[SNEAK PEEK] P.A LELAKI KEREK

9789674462031-medium

EBUKU P.A LELAKI KEREK Oleh Rose Eliza

IRDINA mengekori dari belakang. Entah ke mana Tengku Irfan hendak pergi, dia sendiri tidak tahu. Sejak dari tadi dia bertanya, tetapi pemuda itu langsung tidak menjawab. Kadang-kadang dia tidak faham dengan sikap dan perangai Tengku Irfan. Kadangkala baik, kadangkala angin, kadangkala pula dingin. Mana satu perangai Tengku Irfan pun dia tidak tahu. Adakah Tengku Irfan seorang yang cepat berubah? “Ehem… Ehem…” deham Tengku Irfan. Irdina tersentak. Dihalakan pandangan ke wajah Tengku Irfan.

“Kau menungkan apa?” Irdina sekadar menggeleng. Dia mengukirkan senyuman buat lelaki itu.
“Kau ada masalah ke?” soal Tengku Irfan lagi.
“Kita nak buat apa kat sini?” tanya Irdina tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu.
“Aku nak beli barang.”

“Barang? Barang apa?”
“Bajulah. Takkan sayur kut?”
Irdina tersengih. Sengaja dia mahu mengusik Tengku Irfan. Wajah tegang pemuda itu diperhatikan dalam diam. Dia tersenyum melihatnya. “Cuba tanya guna otak sikit,” ujar Tengku Irfan sambil merengus lalu beredar dari situ. Irdina ketawa kecil. Geli hati melihat Tengku Irfan.
“Sengaja nak naikkan darah aku,” gumam Tengku Irfan, geram. Irdina masih lagi ketawa. Dia mengekori langkah Tengku Irfan. Melilau matanya melihat pakaian-pakaian yang tergantung di dalam butik itu. Cantik dan menarik.

“Kau pilih mana satu yang kau berkenan,” arah Tengku Irfan.
“Saya?” tanya Irdina sambil menunjuk diri sendiri.
“Dah aku suruh, buat ajelah. Banyak soal pulak kau ni!” ujar Tengku Irfan, berang.
Irdina tersengih. Tanpa berlengah, dia menghampiri sehelai gaun malam. Sejak dari tadi matanya memandang gaun malam itu. Cantik gaun malam itu. Sesiapa yang memakainya pasti akan kelihatan anggun dan menarik. Aku nak pakai? Tak ada maknanya. Nampak segala lemak tepu yang terkumpul kat badan aku ni nanti, desis Irdina dalam hati. Tengku Irfan hanya memandang telatah gadis itu. Gadis itu memang pandai memilih. Matanya juga terpandang gaun malam itu.

“Saya pilih yang ni,” ujar Irdina ceria.
Tengku Irfan hanya diam. Wajah ceria Irdina ditatap buat seketika.
“Tengku Ir nak hadiahkan gaun ni pada saya ke?” soal Irdina sambil tersenyum.
Adakah Tengku Irfan ingin membeli baju untuknya?
“Kalau betul, kenapa?” soal Tengku Irfan kembali.
“Tentulah saya happy. Orang bagi hadiah pada saya. Mahal pulak tu,” jawab Irdina malu-malu sambil tersengih. Tengku Irfan hanya mendengar.
“Tengku Ir orang pertama yang bagi saya hadiah,” ujar Irdina lalu tersenyum manis.
Tengku Irfan masih lagi mendengar. Matanya menatap senyuman manis yang terukir di bibir Irdina.
“Betul ke Tengku Ir nak hadiahkan gaun ni pada saya?” tanya Irdina semula.
“Jangan nak perasan! Aku nak bagi girlfriend aku. Susuk tubuh badan dia lebih kurang kau,” balas Tengku Irfan sambil mengambil gaun dari tangan Irdina.
Dia segera menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Irdina tersentak. Terus hilang senyuman di bibirnya. Matanya memandang Tengku Irfan yang sudah pun keluar dari butik.

“Huh! Memang senget betul Tengku Ir tu,” kutuk Irdina, geram.

“Ini laporan tentang Suria Holdings, Tengku Iq,” ujar Encik Razman. Fail dokumen diserahkan kepada Tengku Iqbal lalu dia melabuhkan punggung di kerusi. Menanti Tengku Iqbal membaca laporan itu. Tengku Iqbal membuka fail. Dibaca dan diteliti laporan yang terdapat di dalam fail itu. Dia mengangguk-angguk sambil cuba memahami laporan itu.

“Apa pandangan kamu, Encik Razman?” tanya Tengku Iqbal kemudian.
“Ada peningkatan, Tengku Iq. Sejak Tengku Ir ambil alih, Suria Holdings berjaya mendapat kontrak mengedar barangan pada beberapa buah syarikat di sini,” lapor Encik Razman.
“Alhamdulillah. Satu perkembangan yang bagus. Bagaimana dengan kilang yang Suria Holdings ambil alih dulu?”
“Kilang tu berjaya mencapai target, Tengku Iq.”
“Bagus. Tu yang saya nak. Tak rugi kita ambil alih kilang tu.”
“Kilang ada keluarkan produk baru. Encik Johan mintak Tengku Ir ke sana untuk uji produk,” ujar Encik Razman lagi.
“Kalau macam tu, kamu aturkan dengan Encik Johan. Insya-ALLAH, saya akan turut serta sekali masa tu,” arah Tengku Iqbal.
“Baiklah,” balas Encik Razman sambil mengangguk tenang.
“Beberapa jahitan? Ya ALLAH!” ucap Irdina, terkejut.
“Cik Irdina jangan risau. Saya dah bagi ubat pada Encik Irfan. Tunggu Encik Irfan sedar aje,” ujar Doktor Marzuki, menghalau kerisauan di hati Irdina.
“Macam mana saya tak risau, doktor? Dia kena tikam disebabkan saya,” luah Irdina, sebak.
Peristiwa yang berlaku beberapa jam lepas bermain di mindanya.
“Dah takdir dia terkena tikaman. Kita tak boleh nak menolak takdir, Cik Irdina,” nasihat Doktor Marzuki.
Wajah gadis itu ditatap mesra. Irdina diam. Dia menundukkan wajah memandang kaki sendiri. Sudah dua kali Tengku Irfan cedera disebabkan dirinya. Adakah dia pembawa malang kepada Tengku Irfan?
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya mintak diri dulu Cik Irdina,” ujar Doktor Marzuki.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” ucap Irdina, lemah.
Doktor Marzuki hanya mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Irdina mengeluh lemah. Rasa bersalah atas apa yang terjadi mengepung diri. Disebabkan ingin melindunginya, Tengku Irfan yang menerima padah.
“Macam mana dengan Ir?” tanya Tengku Iqbal, tiba-tiba.
Irdina terkejut. Dihalakan pandangan ke wajah engku Iqbal. Riak tegang tergambar pada wajah itu. Pasti, Tengku Iqbal marah atas apa yang berlaku.
“Macam mana dengan Ir?” soal Tengku Iqbal lagi.
“Masih belum sedarkan diri, Tengku Iq,” balas Irdina dengan suara bergetar.
“Macam mana kau kerja? Aku suruh kau jaga Ir. Apa yang kau buat? Ini kali kedua, Dina. Kau cuai dalam tugas kau!” marah Tengku Iqbal. Hilang sudah kata ganti diri ‘saya’. Perasaan marah terhadap Irdina sukar untuk dibendung. Sudah dua kali Irdina cuai dalam tugasnya. Untuk kali kedua Tengku Irfan mengalami kecederaan. Adakah Irdina pembawa malang kepada Tengku Irfan?
“Saya mintak maaf, Tengku Iq. Saya cuai,” ucap Irdina, kesal lalu menunduk.
“Aku tak terima maaf kau!” balas Tengku Iqbal lalu beredar dari situ.
Irdina masih lagi menunduk. Rasa sebak apabila dimarahi begitu menghuni di hati. Bukan pintanya kejadian itu berlaku. Takdir ALLAH telah mengatur semuanya. Kenapa semua itu berlaku dalam hidupnya?

“BOLEH tak kau jalan elok-elok?” tegur Tengku Irfan dalam nada keras.
Irdina hanya tersenyum. Tidak diendahkan teguran Tengku Irfan

“Kalau kau kena langgar, aku tak nak tanggung,” ujar Tengku Irfan.
“Kenapa Tengku Ir suka marah-marah? Tak handsomelah,” balas Irdina, tersenyum.
“Suka hati akulah nak marah ke apa. Ada kena-mengena dengan kau ke?”
“Cuba Tengku Ir senyum. Mesti handsome. Mesti ramai gadis berpusu-pusu nak berkenalan dengan Tengku Ir.”
Tengku Irfan mendiamkan diri. Matanya memerhati langkah Irdina.
“Tapi, Tengku Ir dah ada girlfriend. Mesti kecewa gadis-gadis tu semua,” ujar Irdina lagi.
“Kau jalan elok-elok boleh tak?”
“Bila Tengku Ir nak kahwin? Nanti jangan lupa kenalkan saya dengan girlfriend Tengku Ir ya.”
“Kenapa pulak aku nak kena kenalkan dia dengan kau?”
“Sekurang-kurangnya saya boleh mintak tips daripada dia bagaimana nak buat Tengku Ir senyum,” ujar Irdina sambil masih tersenyum.
Tengku Irfan hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas. Matanya tidak lekang memerhati langkah Irdina. Entah kenapa hatinya berdebar-debar ketika ini. Seperti ada sesuatu yang bakal terjadi nanti.
“Tengku Ir, pernah tak…” Kata-kata Irdina terhenti apabila beg kertas yang dipegangnya dirampas seseorang. Tergamam Irdina buat seketika
“Woi!” jerit Tengku Irfan, lantang.
Tanpa berlengah, dia berlari dan cuba untuk mengejar pencuri itu. Tercungap-cungap nafasnya akibat berlari. Jarang sekali dia berlari begitu. Irdina yang melihat segera berlari mengekori mereka. Kenapa Tengku Irfan mengejar pencuri itu? Setakat beg kertas berisi gaun yang dikejar Tengku Irfan. Tidak berbaloi dan memadai.
“Ya ALLAH!” ucap Irdina, terkejut.
Tengku Irfan yang terbaring di atas jalan dihampiri. Darah pekat berwarna merah membasahi kemeja putih yang dipakai Tengku Irfan.
“Tengku Ir! Tengku Ir!” panggil Irdina, cemas. Dipangku kepala Tengku Irfan. Wajah berkerut Tengku Irfan menggambarkan kesakitan yang sedang dialami pemuda itu.
“Ya ALLAH, apa saya nak buat ni?” soal Irdina, kalut.
Tengku Irfan menekan perut sambil cuba menahan kes pujuk Tengku Irfan.
Tangannya masih menekan perut. Tindakan cuba merampas beg kertas dari tangan pencuri telah menyebabkan dirinya ditikam.
“Kenapa Tengku Ir kejar pencuri tu? Beg kertas tu tak penting. Nyawa Tengku Ir yang penting,” tegur Irdina, marah.
Dia kurang senang dengan tindakan Tengku Irfan.
“Gaun tu untuk kau. Aku nak hadiahkan pada kau,” ujar Tengku Irfan, lemah.
Irdina tergamam. Benarkah kata-kata Tengku Irfan itu?
“Aku… aku…”
Kata-kata Tengku Irfan tersekat-sekat. Matanya memandang wajah Irdina. Air mata meniti di tubir mata gadis itu. Adakah Irdina cuba menahan diri daripada menangis?
“Cik, mohon ke tepi.”
Suara seseorang mengejutkan Tengku Irfan dan Irdina.
Irdina terkejut. Dia segera menjauhi Tengku Irfan. Dia memerhati tingkah laku pegawai perubatan yang sedang merawat Tengku Irfan. Entah kenapa dia berasa sedih ketika ini. Air mata menitis membasahi pipi. Adakah dia menangis?

“KAU dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tanya Tengku Iqbal, serius.
Irdina terkejut. Lamunannya yang panjang
berterbangan entah ke mana. Dihalakan pandangan memandang riak wajah tegang Tengku Iqbal.
“Kau dengar ke tak?” tanya Tengku Iqbal semula.
“Maafkan saya, Tengku Iq. Saya tak dengar,” ujar Irdina jujur.
“Macam mana kau buat kerja? Ini kali kedua kau membahayakan Ir.”
“Saya tahu Tengku Iq. Saya pembawa malang buat Tengku Ir.”
Tengku Iqbal mendengus keras. Tajam matanya memandang Irdina yang sedang menunduk.
“Kalau Tengku Iq nak pecat saya, pecatlah. Saya terima dan akui kesilapan saya,” ujar Irdina lagi.
“Pecat? Kau dah datangkan masalah pada Ir, kau nak aku pecat kau? Kemudian, kau boleh lepas tangan. Begitu?”
“Bukan, Tengku Iq. Saya sanggup dihukum asalkan Tengku Ir selamat.”
Tengku Iqbal mengepal tangan. Rasa tidak puas hati dengan kerja Irdina menghuni di hati. Bagaimana untuk menghukum Irdina?
“Saya mintak maaf. Kalau Tengku Iq nak hukum saya, hukumlah. Saya terima,” ujar Irdina, perlahan.
Dia akui akan kesalahan sendiri.
“Aku pegang pada janji-janji kau. Kalau kau mungkiri janji-janji tu semua, aku tak teragak-agak untuk menghukum kau lebih berat daripada yang sebelum ini. Kau ingat tu,” pesan Tengku Iqbal, mengingatkan Irdina.
“Saya ingat lagi, Tengku Iq. Saya sedia menerima hukumannya.”
Ingatannya mengimbas semula janji-janji yang telah dibuat kepada Tengku Iqbal. Salah satu janji itu ialah dengan menjaga Tengku Irfan sebaik mungkin. Jika berlaku sesuatu terhadap Tengku Irfan, dia akan menerima hukuman.
“Papa,” tegur Tengku Irfan, tiba-tiba.
Tengku Iqbal tersentak. Dihalakan pandangan ke arah Tengku Irfan yang sudah pun sedar. Dilihatnya wajah itu pucat.
“Ir!” balas Tengku Iqbal sambil menghampiri katil.
“Papa,” panggil Tengku Irfan, lemah.
“Ir dah sedar? Macam mana dengan keadaan Ir?” tanya Tengku Iqbal, lembut.
Tengku Irfan cuba untuk bangun dan bersandar di kepala katil. Tingkah lakunya itu dibantu Tengku Iqbal.
“Ir nak minum? Papa ambilkan air,” pelawa Tengku Iqbal.
Tanpa menunggu balasan, dicapai jag lalu menuang air ke dalam gelas. Dihulurkan kepada Tengku Irfan dan memerhati tingkah laku anaknya itu.
“Terima kasih papa,” ucap Tengku Irfan sambil menghulur gelas kosong.
“Papa mintak nurse bawakan bubur. Sekejap lagi…”
“Dina mana papa?” pintas Tengku Irfan.
Tengku Iqbal terkejut. Kenapa Tengku Irfan mencari Irdina ketika ini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79472/pa-lelaki-kerek