[SNEAK PEEK] SAYANG 3 DALAM 1

SAYANG 3 DALAM 1 Oleh Weeda Airiza

AREL memandang kalendar yang terletak di atas meja tulis. Sudah seminggu Ramadan bermula dan harapannya semoga ini adalah Ramadan terakhir dia bergelar bujang.

Dia menarik nafas panjang. Kerjanya semakin banyak di pejabat. Begitu juga dengan Aryana. Mereka berdua sudah jarang benar berjumpa. Hanya sesekali telefon dan SMS.

Dua minggu selepas hari raya, mereka akan diijabkabulkan. Pada mulanya dia sendiri terkejut kerana terasa begitu cepat sekali tetapi menurut kata ayahnya, lebih baik cepat kerana dia sendiri tidak larat mendengar rayuan Datuk Zahim yang ternyata mahukan Arel sebagai menantu.

Arel keluar dari bilik lalu menuju ke ruang tamu. Hanya ada ayahnya yang sedang menonton cerita Inggeris di televisyen.

“Kamu tak ke mana-mana?” Ayahnya bertanya.

“Tak.”

“Kenapa tak keluar dengan Aryana?”

“Dia tengah sibuk kejar deadline kerja. Malas Arel nak ganggu dia.” Arel membaringkan diri di atas sofa. Dia perasan perhubungannya dengan Aryana tidak seperti orang lain yang sentiasa keluar berdua dan bergayut menerusi telefon. “Ayah, Datuk Zahim okey ke dengan ayah?” Dia kasihan dengan ayahnya yang terpaksa menjawab dan memohon kemaafan daripada ayah Qaisara itu.

“Hmm… Okey macam tu saja. Ayah dah jarang keluar dengan dia sekarang ni. Biarlah. Ada hikmahnya kamu dengan Qaisara tak ada jodoh.”

Arel termenung. Mujur dia mempunyai ayah yang berfikir terbuka. Jika tidak, sudah tentu dia akan dipaksa kahwin seperti dalam cerita-cerita drama televisyen.

“Arel sebenarnya risau dengan Kak Erlina…”

“Kenapa?”

“Dia langsung tak boleh terima Aryana sampai sekarang. Ada saja salah yang dia nak cari. Arel buntu tak tahu nak buat apa.” Arel melahirkan rasa kerisauannya.

Aryana sendiri sudah banyak kali mengadu tentang sikap Qaisara mencari pasal dengannya. Kadang kala sengaja menumpahkan air di atas fail yang perlu dihantar kepada bos, menjual cerita kurang enaknya di pejabat dan juga menghantar surat layang menceritakan keburukan Arel kepadanya.

Arel bersyukur kerana Aryana berterus terang dengannya. Kalau disimpan sahaja akan menyakitkan lagi hati. Dia lega gadis itu begitu tegar dan melawan semula Qaisara di pejabat dengan cara tidak termakan langsung kata-kata Qaisara.

“Biarkanlah saja dia. Nanti kamu dah kahwin, mesti lama-lama dia boleh terima. Kamu jangan risaulah. Ayah tahu kamu dan Aryana kuat untuk hadapi sama-sama. Tentang kak long, biar Ayah cakap dengan dia nanti.” Datuk Ilham sengaja tidak memberitahu anak-anaknya bahawa Datuk Zahim ada memberikan amaran kepadanya jika dia tidak mahu perniagaannya muflis, dia perlu mengahwinkan juga Arel dengan Qaisara.

Namun dia hanya diam membisu sambil beristighfar di dalam hati. Dia perasan sahabatnya itu semakin lama semakin berubah. Apakah kekayaan yang dikecapi telah membuatkannya lupa diri? Tidak cukupkah lagi kurniaan yang diberikan oleh ALLAH kepadanya?

Datuk Ilham percaya kepada ketentuan qada dan qadar. Baginya, amaran itu langsung tidak berkudis di hatinya. Dia lebih takutkan bala ALLAH. Dia bekerja dengan ikhlas dan semuanya itu sebagai ibadah di dunia ini. Datuk Ilham hanya cuma mampu mendoakan rakannya itu supaya insaf.

AKU menolak troli dengan rasa malas. Sudahlah pagi tadi sahur pun hanya dua keping roti. Kebelakangan ini aku benar-benar tidak mempunyai selera makan.

Along kata aku sudah semakin kurus. Dia ingat aku memang berdiet sementara menanti hari bahagia, padahal memang takda mood nak makan!

“Ini biji ketumbar. Ni jintan manis. Ni jintan putih. Ingat tak ni?” Berpinar biji mataku apabila angah menunjukkan tiga bungkusan rempah yang dia ambil dari rak Pasaraya Giant.

Aku mengeluh. Angah beria hendak mengajar aku beberapa bahan masakan asas yang patut aku tahu. Aduhai, angah! Otakku hanya mampu dapat sikit saja dalam sehari!

“Ingat…” Aku berkata dengan nada perlahan.

Angah mencekak pinggangnya. “Aryana, jangan buat muka boring macam tu. Nanti Yana juga yang susah kat rumah mak mertua.”

“Alah, dik… kalau kau tak ingat, tengok internet sudah! Beli handphone canggih sikit. Kat dapur pun kau boleh baca.” Alang tiba-tiba muncul sambil membawa beberapa paket biskut dan dimasukkan ke dalam troli.

Aku ketawa besar. Ya tak ya juga, kan? Good idea! Angah membuat muka sambil menarik troli kembali. Mataku menerawang mencari along yang hilang entah ke mana.

“Yana tahu apa ni?” Angah menunjukkan pula beberapa bungkusan kecil di tangannya.

“Bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis.” Aku menjawab dengan nada bosan.

“Bagus!” Alahai! Ni senang sajalah, angah! Tanya budak kecil umur lima tahun pun dia tahu!

Angah menunjukkan sesuatu yang lain pula. “Ini?”

“Err…” Keliru pula tengok bahan yang bulat-bulat berwarna kekuningan itu.

“Ni halba.” Angah berkata. Aku hanya mengangguk dan meneruskan sesi pembelajaran tidak rasmi bersama angah di pasar raya itu.

Tatkala terlihat along yang menghampiri kami, aku terus berkata, “Along, tolakkan troli ni pula. Yana nak pergi cari barang lain.” Aku menyerahkan troli kepada along lalu berlalu pergi ke bahagian kelengkapan wanita.

Setelah mengambil syampu dan pencuci muka, aku melangkah pergi sehingga tidak perasan aku terlanggar seseorang.

“Hoi! Buta ke?” Suara gadis itu kedengaran kuat. Aku dan dia hampir tersungkur di tepi rak.

“Eh, sorry saya tak…” Terus mati ayat aku apabila wajah yang amat aku kenali berada di depan mata. Qaisara lagi!

“Oh, kau sengaja nak tolak aku, kan?”

“Ya ALLAH! Aku tak sengaja, Sara!” Merah padam wajah aku apabila terdengar suaranya yang melenting itu.

Qaisara membuat muka bengisnya yang sudah sebati dengan jiwa aku. “Tak sengaja konon. Dahlah rampas tunang aku! Lepas tu, nak kahwin dengan dia! Tak malu!”

Beberapa orang wanita di sekeliling aku mula memandang. Oh TUHAN! Bala apakah ini? Mahu saja aku menampar mukanya yang tiada insurans itu tetapi aku sedar keadaan itu hanya akan mengecohkan lagi keadaan.

“Yana!”

Dari jauh aku lihat alang melangkah menghampiri kami. Qaisara turut menoleh ke arah suara yang berkumandang.

“Kenapa ni?” Dia berhenti di antara aku dan Qaisara. “Kau ada masalah ke dengan dia?”

Huiyoo! Aku tak pernah nampak muka alang yang begitu garang. Dia memandang tajam ke arah Qaisara yang mempamerkan muka selamba.

“Kalau aku ada masalah dengan dia kenapa? Ada masalah ke dengan kau?” Qaisara menudingkan jari ke arah alang. Gila punya perempuan! Takde rasa kesopanan dan kesusilaan langsung!

“Memang kau cari masalah sendiri kalau kau ada masalah dengan dia!” Alang mengetap bibir.

Qaisara tergelak sinis. “Huh? Ni seorang lagi mangsa kau, Yana?”

Ya ALLAH! Nak ketawa aku melihat wajahnya yang begitu yakin sekali. Mahu saja aku pekik biar satu pasar raya dengar bahawa lelaki di sebelah ini adalah abang kandung aku!

“Hat-hati bila bercakap, ya? Muka saja lawa tapi hati busuk!” Alang menuding jari kembali ke arahnya sehingga hampir terkena dahi. Aku menelan air liur mendengar kata-kata alang yang sangat dashyat itu. Alang ni menakutkan juga rupanya!

“Eh! Kau bagitahu pakwe kau ni, Yana… dia tu yang kena berhati-hati. Tak malu!”

Aku tergelak. Dah tak tahan mahu ketawa! “Eh, sayang… Ini abang kandung aku. Jangan main tuduh. Kan sekarang dah malu?” kataku.

Alang turut tersenyum sinis.

Qaisara sudah berubah wajah. Beberapa pelanggan berhampiran sibuk berkata sesama sendiri. Malas aku nak ambil tahu. Yang penting sekarang, Qaisara sudah dimalukan akibat daripada ayatnya sendiri.

“Kau jaga, Aryana…” Qaisara menghampiri aku sambil berkata perlahan.

Alang tiba-tiba mencengkam pergelangan tangan Qaisara. “Qaisara, aku bagi amaran pada kau. Terkena saja kulit kau pada kulit adik aku ni, aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila dan aku pastikan akan kejar kau sampai dunia ini kiamat!”

Gadis itu membisu. Matanya terbuntang memandang alang yang memberikan amaran keras. Aku juga terkejut dengan perlakuan alang yang ternyata sangat protective.

“Jom.” Alang melepaskan cengkamannya lalu menarik tangan aku berlalu dari situ.

Kini aku resah. Pastinya Qaisara akan lebih berdendam. Namun, aku tidak tahu apa akan berlaku sekiranya alang tidak muncul tadi. Nafasku turun naik kerana berdebar dengan situasi tidak terduga.

Ya ALLAH! Lindungilah kami sekeluarga daripada perkara-perkara yang tidak elok. Amin.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96066/sayang-3-dalam-1