[SNEAK PEEK] TIBA-TIBA, DIA ADA

TIBA-TIBA, DIA ADA Oleh Rehan Makhtar

TANGISAN silih berganti menyapa telinga aku. Aku sendiri dah penat. Dah bengkak mata. Mama Ayie menitiskan air mata tak henti-henti. Biarpun Ayie dah sedar tapi penjelasan doktor kepada kami sebentar tadi memang boleh buat hospital ini banjir dengan air mata kami semua.

Apabila aku khabarkan kepada mereka semua yang Ayie disahkan menghidapi prosopagnosia ataupun face blindness iaitu kesukaran mengenali wajah orang termasuk wajah yang dah dia kenal, masing-masing hampir jatuh terkulai ke lantai.
Aku sendiri pun baru tahu kewujudan penyakit macam ni di dalam dunia. Tak ramai menghidapinya. Kesnya sangat sikit di dalam dunia ini. Dan, sadisnya Ayie adalah termasuk antara 2.5 peratus tersebut. Jumlah yang sangat minor tapi siapa sangka apabila Allah mahu menduga?
Kata doktor pakar, Ayie bertuah sebab hanya otak bahagian kanan saja yang cedera. Kemungkinan nak sembuh itu ada tapi entah bila. Atau boleh jadi tak sembuh langsung.
“Arya okey ke?”
Aku angguk apabila tangan mama menyapa bahu aku.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” soal papa pula. Cukup perlahan.
Aku kerling mama dan papa mertua aku, juga dua orang kakak Ayie. Wajah sugul, pucat-lesi tak payah nak cakap. Kemudian aku pandang papa di depan mata. Jambang dan misai dah tumbul meliar. Sebiji nampak macam atuk dah rupa papa sekarang.
“Entahlah, pa… Kata doktor, otak Ayie ada kecederaan sikit dekat fusiform gyrus. Bahagian bawah, belakang otak. Entah… Arya tak faham sangat dan tak tahu. Katanya kalau sebab kemalangan macam ni, Ayie boleh sembuh… eventually. Bergantung pada cara kita merawat. Kalau daripada keturunan tu lagi teruk, kata doktor. Tapi, buat masa sekarang ni, doktor dah sahkan tahap prosopagnosia Ayie. Masih boleh dirawat sebab dia tak adalah sampai tak kenal wajah sendiri. Mujur juga otak dia yang cedera itu pada hemisphere kanan aje,” beritahu aku separuh berbisik. Dah tak berkudrat mana sebenarnya. Letih tubuh, letih lagi hati.
Tak mampu aku bayangkan kalau sampai Ayie tak mampu nak cam wajah dia sendiri. Apalah nasib dia dan nasib aku ni? Aku bukan doktor untuk rawat dia. Aku isteri yang menyayangi dia. Yang akan sentiasa ada di sisi dia tapi aku bimbang apabila renungan Ayie kepada aku kosong, tidak seperti biasa. Kaku bagai melalui musim salji. Takut sangat dia menolak kehadiran aku apabila tak mampu nak cam aku ni isteri dia.
Aku senyum kelat kepada mama dan papa yang setia menemani. Aku nak menangis tapi dah banyak air mata tumpah. Sekarang ni, aku perlu kuat. Sekuat-kuatnya. Sebagaimana kuatnya aku ketika pertama kali menerima Ayie dalam hidup aku.
Melihatkan Mama Resa dan Papa Zaf, mereka lagilah parah jiwa. Yalah, anak yang dikandungkan berbulan-bulan, sukarnya nak bawa ke dunia, lepas itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang, alih-alih macam ini jadinya. Pastilah kecewa menggunung.
“So far, tahap intelektual Ayie tak terjejas langsung. Tak ada kena-mengena ingatan dia dengan penyakit dia tu. Dia cuma tak boleh nak cam rupa kita semua dan ada sikitsikit perkara itu, dia mungkin lupa. Dia masih ingat dia belajar dekat mana, kursus apa, ada keluarga tapi tak boleh nak ingat rupa. Dia ingat nama dia, siapa dalam keluarga… Itu dah kira sangat bagus, pa… ma. Yang paling menakutkan…”
Aku pandang mama dengan papa dengan air mata yang berjejer ke pipi buat pertama kalinya selepas Ayie kemalangan dan lepas dia sedar daripada koma. Rasa tak tahan apabila aku dengar sendiri Ayie cakap macam tu kepada aku.
“… Dia tanya Arya, Arya siapa lepas mama dan papa dia kenalkan diri. Dia renung wajah keluarga dia dan bila Arya dekat, dia tanya Arya siapa? Dia tak kenal langsung Arya dan dia macam tak ingat dia ada isteri. Arya dah jadi orang asing dekat Ayie…” Aku ketap bibir. “… a stranger, ma,” sambung aku.
Mata aku memandang mama dan papa. Kabur. Air mata terus menitis laju. Mama tarik aku ke dalam pelukan. Dugaan lain-lain, kata ma. Tapi, aku macam perit sangat apabila dugaan untuk aku macam ini. Sudahlah tak kenal wajah dan dia tak ingat yang dia ada aku sebagai isterinya.
“Sabar, sayang…” Mama memujuk lembut. Dia pun dah teresak-esak.
Papa mencangkung di depan aku. Mereka yang lain dah masuk ke dalam bilik Ayie. Aku dah tak sanggup nak masuk jumpa dia. Patah riuk jiwa aku apabila dengar Ayie tanya aku siapa dan kenapa aku selalu ada di sini. Macam aku ni suka menyibuk pula.
Berkali-kali aku katakan aku ialah isteri dia, dia tetap tak boleh nak terima. Dia tak membentak tapi renungannya kepada aku ternyata kosong. Tak ada nyawa. Tak ada rasa dan tak ada… cinta.
SEMINGGU.
Dua minggu.
Tiga minggu dan akhirnya hampir mencecah sebulan. Masa berlalu begitu pantas, meninggalkan aku yang terkial-kial sendiri. Ayie dah keluar hospital minggu lepas. Hanya perlu datang untuk buat rawatan susulan aje lepas ni. Urusan pengajian Ayie pun Papa Zaf dah selesaikan dengan pihak universiti. Worst come to worst, Ayie kena tangguh satu semester kata Papa Zaf tapi pada aku, worst come to worst… kami akan jadi macam orang asing.
Aku dan Ayie macam kawan biasa aje sekarang. Apabila aku temankan dia makan, hanya perkara-perkara biasa yang kami bualkan. Seperti beberapa hari lepas.
Rutin harian aku. Kejutkan Ayie bangkit menunaikan solat subuh. Siapkan pakai dan makan dia serta temankan dia hampir dua puluh empat jam sehari. Biarpun dia pandang aku macam aku ini makhluk daripada Marikh aje.
Setiap hidangan aku yang sediakan. Kata mama, setidak-tidaknya lidah dia rasa masakan aku. Apabila dah redup, matahari dah menyembunyikan diri di balik awan, aku ajak dia lepak di laman.
Masa aku temankan dia di hospital pun, dia banyak kali tanya kenapa aku temankan dia? Kenapa nak susahkan diri untuk dia? Kenapa itu, kenapa ini? Semua yang aku buat dia persoalkan. Apabila aku tak jawab, dia pun berhenti menyoal dengan sendirinya.
“Arya dah makan?”
Aku kalih sikit. Nampak Mama Resa di muka pintu dapur. Memegang sebakul pakaian kotor, memandang aku yang sedang membersihkan pinggan terakhir di dalam singki lepas makan tengah hari tadi.
“Kejap lagi, ma…” Aku senyum. “Nanti makan sambil temankan Ayie makan.”
Kami semua tahu, biarpun Ayie dah makin sihat tapi doktor memang tak bagi dia buat apa-apa kerja yang berat lagi. Sudahnya, dia banyak kurungkan diri di dalam bilik. Kadang-kadang apabila mamanya sendiri masuk ke bilik dia, dia tanya itu siapa. Tapi rasanya sejak akhir-akhir ni, dah ada berita baik. Dia dah dapat cam siapa mama, siapa papa, siapa kakak-kakak dia, daripada lenggok tubuh, rambut, suara dan bau. Aku pun dia dah cam tapi dia tetap kata dia tak boleh ingat aku. Segalanya tentang aku dia tak boleh nak ingat.
“Arya kena makan dulu. Masa makan tengah hari tadi pun, Arya tak makan. Kami aje makan. Arya kena makan, baru ada kudrat nak jaga Ayie. Kalau Arya rebah tersungkur nanti, mama dengan papa nak harapkan siapa lagi nak pulihkan Ayie?” soal Mama Resa kepada aku.
Aku menundukkan wajah. Bilasan terakhir siap. Aku tutup paip. Mengelap tangan yang basah kemudian duduk di atas kerusi di tengah-tengah ruang dapur. Sejak Ayie keluar dari hospital, mama dan papa suruh aku tinggal di rumah keluarga Ayie. Temankan Ayie. Temankan jasad yang bagaikan tak ada jiwa itu.
“Arya bukanlah tak yakin, mama… Tapi macam tak kuat.” Aku sengih mengaku apa yang ada dalam hati aku sekarang ini.
Mama Resa mendekati. Dia letak bakul baju kotor itu di depan pintu bilik air. Lepas tu dia duduk di depan aku. Menarik tangan aku lalu diramas lembut. Pandangan dia pilu. Hati aku lagilah pilu dan sebu.
“Arya kena kuat. Ayie kena tahu, Arya ialah perempuan yang temani tidur dia setiap hari. Yang berkongsi hati dan rasa dengan dia. Mama percaya hanya Arya saja boleh bantu Ayie pulih. Arya jangan macam ni. Jangan sedih, jangan tak makan…”
“Arya…” Kata-kata tu terpaksa aku telan semula apabila aku angkat pandangan, mata aku bertaut dengan mata Ayie yang entah sejak bila berdiri di muka pintu masuk ke dapur.
Mama kalih. Dia diam. Aku lagilah kaku. Rasa nak berlari peluk Ayie tapi buatnya dia membentak karang, lagilah merana jiwa aku.
“Ayie nak makan?” soal mama lembut.
Ayie angguk. Dia menapak mendekati kami. Mama tarik kerusi untuk Ayie. Sedang elok Ayie duduk, aku terus angkat tubuh lantas berpaling ke arah kabinet. Konon nak siapkan makanan, padahalnya nak sembunyikan air mata aku yang bergenang tiba-tiba.
Hati isteri mana yang tak luluh kalau suami yang dulu nakal dan merayu-rayu, tapi sekarang ni pandang isteri sendiri bagai patung bernyawa? Ada masanya aku rasa pandangan Ayie sangat jengkel terhadap aku. Boleh jadi dia rasa aku ni penyibuk. Orang tak hendak, aku pula yang tersua-sua.
“Ayie nak makan?” Aku dengar mama menyoal.
Aku hanya memasang telinga dan cepat-cepat menyeka air mata yang dekat nak menitis. Dah terlalu banyak air mata tumpah di dalam rumah ini. Aku perlu kuat. Sepertimana mama dan papa percaya, mama dan papa Ayie percaya, aku kena jadi sepertimana yang mereka yakin. Aku ini Aryana binti Mohd Mukhlis. Lahir bersama kesabaran dan kekuatan mama menghadapi dugaan.
“Ayie tahu siapa ni?”
Aku berpaling sikit apabila mendengar mama tanya soalan macam itu. Mama tepuk dada sendiri. Itulah soalan yang ditanya setiap hari dan setiap kali. Ayie pandang mamanya. Senyum tawar lalu angguk. Tak ada suara pun. Lemau aje. Tak macam Ayie yang aku kenal. Lelaki yang ghairah meraih cinta aku satu waktu dulu.
“Mana kenal? Dapat cam wajah mama?” Bergenang air mata Mama Resa bertanyakan soalan itu kepada anak lelakinya. Aku pun dapat rasa sebak itu.
Ayie geleng tipis lalu tunduk. Memegang lengan yang masih ada parut kesan daripada kemalangan itu. Kemalangan akibat kecuaian pemandu lain yang keluar simpang tanpa melihat jalan utama.
“Ayie dapat cam susuk tubuh mama dan bau haruman mama. Haruman ni Ayie ingat sejak Ayie kecik lagi, macam inilah bau mama…”
Mama Resa tekup mulut. Air matanya mengalir laju menuruni pipi. Pilu sungguh keadaan ini. Tiada siapa mengerti perasaan seorang ibu. Tangan Ayie ringan menyentuh pipi mamanya.
“Kenapa mama nangis?” Disapunya air mata mamanya.
“Mama gembira Ayie dah semakin sihat…”
“Tapi Ayie tetap tak mampu ingat wajah mama… Papa… Kakak…” bicara Ayie mati. Dia kalih memandang aku dengan pandangan itu lagi.
Kosong.
Aku tak beralih. Hanya membalas renungan Ayie. “Dan siapa dia…”
Aku tunduk mengetap bibir bawah sekuat hati. Janganlah aku meroyan, melalak, melolong masa ini. Ayie perlu diubati. Penyakit ini tak bahaya dan cara rawatannya juga mudah. Cuma tinggal ruang dan peluang yang Allah berikan saja nanti. Kalau kata Allah nak Ayie sembuh, dia akan sembuh. Kalau tidak, kami akan terus berusaha. Allah tak suka kepada orang yang putus asa.
Kami hanya perlu beritahu dia setiap hari. Minta dia cam lenggok badan, bau badan, suara, rambut dan yang paling aku nak dia cam… hati aku ni. Hati yang menjadi milik dia.
“Dia isteri Ayie…”
Ayie senyum. Tetap hambar. “Tahu… Semua orang cakap tapi…” Dia berjeda lagi.
“… macam pelik mama dan papa pilih dia…”
Apa maksud Ayie macam pelik mama dan papa dia pilih aku? Hei, dia mungkin tak ingat tapi dia kena tahu, bukan mama dan papa dia pilih aku tapi dia dah lama jatuh cinta dekat aku.
“Ayie cintakan dia daripada awal. Sebelum kami pinangkan Arya untuk Ayie…” Macam mengerti perasaan dan apa yang bermain di dalam kepala aku, Mama Resa bersuara sambil mengerling kepada aku.
“Ayie tak ingat dia, mama… Tak dapat cam langsung. Setidak-tidaknya mama, papa, kakak… Ayie dapat cam sesuatu lepas semua mengaku keluarga Ayie tapi dia…” Ayie menggeleng.
Aduh. Sakit sungguh hati aku tertusuk dengan kata-kata Ayie. Dia? Apa maksud Ayie dengan ‘dia’ tu? Dia yang dimaksudkan tu ialah aku, Aryana. Masa ini memang rasa sangat jauh. Tersangat jauh. Kami dekat, sangat dekat tapi hakikatnya kami sangat jauh dan terasing.
Sebilik, sekatil malah ada masanya sebantal tapi hanya dua jasad yang terasing tanpa rasa.
“Ayie akan cam siapa Arya. Ayie cuma perlu buat macam mana Ayie cuba cam mama, papa, Auni dan Aina… peka dengan bau, lenggok dan suara Arya. Ayie akan pulih.” Mata kami saling memandang. “Tapi, Ayie kena cuba bersungguh-sungguh. Tak boleh sambil lewa. Nanti Ayie lambat nak pulih…” Bergetar suara aku mengeluarkan katakata.
Ayie tunduk lama. “Saya takut dalam masa saya nak cuba cam tu, saya akan terus menyakiti hati awak, Aryana…” Dia panggung kepala.
Saya? Awak?
Allah… Sakit telinga aku dengar. Rasa jauh benar hubungan kami ini. Rasa orang asing sungguh.
“Ayie akan ingat dan terus cam Arya…” Aku senyum pahit dan berpaling semula. Menarik pinggan daripada kabinet atas kemudian membuka periuk nasi.
“Cuma masa yang akan tentukan,” sambung aku dalam tekak.
Air mata aku jatuh lagi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93882/tiba-tiba-dia-ada