[SNEAK PEEK] SAMURAI MELAYU

Samurai Melayu oleh Hilal Asyraf

 

Mereka kini berada di tengah-tengah Kotaraya Angsana. Menara Keimanan megah mencakar langit, jelas kelihatan dari tempat mereka berdiri. Bakri dan Faisal menyelinap di tengah-tengah lautan manusia.

“Pusat.” Bakri melekapkan telefon pintar pada telinga.

“Direktor Amiri bercakap. Sepanjang hari tanpa berita, kamu dan Faisal buat apa, Bakri?”

“Kami berada di dalam terowong MRT yang ditinggalkan. Terdapat pangkalan lama Mitsuhide di situ, dan kini digunakan oleh Ryuken. Capaian isyarat komunikasi tidak berapa bagus di sana.”

Tengku Amiri kedengaran mendengus. Namun, dia tidak terus berbicara. Seakan-akan mahu mendengar lebih lanjut laporan Bakri.

“Berita buruk, Ryuken ada menghantar operatif yang nampaknya bukan calang-calang.”

“Maksud kamu?”

“Dia mempunyai kemampuan persis seorang Pemburu.”

Tengku Amiri tidak memberi sebarang respons kepada berita yang baru diterimanya itu. Bakri hanya dapat menjangka yang Direktor Inteligen Kerajaan Malaysia itu sedang terkejut. Mungkin perlu sejeda masa untuk berfikir.

“Apa status operatif tersebut?”

“Kami berjaya melepaskan diri dan kini sedang berada di tengah-tengah orang ramai, sekitar dua kilometer dari Menara Keimanan.” Bakri memandang ke arah simbol kemegahan Malaysia itu.

“Bermakna kamu tidak mampu menewaskannya?”

“Dalam keadaan mengejut sebentar tadi dan terowong gelap tanpa cahaya? Ya, tidak mampu.”

“Kembali ke pangkalan segera.” Tengku Amiri memberikan arahan. Suaranya tegas.

“Baik. tuan.” Telefon pintar itu dimasukkan ke dalam saku.

Faisal di sisinya mengangguk. Turut mendengar perbualan Bakri dengan penuh perhatian. “Engkau fikir, Ryuken ada kaitan dengan Kesatuan Pemburu?” Faisal melontar soalan sambil mereka menyambung langkahan.

“Daripada apa yang kita nampak malam ini? Pasti.” Bakri menjawab pantas. Daripada kerutan pada dahi, jelas kelihatan Bakri sedang mengerah otaknya berfikir. Dia cuba mengingati sepanjang kehidupannya bersama arwah bapa, apakah pernah bapanya itu memberikan maklumat demikian kepadanya.

Tetapi mustahil dia terlupa maklumat sepenting itu, sekiranya ada.

“Dia kenal Hoshi, penembak tepat daripada kalangan Pemburu Handalan. Hoshi dari Jepun. Tetapi kedua-duanya merupakan ahli kepada organisasi yang penuh kerahsiaan. Kedua-duanya bersaing untuk menguasai dunia.” Bakri cuba menjejak logik.

“Tetapi dia kelihatan seperti mahu menuntut bela atas kematian Hoshi sebaik sahaja dia menyedari engkau yang bertanggungjawab menumbangkan Kesatuan Pemburu.” Faisal menambah.

Sekali-sekala, mereka terpaksa mengelak orang yang lalu-lalang. Kini, mereka berada di sebuah jalan yang penuh dengan pusat membeli belah di kiri dan kanannya.

“Tandanya, mereka berkawan rapat. Mereka tak berahsia sesama mereka. Sekiranya Ryuken dan Kesatuan Pemburu benar-benar bermusuh, mereka takkan sedemikian gayanya.” Bakri meramas-ramas dagunya.

Faisal menanti Bakri mengeluarkan kesimpulannya yang tersendiri. Bagi Faisal, dia sendiri tidak mempunyai maklumat yang lebih. Dia tidak terlibat dengan Kesatuan Pemburu, dan hanya mengenali pemburu bernama Jagat apabila pemburu itu meminta pertolongan organisasinya. Dia juga tidak benar-benar tahu berkenaan Ryuken, kecuali Organisasi Hitam yang menaunginya, merupakan salah satu organisasi yang terpaksa tunduk kepada cengkaman organisasi tersebut.

Dunia gelap penuh kerahsiaan. Sememangnya tidak pernah akan dapat dijangka siapa lawan, siapa kawan. Kerana itu, formula mudah ialah semua orang ialah lawan. Kerana itu juga Organisasi Hitam apabila melihat peluang yang terbuka luas, mengambil keputusan untuk menghapuskan organisasi-organisasi lain, bahkan cuba hendak menundukkan Ryuken. Walaupun usaha itu gagal dengan teruk sekali.

“Aku tak punya apa-apa sekarang. Kaitan yang ada, hanya Hoshi dan perempuan di terowong. Mungkin aku perlu kaji latar belakang Hoshi dengan lebih mendalam. Data-data yang diekstrak daripada Kesatuan Pemburu masih ada di pusat operasi Inteligen Kerajaan Malaysia. Aku perlu…”

Bicara Bakri tidak sempurna. Telinganya menangkap desiran angin yang sangat berlainan dengan suasana. Spontan tubuhnya menunduk sambil dia menarik Faisal bersama.

Beberapa orang awam berhampiran mereka tumbang serta-merta. Darah tersembur ke udara, dan sebahagian besarnya membasahi tubuh Bakri dan Faisal. Mata Bakri terbelalak melihat tragedi itu. Masa seakan bergerak perlahan, memberikannya peluang untuk melihat tubuh-tubuh itu tumbang menyembah bumi.

Segera Bakri berpaling.

“Engkau fikir aku akan biarkan sahaja kalian menghilang? Kalian pandang rendah kepada aku.”

Seorang wanita, berpakaian elegan dengan tema kimono, berdiri dengan tenang dan memandang tepat ke arah Bakri dan Faisal, dalam keadaan jalan yang sesak itu kelam kabut dengan orang ramai yang berlari menyelamatkan diri.

Jeritan kedengaran di sana sini. Kelihatan bapa mendapatkan anak dan isterinya, suami cuba melindungi isteri mereka, ibu-ibu menarik anak masing-masing, masingmasing cuba menyelamatkan diri dan orang yang tersayang.

Di tengah-tengah huru-hara tersebut, perempuan itu melangkah mendekati Bakri.

Faisal terus mengeluarkan senjatanya.

Demikian juga Bakri. “Celaka!”

“Hah, marah?” Perempuan itu tertawa. “Bukankah engkau yang memikirkan diri sendiri dan rakan engkau sahaja, tanpa berfikir lebih panjang akan kesan tindakan engkau kepada orang lain di sekeliling?”

“Engkau memang sengaja, bukan? Siapa gerangan engkau, celaka? Biar aku boleh letakkan namamu pada batu nisan kelak!” Bakri membalas. Wajahnya merah. Sebahagiannya dibasahi darah, sebahagian lain pula dibakar amarah.

Jalan tersebut mula lengang. Orang ramai seakanakan memberikan ruang untuk pertarungan berlaku. Sebahagian pula menanti di dalam bangunan, di balik dinding, untuk melihat apa yang bakal terjadi.

“Aku Tomoe. Hikari Tomoe. Salah seorang daripada Syaitan Bertujuh.”

“Syaitan Bertujuh?” Bakri mengerutkan dahi.

Faisal pula terpinga-pinga kerana tidak memahami perbualan antara Bakri dan perempuan itu, tetapi tangannya bersedia menarik picu senjatanya pada bila-bila masa.

“Kesatuan Pemburu ada Pemburu Handalan, kami ada Syaitan Bertujuh. Operatif terhandal Ryuken.”

Ketika ini telefon pintar Bakri dan Faisal sama-sama berbunyi.

“Angkat.” Bakri memberitahu Faisal, sambil dirinya berjaga-jaga supaya perempuan bernama Tomoe itu tidak mampu melakukan apa-apa kepada mereka.

Faisal segera menyeluk saku dan mengeluarkan telefon pintarnya.

“Apa yang sedang berlaku?” Suara Tengku Amiri kedengaran. “Kami dapat maklumat berlaku kekecohan di tempat kalian berada!”

“Operatif yang kami cakapkan tadi, kini berada di hadapan kami dan telah membunuh …” Faisal menoleh ke belakang, melihat mayat yang bergelimpangan dan darah yang telah membasahi jalan. “… empat orang awam.”

“Bantuan akan tiba dengan segera.”

Telefon pintar itu dimasukkan ke dalam saku. “

Hero akan sampai.” Faisal memberitahu.

Bakri mengangguk. “Tomoe, ada baiknya engkau menyerah. Unit Hero akan sampai dan engkau pasti takkan dapat menewaskan kami semua.” Mendengar amaran Bakri, Tomoe terdiam seketika. Wajahnya seperti terpana. Bakri menjangka Tomoe sedang berfikir-fikir untuk melarikan diri. Tetapi jangkaannya meleset sama sekali.

Perempuan itu ketawa berdekah-dekah.

“Engkau benar-benar memandang rendah kepada aku nampaknya.”

Terlalu berani. Bakri cuba membaca gerak geri Tomoe, tetapi ternyata perempuan itu tidak menunjukkan apa-apa kelemahan. Dia jelas yakin, berani, dan langsung tidak gentar.

Bakri memandang Faisal. “Cari peluang.” Pistol di tangannya dikembalikan kepada Faisal.

Faisal mengangguk.

Bakri membuka langkah, bergerak ke arah Tomoe.

“Oh? Engkau fikir engkau mampu menewaskan aku? Tangan kosong?”

Tawa masih bersisa pada bibir Tomoe. Dia memandang Bakri dengan penuh minat. Dua kunai dikeluarkan dan dipegangnya kemas. “Aku tidak akan bermain secara adil.”

“Aku juga tidak.” Bakri menuding ke arah Faisal yang mengacukan kedua-dua pistolnya ke arah Tomoe.

Senyuman Tomoe meleret. Kemudian, tanpa amaran, dia melemparkan kunai pada kedua-dua tangannya. Satu lurus manakala satu lagi melencong dari arah kanan. Kedua-duanya laju menuju ke arah Bakri.

Bakri mengabaikan kedua-duanya, memecut terus ke hadapan. Menunduk untuk mengelak kunai yang lurus menuju ke arahnya, sebelum menolak kakinya untuk mendekatkan diri kepada Tomoe.

Apabila dua kunai itu bertemu, Bakri sudah melepaskan beberapa tumbukan ke arah Tomoe, yang telah disambut dengan begitu baik oleh Tomoe. Kedua-duanya sama pantas. Tomoe sesekali mencuba untuk melepaskan tumbukan pada rusuk Bakri, kiri dan kanan, tetapi Bakri turut tangkas mempertahankan diri.

Faisal cuba memerhatikan dengan penuh teliti, dan mencari peluang untuk melepaskan tembakan.

Langit tiba-tiba berdentum. Bunyi seperti guruh menghiasai suasana.

Hero semakin hampir.

“Heh.” Tomoe memandang tepat ke mata Bakri, yang kekal serius. Tangan mereka berdua masih bertembung antara satu sama lain, entah buat kali yang keberapa puluh. Tanpa disangka-sangka, Tomoe menjelirkan lidah dan meludah sesuatu.

Bakri terkejut. Hampir sahaja matanya menjadi mangsa beberapa jarum halus. Dia sempat mengelak, tetapi jarum-jarum tersebut sempat menikam bawah keningnya.

“Argh!”

Fokus Bakri terganggu. Tubuhnya menerima beberapa tumbukan. Bakri terundur.

Faisal segera melepaskan tembakan berdas-das. Cuba untuk menghalang Tomoe daripada terus mencederakan Bakri.

Namun, Tomoe lebih pantas mengeluarkan kunaikunai daripada pakaiannya, memukul peluru-peluru tersebut jatuh dari udara, sebelum melepaskan kunai-kunai itu ke arah Bakri.

Bakri kelam-kabut menyelamatkan diri. Dia berjaya mengelak kesemua kunai tersebut, kecuali satu, tertusuk pada bahunya.

Faisal mara, mahu menggantikan Bakri sebagai penempur utama. Tetapi Tomoe lebih pantas, telah bergerak mendapatkannya terlebih dahulu.

“Engkau beruntung kunaiku telah habis.”

Tomoe melayangkan tangannya dengan telapak tangan separa terbuka. Faisal mengangkat tangan mempertahankan diri, tetapi tetap terlutut apabila serangan Tomoe itu bertemu dengan pertahanannya. Keras.

Belum sempat Faisal berbuat apa-apa, lutut Tomoe keluar dari kainnya dan menjamah wajah Faisal. Faisal terus terlentang jatuh. Tomoe yang bergerak dengan pantas itu, segera mengejar tubuh Faisal untuk memberikan serangan yang seterusnya.

Ketika inilah, Tomoe tidak menjangka, yang Faisal masih kejap memegang kedua-dua senjatanya. Picu ditarik berkali-kali. Tubuh Tomoe dihujani peluru pelali.

“Tidur, jahanam!”

Tomoe terundur beberapa tapak, sebelum melakukan lompatan balik kuang beberapa kali, menuju ke arah Bakri. Kunai-kunai yang bertaburan di sekitar pemuda itu diambilnya. Bakri yang baru sahaja berjaya mengatur keadaan diri, kini terpaksa mempertahankan dirinya daripada serangan Tomoe yang mahu membenamkan kunaikunai tersebut pada kepalanya.

Bebeza dengan Faisal, Bakri berjaya mempertahankan diri dengan baik. Tangan Tomoe dikilas dan Bakri langsung bangkit sambil melepaskan satu tumbukan deras. Tomoe sempat mengangkat tangan kirinya untuk mempertahankan diri.

Kini, Bakri dan Tomoe tersekat bersama-sama.

Ketika inilah satu unit Hero turun dari udara dan mendarat berdekatan mereka. Dua tangannya diacukan ke arah Tomoe.

“Sila serahkan diri anda. Kekasaran akan dibalas dengan kekasaran.”

Faisal kembali berdiri, tangannya masih memegang pistol. Luka pada bibir tidak disekanya. Dia tertanya-tanya akan mengapa Tomoe masih tidak tertidur selepas ditembak berkali-kali. Pada jarak yang dekat, sepatutnya tembakantembakan peluru pelali tadi memberikan kesakitan yang teramat. Perempuan itu langsung tidak mengerang.

“Bagaimana? Apa yang engkau mahu lakukan sekarang?” Pandangan Bakri tajam menikam Tomoe.

Tomoe sekadar meleret senyum. Tertawa. Perlahanlahan, Tomoe merenggangkan pegangannya pada tangan Bakri. Bakri turut melepaskan kilasannya.

Tomoe mendepangkan tangan. Seakan bersedia untuk menyerah.

Bakri tidak berganjak. Dia masih cuba membaca riak wajah perempuan di hadapannya ini yang langsung tidak mempamerkan rasa takut, bahkan sekelumit warna kekalahan pun tidak muncul. Hati Bakri tidak senang.

Hero mula bergerak menghampiri Tomoe.

“Hero-X035 melakukan tangkapan.”

Hero itu memberikan laporan. Kini, dia sudah terlalu hampir dengan Tomoe. Tangan Tomoe dicapainya untuk digari.

“Suspek seorang wanita, berbahasa Jepun, wajahnya menunjukkan keturunan dari negara yang sama. Latar belakangnya tidak ditemui dalam pangkalan data.” Tomoe meleretkan senyuman penuh makna. Bakri pula mengerutkan dahi.

“Berhenti!”

***

Langit dibaluti baldu kelam malam. Bulan tidak memunculkan diri. Hanya bintang-bintang yang bertamu. Angin sepoi-sepoi bahasa memukul apa sahaja di laluan mereka. Rumput-rumput beralun mengikut arus.

Mus’ab sudah bersedia. Kekuda sudah dibukanya. Tangan kanan siap untuk menghunus Muramasa, manakala tangan kiri sudah kejap pada sarung katana.

Di hadapannya, Goro, sedang memutarkan nagitana ke kiri dan ke kanan, sebelum senjata itu direhatkan pada tangan kanannya dan dipacakkan ke tanah. Ukiran naga pada pangkal bilah senjata itu bertujuan bukan sekadar hiasan, tetapi untuk menggerunkan musuh, kerana naga merupakan haiwan mitos yang gagah dan megah, bahkan ada yang menjadikannya sebagai Tuhan.

Tetapi tidak untuk Mus’ab.

Mereka kini berada di sebuah tanah lapang, tidak berapa jauh dari taman perumahannya. Tanah lapang yang terdapat di kaki bukit berdekatan. Jika hadir ke sini pada waktu siang, kehijauannya akan terserlah. Pada waktu petang, kadangkala ibu bapa akan membawa anak mereka untuk bermain layang-layang. Dan pada hujung minggu, tidak sedikit orang yang datang untuk mendaki bukit, melihat panorama Kotaraya Angsana.

Waktu sebegini, tempat ini tidak dilawati sesiapa. Senyap dan sunyi. Hanya tiang-tiang lampu sahaja memberikan cahaya.

“Ryujin, engkau sudah bersediakah?”

Mata Mus’ab tajam memandang rakan lamanya itu. Ujisato Goro. Seorang samurai yang sangat minat menggunakan senjata-senjata panjang. Kegemarannya, nagitana. Walaupun badan besar sering dipadankan dengan otak yang kecil, Goro bukan orang bodoh. Walaupun tidak segenius Nobu, Goro agak teliti dalam melakukan kerjanya.

Apabila Ryuken menghantar Goro, ia ibarat menghantar kereta kebal. Goro akan memecahkan barisan lawan, mengkucar-kacirkan mereka. Dengan nagitananya, Goro akan meragut banyak nyawa sekaligus, menusuk rasa gerun dan gentar pada jiwa lawan yang masih hidup.

“Persoalannya, Goro, apakah engkau telah bersedia?”

Matanya tajam memaku wajah Goro. Mus’ab seperti sedang berada di dalam elemennya. Memori sebagai algojo seakan meresap ke dalam tubuhnya. Mindanya pantas berfikir bagaimana dia akan menumbangkan lawan. Jarijemari kanannya mula bergerak-gerak, bersedia untuk menghunus Muramasa.

Goro mendengus, nagitana diangkatnya. Diputarkan, sebelum langkahannya dibuka, memecut ke hadapan. Dalam jarak sedepa dari Mus’ab, Goro melepaskan satu tusukan pantas. Deruan angin yang cukup kuat hadir bersama, menandakan daya yang diberikannya tidak kecil.

Mus’ab bergerak ke kanan, menjauhkan diri dari pusat serangan Goro dengan pergerakan yang amat pantas, seakan-akan telah menjangka yang tusukan itu akan diikuti libasan. Nagitana itu tinggal seinci lagi mahu merobek dadanya.

Goro tidak berhenti di situ. Apabila libasannya sempurna, Goro terus berputar dan dia terangkat ke udara, sebelum nagitana itu diangkatnya tinggi, dan dilibas kembali ke bumi.

Ketika ini Mus’ab berguling dan menjauhkan diri. Rumput-rumput menjadi mangsa, tanah merekah. Goro tidak membazirkan masa, berguling untuk merapatkan jaraknya dengan Mus’ab. Sekali lagi nagitana dilepaskan untuk menusuk Mus’ab. Mus’ab yang sudah menjangka ukuran senjata tersebut, berundur untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa.

Goro tersengih. Mata Mus’ab terbeliak apabila senjata itu seakan memanjang. Hujung bilah nagitana menyentuh dadanya. Mujur Mus’ab sempat menolak tanah dengan kakinya untuk berundur dengan lebih jauh.

Goro berhenti. Begitu juga Mus’ab. Mata mereka bertembung. Mus’ab dapat melihat Goro sedang memegang nagitana itu hanya dengan jari telunjuk dan ibu jarinya, betulbetul di buntut senjata tersebut.

Goro menarik kembali nagitana-nya, merapatkan bilah senjata itu pada wajah. Senyuman sinis melebar. “Engkau cuai, Ryujin.” Darah Mus’ab yang terdapat pada hujung bilah itu dijilat.

Mus’ab tidak memberikan respons balas. Matanya mengerling pada dada. Luka, tetapi sedikit sahaja.

“Engkau cukup berani hadir ke mari tanpa pakaian tempur kita. Atau engkau telah membuangnya semasa engkau membuat keputusan mengkhianati kami?” Mata Goro menjegil. Suaranya meninggi. Buntut nagitana dihentak ke tanah.

Mus’ab masih kekal dalam kekudanya. Tangannya masih seperti awal-awal tadi. Bersiaga untuk menghunus Muramasa.

“Kehidupan kita ialah kehidupan yang sia-sia. Kuasa, duit, perempuan, arak, darah. Kemudian kita akan mati dan selepas itu apa?”

“Nama kita akan diingati!” Goro menepuk dada.

Mus’ab menggeleng. “Negara ini telah mengubah aku. Aku percaya dengan perjuangan negara ini. Negara ini memperkenalkan kepada aku erti Islam yang sebenar, yang kemudian membuatkan aku lebih faham erti menjadi seroang manusia. Aku sekarang tahu makna sebenar kehidupan. Aku hidup ada tujuan, dikelilingi orang-orang yang aku cintai.”

“Engkau telah ditipu. Minda engkau telah dibasuh. Orang-orang politik hanya mementingkan diri mereka sendiri. Agama hanya menimbulkan perbezaan dan menyemarak kematian. Tiada apa yang baik datang daripada kedua-duanya!”

“Jadi Ryuken merupakan alternatif yang lebih baik?” Mus’ab menengking.

“Bersama Ryuken, nasib kita terbela. Tidakkah engkau bersyukur dirimu dijumpai Ryuken, diberikan segalagalanya. Diajar mempertahankan diri, diajar menguasai. Semua orang di Jepun tunduk kepada organisasi kita. Kita memegang segala-galanya!”

“Itu namanya mementingkan diri!”

“Engkau itu yang tidak reti menghargai!” Goro meludah.

“Ryuken hanya mahu menguasai dunia. Malaysia menjadi seteru kerana negara ini sering mematahkan usahausaha Ryuken, bukan? Malaysia telah berjaya membebaskan diri daripada korupsi, dan mula membina ketamadunan. Ryuken tidak lagi boleh mengambil peluang daripada itu semua, bukan? Itu sebabnya Ryuken mengaktifkan aku. Untuk melakukan kerja-kerja kotor semula! Engkau patut membuka mata, Goro!”

Goro mendengus. “Engkau sudah jauh dirosakkan, Ryujin. Benar arahan daripada Koro untuk engkau dihapuskan. Engkau akan menjadi ancaman kepada kami!”

Mus’ab menggeleng. “Aku sebenarnya mahu negara ini sahaja berurusan dengan kalian. Aku yakin mereka mampu melakukannya. Aku tidak mahu masuk campur dengan ini semua, aku tidak mahu lagi menumpahkan darah. Tetapi apabila Shiryu menggugut mahu memperapa-apakan keluargaku sekiranya aku tidak menyahut seruan pengaktifan, ketika itu kalian telah menjadikan aku ancaman.”

“Maka engkau akan menjadi algojo semula untuk kepentingan diri sendiri? Hah, hipokrit!” Goro mengangkat nagitana-nya.

Mus’ab tidak terus membalas. “Aku menjadi alogojo semula untuk diriku, keluargaku, negaraku dan agamaku. Aku tidak akan membiarkan Ryuken menjayakan agendanya.”

Goro ketawa. Semakin lama, semakin kuat.

“Mengapa? Terlalu lawakkah?” Dahi Mus’ab berkerut.

“Engkau tidak tahu agenda kami yang terkini, Ryujin. Bagaimana engkau mahu menghalang kami?” Goro memandang tepat ke arah Mus’ab. “Hah?” Suaranya ditinggikan, mengherdik.

Mus’ab diam. Daripada bicara Goro, dia menghidu Ryuken kini mempunyai agenda rahsia. Apa-apa sahaja agenda Ryuken pula biasanya berbahaya. Kegagalan berkalikali untuk menundukkan Malaysia melalui organisasiorganisasi dunia gelap, ternyata memberikan pukulan hebat kepada Ryuken. Negara ini negara strategik yang mereka mahukan berada dalam genggaman dan kawalan mereka. Ryuken sedang terdesak.

Orang yang terdesak biasanya berani pergi lebih jauh untuk mendapatkan apa yang diperlukan olehnya.

“Engkau pasti tertanya-tanya, apa agenda kami bukan? Hah.” Goro mengacukan nagitana-nya ke arah Mus’ab. Lelaki itu sudah bersiap untuk melancarkan serangan.

“Aku akan mengetahuinya.” Mus’ab menjawab dengan tenang. Dia tidak mahu menunjukkan apa-apa bibit kelemahan kepada musuhnya. “Dengan menumbangkan engkau.”

“Hah, aku beritahu satu rahsia.”

Mus’ab diam, memberikan peluang Goro menghabiskan bicaranya.

“Aku tidak tahu apa-apa.” Goro ketawa berdekahdekah. “Apa yang aku tahu, engkau akan mati pada malam ini.”

Goro kemudiannya terus memecut ke hadapan.

Mus’ab menanti. Bersedia untuk mengelak. Tetapi Goro mengejutkannya dengan melemparkan nagitana seperti lembing. Daya yang dikenakan pula kuat, menyebabkan senjata itu meluncur terlalu pantas.

Mus’ab hanya berjaya mengelak dengan jarak seinci cuma. Bajunya rabak, namun mujur tubuhnya tidak tercedera. Ketika ini, Mus’ab menangkap desiran angin yang kuat. Tidak sempat dia memandang semula ke arah Goro, tubuhnya sudah dirangkul erat dan dibawa menghentam tanah.

Dia dan Goro berguling, sambil Goro melepaskan tumbukan-tumbukan kepada tubuhnya.

“Engkau terlalu angkuh, Ryujin. Engkau tidak menghunuskan Muramasa walaupun aku telah menunjukkan sikap sebagai seorang Samurai kepada engkau. Mengajak engkau untuk menyelesaikan ini dengan pertarungan adil daripada menamatkan nyawa engkau dengan serangan hendap!”

Mus’ab kemudiannya menggerakkan tangan kanannya, menyiku wajah Goro. Darah tersembur dari mulut dan hidung Goro. Tangan kirinya yang merangkul leher Mus’ab, terpaksa dilepaskan.

Mus’ab segera bangkit dan kembali membuka kekuda. Tangan kanannya kembali ke posisi asal, bersiap untuk menghunus Muramasa. Darah yang terkeluar dari mulut, akibat ditumbuk berkali-kali, tidak disekanya.

Goro bangkit. Menyeka darah yang mengalir dari hidung dan mulutnya. Dia memandang sebentar pada cecair merah itu. Kemudian mengoyak sengihan lebar apabila melihat Mus’ab masih kekal dengan postur asal. Menggeleng.

“Engkau menghina aku, Ryujin.”

Goro bergerak mendapatkan nagitana-nya. Senjata itu diputarkan sebelum berhenti pada tangan kanannya.

“Engkau mahu aku membuat kesalahan, kemudian engkau akan menebas kepalaku hanya dengan satu libasan? Teknik menghunus pedang?”

“Aku sebenarnya memberikan engkau peluang, Goro.”

Mata Goro membesar. “Apa dia?”

“Aku sebenarnya mahu memberikan engkau peluang. Untuk hidup. Untuk berubah.”

“Macam engkau?”

“Masih belum terlambat.”

Goro ketawa dengan galak. “Aku tidak sangka engkau seteruk ini, Ryujin. Tidak sepatutnya aku melayan engkau seperti seorang samurai. Engkau sekarang hanyalah ronin. Memalukan!” Goro bersiap untuk serangan yang seterusnya.

Mus’ab menghela nafas. “Ryuken tidak pernah punya agenda yang baik. Ryuken tidak pernah kisah sebenarnya akan orang politik atau agama. Ryuken hanya mahu semua tunduk pada telunjuk mereka. Bergerak di sebalik bayang, mengutip laba.”

“Membela anak-anak yatim seperti kita, Ryujin. Jangan engkau lupa! Anak-anak yang ditinggalkan di jalanan, anak-anak yang terbiar. Masyarakat hanya akan membiarkan kita mati, tanpa pendidikan, tanpa makanan, tanpa pembelaan. Tetapi Ryuken memberikan kita kuasa, harta! Ryujin, tanpa Ryuken, engkau telah lama mati di Okinawa!”

“Kawakami menyelamatkan aku. Tetapi, Goro, siapa yang menggerakkan Kawakami?”

“Hah?” Goro mengerutkan dahi.

“Siapa yang menggerakkan laut untuk menolak aku ke pantai tempat Kawakami sering berlatih?”

Goro terdiam.

“Siapa yang membuka hati Kawakami, yang kita kenal sebagai orang tua yang garang, tegas, tidak berbelas kasihan, untuk mengutip budak yang sudah nyawa-nyawa ikan pada hari itu?”

Mata Goro menjegil. Seperti dapat menjangka apa yang mahu diperkatakan oleh Mus’ab.

“Allah. Tuhan Semesta Alam.” Mus’ab menjawab yakin.

“Celaka. Engkau benar-benar telah dibasuh oleh negara ini!” Goro meludah.

“Aku berterima kasih dengan Ryuken kerana membesarkan aku. Mengajar aku banyak perkara. Tetapi aku telah meninggalkan kehidupan itu.”

Mus’ab menajamkan pandangan. Seolah-olah dengan pandangannya sahaja, dia mahu menamatkan nyawa Goro. Itu membuatkan Goro tambah berang.

“Jangan paksa aku untuk kembali!”

“Kurang ajar!” Goro menengking. Nagitana dihunusnya. Kakinya memecut ke hadapan. “Engkau tidak lagi perlu kembali. Engkau hanya perlu mati!”

Kali ini Mus’ab tidak berganjak. Dia menanti untuk menyambut serangan Goro.

Goro melepaskan nagitana-nya untuk menusuk tubuh Mus’ab. Mus’ab menghunus Muramasa, menebas nagitana itu ke tanah. Senjata itu tidak terbelah, tetapi kini bilah dan sebahagian batangnya sudah jatuh menyembah bumi. Goro mahu mengambil peluang itu dengan melepaskan senjatanya, mara untuk menjamu wajah Mus’ab dengan kedua-dua penumbuknya.

Tetapi Mus’ab segera melepaskan serangan kedua, yakni tangan kirinya menghayun sarung katana, tepat melandas ke pipi Goro. Keras dan deras. Belum sempat Goro tumbang ke bumi, Muramasa sudah diangkat semula dan merodok dada musuhnya itu.

Mata Goro terbelalak. Semuanya berlaku dalam keadaan yang tersangat pantas. Tidak lama kemudian, mulutnya memuntahkan darah. Tusukan itu tepat mengenai jantungnya.

“Maafkan aku, kawan.” Mata Mus’ab bertaut dengan pandangan terakhir Goro.

Goro yang mengenakan pakaian tempur khas, ditenun oleh fabrik yang sepatutnya dapat menghalang cantasan dan tembakan. Tetapi di hadapan Muramasa, pakaian tersebut ibarat pakaian biasa.

Mus’ab tidak lupa menajamkan senjatanya ketika bersiap menerima ‘tetamu’.

“Engkau akan mendapat balasan atas pengkhianatan ini.” Goro bersuara, buat kali terakhir, sebelum anak matanya terangkat, bola matanya menjadi putih, dan Mus’ab menarik kembali Muramasa, kemudian menyahkan darah dengan satu libasan, sebelum dimasukkan kembali ke dalam sarung, hampir serentak dengan tika tubuh Goro menyembah tanah.

Mus’ab memandang pemandu yang setia menanti di hujung padang. Pemandu itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Mus’ab tahu pemandu tersebut bukan operatif tempur. Hanya pekerja kolar putih.

Mus’ab memandang tubuh Goro yang sudah tidak bernyawa. Menghela nafas panjang.

Ryuken ada agenda, dan nampaknya tidak kecil.

“Lambat lagi baru segalanya dapat kembali seperti biasa, sayang …” Mus’ab bersuara, seakan sedang berbicara dengan isterinya. “… atau dapatkah segalanya kembali seperti biasa?”

Mus’ab tidak pasti, pandangan jatuh pada senjatanya.

Tanpa disangka-sangka, langit kelam menjadi terang-benderang. Satu letupan yang maha kuat berlaku. Terlalu kuat sehingga suasana seperti menjadi siang seketika. Cukup untuk membuatkan telinga Mus’ab berdesing walaupun dia berada jauh dari tempat kejadian.

Mata Mus’ab terbelalak. Apabila suasana kembali gelap, Mus’ab dapat melihat asap seperti asap roket, menjadi seperti menara. Daripada posisi asap tersebut, Mus’ab menjangka ada sesuatu yang terbang ke langit sebelum letupan berlaku.

Posisi asap itu juga membuatkan Mus’ab tahu ia berlaku di tengah-tengah Kotaraya Angsana.

Segera dia memandang pemandu di hujung tanah lapang. Mus’ab mengacukan Muramasa yang bersarung itu ke arahnya.

“Kamu! Aku perlukan kenderaan itu!”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/207125/novel-samurai-melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *