[SNEAK PEEK] RINDU AWAK SEPARUH NYAWA

Rindu Awak Separuh Nyawa oleh Siti Rosmizah

“KASIH MAISARA!!!”

Bergema rumah banglo itu dengan suara jeritan. Seorang gadis yang baru hendak membuka pintu rumah terhenti.

Pantas dia berpaling dengan wajah merah padam, gara-gara terkejut diherdik begitu sekali. Bulat matanya menentang sepasang mata yang tidak berkelip memandangnya.

“Apa yang Kasih dah buat?”

“Sara pa… Maisara!” pintasnya.

“Tak kisahlah Kasih ke, Maisara ke, papa sedang bercakap dengan orang yang sama!” bentak lelaki separuh umur itu.

“Beza pa…” Bergetar suaranya.

Belum sempat papanya bersuara Maisara memintas dulu, “Kasih dah pergi bersama arwah mama. Yang ada depan papa sekarang, hanya Maisara. Papa dah bunuh Kasih macam mana papa bunuh mama!”

Maisara menekankan suara bersama api kebencian yang jelas di mata.

Berubah wajah Dato’ Raqib. Nafasnya ditarik dalam-dalam bagi menenangkan diri.

“Macam mana lagi papa nak terangkan pada Sara. Papa dah cuba sehabis daya untuk ubat arwah mama. Tapi mama yang tak nak. Mama tak nak buat rawatan susulan untuk penyakitnya. Dah puas papa pujuk. Sara sendiri pun dah pujuk mama, kan? Dan Sara tahu keputusan mama tetap sama.

Papa sayangkan mama, Sara. Terlalu sayangkan mama. 34 tahun kami hidup bersama. Bukan senang untuk papa teruskan hidup ini tanpa mama.

Tapi kita orang Islam, kita harus akur pada qada dan qadar Allah. Segalanya telah pun ditetapkan. Kita harus redha Sara.” Sayu nada Dato’ Raqib meluahkan rasa. Bergenang air jernih di pelupuk matanya.

Maisara mencebik. Kata-kata papa tidak langsung menyentuh hatinya.

“Sayang? Sayang apa kalau papa lebihkan kerja daripada nak ubatkan mama. Siang malam papa hanya fikir kerja aje. Sekarang, puaslah hati papa! Papa tak nak balik rumah pun tak apa, hadap ajelah kerja tu,” sindir Maisara selamba lalu melangkah keluar.

“Sara jangan biadab dengan papa!” Tinggi suara Dato’ Raqib.

Maisara terus membuka pintu tanpa mempedulikan papanya.

“Nanti! Papa masih ada perkara yang belum selesai dengan Sara,” tegasnya.

Maisara terhenti, wajah papanya tidak dipandang. Giginya diketap tanda geram.

“Kenapa Sara pandai-pandai pulangkan cincin tanda pada Auntie Khaty? Sara tahu tak, minggu depan Sara bertunang? Kerja mengarut apa yang Sara dah buat ni?” marah Dato’ Raqib.

“Mengarut apanya pa?” Maisara menoleh pada papanya dengan muka bosan.

“Papa sendiri cakap tadi, kita ni orang Islam kena percaya pada qada dan qadar Allah. Dah tak ada jodoh, kenalah terima. Yang papa nak marah sangat ni kenapa?” Mudah jawapannya.

Dato’ Raqib menggeleng.

“Papa boleh terima kalau jodoh Sara bukan dengan Aidil. Tapi mesti ada sebabnya. Auntie Khaty kata Sara datang rumah dia, bagi cincin lepas tu bagitau korang berdua dah tak ada jodoh. Lepas tu Sara pergi macam tu saja!” marah Dato’ Raqib lagi.

“Habis tu… takkan nak tidur pulak dalam rumah tu. Dah pulangkan cincin, baliklah,” gumam Maisara selamba.

Naik angin Dato’ Raqib mendengar. Anaknya dipandang tak berkelip.

“Kalau ya pun nak putus, kenapa tak bincang dengan papa dulu? Kenapa pandai-pandai uruskan sendiri? Keluarga Aidil datang meminang Sara secara beradat. Dan kalau kita nak putus sekalipun kena juga dengan adat. Bukan boleh main redah aje.

Lagipun tak ada siapa yang paksa Sara untuk terima Aidil. Sara yang beria-ia nak bertunang dengan dia. Padahal bukan papa tak nasihat suruh habiskan belajar dulu. Tapi Sara degil. Sara tak nak dengar cakap papa!” marah betul Dato’ Raqib.

Maisara membuat muka bosan. Papanya dijeling.

“Tak payahlah papa nak besarkan hal ni. Bukan dah bertunang pun, baru hantar tanda. Alah… orang kahwin pun boleh bercerai, inikan sekadar merisik. Tak payahlah nak mengamuk macam dunia nak kiamat.” Kasar bahasanya.

“Kalau Sara dah tak sayangkan papa pun, kesiankanlah papa, Sara. Papa dah cuba buat yang terbaik untuk Sara. Segala kehendak Sara papa ikut. Papa sanggup buat apa saja asalkan anak papa bahagia. Tapi ini ke balasan Sara?

Kenapa Sara sampai tak tahu nak jaga air muka papa? Sara tahu kan bapa Aidil, Uncle Halim tu kawan baik papa. Apa yang papa nak jelaskan pada dia? Sara tau tak, Auntie Khaty masuk hospital kena serangan jantung.

Sara bukan tak tahu dia ada sakit jantung tapi Sara tergamak buat macam tu! Kenapa Sara malukan papa sampai macam ni sekali?” tempik Dato’ Raqib.

Dum!!! Pintu rumah dihempas dengan kuat.

Dato’ Raqib terus memegang dada. Menyabarkan hati dengan perangai biadab anak tunggalnya.

“Sara! Sara! Motor tu…”

Maisara tersentak dari lamunan. Terus dia menekan brek kereta. Sekali gus insiden pergaduhan dengan papanya hilang sekelip mata.

Bam!!! Motor EX5 terbalik depan keretanya.

Pucat muka Qistina memandang Maisara di sebelah.

“Habislah, mesti jadi kes polis ni.” Qistina menggelabah.

Maisara buat muka relaks saja.

“Helo…” Qistina mengetip jari. “Perempuan… kau dah kena rasuk hantu gondrong ke?” bebelnya.

Maisara mengerut dahi. Pelik dengan soalan kawannya.

“Aku yang kena rasuk ke kau? Yang kau ni macam orang pecah air ketuban ni kenapa?” Maisara menyoal, geram!

“Hei Sara, kau ni biar betul. Yang kau langgar tu bukan tunggul kayu tau, tapi manusia. Agakagaklah kalau nak buat muka teratai layu di Tasik Madu pun. Entah hidup, entahkan mati mamat tu? Kau boleh relaks aje duduk dalam kereta ni,” tegur Qistina dengan muka bengang.

“Aku ni tak boleh tengok darah nanti pitam. Tak pasal-pasal pengsan pulak. Siapa nak angkat aku? Kau?” Selamba Maisara menjawab tanpa rasa bersalah.

Meluat pula Qistina mendengarnya. Alasan tak masuk akal! Dengan muka cuak dia membuka pintu kereta.

Kelihatan seorang pemuda dengan muka menyeringai menahan sakit bangun perlahan-lahan sambil mengangkat motornya.

“Encik tak ada apa-apa ke?” Takut-takut Qistina bertanya.

Tajam mata pemuda itu memandangnya. Makin tak tentu arah Qistina. Berkepuk dalam hatinya mengata Maisara.

Belalang kunyit betullah Sara ni! Dia boleh tak keluar dari kereta. Tak pasal-pasal aku yang kena hempuk dengan mamat ni kang!

“Kereta ni stereng sebelah kanan ke kiri?”

“Err…” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Qistina.

Tapi dalam masa yang sama, dia menarik nafas lega. Mamat ini dah kenal pasti siapa pelaku utamanya hingga menyebabkan dia mencium jalan tar dengan begitu tragis.

Melihat muka pemuda yang semakin keruh itu, Qistina segera berkalih ke arah kereta. Berubah muka dia.

“Hei perempuan ni, memang aku bagi makan kapur barus kang. Suka hati dia aje tutup pintu. Buatnya mengamuk mamat ni, mati sia-sia aje aku,” rungutnya perlahan takut didengar pemuda itu.

Dalam masa yang sama tangannya mengetuk tanpa henti cermin kereta.

“Sabarlah, nanti pecah pulak cermin kereta aku,” tegur Maisara lalu menurunkan cermin.

“Ooo… cermin kereta kau pecah kau risau… kepala aku pecah kau tak kisah. Dah keluar! Pegi settle dengan mamat tu. Berkhayal lagi bawak kereta, inilah padahnya.”

Angin betul Qistina sampai kembang kempis hidungnya, marah! “Kan aku cakap, aku tak boleh tengok darah.” Maisara masih dengan alasan poyonya.

“Tak adanya darah. Lebih baik kau keluar sebelum aku yang naik darah!” arah Qistina dengan jari lurus menelunjuk pada kawannya.

Melihat Qistina yang sudah panas semacam. Maisara akhirnya mengalah. Dia keluar dari kereta tapi tidak pula dia mendapatkan pemuda berbaju t-shirt lengan panjang hijau itu.

Dengan muka lagak, dia menyandarkan badan di tepi pintu keretanya Volkswagen Golf GTI 2.01 sambil memeluk tubuh.

“Assalamualaikum… boleh bagi kad pelajar?” Serius suara pemuda itu.

“Waalaikumussalam… boleh, boleh…” Qistina yang menjawab.

Dalam masa yang sama, Qistina sudah terkocoh- kocoh mengeluarkan kad pelajar dari poket seluar sleknya.

Pantas dia menyerahkan kad pelajar pada pemuda itu. Maisara pula memandang pemuda itu atas bawah dengan muka yang masam.

Hmm… kulit hitam manis. Rambut… ada ke disisirnya semua dekat belakang. Baju t-shirt pulak butang sampai habis. Skemanya mamat ni. Hei, not my taste! Sempat lagi dia mengutuk dalam hati.

“Bukan awak? Dia…” Pemuda itu menunjuk ke arah Maisara.

Qistina dengan muka malu alah menyengih macam kerang rebus tak laku. Maisara terus membentak, “Apa hal nak bagi kad pelajar dekat kau?”

“Saya nak ambik nombor pelajar awak, saya nak buat aduan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Awak tahu kan, ini kawasan kampus, tak boleh bawak kenderaan dengan laju. Nasib baik tadi saya sempat elak kalau tak dah patah riuk tulang saya.” Geram nadanya.

Tapi kata-kata pemuda itu tidak menggentarkannya. Dia mencebik bibir. Pemuda itu dijeling, benci!

“Hai, senangnya orang sekarang nak cari duit. Buat-buat jatuh, lepas tu berani pulak nak ugut. Cuba nasib, kan? Manalah tahu dapat seratus dua. Lepas duit makan seminggu.

Dia yang bawak motor buruk, tak boleh nak kawal. Kita pulak nak disalahkan,” kutuk Maisara dalam nada sinis.

Makin cuak Qistina jadinya. Lebih-lebih lagi bila terperasan muka pemuda itu yang sudah merah padam. Segera dia mendapatkan kawannya yang kepala batu itu.

“Sara, settle ajelah. Apasal kau nak cari gaduh pulak ni?”

“Settle apanya? Kau tak nampak motor buruk dia tu? Jangankan kereta aku ni lalu, angin tiup pun motor buruk dia tu boleh melayang,” kutuknya lagi.

Kelat muka pemuda itu. Wajah Maisara ditenung dalam. Makin kecik matanya memandang perempuan kekwat itu.

Qistina menyiku lengan Maisara.

“Mulut kau ni laserlah.”

“Apa pulak, aku cakap yang betul. Orang macam kau, mungkin boleh termakan tengok muka naif dia. Tapi dengan aku, sorrylah… tak jalan lakonan dia.” Maisara mencebik.

“Cik…” Pemuda itu bersuara.

Walaupun wajahnya nampak keruh namun masih terkawal nadanya.

“Kita ni orang Melayu, tinggi dengan adab sopannya. Lebih-lebih lagi orang perempuan. Tutur kata, bahasa, sewajarnya dijaga. Bukannya bercakap main ikut suka hati. Bahasa tu menggambarkan peribadi kita.”

Mengalahkan mata katak, macam nak terjojol biji mata Maisara memandang pemuda di depannya.

“Kau ingat kau tu dah baik sangat? Apa, orang perempuan aje kena cakap baik-baik? Orang lelaki boleh cakap biadab, tak payah jaga adab sopan?” Bertalu-talu Maisara melontarkan soalan dalam nada yang cukup keras.

Qistina mengerling Maisara, pelik melihat kawannya yang berangin semacam. Entah apalah masalah dia.

Pemuda itu menyorong motornya dengan langkah terhincut-hincut. Gayanya seperti malas hendak melayan perempuan perasan diva itu.

“Kan betul aku cakap, dia nak cuba nasib aje nak pau kita. Tak ada apa pun luka dekat badan dia.”

“Itu, tepi bibir dia kan luka,” sampuk Qistina.

“Alah… sikit aje. Saja nak buat kecoh, lepas tu nak bagi ceramah percuma pulak. Hish! Menyakitkan hati!” rengus Maisara lalu membuka pintu kereta.

Belum sempat dia masuk ke dalam kereta, pemuda itu bersuara tiba-tiba.

“Lutut saya ni luka. Tapi tak adalah teruk mana, mungkin kena jahit sikit aje. Tapi tak apa, saya maafkan kelalaian awak. Saya anggap saja awak rabun. Sebab tu awak tak nampak motor saya masa masuk simpang tadi. Sampaikan luka dekat lutut saya ni pun awak boleh tak nampak.

Segala kos rawatan saya akan tanggung sendiri. Saya tak akan tuntut daripada awak. Saya halalkan bahagian awak tu. Cuma kalau boleh, saya nak cakap sikit. Dalam Islam, agama kita dah ada garis panduannya. Jadi tak payahlah terikut sangat nak jadi orang putih. Tak ada hebat mana pun,” tutur pemuda itu tenang.

“Apa masalah kau ni? Dari tadi membebel aje! Kau ingat aku ni jahil sangat ke? Kalau kau dah teringin nak jadi penceramah. Kau pegi dekat tengah padang sana tu, kau pegi berceramah dengan orang lain! Aku nak tengok, ada tak orang nak dengar ceramah kau tu!”

Marah sungguh Maisara. Nafasnya turun naik dengan laju. Mencerlung matanya memandang pemuda berbaju hijau itu.

Dan yang makin menyakitkan hatinya bila pemuda ala-ala pak ustaz itu tidak pula menjawab. Dengan muka selamba dia menolak motorsikalnya berlalu dari situ.

“Aku tahu, kau nak cakap aku perasan nak jadi orang putih kan sebab aku perangkan rambut? So what? Suka hati akulah! Nak perang ke? Nak biru ke? Nak hijau ke? Ada aku mintak duit kau? Sibuk hal orang!” tempik Maisara dengan suara yang tinggi.

Pemuda itu berpaling. Boleh pula dia melempar senyuman pada perempuan yang sudah naik hantu itu.

Manis pula Qistina tengok senyuman pemuda itu. Dia pula yang malu-malu alah jadinya.

“Maaflah kalau cik terasa dengan teguran saya tadi. Tapi saya tak adalah pulak maksudkan itu. Yang saya maksudkan cara pertuturan. Tak perlulah ikut cara budaya lain yang terlalu vokal sampai tak kena tempat, hanya atas istilah freedom of speech.

Saya ikhlas sebagai saudara seagama, untuk ingat mengingati. Tapi kalau cik tak boleh terima. Saya tak boleh paksa.” Pemuda itu terus menyorong motosikalnya dan bergerak dari situ.

Tajam mata Maisara memandangnya. Baru dia hendak membuka mulut. Pemuda itu menoleh.

“Oh ya. Kebetulan cik cakap pasal rambut. Saya tak ada hak nak campur. Kalau cik rasa lawa dengan rambut perang macam bulu singa tu, itu hak cik, siapa saya nak tegur. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu dia terus berlalu.

Kalau tak fikir yang bercakap itu lelaki memang dia serang cukup-cukup. Dia akan tampar-tampar mulut biadab tu! Dia akan sagat mulut celopar tu dekat jalan raya! Lantaklah kalau kena buang kolej sekalipun! Tak guna!

Bum!!! Pintu kereta jadi mangsanya.

“Waalaikumussalam…” Perlahan Qistina menjawab salam itu sambil matanya masih memandang si hitam manis walaupun sudah hilang dari pandangan.

Dark, tall and handsome. Itulah lelaki idamannya.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271640/Rindu-Awak-Separuh-Nyawa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *