[SNEAK PEEK] MAKMUM YANG TERTINGGAL

Makmum Yang Tertinggal oleh Razlina Azura

 

“KAU biar betul?” soal Azham. Pengakuan Syed Faliq benar-benar membuatkan dirinya tersentak. Bukan tidak percaya tetapi sukar untuk otaknya mencerna dengan baik. Sahabatnya jarang membuat kejutan sebegini besar. Apatah lagi pabila melibatkan soal hati, perasaan dan cinta. Itu yang dirinya kenali sejak Syed Faliq dikecewakan oleh Erdina.

“Yes… Aku memang sukakan dia,” ujarnya mendatar. Walaupun begitu Syed Faliq benar-benar memaksudkan setiap kata-katanya.

Manakala bagi pihak Azham pula dirinya akur dengan pengakuan tersebut. Tiada apa yang perlu dihairankan kerana Syed Faliq hanya seorang lelaki yang normal. Namun ada sesuatu terlintas dalam benaknya.

Lupakah Syed Faliq yang Hanan juga berasal dari kampung? Penampilan gadis itu amat sederhana. Bahkan tiada beza langsung dengan seseorang yang pernah Syed Faliq tinggalkan dahulu. Gadis kampung itu tidak lahir daripada keluarga yang punya darjat dan berharta. Tak ubah seperti Hanan. Apatah lagi tahap pendidikan yang tinggi. Semestinya tidak cocok dengan citarasa sahabatnya. Syed Faliq hanya inginkan seorang wanita moden yang terpelajar, berdikari dan lengkap serba-serbinya.

Kini apa yang membuatkan rakannya berubah hingga sebegitu?

Perkara itu yang mengejutkan dirinya. Tetapi bila difikirkan semula tiada apa yang mustahil kerana sudah menjadi sifat manusia punya hati yang sering berbolak-balik. Tambahan pula Hanan miliki keperibadian yang baik. Gadis itu lemah-lembut dan bersopan-santun orangnya. Sesiapapun pasti akan jatuh kasih dengan perwatakan yang sebegitu.

“Kau betul-betul yakin dengan apa yang kau rasa?” soal Azham lagi.

“Atau sebenarnya kau cuma kesiankan dia. Lagipun kau tak rasa cepat sangat ke perasaan kau tu berputik? Kau kan baru kenal dengan Hanan.”

“Sebab aku yakinlah, aku beritahu dengan kau.”

“Dulu masa baru bercinta dengan Erdina pun kau cakap benda yang sama juga.”

“Zaman apa kau cakap tu… Itu masa zaman jahiliahlah!” tegas Syed Faliq. Menangkis kata-kata Azham. Sejarah lama kut. Sewaktu itu dirinya masih belum matang sepenuhnya. Tidak perlulah diulang kenang perkara yang telah berlalu.

Azham angguk kecil. Faham dan amat mengerti. Syed Faliq tak ingin lagi mengingati sejarah lama. “Dah declare dengan Hanan yang kau sukakan dia?” soal Azham inginkan kepastian.

“Perlu ke aku buat semua tu?” soalan berbalas soalan.

“Bro, aku cuma nak ingatkan kau… Tak baik kalau setakat nak mainkan perasaan orang aje. Dah lama aku kenal dengan Hanan, dia budak baik. Kalau sekadar nak buat koleksi aku nasihatkan baik kau lupakan saja hasrat murni kau tu,” tokok Azham namun meninggalkan maksud yang tersirat.

“Macam yang aku cakap tadi, aku sukakan Hanan. Tapi aku tak tahu macam mana nak cakap dengan dia, sombong sangat. Jual mahal pula tu. Macam orang yang tak ada perasaan.”

Secara tidak langsung Syed Faliq meluahkan rasa hatinya. Sedangkan selama ini jika gadis yang jenis jual mahal hanya sekadar hai-hai dan bye-bye. Sedikit pun Syed Faliq tak hairan.

“Kalau kau pasti dengan perasaan kau, okeylah. Aku tak boleh nak kata apa-apa, sebab itu hak kau. Cuma satu aku nak tanya… Dia tahu tak yang kau suka kat dia?” Azham menduga. Manalah tahu jika sahabatnya seorang yang bertepuk sebelah tangan, dek angaukan si gadis.

Syed Faliq berdesit perlahan dan menghela nafas panjang.

“Itulah yang susahnya. Kadang-kadang aku rasa dia tahu perasaan aku pada dia tapi kadang-kadang aku rasa dia tak tahu. Atau mungkin Hanan sengaja buat-buat tak faham? Entahlah susah aku nak teka. Apa yang aku pasti, aku memang dah suka kat dia. Ops sorry! Bukan setakat suka lagi, tapi dah jatuh cinta dah.”

Tangannya meraup wajah sendiri. Sukar untuk percaya. Semudah ABC dirinya jatuh cinta terhadap seorang gadis yang baru sahaja dikenali. Malahan hanya dengan beberapa pertemuan tanpa sengaja. Bahkan latar belakang gadis itu juga masih menjadi teka teki. Tetapi Syed Faliq yakin dengan kata hatinya, Hanan tergolong dalam kategori gadis yang baik. Dan sesuai untuk disunting menjadi suri.

Azham pula mengangguk seperti burung belatuk. Tanda menyokong dan memberi semangat untuk sahabatnya terus berjuang demi mendapatkan si gadis pujaan.

“So, macam mana dengan Erdina? Dan apa pula kata Hanan kalau dia dapat tahu tentang status kau? Maklumlah, bak kata kau tadi zaman jahiliah!”

Azham angkat kening. Dalam masa yang sama ingin mengingatkan sahabatnya tentang suatu perkara.

“Erdina… Dia bukan sesiapa dengan aku. Dan pasal cerita lama tu, biarlah rahsia tetap menjadi rahsia. Buat apa nak cari masalah.” Mudah Syed Faliq merumuskan.

“Sebagai kawan aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau.”

“Thank you, bro! Tak sangka yang kau akan doakan yang terbaik untuk aku.” Syed Faliq berjenaka.

“Tapi kau doa atas sejadah atau kat IG?”

“Woi… Kau ingat aku ni jahil sangat ke?” Azham membulatkan kedua biji matanya.

“Serius bro, apa guna aku jadi kawan kau kalau tak doakan yang terbaik untuk kau. Walaupun kau tu taklah baik sangat!”

Giliran Azham pula mengenakan sahabatnya sambil tersengih menampakkan sebaris gigi.

“So, tak sia-sialah kau tumpangkan Hanan minggu lepas?”

“Huh!” Faliq merengus.

“First time in my life kereta aku kena reject dengan perempuan.”

“What? Serius?” Azham terlopong.

Anak lelaki seorang yang bergelar Tan Sri, bijak, berjaya dan boleh dikatakan hampir sempurna segalanya ditolak mentah-mentah oleh seorang gadis kampung? Sukar untuk akalnya mencerna dengan baik. Wajarlah jika sahabatnya angau tak hengat terhadap si gadis.

“Ala… Macamlah kau tak kenal perempuan. Mulamula tak nak lepas tu…” Syed Faliq sengaja menggantung ayatnya. Dalam masa yang sama cuba mempertahankan ego seorang lelaki.

“Hurm… Bab tu aku sokong.”

Mereka sama-sama meledakkan tawa. Mujurlah restoran tersebut lengang dengan pengunjung. Restoran masakan panas yang terletak berhadapan dengan sebuah pusat membeli-belah.

Azham sendiri yang memutuskan membuat temujanji bersama Syed Faliq di situ. Sementara menanti bakal isterinya.

“Assalamualaikum…”

“Walaikumussalam.”

Serentak dijawab oleh kedua-dua pemuda yang sedang rancak berbual.

Syed Faliq menoleh beberapa darjah ke belakang. Sekadar ingin berbasa-basi dengan tunang sahabatnya tetapi lain pula yang menyentap pandangan. Seraut wajah yang terlalu ingin ditemui. Hati pula sudah pandai menaruh rindu. Malahan tiap detik ketika bersama si gadis sering menjadi igauannya. Tambahan pula part Hanan menonong keluar dari kereta.

“Eh! Encik Faliq pun ada sama?” soal Fateha teruja.

“Kebetulan saya terserempak dengan Azham.”Syed Faliq tidak berkata jujur.

Fateha mengambil tempat di sebelah Azham. Manakala Hanan pula sudah tiada pilihan lain. Terpaksa melabuhkan duduk ke sebelah Syed Faliq. Maklumlah meja kecil yang berkerusi empat.

“Okey bro, aku cau dulu. Apa-apa hal kau text aku.”

Syed Faliq angkat punggung. Dirinya perlu beredar dari situasi tersebut. Bunyi degupan jantung kian sumbang tiap kali Hanan di sisi.

“Nope. Kau kena join kita orang makan dulu. Habis tu siapa yang nak habiskan makanan yang aku order ni, banyak tau. Tak… Aku tak benarkan kau pergi,” tegas Azham.

Lengan Syed Faliq disambar. Tadi cerita bukan main lagi. Jatuh kasih dan jatuh cinta. Tetapi apabila peluang sudah terbentang di depan mata Syed Faliq pula ingin menarik diri. Tidak! Dia tidak benarkan rakannya berlalu begitu sahaja. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang ingin memikat hati Hanan biar sampai dapat. Itu prinsipnya.

Syed Faliq telan liur. Wajah Hanan dan Fateha dipandang silih berganti.

“You all tak kesah?” soal Syed Faliq serba salah. Seraya melabuhkan punggung di atas kerusi semula.

“Kami lagi suka kalau Encik Faliq dapat join sekali.” Fateha pula menambah rencah.

“Kau pun okey kan, Hanan?” tanya Fateha kepada sahabatnya. Apa yang dia perasan tidak sepatah pun rakannya bertegur sapa dengan orang kuat Mutiara Jentayu itu. Bahkan Hanan menayangkan muka meluat yang tidak dapat diselindungkan lagi. Membuatkan Fateha pula yang kecut perut.

“Haah tak kesah.” Hanan pamer muka kelat dan ketat yang tidak ikhlas.

Aku benci. Aku tak sudi melihat muka dia lagi! Namun jeritan itu hanya dalam hatinya sahaja.

Azham yang berdiam diri sejak dari tadi hanya memerhatikan adegan sebabak tersebut. Bibirnya menyimpul senyuman nipis. Apa yang pasti Hanan amat sedar yang diri menjadi perhatian Syed Faliq. Itu yang matanya nampak dengan jelas. Hati pula merasa dengan sangat yakin. Si gadis tidaklah terlalu dungu untuk mentafsir perasaan sahabat baiknya.

Kring… Kring…

Deringan telefon berkumandang minta dijawab oleh si empunya. Melenyapkan lamunan Hanan. Sedangkan nasi di atas pinggan masih belum luak. Tangan pula menguis-nguis nasi dengan sudu dan garpu. Putus selera!

Azham sedang berbual di telefon. Nada pemuda itu pula kedengaran terburu-buru.

“Sorry, bro! Ibu aku minta aku balik ada hal, very urgent katanya,” ujar Azham kalut. Terkocoh-kocoh menghabiskan air dalam gelas yang masih berbaki. Konon dirinya ingin segera pulang.

Walhal si ibu sekadar mengingatkan dirinya supaya mengambil Fateha di tempat kerja. Dan membawa bakal isteri keluar serta membeli barang hantaran. Setelah itu,pulang dengan secepat mungkin. Itu sahaja pesanan penaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Memang Azham sengaja bikin gempak. Sesekali berdrama apa salahnya!

“Urgent?” Dahi Syed Faliq berkerut.

“Yes, very urgent dan kau kena tolong aku… Hantarkan Hanan balik. Aku terpaksa pergi dengan Fateha.”

Sejurus itu bahu sahabatnya ditepuk perlahan. Semoga Syed Faliq mengerti.

“Small matter… Kau tu kalau ada apa-apa jangan lupa text aku.

Sejujurnya dia dapat merasakan ada kelainan pada tepukan Azham. Sukar untuk dimengertikan tetapi Syed Faliq seolah-olah dapat meneka sesuatu.

“Hanan balik dengan Faliq ya,” kata Azham. Hanan yang sudah tercengang dan dihurung keresahan.

“Aku pergi dulu, Hanan,” pamit Fateha. Tas tangan pantas dicapai kerana sebelah tangannya sudah ditarik oleh Azham. Apa yang pasti tunangnya ingin segera beredar.

Manakala Syed Faliq dan Hanan menghantar kelibat pasangan itu dengan pandangan yang kosong. Tanpa bicara.

“Well.” Syed Faliq angkat kedua bahunya. Dia sendiri tidak pasti untuk apa mulutnya meluahkan sebegitu.

“Saya pun minta diri juga. Hari pun dah nak senja.” Hanan beralasan.

Syed Faliq mengeluarkan dompet sambil mengayun langkah ke kaunter.

“Tak payah susah-susah saya boleh balik sendiri.” Hanan bertegas sewaktu melewati kaunter bayaran.

“Saya yang akan hantar awak, faham tak Hanan?! Azham dengan Fateha dah amanahkan saya untuk menghantar awak balik.”

Syed Faliq mengambil pendirian dua kali lebih tegas berbanding Hanan.

Hanan menceber. Malas ingin berbahas lagi. Inilah sikap anak orang kaya. Perasan bagus dan tersangat poyo.

Sepasang kaki seolah-olah diikat dengan batu, Hanan mengekori langkah Syed Faliq yang berada beberapa tapak di hadapan. Hanan melangkah tanpa memanggungkan kepala. Sesungguhnya bertemu dengan pemuda itu adalah suatu kebetulan. Kemunculan Syed Faliq dalam hidupnya hanya untuk menyakiti diri, hati dan perasaan. Rasa benci itulah yang sering disematkan ke dalam setiap pembuluh darahnya.

“Auch!”

Pantas tangan menggosok dahinya sendiri. Seperti terlanggar tiang elektrik tanpa sempat membrek. Syed Faliq yang berjalan di hadapan berhenti dengan mendadak. Kesudahannya dahi Hanan yang menjadi sasaran belakang badan pemuda itu.

Syed Faliq berpaling beberapa darjah.

“Awak jalan guna mata ke pakai hidung?” keningnya diangkat dan sepasang mata tepat memanah ke wajah Hanan. Si gadis sedang mengerutkan dahi.

Tidak menyangka Hanan akan merempuh tubuhnya. Mujur dari belakang jika dari arah sebaliknya sudah tentu gadis itu akan mencium dada bidangnya.

“Tepat tekaan encik. Saya memang jalan pakai hidung sebab mata saya ni…” Jari telunjuk dituding tepi matanya sendiri.

“Benci tengok encik!” jawab Hanan selamba. Tangannya masih menggosok ke dahi.

Syed Faliq geleng kepala dengan sikap yang ditonjolkan. Tanpa berlengah alarm kereta ditekan. Kemudian tangkas membukakan pintu di bahagian penumpang. Tidak lama kemudian dirinya juga melakukan perkara yang sama.

Enjin kereta segera dihidupkan. Pendingin hawa dipasang ke suhu yang menurun. Tanpa menggerakkan kereta, Syed Faliq sengaja menekan brek. Dengan berbuat begitu keretanya akan serta-merta terkunci. Ia sebagai langkah berhati-hati agar si gadis tidak cabut lari seperti minggu yang lalu.

“Air cond ni cukup sejuk tak untuk menyejukkan hati awak, Hanan?”

Hanan tetap membisu. Pertanyaan pemuda di sebelahnya bak angin lalu.

Syed Faliq memusingkan tubuhnya beberapa darjah. Apa yang dilihat Hanan sedang menuam dahinya dengan lebihan hujung tudung yang menutupi kepala. Mengambil haba dari mulut sendiri dan kemudian ditekapkan ke dahi. Satu usaha yang baik dan tersangat comel pada matanya.

“Bagi saya tengok dahi awak tu, entah-entah dah benjol!” usul Syed Faliq.

“Dah baik dah, jangan jadi busy body la!”

Jelingan mata Hanan kalah mata pedang. Seterusnya dia menarik awning tudung yang dipakai supaya terlebih ke hadapan. Biar menutupi sebahagian daripada wajahnya. Tidak rela diratah oleh lelaki poyo itu.

Namun bagi Syed Faliq pula dirinya seolah-olah terpukau dengan gelagat si gadis. Terutamanya sewaktu menarik awning tudung itu tadi. Hingga mampu membuatkan fikirannya menerawang untuk beberapa ketika. Perkara yang sama dilakukan oleh seorang remaja. Menarik awning tudung untuk menutupi sebahagian dari dahinya apabila gadis itu berasa tidak selesa. Suatu kebetulan yang sama. Cuma yang membezakan Hanan tidak berniqab.

“Awak mengingatkan saya pada seseorang. Cara awak tarik tudung tu sama.” Jujur Faliq meluahkan. Entah mengapa ayat tersebut yang terpacul dari mulutnya. Sesungguhnya Syed Faliq tiada jawapan untuk itu. Sedangkan dirinya tak ingin mengingati peristiwa lalu.

“Boleh tolong cepat sikit tak? Encik memang sengaja tak nak solat atau tak tahu bersolat?” desak Hanan. Semakin tidak selesa. Sedar yang mulutnya tersangat celupar. Hingga mempertikaikan ibadah seorang hamba terhadap pencipta-Nya.

Syed Faliq tertawa kecil. Benar! Pada mulanya memang hatinya tercalar dengan sikap dan ‘bahasa’ Hanan. Tetapi kini tidak lagi. Bak kata peribahasa, alah bisa tegal biasa. Telinganya sudah tepu dengan sindiran tajam yang berbisa.

“Insya-Allah… Saya tahu dan mahu bersolat. Apa kata kalau Hanan yang jadi makmum saya. Solat berjemaah kan lebih baik daripada solat seorang.” Syed Faliq berkias. Matanya mengerling orang di sebelah.

Manakala si singa betina sudah menundukkan wajah. Peluang yang ada tidak dilepaskan, Syed Faliq mencuri renung gadis di sebelah. Ingin memetakan seraut wajah itu ke dalam mindanya. Ingin diukir sebaris nama si gadis dalam hatinya.

“Makmum? Solat pun ke laut. Ada hati nak ajak orang jadi makmum,” sindir Hanan dengan memek muka tidak berpuas hati.

“Setahu saya orang kaya macam encik ni hanya tahu tayang duit.”

Sinis. Biar pemuda itu tahu dan sedar wang ringgit yang menggunung milik pemuda itu tidak bernilai terhadap Hanan Izzati.

“Berat tuduhan tu Hanan,” balas Syed Faliq mendatar. Pedal minyak ditekan untuk menggerakkan kereta.

Hanan ukir senyuman sumbing.

“Tuduhan?!” Hanan menyangkal dakwaan pemuda yang perasan bagus itu.

“Bukan tuduhan encik, tapi fakta. Orang kaya macam encik ni selalunya hanya tahu mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain!”

“Hanan…”

Syed Faliq kematian kata. Akur dan mengalah. Tiada guna bertegang urat dengan si gadis.

Kini dia akui bukan mudah untuk menyusup masuk ke dalam hati Hanan. Gadis itu seolah-olah sedang membina tembok kebal antara mereka. Jesteru itu dirinya harus melakukan sesuatu jika tidak hati Hanan tidak mampu untuk ditakluki.

“Boleh saya tanya satu soalan?” soal Syed Faliq. Mengerling sekilas ke sebelah.

“Awak pernah frust dengan anak orang kaya ke sebelum ni? Sampaikan semua orang awak jatuhkan dengan hukuman yang sama.”

Erk! Hanan terkedu. Kini giliran lidahnya pula yang kelu.

Syed Faliq mengorak senyuman kemenangan. Akhirnya dirinya mampu memintas dengan mudah dakwaan Hanan. Namun tidak terhenti di situ, otaknya sedang ligat mencerna sesuatu.

 

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/272098/Makmum-Yang-Tertinggal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *