[SNEAK PEEK] OOPS! SUAMI AKU BUKAN DUDA

Oops!SuamiAkuBukanDuda-medium
EBUKU Oops! Suamiku Bukan Duda Oleh Uji Norizqi

KAKI ini bagai digam tatkala berdiri di hadapan bangunan mewah Luqman Holdings. Aku tahu mr. widower ni orang berada, tapi aku tak tahu pula yang dia mempunyai bangunan tinggi yang hebat ini.

Luqman Hakimi yang sudah menutup pintu keretanya kaget melihat aku yang tidak berganjak. Jadi patung cendana ke pula tunang aku ni? Dahlah di dalam kereta buat macam orang bisu. Dua patah aku tanya, sepatah dia jawab. Penghujungnya, kami hanya melayan perasaan sendiri. Nasib baik perjalanan untuk ke pejabat tidak mengambil masa yang lama.

“Qis tunggu apa lagi tu? Cepat tutup pintu kereta. Nanti lewat masuk pejabat.”

“Hah!” Pintu kereta yang ternganga, aku pandang. Apa hal aku boleh nyanyuk pagi-pagi ni? Cepat-cepat aku menutup pintu kereta.

“Kita naik lif sama-sama, tapi kita berpisah di bahagian yang berlainan. Awak masuk ke bahagian Human Resources untuk lapor diri. Dia yang akan uruskan hal studen praktikal saya tak campur,” tegas suara mr. widower itu. Kali ini aku tersedar di depan aku ini ialah seorang ahli korporat berjaya.

Aku yang masih terpanar mengatur langkah perlahan-lahan. Luqman Hakimi berpaling ke arah aku yang lambat-lambat mengekorinya. “Bawa tak dokumen untuk lapor diri sebagai pelajar praktikal?”

“Bawa,” jawab aku sepatah sambil menunjukkan fail hitam yang aku pegang dengan kemas.

Aku hanya diam sepanjang berada di dalam lif. Dada aku tetap dilanda debaran sebelum kami tiba di tingkat enam.

“Okey, saya masuk bilik saya dulu. Hujung sana tu pejabat HR. Qis pergi jumpa Puan Syahida,” arah Luqman Hakimi sebelum menghilang.

Aku hanya memerhatikan bayangnya pergi. Apa punya tunanglah biar aku harung seorang diri? Dia kan bos, sepatutnya kenalkanlah aku kepada Puan Syahida tu dulu. Ni cakap dua tiga baris kemudian terus berlalu. Sombong juga dia ni kat pejabat.

Kau juga yang ingatkan dia dulu mahu menjalani latihan industri seperti studen lain. Tak nak pekerja dia tahu status kau orang. Jadi, betullah tindakan dia tu tadi. Kalau dia iringi kau untuk lapor diri, mesti pekerja dia pelik. Ya tak ya juga, kan?

“Assalamualaikum. Boleh saya tahu mana bilik Puan Syahida?” tanya aku kepada seorang wanita.

“Waalaikumussalam. Kat hujung sana tu bilik dia. Awak ni siapa?”

“Saya studen praktikal,” balas aku.

Wanita itu mengerutkan keningnya. “Sejak bila pula bos aku ni pakai studen praktikal?” sungutnya perlahan.

“Cik kata apa tadi?” soal aku apabila kata-katanya hanya jadi tempias di hujung telinga. Minda aku gagal mencerna apayang diucapkan oleh wanita yang tidak bertudung itu. Aku tahu dia ni orang Islam, tapi apa pasal liat nak sarung tudung? Kalau rambut tu cantik, tak apa. Ni dengan mi Maggi pun cantik mi Maggi. Sehelai rambut yang didedahkan dengan sengaja dan dilihat oleh lelaki bukan mahram balasannya tujuh puluh ribu tahun di dalam neraka, tau tak?! Semoga hatinya terbuka untuk menutup aurat dengan sempurna suatu hari nanti.

Dia tersengih sumbing. “Tak ada apa-apa.”

“Terima kasih… Saya lapor diri dulu, ya,” ucap aku sebelum berlalu.

Aku mengetuk pintu yang tertulis Human Resources itu. Seketika, terdengar suara seorang wanita mempersilakan aku masuk.

Aku menolak daun pintu. “Assalamualaikum, puan.”

“Waalaikumussalam. Qistina Airisa, kan?” soalnya mesra. Nampaknya Puan Syahida ni tak sombong. Mungkin dia telah lama berkhidmat di sini. Semestinya dia sudah berkahwin kerana gelaran puan di pangkal namanya itu.

“Ya, saya,” tuturku dengan senyuman.

“Silakan duduk. Encik Luqman telah maklumkan kepada saya dua hari lepas yang hari ini Cik Qistina akan lapor diri. Kemain dia pesan suruh pantau cik.”

Aku yang sudah melabuhkan duduk masih tidak lekang dengan senyuman. Fail yang dibawa tadi, aku tolak ke hadapan Puan Syahida. Dia mengambil fail itu lantas membelek satu persatu isi fail itu.

“Qistina ni saudara-mara bos ke?” Wanita bertudung biru itu melontarkan soalan kepada aku setelah fail aku itu ditelitinya.

“Lebih kuranglah. Kenapa ya, puan?” Ceh! Mengaku saudaralah pula aku ni. Lantaklah! Daripada aku mengaku tunang lebih baik aku mengaku saudara.

“Kalau Qis nak tahu, syarikat ni tak pernah ambil studen praktikal sebelum ni. Tahu ajelah kompeni besar macam ni mana sempat handle studen praktikal. Tapi kali ni saya pelik kerana Encik Luqman cakap dia nak pakai pelajar praktikal.”

Senyuman aku mati tiba-tiba. Tak pernah ambil studen praktikal? Hari tu cakap tak ambil studen diploma saja, tapi hari ni lain pula cerita. Kalau dah rasa terpaksa nak ambil aku, baik cakap terus. Tak perlu aku malukan diri lapor diri kat sini. Tahulah kau tu nak dekat dengan aku. Tapi, kalau ini taktik kau, memang tak acilah. Bak kata Puan Syahida tadi, kompeni kau ni selalu sibuk mana ada masa hendak mengajar studen. Kau dah buat aku bengang ni, mr. widower!

“Oh… Tak tahu pula saya… ” Kendur aku bersuara sekendur jiwa aku ni.

“Cik Qistina bertuah kerana bakal mendapat pengalaman di syarikat yang berjaya ni. Okeylah… Jom saya tunjukkan meja dan kenalkan kepada pekerja yang lain.”

“Puan boleh saya tanya apa skop kerja saya lepas ni?”

“Memandangkan awak studen akaun, awak akan handle kewangan syarikat bersama Cik Rozi dan Encik Patrick. Tapi Encik Luqman pesan hari tu, dia nak Qistina tahu banyak skop kerja. Kalau boleh, dia nak Qis turut belajar pasal pentadbiran dan pemasaran sekali. Katanya, pengalaman harus ditimba sebanyak mungkin,” terang Puan Syahida panjang lebar.

Aku mengangguk dan bersetuju. Bagus juga tunang aku tu, ya. Nak aku belajar segala skop kerja. Ini bermakna, dia ambil berat tentang aku yang nak praktikal kat sini. Adesss! Sekejapnya hati aku berbolak-balik. Tadi aku cakap bengang dengan dia, sekarang ni aku puji pula mr. widower tu.

Aku membuntuti Puan Syahida keluar dari biliknya. Mula-mula sekali dia kenalkan aku kepada pekerja bahagian luar seperti penyambut tetamu, despatch boy dan kerani. Selepas itu aku dikenalkan kepada pekerja yang berjawatan tinggi pula. Ramai juga pekerja Luqman Holdings ni. Biasalah, dah namanya kompeni besar, projek pun berjuta, takkan pekerja dua, tiga orang kut.

“Qistina ada beberapa pekerja lagi yang belum saya kenalkan sebab ada yang outstation dan ada yang MC. Ini meja Qistina. Awak boleh duduk kat sini sementara Cik Rozi dan Encik Patrick datang. Dia orang berdua dalam bilik meeting bersama Encik Luqman tu. Ada discussion tentang belanjawan syarikat. Awak berkenalanlah dengan semua pekerja kat sini. Bercakap dulu dengan kerani akaun yang lain,” ujar Puan Syahida sebelum berlalu masuk ke biliknya.

Segan aku duduk di atas kerusi. Aku pandang ke kiri dan ke kanan aku sambil menghadiahkan senyuman.

“Saya Wani, kerani akaun kat sini. Lepas ni dapatlah kita bekerjasama.”

“Saya Qistina Airisa. Boleh panggil Qis saja. Lama dah Wani kerja sini?”

“Adalah dalam dua tahun,” jawab Wani tidak berselindung. Rasanya gadis ini beza usia hanya beberapa tahun daripada aku.

“Dulu ambil kos akaun juga ke?”

“Ya, tapi diploma akaun kat Politeknik.”

“Samalah. Sama-sama studi kat IPTA, kan. Wani tak sambung degree ke?”

“Tengah sambung tapi buat PJJ sekarang ni. Belajar hari minggu saja. Hari biasa kerja.”

“Baguslah buat dua kerja dalam satu masa, Wani.”

“Biasa aje, Qistina. Saya ni bukan orang berduit. Dah dapat peluang kerja kat kompeni hebat macam ni, takkan nak tolak? Sambil tu saya belajar secara jarak jauh. Biarpun PJJ ni akan mengambil masa, tapi tak kesahlah. Janji boleh dapat segulung ijazah, kan.”

“Qistina Airisa, please come to my office,” arah Encik Patrick yang baru keluar dari bilik mesyuarat. Cik Rozi yang turut keluar dari bilik itu tidak mempedulikan aku sebaliknya meluru masuk ke biliknya.

Aku bangun kemudian menuju ke bilik Encik Patrick.

“Luqman suruh saya pantau Cik Qistina tapi saya pun confuse nak bagi kerja apa kat studen praktikal sebenarnya. Maklumlah, sebelum ni bos saya tu tak pernah ambil studen praktikal,” kata lelaki yang berbangsa Cina itu sebaik aku masuk ke biliknya.

“Saya tak kesah buat kerja apa pun, Encik Patrick,” jawab aku takut-takut. Serius aje muka Encik Patrick ni. Entah-entah lelaki Cina ni garang. Habislah aku kalau buat silap.

“Untuk minggu ni, saya rasa awak studi tentang profil Luqman Holdings dulu. Awak boleh baca fail-fail tentang syarikat. Dengan itu, awak akan tahu struktur business Luqman Holdings. Fail-fail tu awak boleh tanya kepada Wani dan Arsyad.”

“Baik, Encik Patrick.” Hanya itu yang mampu aku tuturkan untuk menunjukkan kepatuhan.

“Minggu depan awak boleh mula belajar key in invois, buku cek dan belajar buat lejar. You studi guna UBS, kan?”

Aku mengangguk. UBS adalah nama aplikasi komputer yang kebanyakan diguna oleh pelajar-pelajar akaun dan pekerja-pekerja di bidang perakaunan. Kalau kat UiTM, ada subjek tu yang perlu dijadikan tugasan. Ada juga sesetengah syarikat tak pakai system UBS ni sebab dia orang pakai MYOB. Tak beza banyak mana pun kedua-dua sistem ni, tapi kalau kita biasa guna UBS, seronoklah dengan sistem itu berbanding MYOB.

“Baguslah macam tu. Wani key in sebelum ni pun pakai UBS. Tapi pastikan kena belajar juga tentang payroll. Saya dengan Rozi sibuk sikit sebab tak lama lagi nak bentang belanjawan syarikat. Ada lagi akaun subsidiary yang belum siap. Jadi, saya tak boleh sepenuh masa nak ajar Qistina. Macam Arsyad tu, dia senior sikit berbanding Wani. Awak boleh tanya dia kalau nak belajar tentang akaun.”

Perbualan aku dengan Encik Patrick tamat setakat itu. Aku kembali ke meja bersama fail yang perlu aku telaah.

Deringan SMS mengejutkan aku yang leka membaca profil syarikat

Mesej daripada bos rupa-rupanya. Ingatkan dah lupa kat aku. Dia kan bos, mana boleh layan pelajar praktikal macam aku ni. Aku tak balas mesej daripada majikan aku itu. Tahulah dia cari aku kat bawah nanti.

“Waktu lunch dah ni. Jom kita lunch sama-sama,” ajak Wani.

“Erm… Esok ya, Wani. Hari ni saya janji dengan orang,” tolak aku dengan lembut.

Sebaik Wani turun dari pejabat, aku juga turut turun. Aku melangkah ke tempat parkir kereta milik mr. widower itu. Tak lama kemudian, kelibatnya muncul. Bunyi penggera kereta yang dipicitnya buat aku berpaling kepadanya. Mata kami saling bertentangan namun aku cepat-cepat menunduk. Aku rasa lain kerana orang di depanku kini ialah majikan aku sendiri.

“Kita makan kat vila. Mummy dan Danish dah tunggu kat rumah,” kata Luqman Hakimi sewaktu sedang memandu.

Ceh! Nak ajak aku makan di rumah dia rupa-rupanya. Ingatkan nak belanja kat hotel mana. Materialistiknya kau, Qistina. Eh! Taklah. Saja aje. Seronok apa makan dengan Danish dan Datin Rohani. Kami pun sudah lama tidak bersua muka.

****

AWAK buat apa ni? Saya bukan nak macam ni!” tengking Rozi. Fail berkulit tebal yang berwarna kelabu itu dihempas di atas meja aku. Gedepap bunyinya apabila berlaga dengan meja.

Gemuruh dada aku mendengar tengkingan itu. Terbeliak biji mata aku mengadap singa betina itu. Selama ini, kami jarang berurusan tapi entah kenapa pagi ini dia memerlukan khidmat aku. Dia suruh aku selesaikan lejar penghutang dan pemiutang. Biasanya dia arahkan Arsyad. Memandangkan Arsyad bercuti hari ini, dia dengan mudah pas kerja tu kat aku. Sepatutnya dia kena bagi kepada Wani memandangkan aku baru sebulan menjalani praktikal. Apalah sangat yang aku tahu.

Perlahan-lahan tangan aku mencapai fail yang dihempas oleh Rozi. Aku perasan banyak mata yang memandang aku.

“Saya nak awak siapkan hari ni juga. Kalau tak, jangan harap boleh keluar pejabat macam biasa!” marahnya lagi.

Aku tidak berani menentang mata anak dara tua itu. Dahlah pakai skirt paras lutut macam Malaysia ni kurang kain. Mekap tak usah katalah tebal tiga inci persis opera Cina. Angin satu badan. Baik kau kahwinlah, Rozi. Tak adalah kau meroyan tak tentu hala.

Tiba-tiba datang Puan Syahida menarik tangan Rozi untuk masuk ke biliknya. Aku mengurut dada melihat Rozi melangkah masuk ke bilik HR. Langkah Rozi nampak terpaksa namun sempat juga dia menghamburkan kerlingan tajam buat aku.

Wani di sebelah aku pandang. Dengan wajah kelat aku cuba memohon simpati.

“Tak apa, Qis. Saya tolong awak settlekan kerja tu,” tutur Wani tanpa aku pinta. Bertuahnya punya kawan sekerja seperti Wani. Tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kala aku memerlukan.

Aku membalas dengan senyuman yang belum dicampur gula. Kelat, payau dan pahit teradun sebati. Pipi aku yang panas membahang tadi beransur-ansur menjadi sejuk.

DI DALAM bilik Human Resources.

“Rozi kenapa kau tengking budak praktikal tu? Lantang benar suara kau sampai dalam bilik aku ni pun dengar.”

“Aku geram, tau tak? Tak reti buat kerja!” Rozi membentak.

“Dah namanya budak praktikal, yang kau pas kat dia tu kenapa?”

“Arsyad cuti. Wani pula buat kerja yang diarahkan Patrick. Nak tak nak aku pas ajelah kat budak berhingus tu.”

“Kau ni nasib baik Encik Luqman tak ada kat bilik dia. Dia ada urusan kat luar dengan klien. Kalau tak, masak kau nanti.” Syahida memberi peringatan kepada Rozi.

“Kenapa pula? Takkanlah bos kita nak back up budak praktikal,” bidas Rozi dengan perasaan yang berbara.

“Qistina tu saudara dia. Kalau tak, dia tak ambil budak tu praktikal kat sini. Kau pun tahu kan sebelum ni syarikat tak ambil budak praktikal. Bimbang masalah macam inilah timbul,” terang Syahida kepada Rozi yang masih angin.

“Oh, ya ke? Tak tahu pula aku Encik Luqman tu bersaudara dengan budak kampung. Tak apalah, lepas ni aku tak buat macam tu lagi.” Kata-kata Rozi tidak menggambarkan keikhlasan.

Dia masih dengan rasa berlagaknya. Mentanglah-mentanglah pegang jawatan akauntan syarikat. Encik Luqman pun telah memberi sepenuh kepercayaan kepada dia selama ini untuk uruskan kewangan syarikat.

Syahida hanya menggeleng kepala dengan sikap Rozi. Dia pun tak tahu kenapa majikannya masih bertahan dengan pekerja sebegitu. Sebelum ni, bukan Rozi tidak pernah buat hal dengan pekerja bawahan. Kerani sebelum Wani tak sampai sebulan bekerja sudah letak jawatan kerana ditengking oleh Rozi. Bayang Rozi yang sudah keluar dari biliknya dilihat dengan hujung mata.

“KAU JANGAN repot kepada Encik Luqman. Kalau tidak, siap kau aku kerjakan,” bisik Rozi sewaktu melintasi meja aku. Keras ugutan Rozi tapi aku hanya buat tidak tahu. Kemudian terdengar kuat bunyi dia menghempas pintu biliknya.

“Apa hal dengan dia tu, Wani? Angin puting beliung ke apa?”

“Aku dah kalis dengan andartu tu. Bagi aku, baik berurusan dengan Encik Patrick daripada berurusan dengan singa betina tu.”

Geram pula aku dengan perempuan berlagak macam tu. Kalau dia tu bini bos, tak adalah aku kesah sangat. Ni setakat akauntan senior, tapi dah berlagak diva. Tak kena tempat dia ni nak berlagak dengan aku. Kalau ikutkan hati yang busuk, aku nak repot aje kepada mr. widower tu. Baru dia tahu langit tinggi ke rendah.

Masa tu baru mengongoi nak minta maaf sebab baru tahu orang yang ditengkingnya tadi tunang bos. Nasib baik aku ni tak suka mengadu domba, tahu tak? Aku tak akan ambil kesempatan dengan status aku sebab bos kau tu aku masih belum sayang lagi.

“MACAM MANA praktikal selama sebulan ni. Seronok?” soal Kak Ina semasa kami sama-sama berada di ruang tamu. Azfan pula leka menulis kerja sekolahnya.

“Biasa aje, Kak Ina. Nak kata seronok tu taklah sangat. Kerja… macam tu ajelah. Lagipun Qis ni studen praktikal. Orang tak peduli sangat.”

“Ececeh… Lain benar suara adik akak ni. Siapa tak peduli, bos ke?”

“Bos tu tak adalah tak peduli, lagipun dia tu selalu sibuk. Geram dengan pekerja senior yang lain. Berlagak nak mampus!” bentak aku dengan geram kepada si andartu terlampau tu.

Kak Ina sedikit terperanjat. “Kenapa? Dia orang buat apa kat Qis?”

“Buat apa lagi, marahlah. Mentang-mentanglah kita ni budak praktikal, suka hati dia orang nak marah. Kalau Qis buat kerja salah, tegurlah baik-baik… Tak adalah terasa sangat hati ni.”

“Repot sajalah kat Si Luqman tu. Dia bukan orang lain, tunang Qis juga, kan?” cadang Kak Ina dengan bersungguh. Kak Ina, adik akak ni bukan budak kecik sikit-sikit nak mengadu. Aku dengan Luqman Hakimi umpama langit dengan bumi. Majikan dengan pelajar praktikal.

Mana mungkin aku mengadu tak tentu pasal dengan pekerja yang telah banyak berjasa kepada mr. widower tu. Aku tahu bukan senang nak urus akaun besar milik Luqman Holdings.

Kalau anak dara tua tu bengang tak tentu pasal disebabkan tekanan kerja, tidaklah seratus peratus boleh salahkan dia. Aku juga salah sebab tak periksa elok-elok sebelum serah fail tu kepada dia.

“Malaslah nak repot kat Encik Luqman. Qis tak nak campur urusan pejabat dia. Qis tak mahu pasal Qis, heboh satu pejabat, sampai ada orang kena buang kerja bagai.”

“Terserahlah kat Qis. Selagi boleh bertahan, adik akak ni kena bertahan. Tapi kalau rasa tak tahan, kena beritahu Luqman. Dia yang nak sangat Qis kerja bawah dia, jadi dia kena bertanggungjawab.”

“Qis tak kerja bawah dialah, Kak Ina. Qis bawah department akaun. Kami tak bercampur pun. Dia busy dengan pelbagai tugas, dia tak peduli pun pasal Qis. Cuma time makan kadang-kadang kami keluar bersama. Tu pun dia bawa balik makan bersama Danish dengan Datin Rohani kat vila.”

“Oh macam tu… Habis Datin Rohani?”

“Dalam sebulan ni, rasanya baru sekali Datin datang pejabat. Tu pun sebab ada meeting dengan Lembaga Pengarah. Setahu Qis, dia sibuk dengan persatuan.”

“Kesian kat adik akak ni. Sabar sajalah, ya? Pekerja-pekerja Luqman tu tahu ke yang Qis ni tunang bos?”

Aku menggeleng. “Lebih baik tak tahu daripada tahu, kak.”

“Laaa… Kenapa tak cakap?” tanya Kak Ina dengan kening yang sudah bertaut. “Kalau dia orang tahu, tentu mereka akan lebih menghormati Qis.”

“Qis yang larang Luqman bagi tahu sebab Qis nak praktikal macam studen lain. Qis tak perlukan layanan istimewa, Kak Ina. Alah, bukannya Qis ni bini dia pun nak announce bagai. Bertunang aje kan… Belum tentu kami kahwin.”

“Astaghfirullahalazim, budak ni… Kenapa cakap macam tu? Qis nak ke pertunangan ni sekerat jalan? Bunyi tu macam tak ingin sangat kahwin dengan Luqman.”

“Kak Ina pun tahu macam mana hubungan kami. Sehingga sekarang ni pun hati Qis tak terbuka lagi untuk dia.”

“Jangan macam tu, dik. Qis kena cuba. Fikirlah perasaan dia, umi, Danish dan Datin Rohani,” nasihat Kak Ina sambil menyentuh bahu aku. Telapak tangannya melurut lembut bahu aku. Dia mahu aku pegang kata-katanya itu.

Aku memandang wajah Kak Ina. Segera mata bundar aku mempamerkan wajah-wajah yang disebut oleh kakakku itu. Satu persatu datang silih berganti namun bayang Feroz datang mengganggu. Feroz dengan senyuman manisnya menjadi penghadang.

Aik! Kenapa timbul wajah Feroz pula? Kan nama itu tidak disebut oleh Kak Ina. Adakah aku ni rindu kepada Feroz? Tak mungkinlah aku rindu mamat letrik tu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/44069/oops-suami-aku-bukan-duda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *