[SNEAK PEEK] NOTA CINTA ORIGAMI

NOTA CINTA ORIGAMI Oleh Ruby Hazri

PROLOG

Lima tahun lalu…

BARU beberapa jam tadi mereka berpamitan salam dan berkongsi gelak ketawa dalam kereta. Malah, pesanan isterinya masih kukuh terlekat dalam minda.

“Jangan lupa pula hadiah hari jadi tu.” Pandangan Aina Sophia sekilas mengerling tempat duduk belakang terutama pada sebuah kotak berbalut kertas comel.

Faris angguk, patuh.

“Hmm… Pandu kereta hati-hati, ya bang,” pesan isterinya.

Dia yang gemar berjenaka terus membuat aksi tabik hormat. Masih terngiang-ngiang ilai tawa wanita yang telah berkongsi kasih dengannya sejak lebih dua tahun lalu. Belakang tangannya masih terasa hangat ciuman isterinya. Namun dalam sekelip mata, panggilan dari ibu pejabat polis tiba-tiba meranapkan seluruh sejarah beberapa jam lalu. Aina Sophia sudah menjadi arwah.

Telefon bimbit dalam genggaman menggelongsor jatuh ke lantai. Sampul coklat di genggaman terjatuh dari tangan. Dirinya bagaikan hilang ampu untuk berdiri. Kepala lututnya berasa longgar. Jari-jemarinya menggigil tanpa sebab. Hanya sesekali telinganya mendengar sayup-sayup suara pegawai polis menyebut ‘helo’ berkali-kali dari telefon bimbitnya. Tapi, bibirnya tidak berupaya lagi mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“Faris!” Satu suara memanggil namanya, nyaring. Zikri, rakan setugasnya berlari laju ke arahnya. Tubuhnya yang tadi kehilangan daya terasa dipaut untuk bangkit semula.

“Kenapa ni, Faris?” Tiada jawapan.

Zikri membantunya untuk bangun dan berjalan menuju ke bilik. Seluruh beban bagai dilepaskan ke dalam pautan tangan rakan setugasnya.

“Telefon aku.” Hanya dua patah kata itu mampu dikeluarkan. Itu pun kerana terpaksa demi melihat telefon bimbitnya tersadai di lantai.

Zikri berpusing ke belakang. Matanya berjaya menemui telefon bimbit temannya itu sedikit terlindung di bawah sehelai sampul surat coklat. Zikri mengambil lantas menerkap telefon itu ke telinga. Senyap. Taliannya telah terputus.

“Aina, Zikri!” Faris cuba menjelaskan beberapa minit kemudian.

“Okey… okey, kita masuk ke bilik dulu,” arah Zikri tidak mahu berbual di luar bilik ini. Menyaksikan keadaan Faris tadi yang hampir jatuh, Zikri tahu ada masalah besar telah menimpa sahabatnya ini.

Sebaik pintu bilik Zikri ditutup rapat, Faris terus memegang kedua-dua belah bahu Zikri. Kolam matanya rasa teramat berat kini.

“Aina meninggal dunia, Zikri.” Terketar-ketar suara Faris memaklumkan.

“Meninggal dunia?” Zikri terpinga-pinga. Tidak sanggup untuk dia mengucapkan innalillah… Fikirannya sendiri seperti tidak boleh menerima.

MELISSA mengelap bibirnya dengan napkin berona pic, sebelum meletakkan cermat di sisi kanan pinggan makannya. Dia mengerling sekilas lelaki di hadapan. Lelaki itu makan tanpa sedikit pun memandangnya. Cuma dia yang terhegeh-hegeh menolak rasa malu berbual itu dan ini. Melissa menyilangkan garpu dan pisau di atas pinggan yang masih berbaki lebih separuh daging stiknya. Setelah menyisip sedikit air putih dari gelas tinggi, dia tiba-tiba berdiri. Matanya memandang kiri kanan kurang selesa jika aksinya mendapat perhatian orang sekeliling ruang restoran.

Lelaki bernama Faris di hadapan terkejut. Menyedari ada beberapa pasang mata memberikan tumpuan kepadanya, dia memaniskan wajah serta-merta. Dengan tertib, dia mengambil tas tangan di sisi kerusi.

“I nak ke washroom sekejap,” pintanya lembut. Butir bicaranya tidak mendapat reaksi balas. Melissa mendengus geram.

Dengan langkah yang sengaja diatur gemalai, dia masih mampu menjaga gengsi saat berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Mata-mata yang memerhati masih melihatnya sebagai seorang yang menjaga tertib. Langkahnya tidak terkocoh-kocoh seperti orang dikejar sesuatu. Adapun hatinya mendesak benar-benar untuk berlagak begitu.

Terlihat sahaja pintu tandas wanita, dia terus menerpa masuk. Nafas yang ditahan-tahan dilepaskan sepuas hati. Tapak kasutnya menghentak lantai jubin beberapa kali. Dia mengerang sakit hati.

“Bodoh! Bodoh!” Dia melepaskan kemarahan.

Rambut gaya Bob Hairstyle separas dada ikut mengerbang. Melissa membetulkan dengan jari-jemarinya. Kemudian, dia meraba-raba isi tas tangan Coach. Blackberry Classic dibawa keluar. Telunjuknya berlari-lari di skrin sesentuh sambil beralih ke cermin besar di singki. Wajahnya ditilik berkali-kali ketika menanti panggilannya bersambut. Sebelah tangannya masih membetulkan gaya rambut. Panggilannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba. Juga gagal.

Buat meredakan rasa sakit hati, bibirnya dilekap buat meratakan warna gincu yang mungkin tersisih ketika makan tadi. Alis mata dikuis. Mata dikelipkan beberapa kali kalau-kalau maskara tidak sekata. Kemudian, Blackberry Classic dimasukkan kembali ke dalam Coach. Tangannya mencari-cari benda lain di situ. Akhirnya, Chanel lipstik daripada jenis Rouge Allure Velvet dari warna 40 La Sensuelle dioles ke bibir. Lagi sekali kedua bibirnya melekap meratakan warna gincu. Bedak kompak daripada jenama sama juga dikeluarkan. Wajahnya mula nampak berminyak biarpun berada di dalam restoran berhawa dingin.

Belum sempat dia mendandan semula wajah sendiri, Blackberry Classic berbunyi nyaring. Bedak kompak diletak ke tepi. Sekali lagi dia meraba-raba tas tangan. Dia membetulkan suara terlebih dahulu setelah melihat paparan nama pada skrin pemanggil.

“Helo, mami!” Suaranya kembali mesra. “Ha’ah… Lisa call tadi,” jawabnya bersopan santun. “Masih kat restoran,” terangnya. Dia mula mengezip tas tangan sebaik bedaknya dimasukkan semula. Dia berjalan ke arah pintu keluar.

“Sekejap lagi.” Suaranya diiringi ketawa halus. Seolah-olah penawar sakit hatinya telah ditemui dengan hanya berbual dengan suara pemanggil bernama mami.

“Doa-doakan kami ya, mami.” Dia meletakkan sebuah harapan. Suaranya bersulam ketawa. Kakinya riang me­langkah semula ke dalam restoran. Matanya kembali bercahaya memberi perhatian kepada lelaki tampan yang duduk bersendirian di meja yang ditinggalnya sekejap tadi. Hati yang meronta-ronta sakit sebelum ini pulih dalam sekelip mata. Bibirnya mengoyak senyuman.

“YOU bawa kereta, kan? Tumpangkan I balik… tadi I datang dengan teksi.”

Faris tidak jadi melangkah. Tiba-tiba tubuhnya menjadi keras. Badannya secara automatik berpusing ke belakang.

“Apa?!” Kedua keningnya hampir bertaut. Matanya singgah sekejap ke wajah Melissa sebelum memandang kiri kanan. Mulut Faris sedikit terlopong. Dia tidak tahu hendak memilih perkataan apa. Hanya tangannya mencekak sebelah pinggang.

Melissa menggigit bibir sendiri. Dia tidak sedar mengeluarkan permintaan itu di depan lelaki seperti Faris.

“M… Mami yang…” Lontaran kunci kereta daripada Faris pantas mematikan ayatnya. Nasib baik juga dia sempat menyambut lontaran itu.

“Kereta aku di B1. Nanti kuncinya beri kepada mami.”

Bulat mata Melissa mendengar butir perkataan Faris. Belum pernah dia mendapat kata-kata dan cara sekeji itu daripada mana-mana lelaki. Sebal rasa hatinya. Mahu saja dia menendang lelaki yang sedang menuju ke pintu lif.

Namun, dia tahu siapa Faris. Faris bukan jenis lelaki romantik dan lemah lembut dengan perempuan. Sudah beberapa kali dia keluar dengan Faris. Melissa memandang kiri kanannya, kalau-kalau ada yang mengesani tindakan dia dimalukan. Mujurlah rakyat Malaysia ini jenis buat tidak kisah.

Melissa memilih menggunakan eskalator sahaja. Dia malu tiba-tiba untuk menggunakan lif. Segan untuk berhimpit-himpit di dalam lif dengan adanya Faris di situ. Ayat terakhir Faris jelas menunjukkan pertemuan mereka telah pun tamat.

Di depan pintu lif, Faris menoleh seketika pada Melissa. Perempuan itu sedang menapak ke arah eskalator ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka. Faris tidak jadi memasukinya. Sebaliknya, dia menuju ke pintu masuk utama bangunan. Dia membawa keluar Samsung Galaxy S6. Ibu jarinya bergerak di skrin sesentuh. Nama Zikri dicari dalam senarai call log.

“Zikri, kau dah masuk pejabat?”

“Datang ambil aku sekejap.”

“Ya, sekarang.”

“Aku kat entrance.”

“Okey.”

Faris melepaskan keluhan. Gara-gara perempuan, dia harus menjarakkan hati sebegini rupa. Akibat daripada seorang perempuan juga, dia bukan lagi seperti Faris lima tahun dulu.

“SAJA-SAJA dia tu, Lisa.” Mami June cuba berdiplomasi. Suaranya dilunakkan. “Okeylah, nanti mami ke sana,” janji Mami June. “Jangan ambil hati sangat dengan Faris tu. Dia memang selalu macam tu. Tapi hatinya baik tau, Lisa.” Apa lagi yang mampu Mami June jual? Tentulah dengan perkataan baik itu sahaja untuk Faris. Sedangkan ‘baik’ itu telah beberapa tahun hilang daripada diri Faris.

Setelah beberapa ayat bertukar antara mereka dan berpamitan salam, Mami June menamatkan panggilan. Dia mengeluh kecewa. Nasib baiklah Faris tidak ada di depannya sekarang. Jika tidak, mulutnya ini mahu juga meluahkan kata-kata tidak puas hati.

Adakah patut Faris meninggalkan keretanya kepada Melissa? Dia sedarkah siapa Melissa itu? Dia ingat Melissa itu pemandunya atau mekaniknya? Lama berfikir, Mami June kembali ke dada komputer ribanya.

 

Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan

Tugas menjaga seorang wanita yang sedang

koma berusia 57 tahun.

Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.

 

Tugasan:

Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut, potong kuku dan beberapa lagi)

Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

Gaji : RM900.00 (sebulan)

Pengangkutan : RM10 (sehari)

Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

Makan minum disediakan

 

Masuk kali ini telah tujuh kali dia mengiklankan jawatan sama. Semuanya masih belum mendatangkan hasil. Belum ada seorang pun yang sanggup menyahut cabaran jawatan ini. Hendak menggaji pembantu rumah luar negara, dia kurang yakin. Malah di rumah ini, Mak Jah – pembantu rumah mereka semenjak dahulu lagi tidak pernah bertukar. Hanya disebabkan usia Mak Jah yang tidak lagi segagah dululah, Mami June harus mencari orang lain untuk menjalankan tugas-tugas rutin di kamar kakaknya itu.

Bukannya tidak ada langsung yang sanggup membuat kerja ini. Ada. Malangnya semua sempat bertahan untuk sebulan dua sahaja. Semuanya disebabkan mulut bisa anak saudaranya. Kalaulah ada robot yang boleh buat kerja macam itu, pasti dia tidak berhempas pulas mencari orang. Bila dia merungut begitu di depan anak saudaranya itu, Faris meradang.

Lagi sekali dia membaca iklan yang bakal diiklankan di akhbar nanti. Iklan sama juga dua bulan lepas. Hanya terdapat beberapa tambahan di imbuhan termasuk bayaran kerja lebih masa dan pengangkutan. Segala-galanya untuk menarik perhatian. Lumayan betul sekarang sumber pendapatan kerja di Malaysia.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203283/Nota-Cinta-Origami