[SNEAK PEEK] TRAGEDI CINDERELLA

TRAGEDI CINDERELLA Oleh Amylin Asyikin

TAMAT sudah majlis tari-menari yang julung-julung kali diadakan di NiuryLand. Pada hari-hari berikutnya, akhbar-akhbar tidak berhenti membicarakan perkara sama. Isunya tidak lain tidak bukan adalah berkenaan pilihan hati Putera Airil yang masih menjadi rahsia lelaki itu.

‘Siapakah Cinderella itu?’ Seorang gadis membaca tajuk berita di akhbar Everyday News yang terpapar di muka hadapan. Matanya terus terpaku pada isi berita.

Sehingga kini, gadis yang berjaya menambat hati Putera Airil Abrisam masih menjadi persoalan utama. Tiada sebarang klu atau isyarat yang ditinggalkan oleh putera raja tersebut sebelum berangkat ke luar negara.

Everyday News disahkan oleh wakil istana bahawa gadis bertuah tersebut sememangnya merupakan salah seorang daripada mereka yang menghadiri majlis tari-menari pada hari Ahad minggu lalu. Soalnya, di antara 189 gadis, siapakah sebenarnya Cinderella misteri yang berjaya mencuri hati Putera Airil Abrisam?

Everyday News sempat menemu bual tiga orang gadis yang berpeluang menari dengan Putera Airil Abrisam minggu lalu. Antaranya ialah Catalina, 19, yang mengakui amat teruja saat melihat wajah Putera Airil dari jarak dekat. Katanya, wajah Putera Airil kelihatan sangat tenang dan kelakuannya juga tidak sombong, walaupun wajah putera raja tersebut sentiasa serius.

Maya, 25, berkata bahawa Putera Airil sangat bersopan santun dan wajahnya persis air di muara yang tenang mengalir. “Saya perhatikan wajahnya dan saya rasa dia seperti sedang berfikir. Dia tidak banyak bersuara, sebaliknya dia suka merenung dan saya rasa itu adalah cara dia mentafsir seseorang.”

Lily, 22, turut menyatakan perkara sama seperti yang dinyatakan Sazzy. “Dia tidak beremosi walaupun saya dapat rasa dia sudah penat kerana melayani lebih separuh daripada kami. Matanya asyik merenung dan jarang sekali dia bercakap. Cuma ada sesetengah daripada kami yang ditegur olehnya. Malangnya, saya tidak mendapat peluang emas itu untuk mendengar suaranya yang sangat sukar didengari.”

Begitulah luahan hati tiga orang gadis yang sempat ditemu bual oleh Everyday News.

“Siapa gadis itu? Harap-harap akulah orangnya.” Kerry mendakap erat akhbar Everyday News yang berada di tangannya.

“Dik, tak payahlah berangan! Daripada cik adik berangan-angan begitu, ada baiknya cik adik temankan saya karaoke malam ni.” Kedengaran suara nakal mentertawakan gadis itu.

“Pergilah engkau karaoke sorang-sorang!” Kerry menjeling tajam seorang pemuda bersama teman-temannya lalu terus melangkah pergi.

MIMI, tengok ni! Ada wajah Putera Airillah!” Sofea memanggil rakannya yang baru pulang ke rumah.

“Aku dah tengok. Aku pun beli TOP jugak.” Mimi mengangkat majalah sama yang dibeli di gerai akhbar sebentar tadi.

Handsomenya!” Sofea mencium wajah Putera Airil di dada akhbar dengan penuh teruja. “Tapi kenapa dia susah nak senyum? Asyik masam aje.” Sofea mula mengkritik. Tidak berpuas hati.

“Eh, macam tulah baru macho. Macho, beb.” Lisa membalas kritikan Sofea, menyatakan pandangan peribadinya.

“Aku rasa dia memang susah nak senyumlah. Malam tu pun, asyik pandang orang aje. Senyumnya tidak.” Mimi memberi komennya.

“Aku rasa dia hanya akan senyum di depan perempuan yang dia suka.” Lisa menambah.

Lalu mereka bertiga terus menatap wajah lelaki pujaan ramai itu.

“Eh, dah pukul tujuh. Aku dah lambat.” Lisa bangkit menuju ke biliknya. Sepuluh minit kemudian, dia keluar dengan T-shirtberlengan pendek dan jean biru.

“Lis, kau nak pergi ke mana? Ada kelas malam ke?” Mimi bertanya.

“Kerap juga kau ada kelas malam, ya?” Sofea pula menyampuk.

“Bukan kelas malam. Aku kerja part time di kedai makan dekat Mega Road. Itulah kau orang, tak pernah bertanya hal aku. Dah lama aku kerja part time di situ.” Lisa membebel sambil menyarung sandal.

“Macam manalah kami nak tanya? Kami pergi kerja pagi-pagi, kau tak bangun lagi. Kami pulang ke rumah, kau dah pergi ke kelas. Kami nak tidur malam-malam, kau pula yang tak pulang lagi,”

“Yalah. Bye!” Lisa melangkah keluar.

Take care!” Serentak Sofea dan Mimi melaung ke arah rakan mereka

****

SEBAIK kes penipuan Lisa sudah selesai, Mariah yang ditahan di dalam penjara istana turut dibebaskan. Asalnya, dia ditahan untuk membantu siasatan.

Lisa dipeluk kemas. Pelukan kemas dan erat daripada wanita berusia awal 50-an itu menyesakkan dadanya. Ingin sahaja dia meminta supaya dilepaskan, namun lidah lembutnya terasa kelu. Lisa benar-benar buntu.

Putera Airil beredar. Dia tahu kehadirannya di situ sedikit sebanyak mengganggu dua beranak yang sudah lama tidak bertemu. Daun pintu bilik ditutup setelah melangkah keluar. Sudah tiga hari Lisa bermalam di istana semenjak kepulangannya dari penjara.

“Lisa…” Mariah memanggil Lisa lagi. Wajah Lisa diraup dan rambut Lisa dibelai.

Lisa berasa rimas. Fikirannya bercelaru. Dia melepaskan tubuhnya daripada pelukan Mariah. Setapak dia berundur ke belakang. Dia cuba untuk menjauh daripada wanita yang baru sahaja dibebas keluar dari tahanan.

“Lisa, kenapa ni? Lisa dah benci mak ke?” Mariah tidak faham dengan sikap Lisa yang seolah-olah cuba menjauhi dirinya. Serentak itu, dia cuba melihat-lihat tubuhnya. Pakaiannya. Bau badannya juga cuba dihidu. Dia risau seandainya Lisa tidak senang dengan penampilannya yang begitu selekeh.

Lisa masih diam membisu. Tiada sepatah kata pun yang ingin diterbitkan dari bibirnya. Dia memalingkan tubuh membelakangi wanita tua itu. Kenangan lalu menerawang dalam kotak ingatan. Perasaan marah tiba-tiba hadir membuak-buak. Namun, dia masih dapat mengawal emosinya. Dia masih sedar, dia perlu menghormati Mariah yang telah bersusah payah membesarkannya selama ini. Namun, kerana Mariah yang mata duitan jugalah, dia terpaksa melarikan diri meredahi semak dan hutan yang telah mengancam nyawanya.

“Lisa… pandanglah mak ni. Jangan buat mak macam ni. Maafkan mak, nak. Mak tahu mak dah buat silap. Mak tidak cuba lindungi Lisa sewaktu Lisa perlukan lindungan mak dari buruan pihak istana.” Suara Mariah lemah merayu menagih simpati.

Fikiran Lisa benar-benar kusut. Dia tidak tahu bagaimana untuk meleraikan perasaan hormat dan marah yang bersimpang-siur. Lisa berperang dengan perasaan sendiri.

Lisa mengeluh. Hembusan nafas kuat cuba dilepaskan untuk menenangkan jiwa. Akhirnya, Lisa tewas. Tewas dengan perasaan hormatnya kepada wanita itu. Wajah ibu angkatnya dipandang.

“Lisa maafkan mak.” Lisa memeluk sesaat tubuh ibu angkatnya. Dia sudah tidak mahu memanjang-manjangkan cerita. Jauh di sudut hatinya, dia masih ragu-ragu dengan sikap baik Mariah, namun perasaan itu cuba dibuang jauh-jauh. Dia mahu membuka lembaran hidup baru. Semua kenangan silam ingin dilupuskan segera dari kotak ingatan. Dia kini benar-benar bahagia dengan limpahan kasih sayang Putera Airil. Hatinya kini sepenuhnya telah menjadi milik Putera Airil Abrisam. Tiada lagi walau sedikit ruang pun ditinggalkan kosong untuk insan lain bertakhta di hatinya yang kini suci.

Mariah menarik nafas lega. Dia tahu Lisa akan memaafkannya. Masakan tidak? Dialah yang membesarkan Lisa selama ini. Tak mungkin Lisa enggan memaafkannya. Mariah memang mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

“Dengar kata, lagi tiga hari majlis perkahwinan Lisa. Benar ke?” Mariah mula bertanya. Wajahnya terus berseri-seri seolah-olah dia pula yang akan berkahwin dengan anak raja itu.

Lisa mengangguk. Namun, wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan perasaan gembira. Dia tidak senang dengan soalan-soalan yang diajukan ibu angkatnya.

“Mesti meriah, kan? Mesti dibuat secara besar-besaran kan?” Mariah menduga seraya tangannya mengusap lembut rambut Lisa.

“Tak, mak. Kami buat majlis kecil saja. Airil tidak mahu rakyat tahu yang kami akan berkahwin dalam masa terdekat, takut mereka memberontak lagi,” jawab Lisa acuh tak acuh.

“Oh ya ke? Tak apalah, Lisa. Janji lepas ni kau dapat banyak duit. Mak pun boleh tumpang senang. Beruntung mak dapat anak bertuah macam kau ni, Lisa,” ujar Mariah sambil tersenyum senang.

Lisa mengerling tajam ke arah wajah ibunya. Kata-kata ibunya tadi menambahkan semula hangat hatinya. Mata ibunya dipanah dalam.

“Saya kahwin bukan sebab duit, mak! Saya cintakan Airil!” Lisa menjelaskan patah-patah perkataan ke muka ibunya. Dia mahu ibunya faham apa yang sedang berlaku padanya kini bukan satu pembohongan lagi.

“Habis tu… Adam macam mana?” Mariah mula bingung. Sayang sungguh kepada Adam yang telah banyak berjasa kepada mereka dua beranak di kampung.

“Syy…!” Cepat-cepat Lisa menutup mulut ibunya. Matanya dikerling kiri dan kanan. Meskipun hanya mereka berdua di dalam bilik kediaman Lisa, Lisa masih dihimpit rasa risau kalau-kalau ada yang mendengar.

“Jangan sesekali sebut nama Adam dalam istana ni!” Lisa membisikkan ke telinga Mariah. Sebaris ayat berbaur amaran diingatkan kepada ibu angkatnya.

Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Kedua-dua tergamam.

“Lisa, awak okey ke?” soal Putera Airil di balik pintu bilik Lisa.

Segera sepasang mata milik Lisa dan Mariah tertancap ke arah pintu.

“Itu Airil. Tak apalah, Lisa… mak balik dulu.” Mariah memahami lalu perlahan melangkah kaki ke arah pintu. Lisa membuntunti ibu angkatnya.

“Terima kasih, Airil, sebab bagi mak cik jumpa dan berbual-bual dengan Lisa,” ujar Mariah tatkala matanya bertemu dengan Putera Airil di muka pintu.

Putera Airil hanya menguntumkan senyuman nipis kepada wanita itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/111318/tragedi-cinderella

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *