[SNEAK PEEK] ONE TWO JAGA: MOVIE TIE-IN

One Two Jaga: Movie Tie-In Oleh Sahidzan Salleh

 

Kedengaran lagu Hindustan berkumandang dari dalam rumah. Hassan ketuk pintu dua tiga kali baru pintu itu dibuka. Rozita tercatuk di situ mengerutkan dahi melihat Hassan dan Afiq. Afiq terus masuk dan memeluk Rozita.

“Kenapa dengan muka ni?” tanya Rozita melihat kesan lebam dan bibir yang luka di wajah Afiq. Dia pandang Hassan di muka pintu. “Gaduh lagi?”

Hassan tak jawab. Dia pandang Hussein yang hanya tercegat di tepi pintu. “Ha! Masuklah dulu,” pelawanya.

“Takpelah. Saya tunggu luar je.” Hussein berasa keberatan.

“Masuklah. Biar sekejap pun. Apa ke jadahnya tunggu sorang-sorang kat luar?” Hassan menapak ke dalam rumah. Hussein di luar, mengeluh, berfikir sekejap sebelum membuka kasutnya dan masuk ke dalam.

Hassan terus menapak ke bilik tidur sambil menjerit pada Afiq. “Masuk bilik!!”

Afiq memandang ibunya. Meminta simpati. Rozita hanya menggeleng. Dia tak dapat berbuat apa-apa untuk membantu Afiq. Anaknya itu membuat salah. Dan menurut Hassan, tiap kesalahan harus diberikan hukuman setimpal. Afiq melangkah longlai menuju ke bilik tidur.

Hussein berdiri di belakang sofa, memeluk tubuh memandang keadaan rumah Hassan itu yang nampak mewah. TV plasma 60 inci lengkap dengan sistem audio berjenama mahal. Sofa kulit warna merah dan set perabot yang pasti ribuan harganya. Lantai rumah yang kebiasaannya hanya ditempel jubin biasa telah digantikan dengan kayu parket yang berbeza warna dan coraknya untuk setiap sempadan ruang rumah itu. Di siling, tergantung lampu chandelier yang disempurnakan dengan lampu-lampu kecil di empat penjuru ruang tamu dan dinding rumah. Dari luar, rumah Hassan itu nampak biasa-biasa saja. Tapi bila masuk dalam, macam rumah orang ada-ada. Mungkin isteri Hassan ni berniaga, fikir Hussein. Pasal tu boleh hias rumah mereka sebegitu cantik.

“Duduklah,” pelawa Rozita pada Hussein. “Akak buatkan air.”

“Err… kak, takpelah,” kata Hussein. “Kitaorang tengah bertugas ni. Kejap je.”

“Apa masalah kau ni?!!” Kedengaran suara Hassan di dalam bilik tidur diikuti bunyi libasan dan jeritan Afiq.

Rozita mengeluh, melangkah ke dapur.

Hussein bertambah kekok. Dia duduk di sofa, termenung ke kaca TV yang menayangkan adegan sensual filem hindustan.

Zappp!! “Degil! Melawan, ha?! Melawan?!!” Hassan di dalam bilik terus melibas anak sulungnya itu. Afiq makin kuat menangis dan meminta ayahnya untuk berhenti memukulnya.

Rozita kembali ke ruang tamu membawa segelas air sirap. “Teruna lagi?” tanya Rozita sambil meletakkan gelas minuman itu di depan Hussein.

“Ha?” Hussein terpinga-pinga memandang Rozita melabuh punggung di sofa.

“Orang baru?”

“Oh. Ya…”

“Teruna lah tu,” Rozita tersenyum. “Tu yang asyik ingat tugas je.”

Hussein terkedu. Bunyi libasan dan jeritan Afiq masih berterusan. Rozita yang hanya memandangnya di sofa itu membuatkan dirinya berasa betul-betul janggal. Adegan sensual hindustan di kaca TV tanpa suara, renungan mata Rozita, bunyi libasan dan jeritan Afiq di bilik tidur, membuatkan perasaannya kacau bilau.

“Minumlah air tu,” Rozita bangun dan melangkah ke dapur.

Bilik tidur itu pun telah senyap. Tiada lagi bunyi libasan dan suara jeritan. Seketika, Hassan keluar dari bilik dan mengunci pintu bilik itu. “Takde game, takde lagi TV!!” Dia bersuara keras di depan pintu sebelum menapak ke sofa. Dia nyalakan sebatang rokok dan pandang TV.

“Cerita apa kau tengok ni?” tanya Hassan pada Hussein.

Hussein bingung. Tak tahu nak jawab apa.

“Awak tak suruh bangla tu baiki aircond tu lagi ke?” tanya Hassan pada Rozita pula.

“Petang karang lah!” sahut Rozita di dapur.

Hassan yang tercegat di tepi sofa mencapai remote TV dan tukar siaran. Siaran ulangan Liga Perdana Inggeris. Arsenal vs Manchester United. Suara TV dibesarkan sedikit.

“1-3??” Hussein berkerut. “Team kau MU kan?” tanya Hassan pada Hussein.

“Err… saya tak minat bola, bang.”

“Dah tu, kau minat apa? Hindustan?” Hassan tukar siaran kembali ke filem Hindustan tadi.

“Tengahari nanti masak lebih sikit!” laung Hassan pada Rozita. “Hussein makan sini!”

Hussein terpinga namanya dipetik.

“Dia baru tiga hari kat unit abang ni ha!” sambung Hassan lagi. “Abang jadi penyelia dia.”

“Bang!” Rozita memanggil Hassan. “Sini kejap!”

Hassan melangkah ke dapur. Pergi ke singki dan petik abu rokoknya di situ. Rozita sedang memotong sayur-sayuran di sebelahnya.

“Angah call tadi,” ujar Rozita. “Dia tanya, macam mana dengan duit deposit resort untuk familiy gathering tu? Dah nak kena bayar hari ni.”

“Duit yang saya bagi untuk awak simpan tu, awak buat apa?”

“Dah buat belanja lah, bang,” keluh Rozita. “Barang sekarang ni kan semua dah mahal.”

Hussein di ruang tamu meneguk air sirapnya. Dia cuba mengelak daripada mendengar perbualan Hassan dan Rozita itu. Hal rumah tangga orang tak elok didengari. Tapi dia tak mampu. Dia pun keluarkan telefon bimbit dan membelek akaun facebooknya.

“Ni nak berapa pula ni?” tanya Hassan.

“Tiga ribu.”

“Huish! Mahalnya!!” Hassan beralih dari singki dan ambil satu cawan di meja. “Nak buat apa? Sewa chalet ke penthouse tu?”

“3 hari 2 malamkan, bang. Campur makan lagi memanglah mahal,” kata Rozita membuka pili paip singki dan meletak sayur-sayurannya di situ.

Hassan kepit rokok di bibir dan tuang air sirap dari jag ke cawannya.

“Dulu masa duk bincang, semua abang setuju. Main angguk je,” sambung Rozita lagi. “Cakap macam orang kaya-kaya. Macam datuk-datuk. ‘Ha..takpe, takpe..makan minum nanti semua saya tanggung. Takpe..jangan risau!’ Huh!”

“Tak, masalahnya awak ni dah nak terberak baru nak korek lubang.” Hassan membasahkan tekaknya.

“Dah banyak kali saya ingatkan abang,” balas Rozita. “Abang yang tak pernah ambil serius benda-benda macam ni. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Saya dah tak larat lah! Penat lah, bang, asyik ulang benda yang sama je selalu.”

“Dah lah!” Hassan menjengah ke ruang ramu memerhatikan Hussein. Tiba-tiba dia berasa segan pula membiarkan Hussein mendengar isterinya membebel begitu. Dia pandang isterinya kembali. “Berapa nak kena bayar hari ni?”

“1500…” jawab Rozita.

Hassan buka topi dan menggaru kepala botaknya. Kemudian dia ke pintu dapur dan menjentik puntung rokoknya keluar. “Nanti abang bagilah. Abang tak boleh lama ni. Nak sambung kerja. Bukan abang seorang.”

Rozita berpaling ke ruang tamu melihat Hussein di situ. Kaku memegang telefon bimbitnya.

Hassan menapak ke ruang tamu semula. Topi baseball disarung ke kepala. “Sein, jom!”

Hussein angguk, bangun dan memandang Rozita di dapur. “Kak, pergi dulu. Terima kasih.”

“Sama-sama!” sahut Rozita tersenyum simpul di dapur membalas pandangan Hussein.

Di luar rumah, kedengaran suara kanak-kanak berkejaran di hujung koridor. Hassan dan Hussein menapak ke pintu lif. “Pakcik polis! Pakcik polis!” jerit seorang budak lelaki di hujung koridor itu ke arah mereka. Hussein berpaling. Sebiji bola sepak melayang ke arahnya. Mujur dia sempat mengelak. Dan bola itu sipi-sipi melintas di telinga Hassan sebelum melanggar pintu lif.

“Hoi! Korang nak kena??!” jerit Hassan pada budak-budak di situ yang bertempiaran lari masuk rumah masing-masing. Hassan sepak bola tadi ke hujung koridor semula.

“Dah lama ke abang tinggal sini?” tanya Hussein masuk ke dalam lif.

“Dah lima tahun juga,” jawab Hassan. “Kenapa?”

“Tak. Tanya je. Apasal tak beli rumah teres? Lagi selesa.”

Hassan gelak. “Kau nak bagi aku duit ke?”

Keluar dari lif, mereka menapak ke parkir lot. Hassan seluk kocek keluarkan kunci kereta dan beri pada Hussein. “Kau bawa, boleh?”

Hussein angguk menyambut kunci itu dan masuk ke kereta. Dia buka tingkap dan pasang tali pinggang keledar. Hassan di sebelah juga membuka tingkap lalu menyalakan rokok. Hussein hidupkan enjin sambil memandang Hassan.

“Apasal?” tanya Hassan.

“Seat belt, bang.”

Hassan tersengih. Menggeleng. “Kau bawa je lah kereta tua ni elok-elok. Jangan accident, dah!”

Hussein menarik nafas panjang. Tolak gear dan mereka mula bergerak.

“Bagus kau, eh? Tak hisap rokok. Pakai seat belt,” kata Hassan. “Aku ni memang tak bolehlah. Rokok ni dah macam oksigen. Kena sedut selalu. Kalau tak, fikiran tak jalan. Aku harap kau tak kisah.”

“Tak kisah, bang,” sahut Hussein. “Tapi kita ni kan, polis. Kenalah pakai seat belt. Macam mana kita nak expect orang patuhi undang-undang kalau kita sendiri tak ikut?”

Hassan berkerut. Nerd habis budak baru ni. “Kau baru lagi, Sein. Dah lama nanti, hal-hal remeh macam ni kau dah malas nak fikir dah.”

“Tapi tadi bukan hal remeh, bang.”

“Hmm?”

“Orang yang saya tahan tadi tu,” kata Hussein. “Patutnya kita tahan, bawa ke balai.”

Hassan menyedut dalam rokoknya. “Kerja kita ni, bukan main tangkap-tangkap orang sesuka hati kita tau. Unit Siasatan Jenayah. Kita menyiasat dulu. Dah confirm ada kes, baru buat tangkapan. Kalau takde kes, kau nak buat tangkapan apa?”

“Takde kes?” Hussein mengerutkan dahi. “Dia pasport palsu tu, bang. Takde kes apanya?”

“Anak aku ada tadi,” jawab Hassan selamba.

“Pagi tadi saya tengok kat papan kenyataan tu berlambak-lambak kes. Tapi kita kat sini macam buat tak tahu je,” Hussein tersengih. “Mana ada penjenayah nak datang serah diri.”

Hassan termenung sendiri.

“Ha! Ni, depan ni…” Hussein menuding ke arah tapak pembinaan bangunan di depan mereka. “Takkan semua orang kat situ takde yang sangkut? Mesti ada yang takde permit kerja tu.”

Hassan membetulkan duduknya memandang ke arah tapak pembinaan. Dia mula berasa tak sedap hati. Hussein terus membelok dan bergerak masuk ke kawasan pembinaan itu. “Jom lah, bang. Kita check kejap.”

“Eh, ni… ni bukan zon kita, Sein,” Hassan nampak gelabah.

“Alah, abang sendiri juga yang cakap tadi, zon kita dah okey.” Hussein memandu perlahan masuk ke tapak pembinaan itu. Kelihatan beberapa orang buruh binaan memerhatikan mereka di tepi jalan.

Aduh! Apa aku nak buat ni? Hassan mengeluh dalam hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/207127/ONE-TWO-JAGA-Movie-Tie-In

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *