[SNEAK PEEK] LOVE LETTER

9789670707402-medium

EBUKU LOVE LETTER Oleh Minzhee

NELISSA termundar-mandir di hadapan pintu pejabat, resah menunggu bosnya yang tidak muncul tiba. Sebentar lagi satu mesyuarat bersama pelanggan terpenting syarikat mereka akan berlangsung namun kelibat Encik Zaid langsung tidak muncul-muncul lagi. Bos besar mereka, Dato Karim sudah berkali-kali bertanyakan Encik Zaid. Nelissa sendiri sudah naik buntu entah mahu menjawab apa lagi. Semalam, Encik Zaid sendiri telah mengingatkan dia tentang betapa pentingnya mesyuarat hari ini tetapi dia sendiri pula yang tidak muncul walhal sekejap sahaja lagi pelanggan penting mereka akan tiba dan mesyuarat itu bakal bermula.

Melihat jarum jam di tangannya berdetik laju, begitu jugalah hatinya yang berdetak cuak. Sepanjang jabatan mereka sibuk menyiapkan kertas kerja untuk mesyuarat hari ini. Dia ada mendengar gosip staf-staf di situ yang mengatakan pelanggan mereka kali ini amat penting. Dan pelanggan mereka ini memang susah untuk dilayan, banyak kerenah kata mereka. Manakala Dato Karim pula amat mementingkan projek kali ini, banyak kali dia berpesan kepada semua yang terlibat dengan projek ini untuk memberikan seratus peratus komitmen mereka. Tapi hari ini, boleh pula Encik Zaid buat hal!

Tadi Dato Karim sudah memberikan amaran keras yang membuatkan batang leher Nelissa rasa seperti mahu tercekik. Katanya jika dalam masa sepuluh minit lagi Encik Zaid tidak munculkan diri, bukan sahaja Encik Zaid bakal dipecat malah Nelissa juga. Mengingatkan itu, matanya kembali menatap jam tangan yang tergantung di pergelangan tangan. Lagi tiga minit…

Alahai, Encik Zaid cepatlah muncul! Aku tak nak kena pecat! Nelissa terasa semacam mahu menangis sahaja, bukan salahnya pun jika Encik Zaid tidak muncul-muncul.

Bunyi pintu ditolak menyentakkan Nelissa, terus kepalanya dipalingkan ke arah pintu. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa yang muncul di sebalik pintu itu ialah Encik Zaid. Sungguhlah dia tidak sanggup jika dibuang kerja disebabkan kesalahan orang lain. Melihat kelibat yang melangkah dengan tergesa-gesa, Nelissa memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga.

“Encik Zaid, kenapa lambat sangat? Dato dah bising dah tu.” Belum sempat Encik Zaid menghampiri Nelissa, Nelissa sudah terlebih dahulu melangkah ke arah bosnya itu.

“Maaf, maaf. Saya ada kes kecemasan tadi. Bos Exile Group tu dah sampai ke?” Kalut Encik Zaid bertanya. Memang dia juga cemas kerana projek kali ini bukan calang-calang projek, nilainya boleh tahan tinggi. Bukan selalu mereka mendapat tender besar macam ni. Nasib baik dia sempat sampai, kalau tidak…

“Belum lagi, tapi mesti dia dah nak sampai dah tu. Dengar kata bos Exile Group tu very punctual.”

Buat masa sekarang, topik yang paling hangat dalam kalangan pekerja mereka ialah bos Exile Group itu. Dan yang paling teruja sekali pastinya pekerja perempuan! Jejaka idaman Malaya kata mereka! Tetapi, ada Nelissa kisah? Disebabkan lelaki cerewet yang susah dilayan itulah, dia hampir sahaja kehilangan kerjanya.

“Errr, jomlah kita masuk bilik mesyuarat sebelum dia sampai.” Encik Zaid mengatur langkah laju menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di hujung sekali. Nelissa juga mengikut ketuanya dari belakang.

Sebaik sahaja kaki mereka melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, beberapa pasang mata yang telah berada di situ tertumpu pada mereka. Nelissa tidak mengendahkan mata yang memandang, dia terus berlalu ke tempat duduknya. Manakala Encik Zaid pula menuju ke arah Dato Karim. Mungkin ingin menjelaskan sebab dia terlewat agaknya. Nelissa meneruskan tugasnya, bersedia di hadapan komputer riba.

Setelah selesai dengan Dato Karim, Encik Zaid mengambil tempat di sebelah Nelissa.

“Lis, mana dokumen yang saya suruh awak buat semalam?” Encik Zaid bertanya dengan kerutan di dahinya.

“Semalam saya dah bagi pada bos, bos bawa balik rumah kan?”

Lantas Encik Zaid menepuk dahinya apabila mendengar bicara setiausahanya itu.

“Alamak, Lis… Saya tertinggal dalam kereta, tolong pergi ambil kejap. Quick!” arah Encik Zaid tanpa menunggu lagi. Tangannya sudah menghulurkan kunci kereta kepada Nelissa.

“Yalah.” Nelissa mencapai juga kunci kereta bosnya itu walaupun dalam hatinya mengomel. Dah nama pun bos, layankan ajelah.

Nelissa melangkah laju menuju ke aras bawah. Berdetak-detak bunyi kasut tumit tingginya dek derap langkahnya yang laju. Dia perlu cepat sebelum bos Exile Group yang banyak songeh itu sampai.

Nelissa yang sudah mengambil dokumen di dalam kereta bosnya ingin kembali ke pejabatnya di tingkat 11 secepat mungkin. Tetapi dalam kekalutannya itu, dia terlepas pula dokumen tebal itu lalu jatuh ke lantai. Nelissa mengeluh, banyak betul dugaannya hari ini. Perlahan-lahan dia menunduk untuk mengutip dokumen yang jatuh itu.

Belum sempat dia bangun semula, tiba-tiba sahaja dia jatuh terjelepok apabila dia dirempuh seseorang dari arah belakang. Dokumen yang baru dikutipnya tadi tercampak kembali ke lantai. Muka Nelissa menekur lantai, hatinya menyumpah gerangan yang telah merempuhnya itu. Apa malang betul nasibnya hari ini? Selepas satu, satu lagi dugaan yang datang.

Dengan pantas Nelissa mengutip kembali dokumen yang jatuh dan dia kembali berdiri. Nelissa menunggu gerangan yang melanggarnya itu menuturkan kata maaf, tetapi…

Langsung tiada apa-apa!

Dengan perasaan tidak puas hati yang menebal, Nelissa mendongak ke atas. Ingin mencari orang yang tidak bertamadun itu. Dia ternampak sesusuk tubuh tegap berada semeter daripada tempat dia berdiri. Lelaki itu sedang sibuk bercakap di telefon bimbitnya, langsung tidak sedar yang dia telah terlanggar Nelissa.

Nelissa pula sudah makin berasap. Sudahlah langgar orang sampai jatuh terduduk, langsung tak minta maaf pun! Harap gaya aje segak! Nelissa mengutuk dalam hati.

Dengan perasaan marah yang tertahan-tahan, Nelissa memanggil lelaki itu. Beberapa kali dia memanggil tetapi lelaki itu masih setia dengan telefonnya, langsung tidak mengendahkan panggilan Nelissa. Dengan perasaan marah bercampur geram yang sudah naik ke tahap maksima, Nelissa mencampak kuat dokumen di tangan ke lantai. Berdentum bunyinya apabila dokumen tebal itu mencecah lantai.

“Encik!!!” Kuat suara Nelissa memanggil.

Kali ini dia sudah tidak mengawal suaranya lagi, hampir satu lobi bergema dek suaranya yang lantang itu.

Tidak sia-sia Nelissa mengamuk, kali ini lelaki itu berpaling ke belakang. Dahinya berkerut apabila sesusuk tubuh Nelissa menjamah matanya.

“Me?” Hadif menyoal sambil jarinya menuding ke arah diri sendiri.

Menyirap darah Nelissa apabila hanya itu respons lelaki yang tidak dikenalinya itu. Langsung tiada riak bersalah di mukanya.

“Ada orang lain ke dekat sini?” sinis Nelissa bertanya.

“Errr… Tak, tak ada. Kenapa ya, cik? Ada apa-apa boleh saya bantu?” Sumpahlah Hadif pelik dengan kelakuan gadis manis di hadapannya itu. Sekali pandang hatinya terusik dengan wajah gadis itu. Comel gila!!! Bila dua kali pandang seram pula dengan muka garangnya itu.

“Memang ada! Boleh tak sekurang-kurangnya encik minta maaf lepas encik langgar saya sampai jatuh tergolek?” marah Nelissa. Tahap kepanasan dalam badannya memang sudah sampai ke tahap maksima.

“Come again?” Terangkat kening Hadif.

“Ehhh… Boleh buat tak tahu pula? Awak tahu tak tadi awak langgar saya sampai saya jatuh? Lepas tu boleh awak blah macam gitu aje?” Suara Nelissa sudah naik beroktaf-oktaf. Nelissa yang selama ini jarang naik angin boleh mengamuk begini. Dengan orang yang tidak dikenali pula tu!

Hadif menggigit bibir. Riak serba salah jelas terbias di wajah kacaknya. Sungguh, dia tidak perasan langsung yang dia telah terlanggar gadis ini.

“Maafkan saya cik, saya memang betul-betul tak perasan. Tadi tu saya tengah on the phone dengan pelanggan penting saya. Maafkan saya…” Seikhlas hati Hadif memohon maaf.

“Lain kali jalan tu pandang depan, jangan pakai redah aje!” marah Nelissa lagi sebelum dia mengutip fail di atas lantai kemudian melangkah pergi meninggalkan Hadif di situ.

Hadif pula termangu-mangu apabila Nelissa dengan selamba melangkah pergi. Matanya masih tidak lepas daripada memandang tubuh Nelissa yang sudah menjauh. Hadif terkaku di situ. Tidak semena-mena terbit sebuah senyuman di bibir Hadif, gadis itu benar-benar menarik perhatiannya.

Tetapi apa yang mengganggu fikirannya sekarang ini, dia terasa seperti pernah melihat gadis itu sebelum itu. Namun begitu, dia tidak dapat mengingati bila dan di mana mereka pernah berjumpa. Wajah gadis itu seperti dikenalinya.

“Tuan Hadif…” Azmeer yang baru keluar dari tandas menegur bosnya yang seolah-olah tidak berada di alam nyata itu.

Hadif tidak memberikan apa-apa respons. Dia masih dihantui dengan bayang gadis comel tadi.

“Tuan Hadif!” Kali ini Azmeer memanggil dengan lebih kuat sedikit. Kali ini panggilannya berhasil menyedarkan Hadif daripada khayalannya.

“Hmmm… Apa yang awak terjerit-jerit ni? Saya tak pekak lagi.” Hadif kembali pada perwatakannya yang serius. Isy, macam manalah dia boleh tertangkap berkhayal di hadapan pekerjanya. Habis rosak imej serius dan macho yang dibawanya selama ini.

Azmeer hanya terkulat-kulat apabila mendengar suara dingin majikannya itu.

“Maafkan saya, tuan…” Kalau dah namanya pekerja sahaja, ikutkan ajelah rentak bosnya itu walaupun terang-terang bosnya yang salah. Cis…

“Jomlah, dah nak lambat dah ni.” Hadif bersuara tegas.

Kakinya pula sudah diayunkan dengan penuh berkarisma menuju ke arah tempat yang ingin dituju. Azmeer pula hanya mengikut langkah bosnya tanpa banyak soal.

Sampai di pintu masuk Syarikat Teguh Corporation, mereka disambut oleh seorang gadis manis si penyambut tetamu. Mereka kemudiannya dibawa pula ke sebuah bilik mesyuarat di syarikat itu. Kehadiran mereka disambut hormat oleh pemilik syarikat Dato Karim dan para pekerja yang turut berada di dalam bilik mesyuarat itu.

Hadif memandang satu persatu pekerja yang menunduk hormat kepadanya. Apabila pandangan matanya jatuh pada seorang pekerja wanita bergaya yang memakai sepasang sut pejabat, dia tersenyum senget.

Ahah… Kalau dah berjodoh tu memang asyik berjumpa sahaja kerjanya. Hadif masih dengan sengihan di bibir. Tidak sangka akan berjumpa lagi dengan gadis ini dalam masa kurang daripada 15 minit.

Nelissa yang terasa dirinya lama diperhatikan lantas mengangkat kepalanya daripada tertunduk. Apabila terpandang wajah Hadif yang tersenyum senget, Nelissa terasa seperti dirinya terkena renjatan elektrik. Senyuman manis yang terukir di bibir mungilnya mati serta-merta. Liurnya terasa sukar untuk ditelan. Nelissa semakin cuak apabila Hadif semakin menghampirinya.

“We meet again…” Suara Hadif separuh menggoda dengan senyuman nakalnya masih tersungging di bibir. Dia seronok melihat keadaan gadis itu yang serba tidak kena. Mungkin cuak barangkali.

“Eh, awak pernah jumpa dengan Hadif, Lis?” Suara Dato Karim yang terkejut pula mencecah pendengaran Nelissa.

Nelissa terasa mahu pitam. Nampak gayanya dia perlu membeli surat khabar dan pen marker la selepas ini, lepas tu luangkan masa di ruangan iklan kerja kosong.Matilah dia kena buang kerja lepas ni..

****

WALAUPUN duduk di dalam bilik berhawa dingin, peluh tidak berhenti memercik di dahi Nelissa. Walaupun duduk di kerusi yang empuk tetapi terasa panas sahaja punggungnya seperti duduk di atas bara api. Sepanjang mesyuarat bersama wakil daripada Exile Group itu berlangsung, Nelissa langsung tidak senang duduk. Matanya hanya difokuskan pada komputer riba dan notanya sahaja. Tidak berani dia mahu mengangkat muka, lebih-lebih lagi dengan kehadiran lelaki itu di situ.

Nelissa mengerling sekilas Hadif yang duduk di hujung meja, nampaknya lelaki itu sedang khusyuk mendengar penerangan yang dibuat oleh Encik Zaid. Mukanya nampak serius, matanya langsung tidak lepas daripada memandang slaid di hadapan. Jadi inilah masanya untuk Nelissa mengangkat kepalanya tanpa disedari Hadif.

Namun begitu, baru sahaja Nelissa mengangkat kepalanya, matanya bertembung dengan mata Hadif. Nelissa terkaku di situ. Erkkk… Rasa seperti tercekik tulang ikan sahaja apabila tiba-tiba Hadif menayangkan senyuman sengetnya. Lantas Nelissa menunduk kembali.

Hadif pula sudah terasa seperti mahu gelak guling-guling melihat rupa Nelissa. Tadi sewaktu Nelissa memarahinya di lobi, bukan main lagi garangnya. Hampir sahaja ketawanya mahu lepas, tetapi Hadif mengawalnya dengan bijak.

Hadif simpan senyum, dia kembali memikirkan bila dan di manakah dia pernah terjumpa dengan Nelissa sebelum ini. Walaupun masih samar-samar tetapi dia pasti yang mereka pernah berjumpa.

Encik Zaid yang sudah selesai memberikan penerangan di hadapan menumpukan pandangan matanya kepada Hadif, menunggu reaksi bos Exile Group itu. Dalam hatinya cuak juga takut kertas kerjanya ditolak mentahmentah. Hadif memang agak terkenal dengan sikapnya yang cerewet dan memilih. Agak sukar untuk memuaskan hati lelaki itu.

Dua minit berlalu dan Hadif masih tidak memberikan apa-apa kata putus lagi, dia hanya seperti tadi. Berkhayal dalam dunianya sendiri. Kini semua mata tertumpu kepadanya tetapi matanya tertumpu pada Nelissa dan pandangan Nelissa menunduk memandang meja.

“Errr… Macam mana Encik Hadif? Okey ke proposal saya tadi?” Encik Zaid memberanikan diri untuk bertanya apabila dilihatnya Hadif masih lagi diam dengan riak serius terpamer di wajahnya.

Diam. Tiada jawapan yang diberikan.

Encik Zaid dan kakitangan Teguh Corporation masing-masing sudah memercik peluh dingin di dahi. Kalau Hadif menolak kertas kerja mereka dan tidak memilih syarikat mereka untuk projek milik syarikatnya, memang Dato Karim boleh mengamuk. Habislah bonus mereka untuk tahun ini kerana terlepas satu projek besar. Nelissa pula sudah semakin tidak senang duduk, jangan-jangan Hadif tidak mahu menerima kertas kerja mereka kerana kejadian tadi? Arghhh… Macam mana ni???

Azmeer juga memandang bosnya di sebelah, dahinya sudah berkerut. Apa yang sudah jadi dengan bosnya yang seorang ini?

Dia menghampiri Hadif dan berbisik perlahan.

“Tuan, dah selesai presentation tu…”

Ya Allah, hampir sahaja Hadif mahu melatah apabila Azmeer berbisik dekat di telinganya. Hadif beristighfar perlahan, jauh sungguh dia mengelamun. Dia berdehem sedikit mahu menutup malu dan membetulkan kedudukannya.

“Okey, saya setuju.” Hadif memberi kata putus.

Sebenarnya dia tidak berapa nak dengar pun apa yang dibentangkan. Boleh ajelah… Lagipun sebelum ini dia memang sudah meneliti profil syarikat Teguh Corporation ini. Dia agak berpuas hati, cuma dia masih mahu melihat bagaimana cara kerja kakitangan syarikat itu. Tetapi apa yang penting, jika dia memilih Teguh Corporation untuk projek terbaru syarikatnya, bolehlah dia berjumpa dengan Nelissa selalu selepas ini. Buat kali pertama Hadif bersikap kurang profesional dalam kerjanya.

Akhirnya, barulah boleh semua kakitangan Teguh Corporation yang terlibat menarik nafas lega apabila mendengar kata putus daripada bos Exile Group itu. Nelissa pula tidak putus-putus mengucapkan kata syukur.

NELISSA menuang air masak ke dalam cawan, lalu dengan sekali teguk sahaja habis air di dalam cawan itu. Barulah lega sedikit hatinya yang bagai dilanda tsunami tadi. Entah apa malang nasibnya hari ini, sejak pagi tadi lagi bermacam-macam dugaan yang datang kepadanya. Mula – mula dia terlepas bas untuk ke pejabat dan akhirnya dia terpaksa menahan teksi untuk sampai tepat pada waktunya, melayang duitnya untuk membayar tambang teksi. Dan yang paling malang sekali apabila dia boleh mengamuk dengan Hadif tanpa mengetahui lelaki itulah sebenarnya pelanggan penting syarikat mereka.

Sumpah dia rasa malu apabila wajah Hadif yang muncul di bilik mesyuarat tadi. Hadif pula seolah-olah sengaja mendera perasaannya dengan menunjukkan riak nakal dan Nelissa mentafsirkan riak itu sebagai ‘siaplah-kau-Nelissa-berani-kau-mengamuk-dengan-bos-Exile Group’.

Aduh, manalah dia tahu yang Hadif itu bos Exile Group yang dicanang-canangkan sebagai seorang lelaki yang cerewet itu. Kalau dari awal dia tahu, tidaklah dia nak mengamuk sesuka hati.

“Lis, kenapa ada dekat sini? Tak ikut sekali dia orang keluar makan?” Suara Kak Tina menyedarkan Nelissa.

“Eh, akak… Malaslah kak, Lis diet ni.” Nelissa memberikan alasan. Sebenarnya dia tidak ada selera untuk makan selepas semua yang terjadi tadi. Habis sahaja mesyuarat, Dato Karim begitu gembira dengan kejayaan mereka mendapatkan projek kali ini dan Dato mahu belanja semua staf untuk makan tengah hari. Pada mulanya memang Nelissa mahu turut serta tetapi tidak jadi kerana rupa-rupanya Dato Karim juga menjemput Hadif untuk makan bersama-sama mereka. Terus terbantut nafsu makannya.

“Diet? Hari yang bos besar nak belanja pula kau diet ya, Lis…” Ada tawa terselit dalam hujung ayat Kak Tina itu.

“Dah tu, akak pun ada kat sini kenapa? Akak tak ikut dia orang ke?” Kali ini giliran Nelissa pula bertanya soalan yang lebih kurang sama dengan soalan Kak Tina tadi.

“Akak puasa, tak apalah tak ikut. Yang kau tu, hari-hari lain ajelah diet. Rugi tak pergi, bos belanja tempat mahal tau.”

“Mana boleh macam tu kak. Macam mana nak berhasil kalau saya aci cancel-cancel diet saya. Hari ni kata nak diet, lepas tu bila nampak makanan sedap mula cakap esok masih ada. Kalau macam tu sampai kesudah pun tak mendatangkan hasil…” Nelissa pantas membantah kata Kak Tina.

“Macam-macamlah kau ni, Lis…” Kak Tina mengalah. Malas mahu berdebat dengan Nelissa yang petah berbicara itu.

“Kak Tina… Lis…” Ceria suara Jaja menegur kedua-dua mereka. Tiba-tiba mereka disapa pula oleh Jaja yang baru sahaja masuk ke dalam pantri.

“Amboi, seronok nampak. Sukalah tu dapat makan makanan mahal.” Kak Tina berkata sambil ketawa. Nelissa juga tergelak mendengar kata-kata Kak Tina itu.

“Eh, mestilah… Amatlah jarang dapat makan restoran mahal gitu…”

“Makin kau seronoklah kan bila Encik Hadif tu ada makan sekali dengan kau orang ya…” Kak Tina masak benar dengan perangai Jaja yang pantang nampak lelaki kacak.

Wajah Jaja tiba-tiba berubah muncung apabila nama Hadif disebut Kak Tina.

“Itulah yang spoilnya, kak… Last minute dia tak jadi pula makan dengan kami semua. Ada janji temu lain katanya. Terlepas peluang kami.” Sampai terpejam-pejam mata Jaja apabila menyebut tentang kekacakan Hadif.

“Gatal betullah kau ni kan…” Kak Tina menolak lembut bahu Jaja.

Nelissa pula hanya mendengar perbualan mereka tanpa ada niat mahu menyampuk. Kalau bab Hadif yang dibicarakan, minta maaf memang awal-awal dia sudah hilang minat.

“Tapi kan, kak… Jaja rasalah kan, Encik Hadif mesti tak jadi sebab si Lis ni tak ada sekali tadi,” ulas Jaja sambil matanya tertumpu pada Nelissa yang sedang meneguk air suam itu. Seraya itu, mata Kak Tina juga menyorot ke arah Nelissa.

Terbatuk-batuk kecil Nelissa dibuatnya apabila namanya dan nama Hadif diletakkan dalam satu ayat, saling berkaitan pula tu. Tunak matanya memandang Jaja.

“Apa pasal nama aku pula yang naik ni?” soal Nelissa tidak berpuas hati.

“Masa kita orang dah sampai ke restoran tu, Encik Hadif macam tercari-cari seseorang. Lepas tu tiba-tiba aje dia cakap dia terpaksa pergi sebab ada janji temu lain. Antara semua staf, kau dengan Kak Tina aje yang tak ada. Kalau dia tak cari kau, takkanlah dia cari Kak Tina yang dah beranak tiga ni?” Selamba Jaja bersuara sekaligus mengenakan Kak Tina.

“Oi, Kak Tina kau ni walaupun mak kepada tiga orang anak tetapi badan tetap maintain meletop hokayyy…”

Kak Tina memuji dirinya sambil bercekak pinggang. Menunjukkan pinggangnya yang ramping itu.

“Yalah saya tahu akak hot, tapi maksud saya takkan la dia cari bini orang kut? Lagipun based on my observation, sejak dalam bilik mesyuarat tadi lagi Encik Hadif tu asyik tenung Lis ni ha…”

“Amboi engkau Jaja… Tapi part yang Encik Hadif tenung Lis masa mesyuarat tadi tu akak boleh jadi saksi juga. Akak perasan memang dari mula sampai habis mesyuarat dia tenung Lis ni.” Bukan sahaja Jaja dan Kak Tina, malah hampir seluruh isi bilik mesyuarat itu perasan akan renungan Hadif pada Nelissa.

“Ya ke? Bila masa pula? Kau orang ni salah tengok ni.” Nelissa sudah gelabah. Hmmm… Memang pun Hadif tenung dia, tapi bukan sebab macam yang Jaja dan Kak Tina fikirkan tu. Tapi mesti sebab peristiwa dia mengamuk dengan Hadif dekat lobi tadi.

“Orang yang ditenung tu memanglah tak perasan, tapi orang yang kat tepi-tepi ni yang perasan. Lagi satu, tadi masa dia baru sampai, dia cakap kau orang pernah jumpa sebelum ni.”

“Entahlah, aku pun tak ingat bila masa aku terjumpa dia. Macam mana entah dia boleh ingat…” Selamba Nelissa menjawab. Tidak mahu dia bercerita tentang kejadian di lobi tadi.

“Hesy… Tu maknanya dia syok dekat kau la, Lis, kalau tidak mana dia nak ingat kau,” ujar Kak Tina sambil tersengih-sengih.

“Tak ada maknanya, kak… Mengarut aje kau orang ni. Dahlah, Lis nak keluar sambung kerja. Melayan kau orang bergosip sampai esok pun tak habis.”

Terus kaki Nelissa melangkah keluar dari pantri, meninggalkan Kak Tina dan Jaja di situ. Sungguhlah dia rasa macam mahu gelak guling-guling, memang tak logik langsung huraian mereka berdua tu.

“Hmmm… Yalah tu Lis, karang nanti kalau kahwin jangan lupa jemput kita orang pula.” Kuat suara Kak Tina menjerit pada Nelissa sambil ketawa.

“Hailah kak, melepas la eden nampaknya ha…” Jaja pula bersuara.

“Sabar ajelah ya dik. Kau carilah jerung lain kat luar sana ya…” kata Kak Tina sambil menepuk-nepuk bahu Jaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79535/love-letter