[SNEAK PEEK] PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR

PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR Oleh Wan Rohayu

MATANYA terpaku lagi buat ke sekian kali. Terpaku pada susuk tubuh tegap yang tidak pernah jemu mengunjungi seseorang yang sudah pasti bertakhta paling teratas dalam hati. Bertuah kau, budak! Sebiji macam Sleeping Beauty! monolognya.

Matanya memerhati sang puteri sedang beradu. Sang putera setiap hari datang dengan harapan dapat mengejutkan lena panjang sang puteri tetapi sayang, sang puteri pula sibuk melayan dunia gelapnya. Dengan endotracheal tube di dalam mulut, ventilator untuk memanjangkan hayat serta bunyi-bunyi dari berbagai alatan monitor. Sungguh! Sang puteri bukan mengharapkan sekadar ciuman sakti tetapi cinta sejati.

“Buat apa kau kat sini? Tak guna kau kat sini! Dia tak perlukan kau!” Bulat mata melihat adegan tidak dijangka. Oh… Jangan bertumbuk sudah! getus hati mula cuak melihat dua orang lelaki kacak bila-bila masa akan berhentam.

“I have the right and don’t need your permission to stay!” balas lelaki yang baru sahaja sampai. Sampai-sampai dah diajak berhentam. Itulah, masa Sleeping Beauty sedar diri tak ingat pula tentang hak. Huh, nasib baik hati ini tak sempat nak tersangkut dengan mamat supercold tu! Erk, ya ke? Adalah sikit. Normallah, kan! Aci potong kuku kalau hati tak goyang dengan mamat kategori handsome macam tu. Siapa yang tak nak jadi kekasih encik doktor, kan?

Tetapi, sedihnya apabila melihat hero seorang lagi itu. Setiap hari datang tanpa jemu ke sini melihat Sleeping Beauty masih tak bangun-bangun. Bila kau nak bangun, Sleeping Beauty? Kasihan dua orang mamat ni. Seorang muka monyok macam cekodok basi dan seorang lagi muka macam tapai masam. Berkerut-kerut muka depa tengok hang tak mahu bangun-bangun. Sudah-sudahlah tu bawa diri dalam dunia gelap tu.

“Hmm… Aku balik dulu, Del!” bisik Edlin dari kejauhan. Bukan waktu yang sesuai datang melawat temannya sekarang. Edlin sempat mencuri pandang kedua-dua mamat handsome itu sebelum beredar. Masing-masing sedang merenung perempuan yang mereka sayang menerusi dinding kaca.

Hati Edlin sebak. Hatinya juga rindu dengan temannya itu. Adelia merupakan teman baiknya yang paling rapat sepanjang bekerja di hospital ini. Mereka berdua bersama memulakan tugas di hospital ini selepas menamatkan pengajian di kolej jururawat. Apa yang berlaku terhadap Adelia sangat memberi impak kepadanya. Dia juga sayangkan Adelia dan berharap semoga Adelia cepat sedar. Adelia, bertahanlah.

Keluar saja dari ICU, Edlin menggunakan tangga untuk turun. Bersemangat menggunakan tangga untuk turun ke tingkat bawah. Sengaja nak membakar lemak-lemak degil di pahanya. Edlin sempat menggosok-gosok pahanya yang mantap. Haish… lemak… lemak… susah hati betul!

“Eh!” Tiba-tiba bahu dirempuh kasar. Menonong pelaku yang merempuh bahunya menuruni tangga. Langsung tak menoleh. Jauh sekali nak memohon maaf. Bikin hati Edlin panas aje!

“Hello, brader!”

Lelaki itu menoleh ke belakang. Rahang Edlin sikit lagi nak terjatuh apabila terpandang lelaki itu. Oh… Mamat tapai masam rupa-rupanya.
Edlin tekup mulut. Mata lelaki itu hanya memerhati Edlin dengan renungan yang susah untuk dijelaskan.

“Tak apa, tak apa… teruskan.” Tangan Edlin memberi isyarat supaya lelaki itu mengabaikan sahaja apa yang berlaku di situ.

“Sorry… tengah rushing!” Lelaki itu sempat memohon maaf, kemudian terus hilang di tingkat tiga. Hanya kedengaran pintu kecemasan tertutup rapat.

Edlin terkelip-kelip. Aura lelaki itu tertinggal dalam hati Edlin. Terasa sesuatu yang pelik sedang menelusuri hatinya. Mata tu, betul-betul panahan arjuna! Edlin menyentuh dadanya yang dup dap semacam.
Ed, sedar diri tu sikit! Edlin menggeleng beberapa kali bagi centre sedikit kepala otaknya. Tiba-tiba jadi bingung, apa hal?

IRFAN TIDAK dapat menahan dirinya lagi. Jika dia masih berlama di situ, tak pasal-pasal semua benda di sekeliling bilik ICU melayang ke udara macam UFO karang. Huh, kalau diikutkan hati, mahu dipatah-patahkan kesemua anggota badan houseman hingusan itu satu per satu. Biar lumpuh satu badan baru puas hatinya.

Apabila diingatkan balik waktu di labour room dahulu, teruk juga mamat itu dikerjakannya. Berbirat lebam di merata muka. Itu pun belum cukup membalas apa yang telah lelaki bedebah itu pernah lakukan terhadap Adelia. Teringatkan perempuan kesayangannya masih belum sedarkan diri, Irfan menjadi terlalu sayu. Delia, bertabahlah! Saya sentiasa ada untuk awak, Delia.

Mood Irfan memang jauh ke laut dalam. Tak pasal-pasal selalu melenting sejak dua menjak ini. Emosi memang merudum. Nak-nak jika matanya singgah ke wajah lelaki bedebah itu.

Huh, Irfan laju melangkah keluar dari ruangan ICU. Panas hati dan terbakar jiwa melihat lelaki bedebah itu. Itu yang menonong turun tangga dan tidak sengaja merempuh bahu seorang jururawat. Apabila dah kena sound, barulah buka mulut memohon maaf dan memberi alasan nak cepat. Kalau tak… menonong buat tak tahu aje. Sejak bila dia menjadi manusia tak berhemah pun dia tak tahu. Betul-betul berserabut sejak Adelia tidak sedarkan diri.

EDLIN MENAPAK ke tempat parkir motosikal. Anak kunci motosikal dikeluarkan. Matanya sempat menilik sebuah motosikal besar berada di sebelah skuter cabuknya.

Pergh, cun siot! Jenama apa ni? Edlin menunduk melihat. Oh… Ducati Monster. Tidak semena-mena Edlin teringatkan teman baiknya yang terbujur kaku di ICU. Temannya itu sangat meminati motosikal besar. Adelia selalu menyebut jenama-jenama motosikal besar apabila bersembang dengannya. Edlin tidak berminat nak mengambil bahagian bab-bab motosikal besar macam ni. Manalah dia mampu. Yang dia mampu hanyalah berangan.

Tetapi, Edlin salute habis dengan Adelia kerana meminati motosikal besar dan pandai pula membawa motosikal besar. Edlin selalu teruja mendengar cerita-cerita Adelia tentang pengembaraannya dengan grup motosikal besar yang disertainya. Awek bawa superbike. Cool gila! Tak macam dia, skuter cabuk ini aje la yang dia mampu. Mana ada manyak ongkos nak melayan motosikal besar macam ni. Kalau dia ada duit lebih baik dia simpan untuk adik-adiknya di kampung yang masih bersekolah.

Edlin memakai helmet. Kemudian dia bersedia untuk menarik skuternya keluar dari tempat parkir. Motosikal yang diletakkan rapat-rapat menyukarkan Edlin mengeluarkan skuter merah jambunya. Terkial-kial!

“Nak saya tolong?” Suara entah dari mana menyinggah di tepi telinga. Edlin menoleh kepalanya. Tercengang sekejap! Rahang yang hampir jatuh cepat-cepat ditutup. Oksigen, oksigen. Tiba-tiba Edlin rasa semput dengan makhluk ciptaan Tuhan yang sempurna. Sungguh, panahan mata arjuna itu sangat terkesan dalam hatinya. Jantung Edlin bergetar aneh, dup dap semacam!

“Hah!”

Irfan mengerutkan keningnya. Perempuan di hadapannya kelihatan blur apabila dia cuba nak menolong. Tangan Irfan laju saja menarik motosikal di sebelah skuter comel perempuan itu ke tepi supaya skuter perempuan itu dapat keluar dari tempat parkir dengan mudah. Selepas itu, Irfan terus menaiki Ducati Monsternya. Perempuan itu masih belum pergi. Kelihatan seperti bingung semacam.

Irfan tidak mengambil pusing. Masih banyak perkara yang berpusing-pusing di dalam kepalanya daripada mengambil pusing perkara yang bukan berkenaan dengan hidupnya. Irfan menarik motosikalnya keluar. Bila nak memakai helmet fullface, Irfan pandang perempuan itu yang masih belum beredar.

“Tak nak balik?” tanya Irfan dengan senyuman nipis. Pelik pula melihat perempuan itu seperti terkejutkan sesuatu.

Dengan senyum nipis sahaja cukup membuatkan hati Edlin terasa nak melayang ke kayangan. Mak, tolong cheq!

“Cik…” Irfan menegur lagi.

“Eh…” Edlin tayang sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Baru tersedar. Boleh pula dia tercegat macam kena paku di situ. Adeh, nampak sangat kesengalannya di situ. Habis percentage ayunya. Oh… Edlin rasa nak meraung.

Lelaki kacak itu dengan penuh bergaya memakai helmet di kepala kemudian melambai dua jari kepada Edlin sebelum beredar. Namun cukup membuatkan Edlin seperti kena paku lagi di situ. Huuu… Betul-betul macho!

IRFAN DATANG lagi. Adelia masih tetap sama. Tiada perubahan. Masih bergantung dengan mesin ventilator. Irfan melihat data-data keadaan Adelia sepanjang hari semalam. Tekanan darah Adelia semakin stabil. Keputusan darah juga sudah banyak yang normal. Tetapi, kenapa Adelia masih belum sedar daripada lena yang panjang? Bangunlah, Delia… rintih hati Irfan tiada kesudahan.

Irfan masuk ke dalam bilik Adelia. Bunyi-bunyi mesin monitor kedengaran di telinganya. Irfan mengenakan stetoskop di telinga lalu meletakkan diaphragm di dada Adelia. Memeriksa keadaan paru-paru Adelia. Lungs clear! Irfan berpuas hati melihat progress Adelia semakin stabil.

“Awak kena kuat, Delia! Saya sedang menunggu awak,” bisik Irfan di telinga Adelia. Luluh hatinya melihat perempuan kesayangannya terbujur kaku di situ. Hatinya benar-benar terseksa melihat Adelia begini. Dengan wayar dan tiub berselirat dan anggota badan yang ditusuk dengan pelbagai kanula. Irfan dapat merasai kesakitan yang sedang dilalui oleh Adelia. Kasihan awak, Delia.

“Dr. Irfan kat sini rupa-rupanya!” Muncul seorang jururawat.

“Kenapa?” tanya Irfan tanpa senyum. Tangannya sibuk membelek lengan Adelia yang lebam. Ini kerja jururawatlah ni, suntik blood thining drug pada tempat yang sama aje. Irfan tak puas hati.

“OT called, cari doktor,” beritahu jururawat itu.

“Okey!” Pendek. Tahu pula staf OT mencarinya di ICU. Irfan tahu mukanya familiar sangat di wad ICU sekarang. Selagi Adelia masih berada di sini, dia akan menjadi pengunjung setia di sini.

Irfan keluar dari bilik Adelia. Menonong dengan pakaian OT berwarna biru. Mata sibuk membelek gadget di tangan untuk mencari nama yang ingin dihubungi.

“Helo… Okey, I’ll be there in five minutes!” Kaki diayun pantas. Suis pintu besar automatik ditekan dan pintu ICU terbuka. Dia terus melangkah tanpa memandang sesiapa. Akibatnya, Irfan tidak sengaja terlanggar orang lagi.

“Sorry…” mohon Irfan. Kemudian Irfan seperti terkejut sedikit apabila melihat orang yang dilanggarnya ialah orang yang sama dia langgar semalam.

“Tak apa, tak apa, teruskan…” Gaya perempuan itu masih sama. Irfan rasa bersalah pula. Ini kali kedua dia terlanggar perempuan itu.

“Sorry… Saya nak cepat.” Alasan yang sama diberikan. Semalam, dia tak adalah mengejar masa sangat tetapi hari ini dia betul-betul mengejar masa. Khidmatnya diperlukan di bilik bedah dengan segera. Kes ectopic pregnancy. Dia tidak boleh berlengah lagi.

“Eh, tak apa! Bukan ada apa pun,” balas perempuan itu dengan senyuman. Irfan membalas dengan senyuman nipis. Rasanya dah tiga kali dia terserempak dengan perempuan itu. Seingatnya, di tempat parkir juga.

“Sorry, ya!” Irfan dengan gaya dua jari melambainya kemudian terus berlalu.

EDLIN MASUK ke dalam bilik teman baiknya. Dia melihat Adelia yang sedang lena beradu di dalam dunia kegelapan. Entah bila akan sedar.

“Kau dah mandi belum, Del? Busuk aje aku bau. Haaa.. Tak pun kau yak ya, Del?” Edlin memeriksa teman baiknya itu.

“Kau minum susu ikut hidung aje kut! Awat kau yak busuk sangat ni?” Hidung Edlin kembang kempis.

“Aku tukarkan diaper untuk kau, ya? Relakslah… Kitakan best friend! Buat apa nak malu. Hari ini hari kau, esok-esok hari aku kau jangan pula tak pedulikan aku. Sedih woo…” Edlin membebel walaupun tiada respons daripada teman baiknya.

Selepas menukar diaper, Edlin membancuh susu.

“Kau hari-hari minum susu ikut hidung. Tak boring ke, Del? Aku yang tolong bagi ni pun naik muak tengok. Kau bangunlah, nanti kita pergi makan piza ramai-ramai. Fuh, terliurnya nak makan piza.” Edlin selamba berceloteh sambil menuang susu melalui tiub.

“Weh, lama kau tak masuk kerja. Aku rindulah.” Tiba-tiba suara Edlin berubah. Air mata bertakung menunggu jatuh sahaja tetapi Edlin menahannya sedaya mungkin.

Dan Adelia masih juga begitu. Masih dengan lena panjangnya.

“Suami kau datang tak hari ni, Del? Aku tengok suami kau, aku geram tapi dalam waktu yang sama, kesian pula aku tengok dia, Del! Dah macam hero Hindustan berjambang. Tak terurus langsung!” Edlin selamba mengutuk suami Adelia.

“Kalau aku jadi kau pun, mesti susah nak maafkan. Terpulang pada kau, Del! Tapi, kau kena bangun. Kau tak boleh lari macam ni.” Si Edlin masih lagi membebel.

“Kau tengok badan kau ni… penuh lebam-lebam kena cucuk sana sini. Bangunlah!” Walaupun membebel, tangan sedang membetulkan tubing drip.

“Eh, aku nak balik dululah. Boring siot bila kau tak ada ni. Kalau kau ada, kita boleh keluar tengok wayang ke? Shopping ke? Kalau kau belanja aku makan lagi bagus. Sukanya aku tapi… hmmm…” Edlin monyok lagi.

“Okey, Del! Aku balik. Esok aku cuti. Kalau aku boring-boring kat rumah, aku datang sini tengok kau, ya! Kau jangan lupa bangun tau!” Apabila berpuas hati teman baiknya dalam keadaan kemas dan rapi, Edlin bersiap ingin keluar.

Mulut Edlin terlopong sewaktu melihat Dr. Pasha betul-betul berada di muka pintu dengan wajah suram. Alamak, terdengarkah ocehannya tadi? Edlin tayang senyum buat-buat. Oho… Mulut ni betullah!

“Dr. Pasha baru sampai ke?” Edlin saja berbasa-basi, cuba menutup perasaan bersalah kerana sesuka hati dia saja mengutuk doktor itu.
Anggukan lemah si hero Hindustan berjambang itu sudah cukup membuatkan Edlin terlalu kasihan. Tak larat nak beramah-tamah dengan hero Hindustan seorang ini. Tak apalah, faham.

“Dr. Pasha, saya baru aje bagi susu. Diaper pun saya dah tukar. Okey, doc! Saya pergi dulu!” beritahu Edlin sebelum beredar.

“Terima kasih, ya!” ucap Pasha dengan suara agak serak.

Aduh, kasihannya! Edlin tak boleh berlama-lama nanti dengan dia sekali menangis karang.

“Tak apa. Adelia kawan baik saya. Cuma kalau Adel bangun, tolong jangan lukakan hatinya lagi,” pesan Edlin sebelum menutup pintu. Huh, ayat cek macam drama! Edlin garu kepala sebelum beredar.

LULUH HATI Pasha melihat Adelia terbujur kaku. Sudah dua minggu isterinya masih tidak sedarkan diri. Adelia bergantung sepenuhnya dengan mesin ventilator dan ubat-ubatan. Sepanjang itu Pasha sentiasa dirundung dengan perasaan bersalah. Dia seorang yang benar-benar teruk.

“Abang teruk, kan? Apa yang abang dah lakukan ni? Abang buta, sayang. Sungguh, abang buta. Maafkan abang. Abang tahu ucapan maaf abang takkan mampu menyembuhkan luka dalam hati sayang. Tapi, abang tak tahu lagi. Jika nyawa abang jadi pertaruhan, abang rela menggantikan nyawa abang untuk sayang. Bangunlah, sayang…” Penyesalan sudah tiada gunanya sekarang. Mereka telah kehilangan anak mereka dan Adelia pula masih tidak sedarkan diri.

Teringat kembali detik-detik cemas di labour room. Pasha pejam mata kerana terasa amat perit bila teringatkan betapa teganya dia tidak mempedulikan isterinya kala itu. Sungguh, dia seorang yang pengecut! Akui Pasha dalam getir. Seketika Pasha membelai rambut Adelia dengan lembut. Wajah pucat Adelia dengan mata tertutup membuatkan Pasha hampir menangis lagi di situ.

“Anak kita perempuan, sayang… Abang sempat iqamatkan anak kita sebelum dia pergi. Dia hanya sempat bertahan selama satu jam saja. Berat lahirnya hanya 1 kilo lebih,” beritahu Pasha dalam sendu. Bayi mereka juga bertarung nyawa untuk menjenguk dunia namun Allah lebih sayangkan anak mereka. Walaupun telah diberikan bantuan pernafasan dengan ventilator, bayi mereka masih tidak mampu bertahan.

“Sayang… Anak kita comel sangat.” Air mata mengalir tanpa sedar. Terimbas dalam minda wajah anak perempuan mereka. Sangat-sangat comel dan kemerah-merahan. Pasha tidak dapat menahan dirinya lagi lalu terus menyembamkan wajahnya ke dada Adelia. Teresak-esak dengan penuh rasa penyesalan.

“Abang tak layak dimaafkan! Anak kita…” Tanpa malu, Pasha mengongoi kesedihan.

“Abang rela tidak dimaafkan dengan sayang sampai bila-bila asalkan sayang bangun. Tolong bangun, sayang…” rayu Pasha tidak peduli lagi dengan keadaan sekeliling.

Irfan merenung tanpa jiwa ke dalam bilik Adelia menerusi cermin kaca. Irfan nampak suami Adelia sedang menangisi Adelia yang belum sedarkan diri. Tiba-tiba Irfan mendengus sambil mengepal penumbuk. Gigi diketap rapat. Asal nampak saja malaun seorang itu, darahnya membuak-buak.

GITAR DIPELUK rapat ke dada. Hatinya sunyi… Delia, bangunlah…
Irfan humming suara perlahan sambil memetik gitarnya. Dengan sayu Irfan menyanyi dengan penuh perasaan.

“Dengarlah bintang hatiku, aku akan menjagamu. Dalam hidup dan matiku, hanya kaulah yang kutuju. Dan teringat janjiku padamu, suatu hari pasti akan kutepati. Aku akan menjagamu semampu dan sebisaku. Walau kutahu ragamu tak utuh. Kuterima kekuranganmu dan aku tak akan mengeluh. Karena bagiku engkaulah nyawaku. Aku akan menjagamu semampu dan sebisaku…”

Nyanyian Irfan tiba-tiba terhenti apabila suaranya mula serak dengan sendu yang tak tertahan.

“Delia, please wake up…” Air mata mengalir tanpa sedar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79960/Pemilik-Hati-Encik-Doktor