[SNEAK PEEK] MIMPI YANG SEMPURNA

Mimpi Yang Sempurna oleh Aiza Qriselda

PUAS. Gembira. Bersyukur. Tiga perkataan untuk menggambarkan rasa hatiku saat ini.

You make the call” – Ternyata Encik Haiman mengotakan janjinya, menyebabkan aku rasa hilang akal seketika saat hasil akhir terpampang jelas di depan mata. Segala-galanya… bermula daripada kad jemputan, makanan, majlis khatam Al-Quran sehinggalah ke majlis resepsi, semuanya mengikut permintaanku. Walaupun hanya ini satu-satunya majlis kami, tanpa majlis lain di Serom mahupun di rumah ibu mentuaku, aku merasa puas.

Happy?” bisikan menyapa telinga.

“Bersyukur. Dan penat.” Aku ukir senyuman paling manis.

Come.”

Tanganku ditarik dan aku dibawa ke dalam pangkuannya. Pinggangku dirangkul lembut dari belakang dan along muncul secara tiba-tiba mengambil gambar kami.

“Sebab kau orang pengantin baru, maka along tahan muntah pelangi along dan abadikan sweet moment kau orang guna gadget canggih along ni. Kalau tak…” Along menggeleng-geleng. “Hesy, macam manalah adik along yang lasak ni boleh tukar jadi romantik tiba-tiba? Kau jampikan dia apa, Haiman?”

Aku dah bercekak pinggang dan ingin berdiri mendekati along tetapi Encik Haiman menghalangku.

Let it be, sweetheart.

Aku duduk semula. Kali ini aku memilih tempat di sebelah Encik Haiman, bukan lagi di atas pangkuannya.

“Saya tak jampi apa pun, along. Adik along ni yang jampi saya.”

Mataku membulat dengar ayat berani mati encik suami. Walaupun aku terharu bila dia memanggil alongku yang lebih muda daripadanya sebagai ‘along’, rasa terharu tersebut berlalu begitu saja sebab dia menuduh aku menjampinya.

Uiks! Wardah dah besar bijik mata. Nasib kaulah, Haiman. Along lari dulu!”

Memang sengaja cari pasal betul along hari ini. Siaplah kalau aku jumpa dia lagi selepas ini tanpa Encik Haiman di sebelah. Tahulah aku hendak balas apa. Sekarang, selesaikan dengan Encik Haiman dulu.

“Cakap Mayra jampikan abang, ya?” Aku mencerun memandang Encik Haiman sambil menyoal geram.

Mayra. Nama yang pertama kali dipanggil sejak aku bangun tidur pagi tadi, khas daripada Encik Haiman untukku, singkatan daripada Umayra, dengan alasan sebab tak nak sama dengan nama yang orang lain panggil.

“Betul pun, kan?”

“Ingat Mayra ni tok bomoh ke apa nak jampi-jampi orang?”

“Puan bomoh yang cute.”

Aunty long!”

Perbualan kami terganggu sebab Zara dah naik ke atas pangkuanku. Kedua-dua belah tangannya melingkar pada leherku yang terselindung oleh selendang.

“Hai, Zara sayang…” Aku cuit manja hidungnya.

Aunty long cantik hari ni,” katanya.

“Yalah tu aunty long cantik?” Encik Haiman menyampuk. Bila kami bersabung pandang, satu senyuman dihadiahkan untukku.

“Cantik,” tekan Zara sambil mengangguk-angguk. “Pretty macam… princess!”

Kali ini pipi Zara yang gebu menjadi mangsa ciumanku bertalu-talu.

“Adoiii, habis pipi Zara kena lipstik aunty long. Nakallah aunty long ni!”

Tawaku dan Encik Haiman bergabung. Terhibur betul melayan cakap si kecil yang petah tak padan dengan umurnya.

Aunty long nakal pulak dah? Mana satu ni, Zara? Uncle long peninglah, kejap kata cantik, kejap nakal…”

Zara nampak keliru. Dia memandangku dan Encik Haiman silih berganti. Beberapa kali.

Aunty long princess cantik yang nakal… Boleh tak kalau macam tu, uncle long?”

Tawa Encik Haiman meletus lagi. Aku pula sembunyi senyum, berusaha untuk tidak ketawa lagi kerana tidak mahu Zara berkecil hati dan merajuk.

“Mana ada princess yang nakal? Zara ada tengok princess nakal dalam TV ataupun dalam buku-buku Zara?”

Zara menggeleng laju. “Kalau macam tu, aunty long princess cantik ajelah, tak nakal.”

Aku peluk mesra Zara bila mendengar kata-kata tersebut. Sayangku terasa tumpah bergelas-gelas untuknya.

“Zara pun cantik. Cantik sangat. Kalah princess,” aku memujinya.

“Tapi aunty long lagi cantik daripada Zara.”

Tunak aku merenungnya.

“Kenapa Zara cakap macam tu?” soal Encik Haiman.

“Sebab aunty long kahwin dengan uncle long. Thank you, aunty long. Lepas ni unclelong dah ada kawan kat sini, Zara tak risau dah.”

Aku perasan riak Encik Haiman berubah. Aku pun sama. Rasa tersentuh dengan si kecil yang sangat mengambil berat tentang Encik Haiman.

“Zara!”

“Alaaa, mama dah panggil…” Zara meluncur turun dari pangkuanku.

“Dah nak ajak baliklah tu… Aunty long esok datang rumah Zara, tau? Zara nak tunjuk Miko.”

Aku angguk bersama senyuman. “Nanti free, aunty long pergi rumah Zara okey, tapi tak janji esok.”

“Lusa?”

Aku pandang Encik Haiman. Dia hanya tersenyum.

“Bila free, aunty long mesti datang rumah Zara dengan uncle long.” Aku beri jawapan selamat.

Promise?”

Pinky promise.” Aku mengait jari kelengkeng yang disuakan Zara.

She loves you so much,” ulasku bila Zara dah menjauh.

“Tu la… Nak jugak abang kahwin dengan dia kalau dia tu bukan anak buah.”

Laju aku menoleh ke arahnya, selaju jari yang mengetip pahanya spontan.

“Adoi… sakit!”

“Gatal lagi. Anak buah sendiri tu.”

Jealous?”

“Tak kuasalah Mayra nak jealous takat Zara tu.”

“Kalau perempuan lain?” Encik Haiman dah jongket-jongket kening. Sah, sengaja nak cari pasal macam along tadi.

“Pergilah cuba menggatal dengan diaorang. Tengok nanti apa Mayra buat.”

“Nak buat apa tu?” Nakal sungguh rautnya kala ini.

“Rahsia. Tapi Mayra janji ada kemungkinan besar abang dan perempuan tu lupa nama masing-masing Mayra kerjakan,” tukasku bersama jelingan.

Namun Encik Haiman hanya ketawa.

I love it bila Mayra tunjuk cemburu macam ni. Cemburu Mayra buat abang bahagia,” bisiknya di telingaku sebelum bangun dan berlalu.

“Abang nak pergi mana?”

“Sana.” Dia menunjuk ke arah sekumpulan lelaki yang baru tiba. Aku melihat jam. Pukul 11 malam baru hendak jejak rumah orang?

“Nak ikut.” Aku meminta.

No. You sit here. Tu semua stok-stok buaya.”

Eeeewww, I smell jealousy there,” usikku.

Giler tak jealous. You’re mine, the one and only,” ucapnya seraya terus melangkah, meninggalkan aku keseorangan di atas pelamin.

Tadi ingatkan semua tetamu telah pulang dan tinggal saudara-mara sahaja, itu yang kami berdua lepak-lepak di atas pelamin indah ini, bajet tengah dating. Sehinggalah si kecil Zara meluru. Ini Zara dah hilang, muncul pula tetamu yang dikatakan buaya. Terus kena tinggal sorang-sorang atas pelamin ini. Baik aku bangun sebelum dicop gila.

Dessert Corner di salah satu sudut menarikku untuk melangkah ke situ. Deretan coklat, aiskrim, kek dan gula-gula yang bermacam jenis semuanya menggamit selera. Lantas tanpa fikir panjang, aku ambil sebiji mangkuk kecil yang tersedia. Puas hati dengan isi mangkuk, aku duduk di atas buaian rotan dan mulakan suapan sambil mata melilau melihat keadaan sekeliling. Dan oh… Aku nampak Encik Haiman yang sedang rancak berbual bersama kumpulan yang baru datang tadi. Sekejap dia serius, sekejap dia mendengar, sekejap lagi dia ketawa. Aku jadi ralit memerhatikan tingkahnya.

“Adoi, Kak Adah! Kalau betul pun rindu tu tengah menggunung, control la sikit.”

Pantas aku kalih ke punca suara. Ida, adik bongsuku.

“Apa kau cakap tadi?”

Ida sengih.

“Kak Adah tu la, tenung Abang Haiman tu macam nampak Frozen Haute Chocolate yang harganya RM3,500 per scoop. Tembus habis! Sabar Kak Adah, tak hilang punya suami Kak Adah tu…”

Terus aku pulas telinganya tanpa belas kasihan.

Auch! Sakitlah, Kak Adah!”

“Nak ulang balik tak apa yang kau cakap tadi?”

“Tak… tak… Sorry, Ida tak cakap dah.”

“Tu aje?”

“Ida tarik balik kata-kata tu tadi. Cepatlah lepas, sakit ni!”

Aku lepaskan telinganya. Temberang aje lebih budak sorang ni. Dia pakai tudung, manalah sampai sangat sentuhan jari-jari aku ini ke telinga dia.

“Dah makan belum?” Aku menyoalnya. Sewaktu di meja makan pengantin tadi, dia tidak ada sekali.

“Dah, makan dengan alang tadi.”

“Malam ni tidur sini, kan?”

Ida menggeleng.

“Tak?”

“Esok orang ada kelas tambahanlah, Kak Adah. Umi dengan abah aje yang tidur sini, kita orang semua balik malam ni.”

“Skip la sesekali,” cadangku. Bukan mudah untuk berkumpul sama-sama sekarang ini.

“Hah, yalah tu. Mau kena piat dengan umi nanti. Aura cikgu displin masih kuat tu…”

Aku tidak dapat menahan gelak. Tawaku dan tawa Ida bersatu.

“Tapi terror la, Kak Adah. Boleh khatam dalam masa seminggu tu…”

Aku geleng. “Mana ada. Kan abah pesan jangan tinggal baca Al-Quran? Kebetulan masa dapat tahu nak buat majlis tu, memang dah nak habis. Tu yang sempat habiskan dan dapat buat majlis khatam petang tadi.”

“Abang Haiman ralit dengar bacaan Kak Adah dari luar rumah masa tu.”

“Kau skodeng dia eh?”

“Terpandanglah! Masa tu lalu situ sebab umi suruh panggil abah. Ingat apa, Ida nak mengurat Abang Haiman?”

Aku dah gelak. Teringat semula mimpi dulu yang entah apa-apa.

 

AKU BERDIRI di satu tempat asing seperti di dalam dunia Alice In Wonderland. Indah namun dalam masa yang sama, menakutkan. Dikelilingi bunga-bunga yang sangat cantik seperti di Lisse tetapi keseorangan. Tiada sesiapa yang menemani. Langsung tidak ada orang lain di tempat yang luas ini. Aku jadi cuak dan cemas. Sungguh aku takut. Ke mana semua orang? Di manakah semua orang? Kenapa aku ditinggalkan sendirian di tempat yang cantik ini?

Tanpa matlamat yang pasti, aku atur langkah merentasi hamparan bunga yang meluas. Anehnya, walaupun berkaki ayam, aku langsung tidak berasa sakit setiap kali tapak kaki menyentuh bumi. Kakiku seolah-olah dilitupi stoking tebal yang lutsinar warnanya.

Setelah sekian lama, hamparan bunga yang aku redah tetap tidak berpenghujung. Lelah kurasa. Titis-titis peluh mula membasahi dahi dan belakang badanku walaupun tiada sinaran matahari yang memancar.

Hujan yang tiba-tiba turun memaksaku berlari mencari tempat untuk berteduh. Mataku gagal menangkap sebarang bayangan pokok besar mahupun pondok untuk berlindung namun aku terus laju membuka langkah demi menyelamatkan diri daripada titisan hujan yang semakin menggila. Pakaianku semakin basah dan rasa sejuk yang mula menerjah sedikit membataskan pergerakan tetapi aku hanya abaikan dan terus berlari tanpa henti.

Di luar kawalan, kakiku tersadung sesuatu lalu aku terjatuh. Sakit. Lelah. Mutiara jernih mula terbit dari kedua-dua tubir mataku. Ya Allah, di mana aku sekarang ini? Mana jalan keluarnya?

Menarik nafas dalam-dalam, aku panggung kepala dari merenung bumi dan mengangkat tubuh untuk bangun. Di hadapanku… betul-betul semeter di hadapanku, ada satu pintu cantik berwarna putih. Hanya pintu. Tanpa dinding, tingkap ataupun sebarang tiang.

Penuh harapan, aku mendekati pintu tersebut. Moga-moga ini jalan keluar untukku meninggalkan tempat pelik ini.

Terbuka sahaja pintu putih tersebut, aku tergamam. Berbeza dengan pemandangan di sebelah sana tadi. Indah sehingga tidak dapat diungkap!

Di depan mataku, terbentang hamparan rumput yang berwarna kuning kehijauan yang dihiasi bebunga merah jambu striking bersaiz kecil, seperti bunga petunia kesukaan umi. Sekumpulan besar rama-rama berterbangan, membentuk satu bayangan pergerakan yang cantik merentasi hamparan yang meluas. Kicauan burung, yang tidak kutahu mana puncanya menyapa halwa telinga dan keadaan angin yang sepoi-sepoi bahasa menjadikan suasana semakin indah dan nyaman.

Tiba-tiba mataku terpaku pada satu sudut. Ada sepasang tubuh yang duduk di atas sebatang kayu besar membelakangkanku. Kedua-dua mereka berkongsi sebuah payung yang warnanya sama seperti bunga merah jambu yang cantik itu.

Sedikit ragu-ragu aku mendekati mereka. Tujuanku hanya satu, ingin bertanyakan jalan keluar.

“Err… saudara?” Aku memberanikan diri menegur.

Serentak kedua-dua tubuh itu berpusing.

“Encik Haiman! Ida! Buat apa kat sini?”

Aku tergamam. Rupa-rupanya tubuh lelaki yang berjaket coklat itu ialah Encik Haiman dan tubuh perempuan yang menyarung blaus putih itu adalah adik bongsuku, Wahida Uzma. Kenapa mereka berdua di sini? Dan kelihatan seperti rapat dan mesra?

“Kak Adah! Hai!” Adikku senyum selamba.

“What are you doing here, Ida? With this guy?”

Ops, Kak Adah silap. This guy adalah bakal suami Ida. He’s such a very nice guy. Kak Adah tak nak dia, kan? Jadi biar adik aje yang ambil.”

Darahku menyirap. Aku genggam tangan kuat-kuat mencari kesabaran. Encik Haiman di sebelahnya yang hanya berdiri tenang aku pandang tajam.

“Apa yang adik saya melalut ni, Encik Haiman? You and her...?”

“Wardah, you jugak yang cakap hal hati dan perasaan I tak ada kena-mengena dengan you, kan?”

“Tapi ni adik saya yang baru berusia 18 tahun!”

So?”

“Jom kita pergi, abang. Rimaslah kena bebel dengan Kak Adah ni.” Selamba lengan Encik Haiman disentuh dan ditarik.

“Ida!” Aku tidak dapat tahan diri daripada menjerit.

“Bye-bye, Kak Adah. Nanti tolong jadi pengapit adik, ya? Mmuahhh!”

Aku hanya mampu memandang mereka melangkah meninggalkanku. Senyuman kegembiraan Ida terasa seperti menyiat hatiku. Air mataku turun tanpa dapat dicegah.

 

“KAK ADAH, berangan!” Lenganku ditepuk.

Serta-merta lamunanku berterbangan.

“Melayang ke mana?”

Aku menggeleng, mengundang tawa si bongsu.

“Majlis Kak Adah ni, siapa punya idea?”

Aku senyum lebar. “Menarik, kan? Kak Adah bagi konsep, the rest hasil usaha abang ipar awaklah…”

“Serius? Dia tak kisah ikut idea Kak Adah yang senget ni?”

Oit!” Aku besarkan biji mata. “Sesuka hati cakap kakak sendiri senget!”

“Dah memang senget pun! Mana ada orang buat majlis macam ni?”

“Apa pasal tak ada pulak?”

“Kak Adah, kad jemputan kau orang adalah kertas fotostat yang tepinya dibakar dengan lilin, okey!”

“Okey apa? Jimat pun jimat. Buat mahal-mahal, cantik-cantik, nanti akhirnya ke tong sampah jugak.”

“Okey, alasan Kak Adah tu diterima. Tapi yang menu tu? Ubi kayu rebuslah, pengat pisang, lepat labu… belum masuk gulai cendawan kukur, ikan masin, jantung pisang, daging salai, sambal bela…”

Aku kerut dahi. “Apa yang salah? Asyik makanan moden aje, sesekali tukarlah selera masakan kampung pulak. Berselera aje Kak Adah tengok tetamu yang datang.”

“Ida tak cakap pun makanan tu semua tak sedap. Memang menyelerakan, sungguh. Tapi jarang kut orang buat, majlis orang-orang elit, hidang makan masakan kampung.”

“Memang Kak Adah minta makanan kampung, sengaja nak buat kelainan. Yang elit tu, gelaran untuk abang ipar awak, bukan Kak Adah.”

“Tapi Ida suka pelamin tu. Simple tapi sangat menarik.”

“Pelamin tu, Kak Adah cuma cakap tak nak ada bunga. Langsung tak terbayang pun pelamin macam tu.”

Mataku terarah pada pelamin yang tidak berorang. Unik. Berlatarbelakangkan suasana malam gabungan warna hitam, ungu dan kebiruan yang dihiasi butiran bintang. Ada hiasan pokok luruh di sebelah kiri dan kanan pelamin yang nampak asli. Di bahagian kiri pelamin juga, ada diletakkan lampu vantage bertiang tinggi dan yang paling epik, ada motor Vespa antik yang disandarkan pada tiang lampu tersebut. Yang paling aku jatuh hati, kerusi pelamin kami, berbentuk bulan sabit berwarna putih di tengah-tengah pelamin.

“Bila Kak Adah dengan Abang Haiman bergambar atas pelamin tu, nampak macam satu pemandangan hidup. Serius amazing!”

Aku hanya senyum.

Dress Kak Adah yang baby blue ni, siapa pilih, Abang Haiman jugak?”

Aku sengih. “Siapa lagi? Abang ipar awak cakap dia pilih warna putih sebab warna favourite Kak Adah, alih-alih mak andam datang bawak warna baby blue.”

“Dia memang pandai pilih, Kak Adah. Cantik! Walaupun tak sarat, it looks perfect on you. Untung Kak Adah. Nanti Ida pun nak cari suami macam Abang Haiman la.”

“Amboi!” Aku besarkan mata. “Dah gatal ya? Nanti Kak Adah adu pada umi.”

“Orang cakap nanti bila sampai masalah, Kak Adah. Bukan sekarang. Orang nak capai cita-cita jadi fashion designer yang berjaya dulu.”

“Bagus, yang tu Kak Adah sokong.”

“Tapi kan, Kak Adah… Abang Zaki tu single lagi, kan? Dia tu handsome macam Nazim Othman la!”

“Ida!” Aku dah angkat tangan untuk mencari sasaran tapi terbantut bila Meen muncul.

“Awak, kita balik dulu ya. Lewat dah ni,” ucap Meen yang menyentuh bahuku.

Aku tengok jam. Pukul 11.30 malam tepat.

“Tak nak tidur sini ke?” pelawaku penuh harapan.

“Tak apalah, lain kali aje.”

“Jom kita hantar awak ke kereta.” Tangan Meen aku paut lalu kami beriringan ke luar rumah. Penuh berhati-hati aku melangkah untuk mengelakkan hujung dress yang aku pakai menyeret bumi.

Take care, okay.” Meen memelukku erat.

You too.”

Be a good wife. And a good mother too.” Meen menunjuk ke satu arah.

Di kawasan taman di tepi kolam, Akim Hareez sedang duduk menghadap kolam seorang diri.

“Mungkin awak dah kena start peranan ibu tu malam ni jugak kut?”

Aku balas kata-kata Meen dengan senyum sumbing. Sebetulnya tidak tahu hendak bagi reaksi yang macam mana.

“Balik dulu, assalamualaikum.”

Aku hanya menanti sehingga kereta Meen hilang dari pandangan sebelum kembali ke pekarangan rumah. Melihat Akim Hareez yang masih tidak berganjak sedari tadi, aku mengambil keputusan untuk menghampirinya.

“Hai, Akim…” seruku dengan nada mesra.

“Kenapa kau kahwin dengan daddy?”

Terpempan aku seketika mendengar patah bicaranya. Hilang sudah gelaran ‘kakak’ yang sebelum ini diberikan kepadaku.

“Ingatkan kau akan kahwin dengan kembar Nazim Othman tu.”

Aku tarik nafas dalam-dalam.

I’m sorry.”

Hanya itu yang mampu aku ucapkan.

Akim Hareez menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Kenapa kau orang kahwin? Aku cuma terfikir… daddy mungkin kahwin dengan kau sebab kes aku tu. Tapi kau pulak, kahwin dengan daddy atas alasan apa? Sebab dia kaya ke?”

Aku beristighfar dalam hati. Rasa kesal tetapi tidak boleh diluahkan. Tuduhan Akim Hareez memang tidak wajar tetapi rasionalnya, aku juga mungkin akan buat andaian yang sama jika aku berada di tempatnya.

Menyeru semangat dalam diam, perlahan aku melabuhkan duduk di sebelahnya.

“Kami kahwin bukan sebab yang macam Akim cakap tu.”

So, sebab apa?” Kali ini Akim Hareez berubah posisi menentang paras mataku.

“Sebab jodoh kami dah Allah tentukan di lohmahfuz? Is that acceptable to you?”

Akim Hareez mengeluh. Wajahnya nampak sedikit keruh.

“Aku ingatkan nak tengok mummy dan daddy bersatu balik.”

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266154/mimpi-yang-sempurna