[SNEAK PEEK] Pengantinku Jatuh Dari Langit

Pengantinku Jatuh Dari Langit oleh Mia Kiff

DIA membancuh milo panas lalu menuju di ruang makan bersebelahan pantri usai mengemas pejabat Arfy. Bekas makanan yang mengandungi nasi lemak sambal tumis petai yang dibawanya dibuka untuk bersarapan pagi. Selepas ini, dia perlu mengemas ruang pentadbiran pula pada waktu rehat.“Hi Rin! Rindunya aku kat kau…” tegur Fatimah lalu meluru masuk sambil senyum memanjang.
“Timah! Aku pun rindu sangat kat kau!” Rinieta memeluk Fatimah kemas. Setelah itu, Fatimah duduk berhadapan Rinieta.
“Eh, kau nak minum? Biar aku bancuhkan,” pelawa Rinieta.
“Tak apa, aku tak dahaga…”
“Makan?”
“Hurmm, macam best nasi lemak kau, tapi aku diet. Kau tengok berat badan aku dah naiklah, dari 55 kg ke 64 kg. Sekarang aku sedang bekerja keras nak menurunkan berat badan aku ni. Susah hati betul la. Syok jadi kau kan? Makanlah banyak mana pun, tak naik-naik berat badan kau,” puji Fatimah.
“Kau ni, diet apa macam tu, sampai nak makan pun tahan-tahan. Nak diet, dietlah cara yang sihat. Nanti jatuh sakit, padan muka!” Nasihat Rinieta.
Fatimah melepaskan keluhan. “Kehilangan yang tidak menyedihkan sama sekali adalah, kehilangan berat badan. Hurmm…seluar pun dah tak muat. Baju pun dah ketat…”
“Ya, aku tahu. Tapi jangan sampai tak makan. Sarapan pagi tu, wajib ambil. Makan kena ikut masa. Makan malam kena elakkan. Insya-Allah, boleh kurus…”
“Oh, betul juga cakap kau. Memang semenjak dua menjak, aku kerja melantak aje. Kerja kan banyak bawak balik rumah, tengah-tengah malam pun asyik lapar ajelah. Apa lagi telefon la Pizza Hut ke, McD ke, suruh hantar ke rumah…”
“Hurmm, patut pun. Lepas ni kena elakkan makan malam kalau nak kurus. Eh, kau ni datang berbual dengan aku nanti apa pulak kalau staf lain nampak. Kau juga yang malu kawan dengan cleaner macam aku ni,” larang Rinieta tidak selesa.
“Ish, kau ni ke situ pulak. Aku tak pernah anggap kau serendah tu la. Aku tak malu mengaku kau kawan aku. Kau jangan cakap macam tu, sedih aku. Lagi bertambah sedih, bila kawan aku yang baik ni, berkahwin dengan CEO tapi dijadikan tukang cuci di syarikat suaminya.” Sedih kedengaran suara Fatimah.
“Shushhh, kau ni Timah. Kalau orang dengar habis aku. Aku tak kesahlah, Timah. Aku okey. Kau janganlah risau. Insya-Allah, kesabaran selalu menang dalam apa jua situasi. Ini ujian Allah untuk aku…”
“Kau ni memanglah, asyik nak berkorban aje demi orang lain. Baik hati sangat. Lurus, sebab tu orang pijak kepala kau!”
“Kita buat kebaikan kerana nak penghargaan Allah, bukan penghargaan manusia. Suami aku jaga aku dengan baik, dia tetap manusia biasa, Timah. Ada kelemahannya. Dan aku sedang berdepan dengan kelemahannya itu seikhlas hati…” luah Rinieta.
“Hurmm, yalah. Eh, aku nak pesan kat kau sesuatu ni. Aku selalu perhatikan, Mad Guard tu selalu tenung-tenung kau tau. Kau berhati-hati sikit. Ada orang beritahu aku, Mad Guard lelaki gatal tau,” pesan Fatimah risau.
Rinieta pun perasan, Mad Guard selalu memerhatikan dia dan pantang ada peluang mesti mendekati dia. “Ya ke, tak tahulah pulak aku. Setakat ni, dia okeylah. Tak ada pulak dia menggatal lebih-lebih…”
“Nama pun buaya, Rin. Tunggu mangsa masuk perangkap, barulah dia ngap!”
Rinieta ketawa.
“Kau ni ke situ pulak. Tak ada apa-apalah. Jangan risau…”
Tiba-tiba dua orang staf, Haryani dan Emylia masuk ke dalam pantri. Berubah wajah mereka melihat Rinieta dan Fatimah di situ. Menjeling sakan.
“Errr, sejak bila pulak cleaner boleh makan kat sini? Kat sini tempat pekerja pejabat sajalah. Hishhh, geli tekak akulah,” sindir Haryani menunjukkan muka geli. Ini antara tali barut Hidayah yang masih tinggal.
Emylia menyampuk, “Yalah. Patutnya kena buat signboard besar-besar, barulah ada orang tu sedar diri kut. Dahlah tangan tu penuh dengan bakteria dan virus, tiba-tiba selamba aje datang makan kat sini. Kang tak fasal-fasal tersebar kuman.”
Fatimah berasa geram mendengarnya. Ingin menegur namun Rinieta menepuk pahanya.
Dia menjawab, “Maaf ya cik. Saya tak tahu yang saya tak boleh makan kat sini. Saya pergi dulu.” Rinieta menutup semula bekas makanan dan berlalu dari situ. Sedih di hati hanya Allah yang tahu.
“Hurmm, lain kali jangan makan minum kat sini dah. Kau pun Fatimah, boleh pulak benarkan cleaner tu makan kat sini. Hishh tak rasa busuk dan jijik ke kawan dengan dia tu. Kau tu pegawai, jaga sikit reputasi dan standard kau!” Tegur Haryani membuatkan Fatimah benar-benar bengang.
“Rin tu kawan aku dari kecil lagi. Walaupun dia tukang cuci benda yang kotor, tapi dia baik. Sebab tu aku suka kawan dengan dia, tak baik menghina orang tau. Entah di mata Allah, dia lagi dipandang daripada kita yang kononnya bersih sangat ni,” jawab Fatimah lalu keluar dari situ.
Rinieta di dalam bilik kecil di bawah tangga yang memang biasa untuk tukang-tukang cuci sepertinya berkumpul hanya memandang makanan di dalam bekas di tangan.
Tiba-tiba sahaja sebaknya berkumpul. Bergenang air mata Rinieta mengenangkan diri yang begitu hina dipandang mereka yang berkedudukan.
Opah Milah pun lama benar tidak hubunginya. Sejak dapat kawan orang kaya, siapa lagi kalau bukan Tok Mummy aka Datuk Khadijah, langsung lupakan dia. Manalah dia pergi melancong agaknya selepas menunaikan umrah.
Perlahan-lahan Rinieta menghabiskan baki makanan walaupun butiran air matanya turut menitik ke dalam bekas makanan. Mujur dia sendirian sekarang ini.
Usai makan, Rinieta menyelesaikan tugasannya mencuci pejabat pada hari ini. Kemudian, dia menuju ke dalam stor untuk menyimpan mop dan barang-barang yang digunakan semasa mencuci sebentar tadi. Sekejap lagi dia mahu pulang ke rumah. Menyambung tugas di rumah Arfy pula.
“Hai Rin, buat apa di sini?”
Tiba-tiba muncul Mad Guard dengan senyum sengihnya membuatkan Rinieta rasa tidak selesa. Pelik juga tiba-tiba muncul di sini. Tidak kerja ke? Suka-suka hati berjalan sana sini, mentang-mentang dia ketua guard di sini.
Sudahlah sunyi sepi dan tersorok stor ini. Jangan-jangan, Mad Guard ada niat jahat tak? Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini.
“Err, Abang Mad. Kenapa datang kat sini?” Balas Rinieta tidak selesa.
Mad Guard tersenyum penuh makna sambil merenung nakal Rinieta yang sudah pucat itu. Dia terus menutup pintu stor membuatkan Rinieta kecut perut. Waktu begini adalah waktu rehat untuk para staf yang lain.
“Ab… Abang Mad kenapa tutup pi…pintu tu?”
Mad Guard melangkah menghampiri Rinieta dengan senyum miang. Rinieta berdebar ketakutan dan berundur ke belakang. Gadis ini hanya cleaner, kalau dia rosakkan pun sejauh mana dia berani nak bersuara? Paling tidak berhenti kerja dan hilang entah ke mana. Selalu saja Mad Guard terlepas daripada perbuatannya sebelum ini. Oh, nampaknya ini bukanlah kali pertama dia melakukannya.
“Ab… Abang Mad, apa ni?” Rinieta bernada cemas dan takut.
“Tolong!”
“Sudah lama aku idamkan kau. Jadi peluang kali ni, aku tak akan lepaskan…” Mad Guard tanpa menunggu terus memeluk Rinieta yang terkedu diperlakukan begitu. Rinieta cuba menjerit lagi dan meronta-ronta namun tubuhnya didakap kemas.
“Ni time rehatlah sayang… mana ada orang dengar.”
“Abang Mad…” Suaranya terketar-ketar kerana ketakutan. Sudahlah stor ini sempit. Sukar untuk dia meloloskan diri sebenarnya kalau Mad Guard hampir dengan pintu stor.
Pintu tiba-tiba dibuka dari luar oleh Arfy. Dia mendapat tahu daripada Haryani, yang Rinieta dan Mad Guard sedang melakukan maksiat di dalam bilik stor. Terkejut besar mendengarnya, terus dia meluru ke sini dan menyaksikan sendiri.
Terbeliak mata Arfy melihat Rinieta dalam pelukan Mad Guard dalam bilik yang tertutup ini. Lebih-lebih Rinieta memanggil nama ‘Abang Mad’ dengan nada perlahan dan kedengaran manja pula di telinganya.
“Astaghfirullahalazim. Apa yang korang cuba buat ni, hah?” Arfy yang terus membahang hati, lantas meluru masuk menolak tubuh Rinieta menjauh dan mencekak leher baju Mad Guard dengan marah yang tidak tertanggung. Terus saja ditumbuk muka Mad Guard.
Mad Guard menjawab dengan kecut perut. “Maaf, encik. Saya tak ada niat nak buat maksiat dalam bilik stor. Cuma itulah, saya tak dapat tahan perasaan cinta saya pada kekasih saya ni. Saya nak kahwin dengan dia, encik. Saya akan bertanggungjawab. Saya minta maaf encik, saya janji tak buat lagi…”
Jawapan itu menyesakkan ruang pernafasan Arfy dan cepat dia memandang ke arah Rinieta bersama wajah bengisnya.
Rinieta tergamam mendengarnya. Suka hati saja Mad Guard berkata pada lelaki yang sebenarnya adalah suaminya. Ya Allah, ini satu penganiayaan.
“Abang Mad, Abang Mad cakap apa ni? Bila masa kita bercinta? Abang Mad yang tiba-tiba masuk…” Rinieta cuba menyangkal tuduhan tersebut.
Arfy rasa kepalanya mahu meletup. Mendidih darahnya ke tahap maksimum. Kekasih? Sejak bila mereka bercinta? Jadi selama ini memang betullah telahannya, yang Rinieta memang sudah mencari calon suami yang seterusnya? Sebab tu selalu ingat syarat nikah beberapa bulan tu?
“Encik Arfy… Encik dengar dulu penjelasan saya…” Rinieta cuba merayu namun tangan Rinieta yang cuba memaut tangannya, ditepis Arfy.
“Kau diam! Jangan ingat mata aku buta tak nampak semuanya tadi. Kalau korang nak buat maksiat, nak berzina sekalipun, bukan di sini tempatnya. Syarikat aku, bukan sarang maksiat. Faham? Kau Mad Guard, keluar kau dari sini! Jangan jejak lagi kaki kau di syarikat ini. Aku pecat kau mulai hari ini. Faham? Keluar!” Tengking Arfy membuatkan Mad Guard perlahan-lahan berlari anak keluar.
Giliran Rinieta pula direnung tajam.
Rinieta menelan air liur. Kecut perut melihat wajah bengis Arfy. “Encik, encik dengar dulu penjelasan saya. Saya tak tahu apa-apa encik. Tiba-tiba Mad Guard dat…”
Arfy Qhairant memegang kepalanya. “Diam! Kau nak jelaskan apa lagi kalau mata aku dah nampak semuanya. Patutlah kau beria sangat nak datang kerja, rupanya ini kerja kau selama ni! Mulai hari ini, kau tak payah datang kerja lagi. Kau berhenti!”
Rinieta tergamam mendengarnya. Terkejut dia apabila Arfy terus menarik tangannya dengan kasar. Terkial-kial Rinieta menuruti langkah pantas lelaki itu. Seisi pejabat yang belum keluar tengah hari, ternganga melihat insiden ini namun tidak dipedulikan Arfy.
Tiba di kereta, Arfy terus menolak kasar tubuh perempuan itu ke dalam kereta. Pintu ditutup begitu kuat mengenjutkan bahu Rinieta .
Rinieta mengesat air mata yang gugur. Dia benar-benar tidak menyangka Arfy sanggup menuduhnya mahu melakukan zina. Lelaki itu tergamak mempercayai apa yang terlihat padahal itu semua tidak benar sama sekali.
Kereta milik lelaki itu dipandu dengan kelajuan menakutkan. Muka lelaki itu begitu bengis sekali.
“Encik, encik dengar dulu penjelasan saya. Encik salah faham.” Rinieta cuba berkompromi.
“Arghhhh! Salah faham apa? Kau cakap salah faham apa?” Tengking Arfy hingga Rinieta mengetap bibirnya menahan sebak yang membelenggu diri.
Tiba-tiba Arfy membrek kereta, hampir saja kereta Ferrarinya mahu mencium buntut kereta Viva di hadapan. Terhantuk kepala Rinieta di dashboard.
“Ouchhhh! Salah! Salah! Abang Mad Oi!” Rinieta melatah. Arfy buat tidak peduli tapi sakit betul hatinya dengan nama yang disebut di bibir Rinieta. Dia menekan hon sekuat hati dan meneruskan perjalanan yang kembali lancar.
Rinieta menutup mulut dan kemudian menyentuh dahinya yang terhantuk tadi. Sakit.
“Encik, tolonglah bawa bertenang, encik. Jangan memandu laju macam ni, bahaya…” Dalam kesakitan di kepala Rinieta cuba menenangkan Arfy yang tidak mampu mengawal barannya. Dia rasa kepalanya benjol namun Rinieta berasa itu tidak penting.
“Kau diam! Aku tak nak dengar suara kau. Pergi mampuslah! Kau dah berjaya tipu akulah perempuan bodoh. Tak sangka, nampak macam baik, tapi rupa-rupa dah tak ada maruah! Kenapa kau harus jadi isteri aku? Kenapa?” Tengking Arfy melepas amarah.
Rinieta tergamam mendengarnya. Luluh hati. “Masya-Allah. Encik, saya tak sehina itu, encik. Percayalah, saya tak salah. Mad Guard tiba-tiba muncul dan nak peluk saya…”
“Arghhhh! Kau ingat aku ni bodoh macam kau ke? Kalau dia yang peluk kau, kenapa kau tak melawan? Aku tengok kau bukan main rela lagi kena peluk. Kalau aku tak ada tadi, entah-entah ke mana agaknya melayang kain baju kau. Agak-agaknya, itulah port kau buat zina kan selama ni? Mad Guard tu memang kekasih kau, kan?”
Rinieta tergamam mendengarnya. Dia menggeleng berkali-kali. menafikan.
“Astaghfirullahalazim, encik. Saya memang bodoh encik, tapi sebodoh-bodoh saya, saya masih kenal dosa pahala. Saya takut azab Allah.”
Arfy terus memotong cakap itu. “Arghhh, kau tak payah nak gunakan ‘Allah’ untuk tutup kemungkaran yang kau buat. Kau ingat dengan kau beristighfar, aku akan percaya cakap kau? Perempuan macam kau ni, munafik, hipokrit, derhaka tau tak? Tak layak nak jadi isteri mana-mana lelaki pun. Buat apa kau pakai tudung? Tudung kau ni, tak boleh kawal pun hawa nafsu kau. Kau telanjang lagi baguslah!” Marah lelaki ini lagi.
Rinieta menggeleng lagi. Tiada gunanya lagi untuk dia terus membela dirinya andai sebegini rupa teruknya pandangan Arfy terhadapnya. Hanya air mata sebagai peneman saat ini.
Sampai di Mahligai Casa Impian, Arfy Qhairant terus menyeret kasar Rinieta ke dalam biliknya lalu dihumban perempuan itu di atas lantai.
“Kalau Tok Mummy tau, siapa kau yang sebenarnya tentu kecewa orang tua tu. Tentu dia menyesal sampai mati, menikahkan aku dengan perempuan kotor macam kau. Aku tak sangka, disebabkan aku tak pernah bagi nafkah batin kat kau, kau senang-senang serah tubuh murah kau ni kat jantan lain. Kau ni memang perempuan terkutuk. Kau tak layak jadi isteri aku…”
Rinieta yang sedang menangis itu menggeleng, menafikan dan kesal. Hancur lumat hati mendengar tuduhan bersifat fitnah itu. “Demi Allah, saya tak pernah berzina, encik. Tolonglah percayakan saya. Apa yang encik nampak tadi tak seperti yang encik fikir…”
“Mulai hari ni, kau duduk dalam bilik, kau jangan keluar ke mana-mana. Kau diberhentikan kerja serta-merta. Ini adalah hukuman aku untuk perempuan murah macam kau! Rupa-rupanya, kau ni bukan perempuan solehah, tapi perempuan solehaktuihhhhh!”
Usai tengking, dummm!!! Pintu ditutup begitu kuat menandakan marah yang terlepas ke situ.
Rinieta hanya mampu menangis tersedu sedan mendengar tuduhan yang dilemparkan padanya bersama iringan istighfar sebagai kekuatan jiwa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340912/Pengantinku-Jatuh-Dari-Langit’