[SNEAK PEEK] SAAT KAU LAFAZKAN

9789670657806-medium
EBUKU Saat Kau Lafazkan Oleh Isma Adeliya

COMEL. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiranku bila menyedari gadis yang melanggar aku ialah Izureen. Rambut senget bengetnya telah dipotong pendek, di bawah paras telinga. Kelihatan sedikit kelelakian tapi, dia sungguh comel dalam gaya rambut begitu.

“Sorry,” tuturnya dan serentak itu jari-jarinya mendarat di rahang sebelah kiriku. Berderau darahku dengan sentuhannya. Satu rasa yang tidak aku fahami menyelinap masuk ke pinggir hati.

“Sakit?” Matanya yang cantik merenung aku sekejap, kemudian beralih ke arah dagu. Jari-jarinya masih di situ. Masih terpempan, aku hanya mampu mengangguk. Tapi sebenarnya tidaklah sakit sangat.

Memandang ke dahinya, terasa ingin menyentuh dahi yang bertembung dengan daguku, namun aku hanya berdiri kaku. Tidak mungkin aku melakukan itu, zaman bebas bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim telah lama aku tinggalkan.

“Excuse me,” kata seorang pelanggan yang hendak mara ke kaunter menyedarkan aku bahawa kami sedang menghalang laluan. Aku terus keluar dari kedai, dia mengikuti belakangku. Rupa-rupanya tiga pasang mata di luar kedai memerhatikan perlakuan kami dengan penuh minat.

Dalam perjalanan pulang, aku memandang ke cermin belakang. Nampak jelas wajahnya. Dia duduk di tengah, di antara mak dan Fina. Mata seakan tidak mahu lekang dari wajahnya, namun perhatian harus diberikan kepada pemanduanku.

“Reen, ni untuk kamu. Pakai ya.” Kedengaran suara emak memecah kebisuan. Abah di sebelahku sudah lelap. Fina, serupa dengan abah. Pantang duduk dalam kenderaan, berat saja kelopak matanya.

“Apa ni Mak Jah?” Suara kehairanan meletus dari bibirnya.

“Telekung. Kan kamu kata kamu tak ada telekung? Mak segan, kamu pakai telekung lama mak yang dah lusuh tu.”

Jeda. Lama. Aku menjeling ke cermin. Nampak wajahnya keruh.

“Bukalah,” emak menyuruh. Kedengaran bunyi plastik dibuka.

“Cantik. Berapa harganya?”

“Ini mak hadiahkan kepada kamu.”

“Eh, susah-susah je Mak Jah ni. Saya bayar balik ya.” Dia membuka dompet. Kebetulan lampu isyarat merah, dapat aku menyaksikan segalanya.

“Jangan, mak ikhlas ni. Mudah-mudahan setiap kali kamu bersolat pakai telekung ni, ada pahala untuk mak.”

Ada air mata bergenang di tubir mata Izureen. Bunyi hon menyedarkan aku, cepat-cepat aku masukkan gear dan van Abah bergerak semula.

“Terima kasih.” Aku jeling lagi. Nampak mak senyum sambil menggenggam tangan Izureen.

PERBUALAN TELEFON dengan Haziq malam tadi masih berlegar di minda ini. Punggung aku labuhkan di atas bangku. Mata tertancap pada anak sungai di bawah, namun fikiran jauh menerawang. Kata Haziq, Ratna datang berjumpanya. Kata Haziq, Ratna bertanyakan di mana aku tinggal sekarang. Mujur Haziq tidak memaklumkan bahawa aku kini sudah bermastautin di kampung halamanku.

Apa yang dia mahukan daripada aku? Apa pun yang telah terjadi, hidup mesti diteruskan dan aku mahu hidup ini diteruskan tanpa dihimpit kenangan silam. Setelah tiga tahun, kenapa dia mencari aku? Adakah kerana status solonya? Atau mungkin dia sekadar mahu menjalin semula persahabatan denganku? Aku tidak mahu lagi terlibat dengan perkara-perkara yang membabitkan naluri cinta. Kini fokusku hanyalah kepada perniagaanku. Aku bahagia dengan kehidupan sekarang. Walaupun sibuk mengendalikan tiga perniagaan dalam satu masa, aku lebih tenang. Aku miliki kelapangan masa untuk beribadat. Tidak lagi terkejar-kejar daripada satu janji temu ke janji temu yang lain. Tiada lagi makan malam, karaoke dan acara yang perlu dihadiri. Kini setiap malam, aku berjemaah solat maghrib dan isyak di surau. Tidak lagi terbabas subuh, malahan sentiasa bersama abah berjemaah di surau.

Sekali-sekala… bila diminta, aku hulurkan bantuan kepada Haziq. Kini dia yang menguruskan sepenuhnya syarikat hiasan dalaman kami. Sepuluh peratus daripada saham yang aku miliki telah aku jual kepadanya, menjadikan pegangan saham enam puluh peratus milik Haziq dan bakinya milikku. Alhamdulillah, Haziq bukan sekadar rakan kongsi. Dia juga sahabat karib yang mengetahui segala suka dukaku. Persahabatan kami yang terjalin sejak dari sekolah menengah masih kukuh hingga kini. Kebetulan kami meminati aliran yang sama. Selepas tiga tahun makan gaji, kami bergabung untuk menubuhkan Hazack Interior.

Bunyi derapan kaki disulami gelak tawa mematikan lamunanku. Fina dan Izureen datang menghampiriku.

“Oh kat sini along menyorok ya,” Fina bercekak pinggang di hadapanku.

“Kenapa? Kan biasa along lepak kat sini lepas joging?”

“Mak suruh cari, lama sangat jogingnya. Tak nak sarapan ke? Ni menung-menung kat sini kenapa, cari ilham apa ni?” Fina dah mula berleter. Izureen sekadar tersenyum.

“Yalah, tengah cari ilham. Baru nak dapat, kamu datang, terus hilang ilham tu,” tiba-tiba timbul idea nak menyakat Fina.

“Ilham apa along?” Nada suaranya menjadi serius, sudah termakan dengan ceritaku.

“Ilham tentang kamu dengan Pejal,” aku sengih kepada adik bongsuku yang naïf itu.

“Apa hal orang dengan Pejal?” Fina membulatkan matanya.

“Yalah, nak cari ilham bila masa yang sesuai untuk kahwinkan kamu dengan Pejal.”

“Arrggghh!!! Along ni jahatlah. Kenakan orang ya!!!” Kali ini dia mencubit lenganku.

“Adoi sakitlah!” Aku menjerit sambil bangun, hendak melarikan diri daripada Fina sebelum cubitannya beranak pinak di badanku. Sambil berlari aku ketawa sekuat hati. Seronok dapat menyakat Fina. Entah kenapa, dia amat tidak sukakan Pejal sedangkan Pejal tu baik orangnya. Fina mengejar aku dan akhirnya bila gagal menangkap aku, dia berhenti dengan nafas yang tercungap-cungap.

“Aik, baru lari sikit dah semput. Tu la, orang ajak joging tak nak. Asyik buat taik mata je. Macam ni punya malas pun si Pejal tu boleh minat.” Aku menggiat Fina lagi.

“Eee, along ni!” Fina kelihatan sudah bengang. Kedua belah tangannya diletakkan di atas kepala.

“Orang nak baliklah! Ni, ambil ilham ni, orang tinggalkan untuk along,” dan dia berlalu sambil menuding jarinya ke arah Izureen yang turut ketawa melihat gelagat kami. Tawa aku dan Izureen terhenti serentak dan pandangan kami bertaut.

“Duduklah,” aku suakan tangan ke arah bangku. Tanpa sebarang kata dia menurut. Aku berkalih dari situ, membesarkan jarak antara kami. Duduk di atas akar pokok yang jaraknya lebih kurang 3 meter dari bangku.

“Fina tu manja ya,” katanya sebaik duduk.

“Anak bongsu, biasalah.”

“Dan awak, abang yang nakal ya?”

“Taklah. Saya baik. Tak percaya, tanya mak saya.”

“Tau. Mak awak dah cerita.” Jawapannya mengundang tanda tanya di mindaku.

“Apa yang mak ceritakan?” Aku mara setapak menghampirinya dengan rasa ingin tahu yang menebal.

“Macam-macam tentang awak. Mak awak kata awak anak sulung yang sangat bertanggungjawab. Mak awak kata awak rajin, kuat bekerja, cekal, dan penyayang. Mak awak kata pada umur enam tahun awak dah khatam Al-Quran. Masa di sekolah menengah awak pernah jadi ketua pengawas. Masa di universiti awak dapat anugerah dekan 3 kali.”

“Awak dah banyak tahu tentang saya, tapi saya tak tahu tentang awak.” Riak wajahnya kembali tenang. Dia senyum. Aduh, comelnya bila dia senyum.

“Ask me,” katanya yang masih tersenyum.

“Boleh ke?” Dia mengangguk.

“Tapi ada syarat,” pantas dia bersuara sebelum aku mengeluarkan soalan.

“Setiap soalan yang awak tanyakan, awak juga harus menjawabnya.”

“Baiklah. Umur?” Aku keluarkan soalan pertamaku.

“26.”

“31.”

“Asal?” Soalan kedua pula.

“KL.”

“Sini.”

“Qualification?” Soalanku yang ketiga.

“Eh, macam temu duga kerja pulak,” katanya. Aku senyum.

“Perakaunan.”

“Oh, sama dengan Fina. Saya, rekaan dalaman.”

“Hobi?” Soalan keempat. Dia diam, agak lama.

“Buat kek.”

“Banyak. Membaca, melukis, panjat bukit, main bola.”

“Makanan kegemaran?” Soalan kelima. Aku sendiri pun nak tergelak dengan soalan ni.

“Western food dan Japanese food.” Typical city girl, bisikku di dalam hati, jarang yang suka makanan kampung. Tapi aku tengok, berselera sahaja dia makan hidangan yang emak sediakan.

“Awak?” Baru tersedar aku belum menjawab soalan itu.

“Laksa, especially laksa Kuala Kangsar.”

“Music?” Soalan keenam. Agak-agaknya dia faham ke soalan dengan sepatah perkataan sahaja?

“Christina Peri, Yuna, Anuar Zain.” Hmm, belum pernah aku jumpa perempuan yang tidak suka Anuar Zain.

“M. Nasir, Search, Wings, Michael Bolton, Celine Dion, Jason Mraz, Sheila Majid, Sami Yusuf.” Habis aku senaraikan penyanyi yang aku suka.

“Orang yang paling dirindui?” Soalan ketujuh.

“Papa,” ringkas jawapannya.

“No one at the moment,” jawapanku. Betul, aku tidak merindui sesiapa pun.

“Orang yang paling rapat dengan awak?” Soalan kelapan. Jeda. Lama dia diam. Aku biarkan sahaja, sambil mataku merayap ke seluruh wajahnya. Cuba mentafsir riak pada wajah itu.

“Muaz,” akhirnya dia bersuara. Aku dapat mengesan nada sedih dalam suaranya. Siapa Muaz? Diakah penyebab kedukaannya, yang membawa lara hati ke tempat ini? Rasa ingin tahu bersarang di dalam hatiku. Namun aku tahankan, belum masanya.

“Mak, abah, Haziq, Fina.” Aku pula bersuara. Kemudian aku terdiam. Apalagi yang hendak ditanya, sudah lapan soalan tapi belum dapat memberi petunjuk akan kehadirannya di sini.

“Papa awak kerja apa?” Akhirnya soalan kesembilan keluar.

“Dah meninggal.”

“Sorry,” aku menghulurkan kata simpati.

“Its okay. Dah lama… masa saya berumur 16 tahun.”

“Abah saya kerja kampung saja. Petani. Mama awak?” Aku tanyakan soalan kesepuluh

“Business woman. Mama ambil alih bisnes setelah papa meninggal.”

“Oh, besar lagi pangkat mak saya. Dia pegang banyak jawatan. Minister of Home Affairs, Menteri Kewangan, General Manager, Guru KAFA, chef dan lain-lain.” Meledak ketawanya sebaik mendengar jawapanku. Riak sedih pada wajahnya menghilang.

“Boleh tak kalau saya pulak tanya soalan?” Soalnya bila ketawanya berhenti.

“Silakan. Tapi syaratnya sama. Setiap soalan, awak juga mesti beri jawapan.”

“Kenapa awak belum berkahwin?” Terkedu aku mendengar soalan yang tidak dijangka.

“Belum ada jodoh,” jawapan klise yang paling selamat.

“Tapi mak awak kata, awak ada ramai girlfriend.”

“Itu dulu. Sekarang tak ada seorang pun.”

“Dalam ramai-ramai tu, takkan tak ada seorang pun yang sesuai?” Bukankah aku yang mahu mengorek rahsianya, tapi sekarang dia pula yang mengorek rahsiaku. Tidak mengapa, aku ikutkan saja. Let’s see how far this will take us.

“Bukan semua girlfriend sesuai menjadi isteri. Bila saya dah jumpa yang sesuai, saya akan kahwin. Walaupun dia bukan girlfriend saya, kalau dah jodoh… dia tetap akan menjadi isteri saya. Bercinta bertahun-tahun, kalau bukan itu yang Allah takdirkan, tetap tak akan menjadi isteri.” Kami sama-sama diam.

“Pernah atau sedang bercinta?” Bila diam tidak berkutik, aku ajukan soalan itu. Dia memandang tepat ke mataku, dan seketika kemudian mengalih pandangannya. Melihat ke arah sungai di bawah. Dan kemudian, dengan suara yang perlahan dia berkata.

“Pernah dan masih mencintai, tapi tidak dicintai.” Bunyinya seperti orang yang cintanya tidak berbalas.

“Your turn,” dan dia berpaling ke arahku.

“Cinta saya telah dikhianati,” akhirnya aku luahkan.

“Berapa lama awak bersedih?” Dia menyoal. Mata kami bertaut lagi. Sekejap, sebelum aku pandang semula ke arah sungai.

“Lama. Sampai sekarang bila teringat kecurangannya, hati saya sakit. Tapi hidup mesti diteruskan. Saya tidak boleh kalah dengan kekecewaan. Tiada siapa yang boleh meragut kebahagiaan saya, melainkan Allah.” Senyap. Kami sama-sama melayan perasaan. Terasa ringan di dada sebaik aku luahkan ayat tadi.

“Saya fikir dia cintakan saya, rupa-rupanya dia sekadar menganggap saya sebagai seorang kawan. Tak lebih daripada itu.” Bingo! Rasa-rasanya aku sudah mendapat jawapan kenapa dia berada di sini.

“Kenapa tak diluahkan perasaan kepadanya?” Aku mengumpan, dengan harapan mendapat lebih banyak lagi maklumat.

“Dah terlewat. Dia sudah menjadi tunangan orang.” Ya, betul tekaanku. Dia ke sini kerana masalah percintaan.

“Sabarlah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bukan semua yang kita hendak, kita akan dapat. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kalau kita tak dapat apa yang kita suka, kita belajarlah menyukai apa yang kita dapat.” Nasihat yang pernah abah berikan kepadaku dahulu, kini aku sampaikan kepadanya.

Dia memandangku lagi. Mata kami bertaut. Ada getaran yang aneh di dalam hatiku. Aku alihkan pandangan, tidak mahu larut dalam renungannya. Terdetik di hati kenapa pula perbualan yang bermula dengan ceria, harus bertukar moodnya menjadi sayu.

“Soalan seterusnya?” Dia menggelengkan kepala. Nampak masih sayu. Aku mula berfikir, mahu menjernihkan suasana.

“Okey, soalan seterusnya. Apa ciri-ciri lelaki idaman awak?” Entah dari mana aku mendapat idea untuk bertanyakan soalan ini.

“Susahlah soalan ni. Kalau tak nak jawab, boleh tak?”

“Tak susahlah. Jawapannya tentu ada di dalam hati awak. Takkan awak tak tahu orang macam mana yang awak suka? Kalau tak nak jawab, tak apalah. Tapi kalau tak jawab, awak tak akan tahu ciri-ciri wanita idaman saya,” aku cuba mengumpan.

“Okey, saya suka lelaki yang bertanggungjawab. Tegas. Protective, but not over protective. Jujur. Sopan. Rajin bekerja. Hormat kepada semua orang. Tidak merokok. Lebih tinggi daripada saya… dan… tidak terlalu cerah. Boleh membimbing saya.” Banyaknya kriteria, bisikku di dalam hati.

“Your turn,” dia mengingatkan.

“Wanita idaman saya ialah… wanita yang cintanya seperti mak saya.”

“Hah? Macam mana tu?” Dia kelihatan naïf dan comel ketika menanyakan soalan itu.

“Cinta mak pada abah, sangat ikhlas. Mak sanggup bersusah payah dengan abah. Mak tak pernah merungut. Terima abah seadanya. Pendamping abah yang setia. Pernah sekali abah tanya apa hadiah yang mak mahukan untuk hari lahirnya. Mak jawab, dia hanya mahukan cinta abah. Kerana bagi mak, cinta abah adalah segala-galanya dan cinta abah adalah hadiah terbaik untuknya.”

Kami sama-sama terdiam selepas itu. Lama. Kemesraan abah dan emak terbayang di mata. Kasih sayang yang masih utuh di antara mereka menjadi inspirasi kepadaku dalam mencari kebahagiaanku sendiri. Mampukah aku mengecapi bahagia, seperti kedua orang tuaku?

“Insya-Allah, satu hari nanti awak akan dapat cinta sejati awak,” akhirnya dia bersuara, memecahkan kebisuan di antara kami. Izureen berdiri dan mahu melangkah pergi.

“Izureen,” panggilku mematikan langkahnya. Aku mendekatinya.

“Ya?”

“Fesyen rambut ni sesuai dengan awak. You look very cute.” Izureen senyum. Manis! Dan berlalu pergi. Satu perasaan aneh menyelinap di tangkai hati. Perasaan yang sudah lama tidak aku rasakan.

****

“MESTI mama kamu rindukan kamu,” ucap Mak Jah dengan lembut lalu menimbulkan kesan di dalam hatiku. Rasa bersalah mula terbit.

“Dah dekat dua minggu kamu di sini, walaupun kamu menghantar pesanan setiap hari, dia mesti risau. Lagipun dia tak tau di mana kamu sebenarnya berada.”

Sesiapa pun yang berada di tempat aku sekarang, pasti tersentuh hati dengan kelembutan Mak Jah. Dia bercakap dengan sangat berhemah, penuh berhati-hati menasihatiku agar aku tidak berkecil hati.

“Reen jangan salah faham. Mak bukan tak suka Reen di sini, tapi sebagai anak, Reen ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Cuba fahami perasaan mama Reen.”

Tumpah air mataku dengan kata-katanya. Terbekas di dalam hati ayat terakhir itu. Betulkah mama risaukan aku? Sejak berada di sini, hanya sekali aku bercakap dengan mama. Selebihnya, setiap selang sehari aku menghantar pesanan ringkas kepadanya. Jawabnya hanyalah “OK”. Aku tahu mama memang tidak gemar menggunakan pesanan ringkas untuk berhubung, tapi apa salahnya bertanya sedikit akan keadaanku?

“Reen bukan datang ke sini kerana masalah dengan mama kamu, kan?” Mak Jah menebak. Aku mengangguk. Pastinya bagi orang yang sudah banyak pengalaman sepertinya, dia dapat mengagak daripada kelakuan dan pertuturanku.

“Mak dah agak dah. Ini masalah dengan pakwe, kan?” Mak Jah menebak. Aku mengangguk, walaupun sebetulnya Muaz bukan pakweku. Tapi lebih mudah mengiakan sahaja.

“Jadi kalau ada masalah percintaan, kenapa mama kamu pulak yang jadi mangsanya? Melainkanlah mama kamu menentang percintaan kamu dan sebab itu kamu lari ke sini?”

Aku menggeleng. Air mata yang masih jatuh aku seka dengan lengan t-shirt. Mama tidak pernah menghalang persahabatan aku dengan Muaz. Dia terlalu sibuk untuk mengambil tahu akan hal persahabatan atau percintaanku. Tidak pernah selama ini dia bertanyakan apakah aku sudah mempunyai teman lelaki. Yang selalu disebut-sebutnya ialah dia mahu aku bekerja keras, mengumpul pengalaman dan pengetahuan sebanyak yang boleh kerana satu hari nanti aku akan mengambil alih pengurusan syarikat.

“Reen fikir-fikirkanlah. Bagi mak, sebaik-baiknya kamu balik. Hadapi masalah dengan matang dan selesaikan. Minta pertolongan daripada Allah. Allah tidak pernah lokek dengan bantuan-Nya. Kita sebagai hamba yang selalu leka, sebab itu Allah beri masalah atau dugaan kepada kita, supaya kita kembali kepada-Nya. Itu tanda Allah sayangkan kita.”

Timbul rasa kagum yang amat mendalam terhadap Mak Jah. Cara dia memberi nasihat sangat menyentuh hatiku. Ada kebenaran dalam kata-katanya. Memang aku hamba yang lalai, yang alpa dengan kehidupan duniawi. Ibadat yang paling asas pun selalu terbabas, inikan pula ibadat-ibadat sunat penguat iman. Solatku jarang sekali cukup lima waktu sehari.

Di sini sangat berbeza. Aku dapati keluarga Mak Jah sangat menitik beratkan solat. Pak Akob dan Naim selalu aku lihat berjemaah di masjid. Fina dan Mak Jah bukan sekadar bersolat, malah memastikan solat mereka dilaksanakan pada awal waktu. Pada usia yang lebih muda daripadaku, Fina menutup auratnya. Hatta ke anak sungai yang berdekatan dengan rumahnya pun, dia memakai tudung.

Melihat aku bermenung lama, Mak Jah bangun menuju ke singki. Kebetulan tengah hari ini hanya ada kami berdua. Naim menemani Fina menghadiri temu duga manakala Pak Akob pula ada urusan di pekan. Boleh dikatakan setiap hari aku makan tengah hari di rumah Mak Jah. Manakala makan malamku sama ada roti, biskut atau mi segera. Pelawaan Mak Jah untuk makan malam di rumahnya aku tolak. Segan, terlalu banyak pertolongan yang telah mereka hulurkan.

“Reen terlalu kecewa Mak Jah. Reen sedih sangat-sangat dengan apa yang terjadi. Reen mahu lari daripada dia, mahu tenangkan fikiran yang sangat berkecamuk. Sukar menerima kenyataan orang yang Reen sayangi rupanya menyayangi orang lain. Rasanya lebih mudah melupakan dia jika Reen berjauhan daripadanya. Tak terfikir pulak tindakan Reen ini menyusahkan keluarga.”

Aku luahkan rasa hati kepada Mak Jah. Dia yang sudah siap membasuh pinggan datang semula ke meja dan duduk di sebelahku.

“Mak Jah faham. Mak Jah dah tengok bagaimana anak-anak Mak Jah kecewa dalam percintaan. Si Elida tu, sebelum berkahwin dengan Ayin, pernah putus cinta. Berhari-hari menangis, sampai bengkak-bengkak matanya. Si Naim, lagi teruk. Monyok memanjang. Disuruh makan tak mahu, kerja tak boleh fokus, balik ke sini berkurung aje dalam bilik. Keluar bilik untuk makan dan mandi saja. Itu pun, makannya dua tiga suap aje. Sampai hilang selera makan, hilang semangat nak hidup. Teruk juga mak dan Pak Akob menasihatinya.”

Aku mendengar penuh minat. Teringat perbualan dengan Naim semalam. Katanya cintanya dikhianati. Teringin hendak mengetahui dengan lebih lanjut, namun terasa segan hendak bertanya lebih kepada Mak Jah.

“Sampai sekarang mak rasa, Naim masih belum pulih sepenuhnya daripada kekecewaan. Hatinya bagai dah tertutup untuk bercinta. Dah ramai gadis yang mak cuba jodohkan dengannya, semuanya dia tolak. Mak dah letih nak padankan dia dengan sesiapa lagi. Kesian juga tengok dia, umur dah lebih 30, tapi solo lagi. Kadang-kadang dia termenung, macam orang kesepian. Ni si Fina dah balik, adalah kawan bersembang. Esokesok kalau Fina dapat kerja di KL, sunyilah balik. Nak harap mak dengan Pak Akob, apa sangatlah yang boleh disembangkan.” Mak Jah menyambung cerita.

“Si Fina pula, dah ada orang berkenan tapi dia tak minat kat budak tu. Lagipun katanya dia muda lagi, nak kerja dulu baru fikir pasal cinta. Kalau ikut mak, dah elok ada orang yang minat, kahwin ajelah. Apa salahnya kahwin muda? Mak dulu, umur 17 tahun dah kahwin. Umur 19 dah dapat si Naim.”

“Berapa umur kamu Reen?”

“26.”

“Kawan kamu?”

“Sebaya.” Aku mengagak kawan yang dia maksudkan adalah Muaz.

“Kami dah kenal lama, sejak universiti. Dia layan Reen dengan baik, jadi Reen sangka dia cintakan Reen. Rupa-rupanya Reen bertepuk sebelah tangan,” giliran aku pula bercerita, dengan rasa sebak yang kembali menyerang.

“Yang lebih menyedihkan, dia bertunang dengan bakal adik ipar kakak Reen. Lagilah susah nak mengelak daripada dia. Mesti nanti Reen akan jumpa dia masa kenduri kendara, atau masa raya. Reen rasa tak sanggup melihat dia dengan orang lain.” Air mataku yang bergenang di tubir mata, tumpah jua.

“Jodoh adalah ketentuan Allah. Kalau dia bukan jodoh kamu, maknanya dia bukan yang terbaik untuk kamu. Kalau kamu reda dengan ketentuan ini, hati akan jadi lapang, fikiran pun tenang. Bersedih itu fitrah manusia, tapi jangan bersedih keterlaluan, nanti memudaratkan diri sendiri. Dan ingat, apa yang terjadi kepada kamu akan ada kesannya pada keluarga kamu. Macam sekarang, mereka risaukan kamu. Tak tahu kamu berada di mana, sihat ke tidak. Mama kamu pulak terpaksa uruskan hal-hal kerja kamu yang terbengkalai bila kamu tak masuk kerja. Kamu tak kesiankan keluarga kamu?”

Aku diam, tidak mampu menjawab soalan Mak Jah. Otak mula menghadamkan setiap butir biacaranya. Mengakui dalam diam akan kebenaran kata-kata itu.

TIDAK LAMA selepas pulang dari rumah Mak Jah, aku berasa pening kepala. Kepala terasa berat, lantas aku berbaring. Sambil berbaring, aku memikirkan isi perbualan dengan Mak Jah tadi. Dalam berfikir, aku terlelap.

Sekitar jam tiga aku terjaga, perut terasa mual, manakala kepala masih berat. Cepat-cepat aku berlari ke bilik air. Sebaik sampai di bilik air, aku muntah. Keluar segala isi perut. Mungkin aku salah makan, tapi bila dikenangkan balik, tidak ada yang pelik dalam hidangan tengah hari tadi. Sayur bayam ditumis air, ikan kerisi goreng dan sambal belacan. Rasa-rasanya perut aku tidak ada masalah dengan menu begitu.

Aku baring semula. Tangan meraba-raba, mencari iPhone yang biasanya aku selitkan di bawah bantal. Dapat iPhone, aku semak kalendar. Oh patutlah, kawan baik sebulan sekali nak datang. Lega, mujurlah bukan keracunan makanan atau gastrik. Ini memang kebiasaan sistem badanku. Sebelum kedatangan haid, aku akan mendapat sakit kepala yang kuat, kadang-kadang diiringi oleh mual dan muntah. Bila keluar sahaja darah haid, pening dan mual akan hilang tapi datang pula senggugut. Kebiasaannya senggugutku akan berlanjutan selama dua hari, kadang-kadang kuat sakitnya, kadang-kadang tidak.

Aku terlena lagi. Bagus juga dapat melelapkan mata, terlupa masalah dan kesakitan yang mengganggu. Sedar-sedar, kedengaran bunyi azan. Jam di dinding menunjukkan pukul 4.35 petang. Ah, terlepas Zohor. Baru sahaja semalam, selepas mendapat telekung daripada Mak Jah aku berazam untuk tidak meninggalkan solat. Nampaknya aku perlu berusaha lebih gigih. Betullah kata orang-orang alim, semakin kita hendak beramal, semakin kuat godaan syaitan.

Aku duduk di atas katil. Kepala masih terasa berat, tekak terasa mual. Cepat-cepat aku gapai tuala dan berlari ke bilik air. Muntah lagi, tapi kali ini yang keluar hanyalah cecair. Kemudian aku mandi dan berwuduk.

Dengan lafaz bismillahirrohmanirrohim, aku berniat dan mulakan solat Asar. Selesai bersolat, aku berdoa.

“Ya Allah, aku memohon ampun daripada-Mu di atas segala dosa-dosaku. Sesungguhnya aku hamba-Mu yang sangat hina. Sangat lalai dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai hamba. Namun, rahmat dan kasih sayang-Mu tetap mencurah-curah datang. Wahai Tuhanku, lindungilah mama, abang dan kakakku. Mereka sahajalah ahli keluarga yang aku ada dan aku amat menyayangi mereka. Lembutkanlah hati mama agar dia tidak marah kepadaku. Berilah rahmat dan kasih sayang-Mu kepada mama, kasihi dia seperti dia mengasihiku semenjak kecil. Peliharalah seluruh ahli keluargaku daripada perkara-perkara buruk dan daripada amarah-Mu. Cucurilah rahmat ke atas arwah papa dan tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang soleh.”

“Wahai Tuhanku, aku bermohon semoga dugaan yang menimpa membawa aku semakin dekat kepada-Mu. Ya Allah, tabahkan hatiku dalam menghadapi dugaan ini. Jadikan aku reda dengan ketentuan-Mu. Jadikan aku sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan. Tenangkan hatiku Ya Allah, lapangkan dadaku Ya Allah. Ya Allah, bila tiba masanya, temukanlah aku dengan jodohku yang sesuai menurut pengetahuan-Mu Ya Allah. Semoga dia yang Engkau pilih untukku adalah orang yang bertanggungjawab, menerima aku seadanya dan mampu membimbingku ke jalan-Mu Ya Allah. Wahai Tuhanku, terima kasih kerana membawa aku ke sini. Terima kasih kerana menemukan aku dengan Mak Jah sekeluarga, yang sangat baik penerimaan mereka terhadapku. Rahmatilah mereka sekeluarga Ya Allah dan lindungilah mereka daripada sebarang musibah.”

Aku meraup wajahku dengan kedua belah tangan. Seluruh mukaku basah dengan air mata yang terus-terusan menitis. Rasa lega bercampur baur dengan kepiluan. Dada terasa ringan setelah mengadu kepada-Nya. Pilu kerana perasaan bersalah terhadap Penciptaku. Betapa aku telah lama menjauhinya, kini hanya kembali mengingati-Nya bila ditimpa musibah. Ampuni aku Ya Allah, kasihanilah aku Ya Allah. Tetapkan hatiku Ya Allah, agar aku tidak lagi lalai dibuai keseronokan duniawi lantas melupakan tanggungjawabku kepada-Mu.

Telekung pemberian Mak Jah aku buka dan aku lipat sebelum diletakkan di atas rak yang disediakan di bilik tidur utama. Bilik ini dilengkapi dengan bilik air. Dua bilik tidur yang lebih kecil pula berkongsi satu bilik air yang terletak berdekatan dengan dapur.

Aku keluar dari bilik, menuju ke ruang tamu. IPhone yang terletak di atas meja kopi di ruang tamu aku capai. Ada tiga pesanan masuk, satu daripada abang, bertanyakan keadaanku. Aku jawab pesanan abang. Kemudian aku periksa pesanan kedua, daripada Muaz. Termasuk pesanan yang terbaru ini, sudah tiga pesanan dihantarnya hari ini. Sejak aku tiba di sini, tidak satu pun pesanannya yang aku jawab. Namun daripada Kak Rina dia mengetahui bahawa aku dalam keadaan selamat. Kak Rina telah berjanji tidak akan bercerita apa-apa kepada Muaz, selain daripada hanya menyatakan bahawa aku sedang bercuti panjang.

Satu pesanan pula ialah whatsapp daripada Kak Rina. Dia menghantar gambarnya sedang mencuba pakaian di butik pengantin. Air mata jatuh lagi tatkala menatap gambar Kak Rina. Terbit rasa rindu kepadanya. Kakak berlainan ibu yang amat aku sayangi itu kelihatan ceria mencuba baju untuk majlis nikah dan bersanding. Aku membalas pesanan kakak, memberitahunya bahawa pakaian yang dicubanya sangat sesuai dengan tubuhnya.

Di luar sedang gerimis. Rintik-rintik halus yang turun dari langit diiringi hembusan bayu dingin memberi suasana yang sangat nyaman. Dari jendela, aku melihat titisan hujan yang jatuh menimpa bumi, bersatu dengan air sungai yang mengalir tanpa lesu. Kepala masih sakit, perut mula terasa lapar. Namun aku biarkan sahaja rasa sakit dan lapar itu. Fikiranku menerawang jauh. Teringat semula perbualan dengan Mak Jah tengah hari tadi. Segala kata nasihatnya aku semat dalam hati. Aku pasti akan pulang ke Kuala Lumpur, tapi aku tidak pasti bila masanya.

Satu perkara yang menghalang aku daripada pulang sekarang ialah ketakutan yang bersarang di sudut hati. Rasa takut untuk menghadapi Muaz. Rasanya aku belum cukup kuat untuk berdepan dengannya tanpa menunjukkan sebarang riak sedih dan kecewa. Bagaimana nanti perlu berhadapan dengan Muaz dan tunangnya, mampukah aku sorokkan perasaanku daripada terpamer di wajah? Apa pula reaksi Muaz bila mengetahui bahawa selama ini aku sayangkannya, sebagai seorang kekasih, bukan sahabat? Adakah dia akan rasa bersalah? Jika ya, itulah yang mahu aku elakkan. Aku tidak mahu menerbitkan sebarang rasa bersalah di dalam diri Muaz. Jadi sebaik-baiknya biarlah aku terus menginap di sini, sehingga aku yakin aku mampu berdepan dengannya.

Perut semakin berkeroncong, memaksa aku menuju ke dapur. Aku masak air, membancuh satu mug milo dan mengambil beberapa keping biskut. Aku bawa ke ruang tamu dan aku hidupkan televisyen. Boleh dikatakan, beginilah rutinku setiap hari di sini. Pagi, aku keluar bersarapan di warung berdekatan. Kadang-kadang aku bungkus dan makan di rumah homestay ini. Selepas bersarapan, aku akan duduk di tepi sungai. Kadang-kadang berfikir, kadang-kadang sekadar bermenung kosong. Kalau ada Lokman dan Hafiz, aku layan mereka bermain. Kalau ada Fina, aku berbual-bual dengannya. Tengah hari makan di rumah Mak Jah. Malam… beginilah, mengadap televisyen sambil menikmati biskut dicicah milo atau roti, atau makan saja mi segera.

Sungguh berbeza keadaan ini dengan kehidupan sebenarku. Dahulu, boleh dibilang dengan jari berapa kerap aku memakan mi segera. Aku tidak pernah susah sedari kecil. Arwah papa dan mama sentiasa menyediakan semua keperluanku. Arwah papa sangat memanjakan aku. Mintalah apa sahaja, aku mesti dapat. Setelah papa meninggal, mama masih mampu memberikan apa yang aku minta. Kondo yang aku duduki sekarang pun hasil pemberian mama. Cuma, yang kurangnya kasih sayang daripada mama. Mama semakin sibuk menguruskan syarikat, hingga masa dan perhatiannya untukku semakin berkurangan.

Tiba-tiba, ada rasa mencucuk-cucuk di ari-ariku. Aku habiskan biskut dan milo, kemudian berlalu ke dapur dan membersihkan mug dan piring. Azan maghrib mula berkumandang. Aku ke bilik air untuk mengambil wuduk, namun aku dapati rupanya aku tidak boleh bersolat. Keluar dari bilik air, aku membuka beg pakaian. Mencari-cari tuala wanita yang sangat-sangat diperlukan saat ini. Tidak ada! Aku berkalih pula kepada beg tangan. Aku selongkar segala isinya. Alamak, tidak ada juga. Biasanya aku sentiasa menyimpan sekeping tuala wanita di dalam beg tanganku. Berfikir sejenak, baru aku perasan bahawa beg ini bukanlah beg tangan yang biasa aku bawa pergi bekerja.

Berfikir lagi, bagaimana hendak mendapatkan tuala wanita pada waktu begini? Okey, pinjam dulu daripada Fina. Esok aku akan beli dan gantikan tuala wanitanya. Aku ke muka pintu, menyarung selipar dan berlari-lari ke rumah Mak Jah. Rupa-rupanya gerimis ini lebih lebat daripada yang aku sangkakan, menyesal pula keluar tidak berpayung. Aku lajukan larian, dan tiba-tiba satu susuk tubuh muncul di depanku. Tidak sempat mengelak, gedebuk!!! Aku terlanggar dia. Aku hilang imbangan dan hampir terjatuh, namun tangannya cepat menggapai tanganku.

“Masuk kali ni, dah tiga kali awak langgar saya.” Naim bersuara sambil memaut lenganku, menghalang aku daripada jatuh. Memang betul, kenapalah aku asyik terlanggar dia? Aku mendongak sedikit untuk melihat wajahnya.

“Kalau teringin nak peluk saya, beritahu saja. Tak payah main langgar-langgar,” katanya sambil mengukir senyuman di pinggir bibir.

Aku menggetap bibir. Dalam keadaan sekarang, aku tiada mood untuk bergurau. Tiba-tiba kepala terasa berat dan tekak terasa mual. Melihat aku bagaikan hendak muntah, dia melepaskan tanganku. Segera aku ke tepi pokok bunga kertas dan mengeluarkan isi perut. Habis tersembur milo yang aku minum tadi.

“Awak kenapa, sakit perut ke?” Naim menyoal. Aku biarkan soalannya tidak berjawab. Aduh, kenapa teruk sangat keadaan aku? Berlainan sungguh daripada kelazimannya.

“Fina mana?” Soalku sambil memegang perut. Sakit kerana muntah dan sakit senggugut mula bersatu.

“Di KL, dia tidur di rumah kawan.”

“Tak balik?” Aku menanyakan sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

“Taklah. Kenapa?” Erk, macam mana ni? Takkan nak pinjam tuala wanita daripada Mak Jah? Melihat daripada usianya, pasti dia sudah menopaus. Aku tidak ada pilihan lain, mesti juga ke kedai malam ini untuk mendapatkan tuala wanita. Tapi, kedai mana yang buka? Aku tidak pernah keluar bersendirian dari kawasan ini pada waktu malam.

Wajah Naim yang disinari lampu jalan di tepi rumahnya aku pandang. Dia juga sedang memandang aku dengan penuh kehairanan.

“Naim, boleh tolong temankan saya pergi kedai?

SEPERTI YANG dijanjikan, selepas mandi dan bersolat maghrib, dia muncul di depan pintu. Aku serahkan kunci keretaku kepadanya. Kedai pertama yang kami lewati telah pun ditutup. Aku tahu kedai ini, tidak jauh dari rumah Mak Jah. Di sinilah aku membeli roti, biskut, mi segera dan Milo 3 dalam 1. Kami menuju ke kedai kedua yang lebih jauh jaraknya. Tekak terasa mual lagi.

“Stop! Stop!”

Naim memberhentikan kereta secara mengejut. Dia memandang aku dengan penuh kehairanan. Belum sempat dia membuka mulut, aku keluar. Bersedia untuk memuntahkan isi perut, namun kali ini yang keluar hanya angin. Naim hanya memandang daripada dalam kereta, dengan pandangan penuh tanda tanya.

“Awak sakit ke?” Naim bertanya sebaik aku masuk ke dalam kereta. Aku sekadar menggeleng. Tiada mood untuk bercerita apa-apa. Lagipun takkanlah aku hendak menceritakan tentang masalah haidku kepadanya. Sebentar kemudian kami tiba di kedai kedua. Aku segera berlari ke dalam kedai, mencapai sebungkus tuala wanita dan sepapan Panadol. Setelah membayar, kedua-dua barang tersebut aku simpan dalam beg.

“Beli apa?” Soal Naim kehairanan kerana melihat aku tidak memegang apa-apa barang ketika keluar dari kedai.

“Adalah,” jawabku ringkas.

Badan terasa sangat sakit kerana asyik muntah. Senggugut pula mengganggu kedamaian di sekitar ari-ari dan pinggangku. Akibatnya aku pejamkan mata. Dahi berkerut menahan sakit. Gerimis sudah bertukar menjadi hujan lebat ketika kami sampai di rumah. Keretaku diparkir di sebelah rumah inap, di tempat yang dikhaskan untuk kenderaan penyewa.

“Nanti, saya bawakan payung.” Payung dibuka dan disuakan kepadaku. Dia pula membiarkan badannya basah disirami hujan gerimis.

“Terima kasih,” aku ucapkan dan mengangkat muka ke arahnya sebaik sahaja sampai di depan pintu. Aku tutup payung dan serahkan kepadanya. Matanya merenung tajam ke dalam mataku, menghasilkan debaran yang kuat di dadaku. Sudahlah kepala sakit, tekak mual dan sakit perut, dada pula bergetar kencang. Boleh sakit jantung aku begini.

“Bagi nombor telefon,” pinta Naim sambil sebelah tangan menyelok saku lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Aku sebut nombor telefonku satu per satu dan jarinya segera menekan nombor-nombor itu.

“Saya dah miss call awak. Kalau perlukan apa-apa, call saya. Tidurlah, awak perlukan rehat. Jangan lupa solat sebelum tidur.”

Dia berlalu pergi. Meninggalkan aku di depan pintu dengan dada yang berdetak hebat, diiringi satu perasaan aneh yang menyelinap di pangkal hati, membuatkan aku lupa sakit kepala dan senggugut yang melanda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55970/saat-kau-lafazkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *