[SNEAK PEEK] SELAMAT BERMIMPI BULAN

Selamat Bermimpi Bulan oleh Tiffirah

 

HARI sudah larut malam. Aku berbaring di atas katil tanpa dapat melelapkan mata walau sepicing. Tiada tanda-tanda yang aku mengantuk walaupun jam sudah pun menunjukkan lebih dari 1.00 pagi. Puas baring menelentang, aku mengiring ke kanan menghadap tingkap bilik yang ditutupi langsir.

Mataku terkelip-kelip menghadap tingkap. Sekelip mata, aku bingkas bangun dan membuka langsir menggunakan alat kawalan lalu mendongak ke langit. Subhanallah… ribuan bintang mengelilingi bulan penuh menghiasi langit malam. Awan hitam berarak perlahan menutup bulan seketika. Kemudian setelah ia pergi, malam bersinar semula dengan suluhan cahaya yang berkemilauan. Indah. Suasana malam di sini sangat gelap tanpa ada cahaya bangunan membuatkan bintang-bintang di sini luar biasa terangnya mengalahkan bintang-bintang di Norway.

Aku menyandar ke tingkap dengan mata yang langsung tidak berkelip ke arah bulan. Sungguh, aku seperti sedang dipukau oleh keindahan bulan. Setelah beberapa jam aku merenung ke luar jendela, aku menjauhi tingkap dan membuka pintu bilik.

Pintu sudah ditutup rapat semula. Aku merancang untuk merayau-rayau di kawasan banglo lima tingkat ini. Saja-saja menghabiskan waktu yang berbaki sebelum subuh menjelma. Walaupun aku yakin semua orang yang tinggal di sini sudah nyenyak tidur, aku tetap memakai tudung sebagai langkah berjagajaga. Ketika sampai di dapur, aku terserempak dengan Mak Cik Aina yang sedang membakar kek pada pagipagi buta ini.

Mak Cik Aina juga terperanjat melihatku. “Eh, Cik Hannah tak tidur lagi? Dah pukul tiga setengah pagi dah ni!”

Aku tersengih. “Saya tak mengantuk langsung, mak cik. Mak cik pun kenapa tak tidur lagi?”

Mak Cik Aina memasukkan kek ke dalam ketuhar dan menutup pintunya. “Mak cik tidur sekejap. Lepas itu mak cik terjaga, mak cik tak boleh nak tidur. Tiba-tiba tangan ni terasa nak buat hobi lama.”

Kami berdua menarik kerusi lalu duduk di meja pulau. Mak Cik Aina mengukirkan senyuman mesra kepadaku. “Cik Hannah selesa duduk di sini?”

Aku ketawa kecil. “Mestilah. Di sini saya rasa lebih tenang daripada rumah saya sendiri.”

“Baguslah kalau macam tu.” Ada nada lega kedengaran daripada suara Mak Cik Aina.

“Tapi, saya masih tak tahu apa-apa tentang tempat ini. Maksud saya, latar belakang Islam, Iman dan Syara’,” kataku.

“Yang itu…” Mak Cik Aina menongkat dagu dan memejamkan mata seolah-olah sedang mengingati sesuatu. “Pentadbiran yang Islam tadbir dah lama sebenarnya, sejak awal kemunculan manusia lagi, sebelum kami semua yang ada sekarang ni belum lahir termasuk mak cik sendiri. Tapi sebelum Rasulullah Sallallahualaihiwasallam lahir, Tuan Islam dulu namanya Hanif. Maksud nama Hanif itu agama yang lurus. Setelah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam diwahyukan menjadi nabi yang terakhir, barulah secara rasmi agamanya bernama Islam maka namanya ditukar dari Hanif ke Islam. Masa mula-mula Tuan Islam mentadbir kerajaan ini dulu, tiada lagi agama lain yang wujud pada masa itu. Kalau Cik Hannah tengok peta dunia kami, terdapat beberapa daerah lain seperti Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi dan lain-lain. Tapi lima carta termasuk agama Islam adalah yang paling besar kawasan dia. Dulu, tanah kepunyaan agama lain pada mulanya milik Islam. Tapi setelah manusia semakin ramai, banyak pihak mula menokok tambah agama Islam sehingga wujudnya agama lain.”

Aku mendengar dengan takjub. “Jadi, apa reaksi Islam bila dapat tahu perkara ini?”

“Masa itu, Tuan Islam tak dapat nak terima kenyataan. Ramai orang Islam yang duduk berjauhan dari tempat tinggal Tuan Islam menjadi murtad kerana populasi manusia semakin meningkat. Ada individu yang sudah menyebarkan agama lain. Orang yang hidup pada zaman itu je boleh nampak raut wajahnya bila dia marah. Matanya mencerlung tajam dan muka sampai telinganya bertukar merah. Itu dulu, sekarang mak cik tak pernah nampak dia marah sepanjang mak cik hidup. Apa yang mak cik tahu, selepas muncul agama lain, banyak peperangan berlaku.

“Mak cik tak pasti sebab apa mereka memulakan peperangan. Nanti kamu tanya Tuan Islam sendiri. Ada masanya pihak sana tewas, kadang-kadang tentera Islam juga kalah. Paling mengeruhkan suasana, selepas tumpaskan agama lain, agama satu lagi pula muncul. Jadi, peperangan ini tak berkesudahan dan tak menunjukkan sebarang perdamaian. Akhirnya apabila Tuan Islam rasa ingin menyerah kalah kerana rasa penat dan lelah yang amat, Tuan Iman dan Tuan Syara’ memberi cadangan agar mereka dan agama lain berdamai saja. Maka, Islam dan semua agama yang lain mencapai kata sepakat untuk berdamai dan tidak mengganggu urusan agama lain. Pembahagian tempat pun telah dibuat. Sejak hari itulah lahirnya pepatah yang diambil dari firman Allah, ‘agamamu adalah agamamu, agamaku adalah agamaku’.” Mak Cik Aina meminum segelas air kosong yang diambil berdekatan.

Aku termenung seketika sebelum bersuara. “Sekarang macam mana? Adakah mereka masih berbalah?”

“Keadaan sekarang bertambah baik berbanding dulu. Mereka kini hidup aman damai dan ada persefahaman antara mereka walaupun berlainan agama. Tuan Islam sedar yang semua agama di dunia ini hanya mendidik perkara yang baik. Apa yang Tuan Islam tak dapat nak terima kerana mereka menyembah tuhan selain Allah padahal tiada Tuhan selain Allah dan Allah ialah Tuhan untuk sekalian alam serta agama Islam ialah agama sejagat untuk semua umat manusia.”

Mak Cik Aina tidak dapat meneruskan katakatanya. Aku faham. Tentu sukar bagi Islam untuk menerima hakikat bahawa dia bukan pilihan utama untuk manusia.

Keting!

Bunyi ketuhar menandakan kek tersebut sudah masak. Mak Cik Aina terus membuka pintu ketuhar dan mengeluarkan kek secara berhati-hati dilapiki sarung tangan dan kain buruk. Dia meletakkan kek di atas meja pantri yang kami duduki perlahanlahan. Bunyi orang mengaji yang datang dari arah masjid kedengaran.

“Nampak gayanya sekarang dah pukul lima pagi. Sebelum Tuan Islam, Tuan Iman atau Tuan Syara’ datang, baik saya pakai tudung dulu. Cik Hannah duduk sini sekejap ya!” Mak Cik Aina segera keluar dari dapur.

Aku pula sibuk membelek bahan-bahan untuk menghias kek seperti icing, colour rice, beads, pearl, tidak ketinggalan juga buah-buahan kecil seperti strawberi dan beri hitam. Mataku menangkap kelibat seseorang melintasi di hadapan dapur. Kami sempat berpandangan sebelum dia berundur semula. Jantungku hampir luruh kerana terkejut.

“Assalamualaikum. Baru bangun ke?” tanya Islam dengan senyuman.

“Tak juga. Sebenarnya saya tak tidur pun. Terjumpa Mak Cik Aina dekat dapur tadi,” ujarku.

“Tak pe ke ni awak tak tidur? Awak tak rasa mengantuk ke sekarang?” soalnya dengan nada risau.

“Jangan risau, saya langsung tak mengantuk.Hehe,” aku hanya mampu tersenyum.

“Oh, okey.” Dia melipat lengan baju sehingga ke siku. “Saya pergi masjid sebelah nak solat subuh sekejap kemudian saya kena bertolak pergi ke tempat kerja saya. Sementara saya tak ada ni, awak buatlah apa yang patut ya? Nak tolong Mak Cik Aina buat kek ke, apa ke… tapi jangan lupa solat dulu. Assalamualaikum….” Dia terus pergi dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya.

“Waalaikumussalam,” jawabku perlahan.

Mak Cik Aina kembali ke dapur dengan tudung yang sudah berlilit kemas. “Cik Hannah, rasanya sempat kut kita sapu dulu fondant sebelum azan. Bila azan je kita sambung projek kita lepas solat.”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/272109/selamat-bermimpi-bulan