[SNEAK PEEK] Setulus Janji

EBOOK Setulus Janji oleh Aina Emir

CANTIK rambut hang, Syira.” Kak Nabila memuji. “Bila dah panjang macam ni, hang nampak macam bintang filem Hindi,” katanya lagi sengaja mengusik.

“Mengarutlah Kak Nabila ni! Hindi apa macam ni?” Insyirah merendah diri.

“Lah… sungguh haih! Hang tak tengok kat cermin ka? Tengok muka tu… mata, mulut, hidung semuanya cantik. Rambut… ikal mayang…” Kak Nabila terus memuji lagi.

“Kulit ni… tak tengok ka? Ada macam bintang Hindi? Depa mana ada hitam macam ni?” Insyirah ketawa.

“Merepek apa ni… mana ada hang hitam. Taklah putih melepak… tapi taklah gelap pulak.”

“Yalah… baru balik ni. Tunggu sikit lagi. Habihlah…”

“Tak kisah yang tu, janji muka cantik. Tengok kami ni… mata sepet-sepet, hidung pun tak mancung macam hang.”

“Tapi… kulit putih melepak… rupa tak kurang kat mana pun.” Insyirah ketawa lagi.

Begitulah setiap kali mereka berkumpul. Ada-ada saja yang dibualkan. Memang menyeronokkan. Ketika itu mereka sedang menyiapkan bilik pengantin. Macam-macam yang perlu dilakukan untuk persiapan pengantin. Barang hantaran sedang disusun untuk dihias.

“Kak Sal… abang tu bila pulak nak kahwin?”

“Siapa dia?”

“Abang Ilhamlah,” soal Insyirah lagi.

“Hisy! Hang tak dengaq ka?” Dia berbisik. “Mana jadi… dah putus pun.”

“Lah… awatnya?” Insyirah tersentak. Kak Sal mengisyaratkan jari telunjuknya di bibir meminta Insyirah memperlahankan suara.

“Kenapa? Yang tu kami semua tak tau. Confidential. Mama taulah kot… tapi dia tak nak cakap,” jelas Kak Sal.

“Siapa tunang dia tu?” Insyirah menyoal lagi.

“Budak KL. Cantik! Tapi… boleh tahan galak… mengada-ngada pun sama. Macam mana Ilham boleh syok aku pun tak tau.” Kak Sal cuba menahan ketawa.

“Dia kerja dengan abang ka?”

“Taklah… dia kerja tempat lain.”

“Habis tu… tak jadi kahwinlah ni?”

“Macam tu lah agaknya.” Kak Nabila pula menyampuk.

“Kesian kat abang.” Insyirah mengeluh. Tapi entah kenapa, tiba-tiba pula dia rasa lega dengan berita ini.

“Takkan dia susah nak cari orang lain, kot. Abang tu… bolehlah tahan handsome. Tapi… dah lama Syira tak jumpa.

Laa ni, tak tau macam mana rupa dia.”

“Oi… Ilham sekarang ni… dah lain. Orang dah lama jadi pakar bedah tulang. Duit banyak. Tambah dah kerja kat hospital swasta sekarang ni. Memang ramailah peminat. Cuma dia tu, hangpa bukan tak tau, cerewet… Dahlah tu, dia tu serius sangat. Pompuan… memang payah nak lekat dengan dia tu.” Kak Sal dan Kak Nabila ketawa perlahan. Insyirah kurang selesa. ‘Kesian Abang Ilham,’ desis hatinya.

“Aiman macam mana pulak?” Insyirah tidak sabar hendak dapatkan maklumat terkini tentang lelaki itu pula.

“Hang buat apa tanya aku? Mana aku nak tau. Hanglah yang patut tau,” bidas Kak Sal selamba.

“Yalah… dia tu dengan Syira cakap semuanya eloklah. Tapi… takut nak percaya sangat.” Diluahkan juga perasaan tidak senangnya dengan perangai Aiman.

“Tengok ni ha… orang tunggu berjam-jam kat airport tu… batang hidung pun tak nampak. Tau-tau… dia kata dia outstation. Awat tak habaq awal-awal. Susah nak percaya cakap dia.” Insyirah mengeluh lagi.

Sudah berkali-kali mereka mengingatkannya. Kalau hendak bercinta dengan Aiman, risikonya memang tinggi. Dia memang macam Mat Romeo! Insyirah terdiam seketika. Sungguh menyakitkan hati bila diingatkan begitu. Tetapi, entah mengapa, dia masih tak sabar hendak berjumpa Aiman. Rindu juga kepadanya. Tapi terpaksa tunggu sehari lagi.

 

 

SEBAIK sahaja selesai makan tengah hari, Insyirah memberitahu hajatnya untuk membeli baju. “Syira ingat nak pergi Tanjung, nak cari baju yang dah siap. Nanti tak ada baju yang sesuai untuk pakai kenduri lusa ni,” katanya lagi.

“Syira nak ajak siapa pergi ni? Esok pagi bolehlah kot,” soal mama.

“Kalau boleh… Syira nak pergi malam ni. Keluar dengan Misya dan Syasya ni, boleh ma?” Dia menuding jari ke arah adik-adik kembarnya.

“Malam… toksahlah. Depa ni bukannya cekap sangat. Bukannya pandai jalan kat Tanjung tu. Nanti mama tengok siapa boleh bawak Syira malam ni, ya?”

Insyirah akur sahaja dengan kata-kata mamanya. Dia masih mengharapkan kehadiran Aiman, tapi hampa. Kenapa dia macam tu? Tak ambil kisah langsung tentang dirinya. Padahal, masa Insyirah masih di Manchester, beria-ia dia kata rindu. ‘Ini, bila dah balik, tak langsung macam orang rindu.’ Insyirah merungut di dalam hati.

 

 

SEKITAR jam 5.00 petang, muncul sebuah kereta BMW 3 series, di pekarangan rumah. Semua mata tertumpu pada kereta mewah berwarna biru itu. ‘Siapa pula gerangan yang datang ni,’ bisik hati Insyirah.

“Abang Ilham balik…” Syasya melaung. “Ingatkan siapa tadi. Amboi… cantiknya kereta dia.”

Buat seketika Insyirah langsung tidak mempedulikan kereta cantik di depan rumah. Pandangannya hanya tertumpu kepada pemandu kereta berkenaan yang sedang berjalan ke arah rumah. Itu Abang Ilham? Macam tak percaya.

Insyirah berfikir seketika. Kalau dulu kulitnya putih, sekarang ni bertambah melepak. Rambutnya stail baru. Ala korporat. Cermin mata pun jenis yang mahal. Ada janggut sedikit di dagunya. Senyuman masih menawan! Tak sangka Abang Ilham lebih bergaya sekarang ni. Berbaju kemeja lengan pendek berkotak biru, dan seluar jean warna biru, dia kelihatan segak. Tiba-tiba perasaan Insyirah bergetar.

Ilham sudah pun berdiri di muka pintu. Sebaik sahaja lelaki itu membuka kaca mata hitamnya, dia lantas tersenyum memandang Insyirah. Wajah Insyirah berubah merah. Dia terkedu seketika. Senyuman Ilham benar-benar memikat dan menggoda.

“Apa khabar, bang?” Insyirah menegur. Rasa malu diketepikan demi menghormati lelaki itu.

“Alhamdulillah… Bila Syira sampai?” jawab Ilham mesra.

“Malam tadi,” balas Insyirah malu-malu.

Dia memberanikan diri memandang Ilham. “Terima kasih bang, tumpangkan bilik abang tu.”

;“No problem,” ujar Ilham bersahaja.

Buat seketika, hati Insyirah berdebar. Terasa gelabah bila berdepan dengan Ilham. Matanya dilarikan ke tempat lain.

“Abang nak balik bilik tu… bolehlah.” Dia bersuara. Perasaannya tidak tentu arah.

Ilham mengerling ke kiri dan ke kanan sebelum menjawab. “Hmm… nak duduk sebilik dengan abang ke?” Suaranya seakan berbisik.

Insyirah mengangkat muka memandang lelaki itu. Berderau darahnya mendengar kata-kata Ilham. Biar betul! Benarkah kata-kata itu lahir dari mulut Abang Ilham? Atau dia yang tersalah dengar? Insyirah makin tidak ketentuan.

“Tak naklah! Saya duduk dengan Misya dan Syasya.”

“Tak apa. Abang boleh duduk bilik lain,” kata Ilham.

“Kenapa ni? Semua tengok macam tak kenal?” Ilham tiba-tiba bersuara, bila semua mata tertumpu kepadanya.

“Kami tak kisah apa haih… Syira ni kot! Dia heran tengok abang,” kata Kak Nabila sambil tersenyum meleret.

“Kenapa? Lama tak jumpa, ya Syira?” sapa Ilham lagi.

Berderau lagi darah Insyirah bila Ilham memandang tajam ke arahnya. Lidahnya kelu. ‘Kenapa menggelabahnya aku?’ Dia berusaha mengawal dirinya.

Tiba-tiba mama bersuara. “Hang penat ka, Ilham?”

“Tak adalah. Bukannya drive dari Singapura. Dari KL aje,” jawab Ilham.

“Sat lagi hang tolong bawak Syira ni.”

“Bawak ke mana?”

“Dia nak shopping kat Tanjung tu.”

“Mama… tak payahlah.” Dengan pantas Insyirah bersuara. “Esok pun tak apa. Tak urgent.” Dia terpaksa memberi alasan. Dia tidak mahu menyusahkan Ilham.

“Laa… tadi hang yang kata nak pi malam ni. Abang ada tu… biaqlah dia bawak. Mama nak suruh Misya dengan Syasya tolong mama. Hang pi lah dengan abang.”

“Ma… tak naklah.” Insyirah membantah. Dia malu.

Ilham memandangnya. “Kenapa? Takut?”

“Tak…” Wajahnya dipalingkan ke arah lain.

“Kejap lagi… pergi siap,” kata Ilham seperti mengarah.

Insyirah terpaksa akur.

 

 

DALAM perjalanan, Insyirah hanya diam membisu. Perasaannya resah gelisah. Dia langsung tidak memandang pada Ilham. Tidak tahu apa yang harus dibualkan.

“The cat got your tongue?” Ilham bersuara. Ketika itu mereka sedang menyeberangi Jambatan Pulau Pinang.

Insyirah tersenyum sambil mengetap bibirnya. “Tak adalah! Tak tahu nak cakap apa.”

“Kalau dengan Aiman senanglah kot?” sindir Ilham.

Insyirah tersentak. Macam tidak sah kalau nama Aiman tidak dibangkitkan.

“Entah!” Insyirah malas hendak memberi komen.

“Nak shopping kat mana ni?” soal Ilham.

“Kat mana-manalah.”

“Nak beli apa?”

“Nak cari baju… pakai kenduri kahwin Kak Nabila.”

Ilham lantas menekan pedal minyak menambahkan kelajuan. Kedua-duanya terus membisu. Hujan yang renyai-renyai tadi mula turun dengan lebat. Ilham cuba beri tumpuan pada jalan raya. Sesekali kedengaran geseran wiper kereta menepis air hujan yang menutupi cermin depan.

Insyirah pula menahan debaran. Dia cuba beri tumpuan kepada persekitaran. Seronok melalui lorong-lorong sempit di bandar Pulau Pinang sambil melihat bangunan-bangunan lama ala kolonial yang tersergam indah.

“Jom… kita turun,” kata Ilham sebaik sahaja memberhentikan kereta di kompleks membeli-belah Island Plaza.
Ilham turun dulu dan mengambil payung di tempat duduk belakang. Insyirah bertambah kekok bila terpaksa berpayung berdua dengan Ilham, yang menyambutnya di pintu kereta dengan wajah tenang.

Dalam keadaan berhimpit-himpit, bahu mereka bersentuhan. Sebaik sahaja hampir sampai, keadaan jalan agak licin, Ilham terpaksa memaut bahunya agar dia tidak terjatuh. Insyirah terkaku! Seketika mata mereka bertentangan.

“Basah tak?” soal Ilham sambil menutup payung.

“Sikit. Tapi… tak apa. Kalau kena flu… doktor kan ada.”

‘Hisy… gatalnya mulut ni,’ bisik hati Insyirah. Dia mengetap bibir menahan malu.

“Tak comfortable dengan abang, ya?”

“Biasa aje.” Tapi matanya dilarikan ke arah lain.

Mereka berjalan dari satu butik ke butik yang lain tanpa berkata-kata. Insyirah cuba mencari pakaian yang sesuai untuknya. Tiba-tiba matanya terpandang sepasang baju berwarna biru firus. Baju kebaya labuh moden, berkain sutera jarang dan ber-lapik sama rona. Cukup menarik. Dia meminta untuk mencuba pakaian itu pada jurujual.
Memang kena sekali dengan bentuk badan dan warna kulitnya. Malangnya, harga baju itu agak mahal iaitu RM450. Dia terpaksa ketepikan keinginannya dengan berat hati.

“Tak nak ambik baju tu? Kan cantik.” Ilham kehairanan. Dia tahu yang Insyirah sukakan baju itu.

“Memang okey. Tapi… tak apalah.” Dia masih buat perkiraan sendiri. Kalau boleh, tidak mahu terlebih belanja. Dia perlu berjimat untuk mencari keperluan lain.

“Kalau dah berkenan, ambik ajelah.” Spontan Ilham mengambil baju itu dan terus membawa ke kaunter bayaran.

“Abang… toksahlah. Mahal sangat!”

Ilham menepis tangan Insyirah yang cuba mengambil semula baju itu. “Tak apa… abang bayar. Syira kan belum kerja lagi. Biar abang belanja,” pujuk Ilham lagi.

“Tak apalah, bang. Kita cari yang lain.”

“Kenapa? Tak suka abang belanja?” Ilham terasa hati.

“Bukan tak suka. Seganlah, abang.”

Ilham tersenyum memandang Insyirah. “It’s okay.”

Dia terus membuat pembayaran. Insyirah tidak dapat menghalang lagi. Takkan hendak berentap dengan Ilham di situ pula? Malu kepada pelayan kedai yang asyik perhatikan tingkah mereka.

“Ada nak tengok apa-apa lagi?” Ilham bertanya. Dia terus mengiringi Insyirah. Masih tidak jumpa apa yang dicari.

“Dah lewat, Syira. Kalau tak jumpa kat sini… kita cari kat Gurney Plaza pulak, nak?” kata Ilham lagi.

“Tak apalah, bang. Esok saya cari kat Bagan aje.”

“Kan senang kalau dah beli kat sini. Kenapa? Takut abang bayarkan lagi, ke?”

“Taklah macam tu… tapi… biarlah, bang.”

“Syira rasa tak selesa?” Ilham bersuara perlahan.

“Entahlah, bang. Tak biasa kot. Lagipun… dahlama saya tak jumpa abang.” Dia berharap agar Ilham memahaminya.

“Masa Syira kecik… okey aje. Bila dah besar… bertukar pulak. Apa yang abang buat Syira rasa tak selesa?”

“Sumpah tak ada apa, bang.” Tiba-tiba suara Insyirah meninggi. Ilham menelan air liur berkali-kali.

“Jom… kita minum dulu. Nak keluar pun hujan lebat sangat.” Dia mahu melupakan perbualan mereka tadi.

“Abang… janganlah terasa hati pulak. Saya… segan aje.”

Kalau boleh Insyirah tidak mahu melukakan perasaan Ilham. Tapi dia juga tidak mahu dilihat mengambil kesempatan atas kebaikan lelaki itu.

“Tak apa.” Ilham mengajak Insyirah ke kafe berdekatan.

“Nak minum apa?” soal Ilham.

Ditanggalkan cermin matanya dan menyapu cermin dengan sapu tangan. Insyirah sempat mengintai sepasang mata Ilham tanpa bercermin. Boleh tahan cantik matanya, walaupun agak kecil. Memang anak-anak mama mempunyai mata kecil. Ikut nenek sebelah abah yang berketurunan Cina.

“Apa-apa yang panas,” jawab Insyirah perlahan.

“Teh, kopi?”

“Tehlah… kalau kopi, tak tidur nanti. Ini pun dah ngantuk. Jet lag agaknya.”

“Dengan abang… lagi cepat rasa ngantuk, kan?” Ilham seakan menyindir.

“Tak adalah, bang… taklah macam itu. Okeylah… biar saya minum kopi aje. Taklah mengantuk nanti. Abang pun nak berbual dengan saya, kan?” Suara Insyirah agak keras, walaupun perlahan.

“Marah ya?”

“Hisy… takkk… saya tak suka nak marah-marah. Takkan dengan abang pula saya nak marah. Tak biasa macam tu.” Suara Insyirah sinis.

“Syira marahlah… abang tak kisah.” Dipandang Insyirah sambil mengecilkan lagi matanya. Berderau darah Insyirah. Matanya yang agak sepet itu kelihatan menawan. Kemudian dilepaskan satu senyuman yang menggoda. Hampir terhenti degupan jantung Insyirah.

Ilham membuat pesanan dua cawan teh dan sekeping kek keju. Bila pesanan tiba, dia mempelawa Insyirah minum. Kemudian diusik-usik kek di dalam piring.

“Nak?” Dihulurkan garpu kecil yang terlekat secebis kek ke mulut Insyirah.

Insyirah terkedu. Mulutnya ternganga kecil. Takkan Ilham nak suapkan kek itu pula? Kenapa tiba-tiba Ilham berkelakuan begini? Tak pernah dia macam tu.

“Tak naklah… bukan tak nak rasa… tapi tak nak kena suap.” Dipejamkan matanya seketika. Kenapa aku melayan dia? Dah gila, ke?

“Eleh… kenapa yang malu sangat? Rasalah… sedap tau.” Ilham sengaja mengusiknya lagi.

“Kenapa ni, bang? Saya tak biasa macam ni. Dengan abang pulak tu.”

“Salah?” Ilham tersenyum.

“Peliklah. Selama ni… abang tak pernah macam ni.”

“Tak pernah? Mana pulak tak pernah. Masa Syira kecik dulu… abang selalu suapkan. Syira tak ingat, kot.” Suara Ilham perlahan. Mata bertentangan. Insyirah terasa malu.

“Ni dah besar. Tak samalah…” jawab Insyirah.

“Adik jugak…” bisik Ilham.

“Bukan adik betul.” Insyirah mula berani.

“Habis adik apa? Adik tipu?”

“Kenapa dengan abang? Saya tak faham.”

Ilham tersenyum memandangnya. “Seronok usik Syira. Abang tahu Syira malu. Tapi sampai bila nak malu dengan abang?” soal Ilham lagi.

“Tak tahulah saya…”

Mereka terdiam seketika. Lepas itu, Ilham bersuara. “Syira dengan Aiman tu… macam mana? Serius ke?”

“Entahlah… tak tahu nak cakap macam mana.”

“Kenapa boleh tak tahu?”

“Tak tahu hati Aiman tu macam mana.”

“Hati Syira macam mana pulak? Sayang… kat dia?”

Insyirah terkebil-kebil memandang Ilham. “Pun keliru.”

“Keliru? Apa yang mengelirukan?”

“Aiman.”

“Syira kan dah lama… berkasih dengan dia. Takkan masih keliru?” Ilham memandangnya tepat.

“Saya… tak tahulah, bang. Memang dah lama. Tapi Aiman tu… saya masih tak faham dia. Tengoklah ni. Dia janji nak jemput saya kat airport. Tapi entah ke mana dia pergi. Tak sampai-sampai. Dia janji lain… dia buat lain.” Buat seketika Insyirah kelihatan bingung.

“Tapi… Syira sayang jugak kat dia, kan?”

Insyirah memandang Ilham sayu. Suaranya juga sayu. “Entahlah, bang… saya dah biasa dengan perangai dia.”

Sepanjang perjalanan pulang, mereka hanya membisu. Insyirah masih hairan dengan reaksi Ilham tadi. Kenapa tiba-tiba dia berubah? Mungkin sekarang ini, Ilham bukan seperti Ilham yang dikenalinya dulu. Kini, lelaki itu lebih ramah dan lebih mesra. Cuma Insyirah masih berasa janggal dengan Ilham yang baru ini. Bagaimanapun, Ilham yang ini, lebih menyeronokkan dan lebih memikat!

Kalau boleh, dia tidak mahu menghabiskan masa dengan Ilham lagi. Takut dengan perubahan yang ada. Tidak dapat hendak diduga apa yang ada dalam kepala lelaki itu.

 

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/226/setulus-janji