[SNEAK PEEK] LARI: YANG DIKEJAR JUGA SEDANG MENGEJAR

LARI: YANG DIKEJAR JUGA SEDANG MENGEJAR Oleh Mesbo

GEDEGANG!

Pintu rumahnya ditendang sehingga terbuka selepas dia menekan loceng beberapa kali tanpa jawapan. Shariman juga sudah mendail nombor telefon adik dan ibunya beberapa kali. Juga tidak berjawab. Kunci rumah juga entah di mana letaknya.

Keadaan itu menambah resah Shariman. Dia tidak mahu ibu dan adiknya pula menjadi mangsa. Dia tidak mahu apa yang sudah terjadi kepada ayahnya dahulu berulang lagi. Dia tidak mahu kehilangan ibu dan adiknya pula.

“Seri! Ibu!” Shariman menjerit memanggil ibu dan adiknya. Pintu bilik Seri adalah yang pertama dilihatnya, kosong. Kemudian dia bergegas pula ke bilik ibunya, juga kosong. Biliknya juga dilihat, tetap tidak ditemui adik dan ibunya.

Shariman bergegas ke dapur, kemudian ke bilik mandi dan ruang belakang dapur. Juga tiada sebarang kelibat ibu dan adiknya. Shariman panik. Apa yang dia takuti telah terjadi.

Dia kembali ke ruang tamu, melihat-lihat jika ada nota yang ditinggalkan untuknya di situ. Atas meja, rak TV, rak kasut, malah sangkar kucingnya juga dilihat. Tiada sebarang nota. Dia kembali panik.

TUT TRUT TUT!

Bunyi telefon bimbit Seri dari dalam bilik. Shariman tidak bertangguh. Dia meluru ke bilik adiknya, mencari tempat telefon bimbit diletakkan. Dia mencari di atas meja solek dan meja belajar, tiada di situ. Kemudian dia beralih pula ke atas katil, ada. Telefon bimbit terletak betul-betul di tengah katil.

Shariman mengambil telefon bimbit itu dan segera unlock untuk membaca SMS yang masuk. Nasib baik adiknya tidak meletakkan sebarang kata kunci. Jika tidak susah juga dia mahu membaca SMS yang masuk tadi.

‘Apa perasaan kau? Tentu sedang susah hati, bukan? Kau tak perlu cari dia orang. Aku akan beritahu di mana dia orang berada. Tunggu SMS kedua aku selepas ini.’

Shariman menekan butang CALL. Tapi panggilan tidak berjaya disambung. Hanya kata-kata daripada seorang wanita kedengaran, ‘Panggilan anda tidak dapat disambung, sila cuba lagi.’

Shariman menekan sekali lagi. Masih sama. Panggilannya dijawab oleh suara perempuan tadi. Dia menekan-nekan butang kekunci, menaip SMS kepada orang yang menghantar SMS tadi.

‘Aku tak peduli siapa kau. Ini bukan antara kau dan aku. Jangan libatkan ibu dan adik aku.’

Butang SEND ditekan. Shariman memerhati skrin telefon bimbit itu dengan harapan ada SMS balasan yang masuk. Seminit… dua minit… tiga minit… masih tiada SMS yang masuk.

Shariman semakin buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Mahu dicari ke mana, sedangkan tiada sebarang petunjuk yang ada padanya. Dia terduduk ke atas lantai di sisi katil. Air mata jantan mula menitis sedikit demi sedikit. Shariman sedih dengan apa yang terjadi.

Lagu ringtone telefon bimbit berbunyi. Bukan telefon bimbit Seri, tetapi milik Shariman. Panggilan dijawab, “Lia, tolong aku… adik dan ibu aku diculik…,” itulah ayat pertama yang Shariman ucapkan selepas menjawab panggilan telefon daripada Lia.

“Man, are you okay? Kau ada kat mana sekarang? Aku pergi kat kau.”

“Aku ada kat rumah. Tolong aku, Lia.”

“Okey. Jangan pergi mana-mana. Kejap lagi aku sampai.”

Shariman mematikan telefon. Dia bangun menuju ke ruang tamu dengan telefon bimbit Seri masih lagi pada tangannya.

Kipas angin yang berpusing di siling tidak sedikit pun dirasakan anginnya pada tubuh Shariman. Dia hanya duduk diam di sofa. Tangan kanannya menggenggam erat telefon bimbit Seri. Hatinya gelisah kini.

TING TONG!

Dia bingkas daripada sofa dan berjalan menuju ke pintu rumah. Dibukanya dan Lia terus masuk ke dalam.

“Man, how are you? Kau tak apa-apa?” pantas Lia bertanya kepada Shariman.

“Aku okey,” bohong Shariman.

“Thank, God. Aku risau apa-apa jadi kat kau.” Lia kemudian memeluk batang tubuh Shariman. “Okey, ada petunjuk yang ditinggalkan?”

“Nope. Cuma satu SMS.” Shariman menghulurkan telefon bimbit milik Seri kepada Lia.

“Kau dah call?”

“Sudah. Not available. Atau dia off telefon tu,” jawab Shariman sambil meletakkan punggung ke kerusi meja makan. Lia juga mengikutinya.

“Kalau macam tu, kita tunggu atau kau nak report polis?” Soalan Lia membuatkan Shariman mengangkat wajahnya ke arah Lia. Lia terpempan seketika dengan pandangan mata Shariman.

Shariman hanya menggeleng. Dia mengambil kotak rokok yang berada di atas meja dan mengeluarkan sebatang rokok lalu mencucuhnya. Kata orang, kadang-kadang nikotin dapat menghilangkan kegelisahan. Mungkin seperti candu juga. Hilang sebentar kegelisahan yang ditanggung.

“Okey. Kita tunggu SMS penculik tu,” kata Lia kepada Shariman sambil bangun daripada kerusinya. “Kau dah makan? Nak aku order apa-apa ke?”

“Aku tak lapar. Kalau kau nak, kau order je la,” jawab Shariman.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183246/lari-yang-mengejar-juga-sedang-dikejar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *