idris.
Idris yang berikat kaki dan tangan, sudah pucat lesi. Leman tidak sangka begitu sekali permainan jahat lelaki Inggeris itu. Picu senapang tunggu masa sahaja hendak dilepaskan.
“Baik! Baik! Saya cuba!” ujar Leman, akhirnya mengalah.
Dia menggigil menyentuh peti kayu itu semula. Puas dia membuka penutup peti itu ikut cara biasa, tetapi ternyata ia tidak boleh dibuka. Leman membelek keseluruhan peti kayu itu untuk ke sekian kali. Hanya 12 baris ayat pada permukaan peti kayu saja petunjuk yang dia ada. Apa mungkin ini kuncinya?
“Si lembik mengarang bunga… Mari karang tali rotan… Minta tabik pada semua… Saya nak karang hikayat syaitan.”
Terhenti Leman pada penamat baris keempat. Bulu romanya meremang tidak pasal-pasal. Cuping telinganya terasa kebas dan tebal. Ada dua rangkap lagi yang perlu dilunaskan.

“Sayang jembalang bermata tujuh… Ditukang oleh tukang emas… Jangan dibuka jangan digaduh… Rahsia bergulung disimpan kemas.”
Lapan baris sudah dibaca. Tinggal serangkap lagi untuk melengkapkan nazam 12 baris ayat itu. Leman sudah menggelisah. Tiba-tiba, terasa telapak tangannya panas dan berpijar. Dia mahu mengangkat tangan, tetapi tidak boleh. Jari-jemarinya bagaikan melekat di permukaan peti kayu itu. Leman dirasuk ketakutan.
“Api-api tembaga dusun… Anak Perlin bergelang kaca… Bukan mati kerana racun… Mati terjelir si ekor mata.”
Lambat-lambat Leman menyempurnakan rangkap yang terakhir. Sekonyong-konyong ucapnya, berdetak bunyi peti kayu itu dari dalam seperti terbuka dengan sendiri. Leman segera mengalihkan tangannya. Sir Richard bersinar-sinar matanya apabila melihat peti kayu itu sudah terbuka katupnya.
“Good job! Good job!”
Tugasnya sudah selesai. Leman berlari mendapatkan Idris. Tali yang mengikat kaki dan tangan kawannya itu dileraikan.
“Apa isi dalamnya?” soal Idris, sempat berbisik kepada Leman.
“Aku tak mahu tahu. Mari kita keluar. Sungai Lembing akan dilanda malapetaka. Percayalah cakap aku!”
Leman dan Idris bersegera meninggalkan banglo Sir Richard tanpa dihalang sesiapa. Bayangan hitam bermata merah yang menjalar keluar dari lubang bawah tanah di dalam terowong bijih timah tempoh hari, masih kejap dalam ingatan mereka berdua. Seriau!

AKTIVITI mengorek bijih timah di Sungai Lembing diteruskan seperti hari biasa meskipun masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga. Sudah meniti dari bibir ke bibir, perkhabaran tentang kecelakaan yang menimpa arwah Kamil. Idris dan Leman banyak berdiam dan mengunci mulut. Mereka berdua seboleh-bolehnya tidak mahu memanjang-manjangkan cerita.
“Leman! Deris! Tuan Richard panggil lu olang berdua!” laung Ah Meng agak kuat.
Bunyi dengungan enjin kereta api pengangkut bijih yang beroperasi, mengatasi bunyi yang lain.
Leman dan Idris melompat keluar dari kenderaan transit lalu menghampiri Ah Meng.
“Dia mahu apa lagi?”
“Gua tak tahu,” jawab Ah Meng sambil mengangkat bahu.
Hendak tidak hendak, Idris dan Leman terpaksa menghadap muka lelaki Inggeris itu. Nampak saja kelibat mereka berdua, Sir Richard melambai-lambaikan tangan memanggil.
“Kenapa mereka sandang senjata? Mahu pergi berperang ke?” bisik Idris, perlahan.
Leman juga memandang pelik. Di bahu masing-masing, tersandang senapang patah pam.
“Saya mahu awak berdua ikut saya.”
“Tuan nak bawa kami ke mana?” soal Leman, hairan.
Sir Richard kemudiannya mengunjukkan skrol yang dipegang di tangan. Skrol itu dibuka, menunjukkan sebuah gambar peta. Seperti kartografi lama.
“Awak orang asal sini. Mesti tahu jalan. Awak pandu arah kami.”
Berkerut dahi leman. Dia masih tidak dapat menangkap lagi akan apa yang dimaksudkan dan dihajatkan lelaki Inggeris itu. Bingung dia dibuatnya.
“Ni peta apa?”
“Peta dalam peti yang awak buka semalam. Saya percaya ni peta harta karun.”
Mendengar tentang peti kayu itu, terus saja Leman menggeleng-geleng. Dia tidak mahu bersubahat. Dan sekarang, barulah dia dapat menebak kenapa orang-orang Inggeris itu siap menggalas senjata. Mereka mahu melindungi diri mereka kalau berlaku apa-apa.
“Saya tak mahu terlibat. Kalau tuan nak menempah maut, tuan dengan orang-orang tuan pergi cari sendiri.”
Berani sekali Leman berlawan kata. Sebaliknya, Idris tidak bersetuju dengan bangkangan kawannya itu. Dia berbisik ke cuping telinga Leman.
“Kalau benar peta tu peta harta karun, kenapa tidak kita ikut sekali? Mereka lengkap bersenjata, apa hendak ditakutkan?” bisik Idris, sedikit termakan kata-kata lelaki Inggeris itu. Harta karun, siapa tidak mahu?
“Kau yakin ada harta karun? Orang Inggeris memang itu saja dalam kepala mereka! Kau jangan gelap mata macam mereka!” marah Leman.
“Jadi kalau bukan benda berharga, apa dia?”
Leman tidak memberi sebarang jawapan. Rasa ingin tahu dalam diri Idris kian membuak-buak. Dia bukan tamakkan kekayaan, cuma dia teringin sangat hendak tahu rahsia di sebalik peta itu. Rahsia yang berkurun lama sengaja disembunyikan. Idris nekad. Dia mahu menjadi sebahagian dalam usaha menjejak khazanah itu.
“Saya ikut tuan.”
Leman terkejut apabila Idris tiba-tiba terus menyatakan persetujuan. Sudah hilang akal apa?
“Kau tak mahu tahu punca kematian arwah Karim?” soal Idris, mengumpan.
Leman terdiam. Lama. Akhirnya, lelaki itu akur. Dia bersetuju untuk memimpin perjalanan itu, tetapi bersyarat. Apa saja arahan yang keluar dari mulutnya mesti dipatuhi oleh semua orang. Dia tidak suka dirinya pula yang disuruh-suruh serupa lembu dicucuk hidung.

Peta tadi bertukar tangan. Leman menekuni lama. Berlapis dahinya. Daripada apa yang terlakar di atas lembaran, nyata ia digambarkan lengkap dan cukup rinci sekali.
“Titik mula pencarian kita adalah di tempat peti ni dijumpai,” ujar Leman, menerangkan.
Idris tertelan air liur mendengarnya. Sir Richard menterjemahkan apa yang keluar dari mulut Leman kepada orang-orangnya.
“Maksud kau, kita kena pergi dalam terowong bawah tanah tu semula?” soal Idris, meminta kepastian.
Leman mengiakan. Menelusur terowong bijih timah Sungai Lembing yang panjangnya beratus kilometer itu adalah cabaran getir yang perlu mereka tempuh. Mereka perlu bergerak dalam pasukan.
Misi menjejak pun bermula. Idris dan Leman mengepalai perjalanan diikuti Sir Richard dan dua orang pegawai kanannya. Mereka berlima menggunakan kereta api pengangkut bijih timah untuk masuk ke dalam lalu berhenti di tempat mereka menjumpai peti itu beberapa hari yang lalu. Suasana dalam terowong yang gelap itu hanya diterangi cahaya lampu karbaid yang dipegang Karim dan seorang lagi pegawai Sir Richard.
“Wait! Wait for me!” laung satu suara halus dari jauh.
Sir Richard mendadak berubah air mukanya. Seorang gadis berambut coklat terang, panjang mencecah ke pinggang, memiliki sepasang mata berwarna biru terkocoh-kocoh berlari ke arah mereka. Gadis itu menyandang beg besar selayaknya orang mahu pergi mengembara jauh.
“You are not supposed to be here, Isabelle!” ujar Sir Richard, melengking nadanya.
Terkejut dengan kehadiran anak perempuannya di situ. Isabelle namanya. Berusia 21 tahun.
“But daddy…I want to be a part of your journey. Please…” pujuk Isabelle.
Dia mencuri dengar perbualan ayahnya dengan pegawai-pegawainya semalam tentang perancangan lelaki itu yang mahu menjejak harta karun. Terujanya bukan kepalang.
Sir Richard mengeluh dan menggeleng-geleng.
“You’d better behave yourself!” ujar Sir Richard, memberi peringatan.
Isabelle bersinar-sinar matanya. Dia tersenyum lebar dan sempat lagi mengenyit mata ke arah Idris dan Leman. Leman masam mukanya.
“Belum apa-apa lagi, dah mengundang bala! Huh!” rungut Leman yang menganggap kehadiran gadis itu adalah satu beban.
Perjalanan mereka berenam menaiki kereta api pengangkut bijih itu berhenti tidak jauh dari tempat peti kayu itu ditemui. Mereka terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk masuk ke dalam. Isabelle yang awal tadi menyangka ia satu perjalanan yang menyeronokkan, mulai berasa kurang selesa. Apatah lagi berada di dalam ruang yang sempit, tertutup, gelap dan panas sedemikian rupa. Menyesal pula dia mengikut tadi. Tetapi dek semangatnya yang kuat mahu melihat harta karun dengan mata kepala sendiri, Isabelle cuba melawan segala macam perasaan kurang enak itu.
“Kita dah sampai?” soal Isabelle.
Slanga Inggerisnya tebal kedengaran. Namun, kefasihan anak pengurus syarikat lombong bijih timah itu bertutur dalam bahasa Melayu layak dipuji.
“Ikut dalam peta ni, di sinilah permulaannya,” jawab Leman.
Isabelle selamba mencapai peta dari tangan lelaki itu dan membelek-beleknya. Sir Richard dan dua orang kanannya memandang lubang tanah di hujung kaki mereka.
“Peta ni tak tunjuk arah kiri atau kanan, tapi anak panahnya menunjuk ke bawah. Well now it’s just weird!” ujar Isabelle, lebih banyak bercakap daripada ayahnya.
Idris memandang muka Leman. Kawannya itu saja yang punya jawapan.
“Itu maksudnya, kita kena gali lubang ni.”
Leman melingas matanya mencari batu besar yang runcing bahagian hujungnya di sekitar kawasan itu. Dia mengunjukkan satu kepada Idris.
“Kalau hendak cepat, dua pasang tangan saja tidak cukup,” ujar Leman sinis sambil memandang wajah Sir Richard.
Lelaki Inggeris itu faham sindiran yang ditujukan kepadanya. Dia lantas menyuruh dua orang pegawainya yang lain untuk turut sama menolong Leman dan Idris menggali lubang itu lebih dalam. Lampu karbaid yang dipegang oleh salah seorang lelaki Inggeris tadi bertukar tangan. Isabelle mengambilnya. Gadis itu bersama ayahnya hanya berdiri memerhati.
“Kalau apa yang kita nampak tempoh hari, keluar dari lubang ni bagaimana? Mati kita, Leman!” ujar Idris, sedikit cuak.
“Mulut jangan cabul. Kita turutkan saja kehendak mereka ni. Selesai tugas kita, kita angkat kaki,” ujar Leman, berbisik.
Empat tenaga lelaki mengorek lubang itu hingga mencecah lima kaki kedalamannya. Peluh jantan membasahi satu badan. Muka masing-masing comot-momot, berlumur dengan tanah. Sehinggalah tiba-tiba Leman merasakan ada pergerakan kecil pada plat tanah yang dipijaknya.
“Berhenti! Kau rasa tak apa yang aku rasa?”
Leman menyuruh yang lain untuk berhenti menggali. Idris sudah memandang ke bawah. Mulalah dia menggelabah.

“What’s wrong?” soal Sir Richard yang berada di atas.
Lelaki Inggeris itu tertunduk-tunduk menjenguk ke bawah.
“Keluar dari lubang ni lekas!” jerit Leman, tiba-tiba.
Tetapi belum sempat dia dan lain-lain menyelamatkan diri, keseluruhan kawasan itu tiba-tiba bergoncang kuat. Sir Richard yang berdiri di luar garis pusat lubang itu turut terasa kesannya. Dia pantas meraih pergelangan tangan Isabelle bagi melindungi gadis itu. Bunyi rekahan tanah semakin kuat kedengaran. Tanpa disangka-sangka, dinding terowong di bahagian atas retak lalu batunya menghempap mereka yang berada di dalam lubang yang sedang digali.
“Hey! Watch out!” jerit Isabelle, memberi amaran.
Leman sempat menarik Idris ke tepi. Depan mata mereka semua, sebongkah batu besar tiba-tiba menghentam kepala dua orang pegawai Inggeris. Berderau darah Isabelle. Darah memancut di udara. Isabelle segera berkalih lalu membenamkan muka di dalam pelukan ayahnya.
Sir Richard yang banyak berdiam sejak tadi, turut kehilangan kata-kata. Ternyata, rancangannya yang mahu menjejak harta karun itu bergalang dengan nyawa orang-orangnya sendiri. Keseluruhan badan dua lelaki malang itu ditindih dengan batu besar. Hanya tangan mereka saja yang terkitai-kitai keluar sebelum kejur tidak bergerak, tidak lama selepas itu.
Sangka mereka, segala-galanya sudah berakhir tetapi baru sahaja masing-masing hendak menghela nafas lega, keseluruhan kawasan itu seperti dilanda gempa. Gegaran kuat pada tempat Sir Richard dan Isabelle berdiri menyebabkan mereka anak-beranak turut sama terhunjam ke dalam lubang yang digali.
“Tanah ni tak kukuh. Kita akan jatuh!” laung Leman dan dalam sekelip mata, keempat-empat mereka terjoblos jauh ke dalam.
Isabelle menjerit sekuat hati. Dia terasa tubuhnya seperti ditolak dari pesawat di udara dan tidak ada apa-apa penahan yang boleh dicapai untuk berpaut. Mereka bagaikan di awang-awangan sebelum tubuh masing-masing jatuh terhempap di atas permukaan berpasir.
Idris yang mendarat dalam keadaan terlentang, mengerutkan dahi menahan sakit yang bukan kepalang. Tulang-temulang di bahagian belakang badan terasa seperti bersepai keluar. Perlahan-lahan Idris cuba menggerakkan tubuh dengan mengiring ke kanan terlebih dulu. Baru sedikit beralih ke sisi, berdetap kuat bunyi pinggangnya. Idris mengerang.
“Leman! Kau kat mana? Tolong aku. Aku tak boleh bangun!” Suara Idris bertalun-talun.
Gemanya bertimbal balik. Petanda yang mereka jatuh dalam hingga ke dasar.
“Come! Let me help you.”
Satu tangan terhulur dari atas. Idris memicingkan pandangan. Seperti tidak percaya dia melihat Isabelle, berdiri di hadapannya tanpa mengalami sebarang kecederaan. Sedangkan dia yang lelaki, jatuh serupa nangka busuk. Isabelle menarik kuat tangan Idris, membantu lelaki itu bangun.
“Terima kasih.”
“No problem.”
Idris tercari-cari kelibat Leman. Bukankah mereka berempat jatuh serentak tadi? Mustahil mereka boleh terpisah jauh. Batang hidung Sir Richard pun tiada. Ke mana pergi mereka berdua?
“Kawan awak dan ayah saya ada di sana. Mari ikut saya,” ujar Isabelle sambil berjalan terkedepan.
Idris terkial-kial mengekori. Satu badannya masih terasa sakit-sakit. Mujurlah tidak patah riuk.
Kelihatan Leman dan Sir Richard berdiri saling sebelah-menyebelah sambil mendongak. Tangan kiri Leman memegang peta sementara tangannya yang sebelah lagi memegang lampu karbaid. Idris dan Isabelle menyertai dua orang lelaki itu dan turut melangut, memandang ke arah yang sama.
“Kita sekarang betul-betul berada jauh ke dalam. Mungkin lebih kurang 20 kaki ke bawah,” ujar Leman, menganggar.
“Can we survive?” soal Sir Richard.
“Dinding di sini berbatu-batu. Kita boleh panjat ke atas.”
“Great! But right now, let’s find our treasure.”
Leman menggeleng-geleng. Dalam keadaan genting begini, Sir Richard masih memikirkan harta karun yang entah ada entahkan tidak itu berbanding nyawa sendiri dan orang lain. Leman malas hendak bertekak. Dia berjalan terus. Mereka berempat bergerak mengikut petunjuk peta. Udara yang nipis membuatkan masing-masing sukar hendak bernafas dengan sempurna.
“Busuknya! Bau apa ni, Leman?” soal Idris, berbisik.
Dia mulai tidak sedap hati. Tempat apa yang mereka cerobohi ini?
Leman hanya meletakkan jari telunjuk di atas bibir, mengisyaratkan kawannya itu supaya tidak banyak bertanya perihal yang tidak sepatutnya. Isabelle sudah mengambil sapu tangan dan mengikat separuh bahagian mukanya. Baunya terlalu menusuk hidung. Seperti bau air kencing dan tahi najis kering yang terenap begitu lama.
Keempat-empat mereka berhati-hati mengatur langkah. Dua buah lampu karbaid menerangi perjalanan yang membawa mereka entah ke mana. Suasana begitu senyap sekali. Hanya bunyi tapak kaki dan deru nafas masing-masing kedengaran.
“I saw something over there!” ujar Isabelle, tiba-tiba bersuara.

Dia menuding ke satu arah. Tetapi apa yang terlihatnya tadi, sepantas kilat ghaib. Gadis itu bertindak berani dengan berpecah keluar daripada kumpulan itu dan membawa haluan sendiri.
“Suruh anak tuan tu jangan buat hal,” ujar Leman, naik geram.
Sir Richard tidak punya pilihan selain akur pada bentakan lelaki Melayu itu. Dia pantas mengejar anak daranya. Isabelle tidak puas hati apabila disuruh untuk balik semula dalam kumpulan. Dia menghentak-hentak kaki. Dia yakin sekali melihat sesuatu tadi.
“Buang masa betullah budak ni mengikut!” gumam Leman, cemuih.
“Tapi saya memang nampak ada benda tadi. Seperti bayang-bayang…but it’s moving too fast!” ujar Isabelle, menjelaskan bersungguh-sungguh.
Idris yang mendengar perkataan bayang, sudah tertelan air liur. Dia berharap sangat apa yang keluar dari mulut gadis Inggeris itu tidak betul.
Sedang Isabelle dan Leman berseteru, Sir Richard yang berada di barisan paling belakang, melihat ada bayangan hitam yang menjalar laju ke arah anak daranya. Belum sempat dia hendak bertindak, pergelangan kaki Isabelle dibelit bayang itu lalu jatuh terlentang dan serentak tubuhnya ditarik.
Isabelle menjerit terperanjat. Idris dan Leman bertindak pantas dengan cuba merangkul tangan gadis itu, tetapi pegangan mereka hanya bertahan sekejap saja. Mereka berdua jatuh tertiarap. Benda yang menarik kaki Isabelle lebih kuat berbanding tenaga mereka. Isabelle tergapai-gapai tangannya cuba memaut mana yang sempat, tetapi sia-sia. Batang tubuhnya terus diseret laju!
“Tolong! Tolong saya!” jerit Isabelle, kuat.
Leman, Idris dan Sir Richard tergamam. Dalam kegelapan, suara jeritan gadis Inggeris itu semakin sayup-sayup kedengaran sebelum senyap.
“My daughter… Tolong selamatkan anak saya…” rayu Sir Richard.
Idris dan Leman tidak sampai hati. Benci mana pun mereka terhadap orang Inggeris, mereka masih berhati perut. Isabelle mesti diselamatkan!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/80003/lombong