[SNEAK PEEK] NIKINA

NIKINA oleh Nadia
Khan

Aku pertama kali nampak dia bila dia masuk kelas, pertengahan tahun. Budak baru yang masuk sekolah tengah-tengah tahun ni, mak bapak dia mesti jenis selalu pindah-randah. Macamana agaknya perasaan tu – selalu pindah-randah? Sebagai seorang yang duduk kat rumah flat yang sama selama 13 tahun (ketika tu) dan berkongsi dengan lebih sepuluh orang (ketika tu), aku lebih ingin tahu tentang keadaan rumah dia daripada dia sendiri. Aku pernah bagitau ni kat dia dan dia usik aku – dia kata kalau budak lelaki lain takkan fikir benda macam tu. Semua akan tengok dia dan mula buat macam-macam tanggapan pasal diri dia.

Perkara pertama yang aku yakin budak lelaki lain tak lepas pandang – dia lawa. Bukan sejenis stereotaip macam budak perempuan lain yang bersembunyi di sebalik rambut panjang. Rambut dia pendek – pendek yang tak sekata. Macam awek dalam cerita Aeon Flux tu. Tak semua budak perempuan boleh cukup konfiden untuk buat rambut macam tu. Rambut tu seolah-olah mengatakan “Gi mampus” dengan cara yang paling halus. Kalau aku betul-betul jujur, waktu aku mula-mula nampak dia sebenarnya aku takut dengan dia.

Perkara kedua (dan perkara ni yang membuatkan dia sedikit kecundang di sekolah baru) yang jelas ketika dia perkenalkan diri di depan kelas – dia cakap omputih. Tak salah, cuma stigma terhadap budak yang cakap omputih kat sekolah macam ni… biasalah. Budak berlagak la, perasan mat salleh la. Budak-budak lelaki yang rasa tercabar dengan dia akan terus fokus kat benda ni, sementara budak-budak perempuan yang tak sukakan persaingan baru akan setuju je dengan budak-budak lelaki.

Jadi, untuk minggu pertama dia kat sekolah tu, aku selalu nampak dia makan sorang-sorang kat kantin. Sekali-sekala ada la yang duduk sebelah, tapi dia akan bangun kalau dia dah habis makan dan takkan duduk-duduk dan borak kosong. Ramai jugak yang ejek-ejek dia, tapi belakang-belakang la. Budak-budak sekolah ni memang macam tu. Depan-depan tak berani.

Dalam kelas pun dia tak banyak cakap. Tapi aku tahu dia genius sebab bila cikgu suruh jawab soalan kat papan hitam, power je dia boleh jawab. Kelas Bahasa Inggeris toksah cerita la; dia berdebat sakan dengan cikgu.
Aku sendiri tak tahu kenapa aku ambik masa sebulan sebelum aku betul-betul bercakap dengan dia. Aku ni bukanlah jenis pemalu sangat pun. Mungkin ni berbalik kepada perasaan takut yang aku cakap tadi tu. Tapi aku buang perasaan takut tu sebab aku tak berapa tahan bila tengok dia dok menyendiri macam kera sumbang tu. Rasa kesian. Tapi ni tak jugak bermaksud yang aku merapati dia atas dasar simpati. Entahlah, susah aku nak jelaskan. Tapi macam ada satu magnet yang menarik aku kepada dia.

Jadi satu hari, waktu dia makan sorang-sorang kat kantin, aku tunggu je untuk tempat duduk sebelah dia tu kosong. Ish, lama pulak lah budak sebelah dia tu melahap nasi lemak bungkus. Sampai dua bungkus pulak tu. Aku menunggu dengan penuh tekun. Sekali, dia bangun! Ah, dem! Nampaknya taktik duduk sebelah tak menjadi. Habis tu, nak buat apa ni? Takkan nak ikut dia macam stalker? Lain macam pulak. Aku pernah dengar yang dia ni ada black belt judo ke, karate ke apa entah. Dia lipatnya aku kang, naya gak. Malu pun malu kalau orang nampak.
Bila dia melangkah keluar dari kawasan kantin, dalam keadaan panik mulut aku hilang kawalan dan menegur,

“Hai.”

Dia berpaling. Mungkin dia tak pasti kalau teguran tu ditujukan pada dia. Itulah kali pertama aku nampak ekspresi muka dia yang kini aku panggil “serut” – senyum sambil dahi berkerut. Masa tu aku tak berapa paham apa maksud ekspresi ni, tapi lama kelamaan korang pun akan tahu maksudnya.
“Yes?” katanya. Ah sudah, dia akan cakap omputih ke dengan aku? English aku (masa tu) boleh tahan kongkang.
Tiba-tiba, aku terfikir sesuatu…

“I want to ask. Can you teach me English?” (Jangan tanya aku dari mana datang idea bernas ni.)
Dia pandang aku. Masih dengan serut dia. Setiap kali bila kitorang mengenang balik kisah ni, dia akan cerita kat aku yang dia ingat aku bahan dia – sama macam budak-budak lelaki yang lain. Tapi dia juga cakap yang dia dapat rasa sejenis keikhlasan datang dari raut wajah aku yang kiut lagi innocent (ni dia yang cakap, bukan aku yang menambah ye. Setiap kali dia cakap, mesti aku blushing. Makin galak la dia mengusik. Siot betul).
“Your English sounds fine to me,” balasnya.

“Err… only simple English. And writing English, okay. Speaking English not so good.” (Jangan gelak! Aku dah cakap English aku kongkang kan masa tu.)

“Spoken English.”

“Hah?”

“Spoken English, not speaking English. And written English,” dia membetulkan.

“Yes. See? Not good.” (Dah bunyi macam mamat Bangla baru turun kapal je ni.)

“How do you want me to teach you? Tuition after class?”

Menarik gak tu. Boleh aku selalu jumpa dia. Tapi nak buat kat mana? Buat kat sekolah kang, kena bahan. Nak buat kat rumah aku? Memang taklah. Rumah aku tu nak berdiri pun takleh sebarang tempat, punya la takde ruang. Inikan pulak nak duduk bersila buat tuisyen bagai. Lagipun aku segan nak ajak sesiapa datang rumah aku.

“Why don’t you talk to me in English? Every rehat.”

“Recess.”

“Yes, recess. Like this.”

Dia senyum. Tanpa dahi berkerut. Senyum yang buat aku berjaga malam tu, nak mengenalpasti ada apa dengan senyuman tu yang buat aku jadi tak tentu arah.

“Sounds like a plan,” katanya.

And what a wonderful plan it was.
(Nampak kan? English aku dah tak kongkang.)

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271735/NIKINA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *