[SNEAK PEEK] LELAKI PILIHAN HATI

Lelaki Pilihan Hati oleh Cik Fara Haniey

 

SUDAH seminggu aku menyandang status tunangan Zarul. Tapi selama itu, tidak pernah sekali pun si tunang menghubungiku. Jangan kata nak telefon, WhatsApp pun haram nak muncul dalam notifikasi.

Bertambah sunyi hidupku apabila mama dan papa balik ke Kuantan pagi semalam. Nasib baik ada Wahida menemani. Itu pun sampai esok saja. Malam esok dia pula akan berangkat pulang.

“Tunang kau tak ada call ke babe?” soal Wahida ketika kami sedang bersantai di atas pangkin menikmati angin petang.

Aku geleng kepala. Cuma pesanan terakhir seminggu lalu saja perbualan terakhir kami. Hari-hari seterusnya aku dengan dia langsung tak berhubung. Bukan tak terdetik nak menghubungi Zarul, tapi malas. Lagipun Zarul tak ada call aku. Untuk apa aku patut terhegeh-hegeh cari dia?

“Pelik betullah tunang kau, Lia.” Suara Wahida sekali lagi memecahkan sunyi antara kami.

“Apa yang pelik?” Aku kalih muka tengok Wahida sambil mulut mengunyah gula-gula getah yang sempat aku beli di kedai runcit Pak Harun.

“Bukan ke orang bertunang selalunya main-main WhatsApp ke, call ke. Tapi aku tengok kau steady aje.”

“Hei, kau ingat kami bercinta? Antara kami no feeling-feeling okey!” Besar bukaan mataku, memberi isyarat tak puas hati melalui pandangan mata.

“Ya ke kau tak ada feeling-feeling cinta dengan tunang sendiri? Handsome weh! Rugi kalau kau lepaskan si Zarul tu.” Provokasi Wahida menarik keningku bercantum.

“Asal? Kau nak? Kalau kau nak, kau ambil.” Tiba-tiba rasa nak marah. Padahal, Wahida tak adalah cakap sesuatu yang menyakitkan hatiku.

Balasannya Wahida hanya senyum sumbing. Selepas itu, masing-masing diam menikmati suasana petang di kampung. Waktu-waktu petang begini memang ramai budak-budak bermain basikal keliling kampung. Biasalah, budak kampung. Seperti aku dulu-dulu.

Sedang aku ralit menghayati angin petang, tiba-tiba kelibat sebuah kereta BMW berwarna putih memasuki pekarangan rumah Mak Yam. Sesaat kemudian, terpacul tubuh Zarul dari dalam kereta. Masih lengkap dengan baju kemejanya.

“Babe! Tunang kau baliklah!” Tanganku Wahida tarik-tarik. Dah gaya tunang dia pula. Overexcited betul!

“Habis tu, kau nak aku pergi cium, peluk dia?” sarkastik saja ayat balasanku. Kata-kataku Wahida buat tak layan. Kini tumpuannya melekat ke arah Zarul yang sudah melangkah menghampiri kami.

“Assalamualaikum.” Salam diberi dan Zarul berdiri tidak jauh dari pangkin yang kami duduki. Kalau orang tak kenal siapa Zarul Hamidi ni, pasti orang akan kata dia anak kacukan Pakistan. Yalah, dengan mata sepetnya, bibir pula merah jambu dan yang penting senyumannya kalah artis-artis luar negara.

“Waalaikumussalam.” Serentak aku dan Wahida menjawab. Kukerling Zarul sekilas sebelum meliarkan pandangan ke sekeliling laman rumah opah. Pura-pura tak tercuit dengan kehadiran lelaki itu.

“Lama tak jumpa doktor. Doktor sihat ke?” Wahida memulakan teguran dahulu. Suaranya bukan main ayu lagi.

“Alhamdulillah, sihat. Sebenarnya I datang nak culik tunang I sekejap.”

Bicara Zarul buat aku menghalakan pandangan ke arahnya. Berlapis dahiku memandang wajah itu.

“Nak pergi mana?” Dingin suaraku menyoal.

“Nak ajak pergi satu tempat.” Bibirnya melorek senyuman nipis yang mampu menggetarkan jiwa seorang Dahlia Tihanie.

Beberapa ketika diam, aku menoleh ke arah Wahida yang masih memandang Zarul. Cara Wahida memandang Zarul macam tak pernah tengok orang.

“Mana boleh, nanti opah bising.” Aku gunakan alasan opah. Tapi memang betul pun opah bising kalau aku keluar dengan lelaki bukan mahram.

“Tak apa, Lia. Kau pergi ajelah. Aku cover kau.” Wahida mendekatkan bibirnya ke telingaku, membisik.

Automatik kepalaku menjauh dan memandang Wahida dengan mata mengecil. Apa kes nak suruh aku pergi pula? Buatnya opah tahu, tak ke haru nanti?

“Eii, mana boleh! Aku takutlah. Karang terkantoi matilah aku.” Aku bersuara halus sambil kepala menggeleng. Aku tak nak ambil risiko apabila melibatkan opah. Siapa tak kenal Opah Tijah; garangnya mengalahkan komando pencen.

“Okey, tak apa. I minta izin opah. Tunggu kejap, I pergi jumpa opah.” Tiba-tiba suara Zarul mencelah.

Tak sempat aku nak larang, Zarul sudah bergerak masuk ke dalam rumah. Segera kupanggung kepala memandang Wahida.

“Kaulah ni Wahi! Sengaja tau. Aku malas nak keluar berdua dengan dia.” Bibirku mencemik tak seronok. Sebenarnya bukan malas, tapi takut iman tak kuat kalau berdepan dengan Zarul yang cukup pakej sebagai lelaki pilihan.

2 minit kemudian, kelibat Zarul kelihatan. Berdiri di depanku, Zarul menghulurkan beg dompetku.

“Jom? Opah dah izinkan.” Seperti biasa, hanya senyuman menghiasi bibirnya.

Baru berura-ura nak bangun tanya opah, Mak Usu Hanum muncul dari belakang.

“Pergilah. Opah pesan jangan balik lambat sangat.” Itu mesti pesanan daripada opah. Cumanya Mak Usu Hanum dijadikan penyampai. Itu memang sikap opah. Suka memberi pesanan.

Dalam masa yang sama air mukaku berubah kelat. Bermakna tak ada sebablah aku nak mengelat. Sudahnya aku mengekori Zarul ke kereta yang terparkir di hadapan laman rumahnya. Dari jauh, tubuh gempal Mak Yam tercegat memandang kami.

Aku menyalami tangan tua itu, menunjukkan hormat.

“Nak ke mana bawa anak dara orang ni, Zarul?” Mak Yam terus menyoal. Terpancar riak resah di wajah Mak Yam. Mungkin risau membiarkan anaknya membawaku keluar.

“Nak ajak Dahlia pergi tengok klinik Zarul. Zarul pergi dulu ya, mak.”

Zarul membuka kereta sebelah penumpang untukku. Malu-malu aku masuk sebab mata Mak Yam tak lepas memerhati tingkah kami.

Beberapa ketika kereta BMW Zarul meluncur di jalan tar, hanya sunyi menemani kami. Aku mengerling Zarul. Dia masih fokus memandu tanpa menghiraukanku. Cermin mata hitam yang melekat di matanya menyukarkanku untuk melihat reaksinya yang sebenar.

“Cukup-cukuplah tenung I. Bukannya I lari ke mana pun. Tak lama lagi jadi milik you jugak.” Tiba-tiba dia bersuara, menghentikan pandangan mataku yang menelitinya.

“Mana ada I tenung you. Perasan!” Terus aku menafikan tuduhannya. Segera kupalingkan wajah. Daripada aku pandang Zarul, ada baiknya tengok pemandangan kampung.

Setengah jam perjalanan, akhirnya kami tiba di destinasi yang dituju. Sebaik saja keluar, aku terus menghalakan pandangan ke arah bangunan yang terpampang signboard Klinik Sentosa Zar_Dah.

“Bawa I datang sini buat apa?” aku bertanya hairan. Klinik dia, aku pula yang diangkut sekali.

Dia senyum tanpa membalas. Terpaksalah aku mengikut langkahnya. Masuk saja, kulabuhkan duduk di kerusi berhadapan kaunter pertanyaan. Klinik Zarul masih dalam proses. Ada beberapa tempat lagi masih belum siap sepenuhnya.

Zarul sudah lesap entah ke mana. Tinggallah aku sendirian di sini. Untuk mengisi waktu yang terbuang, aku membuka laman sosial Instagram. Kuleretkan skrin sehingga mataku melekat pada posting Izrahim. Izrahim bersama seorang perempuan sedang berpeluk mesra. Yang tak menahan, siap ada caption #sayanghinggahujungnyawa.

Melihat gambar tersebut, ada rasa sakit mengetuk dinding hati. Namun cepat-cepat kuubati dengan beristighfar berkali-kali.

“Tengok apa?” Sergahan yang tiba-tiba itu buat aku tersentak. Segera kukalihkan muka ke tepi. Zarul elok bertenggek dengan kedudukan yang begitu rapat.

“You buat apa ni?” Antara dengar tak dengar aje suaraku. Bercampur perasaan terkejut.

“Bekas pakwe you posting gambar dengan girlfriend baru ke?” Tak menjawab soalanku, Zarul ajukan soalan.

Aku kembali menatap skrin pipih itu. Jiwa seperti tertoreh melihat gambar Izrahim bersama perempuan lain. Tapi untuk apa lagi aku mengharapkan lelaki sebegitu; anggap perempuan seperti baju yang ditukar-tukar?

Sedang aku ralit meratapi nasib, telefon bimbitku dirampas oleh Zarul. Terpanar aku sesaat sebelum cuba merampas kembali gadjet kepunyaanku itu.

“Nak buat apa telefon I tu?” Aku ketap bibir. Geram apabila Zarul tidak mengendahkanku.

“Come.” Didekatkan mukanya dengan mukaku. Tak lama kemudian…

Klik!

Tercengang aku dengan perbuatan Zarul. Suka buat kejutan. Macam sekarang, tingkahnya betul-betul tak terduga.

“Okay, done.” Selesai dia menggunakan telefonku, dia menyerahkannya kembali.

Spontan aku jatuhkan pandangan ke skrin dan sesaat kemudian anak mataku terbuntang. Terkejut melihat gambar kami tadi sudah dijadikan status terbaharuku.

“Kenapa you post gambar kita?” Sedikit cuak aku menyoal. Sangkaku dia saja nak bergambar, tapi tak tahu pula ini tujuannya. Siap diletakkan lagi caption #KepunyaanZarulHamidi. Sekali gus memberitahu nama penuhnya.

“Saja nak buat ex-boyfriend you jealous,” selamba saja Zarul berikan alasan.

Aku tarik nafas dan hembus perlahan. Tak terduga itu alasannya. Sampai terdiam aku.

“Kenapa? Marah?” Matanya menatap wajahku tak lepas. Mungkin dia fikir diam aku kerana marah. Padahal, aku terharu dengan sikapnya.

“Okay, I’m sorry.” Bila aku tetap diam, Zarul mula mengeluarkan ayat sebegitu. Jelas riak wajahnya nampak cuak.

“Kenapa nak minta maaf?” Aku bersuara tanpa memandang Zarul. Konon nak buat dia makin bertambah rasa bersalah.

“Buat tindakan tanpa persetujuan you.” Jawapan balas Zarul buat aku nyaris melakar senyuman.

“I tak gemar you suka-suka ambil tindakan macam ni.” Sengaja kutayang wajah tanpa senyuman.

“Tak adalah. I nampak you macam sedih aje tengok posting bekas pakwe you. Sebab tu I ambil keputusan nak post gambar kita.” Zarul masih pamer riak serba salah.

Aku mengerling Zarul dengan mulut menyenget.

“Okey. I maafkan. Tapi lain kali, you kena beritahu I kalau you nak buat macam ni.”

“Kenapa?” Kening Zarul terangkat naik.

“Biarlah I ready dulu. Ni tak, gambar I tak comel langsung. Muka you aje smart.” Kusuakan telefon di depan muka Zarul sambil jari telunjuk menekan-nekan skrin. Apa taknya, gambar aku dalam tu macam muka orang tak rela bergambar. Haruslah tak nampak comel. Perempuan, kepantangan kalau gambar tak cantik. Perlu sempurna baru boleh post.

“You ni nakal juga ya Dahlia.” Zarul gosok kepalaku dan spontan aku menjauhkan kepala.

“Bukan mahramlah! Jangan pegang-pegang.” Aku menjeling Zarul.

“Ops! Sorry. Lepas kahwin nanti, I bolehlah pegang kat mana-mana tempat, kan?”

Bicara Zarul mengundang perasaan maluku. Terkatup terus bibirku mendengar ayatnya yang penuh maksud tersirat itu. Tiba-tiba kerongkong terasa kering. Aku pura-pura tak dengar dan sambung melayan Instagram.

Ah, Zarul Hamidi! Dia pandai mengemudi perasaanku.

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271743/Lelaki-Pilihan-Hati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *