[SNEAK PEEK] RAHSIA DIARI MERAH

Rahsia Diari Merah oleh Iman Fadia

 

ADAM menunggu penuh sabar di sebuah restoran di Suria KLCC. Tadi dia sempat tanya ibunya di mana ibunya dan Hawa akan beriadah pada hari minggu itu. Dia sengaja pilih restoran di situ supaya dalam masa yang sama dia boleh perhatikan ibunya dan Hawa. Dari tadi dia mengekori mereka senyap-senyap. Jarum jam dilihat sekilas. Hampir lima belas minit dia menunggu Yahya.

“Ben pun belum datang lagi ni.” Adam panjangkan lehernya menjenguk ke arah pintu masuk restoran. Dia ajak lelaki itu sekali.

Adam senyum. Yahya sudah berjalan menuju ke arahnya. Mereka bersalaman seketika sebelum melabuhkan punggung di situ. Minuman dan makanan mula dipesan.

“Maafkan pak cik… Dah lama Adam tunggu?” Yahya senyum. Dia betulkan kerusi yang didudukinya.

“Tak adalah lama sangat. Errr… Alin tinggal dengan siapa?” Adam pula ramah bertanya.

“Pak cik minta tolong jiran sebelah temankan Alin di rumah. Mereka tu sama-sama ambil SPM tahun ni.” Yahya melakar senyuman.

“Oh… macam tu. Emmm… Ada apa pak cik nak jumpa saya ni?” Adam terus saja ke topik perbincangan.

“Ni hah… Pak cik jumpa satu gugus kunci dalam laci bilik arwah Melati dulu. Pak cik rasa mungkin kunci ni boleh digunakan.” Yahya hulur kunci yang dimasukkan dalam beg plastik kepada Adam.

Adam senyum. Memang betul tekaannya. Mungkin Yahya ingin serahkan kunci walaupun dia sendiri masih tidak tahu kunci apa sebenarnya. Dia belek seketika kunci itu. Ada beberapa kunci yang bentuknya lebih kurang sama dengan tempat kunci kotak besi itu.

“Saya simpan kunci ni.”

Mereka berdua mula berbual bersama daripada satu topik ke satu topik. Tidak sedar makanan yang dipesan sudah sampai ke meja.

“Adam!”

Adam mendongak. Benjamin berlari anak ke arahnya.

“Ben ada sekali?” Yahya pandang pula ke arah Benjamin yang kini sudah menjadi tunang Hawa.

“Apa khabar, pak su?” Benjamin bersalam dan mencium tangan orang tua itu.

Adam hanya memerhati tingkah Benjamin. Memang Benjamin sudah banyak berubah.

“Ada hal apa Adam, pak su?” Benjamin pula bertanya. Dia sandar di kerusi, melepaskan lelah berlari tadi.

“Ben, aku dah dapat klu baru. Kunci ni mungkin boleh digunakan untuk buka kotak besi yang aku jumpa di banglo putih tu.” Adam mula berterus terang.

“Kotak?” Serentak Yahya dan Benjamin bertanya.

“Ya, mengikut catatan pada diari merah tu, ada satu tanda X berwarna merah di bilik arwah Melinda, kakak Melissa. Saya pergi cari dan bawah tanda tu, memang ada kotak tanpa kunci. Mungkin salah satu kunci ni sepadan dengan kunci pada kotak itu,” jelas Adam.

Benjamin diam. Dia mula merasa cemburu pada Adam yang beria-ia menyiasat semua itu sedangkan dia yang sepatutnya melakukan semua itu memandangkan Hawa kini sudah menjadi tunangnya.

“Jadi, kat mana kotak tu?” Benjamin mula bertanya.

“Ada dalam simpanan aku. Kalau kita tahu apa isi dalam tu, mungkin kes ni boleh diselesaikan dengan cepat. Semalam, Razak ada hubungi aku, JD terpaksa dibebaskan kerana tiada bukti kukuh dia terlibat dalam kes ini dan juga kes pecah rumah aku dulu.” Adam sedikit mengeluh.

“JD?” Yahya pula terpinga-pinga.

“Errr… JD tu orang yang kejar Melissa dulu pak su. Dia yang arahkan orang kejar Melissa dan curi diari merah daripada Melissa tapi sayang, tak ada bukti kukuh. Terpaksalah dibebaskan.” Benjamin pula mencelah.

Yahya mengangguk-angguk.

“Pak cik kesian sebenarnya dengan Lissa tu. Dia jadi pelarian sampai macam tu sekali. Memang orang yang kejar dia tu tak berhati perut langsung!”

Adam diam. Memang tidak berhati perut. Mengejar seorang gadis yang tidak berdaya dan lebih sadis, ingin membunuh Hawa, waris terakhir Datuk Yusof. Kalau dia dapat tahu siapa dalang semua itu, tahulah nasib orang itu nanti.

“Maaf, pak su. Saya tak tahu selama ini Melissa adalah anak Datuk Yusof. Saya tak pernah tanya dia dulu masa di US. Hidup kami hanya berseronok dan belajar saja ketika itu. Rupa-rupanya baru saya tahu, arwah Datuk Yusof berkawan baik dengan papa.” Benjamin mula merasa bersalah pada Hawa.

Adam diam sahaja.

Tengah hari itu mereka bertiga berbual dan bersembang mesra sebelum beredar dari situ. Benjamin pula mempelawa Yahya bermalam di rumahnya. Adam hanya senyum. Yalah, pak su yang bertanggungjawab pada Hawa sekarang ini dan sudah tentu lelaki itu juga akan menjadi wali pernikahan Benjamin dan Hawa nanti.

SEKALI lagi Adam berjumpa dengan Encik Yahya untuk pulangkan semula kunci yang diambil semalam. Setelah berbincang serba sedikit, Adam menghantar Encik Yahya ke lapangan terbang. Benjamin sudah menempah tiket untuk Encik Yahya dan Benjamin sempat berpesan supaya menghantar pak su Hawa ke KLIA kerana dia terpaksa mengikuti mesyuarat penting.

“Adam, terima kasih.” Yahya bersalam dengan Adam.

“Sama-sama.” Adam senyum.

“Pak su!”

Adam berpaling. Hawa sudah berlari ke arah mereka. Dia berkerut kening. Matanya dialih pada Yahya.

“Pak cik yang beritahu dia.” Yahya senyum.

Hawa menghampiri pak sunya dan Adam. Tergamam dia melihat Adam turut berada di situ.

“Pak su… Ni untuk Alin.”

Hawa hulur sebuah kotak kepada Yahya. Adam di sebelah hanya dipandang sekilas. Mungkin Adam sudah tahu apa yang terjadi semasa di KLCC dulu. Sudah tentu lelaki itu melihat gambar dalam telefon bimbit itu.

“Lissa… Jaga diri baik-baik, ya? Datuk Malik tu baik. Dia yang jaga syarikat arwah papa tu,” pesan Yahya kepada Hawa sebelum dia melangkah masuk ke balai menunggu.

“Ya, pak su. Kirim salam pada Alin, ya?” Hawa mencium tangan pak su.

Yahya mula melangkah ke balai menunggu.

Adam mengalih pandang pada Hawa.

“Kotak besi tu… Saya dah dapat dari bawah lantai marmar.”

“Kotak? Maksud awak… bawah tanda X tu ada kotak?” Hawa terkejut.

“Ya, kotak tu ada di rumah ibu saya tetapi tidak boleh dibuka.”

“Maksud awak, kotak tu berkunci?” Hawa menelan liur.

Adam mengangguk.

“Saya rasa saya ada kunci… Tapi saya tak tahu kunci apa. Kunci itu ada dalam dokumen yang paksu beri kepada saya dulu.” Hawa pula berterus terang.

“Kalau macam tu, boleh saya pinjam kunci tu?” Adam senyum. Hawa dilihat sudah mengangguk.

“Saya nak juga tahu apa isi kandungan kotak tu.”

“Hmmm… Kalau macam tu, jomlah. Awak naik kereta saya. Kita ke apartmen awak… Errr … Maksud saya, saya tunggu awak di bawah.” Adam sudah teruja.

“Baiklah.”

Mereka berdua mula menaiki kereta bersama menuju ke Apartmen Anggerik.

ADAM menunggu penuh sabar di kawasan Apartmen Anggerik. Dia pandang jam. Sudah sepuluh minit dia menunggu Hawa di dalam kereta saja.

Adam berpaling. Ketukan di cermin keretanya menyedarkannya dari lamunan tadi. Kelihatan Hawa sudah tersenyum di situ. Perlahan Adam menapak keluar dari perut kereta.

“Ada tak?”

“Ni… Tak tahulah kalau kunci boleh pakai ke tak. Cubalah dulu.” Satu kunci dihulur kepada Adam.

“Hmmm… Nanti saya cuba. Errr… Awak nak tengok juga kan kotak tu?” Adam pandang Hawa yang masih tersenyum di sebelahnya. Terasa laju jantung berdegup.

“Ya, bila awak nak buka?”

“Malam nanti awak datang dengan Ben, saya tunggu di Restoran Rebung di Bangsar.” Adam beri cadangan.

Hawa diam. Dia tidak menjawab apa-apa.

“Maaf… Saya terpaksa ajak Ben sekali sebab dia tunang awak dan saya tak nak dia salah faham nanti.” Adam mula jelaskan situasi itu pada Hawa.

Hawa mengangguk.

Adam mula masuk ke dalam kereta. Malam nanti mereka bertiga akan bertemu di Bangsar.

ADAM bersiap untuk ke Restoran Rebung di Bangsar. Usai solat maghrib tadi, dia terus saja capai kunci kereta dan menapak keluar dari biliknya. Langkahnya diatur ke ruang tamu. Kotak besi itu diletakkan di atas meja sofa. Dia jenguk ke dapur, ibu sibuk mengemas ruang dapur setelah selesai solat maghrib tadi. Perlahan Adam mendekati ibunya yang leka mencuci pinggan.

“Ibu…”

Rohana berpaling. Dia melemparkan senyuman manis.

“Nak ke mana ni?”

“Saya nak keluar sekejap. Ibu nak kirim apa-apa tak?” Adam senyum. Dia menolong mengelap pinggan yang sudah dicuci.

“Tak ada…” balas Rohana.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu.” Adam bergegas ke kereta.

Adam memandu ke arah Bangsar.

“Sangkut la pula.” Adam jenguk ke depan. Kereta hanya bergerak 20km sejam. Entah apa yang berlaku di hadapan jalan itu. Banyak kali Adam melihat jarum jam. Lapan setengah malam. Jam sembilan nanti dia perlu sampai di restoran itu.

Adam pandang telefon bimbitnya. Ada mesej. Mesej itu dibaca sebentar. Dia senyum. Hawa dan Benajmin juga tersangkut dalam kesesakan jalan raya, mereka akan tiba lewat di restoran itu.

“Hmmm… Ingatkan aku aje yang tersadai kat sini.” Adam sedikit lega. Dia tidak suka hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Keadaan sesak tadi sudah mula beransur lancar. Adam membelok ke simpang masuk ke arah bangunan di Bangsar. Tiba-tiba terasa keretanya dilanggar seseorang. Dia pandang melalui cermin pandang belakang. Sebuah kereta berwarna putih sudah rapat dari belakang. Sekali lagi belakang keretanya dilanggar.

“Gila! Ni mesti road bully!” Adam mengetap bibir. Dia tidak hiraukan kereta itu tadi, dia teruskan memandu menuju ke arah restoran itu yang sudah tidak jauh dari situ.

Adam brek mengejut. Kereta putih tadi sudah memotong keretanya. Dia pandang kiri kanan. Jalan agak lengang dengan lampu jalan tidak bernyala di situ. Agak gelap suasana ketika itu. Dua orang lelaki sudah keluar dari perut kereta dan menghampiri keretanya.

“Samseng mana pula ni?” Adam masih berada di dalam kereta. Dia cuba mengundur tetapi keretanya sudah dihalang oleh sebuah kereta lagi di belakangnya.

“Keluar!”

Cermin kereta Adam diketuk kuat. Adam masih diam di dalam kereta. Kedua-dua lelaki itu sudah mengambil sebatang besi, bersedia untuk mengetuk cermin keretanya. Adam cepat-cepat keluar.

“Kau orang nak apa?” Adam pandang seorang demi seorang.

“Geledah kereta dia!” arah salah seorang lelaki itu yang memakai jaket kulit hitam. Adam dikilas tangannya ke belakang dan ditolak ke arah kereta sehingga tersandar Adam dengan pipinya melekat di bonet kereta.

“Tak ada, bos!”

“Tak ada?” Lelaki itu berkerut kening.

“Mana kotak tu?”

Adam menelan liur. Mana dia orang tahu pasal kotak tu?

“Aku tanya, mana kotak tu?” Lelaki itu tadi mula tonyoh muka Adam dengan batang besi tadi.

Adam masih diam. Dia cuba ingatkan semula semasa dia keluar dari biliknya tadi, dia terus ke dapur dan kemudian menaiki kereta. Baru dia teringat, kotak itu diletakkan atas meja sofa di ruang tamu. Mungkin dia terlupa mengambilnya.

“Mana aku tahu! Kotak apa kau orang cakap ni?” Adam tidak mahu mengalah.

“Dengar sini! Aku tahu kau ada simpan kotak tu. Aku nak kotak tu. Kalau tak, awek kau akan jadi mangsa!” Lelaki itu terus menumbuk muka Adam. Mereka terus beredar dari situ.

Adam yang jatuh tersungkur di tepi keretanya sudah berdarah mulutnya. Pipinya pula sudah pedih akibat ditonyoh batang besi tadi. Dia raba pipinya sendiri.

“Gila!”

Darah mula menitis kesan daripada ditonyoh dengan batang besi tadi.

Adam masuk semula ke dalam kereta. Dia mula mencari kotak besi itu. Memang tak ada.

“Hmmm… Jadi aku memang tertinggal kat rumah. Aku mesti balik cepat. Mana tahu mereka serbu rumah mak ayah aku pula.”

Adam segera menghubungi Benjamin. Dia terpaksa batalkan perjumpaan itu. Dia harus segera pulang ke rumah. Keretanya dipandu laju meninggalkan kawasan itu menuju ke rumahnya semula.

SAMPAI di rumah, Adam meluru ke ruang tamu. Matanya tertancap pada kotak besi di atas meja sofa. Dia bergegas pula mencari kedua-dua orang tuanya. Lega melihat ibu sedang membaca al-Quran di dalam bilik. Ayah pula sedang membaca di dalam bilik bacaan.

Dia menarik nafas lega. Sekali lagi Adam turun ke ruang tamu. Kotak besi itu masih ada di situ. Dia segera ambil kotak itu dan menapak ke bilik. Kotak itu diletakkan atas meja. Dia seluk poket seluar untuk mengambil kunci.

“Mana pula kunci ni?”

Adam seluk lagi poket seluarnya.

Dia bergegas ke kereta semula. Habis diselongkar keretanya mencari kunci di situ. Juga tidak ada. Sekali lagi dia memeriksa. Hampa. Adam menapak semula ke dalam rumah. Kali ini dia cuba mencari di sekitar sofa pula. Juga tidak ada di situ.

“Haih… Mesti Hawa marahkan aku nanti.”

Adam meraup muka.

Dia cuba mengingati kejadian tadi. Mungkin kunci itu sudah jatuh di tempat keretanya dihalang tadi. Sekali lagi Adam meraup muka. Dia sudah buntu sekarang ini.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266188/Rahsia-Diari-Merah