[SNEAK PEEK] PA UNTUK DIA

9789670567648-medium
EBUKU PA UNTUK DIA Oleh Syamnuriezmil

SEBAGAI seorang PA, setiap pagi kerja aku adalah membeli kopi untuk bos. Bos nak kopi Mocha Arabica kurang manis tapi harga murah. Pekerja kedai kopi tu pun dah tahu pukul berapa aku akan datang. Dan aku tak perlu nak beratur panjang. Sampai saja di kedai kopi tersebut, dia orang akan jerit memanggil nama aku.

“Yara… Kopi kau.”

Aku akan tersenyum malu. Walaupun sebenarnya tak adalah malu sangat pun. Padan muka mereka kena beratur, aku tak perlu. Nasib baiklah ada Onn.

“Terbaik, beb.”

“Ini untuk kau. Kopi O ais, manis!” “Tapi aku tak oder pun…”

“Aku belanja.”

“Hesy… Habis duit gaji kau asyik belanja aku saja.”

“Tak apa kalau untuk kau, Yara.”

“Kalau kau bankrap, jangan salahkan aku, Onn.”

“Jangan lupa call.”

Aku hanya senyum. Seperti biasa, Onn akan meninggalkan nombor telefonnya dan ikon senyum pada cawan kopi itu. Selama setahun aku kerja membeli kopi untuk bos, selama itulah aku dapat nombor telefon dekat cawan tu. Tak pernah pula terlintas dalam hati nak telefon. Hesy… Apa kes perempuan pula nak telefon? Memang taklah!

Masuk saja ke pejabat, aku akan terus masuk ke dalam bilik bos. Ini yang mula-mula Kak Shima ajar aku setahun yang lepas sebelum dia pencen. Aku kena hidupkan pendingin hawa dan lampu. Buka bidai biar cahaya masuk dari luar. Bos suka melihat keadaan tenang bandaraya Ipoh. Walaupun tak nampak keseluruhan bandar, tapi sekurang-kurangnya nampak jalan di hadapan bangunan ini.

Aku kena letakkan kopi yang aku beli tadi di sebelah kanan meja, bersebelahan dengan gambar keluarganya. Kata Kak Shima, apabila minum kopi ini, bos akan ingat dia sedang minum bersama keluarganya. Bos memang lelaki yang mementingkan keluarga. Bukan sikit gambar keluarga dekat atas meja ni.

Dokumen yang belum ditandatangani, aku letakkan betul-betul di atas meja menghadap kerusi. Jadi, apabila bos masuk, dia akan terus tengok kerjanya yang bertingkat-tingkat tu. Surat khabar bahagian perniagaan, letak paling atas sekali antara semua dokumen. Bos akan baca berita itu dulu sebelum memulakan kerja. Jadi, apabila dia pergi mana-mana mesyuarat, adalah hal perniagaan yang dia tahu. Senanglah nak buat club deal.

“Siappp!!!”

Aku pun terus keluar lalu duduk di tempat aku. Kerja aku seterusnya adalah menunggu bos masuk. Setengah jam selepas bos masuk ke dalam biliknya, aku akan masuk ke bilik bos dan aku perlu ingatkan apa yang perlu dia buat hari ini. Perlu hadir mesyuarat ke, hadir janji temu ke… Kemudian tunggu dia bagi arahan seterusnya.

Itulah kerja aku. Kerja PA untuk dia. Tak banyak, tak susah. Bos bukanlah seorang yang cerewet. Kalau aku buat silap pun, dia akan tegur dengan baik. Kalau ada staf lain buat silap pun, dia akan tegur juga dengan baik. Bos memang bos yang baik. Isteri bos juga baik. Tak pernah datang dan kacau hal bos. Selalu isteri bos buat kejutan, suruh aku buatkan janji temu untuk bos masa makan tengah hari ke, makan malam ke… Yalah, bos sibuk. Selalu tak ada masa. Sebab itu isteri bos suka buat kejutan.

Aiseh…

Romantik betul.

Tua-tua pun nampak comel.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul sembilan pagi. Sepatutnya bos aku dah masuk kerja. Tapi, sampai pukul sembilan tiga puluh minit pagi, bos tetap tak masuk lagi. Pukul sepuluh pagi pun, tak sampai lagi. Aik… Ini bukan perangai bos ni. Pelik, pelik yang amat.

“Yara!!!”

“Oiii…”

“Mana bos kau? Tak masuk kerja ke?”

“Bos aku bukan bos kau ke Mel?”

Mel tersengih-sengih. “Aku nak ambil cek ni, dia dah sain belum? Supplier dah memekak-mekak kat aku.”

“Bos belum masuk, macam mana nak sain?”

“Aduh… Call la bos.”

Satu kepantangan bos, aku tak boleh suka-suka hati telefon dia. Kalau penting, betul-betul penting, baru boleh telefon dia. Bos tak suka sekiranya telefonnya berbunyi sewaktu dia bersama keluarga. Kalau dia telefon, tak apa. Aku aje yang tak boleh telefon dia.

“Tak boleh.”

“Ini urgent, Yara. Kalau tak call, kau mesejlah dia.”

“Sabarlah. Bos tak pernah lewat pun. Kalau dia ada apa-apa, mesti dia telefon. Nanti apa-apa aku call kau, eh… Pi balik tempat kau.”

Mel mencebik. Dia terus berlalu. Aku masih setia menunggu. Risau juga ni. Apa kes, dah pukul sebelas pagi pun belum masuk. Janji temu terdekat pukul sebelas setengah pagi dengan Dato Zakuan. Hesy… Nanti Dato Zakuan datang, dia tak mai lagi. Bos tak pernah buat kerja macam ni!

Tiba-tiba, ada seorang lelaki muda masuk ke tempat aku lalu terus menuju ke bilik bos. Aku terus bangun lantas menghalang lelaki tersebut membuka pintu bilik bos. Eh mamat ni… selamba tenuk saja nak buka bilik bos. Tak nampak ke aku ni PA bos? Baju belang-belang, seluar Kpop… Apa dia ingat ni, show Running Man?

“Eh, eh… Encik nak buat apa ni?”

“Saya nak…”

Aku tolak tangannya yang mahu menolak pintu bilik untuk masuk.

“Tan Sri tak ada, encik. Dia belum masuk. Encik tak boleh simply nak masuk. Ini bukan encik punya territory… Celcom pun bukan. Sorry eh, encik.”

“Tapi…” Lelaki itu mengeluh.

“Tak ada tapi-tapi. Kalau encik nak apa-apa, buatlah appointment dulu. Mengikut jadual saya, Tan Sri tak ada appointment dengan sesiapa pukul sebelas pagi.”

Lelaki itu memandang aku. Muka dia ni… macam biasa aku nampak. Tapi, kat mana eh?

“Awak ni siapa nak halang-halang saya?”

“Saya Yara, saya PA Tan Sri. Memanglah wajib saya halang encik, encik ni entah siapa-siapa. Encik, sila beredar. Kalau tidak saya panggil pak guard.”

“Hesy…”

“Apa hesy hesyyy…”

Pemuda itu menyeluk poketnya. Aku pula yang seram.

“Encik… saya ni, nampak saja macam ni, saya ada tekwando, tali pinggang hitam bercalit-calit tau, encik. Sekalipun encik keluarkan pistol, saya boleh tepis macam cerita Bulletproof tau! Encik jangan main-main…”

“Saya nak ambil kad pengenalanlah…” Dia mengeluarkan dompet kemudian memberikan kad pengenalannya kepada aku.

Aku membacanya perlahan-lahan… Hanania Widad bin Wazir. Huih…

“Dah, tak payah nak tengok lama-lama. Awak dah tahu saya siapa, kan? Untuk makluman, Tan Sri Wazir masuk hospital. Sekarang awak PA saya. Sila ke tepi, boleh tolong bagi saya buat kerja saya tak?”

Errr… PA untuk dia?

Ceh!

****

“YA. Baik, Puan Sri. Kirim salam dekat Tan Sri. Suruh dia jangan risau tentangkerja, saya tahulah macam mana nak handle. Jaga diri baik-baik ya, Puan Sri. Assalamualaikum.”

Aku meletakkan telefon. Sebaik saja aku tahu bos masuk hospital, terus aku telefon Puan Sri. Bos pun satu, apa pasallah tak info aku awal-awal? Sekurang-kurangnya mesejlah aku awal-awal, tak adalah aku menunggu. Haih, selalu aku tengok elok saja bos. Alih-alih kena serangan jantung pula. Apa hal? Apalah benda yang bos fikir ni? Rasanya tak ada masalah di pejabat yang buat jantung dia sakit. Kasihannn… bos.

“Macam mana?”

“Haih, kau orang ni, kalau bab gosip kan…”

Mel dengan Sofea tersengih-sengih di depan aku. Eloklah, seorang bahagian kewangan, seorang bahagian HR, senang kerja aku.

“Tan Sri kena heart attack. Bukan major tapi minor. So, dia kena rehat seminggu dua dan dia tak nak terima apa-apa visitor. So, kau orang inform bos kau orang senyap-senyap saja. Jangan beritahu klien ke, supplier ke…siapa-siapa. Nanti aku yang kena pula.”

“Habis tu, mamat kat dalam tu?” Sofea menggerak-gerakkan keningnya.

“Kau ni nak tahu pasal bos ke mamat kat dalam tu? Dah dah… Pi buat kerjalah.”

Sofea mencebik. “Jomlah… PA bos dah bising.” Sofea menarik lengan Mel.

“Suruh dia sain cek tu, aku nak bagi dekat Mister Wong karang,” suruh Mel.

“Eh, dia boleh sain ke?”

“Boleh. Bukan kau kata, dia Hanania Widad? Hanania Widad pun director. Bolehlah sain.”

“Nanti aku cakap dekat dia.”

“Lepas tu call aku. Aku datang ambil cek.”

Aku mengangguk. Aku kenal sangat dengan Mr. Wong. Selagi tak dapat cek tu, sanggup duduk berjam-jam dekat lobi. Tak pernah lewat pun nak bayar tapi Mr. Wong memang macam tu. Cukup masa, sampailah…

Seperti yang dipesan oleh Puan Sri, aku perlu membatalkan semua janji temu Tan Sri Wazir hari ini. Tan Sri yang suruh. Cepat saja aku menelefon PA Dato Zakuan. Sebab itu merupakan janji temu yang paling awal. Kemudian aku telefon klien yang lain. Mujurlah sempat nak batalkan!

Sungguhpun mamat tu direktor, tapi dia bukan tahu hal-hal pejabat ni. Kalau nak harapkan Encik Redza pun, pengurus aku tu, dia ke Korea, bercuti. Kebelakangan ni, ramai sangat orang pergi bercuti di Korea. Apa kes, eh? Harga tiket kapal terbang murah eh sekarang?

Jadi, aku sajalah harapan nusa dan bangsa setakat ini. Dah tak ada orang lain yang lebih layak. Aku seorang sajalah yang mampu. Lagipun apa yang aku tak tahu? Sampaikan pasal kelapa sawit pun aku tahu. Jadi aku rasa, aku layak jadi pemangku bos setakat ini.

Ceh…

Poyo!

Kau tu PA saja, Yara… tok sah dok berangan!

Patutlah, aku biasa nampak mamat tu. Berlambak gambar mamat tu kat atas meja bos, aku boleh pula tak perasan. Malu dah setepek! Tapikan… setahu aku, mamat tu kan tak duduk di Malaysia. Bila balik, eh? Atau disebabkan dia balik, bos aku terus sakit jantung? Sahlah… Hanania ni yang jadi hantunya!

“Apa yang awak buat?”

“Subhanallah, terkejut saya!” Aku mengusap dadaku. Baru sebut dah muncul. Kambing betul! Bagilah salam ke apa ke, ini tiba-tiba muncul! Sudahlah aku sedang fikirkan tentang dia. Nasib baik aku tak sebut apa-apa…

“Apa yang awak buat? Dari tadi saya call engaged aje?”

“Saya on the phone.”

“Mentang-mentang Tan Sri Wazir tak ada, awak bergayut pula, ya?”

“Hah? Eh… Tak adalah. Saya buat kerjalah, encik. Saya batalkan semua appointment.”

“Why?”

“Errr… Sebab…” Sebab mata mamat tuterbeliaklah, aku jadi gagap. Ceh… Kau takut ke, Yara?

“Awak ingat saya tak boleh kerja?”

“Tak.”

“Awak ingat saya tak qualified?”

“Itu saya tak sure.”

“Awakkk tak sure?”

Mata dia terbeliak lagi. Kali ini aku tak takut. Aku bukan PA dia, aku masih PA kepada bos, Tan Sri Wazir. Kenapa nak takut?!

“Yalah… Mana saya tahu…”

“Awak nak tengok sijil-sijil saya pula ke?”

“Eh, tak apalah, encik. Saya banyak kerja nak buat ni. Tak ada masa nak membelek sijil-sijil encik pula. Lagipun, saya hanya terima arahan Tan Sri saja, encik. Tan Sri yang suruh saya batalkan semua appointment dia, jadi saya pun buatlah.”

Mamat tu merengus. Dia terus masuk ke dalam bilik. Kekwat sangat… Tunjuk sijil konon. Aku tunjuk sijil kesetiausahaan aku ni karanggg… Haaa… Baru rasa ada akai. Helo, Encik Hanania… Keturunan tidak menjaminkan yang kita boleh berjaya macam ayah atau mak kitalah. Ingat dia anak Tan Sri, dia boleh hebat macam Tan Sri ke? Tak ada maknanyalah kalau tak ada usaha.

Elok saja aku cakap macam tu…

“Nah.”

“Errr… Apa ni, encik?”

“Cakaplah.”

Aku letakkan telefon bimbit itu ke telinga aku.“Helo.”

“Yara.”

Suara Tan Sri Wazir memeranjatkan aku. Tadi, sewaktu telefon Puan Sri, aku tak boleh cakap dengan Tan Sri. Tan Sri tengah dirawat. Huh… Lega rasanya dapat dengar suara walaupun hanya perkataan Yara. Rasa seronok hati apabila suara Tan Sri muncul. Bila nak masuk kerja? Hesy tak agak-agak… Member baru kena serangan jantung kut!

“Eh, Tan Sri sihat ke?”

“I’m fine, Yara. At this moment, saya lantik anak saya, Han, Hanania Widad sebagai pengarah urusan syarikat. Minta Sofea keluarkan surat memangku. Surat yang menyatakan Hanania Widad memegang jawatan saya untuk sementara.”

“Okey. Baiklah, Tan Sri.”

“Appointment…”

“Saya dah batalkan. Puan Sri suruh saya batalkan. Katanya Tan Sri yang suruh.”

“Yes. Saya ingat dia tak masuk pejabat hari ini, itu sebab saya suruh batalkan. Tapi, don’t worry, Yara. Buat appointment semula. Let Han handle all. Buat sementara waktu, awak ikut saja arahan Han dulu.”

“Okey, bos. Anything for you, boss.”

“Thanks, Yara. Please keep me updated…”

“Haippp… Abang tu baru nak sihat. Jangan, Yara. jangan buat apa yang dia suruh!” Jeritan Puan Sri Hani buat aku tersengih.

Klik.

“So…”

“Saya akan buat semula semua appointment tadi.”

Mamat tu terus mengambil telefon bimbit dari tangan aku lalu masuk semula ke dalam bilik. Eleh, syoklah tu… aku kena buat kerja dua tiga kali. Seronoklah tu dah menang. Baru saja aku hendak mengangkat telefon, dia keluar semula.

Pappp!!!

Secawan kopi yang aku beli tadi untuk bos diletak di atas meja aku. Aku terkejut lagi.

“I am not a coffee person. I nak tea. English Breakfast for morning and Earl Grey for evening. Please, no sugar. Ingat… No sugar!”

“Errr…”

“I want it now!!!”

“Okey… Okey. I’ll find it for you.”

Mana pula nak cari sekarang ni? Teh Boh adalah kat pantri! Tak pasallah aku kena telefon Onn. Orang Melayu, perasan macam orang Londonnn… Menyampah! Haih, janganlah PA untuk dia… selamanya!

****

SEDANG aku teman ayah menonton TV, ayah menerima panggilan telefon. Mak pula dah selamat tidur. Yalah… Pukul berapa dah ni. Ayah pula memang tidur di depan TV. Dah kaki tak boleh nak bergerak, senang duduk di depan TV saja. Lagipun aku dah letak katil bujang betul-betul di depan ruang tamu. Semak sikitlah tapi tak apalah, senang dia nak bergerak ke bilik air. Kalau di dalam bilik susah pula. Bukannya jenis bilik yang ada bilik air.

“Terima kasih tanya khabar pak cik. Okey, tak ada masalah. Hari ini mulalah timbul bengkak-bengkak tu, macam yang doktor cakaplah. Tapi tak apa. Sikit hari lagi, okeylah tu. Ya, baiklah. Okey. Waalaikumussalam.”

Aku lihat ayah. Kemudian aku lihat pula jam. Dah pukul sepuluh malam. Siapa yang telefon pukul sepuluh malam lepas tu tanya kesihatan ayah ni? Kalau adik… tak mungkin ayah bahasakan diri ayah, pak cik. Aku melihat ayah sekali lagi.

“Siapa call?”

“Han.”

“Hantu mana call ayah malam-malam ni? Ayah kan kena berehat.”

“Han bos kamulah.”

Aku tercengang. Pula dah!

“Hari ini saja dekat tiga kali dia call ayah. Tanya khabar ayah. Ini belum jadi menantu. Kalau jadi menantu, dok bawah ketiak ayah agaknya.”

Aku tercengang lagi. Amboi… Aku pun tak telefon ayah sampai tiga kali sehari.

“Tak payah nak beranganlah ayah, dia tu ada girlfriend. Esok, orang nak pergi pilih cincin untuk girlfriend dia tu.”

Apa kenalah dengan orang tua aku ni? Semalam mak, malam ni ayah pula. Kalau berangan berpijak dekat bumi ni tak boleh ke? Ini meloncat sampai ke planet Pluto. Tak agak-agak betul.

“Haaa… Ada girlfriend dah?”

“Haaalah. Takkanlah tak dak. Anak orang kayalah, dah tentulah ada.”

“Tak apalah. Dah ada tak apa. Boleh buat jadi anak angkat.”

Aku menepuk dahi. “Ayah oiii… Orang tu langgar ayah, takkanlah ayah nak buat anak angkat? Kalau ada pencuri yang curi masuk rumah kita, ayah tangkap dia, ayah nak buat anak angkat ka?”

Ayah tergelak. “Sudahlah. Pi tidurlah. Bercakap dengan kamu ni, sampai esok pun tak selesai.”

Aku mencebik. Anak angkat konon. Anak sendiri dah ada, nak anak angkat. Aku pi cari ayah angkat baru dia tau. Betapa kecilnya hati aku ni. Ceh… Konon! Nak kecil hati pasai pa pula? Jangan nak sensitif sangatlah, Yara. Geli ketiak aku tau bila kau dalam mood sensitif ni.

Aku bingkas bangun menuju ke bilik selepas bersalaman dengan ayah. Elok saja aku nak baring di atas peraduan aku yang serba biru tu, tiba-tiba telefon aku berbunyi. Tengok nombor… Aih, Onn?

“Helo, Onn.”

“Helo, Yara.”

“Haaa… Apa kes call aku malam-malam ni?”

“Aku nak cakap esok kedai tutup. Aku takut kau datang esok, terkejut pula tengok kedai aku tutup.”

“Aik… Tiba-tiba saja tutup ni? Setahun aku datang, tak pernah tutup. Bila tukar kopi jadi teh, terus tutup pula kedai kau ni.”

Onn tergelak. “Kedai tu dah lama, anai-anai dah membukit kat belakang tu. Nak tak nak, kenalah buat pembersihan. Dah teruk sangat. Habis almari semua dia makan. Jadi, tiga hari aku tutup. Isnin nanti aku buka balik. Jangan tak datang.”

“Okey… Okey.”

“Aku tunggu.”

“Ya… Thanks sebab inform.”

“Of course.”

“Kau okey tak, Yara? Susahkan kau ke?”

“Eh, taklah.”

“Kau nak aku hantarkan uncang teh tu kat kau?”

“Ehhh… Tak payahlah. Esok minum sajalah tehbiasa. Jangan susah-susahkan diri. Thanks eh, Onn.”

Lepas Onn letak telefon, aku jadi kusut. Mana aku nak cari English Breakfast pagi-pagi? Kedai Onn sajalah harapan aku. La ni tak ada Onn, pada bahu siapa aku nak bersandar? Ceh. Bahu siapa konon. Tadi Onn dah tawarkan, kau tak nak pula. Hesy, menyusahkan dia pula. Matilah aku esok. Mati… Memang mati.

Aku mundar-mandir di dalam bilik sendiri. Telefon bimbit aku pegang. Nombor telefon Encik Han ni aku bolak-balik tengok. Nak telefon ke tak nak?

Haih…

Kalau aku tukar teh lain, agak-agaknya dia perasan tak? Sahlah dia perasan. Haih, macam mana ni? Aku kenalah mengaku saja. Tapi kalau mengaku esok, dia nak minum apa? Boleh ke minum Earl Grey pagi-pagi? Itu saja uncang teh yang ada dekat pantri. Tak terbeli pula English Breakfast hari tu.

Alaaa…

Kusut!

Kusuttt!!!

Hah, selamba sajalah, Yara. Telefon sajalah Encik Han tu. Bukan mati pun kalau tanya dia. Lagipun bukan dia boleh cekik aku dalam telefon. Belum ada lagi telefon 3D ke 4D ke… boleh keluar tangan, cekik orang sampai kiok.

Aku pun menekan nombor telefon Encik Han. Tak sampai lima saat menunggu, panggilan aku diangkat.

“Helo… Assalamualaikum, Encik Han.”

“Waalaikumussalam.”

“Saya ni, Yara.”

“Yes, Cik Yara. Kenapa awak telefon saya malam-malam ni?”

Ceh… Kau telefon ayah aku malam-malam boleh pula!

“Tadi Onn telefon saya.”

“Onn… Who?”

“Tuan kedai kopi yang selalu saya beli teh untuk Encik Han tu. Dia kata kedai dia tutup esok. Jadi, esok saya tak boleh nak dapatkan Encik Han air teh English Breakfast tu. Boleh tak kalau saya beli kopi McD?”

“No coffee…”

“Errr…. Teh McD plus breakfast. Saya belanja!”

Wah tak agak-agak aku nak rasuah.

“I don’t like McD. Lagipun, teh McD, teh Boh.”

Aduh… Banyak akal betul mamat ni. Mati ke kalau minum air teh lain?

“Kalau macam tu, air suam sajalah esok, Encik Han. Mydin pun buka pukul berapa kalau nak cari English Breakfast tu. Nanti saya lambat masuk pejabat, Encik Han marah pula.”

“Teh ros will do.”

“Hah?”

“Esok bawa saja teh ros dari rumah awak tu. Final. Assalamualaikum. Selamat malam Cik Yara.”

Klik.

Hah… Teh ros? Mimpi ke aku ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79484/pa-untuk-dia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *