[SNEAK PEEK] PUAKA KAFE HIPSTER

Puaka Kafe Hipster Oleh CikPuan Fifi, Mira Ishak, Sabrina Ismail

 

Aziz mengelap satu per satu meja dengan pantas. Dia mempunyai masa berbaki 15 minit sahaja lagi sebelum kafe beroperasi. Hanya dia seorang sahaja yang bekerja hari ini kerana Fuad mengambil cuti kerana ada urusan keluarga. Maknanya dia perlu bekerja lebih pantas dan cekap daripada biasa.

Setelah selesai mengelap kesemua meja, Aziz duduk bagi melepaskan lelahnya buat seketika. Meskipun sedikit penat, Aziz tetap bersemangat dan puas hati dengan dirinya yang mampu melakukan kerja seorang diri. Kebiasaannya, dia akan bergandingan dengan Fuad dan mereka pun sudah membahagikan kawasan kerja kepada dua agar dapat selesaikan tugas lebih pantas.

“Okey, yang akhir sekali adalah ruangan pamer.”

Cukup masa berehat, Aziz kembali menyambung kerjanya, berjalan menuju ke ruangan pamer. Namun, langkahnya mati serta-merta apabila terlihat seorang wanita sedang berdiri betul-betul di hadapan mesin taip antik di ruangan pamer tersebut. Aziz berasa hairan dengan kehadiran wanita itu. Tiada sesiapa di ruang tengah kafe ini sebentar tadi melainkan dirinya seorang sahaja.

“Bila masa perempuan ni masuk? Tak dengar bunyi loceng pun,” bicaranya sendiri lalu memandang sekilas ke arah pintu utama kafe. Loceng yang ada di pintu itu pasti akan berbunyi setiap kali pintu dibuka. Tetapi, dia tidak mendengar apa-apa pun tadi.

Aziz menghela nafas pendek dan melepaskannya dengan tenang. Dia membuka langkah mendekati wanita itu. “Maaf, puan. Kafe ni masih tutup. Sebentar lagi kami buka. Kalau tak keberatan, boleh puan keluar dulu sebab kami tengah nak siap-siap ni,” tegur Aziz dengan penuh tertib.

Wanita itu tidak menyahut apatah lagi menoleh memandang Aziz. Dia masih kaku berdiri merenung mesin taip di hadapannya itu. Aziz jadi serba salah. Tetapi kalau dibiarkan sahaja khuatir pula dia akan dimarahi oleh Hakim nanti.

“Saya minta maaf, puan. Kafe kami belum buka lagi ni.” Sekali lagi Aziz cuba menegur dan kali ini nadanya dikeraskan sedikit.

Masih tiada reaksi. Hati Aziz mula berasa tidak tenang kerana wanita itu seolah-olah menganggapnya tidak wujud. Saat itu juga, mesin taip kepunyaan datuk majikannya itu tiba-tiba berbunyi sendiri membuatkan Aziz tersentak dan perhatiannya teralih kepada mesin taip itu. Matanya tertancap pada setiap aksara yang bagaikan diketik angin pada kertas yang sememangnya sudah sedia ada pada mesin taip itu.

Aziz berdebar-debar dan kedengaran nafasnya bercelaru. Dia cuba mengawal rasa takut yang mula menguasai dirinya tetapi gagal. Dari ekor mata, Aziz menyedari wanita yang ditegurnya tadi masih lagi berdiri di sebelahnya. Maknanya, bukan dia seorang sahaja yang menyaksikan kejadian misteri itu, malah wanita tersebut juga sedang menyaksikan perkara yang sama. Mungkin wanita itu tahu sesuatu, fikirnya lalu menoleh kepada wanita itu untuk bertanya.

“Arghh!” Aziz menjerit sekuat hati. Dia berundur beberapa langkah ke belakang dan hampir-hampir melanggar meja yang ada di situ. Wanita yang disangkanya masih merenung mesin taip itu rupanya sedang memandangnya dengan mata yang terbeliak besar!

“Ke… napa pu… an pandang saya ma… cam tu?” Terketar-ketar Aziz bertanya. Gaya wanita itu merenungnya begitu menakutkan. Dia tidak pernah melihat mata manusia boleh terbuka sebesar itu, sehingga terjojol bola matanya dan wajah wanita itu juga kelihatan sangat pucat. “Pu… puan ni… sia… siapa?” Aziz masih tidak berputus asa menyoal walaupun sedang dalam ketakutan. Selagi tidak mendapat jawapan rasional bagi apa yang sedang berlaku, selagi itu dia akan bertanya dan bertanya.

“Aziz!”

Aziz menoleh ke belakang mencari suara yang memanggilnya. Kelihatan Hakim sedang berjalan menghampiri. “Kau dah kenapa jerit tadi?” tanyanya. Aziz menoleh semula kepada wanita yang merenungnya tadi. Anehnya, wanita itu sudah tiada di situ. Mesin taip yang berbunyi sendiri tadi pun sudah berhenti.

“Bos! Mesin taip!” Aziz mula tidak keruan.

“Kenapa dengan mesin taip?” Hakim menyoalnya semula.

“Mesin taip ni berbunyi sendiri!” terang Aziz cemas.

Hakim menelan liur dan memandang mesin taip lama itu. Tidak pula dia dengar apa-apa tadi. Walau bagaimanapun, dia ada terlihat wanita berbaju kurung Kedah itu tadi.

“Ada orang tadi. Perempuan. Dia terpacak di sini tengok mesin taip ni tadi. Saya tegur dia. Lepas tu mesin taip ni berbunyi macam ada orang menaip. Lepas tu… lepas tu… perempuan tu tengok saya. Besar gila mata dia tadi,” cerita Aziz dengan sekali nafas untuk meyakinkan majikannya tentang apa yang telah dilaluinya sekejap tadi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303294/Puaka-Kafe-Hipster

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *