[SNEAK PEEK] PAKAR

9789670750712-medium
EBUKU Pakar Oleh Nadia Khan

 

AGENSI CURI JODOH

“Kau tu… cepat sangat jatuh cinta.”

Sambil Honda Civic kelabu Liya menyusur laju, kata-kata Rita tu terngiang-ngiang di telinga. Heh, Rita cakap senanglah. Dia tu memang keras hati. Johan tu sepuluh kali dah agaknya melamar dia, dia boleh buat derk je! Kalau aku la, dapat lelaki macam Johan tu… lusa aku ajak kahwin!

Kenapa lusa, bukan esok? Sebab Liya dah pergi kursus kahwin. Kalau nak uruskan borang-borang semua tu, makan masa sehari. Jadi, paling cepat boleh kahwin pun lusa. Liya geleng sorang-sorang, mengenangkan dia bercadang nak pergi kursus kahwin tu dulu dengan siapa. Mamat tak guna tu… lepas Liya ajak pergi kursus kahwin, terus cuak dan tinggalkan dia. Bengong… kalau dah tahu takut komitmen, tak payah la ajak aku couple dulu! Dah Liya kena pergi kursus kahwin tu sorang-sorang, sebab dah bayar.

Memanglah Liya baru couple dengan mamat tu dua bulan sebelum ajak pergi kursus kahwin. Yelah, buat apa nak lengah-lengah! Lagipun, ajak pergi kursus je. Bukan ajak kahwin!

Liya mengeluh. Tu yang kena bebel dengan Rita tu. Cepat sangat jatuh cinta, katanya. Tapi salah ke jatuh cinta? Nama pun jatuh, mestilah cepat! Ni bukan filem, boleh buat slow-motion.

“Sebab ni bukan filemlah, kau tak boleh nak berangan lebih-lebih!” seolah-olah Liya dapat dengar suara Rita membantah suara hati dia. Sibuk je Rita ni, aku monolog dalam hati pun dia nak enterframe.

Minggu lepas, sorang lagi kawan diorang kawin. Liya, macam biasa, setiap kali kawan diorang kawin, dia jadi emo. Sekarang ni, tinggal Rita sorang je kawan dia yang single yang boleh melayan dia emo. Dan memandangkan Rita ni tak kisah pasal kahwin, Liya akan kena sound balik kalau dia emo hal kahwin ni.

“Apa yang kau sibukkan sangat pasal kahwin ni? Kau sekarang ni bukan ada boyfriend pun!” Rita kata. Oh! Menusuk terus ke dalam hati Liya macam pedang samurai. Rita kalau bercakap mana reti jaga-jaga hati ni.

“Takde boyfriend pun, aku ada love interest. Bukan macam kau. Ada boyfriend, tapi takde interest!” Liya bagi balik sebijik.

“Don’t tell me you’re talking about your boss,” Rita mengeluh.

“Yelah! Siapa lagi? Eligible bachelor kot! Dahlah hensem, kaya, baik… muda!” Fakta terakhir tu penting — muda. Walaupun Liya ni gian nak kahwin, takdelah sampai teringinkan lelaki yang dua kali ganda umur dia. Duit berkepuk macamana sekalipun, Liya tak sanggup.

Tapi, oh! (perkataan “oh” ni harus disebut sambil belakang tapak tangan diletakkan ke dahi… gitu) ~ Bos dia Khairy tu memang menepati ciri-ciri lelaki idaman Liya. Sejak semakin mengenali bosnya tu, Liya dah mula berangankan majlis perkahwinan diorang kat hotel lima bintang.

“Eligible bachelor? Kan dia ada girlfriend!” protes Rita.

“Girlfriend je. Bertunang pun belum.”

“Jadi kau boleh sailang la?”

“Bukan sailang. I’m… giving him more options,” Liya cuba buat alasan. Rita tarik muka, tak setuju.

Liya tahu Rita tak suka perihal sailang ni, sebab bapak dia sendiri kahwin dua. Alah, kahwin dua pun apa salahnya? Asalkan mampu. Perempuan sekarang ni lagi ramai daripada lelaki. Kalau nak harap semua lelaki setia pada yang satu, apa jadi kat orang-orang macam Liya? Liya tak sanggup jadi andartu!

Tapi masalahnya, Liya belum pernah lagi bersama dengan Mr. Right. Kadang-kadang Liya rasa macam nak gelak pun ada mengenangkan nasib dia sendiri. Orang yang beriya nak kahwin macam dia ni, yang itulah yang cukup susah nak jumpa jodoh. Orang yang tak mencari cinta pun, macam si Dahlia yang kahwin minggu lepas tu, senang pulak jumpa jodoh.

Lepas satu, satu break-up Liya lalui. Semua tak sesuai! Liya pun tak faham, kenapalah susah sangat dia nak jumpa orang yang straight-forward. Ada je yang tak kena. Semuanya psycho dengan cara yang tersendiri.

Boyfriend pertama Liya dulu masa zaman sekolah. Memanglah masa tu cinta monyet lagi, tapi ada je antara kawan-kawan dia yang kahwin dengan kawan yang jumpa masa sekolah. Tapi nak kahwin apanya dengan si Zarul tu — tahu-tahu, mamat tu couple dengan Faiq, lelaki paling macho kat sekolah!

Masa kat universiti, Liya jumpa Danial. Your typical bad boy — naik motor besar, selalu ponteng kuliah dan hensemnya tu ala-ala Aaron Aziz gitu. Setelah berjaya dingorat dek Liya, Liya jadi bahan cemburu awek-awek lain kat kampus — membuatkan Liya makin di awang-awangan. Punyalah buta dek cinta, sampaikan lama baru dia nak perasan tentang masalah coke addiction yang dialami oleh Danial — bukan Coca-Cola ye! Cocaine! Tulah, nak sangat bad boy, kan? Hamekaw!

Lepas Danial, Liya dah serik dengan bad boy. Dia jatuh cinta dengan seorang mamat ala-ala nerd comel bernama Yusof. Dengar nama je pun dah sejuk hati, kan? Orangnya memang baik, lemah-lembut. Sejuk perut mak dia mengandungkan dia. Terlebih sejuk, masalahnya — sampaikan tak boleh nak berenggang! Semua benda pun nak ikut cakap mak dia. Mummy’s boy! Bayanglah kalau kahwin dengan dia nanti, hal bilik tidur pun kena ikut tips dari mak dia. No, no, no!

Keluar universiti, di tempat kerja pertama, Liya bertemu seorang lagi calon. Farouk. Orangnya biasa-biasa saja. Pun baru mula bekerja macam Liya. Banyak yang boleh diborakkan. Mula-mula Liya ingat takde masalah, takde komplikasi — bolehlah couple. Mula-mula couple pun memang okay je — happy. Tapi masa diorang bergaduh pasal satu isu ni (bukan isu besar pun), Farouk tiba-tiba naik tangan. Liya ingatkan sekali tu je. Tapi lepas tu, perangai baran Farouk mula terserlah. Sebelum badan Liya lebam-lebam, baik dia blah.

Sorang lagi mamat yang Liya jumpa (sebelum mamat yang lari sebelum kursus kahwin tu) memang nampak macam calon ideal. Gaya Imam Muda gitu. Wan nama dia. Dengan dia, Liya ada gak rasa-rasa macam nak berhijrah, macam artis-artis dok buat tu. Tapi belum sempat berhijrah, si Wan tu berhijrah dulu — kahwin dengan minah Arab, lepas tu terus ikut minah tu duduk sana!

Liya memberhentikan kereta dia di tepi tasik tempat dia selalu lepak sorang-sorang menenangkan fikiran. Hari belum jauh malam, jadi masih ramai yang melepak tepi tasik tu. Menengokkan ada keluarga tengah berpiknik kat kawasan berdekatan, Liya beranikan diri keluar dari kereta untuk duduk tepi tasik. Ketua keluarganya tu nampak macam boleh tahan sasa, jadi kalau Liya kena kacau, ada potensi jugak jadi penyelamat. Untung-untung, Liya dapat jadi bini muda.

Liya geleng sorang-sorang. Kadang-kadang dah bunyi macam desperate sangat aku ni.

Sedang Liya duduk situ mengenang nasib diri, tiba-tiba ada seorang lelaki duduk sebelah dia. Mula-mula, Liya tak berapa senang dengan kehadiran dia — yelah, tiba-tiba je datang duduk sebelah! Banyak lagi ruang lain, sebelah Liya jugak dia nak duduk.

Tapi menengokkan mamat tu pun cuma duduk je — tak mengusik, tak merokok. Liya biarkan. Mamat tu pun nampak macam merenung jauh.

“Banyak betul masalah dalam dunia ni, kan?” tiba-tiba mamat tu bersuara.

Oo, seniman ke ni? Seniman je yang tiba-tiba keluar ayat-ayat dalam macam ni. Liya anggukkan je.

“Cantik kereta,” puji lelaki tu sambil menunjuk ke arah kereta Liya.

Okay, agak creepy. Mamat ni dah lama perhati aku ke?

“Kebetulan, ternampak keluar dari kereta tu tadi,” dengan segera lelaki tu menambah. Macam dia dapat baca kesangsian Liya.

“Second hand,” balas Liya.

“Second hand pun, boleh tahan gak harganya tu. Bayar bulan-bulan ke, macamana?”

Eh eh! Ni dah masuk perihal kewangan ni, dah kenapa? Hold on! Ni… intro seorang mamat MLM ke?

Liya tak menjawab. Dengan tak semena-mena, lelaki tu ketawa kecil. “Sorry, sorry. Tak bermaksud nak tanya soalan peribadi. Saja je bukak topik borak.”

Liya senyum sikit. Dia mencuri pandang pada lelaki tu. Lingkungan umur mungkin dalam 40-an. Masih segak lagi. Orang lelaki ni kan, life starts at 40 kononnya. Gaya pemakaiannya tak nampak macam seniman jalanan. Smart jugak. Dengan jaket, topi siap.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang ni, tak semua orang mampu merasa pakai kereta cantik, ada rumah sendiri…” Lelaki tu masih belum berputus-asa untuk bukak topik berborak.

“Saya duduk rumah sewa je. Takde rumah sendiri.” Liya sendiri terkejut dengan jawapan yang dia bagi. Tak pasal-pasal kongsi cerita! Tapi tak tahu kenapa, Liya rasa macam mudah berbual dengan lelaki ni.

“Okaylah jugak tu. Kiranya, lengkap serba-serbi… kan?”

Ada sesuatu tentang cara lelaki tu meminta kepastian, membuatkan Liya tiba-tiba rasa sedih. Lengkap serba-serbi… tapi takde teman hidup, buat apa…

“Sorry. Saya ada salah cakap ke?” lelaki tu bertanya. Liya tak perasan yang dia merenung muka Liya.

“Oh… er… takde apa-apa….”

Lelaki tu mengeluh. “Susah hidup zaman sekarang ni,” ujarnya. Kemudian dia menambah, “Tapi kalau ada yang nak harung hidup ni sama-sama, takdelah susah sangat hidup.”

Oh? Itu… pick-up line kah? Hmmm…

Lelaki tu tersenyum ke arah Liya, kemudian bangun dan berlalu pergi. Liya terus memandang dia, sedikit terkesan. Bila lelaki tu dah hilang dari pandangan, barulah Liya sedar… sekeping kad nama yang dia tinggalkan di sebelah Liya.

Berdua lebih baik kan? Tapi… sukar mencari pasangan hidup?

Hubungi Rouk di nombor ini…

Agensi CJ — prihatin terhadap kisah cinta agung anda!

Liya merenung kad nama tu sekali lagi.

Hah?! Apa ni?

****

Liya terpandang kopitiam di kawasan berdekatan. Kalau aku suruh dia turun kat sini pun, okay jugak. Ramai orang lepak. Tak boleh dia nak apa-apakan aku, detik hati Liya. Zaman sekarang ni kena jaga-jaga. Orang menipu cukup ramai. Kadar jenayah pun bukan main meningkat lagi. Yelah, keadaan ekonomi sekarang buat orang terdesak.

Eh, sempat pulak aku buat social commentary kat sini!

Liya menelefon Rouk dan memberitahu Rouk tentang cadangannya. Rouk tak membantah dan dengan suara ceria berkata dia akan turun lagi 5 minit. Tiba-tiba Liya terfikir, Rouk ni boleh tahan gentleman. Kalau aku on dengan dia pun, macam best je…

Hish, apa ni, Liya! Fokus, fokus!

****

“Takut ye, nak naik opis?” Rouk mengusik.

Liya cuma senyum, termalu. Kantoi la pulak…

“Takpe. I tak salahkan you. Zaman sekarang jangan mudah sangat percayakan orang. Bahaya,” Rouk pulak yang berpesan.

Liya mengangguk sambil minum kopi mocha-nya. Tak tahu macamana nak mula borak sebenarnya.

“So… how can I help a beautiful, intelligent woman such as yourself?” Rouk memulakan sambil senyum. Yang anehnya, senyum Rouk tu langsung tak nampak gatal ke, miang ke. Malah agak mencairkan di situ.

“Agensi CJ ni… stands for what? Cari Jodoh?” tanya Liya. Yelah, nak kena tanya. Buatnya kang Agensi Cari Jal― never mind.

Rouk senyum. “Kalau ikut aliran mainstream, itulah namanya.”

“Ada nama untuk aliran tak mainstream ke?”

Rouk senyum lagi. Di menghirup sedikit teh panas di depannya. “Jodoh ni, memanglah dah ditentukan oleh Tuhan, Cik Liya. Tapi masalahnya, kita tak tahu dengan siapa, kan? Jadi, selagi tak lafaz nikah tu, kita kena usaha sedaya-upaya nak dapatkan jodoh. Setuju?”

“Setuju tu memanglah setuju, Encik Rouk. Tapi kalau dah usaha pun, yang datangnya semua hampeh… lama-lama letih jugak,” Liya dengan tak semena-mena mengadu.

“Haa! Pasal tu lah, kita kena buat background check dulu. Masalahnya dengan couple-couple ni kadang-kadang, pantang ada satu-dua je persamaan… terus excited! Terus nak couple. Lepas tu… lama-lama bila dah dapat tahu sifat-sifat sebenar, baru nak menyesal. Dah berapa kali perkara ni jadi pada Cik Liya?”

“Banyak kali dah,” Liya akui. “Tapi… macamana nak buat background check semua tu? Masa bercinta awal-awal tu kan, semuanya best. Orang tua-tua kata, kentut pun wangi!”

“Kalau Cik Liya gunakan perkhidmatan agensi I, perkara tu semua ditanggung beres!” Rouk meyakinkan Liya.

“Hmm… mesti mahal. Orang macam I ni, mampu ke?”

“Jangan risau, Cik Liya. Pakej-pakej yang kita ada akan disesuaikan dengan kemampuan Cik Liya…”

“Macamana modus operandi you ni?”

“Pekerja-pekerja I semua beroperasi secara berpasangan. Mula-mula diorang akan buat background check — macamana diorang buat tu, ikut kreativiti diorang. But I assure you, cara diorang tu takkan menyalahi undang-undang. Dengan informasi yang diorang ada, diorang akan buat satu plan untuk you dapatkan orang yang you nak tu,” Rouk menerangkan

“Walaupun orang tu… dah berpunya?”

Rouk senyum, kali ni sedikit sinis. “Kan I dah cakap, Cik Liya. Jodoh kita, kita tak tahu siapa. Jadi kita kena usaha sedaya-upaya. Walaupun orang yang Cik Liya nak tu dah berpunya… kita tak tahu kalau memang tu ke jodoh dia, ataupun Cik Liya… kan?”

Giliran Liya tersenyum, sedikit nakal. “I dah tahu dah apa nama non-mainstream agensi you ni. Agensi Curi Jodoh, kan?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/51013/pakar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *