[SNEAK PEEK] MEREMANG

 

EBUKU MEREMANG OLEH NINIE OTHMN

EBUKU MEREMANG OLEH NINIE OTHMN

 

 

SELEPAS mengucup tangan Danish Faqhim dan Ain Shakina, Zamia Izaiqa bangkit mahu kembali ke bilik. “Mia,” panggil Danish Faqhim, menghentikan langkah adiknya.

Zamia Izaiqa menoleh ke arah abangnya yang masih duduk bersila di atas sejadah. Keresahan terlukis pada wajah lelaki itu.

“Betul ke Mia nak duduk kat sini lebih dari dua minggu?” Zamia Izaiqa mengangguk sebagai menjawab soalan itu.

“Mia tak takut ke duduk kat sini seorang-seorang?” soal Ain Shakina, turut menzahirkan keresahannya.

“Tak. Abang dengan Kak Ain tak perlu risau pasal Mia. Insya-ALLAH, semuanya okey,” jawab Zamia Izaiqa dan meneruskan langkahnya yang tergendala.

Danish Faqhim meraup muka dengan telapak tangan. Zamia Izaiqa memang betul-betul degil.

“Awak dah beritahu Riz yang kita dah sampai?” soal Ain Shakina membuatkan Danish Faqhim tersentak.

Dia betul-betul terlupa tentang Imriz. Pasti rakannya itu sedang menanti panggilannya. Dia bergegas untuk mengambil telefon bimbit di atas meja dan terus menghubungi rakannya. Namun panggilan itu tidak diangkat.

“Dia tak angkat phone,” ujar Danish Faqhim, hampa.

“Dia tengah solat kut,” ujar Ain Shakina yang sedang melipat kain telekung.

Danish Faqhim sekadar mengangkat bahu dan bersiap untuk ke rumah Imriz.

“Saya akan beli lauk makan malam kat kedai. Saya nak ajak Riz makan sekali ni.”

“AMIN ya rabbal alamin,” ucap Imriz, meraup muka selepas mengucap salam.

Sejurus selepas itu, deruan enjin kereta kedengaran diparkir di pekarangan rumah. Dia menjengah ke luar jendela.

“Danny! Bila sampai?” soal Imriz, menyambut kedatangan Danish Faqhim dengan senyuman meleret hingga ke telinga.

Dia bergegas membuka pintu yang berkunci dan mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumah.

“Baru aje,” jawab Danish Faqhim sambil melabuhkan punggung di atas kerusi kayu.

“Tunggu kejap, aku nak buat air.”

Segera Danish Faqhim menegah rakannya lantas membantutkan niat Imriz untuk ke dapur.

“Tak usahlah, Riz. Aku datang sini pun sebab nak ajak kau makan malam,” ujar Danish Faqhim, menyatakan hasratnya.

Imriz mengangguk-angguk.

“Kau datang berdua aje ke?” umpan Imriz untuk mengetahui sama ada Zamia Izaiqa turut datang ke negeri itu ataupun tidak.

Danish Faqhim menggeleng. “Bertiga, adik aku pun ada.”

Tidak semena-mena senyuman manis terukir di bibir Imriz.

“Aku dengar tunang dia mati dalam kemalangan, betul ke?” soal Imriz, mengumpan lagi.

Dia ingin mengetahui kejadian sebenar yang telah berlaku dalam hidup gadis manis itu.

Danish Faqhim terdiam. Terbayang wajah arwah dalam kepala.

“Dia terkorban dalam kemalangan jalan raya dua minggu lepas.”

Imriz mengangguk sambil menanti kata-kata seterusnya daripada Danish Faqhim.

“Sepatutnya dia orang kahwin dua minggu lepas,” ujar Danish Faqhim.

Hatinya pilu mengenangkan adiknya.

“Dia kemalangan macam mana?” soal Imriz, penuh minat. “Dia dilanggar lori.”

“Masya-ALLAH,” ucap Imriz sambil menggeleng sebaik sahaja mendengar betapa tragisnya cara kematian Mohd Azriq.

Danish Faqhim menunduk.

“Macam mana orangnya, arwah tu?” soal Imriz, ingin tahu tentang lelaki yang berjaya mencuri hati Zamia Izaiqa suatu ketika dahulu.

Danish Faqhim menguntum senyuman pahit.

“Baik budak tu, Riz. Peramah, ceria dan menghormati orang tua tapi dia macam misteri sikit.”

Kening Imriz berkerut. Misteri yang macam mana? “Hmm… aku pun tak pandai nak describe orang, Riz.

Mungkin aku aje yang suka fikir yang pelik-pelik,” ujar Danish Faqhim, seolah-olah dapat membaca kata hati Imriz.

Lagipun siapalah dia untuk menilai peribadi orang lain. Imriz membuat keputusan untuk berhenti bertanya kerana tidak mahu fikiran rakannya itu terganggu.

“Kau ajak aku dinner? Dah masuk waktu Isyak ni,” ujar Imriz sambil melirik jam yang tergantung di dinding. “Kita solat dulu,” ujar Danish Faqhim, tersengih.

AIN Shakina yang baru selesai mengambil wuduk, menjengah ke luar pintu bilik. Dia mahu mengajak adik iparnya untuk solat bersama.

“Mia nak solat dengan akak,” ujar Zamia Izaiqa, menyapa Ain Shakina.

Ain Shakina mengangguk kerana itulah niatnya sebentar tadi.

Selesai solat, bulu roma Ain Shakina meremang secara tiba-tiba. Dia meraba-raba tengkuk. Bilik itu terasa dingin. Sambil melipat kain telekung, mata Ain Shakina beralih pada Zamia Izaiqa yang sedang berdoa. Entah mengapa bulu roma semakin meremang.

Bunyi pili air yang terbuka di dapur membuatkannya tersentak. Dia kaget. Siapa yang berada di dapur? Bagaimana pili air boleh terbuka sedangkan dia dan adik iparnya berada di dalam bilik ketika itu? Tidak mungkin itu perbuatan suaminya kerana lelaki itu masih belum pulang dari rumah Imriz.

Jiwanya meronta-ronta mahu mencari jawapan. Dia ingin mengajak Zamia Izaiqa ke dapur tetapi adik iparnya itu sedang khusyuk berdoa. Tiada pilihan, dia memberanikan diri ke dapur.

“Mia?”

Ain Shakina melihat Zamia Izaiqa di dapur sedang mengisi air paip ke dalam cerek.

Zamia Izaiqa melemparkan senyuman tawar ke arah kakak iparnya. Kemudian dia menutup pili air dan meletakkan cerek di atas dapur gas. Ain Shakina yang mematungkan diri di pintu dapur dipandang lama. Wajah wanita itu pucat semacam.

“Kenapa, kak?”

Ain Shakina tidak menjawab soalan itu. Yang mana satu sebenarnya Zamia Izaiqa?

“Kak?” panggil Zamia Izaiqa sambil mengerutkan dahi. Ain Shakina dapat merasakan yang bersolat dengannya sebentar tadi bukanlah Zamia Izaiqa. Dia pasti. Patutlah bulu romanya meremang sahaja ketika bersama ‘Zamia Izaiqa’ tadi.

Ain Shakina mendekati Zamia Izaiqa lalu membisikkan sesuatu.

“Saya solat dalam bilik saya tadi,” jelas Zamia Izaiqa bersungguh-sungguh.

Ain Shakina menelan liur. Sah! Itu memang iblis. “Mia, teman akak kejap.”

Zamia Izaiqa menurut sahaja permintaan kakak iparnya. Kedua-duanya beriringan menuju ke bilik itu.

“Tadi akak solat sekali dengan Mia,” bisik Ain Shakina setelah kedua-duanya sudah tercongok di hadapan bilik itu.

Zamia Izaiqa tidak faham dengan apa yang dikatakan Ain Shakina. Bagaimana dia boleh bersolat dengan kakak iparnya jika dia bersolat dalam biliknya tadi? Dia bingung.

Pandangan Ain Shakina dan Zamia Izaiqa difokuskan pada kain sejadah yang terbentang di atas lantai. Ada dua sejadah di situ.

“Betul ke Mia solat dengan akak tadi?”

Terpacul soalan bodoh dari mulut Zamia Izaiqa. Sedangkan dia sendiri tahu bahawa dia bersolat seorang diri tadi.

“Iblis.”

Itu jawapan Ain Shakina.

DANISH Faqhim memandu kereta ke kedai makan di hujung kampung untuk membeli lauk makan malam. Perut pun sudah berkeroncong minta diisi.

“Kau tak pernah makan budu, kan?” soal Imriz, nakal. Danish Faqhim tergelak dan menggeleng.

“Mak Nab, bagi budu jugak ya,” ujar Imriz sambil memandang wanita lewat 50-an yang sedang sibuk membungkus lauk-pauk.

Orang tua itu mengangguk faham.

“Kau ni tak habis-habis dengan budu. Sedap sangat ke?” usik Danish Faqhim.

Imriz tersenyum sinis.

“Kau jangan pandang rendah pada budu, Danny. Sekali rasa, nak lagi tau,” seloroh Imriz.

Ketawa Danish Faqhim berderai lagi.

DANISH Faqhim mematikan enjin kereta di pekarangan banglo biru.

“Masuklah, Riz,” pelawa Ain Shakina, mesra.

Dia mengambil beg-beg plastik yang berselirat di tangan suaminya lalu dibawa masuk ke dapur.

“Duduklah, Riz. Lepas ni kita makan,” ujar Ain Shakina dari dapur.

Sibuk sekali dia menghidangkan lauk-pauk yang dibeli Danish Faqhim di atas meja makan.

Zamia Izaiqa melangkah keluar dari bilik.

“Duduklah dulu, Abang Riz,” ujar Zamia Izaiqa, menyapa mesra.

Imriz terkesima mendengar suara itu. Pandangannya mengekori langkah Zamia Izaiqa. Hatinya berdebar-debar. Dia jatuh hati pada Zamia Izaiqa sejak kali pertama memandang wajah sugul itu. Danish Faqhim yang perasan dengan hal itu mencuit paha rakannya. Dia tersengih nakal.

“Kau intai adik aku ya?” usik Danish Faqhim, nakal.

Imriz tersipu malu. Danish Faqhim betul-betul kacau daunlah!

“Tambatlah hati dia, then bolehlah kau jadi adik ipar aku, Riz,” usik Danish Faqhim lagi.

Berderai ketawa lelaki itu. Imriz mencebik.

“Kau jangan cabar aku, Danny. Nanti aku betul-betul jadi adik ipar kau.”

Jawapan Imriz membuatkan ketawa Danish Faqhim semakin menjadi-jadi.

“Mari makan.”

Ajakan Ain Shakina berjaya menghentikan ketawa lelaki itu. Dua sahabat itu segera beredar ke dapur. Terhidang lauk- pauk yang dibeli Danish Faqhim di atas meja. Yang paling menarik perhatiannya ialah budu yang dihidang di dalam mangkuk kecil. Kecur air liurnya.

“Mia, mari duduk,” panggil Danish Faqhim.

Gadis itu sedang sibuk menyediakan air minuman. Mata Imriz terpaku pada Zamia Izaiqa yang sibuk menuang air minuman ke dalam gelas. Walaupun sugul namun gadis itu tetap manis pada pandangan matanya.

“Makan, Riz.” Suara rakannya pantas menghentikan renungannya pada Zamia Izaiqa.

Hujan di luar masih lebat. Tiada tanda-tanda ia akan berhenti membasahi bumi. Bunyi katak juga lantang memecah kesunyian malam.

Danish Faqhim teruja mahu mencuba budu. Dia ingin merasai sendiri betapa enaknya makanan yang berupa cecair itu.

“Nak cicah dengan apa ni?” soal Danish Faqhim. Imriz mahu tergelak mendengar soalan itu.

“Kau cicah dengan timun ni,” jawab Imriz sambil menyeret pinggan timun mendekati Danish Faqhim.

Tanpa ragu-ragu, Danish Faqhim mencapai sehiris timun dan mencecahnya ke dalam budu.

Imriz menanti reaksi rakannya. “Sedapnya.”

Jawapan Danish Faqhim membuahkan rasa senang dalam hati Imriz. Kemudian dia mencuri pandang ke arah Zamia Izaiqa pula. Gadis itu hanya membisu dari tadi.

“Dulu Mia study kat mana?” soal Imriz, memulakan bicara. Danish Faqhim tersenyum nakal.

“USM, Penang,” jawab Zamia Izaiqa, ringkas.

Jari-jemarinya menguis butiran nasi di dalam pinggan.

Imriz mengangguk.

“Jurusan apa?” soal Imriz lagi.

“TESL.”

Ringkas sahaja jawapan yang keluar dari mulut gadis itu. Imriz yang asyik merenung Zamia Izaiqa tersentak apabila bahunya dicuit Danish Faqhim.

“Makanlah dulu. Nanti sejuk pulak lauk tu,” ujar Danish Faqhim, sengaja mengganggunya.

Imriz segera menyuap nasi ke dalam mulut.

Selesai makan malam, mereka berempat duduk berbual di ruang tamu. Bermacam-macam cerita yang dibualkan dua sahabat itu.

Zamia Izaiqa seperti biasa hanya mendiamkan diri tanpa berminat membuka mulut. Dia sekadar menjadi pemerhati sepi sahaja.

“Dah lewat ni. Eloklah kalau aku balik dulu,” ujar Imriz sambil melirik jam tangan.

Tanpa disedari, malam itu telah pun hampir tengah malam. Tidak terasa masa yang berlalu pergi.

“Awak dengan Mia masuklah tidur dulu. Saya ada kunci spare,” pesan Danish Faqhim.

Ain Shakina mengangguk faham.

“Saya balik dulu, Ain, Mia. Selamat malam. Assalamualaikum,” ucap Imriz.

“Waalaikumussalam.”

Ain Shakina dan Zamia Izaiqa menghantar kepulangan Imriz di muka pintu.

Seketika kemudian, kereta Danish Faqhim menghilang di balik kegelapan malam.

Ain Shakina mengajak adik iparnya masuk dan mengunci pintu banglo itu.

Langkah Zamia Izaiqa terhenti. Ain Shakina yang berada beberapa meter di hadapan berpaling ke belakang setelah namanya dipanggil Zamia Izaiqa.

“Mia ada sesuatu nak tanya kat akak.”

Kemudian pandangan mereka berdua bertaut lama. Deru angin di luar seolah-olah memainkan irama yang menyeramkan. Kuat sekali menghentam pepohonan dan semak-samun di sekitar banglo itu.

Ain Shakina dan Zamia Izaiqa melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu.

“Apa yang Mia nak tanya?” soal Ain Shakina, terlebih dahulu memulakan bicara.

Zamia Izaiqa memandang tepat ke wajah Ain Shakina. “Pasal tadi,” jawab Zamia Izaiqa, tenang.

Ain Shakina membetulkan duduknya.

Dahi Zamia Izaiqa berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Dia mematungkan diri di atas sofa membuatkan Ain Shakina terkulat-kulat.

“Kenapa jadi macam tu? Mia tak fahamlah, kak.” Akhirnya Zamia Izaiqa membuka mulut selepas membisu selama beberapa minit. Ain Shakina tersenyum pahit. Ia memang sukar dimengertikan namun ia boleh berlaku kerana syaitan iblis itu wujud.

“Wallahualam Mia, akak sendiri pun terkejut. Akak ingatkan Mia yang Solat Isyak dengan akak tadi.”

Zamia Izaiqa mengetap bibir.

“Syaitan iblis, Mia,” sambung Ain Shakina.

Ain Shakina bangun dari duduknya dan duduk di sebelah Zamia Izaiqa. Kali ini dia pula mahu bertanyakan sesuatu. “Mia selalu mimpi buruk pasal arwah, kan?”

Zamia Izaiqa mengangguk sebagai jawapan kepada soalan itu.

“Boleh akak tahu mimpi yang macam mana?” soal Ain Shakina sambil merenung wajah Zamia Izaiqa.

Igauan-igauan ngeri Mohd Azriq segera memenuhi kotak fikiran Zamia Izaiqa.

“Dia kena langgar,” ujar Zamia Izaiqa, berterus-terang akhirnya.

Ain Shakina mengangguk dan terdiam seketika. Sengaja memberi ruang kepada adik iparnya untuk mengumpul kekuatan. Suasana bertukar sepi. Nyanyian cengkerik dan unggas memekakkan telinga.

“Akak pun ada mimpi pasal arwah.”

Pengakuan Ain Shakina membuatkan gadis itu tersentak. Dia benar-benar tidak mengerti. Mengapa kakak iparnya turut mengalami mimpi yang sama? Fikirannya berserabut.

“Mia rasa ada sesuatu yang tak kena.”

Ain Shakina memandang tepat ke arah Zamia Izaiqa. Gadis itu mengeluh berkali-kali.

“Macam ada sesuatu yang arwah tak pernah beritahu Mia.” Ain Shakina mengunci mulut. Membiarkan adik iparnya sahaja yang berbicara.

“Mia mimpi arwah bawak Mia ke sini. Lepas tu…”

Ayat Zamia Izaiqa tergantung di situ. Matanya dipejamkan dan bayangan ngeri itu mula menghantuinya.

“Lepas tu apa, Mia?” desak Ain Shakina.

Zamia Izaiqa membuka mata dan mendongak. Dia merenung siling.

“Mia tengok dia pegang kepala dia sendiri,” sambung Zamia Izaiqa dengan suara tersekat-sekat.

Ain Shakina tergamam.

Suasana kembali sepi. Kedua-duanya asyik melayan perasaan masing-masing.

Bau bak bangkai memenuhi segenap ruang dalam banglo itu. Tajam sekali matanya memerhatikan gerak-geri mereka yang sedang menyepikan diri itu. Mulutnya menyeringai.

 

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55860/meremang