[SNEAK PEEK] PELINDUNG SEORANG PUTERI

Pelindung Seorang
Puteri oleh Mia Kiff

ROSE duduk bersila sambil menyumbat maggi goreng dalam mulutnya. Geram. Bila jiwa kacau macam ni, hanya makan saja pengubat stres.

Nak makan yang lain, duit pun pokai. Hanya ni saja yang mampu. Begitulah kalau gaji cukup-cukup makan.

Akhirnya Rose kalah. Air mata turun juga. Mulanya menitik akhirnya menderu bagai air terjun. Dan maggi gorengnya kian habis.

“Arghhh!” jerit Rose melepas perasaan. Tension sangat!

Pintu diketuk berulang kali. Ish, siapa pula datang ni? Tania tak bawa kunci rumah ke?

Rose membuka pintu. Eh, tak ada pula orang. Tapi di depan pintu, ada nasi lemak daun pisang. Tiga bungkus dalam plastik.

Siapa yang bagi ni? Rose mengambilnya. Ada satu nota.

Untuk Rose.

Makanlah nasi, jangan asyik makan maggi je. Tak elok untuk kesihatan. Sayang diri tu, kerana ada yang masih pedulikan awak.

-?-
Rose hairan. Mana dia tahu, aku tengah makan maggi ni? Agaknya Tania kot. Baik pulak dia, padahal kami pun sama-sama pokai. Hurm, lantaklah. Aku tengah lapar ni, rezeki jangan ditolak.

Rose masuk semula ke dalam bilik. Apa lagi, melantaklah dia sampai habis semua. Bayangkan, dua minggu dia tak makan nasi. Dia cuma makan roti, biskut kering dan maggi saja.

Dah kenyang, sakit hatinya datang balik. Teringat hal pagi tadi semasa dating dengan kekasihnya.

Hurm, kekasihku suami orang. Sadisnya! Sob… sob…

“Tak sabarlah saya nak kahwin dengan awak. Saya tak pernah rasa bahagia macam ni tau. Harihari menanggung rindu. Tak jumpa dalam sehari, tak boleh duduk saya. Kalau 24 jam depan mata, mesti tak jemu-jemu pandang awak.”

Tersenyum segan Rose dibuatnya. Baginya, Firdaus calon suaminya yang tepat kerana mempunyai kerjaya tetap, bisnes, ada kereta Honda Accord dan dah stabil dari segala segi.

Sejak kenal Firdaus, Rose bukan saja mewah kasih sayang tapi lelaki ini selalu saja menghadiahkannya macam-macam. Rasa diri dihargai sebagai seorang wanita.

Lihat sajalah cincin dan gelang emas bertatah kan berlian yang berada di tangan dan lengannya ni. Bukannya murah harganya. Ditempah khas.

“Saya dah sedia nak kahwin dengan awak. Bila awak nak jumpa famili saya? Raya ni boleh?” Bersungguh-sungguh Rose bertanya. Soal cinta letak ke tepi, yang penting masa depan.

“Raya ni? Insya-Allah, kita balik sama-sama. Kalau boleh sekarang saya nak meminang awak tau, tak sabar saya. I love you, sayang!”

Sedang mereka berkasih-kasihan, tiba-tiba terdengar satu suara bernada keras.

“Meminang?”

Serentak Rose dan Firdaus memandang ke arah suara itu. Perempuan mana pula ni? Yang Firdaus apahal muka pucat semacam? Nampak ketara dia takut. Terbangun Firdaus dibuatnya. Panik.

“Nu…nu…nurul! Apa Nurul buat kat sini?”

Perempuan yang bernama Nurul itu dah macam nak telan orang. Dia meneran marah. Seriau Rose ditenung begitu.

“Oh, patutlah selalu balik lambat. Weekend pula asyik keluar aje. Perangai pun makin berubah. Bila tanya, busy dengan kerja konon, rupanya-rupanya busy dengan betina ni! Saya dah agak, abang dah curang dengan saya!” Nurul menengking sampai orang yang berada di restoran itu memandang mereka.

Terkejut Rose mendengarnya. Curang? Firdaus curang dengan aku? Siapa perempuan ni pada dia? Jangan-jangan isteri. Oh my god, katakan ini tidak benar. Katakan! Rose rasa mahu terkena serangan jantung. Nafasnya sudah semput.

Firdaus meraup mukanya. Dia memandang sekitar.

“Nurul, bertenang dulu. Jangan serang-serang macam ni. Semua orang tengok tu, ni tempat awam. Duduk dulu kita bincang!” Suasana yang tegang cuba dikendurkan.

“Berbincang kepala otak abang? Dah abang curang depan mata saya, abang nak suruh saya berbincang? Abang tahu tak, betapa hancurnya hati saya bila abang ucap ‘I love you’ pada perempuan ni?

Abang tak sedar ke abang tu dah berkahwin? Dah ada anak? Senang-senang aje cakap nak kahwin dengan perempuan lain. Habis tu kami ni, abang nak campak mana?” Meledak nada suara yang tinggi.

Air mata Nurul yang mengalir membuatkan Rose rasa dia sangat kejam. Terketar-ketar bibirnya menahan rasa bersalah. Dia, perampas suami orang?

Rose menyampuk, “Is…isteri? A…awak dah kahwin Firdaus?” Rose memandang Firdaus yang sudah mati akal.

Firdaus rasa serba salah melihat mata Rose sudah berkaca.

Nurul membalas geram, “Dia dah kahwin dan aku ni isteri dia. Dah 5 tahun kami kahwin. Kau tak sedar ke, kau dah kacau suami orang dan rosakkan rumah tangga kami. Betina jenis apa kau ni? Tak tau malu, perampas, dasar betina jalang!”

Firdaus tak sanggup Rose dituduh begitu. Bukan salah Rose, dia yang salah kerana merahsiakan statusnya.

Rose tergamam. Belum pernah lagi orang mencercanya sebegitu rupa. Jiwanya patah.

Firdaus menyampuk, “Nurul, please. Kalau you anggap I ni suami you, tolonglah. Jangan malukan I di sini, hormatkan I!”

Nurul tersenyum sinis.

“Nak hormat apa suami macam you? Dahlah makan minum, segala perbelanjaan kita, I yang tanggung.

Nafkah pun langsung you tak bagi, hal anakanak langsung you tak peduli, you nak I hormat you? Nak tanggung I pun tak mampu, ada hati nak pasang lagi satu.

Hei betina, ikutkan hati aku ni, nak aje aku tembak kau ni biar mampus. Betina perampas macam kau ni tak patut hidup. Selagi betina macam kau ni wujud, habis kacau-bilau rumah tangga orang lain.

Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku sekarang? Betapa lukanya hati aku, suami aku ada betina lain? Aku sumpah satu hari nanti, kau rasa sakit yang sama!”

Rose tunduk dan hatinya retak seribu. Ya Allah, malunya. Ramai orang menonton dan menjuih mulut padanya.

“Saya minta… minta maaf kak. Sa…saya tak tahu, Firdaus suami orang. Ka…kalau saya tahu, saya tak akan…”

Pang! Selamat mendarat satu tamparan. Sebelum ni, asyik tengok drama saja sekarang rasakan sendiri.

“Kau ingat aku nak percaya ke? Tu kat lengan kau, gelang aku tau. Aku beli dengan penat lelah. Senang-senang aje kau pakai, kan? Tu cincin, cincin perkahwinan kami tau? Macam mana boleh ada kat jari kau?

Ni semua mesti abang yang bagi, kan? Tergamak betul abang, senyap-senyap ambik barang kemas saya, bagi kat betina ni.

Entah apa lagi barang yang abang bagi, saya tak tahulah! Macam saya langsung tak berharga di mata abang. Abang ni memang suami tak guna!” Nurul naik angin dan mengamuk. Dia menumbuk dada Firdaus.

Rose benar-benar tak sangka, sejauh ini Firdaus menipu dia. Dia lantas menanggalkan cincin dan gelang. Lalu meletakkan atas meja dan berlari keluar dari situ.

Air mata berderu-deru. Bukan saja harapan dan impian musnah, tapi harga diri yang tak seberapa sudah dipijak lumat.

“Hei sudahlah tu. Menangis buat apa lagi?” Tania, penyewa bilik sebelah menegur Rose. Dia tahu segala kisah cinta Rose yang tak kesampaian.

“Aku taklah sedih sangat putus cinta ni. Tapi aku sedih, kenapa orang yang aku harapkan mesti kecewakan aku? Kenapa impian kita nak dapat suami kaya tak kesampaian Tania?”

“Daripada kau tahu ditipu selepas jadi isteri dia, lebih baik kau tahu sekarang. Sekurang-kurangnya, kau sakit hati aje, tak ada luka!

Alah aku tahulah, kau tu bukannya cinta pun dengan Firdaus tu, kan?” Tania memujuk. Bilik sewa Rose diperhatikan. Kemas, walaupun sempit.

“Memang aku tak cintakan dia, tapi dia harapan aku tahu tak? Harapan untuk aku ubah nasib aku ni.

Dia tu macam, hero yang mampu keluarkan aku dari segala masalah hidup. Tapi rupa-rupanya, dia menambah lagi masalah yang aku ada.” Rose menangis lagi.

“Agaknya, dah takdir kita kot Ros? Sabarlah…” Tania memujuk.

“Mati-mati aku ingatkan, bolehlah balik raya kat kampung tahun ni sebab aku nak kenalkan calon suami yang kaya macam Firdaus tu, depan semua orang. Biar orang yang pandang hina aku, celik biji mata tu.

Tapi rupa-rupanya dia penipu. Nampaknya, raya tahun ni aku tak balik lagilah. Balik pun buat apa, buat malu diri sendiri aje,”

Rose menangis teresak-esak. Kain batik diambil dan dilap hingus yang meleleh. Nak buktikan dia berjaya dulu barulah balik, memang taklah jawabnya. Hidupnya masih sama saja, tak ada perubahan.

Tania melepas keluhan. Dia pun lebih kurang juga terjebak dengan suami orang. Isteri pertama siap melamar lagi jadi madu. Dia sedang berfikir sama ada nak terima atau tak.

“Niat kau tu tak betul, sebab tu kau asyik gagal aje. Nak bawak balik bakal suami yang kaya, sematamata nak menunjuk-nunjuk? Elok sangatlah tu.”

Betul juga cakap Tania tu.

“Habis tu, nak harapkan aku? Apa yang aku ada?”

“Kau ni, macam-macamlah. Hidup ni, jangan selalu merungut, itu yang rezeki lambat masuk. Kena sabarlah. Allah tahu masa yang tepat untuk tunaikan impian kita.”

“Iyalah. Tak cukup sabar ke aku selama ni? Tapi apa aku dapat?”

“Kau ni, sensitiflah. Suka sangat amik pusing apa orang kata. Kita ni, kalau nak turut apa orang cakap, baik mereput aje lagi baik. Cuba kau abaikan semua tu? Jadikan apa yang orang kutuk tu, sebagai pembakar semangat!”

“Kau cakap senanglah, kau tak kena.”

“Iyalah. Dahlah tu, tak payah sedih-sedih lagi. Lepas ni kau carilah bakal suami lagi. Mesti jumpa punyalah, kau kan cantik. Petik jari aje, ramai yang beratur pilih kau!”

“Banyaklah kau punya cantik. Asyik kaki penipu aje yang nak aku ni. Yang kat kampung aku tu, buat aku sakit jiwa! Pening kepala aku!”

“Oh, mamat psiko yang kau cerita dulu tu ya?”

“Argh lantaklah, pasal mamat psiko tu, aku dah lupa pun. Ni, Firdaus yang latest .”

“Iyalah. Aku pun tak sangka, Firdaus tu suami orang.”

“Aku lagilah tak sangka, Tania. Tengah seronok dia lamar aku tadi, tetiba bini dia datang serang terus. Hancur tau hati aku ni. Sampai sekarang trauma, malu rasanya nak keluar rumah!”

Banyak sangat bersedih dah macam selesema nada suaranya.

Rose mengerling Tania yang tenang. Dia anak yatim piatu, tak payah fikir apa dah. Fikir diri sendiri saja.

“So, kau tak balik raya lagi tahun ni? Apa besar sangat masalah kau ni?”

“Ala banyak kisahlah yang buat aku ni tak ada hati nak balik kampung. Bukan saja famili aku, tapi tekanan orang sekeliling lagi.” Rose memegang kepalanya yang sesak.

“Dahlah tu, jangan menangis. Kalau kau rasa tak mampu nak balik lagi, kau rayalah sini. Berdua dengan aku. Aku ni bukan ada sesiapa. Macam biasa, pagi raya kita kerja overtime. Boleh dapat gaji lebih sikit.”

Itulah aktiviti mereka setiap tahun menjelang raya selama tiga tahun berturut-turut. Mereka menyibukkan diri dengan bekerja untuk melupakan kesedihan beraya di perantauan.

“Aku pun rasa macam tu kot. Aku dah berjanji dengan diri aku, aku takkan balik selagi aku tak berjaya.

Aku nak buktikan pada mak, abah, adik, abang dan orang kampung, yang aku pun akan berjaya juga satu hari nanti dan membanggakan diorang. Tapi sayangnya, sampai sekarang aku gagal!” Rose menangis lagi.

“Kau ni, emosi sangatlah. Jangan fikir soal gagal sebab kejayaan tu, bermula daripada kegagalan tau! Semua orang yang hidup susah bukan sebab hidup dia, Allah tak berkat, tapi Allah sayang sebab tu diuji.

Kalau Allah senang saja bagi apa yang kau nak, kau akan lupa bersyukur.” Sedikit semangat diseru daripada pujukan Tania ni.

“Iyalah. Thanks Tania. Ikutkan aku ni, rasa dah takda hatilah nak stay kat JB. Rasanya dah tak ada benda yang aku cari kat sini. Rasanya rezeki aku bukan kat JB kot.

Tapi itulah, nak pergi mana? KL? Kalau boleh aku tak mau dekat-dekat, aku nak jauh daripada famili aku. Aku tak mau mereka tahu pasal aku!”

“Kita kerja kat Singapore nak tak? Sana, income masyuk.”

“Boleh juga tu.” Rose tertarik mendengarnya.

Telefon berdering namun Rose tak endahkan. Malas nak angkat. Mood pun ke laut. Tak cukup dengan itu, mesej pun bertalu-talu masuk.

Rose membelek telefonnya. Bukan saja panggilan daripada Firdaus tapi daripada mak di kampung.

Maafkan Rose, mak. Rose tak dapat balik lagi beraya tahun ni. Selamat berpuasa dan sela

Tania yang mahu keluar dari bilik ditegur Rose. “Eh Tania!Thanks belanja nasi lemak.”

Tania hairan.

“Hah, nasi lemak? Tak fahamlah!”

“Lah, bukan tadi kau letak depan pintu ke? Ni hah siap tinggal nota lagi.”

Tania mengambil nota itu dan membacanya.

“Bukan akulah…”

“Habis tu, siapa?”

Mereka saling berpandangan. Pelik.mat hari raya mak, ayah, abang, adik. Maaf zahir batin.

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271648/pelindung-seorang-puteri