[SNEAK PEEK] MAT CLEANER UK

Mat Cleaner UK oleh Ahmad Affzan Abdullah

 

1

Jadi Tukang Cuci


Sudah masuk tahun ketiga saya menjadi pelajar di Imperial College dan tahun kelima belajar di United Kingdom. Pengalaman hidup di negara orang ini sangat menginsafkan. Tidak semuanya seindah pelangi seperti yang kita selalu tonton di televisyen.

Lima tahun lepas, saya dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini bersama 128 rakan-rakan yang lain di bawah program Penghantaran Terus UK atau singkatannya PTUK. Dua tahun saya di Bedford Modern School untuk mengikuti pengajian A-Level. Waktu itu, memang berharap dapat masuk ke Imperial College sebab nak merasa tinggal di London. Selalu di Malaysia dapat dengar-dengar saja, sekarang dapat peluang belajar di London, takkan nak dilepaskan.

Bukan mudah untuk masuk ke universiti yang tersohor itu. Alhamdulillah, dengan keputusan 3A dan 1B dalam peperiksaan akhir A-Level, saya diterima.

Berbunga-bunga hati apabila surat tawaran daripada Imperial College sampai ke rumah di Malaysia.

Pada tahun 1999, saya menjejakkan kaki di Imperial College buat kali pertama sebagai salah seorang pelajar di situ.

Tahun pertama, saya tinggal di Montpellier Hall, sebuah asrama kediaman pelajar yang berhadapan dengan pusat membeli-belah ternama, Harrods. Memang berangan macam orang kaya. Ada masa lapang saja, saya berkunjung ke Harrods untuk mencuci mata.

Tahun kedua, saya berpindah ke sebuah flat di Edgware Road, berkongsi dengan tujuh orang rakan yang lain. Waktu itu, dunia masih lagi indah.

Menjelang cuti musim panas tahun 2002 ini, saya sudah mula rasa kesempitan wang. Daripada duduk bertujuh tahun sebelumnya, kini cuma kami berlima di Edgware Road. Ia memerlukan saya membayar sewa sebanyak 320 pound sebulan sedangkan duit biasiswa bulanan cuma 400 pound.

Edgware Road ini terletak di tengah-tengah kota London, tak menghairankan kalau sewanya tinggi. Flat itu pun tidak sebesar mana. Kami tinggal bertujuh di situ. Lokasinya menarik, bersebelahan dengan McDonald’s dan berhadapan dengan pasar raya Safeway. Jalan ke depan sedikit, boleh jumpa Restoran Mawar yang sering menjadi lokasi persinggahan orang Malaysia apabila berkunjung ke London.

Tapi itu semua tak bermakna kalau duit sudah kering di dalam poket dan dompet.

‘Aduh, macam mana nak hidup ni?’

Saya lihat rakan-rakan daripada penaja lain hidupnya tidak mewah, tapi selesa. Sekurang-kurangnya kalau nak makan tidaklah berkira-kira sangat. Ada juga yang berduit lebih, dapat melancong ke Eropah.

“Silap aku juga, tak menyimpan. Tahun lepas duit dah banyak, tapi boros,” saya berleter kepada diri sendiri.

Sewaktu saya belajar di peringkat A-Level, memang banyak wang yang saya simpan, sehingga dapat melancong ke Switzerland. Malangnya, dek kerana banyak berbelanja, masuk tahun kedua di Imperial College, poket pun kosong.

Mujurlah dalam kepeningan itu, datang sahabat saya, Zul ke flat kami. “Cuti ni aku nak sambung kerja cleaner. Kau nak apply tak?” dia membuat tawaran.

“Wah, jadi cleaner ke? Tahun lepas kau kerja?”

“Ya, tahun ni aku nak apply jawatan supervisor pula sebab dah ada pengalaman. Gaji mahal sikitlah. Kalau kau nak, boleh mula dengan apply kerja cleaner biasa. Gaji sejam 4.20 pound. Biasalah, gaji minimum, tapi kalau kumpul-kumpul boleh dapat empat lima ratus juga sebulan.”

“Bolehlah kalau macam tu.”

Hati saya sudah berbunga-bunga. Kalau dapat kerja ini, legalah sedikit. Tak perlulah memohon bantuan dari kampung.

“Okey, kalau macam tu, esok kau ikut aku pergi pejabat. Boleh mohon kat situ.”

Alhamdulillah. Lidah saya tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana diberi jalan keluar oleh Allah. Walaupun saya jarang-jarang buat kerja mencuci di rumah sendiri, apatah lagi bekerja makan gaji sebagai cleaner, saya fikir ini merupakan masa yang baik untuk saya mulakannya. Saya yakin ia akan jadi satu pengalaman yang berguna untuk saya pada masa akan datang.

‘Mudah-mudahan dapatlah hendaknya,’ saya berdoa dalam hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266461/mat-cleaner-uk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *